Home Novel Cinta HERO UNTUKNYA
HERO UNTUKNYA
TASHA SAIN
10/4/2015 00:36:28
20,616
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 7
                                                                                7

Along tak tahu apa yang angah rasa!”

Ketika itu Fia lalu di hadapan kamar Along untuk ke kamar Haziq. Terhenti seketika langkahnya apabila perasan suara Haziq terlalu kuat dan rasanya dia sedang bercakap dengan Along. Tegang sahaja bunyinya.

“Angah, perlahan sikit. Tak elok orang lain dengar”, ujar Along cuba menenangkan Haziq.

Biarlah, tidak elok pula menguping . Biasalah, adik beradik pasti akan berkongsi apa yang mereka rasa. Fia ingin meneruskan langkahnya.

Bakerist? Along boleh terima tak tunang angah bakerist! Pembuat roti? Apa tu?”

Fia ternganga. ‘Adakah subjek perbualan mereka, aku?’

“Angah, bakerist pun pekerjaan yang halal. Apa yang salah?”

“Memanglah tak salah! But, Angah rasa tertipu!Huh…patutlah gaya macam orang kampung.”

Lutut Fia sudah menggigil. Penghinaan. Itu satu penghinaan untuknya dari tunangnya sendiri. Dia mencemuh pekerjaan Fia sebagai seorang pembuat kek dan roti. Terasa tubir matanya membahang.

“Angah, bukan gaya yang menjamin kebahagiaan orang. Fia gadis yang baik. Along yakin dia mampu membahagiakan Angah nanti”.

Setitik demi setitik air mata mengalir dari tubir matanya tatkala mendengar Along seakan sedang menyebelahi dirinya. Along...

It’s damn shameful! Along tahu tak, dia tu tak ada self confident! Pemalu! Tak campur orang! Orang tengah sibuk-sibuk ambil gambar tadi, dia boleh duduk bawah khemah! Speaking pun, sepatah tak reti! Sampaikan Gina cakap dia tak reti English! Yang tu nak jadi tunang angah?”

‘Cukup!’ Andai Fia kuat ketika ini, sudah ditendang pintu bilik Along ini untuk menghentikan kutukan Haziq terhadapnya. Kenapa segala yang baru dilakukan tadi menggambarkan Haziq menyenangi dirinya sedangkan lelaki itu hanya berpura-pura?

Tidak mahu mendengar penghinaan lagi, Fia lantas melangkah ke kamar Haziq. Berlama di situ, dia tidak sanggup.

Fia melurut di pintu sebaik sahaja pintu bilik itu tertutup lalu teresak-esak di situ. Ruang bilik yang luas ini terasa sempit. Andai dia bisa terbang, kala ini juga Fia akan meloloskan diri dari kamar ini dan pulang ke Melaka. Tatkala ini, rasa rindu terhadap mak ngah menebal di hati. Antara sebal dan rindu menjadikan tangisannya berlagu.

"Mak  ngah, nak balik! Fia nak balik!" rintihnya dalam kamar yang luas itu.


Umi meminta Fia menemani Haziq untuk ke Alamanda walaupun sudah berkali-kali Fia memberikan alasan untuk menolak. Kerana rasa serba salah terhadap umi, Fia turutkan sahaja biarpun hati ini seakan sudah disiat dengan belati yang tajam.

Pakaiannya malam Ahad itu cuma blouse dan jeans dengan tudung bawal yang dibiarkan lepas. Fia sapukan sedikit bedak nipis bagi menutup mata yang sedikit lebam.

Keluar dari kamar itu, bola mata menangkap figura Haziq. Dingin sahaja wajah Haziq.

You’re going to Alamanda too?” mendatar sahaja soalnya kepada Fia yang cukup membuatkannya terdiam di situ.

Pertanyaannya seolah-olah, Fia yang terhegeh-hegeh ingin mengikutinya. Ikutkan hati, Fia tidak mahu berjumpa dengan Haziq lagi. Untuk memberitahu perkara yang sebenar, dia tak mampu. Walaupun ingin sahaja Fia membuka mulut tentang umi yang meminta Fia menemaninya. Sudahnya, Fia hanya mengangguk perlahan.

“Awak tak kisah kan?”

Haziq menggeleng setelah diam seketika lalu mengatur langkah dahulu ke arah tangga. Fia menghela nafas berat. Tawar. Itulah yang Fia rasai kala ini. Dia bercadang untuk berdiam sahaja nanti.


Besarnya! Dengan lampu yang begemerlapan, membuatkan Alamanda kelihatan sebagai gedung membeli belah yang mewah. Terpesona Fia melihatnya. Sebelum ini, Fia cuma berpeluang melihat di televisyen sahaja. Pengunjung di malam minggu ini juga ramai.

Fia mengikuti sahaja langkah Haziq. Lelaki itu berhenti, dia turut berhenti. Haziq memandang sekeliling seakan mencari sesuatu.

I’ve to meet my friends. Tunggu saya kat food court .” Pernyataan berbaur arahan. Haziq kedengaran tergesa-gesa.

Mendengar permintaannya, Fia menelan liur. Faham yang dia akan malu dengan kehadiran Fia di sisinya. Tak mengapalah, Haziq tidak perlu berkata apa-apa kerana hati ini belum kuat lagi untuk mendengar sekali lagi kebenaran yang Fia memalukan dirinya.

“Saya tak kisah. Saya pergi makan dulu ya!” Fia cuba menahan getar dalam suara ini sedangkan rasanya, air mata ini sudah ingin mengalir laju.

Setelah agak jauh meninggalkan dirinya, Fia berpaling. Haziq tidak lagi berdiri di tempat yang dia berdiri tadi. Fia meneruskan langkahnya menyedari kekhilafan diri. Dia tidak sepatutnya mengharapkan apa-apa.

Telefon bimbit yang berada dalam pegangannya direnung ketika berjalan. Teringat yang Fia tiada ada nombor telefon Haziq. Fia mengutuk dirinya.

‘Tak apalah tak penting pun nombor telefon tu. Tapi, penting juga dengan keadaan aku sekarang’. Sekali lagi Fia mengeluh.

‘Lantaklah! Susah-susah, aku balik dengan teksi sahaja nanti’.

Ziyad memarkir ducatinya di tempat letak motor Alamanda. Setelah itu, nama Razif dicari dari senarai pemanggil. Setelah itu, punat hijau ditekan.

“Mana? Aku dah sampai!”

Ziyad melangkah masuk melalui pintu masuk setelah mematikan talian. Eskeletor ke tingkat atas dituju.

Telefon bimbit yang berbunyi sekali lagi. Mama tertera di muka skrin. Dia berkira-kira untuk menjawab atau tidak panggilan tersebut. Punat hijau diswipe. Suara mama yang ceria sampai ke gegendang telinganya.

“Mama…”

“Ad, Ad kat mana ni?”

Suara hingar-bingar pungunjung Alamanda pastinya membuat mama musykil. Sengaja mama menguatkan suaranya. Bimbang anak terunanya tidak mendengar .

“Shopping complex”. Tak perlu menipu. Lagipun itu haknya untuk ke mana-mana.

“Lah, tak datang sini? Banyak makanan ni”.

Ziyad melihat jam tangan di pergelangan. Sudah 9.15 malam. Tak sempat nak ke Shah Alam begitu. Lagipun, dia tidak berjanji apa-apapun dengan mama.

“Tak rasanya. Dah lewat ni, mama”.

“Lah...Mama dah siap panaskan lauk ni. Ingat Ad nak datang”. Ada kehampaan di hujung bicara mama.

Ziyad menggaru belakang kepala. Sudah mengagak ini yang akan disoal mama. Lama dia mendiamkan diri.

“Tak apalah. Esok…Ad kena datang. Buat dekat sini pula. Along bersanding”.

Ziyad mengangguk. “Ya mama. Ad janji, Ad datang esok. By hook or by crook”. Tak salah rasanya berjanji. Lagipun esok dia tidak mempunyai apa-apa agenda lain.

Belum sempat mematikan talian, dia seakan berselisih dengan seseorang yang dikenalinya. Langkah terhenti sedang butir bicara mama juga sudah tidak masuk ke gegendang telinganya.

“Fia?”

Langkah Fia terhenti sebelum berpaling ke belakang.

‘Ziyad?’ Betulkah dia yang dilihatnya itu? Ziyad mengenakan t-shirt berwarna putih dengan jeans biru. Mata terasa ingin tersembul keluar melihat Ziyad yang turut memandang dirinya. ‘Macam mana boleh terserempak pulak ni!’ Fia mengutuk diri sendiri.

Ziyad mengakhirkan perbualannya dengan mama di hujung talian. Dia ingin menghampiri Fia.

Fia mendengar derap kaki Ziyad ingin menghampiri Fia yang sudah tidak keruan di situ. ‘Mana nak lari ni? Kalau lari nanti, dia kejar!’ Sudahnya Fia memaniskan sahaja wajahnya.

“Kau buat apa kat sini?” soal Ziyad. Sempat dia menoleh ke kiri dan kanan. Melihat kalau-kalau ada yang ingin mengaku sebagai kawan Fia.

‘Soalan yang pasti terlintas dalam kepala jika bertemu kawan lama! Apa Fia nak cakap ya, terang-terang ada di shopping complex, tak kan main basikal kot!’

“Main basikal!” Lantas mulutnya yang lancang ini ditutup dengan tangan. Bukan itu maksudnya!

Telinga Fia menangkap tawa dari Ziyad. ‘Dia macam tak kisah aje tadi...’

“Kau tak nak tanya apa aku buat kat sini?”

Fia berkerut dengan soalan Haziq. ‘Perlu ke? Ah, layan sajalah!’

“Awak buat apa kat sini?”

“Tengok kau main basikal!”

Fia terkena! Ni la yang buat dia malas nak melayan Ziyad. Lelaki itu memang suka memutarbalikkan seperti itu. Fia biarkan Ziyad tertawa sendiri.

Lama juga lelaki itu tertawa hingga memaksa Fia untuk menenangkan. ‘Semput jugak dia ni nanti!’

“Dahlah tu. Malulah orang tengok”.

“Kau sendiri?” Dia menyoal dengan tawa yang masih bersisa.

Fia terdiam dengan soalan Ziyad. ‘Percayakah dia andainya aku katakan aku bersama tunang ke sini. Tetapi, dia menyuruh aku ke food court! Tak perlu rasanya menceritakan perkara yang sebenar kerana dia sendiri tidak tahu apa yang perlu dia katakan’.

“Saya dengan sedara”.

Kata-kata Fia menimbulkan syak kepada Ziyad. “Kau ada sedara kat KL ni?”

Fia mengangguk laju. ‘Janganlah tanya lagi kerana aku akan terjerat dengan jawapanku sendiri. Dia sendiri cukup arif dengan salasilah keluarga aku’.

“Aku tak tahu pula kau ada sedara kat KL ni”.

Terasa sesak pula nafas tiba-tiba apabila Ziyad seakan boleh membaca reaksi Fia yang seakan kelam kabut.

“Bukannya semua sedara saya, awak kenal”, balas Fia pedas. Biar lelaki itu terasa dengan bicaranya.

“Let’s drop this, okay!”

Mungkin setelah menyedari intonasi suara Fia sedikit berubah, maka, isu sedara tidak mahu dipanjangkan lagi.

“Kenapa kau tunggu kat sini, tak ikut dia sekali! Entah-entah dia dah pergi!”

‘Memang. Memang aku ditinggalkan seketika. Nanti, aku akan dikutip semula’. “Saya penat, itu yang berdiri aje kat sini”.

Dia bercekak pinggang di hadapannya. “Kau penat pun, kau tak boleh bagi dia orang tinggalkan kau! Dah malam ni, bahaya!”

Fia berkerut. Apa masalah lelaki ni? Tadi, intonasi suaranya lembut sedikit. Kini, sudah semakin tinggi. Lepas tu membebel pulak! “Awak ni, jangan membebel boleh tak! Sakit lah telinga dengar!”

“Aku tak membebel. Kau tu, anak dara orang! Merayau malam-malam ni tak elok. Kena culik siapa susah?”

Dah masuk bab culik pulak! “Jangan melalut boleh tak?”

“Daripada kau tunggu kat sini, lebih baik kita pergi makan. Sekurang-kurangnya aku boleh tengokkan kau”

Fia memuncung di hadapannya. Inilah tujuan sebenar. Nak makan sama-sama. Dasar lelaki! “Awak makanlah sendiri! Saya tak lapar!”

Ziyad mengetap bibir. “Kau nak tunggu sampai pukul berapa? Dah dekat lima minit kita kat sini, tak ada sorang makhluk pun mengaku dia sedara kau!”

“Kejap lagilah tu…Awak pergilah makan!” Fia cuba menghalau lelaki itu. Bimbang kalau-kalau Haziq nampak mereka berdua, lain pula yang difikirnya nanti.

“Okey… Tak apa, kau jual mahal sangat kan? Kena culik nanti, kau tanggung sendiri!” Jelas kedengaran intonasi suaranya yang berang. Wajah Ziyad juga tegang.

Para pengunjung di Alamanda pun tertoleh pandang ke arah mereka. Malu Fia ketika itu. Hari ini, pelbagai cabaran emosi yang terpaksa ditempuh. Apalah hikmah di sebaliknya ini?

Fia lihat Ziyad berlalu ke arah yang bertentangan dengannya. Ingin sahaja Fia memohon kemaafan kerana sudah menolak permintaan Ziyad. Tetapi, akal melarang keras. Biarlah dia!

Fia pula meneruskan langkahnya ke arah food court. Rasanya, Ziyad tak kan ke food court. Kalau ada pun, dia menyoroklah nanti. Lagipun, tujuan ke sana bukan untuk makan. Dia cuma perlu mengambil tempat dan menunggu Haziq.

Dia mengambil tempat yang tersorok sedikit daripada pandangan orang ramai. Lebih dari itu, Fia takut jika Ziyad muncul lagi. Hendak ke tempat lain, bimbang Haziq terpaksa mencarinya. Nanti, Fia dikatakan menyusahkannya pula.

Fia menongkat dagu di situ. Fikiran ini sarat dengan kata-kata penghinaan Haziq walaupun sudah dicuba menyedapkan hatinya yang dia tidak mengenali Fia lagi. Itu pandangan pertama Haziq tentang dirinya.

Menjadi seorang bakerist adalah minat Fia. Haziq sebagai seorang yang berpelajaran seharusnya melihat bidang ini sebagai bidang yang menjadi permintaan, bukan mencemuhkan walaupun Fia cuma seorang tukang buat roti.

Perancangannya, setelah Fia berjaya menimba pengalaman, dia akan membuka bakerinya sendiri. Haziq, lelaki itu tidak tahu apa-apa, jadi, dia menyuarakan ketidakpuasan hatinya kepada Along. Fia cuba bersangka baik terhadap lelaki itu. Meskipun hati ini  kecil hati terhadapnya.



Razif mengangkat tangan memanggil Ziyad yang seakan tercari-cari lokasi dia dan Hisham duduk. Pantas Ziyad mendapatkan kedua mereka. Pelayan yang datang menyapa dia untuk mengambil pesanan.

“I’m good, thanks”.

Hisham mencuit Razif. Kenapa pula dengan Ziyad. Wajahnya seakan resah.

“Kau kenapa? Tak minum?” soal Razif. Ziyad yang santai dengan jeans dan t-shirt Polo putih itu direnung lama. Hisham pula leka menyedut jus dari gelas.

“Fia…”

Dahi Razif dan Hisham menggeleng. Sampai berkerut wajah kacak Ziyad hanya disebabkan Fia. Sudahlah kecoh tempoh hari tentang hal tersebut. Berjumpa sahaja dengan Ziyad, hanya isu Fia yang dibangkitkan.

“Kenapa pula dia kali ni?” Razif menjangka Ziyad akan menceritakan pula mimpinya bertemu Fia.

“Aku jumpa Fia!”

“Kan dah agak!” sampuk Razif. Hisham sudah tersengih. Dia dan Razif seakan berkongsi pemikiran yang sama.

“Apa?”

“Kau jumpa Fia dalam mimpi!” tingkah Hisham pula disambut tawa Razif. Kan betul mereka sama.

Ziyad menjeling sahabat—sahabatnya. Mereka sedang mempersendakannya. “Aku jumpa Fia kat sini!” cerita Ziyad bersungguh.

Hisham dan Razif memandang antara satu sama lain. “Betul ni? Kau tak mimpi? Bukan dia sepatutnya kat Melaka?”

Ziyad mendengus. “Mimpi apanya?”

“Kenapa kau tak ajak dia datang sini? Boleh hang out sama-sama!” kata Hisham. Teruja dia andai dapat berjumpa dengan kawan satu sekolah dahulu. Sebagaimana Ziyad, dia dan Razif juga mengenali Fia. Sering juga mereka belajar bersama. Hanya kerana Fia teman istimewa Ziyad.

“Gila kau! Mana boleh percaya serigala-serigala depan aku ni,” tingkah Ziyad. Cadangan Hisham dipandang sepi.

Kata-kata Ziyad yang pedas disambut tawa oleh kedua-dua sahabatnya. “Wah melebih lah tu. Kita dipanggilnya serigala! Habis tu, kau ajelah yang boleh dipercayai?”

Ziyad tersengih. Dia mencapai cawan kopi milik Hisham yang berada paling dekat dengannya lalu menyisip kopi tersebut. “Aku rasa dia macam bermasalah. Risau aku”.

“Dia sendiri ke?”

“Nampaknya macam tu lah. Konon ada sedara tadi. Entah mana perginya tinggalkan Fia aku sorang-sorang”, bebel Ziyad.

Kata Ziyad mengundang senyum sahabatnya. Fia dia? Sejak bila entah.

“Dah tu, kau nak join tak ni?” Selepas ini mereka perlu bergerak ke Serdang bersama untuk ke rumah Ridhwan pula. Mereka mahu menonton perlawan bola sepak bersama di rumah Ridhwan. Cara Ziyad macam tidak sahaja.

Ziyad berfikir seketika. Cermin mata berbingkai tebal ditanggalkan. Seakan berat keputusan ingin dibuat. “Aku join. Tapi, lambat sikit. Nak pergi tengok dia”.

“Tengok aje. Jangan buat apa-apa,” sampuk Hisham. Dia tertawa. Ziyad bangkit dari duduknya setelah itu. Dia tersengih. Faham maksud bicara Hisham. Tak kanlah dia berniat jahat terhadap Fia. Gadis itu sudah cukup kasihan apabila bersendirian di ruang legar Alamanda ini.

Cermin mata dikenakan semula. Malam-malam begini penglihatanya agak terhad. Hisham dan Razif menjadi pemerhati.

“Ad, jaga kakak ipar aku tu. Kalau perlu hantar dia balik, kau hantarlah,” pesan Razif.

“Kau tak cakap pun aku taulah apa yang patut aku buat!” Ziyad menepuk bahu kedua sahabatnya meminta izin untuk beredar. Razif memandang Ziyad hingga hilang dari pandangannya.

“Bersungguh betul Ad tu”.

Hisham mengiakan. “Aku harap adalah jodoh dia orang tu. Risau aku kalau Ad tak dapat terima kenyataan”.

“Betul juga tu”.

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh TASHA SAIN