Home Novel Cinta HERO UNTUKNYA
HERO UNTUKNYA
TASHA SAIN
10/4/2015 00:36:28
20,612
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 1, BAB 2, BAB 3

1

Ziyad berjalan keluar dari balai ketibaan Lapangan Terbang KLIA dengan langkah perlahan. Dia kaku di situ. Oh bumi Malaysia! Sungguh andai dia diberi peluang untuk mengucup tanah tercinta ini akan dia lakukan bagi menyatakan rasa rindunya terhadap tanah air ini. Ziyad menarik nafas dalam lalu menghembusnya perlahan. Memang inilah udara yang selalu dirindukannya.

Ziyad menapak lagi ke hadapan sebelum berhenti lagi. Memandang kiri dan kanannya. Lain benar benar berada di negara orang dengan negara sendiri. Kata orang, hujan emas di negara orang, hujan batu di negeri sendiri. Ziyad mengakui kebenaran peribahasa itu.

Wajah-wajah yang asing pada bola mata itu dia tatap dengan penuh minat. Kaca mata hitam, ditanggalkan. Berada di United Kingdom selama lima tahun cukup membuatkan Ziyad mensyukuri nikmat Tuhan yang menjadikannya salah seorang rakyat di bumi ini.

Agak lama dia berdiri di situ sebelum seseorang menepuk bahunya. Belum sempat Ziyad menoleh kebelakang, dia terasa badannya dipeluk dari belakang.

“Ad! Rindunya aku!” Teresak-esak makhluk yang sedang melekap dibelakang badannya. Entah sengaja atau benar tangisan itu. Hisham. Mengenalinya dari usia tiga belas tahun Ziyad tahu dia seorang yang gemar bergurau. Namun, semangat setiakawannya cukup tinggi.

“Lepaslah! Aku tak bawa budaya gay!” ujarnya sebelum meleraikan pelukan Hisham. Ziyad memusingkan tubuhnya lalu menumbuk perlahan perut lelaki itu. Hisham mengaduh kesakitan.

“Ad, aku baru nak feel!” rajuk Hisham. Ziyad memandang sahabatnya. Hisham juga begitu. Mereka saling bertukar senyum. Menyambut huluran salam gaya anak jantan. Ziyad memeluk Hisham pula. Menepuk belakang sahabatnya itu. Lama mereka begitu.

“Kaulah, menyepi! Lima tahun tak ingat nak balik! Bukan tak ada duit pun fly balik Malaysia!” marah Hisham kepada Ziyad. Suara Hisham bergetar. Pelukannya terasa lebih kejap .

“Tutup cerita lama! Kita buka buku baru!” kata Ziyad. Dia tidak mahu lagi kenangan lima tahun lalu disingkap kembali. Tiada yang manis pun. Ziyad melepaskan pelukannya.

Hisham menolong sahabatnya menarik bagasi. Mereka berjalan beriringan. “Mana yang lain?”soal Ziyad. Dia turut memandang sekeliling. Manalah tahu, ada yang ingin membuat kejutan untuknya sama seperti Hisham. Mungkin ada pula yang ingin muncul dari atas, selorohnya pada diri sendiri.

Semalam, Tariq, Ridhwan dan Razif beria-ia ingin menyambut kepulangan Ziyad ke sini. Kata mereka, mereka ingin berkampung di KLIA ini deminya. Kata Tariq pula sebelum subuh lagi, dia akan terpacak di hadapan balai ketibaan ini. Pagi ini, satu batang hidung pun tidak kelihatan.

“Macam tak tahu. Biasalah, orang ada kerja”, Hisham memberi alasan. Dia menepuk bahu Ziyad perlahan.

Ziyad cuma mengukir senyuman nipis. Sedikit pun, dia tidak terasa hati. Keluar dari KLIA itu, Hisham membawa Ziyad ke kereta Mitsubishi Evonya. Hebat! Ekspresi pertama tatkala matanya tatkala melihat Hisham yang sedang menepuk-nepuk keretanya.

“Apa macam?” Dia cuba menduga pandangan Ziyad terhadap kereta merahnya itu.

Ziyad tersenyum lebar lalu mengangkat ibu jari sebagai tanda yang kereta Hisham menepati cita rasanya juga.

“Jemput naik”. Dia membukakan pintu kereta di tempat duduk sebelah pemandu untuk sahabatnya. Ziyad memandang pelik.

“Gelilah!”

Hisham mencebik. “Aku buka pintu kereta untuk kau ni, supaya pintunya tak tercabut”

“Aii…second ke? Kantoi!”

“Hish! Ada kata Syakira aku ni second! Fresh dari kilang tahu?” Hisham bercekak pinggang.

Malas Ziyad ingin bertikam lidah dengannya lagi. “Dahlah, layan kau. takkan pernah habis!” Ziyad masuk ke dalam kereta tersebut. Kagum seketika kerana reka bentuk dalaman juga tidak menghampakan.

Hisham mengambil tempat di tempat pemandu. “Kau nak aku hantar kau balik Melaka?” soal Hisham kepada Ziyad.

Wajah Ziyad terus berubah. “Kalau nak makan penumbuk, kau buatlah!” Entah kenapa marahnya datang ketika itu.

Hisham tersengih. Dia mendengus. “Okey…okey…balik rumah aku. Malam nanti, kita kumpul.”

Tiada bicara lagi antara Ziyad dengannya. Ziyad asyik melayan perasaan memandang ke luar tingkap kereta tersebut. Lama mereka membisu.

“Kenapa?” Ziyad mula bersuara. Sedar yang Hisham asyik melihat ke arahnya.

Tiada jawapan dari Hisham. ‘Sepatutnya, aku yang merajuk. Ini tidak, dia pula yang lebih-lebih’.

“Aku tunggu kau bercakap.”

“Kenapa?”

“Mana tau kau still jet lag

“Takkanlah!” Ziyad tertawa kecil. Mereka diam seketika sebelum Hisham kembali bersuara.

“Aku tengok kau macam tak gembira”, ujar Hisham. Ziyad memandangnya.

“Kenapa pulak?” Ziyad ingin tahu pandangan Hisham terhadap dirinya. Hebat Hisham dapat menduga perasaannya. Benar. Terasa kosong saat ini.

“Aku kenal kau bukan sehari dua. Macam ada benda yang kau sembunyikan. Come on, tell me! Kalau aku boleh tolong aku tolong!”

Ziyad menggaru kening. Berfikir sejenak. Perlukah berkongsi dengannya tentang apa yang pernah berlaku di UK. Rasanya tidak perlu kerana dia sudah nekad menyimpannya sebagai satu kenangan yang cuma Allah sahaja yang tahu.

“Let’s drop this”

Hisham mengangguk faham. Sebagai seorang sahabat baik, dia pasti tahu Ziyad tidak suka dipaksa. Apabila Ziyad kata tidak, maka tidaklah jawapannya.

Mereka terdiam lagi sebelum ada satu panggilan masuk yang Hisham terima daripada i-Phonenya. Hisham tidak mempedulikan deringan tersebut lantas menyuruh Ziyad untuk mengangkat panggilan tersebut.

Melihat nama dan wajah yang tertera di situ, Ziyad pantas menekan butang hijau. Tariq berada di hujung talian.

“Hoi…”, ujarnya.

“Sham. Kau jangan sesekali beritahu Ziyad pasal Fia bertunang hari ni. Mati kau kena tinggal nanti!”

i-Phone Hisham terlepas dari pegangan Ziyad. ‘Betulkah apa yang dia dengar dari Tariq tadi? Fia, cinta hatinya akan bertunang hari ini?’

“Siapa yang calltu?”

“Stop the car!” arah Ziyad.

“Kenapa?”

“Aku kata berhenti! Berhentilah!”

Keadaan kalut seketika. Hisham memberhentikan kereta ini di bahu jalan. Tali pinggang yang terlilit di dada, Ziyad tanggalkan lalu keluar dari kereta tersebut.

Ziyad membuka pintu kereta di tempat duduk Hisham. Kaget Hisham dengan tindakan Ziyad. “Kau kenapa?”

“Kau keluar sekarang!”

“Okey! Okey! Aku keluar, tapi kenapa?” Hisham keluar dari kereta lalu Ziyad bertindak untuk masuk ke tempat duduk pemandu. Lantas menutup pintu kereta tersebut.

“Ziyad! Ziyad!” Hisham mengetuk cermin kereta. Ziyad menurunkan tingkap lalu mencampakkan i-Phone milik Hisham. Kelam kabut Hisham menyambutnya. Mujur tidak berderai. Menangis dia nanti.

Call Wan, suruh ambil kau! Aku nak pergi Melaka!”

“Ziyad, kita boleh bincang. Ada apa sebenarnya?”

“Aku tak ada masa! Pinjam sekejap!”

“Ziyad!” Jerit Hisham ketika Ziyad menaikkan kembali tingkap kereta tersebut. Sempat dia mengetuk tingkap keretanya.

Gear P bertukar D, lantas pedal minyak Ziyad ditekan. Ziyad memecut meningggalkan Hisham yang terpinga-pinga di situ. Smartphone yang ada di tangan, ditekan sebelum meletakkan hands free di telinga.

“Kau ambil Hisham!”

“Ziyad, kau dah tahu?”cemas suara milik Tariq di hujung talian.

It’s all your fault! Kenapa kau tak bagitahu aku awal-awal?” Ziyad melampiaskan marahnya terhadap Tariq.

“Kita bincang dulu. Kalau kau pecut pergi Melaka pun, kau tak kan sempat nak halang majlis tu!”

“We’ll see!”

Ziyad mematikan talian. Lalu, dia campakkan smartphone itu jauh. Siapapun yang cuba memujuknya untuk menghentikan pemanduanku, tidak akan dilayan!

Sebaik sahaja Ziyad memandu melepasi ke dalam tol Ayer Keroh, ada panggilan masuk yang diterima melalui smart phonenya. Ziyad menjeling sekilas. Ridhwan tertera di situ. Ziyad buat tidak peduli. Beberapa saat kemudian, deringan tersebut berhenti.

Smart phonenya memainkan deringan yang membingitkan telinga lagi. Ziyad mengeluh. Ridhwan masih tidak berpuas hati. Ziyad berfikir rasionalnya untuk menjawab panggilan tersebut. Mungkin Ridhwan tahu di mana Fia berada sekarang ni. Ziyad meletakkan hands free pada telinganya.

“Hah?”

“Ziyad! Kau kat mana?” cemas suara Ridhwan kedengaran di hujung taliam.

“Melaka!”

What? Dah sampai dah? Cepatnya!”

“Wan, Fia mana?”

Kedengaran keluhan terlepas dari mulut Ridhwan. Berat rasanya dia ingin jujur dengan Ziyad. Dia bimbang Ziyad akan bertindak gila menghalang majlis pertunangan Fia.

“Aku ingat kau faham aku…” Ziyad seakan berjauh hati apabila rakannya yang tahu akan rahsia hatinya juga bertindak untuk mendiamkan diri sedangkan Ridhwan tahu betapa pentingnya gadis bernama Fia dalam hidupnya.

“Aku…aku pun baru tahu benda ni minggu lepas! Lagipun, aku tak nak kau rush sangat nak balik Malaysia!”

“Tapi, kau tau kan, pentingnya Fia dalam hidup aku?”

“Tapi, Fia tak fikir macam tu!” Ridhwan cuba mencipta alasan. Dia berharap Ziyad akan berputus asa untuk bertindak melulu seperti itu.

“Aku yakin, tu bukan kehendak Fia!”

“You know nothing, Ziyad…”

“Bagi alamat Fia! Aku tak ada masa lagi nak cakap pasal benda lain!” tegas Ziyad.

“Ziyad, kalau kau betul cintakan dia, kau sepatutnya gembira bila dia gembira. Perbuatan kau nanti memalukan Fia!” Ridhwan masih belum berhenti berharap agar Ziyad tidak menjadi perosak majlis.

‘Aku tak akan putus asa. Selagi aku tak tengok dengan mata kepala aku sendiri!’

“Sekali lagi, aku mintak, bagi alamat Fia!” kali ini nada Ziyad lebih tinggi dari tadi. Ziyad baran. Baran dengan sikap Ridhwan yang seakan tahu segalanya.

Kalah dengan desakan Ziyad, Ridhwan mengeluh. “Aku textkan alamat. Janji dengan aku, kau tak buat benda bodoh!”

Dia berharap, moga-moga Ziyad tidak menjadi perosak majlis orang lain. Ingin menyusul Ziyad, dia kini berada di Serdang. Perjalanan ke Melaka bukannya singkat jika ditambah dengan kesesakan lalu lintas

Ziyad tersenyum menang. Tanpa kata, dia segera mematikan panggilan tersebut. Smart phone itu diletakkan di atas dashboard. Beberapa saat kemudian, kedengaran mesej masuk ke dalam inbox. Ziyad mencapai kembali dan bola mata Ziyad bertukar membaca alamat yang dikirimkan Ridhwan kepadanya sambil memandu.

Signal kiri diberikan untuk membelok ke kiri. Ziyad pasti apa yang ingin dia lakukan. Dia tahu dia akan menyesal jika tidak berbuat demikian!

2

Allah! Luluh jantungnya saat ini tatkala melihat lelaki itu sedang berdiri benar-benar di hadapannya. Ziyad! Benarkah dia itu? Melihat senyumannya yang dilempar ke arahnya, Fia yakin yang pandangannya benar. Dia Ziyad. Enam tahun mereka tidak berjumpa, tidak tahu khabar berita masing-masing, hari ini, pada hari pertunangannya, Ziyad hadir. Entah apa tujuannya, Fia tidak pasti. Tetapi, kehadiran lelaki itu cukup memubuatkan dia terdiam di situ sebelum Mak Ngah menegur.

“Fia, bawa masuk kawan tu. Nanti mak ngah hidang air”

Ziyad tersenyum sedikit tatkala mendengar mak ngah menegur Fia. Gadis itu malu sendiri. Dia tidak tahu apa yang perlu dia lakukan ketika itu.

“Ah..em…Jemput masuk… Ziyad” Sudah lama dia tidak memanggil nama itu. Seakan kekok pula.

Ziyad tersenyum. Melangkah dekat dengan Fia yang masih terpacak pada muka pintu. Fia melihat Ziyad yang membongkok menanggalkan kasutnya.

Dia menelan liur. ‘Apa yang patut aku buat ni?’ Seriously, malu berhadapan dengannya. Kekok, kerana sudah hampir enam tahun tidak bertemu dengannya.

Ziyad kini berdiri betul-betul mendepaninya. Ketinggiannya memaksa mendongak sedikit memandangnya. ‘Dub…dap… dub..dab’ . Jantungnya berdegup kencang.

Fia menarik nafas perlahan memaksa diri untuk bertenang sementelah Ziyad juga seakan kaku di situ.

Sekali lagi senyuman nipis Ziyad lemparkan kepada Fia. Ada mendung pada wajah kacak Ziyad. Fia memalingkan muka ke arah mak ngah yang sedang memerhatikan mereka. Sedar yang dia harus melarikan diri daripada riak wajahnya dibaca Ziyad. Mak ngah membuat isyarat agar Fia melayan Ziyad. Mungkin dia dapat membaca kelakuan anak buahnya tadi.

“Awak duduklah dulu”, ujar Fia tanpa memandang wajah lelaki itu. Dia kemudian bergerak ke dapur.

Belum lagi mencapai teko yang ada di atas rak, Fia cepat-cepat melangkah ke arah bilik mandi. Pantas dia menutup pintunya dan bersandar pada pintu tersebut. Allah sahaja yang mengetahui betapa gugupnya diri ini. Tangan kanannya menyentuh dada yang sedang berdegup kencang.

‘Hari yang aku takuti, telah tiba. Bersediakah aku mendepani dirinya? Berbicara dengannya seakan tiada apa-apa perkara yang berlaku antara kami?’

“Tunggu aku..Untuk enam tahun lagi…Bolehkan?”pintanya.

Ketika itu, dia masih mentah untuk memahami bait kata Ziyad. Padanya, Ziyad cuma bercanda. Mereka ketika itu selesai menduduki peperiksaan SPM kertas Biologi. Hari itu juga hari terakhir bergelar pelajar di sekolah itu. Biologi adalah kertas terakhir bagi pelajar Sains Tulen seperti Fia. Ziyad yang merupakan pelajar Sains Agama perlu beberapa hari lagi sebelum menghabiskan kertas terakhirnya, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah.

Belum sempat bibir bertanya seriuskah bicaranya, Ziyad langsung pergi. Malu barangkali. Fia melihat kelibatnya hinggalah dirinya hilang dari pandangan.

Tanpa sedar, air mata ini mengalir dari pelupuk mata. Pantas diseka rakus apabila mak ngah memanggil dari luar.

“Buat apa lagi kat dalam tu? Cepat, kawan tu dah tunggu lama!”

“Ya mak ngah. Sekejap! Fia basuh muka”. Fia membasahkan wajah lalu mengelapnya dengan tuala yang tersangkut pada dinding bilik mandi. Setelah yakin, wajah ini bersih dari solekan, gadis itu keluar dari bilik mandi untuk membantu mak ngah menghidangkan minuman dan sedikit kuih.

“Kenapa dibasuh make-up tu?” soal mak ngah menilik wajah anak buahnya.

Fia tersenyum nipis. “Malu. Dia tu kawan Fia masa sekolah menengah. Nanti, apa pulak dia kata”.

Mak ngah menggeleng. “Tak apalah, biar comel sikit orang pandang. Ini tidak, pucat saja”.

Fia tertawa kecil. “Mak ngah ni, biarlah orang nak kata apa. Yang penting, Fia ni natural beauty”, ujar Fia sekadar menghilangkan gugup dengan tawa yang dibuat-buat.

Mak ngah mencebik. “Suka kamulah Fia oi…Siapa kawan kamu tu? Manis budaknya! Macam artis!” Mak ngah memandang tepat ke wajahnya mengharapkan jawapan yang mungkin lebih tulus dari hati kecil ini.

Fia terdiam merangka jawapan di kepala. “Macam mana mak ngah tau dia manis? Mak ngah dah rasa ke?”

“Bertuah punya budak! Aku tanya betul-betul. Dia jawab main-main!” Mak ngah mencubit lengan Fia. Namun, tidak terasa kesakitannya.

Dia berpura-pura mengaduh kesakitan meminta mak ngah menghentikan lakunya. Sempat dia mentertawakan mak ngah. Dialah ibu, insan yang sentiasa ada kala ini.

“Fia pergi depan. Nanti mak ngah hantar air”, ujar mak ngah. Fia tersenyum mematuhi arahannya sedang ahtinya sudah tidak mampu tenang.

‘Tenanglah hati! Jangan takut lagi!’ Lalu, langkah perlahan diatur ke ruang tamu.

Dari jauh, Fia lihat Ziyad tertunduk merenung lantai. Wajahnya yang seakan murung itu membuatkan Fia berhenti melangkah. Ziyad kemudiannya bangkit dari duduknya tatkala melihat gadis itu merenungnya. Mereka membisu. Berbicara melalui hati. Fia seakan bisa membaca kata hati Ziyad. Begitu juga Ziyad.

“Duduklah! Kenapa berdiri?” tegur mak ngah dari belakang mematikan lamunan mereka berdua. Fia juga segan sendiri.

‘Cepatlah masa itu berlalu. Rasanya, aku masih belum bersedia mendepani dirinya’.

Mak ngah menatang dulang yang dipenuhi kuih—muih diatasnya. Menyusunnya di hadapan Ziyad. Pandangan lelaki itu tumpah pada hidangan yang sedang disusun mak ngah.

Mak ngah ramah melayan Ziyad. Bertanyakan itu dan ini sambil tangannya masih lincah menyusun dan menuang teh ke dalam cawan. Ziyad juga tidak kekok tatkala menjawab pertanyaan mak ngah. Sesekali, matanya mencuri pandang ke arah Fia yang seakan patung berdiri di belakang mak ngah. Kemudian, mak ngah meminta diri untuk ke dapur. Membiarkan Fia dan Ziyad berbual bersama.

“Awak sihat?” soal Fia kepadanya. Dia sengaja ingin mencipta perbualan dengan lelaki itu memandangkan keadaan agak hambar. Yang kedengaran hanyalah deruan angin dari kipas siling rumah mak ngah.

“Macam yang kau nampak”, jawabnya santai.

Fia mengangguk mendengar jawapan darinya. ‘Apa lagi yang perlu aku tanya?’ soalnya sendiri.

“Kereta tu awak punya? Cantik!” Fia gugup.

‘Bagaimana boleh timbul soal kereta pula ni? Agak-agaklah!’ Fia memarahi dirinya sendiri. Tetapi, hanya itu yang terlintas memandangkan mata ini terpandang kereta merahnya di luar.

“Tak. Hisham punya... Nak pecut balik Melaka”, ujarnya dengan tawa dihujungnya.

Sekali lagi, reaksi Fia ketika itu cuma mengangguk. Dia tidak tahu reaksi apa yang perlu diberikan dengan jawapan yang meniti dari bibirnya. Fikirannya menerawang mengingati Hisham. Teman baik Ziyad. Fia sedia maklum, teman-teman yang rapat dengan Ziyad semuanya berada.

“Kau tak nak tanya kenapa aku pecut balik Melaka?”soal Ziyad pula.

Dahi Fia berkerut. ‘Adakah itu perlu? Kenapa fikiran ini tidak terlintas langsung akan soalan tersebut. Pantas sahaja dia perlu pulang ke Melaka memandangkan keluarganya ada di sini’.

Fia layankan sahaja memandangkan dia juga tiada soalan yang ingin dia tanyakan kepadanya.

“Kenapa pecut?”

“Nak jumpa seseorang”, jawab Ziyad seakan berbisik. Namun, cukup jelas pada pendengaran gadis itu.

“Siapa?”

“Kau”

Dada Fia berdetak hebat. ‘Janganlah dia cuba mengungkit perkara yang lepas kerana apa yang berlaku pada hari ini tidak memungkinkan aku untuk berundur kembali. Hati ini sudah tetap dengan keputusan yang aku pasti setelah hampir satu tahun jiwa ini berbolak-balik’.

“Jemputlah minum. Tu, ada kuih seri muka. Favourite awak kan”. Fia cuba mengalih topik perbualan.

“Takut?”

“Kenapa pulak?”

“Obvious!”

Nampaknya dia sedang membaca perasaan Fia saat ini.

‘Andai boleh menyuruhnya berhenti daripada terus menduga seperti ini, akan aku cuba lakukannya. Aku tidak selesa dengan ‘reunion’ seperti ini’.

Oleh sebab itu, tiada seorang pun pelajar dari sekolah lamanya yang dijemput untuk ke majlis pertunangan yang ringkas ini.

“Malu. Dah lama kita tak berbual macam ni kan?” Fia mencipta alasan.

Ziyad seakan mendengus. “Aku cari kau! Sham, Tariq, Ridhwan, Razif, semua cari kau! Mana kau hilang?”

Fia dapat mengesan nada bicaranya semakin tinggi.

“Kenapa cari?” Fia cuba menduga hatinya.

Tiada kata membalas soalan cepumas itu. Fia menyisip teh yang terhidang di hadapan sebagai usaha menghilangkan gugup. Fia perasan yang Ziyad sedang merenungnya. Nafas berat dihela.

“Tak guna singkap balik kisah lama kan”.

Fia mengukir senyuman nipis seakan menyetujuinya. Dia sendiri tidak mahu berbicara tentangnya lagi.

“Macam mana cari rumah ni? Rasanya, saya tak pernah bawa awak ke sini kan?”

Ziyad pula mengukir senyuman. “Dunia ni, tak luas mana pun”. Dalam bicaranya. Dia mencapai cawan yang berada di hadapannya. Perlahan-lahan membawanya ke bibir dan menyisipnya.

Fia memerhatikan. Banyak yang berubah padanya. Wajah Ziyad kelihatan lebih tenang. Mungkin kerana sudah matang. Masih cerah seperti dahulu. Bersih dari sebarang jambang yang meliar. Patutlah mak ngah mengatakan wajah itu seperti artis. Sejujurnya, dia rasakan ciptaan Allah di hadapannya ini begitu sempurna.

Now, tell me about yourself. Siapa tunang kau, anak dato’ mana? Mungkin jutawan? Siapa tahu, aku kenal”. Angkuh bicaranya.

Fia menggigit bibir. ‘Adakah kehadirannya tengah hari ini cuma ingin menyakitkan hati aku?’

Kalau begitu, dia sebenarnya telah berjaya kerana saat melihat Ziyad, hatinya seakan sudah tersiat-siat.

Namun begitu, Fia tidak mahu kelihatan kalut. ‘Dia perlu tahu, aku bukan lagi Fia yang dahulu. Yang cuma menadah telinga mendengar fitnah, kata-kata kejian yang singgah di dalam cuping telingaku’.

“Mana awak tahu tunang saya anak Dato’? Awak kenal anak Dato’ Ghafar?”

Fia menelan liur dengan pernyataannya sendiri.

‘Berbanggakah aku memiliki tunang yang berada? Tidak! Aku cuma ingin lelaki di hadapanku ini tahu yang aku mampu berdiri atas kakiku sendiri. Cukuplah, dengan segala pengorbanan yang dilakukannya semasa kami bersekolah bersama. Andai ingin disingkap kembali, aku banyak terhutang dengan lelaki ini’.

Dia menggeleng menyatakan yang dia tidak mengenali mana-mana pun Dato’ Ghafar itu. Andai Ziyad tahu, tujuan Fia tadi cuma ingin mengatakan yang dia bahagia dengan hidup yang dia pilih.

“Awak pula macam mana?”

Ziyad mengangguk. Entah kenapa, hati kecil Fia sakit melihat reaksinya. Ziyad hadir pada hari ini seakan ingin mengatakan yang Fia perlu kembali kepadanya, tetapi, dia sendiri sudah ada yang menanti! Beginikah lelaki? Tidak puas yang satu?

Fia kehilangan kata lalu memutuskan untuk meneguk teh yang berada di hadapannya. Fia perasan mata Ziyad memandang jari manisnya tatkala Fia mencapai cawan teh . Dia bawa cawan itu ke pangkuannya. Meminjam sedikit kekuatan daripada kehangatan cawan tersebut kerana saat ini, jari jemarinya sudah terasa sejuk.

“Kata anak Dato’. Takkan simple sangat majlis”, tegurnya.

Fia tersindir. “Perlukah majlis yang grand? Pertunangan bukan tiket…”

“Jadi, boleh putuskan…”

Fia terlongo dengan pernyataannya. Dia akui yang aku terjerat dengan jawapannya sendiri.

“Apa tujuan awak sebenarnya?” Baru kini gadis itu berani membuka mulut bertanyakan niat Ziyad bertandang ke teratak kecil mak ngah.

“Aku nak kau!”

Fia terpempan. Menelan liur, tidak percaya yang dirinya mampu berterus terang seperti itu.

“Kita pernah berjanji”

Fia menggeleng. Mengingati peristiwa itu, Fia tidak ingat yang dia pernah menyatakan apa-apa persetujuan. Bagaimana pula kata-kata itu boleh bertukar kepada janji.

“Awak silap, Ziyad. Kita tak pernah berjanji apa-apa. Itu cuma permintaan awak, saya tak pernah bersetuju apa-apa!”

“Kau takut!”

‘ Ya! Benar, aku takut’. Sekali lagi, Ziyad dapat membaca telahan hati kecil ini.

“Kalau kau takut, biar aku jumpa dia. Biar aku cakap yang aku nak kau ”,bersungguh-sungguh nadanya. Kesunguhan terpamer pada wajahnya.

Fia mendengus. ‘Gilakah dia? Dia fikir ikatan yang terjalin boleh putus dengan cuma sebab yang tidak munasabah seperti itu. Dia fikir aku siapa? Barang?’

“Ziyad, you’ve crossed the line!”

“Apa yang aku langgar?”

Fia sudah panas dengan bicaranya. Apapun yang dia katakan, akan Ziyad cuba untuk memutarbalikkannya. Melihat wajah Fia yang sudah merona merah, Ziyad menghembuskan nafas berat.

“Kau cintakan dia?”

Fia memandang wajah Ziyad yang seakan mengharapkan jawapan soalannya itu. Gadis itu mengalih pandangan. ‘Bagaimana aku ingin menjawabnya sedangkan hati si dia juga tidak dapat kuduga. Yang pasti, tatkala cincin disarungkan ke jari manisku oleh Umi Sara, telah aku sematkan yang cintaku buat Muhammad Hazeeq. Walaupun aku cuma tahu namanya sahaja, aku pasti inilah yang terbaik’.

Tidak mahu dirinya terus berharap, Fia memutuskan untuk mengangguk sahaja. Maafkan aku, Ziyad. Mungkin inilah, yang terbaik untuk kita berdua. Aku pasti, dengan ketrampilan yang dimilikinya, dia mampu untuk mencari gadis yang lebih baik untuknya.

“Aku tak percaya,” bisiknya lalu tertawa kecil. Seakan memperlekehkan apa yang terluah dari bibir mungil Fia.

“Terpulang.” Fia malas untuk bertikam lidah dengannya. Biarlah dia sahaja yang mengalah.

“Kau cintakan dia, tak bermaksud dia cintakan kau kan?”dia cuba menduga lagi.

Mungkin cuba mengorek sejarah cinta antara Fia dan Haziq. Fia mengeluh. Bagaimanalah dia dapat menduga dengan begitu tepat perkara yang aku bimbangkan? Sudah aku suarakan masalah ini kepada mak ngah, namun jawapannya hanyalah si dia tidak akan terima aku sebagai tunangnya jika dia sendiri yang tidak mahu.

“Dahlah Ziyad. Cukuplah. Apapun yang saya beritahu, awak tak kan percaya”

“Aku masih ada harapan?”

Aku memandang wajahnya. Ingin sahaja aku memujuk dirinya yang seakan tidak mahu berputus asa mengharapkan ada keajaiban yang akan berlaku.

“Berdoalah. Saya tak mampu buat apa-apa”

Ziyad tersenyum menang. Terasa hati wanitanya sangat pilu melihat senyuman Ziyad. ‘Andai benar dia masih mengharapkan sesuatu dariku, biarlah Allah sahaja yang memberikannya’.

Ziyad kini dilihat lebih gembira daripada ketika dia melangkah masuk ke dalam teratak ini. Tangannya pantas mencapai seri muka yang berada dalam piring kecil dihadapannya.

“Sedap!” Lantas dia mencapai sekeping lagi. Menoleh ke arah Fia lalu mengukir senyuman lebar.

Ziyad meminta izin untuk pulang apabila jam sudah menunjukkan angka 1.30 tengah hari. Fia menarik nafas lega. Sebenarnya, dia ingin Ziyad pergi lebih awal lagi. Teringat yang dia sebagai tuan rumah perlu memuliakan tetamu, maka dia sabarkan hati ini berhadapan dengannya.

Satu perangainya yang tidak berubah dari dahulu hinggalah sekarang adalah sikap mendesaknya. Andainya Fia tidak mengalah dan terus berharap Ziyad akan berhenti dari terus mendesak, rasanya dia akan berkampung di teratak mak ngah nanti.

Lelaki itu menghampiri Mitsubishi Evo yang tersadai di hadapan rumah mak ngah. Melihat gayanya, Fia pasti dia mampu memiliki apa sahaja yang dia impikan. Wanita yang lebih cantik dan baik juga. Kenapa dia tidak ingin berputus asa? Apa yang ada pada diri seorang Fia ini? Fia tertanya sendiri. Berbungakah hati ini? Tidak! Fia lebih risau akan dirinya. Fia takut Ziyad yang akan kecewa nanti.

Ziyad sudah melangkah masuk ke dalam kereta itu. Menghidupkan enjinnya dan menutup pintu kereta tersebut. Tingkap diturunkan lalu wajahnya dijengahkan ke luar memandang Fia

“Aku boleh terus berdoa kan?” Dia masih mengharap.

Fia cuma mengukir senyuman nipis. Ziyad kemudian menaikkan kembali tingkap kereta tersebut dan mengenakan kaca hitamnya. Aku lihat dia mengukir senyuman lebar ke arahku. Melambaikan tangannya sebelum kereta itu bergerak keluar dari perkarangan rumah mak ngah.

Fia menghela nafas berat. Urat lehernya terasa tegang. Bingung dia dengan masalah ini. Fia memusingkan badannya ke belakang. Mak ngah di situ. Seakan faham kemelut yang melanda diri ini dia mengukir senyuman nipis seakan ingin menyedapkan hatinya.

“Mak ngah dengar semuanya?”

Dia mengangguk lalu mengajak anak saudaranya untuk duduk sebentar.

“Mak ngah tak pernah memaksa. Ini hidup Fia sendiri. Perjalanan Fia. Apapun yang Fia pilih, Fia kena ingat yang Fia ada Allah yang lebih tahu mana yang lebih baik”.

Fia mengangguk. Dia tahu tentang itu. Kerana itulah, dia berharap yang Ziyad tidak akan melakukan sesuatu yang bodoh, sebaliknya menyerahkan segalanya kepada Allah.

“Mak ngah cuma nak tahu. Fia sukakan dia?” Soalan cepumas keluar dari bibir mak ngah.

‘Bagaimana aku ingin menipu wanita yang memahami diriku ini’.

“Dia pernah ada tempat dalam hati Fia”.

Mak ngah mengangguk lagi.

‘Kerana pernah menjadi yang istimewa itulah, aku serba salah terhadap Ziyad. Namun, masa yang berlalu membuatkan perasaan itu semakin pudar. Hinggalah satu tahap yang aku yakin yang ikatan pertunangan yang dibina ini adalah realiti yang perlu aku lalui’.

“Ingat Allah nak. Apa yang Allah tetapkan lebih baik. Biar masa yang menentukannya”.

Mak ngah mencapai tangannya. Mengusapnya lembut seakan meminjamkan kekuatannya kepada Fia.

3

Ziyad bangkit dari tidurnya dan berlalu ke bilik air untuk membasuh wajahnya agar lebih segar. Sebaik sahaja keluar dari bilik air, Ridhwan telah menunggunya. Renungan Ridhwan sukar ditafsirkan. Dia tahu pasti Fia yang akan menjadi topik perbualan mereka setelah ini.

“Kau kenapa?” Ziyad bertanya sambil tangannya mencapai tuala yang tersangkut di atas sofa. Dia sedar yang gerak-gerinya diperhatikan.

“Kau jangan berpura-pura tak tahu”, dingin sahaja ayat yang keluar dari mulut Ridhwan. Bengang barangkali dengan tindakan terburu-buru Ziyad.

Rambut yang sedikit kusut dirapikan. Dia hanya tersengih dengan ketidakpuasan hati Ridhwan. “Sekurang-kurangnya aku dapat jumpa dia”.

“Nak marah pun tak guna”. Ridhwan mengalah dari terus meninggikan suara. Ziyad tersenyum menang. Tak panjang pun kemarahan Ridhwan. Mengenali sahabatnya itu, Ridhwan memang senang kalah dengan pujukan. Biasanya Ridhwanlah yang selalu mengalah dengannya.

“So, how’s she?”

“Aku tak rasa yang dia cintakan lelaki tu”.

Ridhwan tertawa kecil. Geli hati dengan pernyataan tidak berasas Ziyad. Pelik. Tak kan Fia bertunang secara paksa.“Dia cakap dengan kau ke?”

Ziyad menggeleng. Gelas yang dipenuhi air dihadapannya diteguk. “Dari cara dia pandang aku”.

Ridhwan mengurut kepala mendengar kata-kata Ziyad yang tidak masuk akal.

“Dahlah. Jangan diharap apa yang tak pasti. Biarlah dia hidup dengan cara dia. Kau pula teruskan hidup kau”.

“Kau cakap macam aku dah tak ada peluang. Dia baru bertunang. Belum kahwin lagi”, tegas Ziyad.

“Yalah. Tapi, takkanlah senang sangat nak putus tunang. Banyak hati yang akan terluka nanti!”

“Aku peduli apa?” Dia meneguk lagi air yang berada di hadapan. Panas pula hatinya dengan nasihat Ridhwan.

Ridhwan menghela nafas berat. “Dalam Islam, bertunang tu tandanya dia dah ditempah orang. Tak elok kejar dia lagi”.

“Kau siapa nak nasihatkan aku? Kau tak tahu apa yang aku rasa! Dengan sorang pun tak beritahu aku apa-apa! Siap ada yang nak rahsiakan lagi. Kau ingat aku tak rasa apa-apa?” perli Ziyad.

Ridhwan memandang Ziyad yang bertukar serius. “Ad, jangan macam ni. Bukan niat kitaorang nak rahsiakan. Fia pun tak jemput sesiapa. Buat kecil-kecil aje…”.

Belum sempat Ridhwan meneruskan kata-katanya, telefon bimbit milik Ziyad yang berada di hadapannya berdering. Ziyad mencapai lalu memandang Ridhwan seakan ingin meminta kebenaran menjawab panggilan tersebut. Ridhwan mengangguk sedikit.

Nama mama yang tertera pada skriin tersebut membuatkan dia berkira-kira. Tidak mahu Ridhwan mendengar isi perbualan tersebut, dia bangkit dan pergi ke arah sliding door.

Sliding door dikuak lalu punat hijau ditekan. “Assalamualaikum mama”.

Mama di hujung talian kedengaran ramah menjawab salam dari Ziyad. Entah apa lagi yang ingin dikatakan Ziyad. Dia juga tidak tahu kerana tidak bersedia untuk bercakap dengan mama. Kepulangannya ke Malaysia juga tanpa diketahui mama.

“Kenapa Ad tak cakap yang Ad dah balik Malaysia?” soal mama.

Ziyad mengeluh. Tak perlulah dia bercerita panjang jika mama sudah tahu. Tetapi pertanyaan mama berbaur rasa tidak puas hati. Malas ingin menjawabnya.

“Mama jangan risau. I’m with, Ridhwan. You know him”.

“Itu bukan jawapan kepada soalan mama”.

“I’ll make an official visit later”.

Kedengaran keluhan berat mama di hujung talian. Mungkin mama sudah dapat membaca yang Ziyad malas untuk bercerita panjang. Tiada yang manis pun berlaku kepadanya hari ini. Dengan Fia yang baru sahaja melangsungkan pertunangan, Ridhwan yang marah dengan sikapnya, kawan-kawan yang merahsiakan perkara penting itu. Penatnya hari ini!

“Along nak kahwin lagi dua minggu. Bolehlah Ad tolong nanti. Angah pun dah tunang”, kata mama dengan nada teruja.

Ziyad seakan berjauh hati. Dia hanya mendiamkaan diri saat mama bercerita tentang hal tersebut. Dia teringatkan Fia. Gadis itu juga baru sahaja bertunang hari ini.

“Ad bila lagi?”

Persoalan mama menyentak lamunannya terhadap Fia. Lama dia ingin menjawab soalan mama.

“Nanti Ad kenalkan pada mama”. Dia tidak yakin sebenarnya. Tetapi, belum cuba belum tahu.

“Mat saleh? Bila nak datang bawak menantu mama?”

Pelik pula mamanya ini. Ramah tidak seperti biasa. Sebenarnya, ‘we’re not close enough mama’. Itu yang dirasakannya.

“Nantilah, bila Ad dah bersedia”. Mendatar sahaja suara Ziyad. Dia menggosok kepala. Banyak perkara yang perlu diuruskan sebelum membawa Fia berjumpa mama.

Mereka kemudian mengakhiri perbualan. Dia merenung smart phonenya sebelum berpaling kepada Ridhwan yang berada dekat dengannya.

“Tak apa ke, aku bagi harapan macam ni?” tanya Ziyad meminta pandangan sahabatnya.

“Kau sendiri yang kata, dia baru bertunang, belum kahwin lagi”. Ridhwan memberi harapan. Dia faham kemelut yang melanda sahabatnya itu. Lalu, bahu sahabatnya ditepuk bagi memberikan semangat.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh TASHA SAIN