Home Novel Cinta HERO UNTUKNYA
HERO UNTUKNYA
TASHA SAIN
10/4/2015 00:36:28
20,612
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 10

Ziyad muncul dengan memandu Mitsibishi Evo milik Naufal. Dia berhenti betul-betul di hadapan pondok bas tersebut. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada dia yang sudi membantu ketika ini. Fia masuk ke dalam kereta. Beg kecil Fia letakkan di bahagian belakang terlebih dahulu. Sempat dia membaca bismillah. Moga-moga Allah selamatkan perjalanan mereka.

“Nak aku pakaikan ke?”

Fia memandang Ziyad yang sedang tersengih. “Pakai apa?”

‘Oh!’ ujarnya di dalam hati ketika melihat tali pinggang keledar terlilit pada dada Ziyad. Bola matanya sempat memandang baju Melayu berwarna ungu siap bersampin yang sedang dikenakan lelaki itu. Fia mengikut arahan.

Ziyad menoleh ke tempat duduk belakang untuk mencari sesuatu. Fia perhatikan sahaja gerak gerinya.

“Selimut. Air-cond ni sejuk.” Ziyad meletakkan jaket hitamnya di atas peha Fia. Tangan Fia mengelak. Sudahnya, dia biarkan sahaja jaket itu di atas peha. Wangi. Haruman yang biasa dikenakan Ziyad.

Setelah itu, Ziyad menekan pedal minyak dan meneruskan perjalanan.

“Ada kenduri?” Fia cuba menduga melihat pakaian yang dikenakan Ziyad. Biasanya, hari minggu ini memang banyak kenduri yang dijalankan.

Ziyad mengangguk. “Kalau sempat”.

“Kenapa kalau?”

“Nak hantar kau balik Melaka”.

Terkejut beruk Fia mendengar kata Ziyad. Rasanya Ziyad salah faham terhadap niat Fia. Dia tidak mahu menggunakan Ziyad untuk kepentingannya.

“Tak…Tak…Saya tak minta hantar sampai Melaka. Awak hantar sampai TBS pun jadilah!”

Dia mendengus. “Lebih baik naik Ducati aku je tadi”

“Tapi, Ziyad…”

“Aku tak mintak kau yang pandu. Kau rehat je. Tidur. Mata kau lebam. Dah sampai Melaka aku kejut.”

Patutkah menolak niat baik Ziyad? Rasanya tidak. Dia yang rela hati nak hantar Fia pulang ke Melaka. Lagipun, untungnya pada dia juga.

‘Moga Allah memudahkan juga urusan Ziyad sebagaimana dia memudahkan urusanku hari ini’.

Fia memandang ke luar tingkap. Teringat dia kepada Haziq. Mungkin, itu kali terakhir mereka berbicara serius dengan. Fikirnya, dia perlu memutuskan pertunangan ini secepatnya. Fia tidak mahu umi, Abah dan mak ngah terus mengharap sesuatu yang tidak mungkin menjadi kenyataan.

“Kenapa tak tidur?” soal Ziyad kepada Fia ketika mereka sudah keluar dari tol Sungai Besi. Fia terkejut dengan soalan lelaki itu setelah hampir beberapa minit mereka membisu seribu bahasa.

“Tak rasa nak tidur…”

“Kenapa? Ada masalah?”

Fia memandang Ziyad dari sisi. Cara Ziyad membaca fikirannya seakan dia benar-benar tahu apa yang bermain dalam fikiran ini. Fia menghembus nafas perlahan.

“Nampak macam ada masalah ke?”

Dia mengangguk. “Semalam. Hari ni. Tak berubah air muka kau.”

Fia tersenyum. Ziyad tidak perlu tahu apa yang bermain di fikirannya. Fia merenung jari manis yang berinai. Ada bekas daripada cincin tunang tersebut. Dia cuba menghilangkannya.

“Dari semalam sebenarnya aku nak tegur pasal inai kau tu. Nampak macam orang baru lepas nikah”.

Fia tertawa sambil menutup mulut. Geli hati dengan bicara Ziyad. Tak kan mungkin dia bernikah. Lebih-lebih lagi calonnya Haziq.

“Tak mungkin kan. Baru lepas menikah dah boleh merayau kat Alamanda sorang-sorang,” Ziyad tergelak kecil dengan bicaranya sendiri.

Berbicara tentang inai, Fia teringat akan wajah lembut umi. Bagaimana dia ingin berterus terang dengan wanita baik seperti umi?

“Tak adalah. Sedara saya yang lumur inai ni atas jari-jari. Nak buat satu tangan macam pelik pula. Jadi, buatlah dua tangan.”

Dia tersenyum nipis. “Eloklah tu. Lelaki lain tengok nanti, dia orang tahu yang kau dah berpunya nanti.”

Mungkin betul juga kata-kata Ziyad. Persepsi orang awam melihat anak dara sudah berinai bermaksud mereka sudah berpunya. Mungkin ini cara mengelak dari yang berani mengganggu.

Tidak mahu membicarakan soal ini lagi, Fia bertindak mengubah topik perbualan. “Kawan-kawan awak mesti semua dah ada kerja yang hebat kan?”.

Teringat wajah-wajah rakan karib Ziyad walaupun mereka tidaklah rapat. Yang pasti, setiap dari mereka memiliki personaliti mereka sendiri. Pastinya setiap seorang dari mereka yang akan berjaya dalam kehidupan mereka.

“Emm..boleh tahan. Semua dah berjaya capai kerjaya impian”.

“Awak pulak?”

Sejujurnya, Fia tidak tahu apa-apa tentang Ziyad. Di mana dia belajar, bekerja, berumah sebelum ini. Mereka tidak sempat berkongsi tentang itu kerana kehadirannya di teratak mak ngah tempoh hari juga hanya bertujuan meluahkan rasa hati kepada Fia.

“Aku? Biasa-biasa aje.”

Dia mungkin tidak mahu berkongsikan kerjayanya kepada Fia. Tak mengapalah. Apa yang Fia pasti, kerja yang dilakukan halal kerana Ziyad yang Fia kenali tetap menitik beratkan agama dalam kehidupan sosialnya.

“Kau?”

Ziyad tidak mahu berkongsikan kerjayanya kepada Fia, dia rasakan yang dia juga akan berahsia dengan lelaki itu. “Biasa-biasa jugak!”

“Teman aku pergi makan!” ajak Ziyad ketika mereka baru keluar dari hospital.



Alhamdulillah, atas bantuannya, Fia sampai ke Melaka pada waktu tengah hari. Sempat mereka bertemu Kak Jasmin. Kata Kak Jasmin , Abang Man sudah melepasi tahap kritikal. Insya Allah, dia akan dipindahkan ke wad biasa nanti. Fia mensyukuri nikmat Nya. Sesungguhnya Allah Maha mendengar doa hamba-hambaNya.

Mereka beriringan melangkah keluar dari hospital tersebut. Fia perasan, dari tadi ada sahaja orang yang tertoleh pandang ke arah mereka. Mungkin Fia sahaja yang sedar tentang itu. Ziyad tidak. Kerana dia seakan tidak kisah menjadi perhatian dengan pakaian Satin berwarna ungu yang sedang dikenakannya.

Fia menghentikan langkah lalu memandang belakang badan Ziyad. Sejujurnya, dia benar-benar menghargai perhatian Ziyad terhadapnya. Ziyad terus berjalan sebelum perasan yang Fia tidak berjalan sama langkah dengannya.

“Berangan!” tegur Ziyad yang terus mematikan lamunan Fia. Gadis itu tersengih sendiri lalu menghampiri Ziyad.

“Awak nak makan apa?”

Mereka melangkah bersama lagi. “Since aku dah pakai baju macam orang nak pergi kenduri, aku nak makan nasi briyani!”

Bersungguh-sungguh dia menyampaikan hasrat. Ikutkan hati, Fia ingin lekas pulang. Tubuh terasa penat kerana tidak cukup tidur semalam. Tetapi, memikirkan Ziyad, Fia tidak betah membiarkan Ziyad sendiri. Lelaki itu sudah berjasa banyak dengannya dalam tempoh dua hari ini. Jadi, tak salah untuk Fia membalas budi dengan menemani Ziyad makan.

“Awak belanja!”

‘Bukan murah hoi…nasi briyani sepinggan! Pulusku sudah semput!’

“Kau temankan aje aku makan. Tak payah makan sekali!” usik Ziyad. Fia mencebir bibir.

Dia membukakan pintu kereta buat Fia untuk memujuk. Tersipu gadis itu dengan layanannya.


Fia keluar dari tempat solat bahagian wanita. Mereka bersolat jemaah di masjid bersama para jemaah yang lain memandangkan sudah masuk waktu Zohor sebelum pergi makan tengah hari. Dari dinding kaca itu, Fia lihat Ziyad ralit membaca sesuatu.

Fia menapak menghampiri lelaki itu dan berdiri berhampiran dengannya. Dari situ, Fia kecilkan mata untuk turut membaca apa yang tertera di situ.

“Kursus kahwin?” soalnya tatkala melihat tulisan itu lebih besar dari yang lain. Dia beralih sedikit ke tepi. Fia tidak menduga itu yang menarik perhatian Ziyad.

“Kau dah pergi?”soalnya tanpa sedikit pun beralih wajah daripada terus membaca.

Fia menggeleng pantas. Sensitif betul dia jika bercerita soal perkahwinan ini lebih-lebih lagi setelah apa yang terjadi tadi. Ziyad tersenyum lebar tatkala melihat reaksinya.

“Awak kenapa?” Fia alihkan kepala memandang meminta penjelasan atas senyum yang lebar itu.

“Kita pergi sama-sama!” Ziyad mengajak dengan nada yang keterujaan.

Membulat mata ini memandangnya. “Tak nak!”

“Kau ni, jual mahal pulak!”

Malas melayan, Fia pantas ke bahagian luar masjid dan terus menyarung sandal. Ziyad masih terkekeh ketawa di situ tidak mempedulikan jemaah lain yang memandang. Malu Fia mengaku teman!

Beberapa minit kemudian, dia segera menghampiriku yang sudah terpacak di tepi Mitsubishi Evo ini. Persis model peraga kereta.

Sorrylambat!”

Siapalah Fia ingin pertikaikan tentang itu. Dia cuma penumpang! Lalu, Fia biarkan sahaja Ziyad dengan kemaafan yang tidak putus-putus.

“Kau marah ke? Alah, mintak maaf lah. Sorry!

“Aku belanja kau makan sedap-sedap! Kau nak makan apa?”sambungnya lagi.

“Hai..buruk betul orang tua merajuk. Kalau baby lagi, bolehlah pujuk!”

Fia tersenyum namun, cepat menyembunyikan senyuman daripada Ziyad.

Mereka menjamu selera di restoran yang hampir dengan masjid tadi. Tidak sampai beberapa minit sahaja, Ziyad sudah memandu masuk ke tempat parkir sebuah restoran. Besar juga restoran ini.

“Kau jangan keluar dulu!” pesannya lalu mematikan enjin dan mencapai songkok yang berada di atas dashboard kereta lalu terus keluar dari kereta ini. Pelik Fia.

‘Nak tinggalkan aku seorang ke? Kalau ya pun, bukalah air-cond. Boleh mati lemas aku dalam ni!’

Sangkaan Fia meleset apabila Ziyad membukakan pintu kereta tersebut untuknya. Fia mendongak memandang lelaki itu.

“Awak buat apa ni?”

“Tanya lagi! Keluarlah cepat!”

Fia mendengus. ‘Apa salahnya kalau cakap lembut-lembut. ‘Jemput keluar’. Baru gentleman!’

“Tahulah! Orang nak keluarlah ni!”

Ziyad menutup pintu kereta tersebut lalu meletakkan songkok di atas kepalanya. Fia tertawa kecil dengan penampilan Ziyad. Dia turut merapikan sampin yang dikenakannya. Memang persis orang yang ingin pergi ke kenduri kahwin. Pasti akan ada mata-mata yang memerhatikan mereka nanti.

Fia berjalan mendahului Ziyad.

Sedar dirinya seakan tertinggal di belakang, Ziyad menjerit. “Tunggulah sekejap!”

“Saya masuk dulu, awak masuk lambat sikit ya!” pesan Fia lalu melajukan langkahnya ke dalam restoran tersebut. Sejujurnya dia malu apabila turut menjadi perhatian nanti.


Betul telahannya apabila ada yang tertoleh pandang ke arah mereka dan tersenyum-senyum. Fia yang duduk di hadapan menunduk sahaja.

“Kau kenapa macam kura-kura?” Ziyad pelik dengan tindakan yang kadang kala ingin menyembunyikan wajahnya di sebalik bekas bunga yang sedikit tinggi.

Ziyad berpusing ke belakang. Melihat sekejap lalu memandang Fia semula. “Handsome sangat ke aku?”

Muntah hijau Fia mendengar pujian Ziyad terhadap diri sendiri. “Jangan nak perasan! Saya cuma malu. Orang pandang kita pelik.”

“Lah…Biarlah dia orang nak pandang. Kau bukannya boleh tutup mata orang tu!”

“Mana ada orang pakai baju Melayu tengah-tengah hari buta ni!”

“Apa salahnya? Baju Melayu kan dibuat untuk dipakai!”

Ah…Sudahlah! Malas Fia nak melayan. Buat sakit hati sahaja! Biarlah apapun kata orang! Sekurang-kurangnya mereka tidak mendengar kutukan atau penghinaan tersebut.

Sepinggan nasi briyani bersama nasi goreng kampung ditatang oleh pelayan di atas dulang. Mereka senyap memerhatikan pelayan menyusun hidangan itu di atas meja. Kemudian, datang seorang pelayan lagi meletakkan minuman di atas meja. Ziyad memesan ABC manakala, Fia cuma the lemon ais.

“Sedapnya!”

Baru tengok sudah tahu sedap. Pasti dia lapar benar. Ziyad lantas bangun seketika untuk ke sinki bagi membasuh tangannya.

Mereka menadah tangan bersama-sama. Ziyad mengetuai bacaan doa makan. Siap bermaksud lagi. Fia sedikit kagum. Melihatnya, Fia yakin dia lebih matang berbanding dahulu. “Jemput makan!”

Melihat Ziyad yang bersungguh-sungguh memasukkan makanan tersebut ke dalam mulut dan mengunyah membuatkan Fia menahan tawa. Memang macam makan di kenduri!

“Jangan ketawa masa makan. Tersedak nanti…”, nasihat Ziyad apabila melihat Fia asyik menahan tawa.

Deringan smart phone milik Ziyad membuatkan mulutnya berdecit geram. Dia tahu mama yang menanti panggilannya berangkat. Bukan tidak mahu bercakap dengan mama. Pasti mama mahu bertanyakan di mana dia sekarang.

Punat hijau ditekan ketika lampu merah. Ada 99 saat sebelum Mitsubishi Evo itu boleh bergerak. Kereta itu akan dipandu menghala ke Ayer Keroh.

Sebaik sahaja panggilan dijawab, mama pantas bertanya.

“Ad kat mana ni? Mama call banyak kali tak angkat!” bebel mama.

Ziyad mengeluh. “I’m on my way, ma. Doakan Ad selamat sampai”.

“Dah pukul empat petang dah ni. Sibuk sangat ke?” mama menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap anak teruna yang seorang itu.

“I promise. I’ll be there”. Ziyad sudah menurunkan brek tangan. Punat merah ditekan. Tak sempat hendak bercerita panjang. Mama tak akan faham situasinya. Tetapi, janji perlu ditepati walaupun tubuh sudah keletihan.

Fia melangkah masuk ke dalam teratak mak ngah dengan senyuman. Rindunyaa Fia dengan wanita itu. Tangan dihulur untuk bersalaman dengan mak ngah.

“Fia dah balik!” sapanya riang. Kepulangan disambut dengan senyuman mak ngah.

“Alhamdulillah. Selamat dah!”

Fia mengangguk. “Mak ngah sihat kan? Batuk dah okey?”

“Mak ngah ni dah tua… Lepas satu penyakit, satu penyakit lain pulak yang datang”, ujarku perlahan.

Fia tersenyum. Padanya, mak ngah kelihatan sihat. Fia mensyukuri itu.

“Tu, tadi…bukan Haziq kan?” soal mak ngah. Rupanya, mak ngah melihat siapa yang menghantar dia pulang ke rumah ini tadi.

Fia tersengih cuba melindungi riak terkejut dengan soalan mak ngah. “Macam mana mak ngah tahu, orang yang sepatutnya hantar Fia Haziq?”

“Sarah call tadi. Dia kata Fia bertolak dari pukul 9.00 tadi. Sepatutnya dalam tengah hari dah sampai rumah”.

Fia menggosok lengan mak ngah mengajaknya ke ruang tamu memandangkan mereka berdiri di muka pintu. Ingin menceritakan perkara sebenar dengan masalah Abang Man lagi, Fia rasakan dia tidak mahu membebankan mak ngah lagi. Kasihan mak ngah nanti.

“Tadi Haziq dapat emergency call dari kawan dia. Dia dapat hantar sampai bus stop je. Lepas tu, Fia terserempak dengan kawan Fia tu. Dia ajak Fia tumpang dia”, ceritanya.

Fia tahu itu bukan versi yang penuh kerana versi yang penuh itu akan menimbulkan kegusaran di hati mak ngah nanti.

“Tak apalah. Fia dah selamat sampai. Mak ngah bersyukur dah!”

Fia kelegaan. Mak ngah percaya akan ceritanya.

“Tapi, tadi kalau tak silap, kawan Fia yang hari tu kan?”

Alamak! Mak ngah masih belum berpuas hati.

“Emm…Dialah yang datang hari tu. Sebenarnya mak ngah, ayah dia ada rumah kat Melaka ni!” . ‘Macam mana pula boleh masuk cerita tentang ayah Ziyad yang tak pernah ada dalam cerita Ziyad dan aku?’

“Jadi, tumpang dia balik sekalilah. Alang-alang kan, satu jalan”.

Mak ngah mengangguk lalu menyuruh Fia berehat di dalam kamar. Memang itulah yang Fia harapkan sementelah tubuh ini sudah benar-benar lesu. Kalaulah dia tertidur sekarang, Maghrib nanti baru bangun.

Fia halakan pandangannya ke arah jam dinding di dalam bilik. Lagi 1o minit sebelum masuk waktu Asar, lebih baik dia segarkan diri terlebih dahulu dan bersolat sebelum meletakkan kepala di atas bantal.



Haziq duduk di atas buaian memerhatikan bintang malam. Dia menggeliat sedikit melepaskan lelah. Penat menjadi tuan rumah. Sahabat handai Along adalah sahabatnya juga. Tidak menang tangan dibuatnya melayan mereka. Sudahlah dia terpaksa meronda satu Kuala Lumpur ini untuk menghabiskan masa 8 jam. Pulang sahaja, rakan-rakan mengajaknya berbual. Ah, penat!

Dari luar dia boleh mendengar keriuhan sanak saudaranya mengusik Kak Jun, orang baru dalam vila mereka. Keluhan berat dilepaskan.

Jujur hatinya cemburu kepada Along. Abangnya itu beruntung kerana boleh berkahwin dengan orang yang dicintai. Kata Along, itu jodoh masing-masing. Fia mungkin jodoh yang terbaik untuknya. Datang dalam hidupnya melalui cerita yang berbeza dengan Kak Jun.

Entahlah. Baran saat mendapat tahu tunangnya hanya seorang bakerist. Lain seperti yang diharapkan. Dia juga punyai standard yang dicari dalam pasangannya. Tidak pernah terlintas pun uang dia bakal mengahwini seorang bakerist.

Wajah tunduk Nur Safiyyah saat menerima jerkahannya di Alamanda tempoh hari menerbitkan kekesalan. Sepatutnya dia lebih berhati-hati dalam menuturkan rasa. Mungkin Fia boleh dibawa berbincang dengan cara yang lebih hormat. Bukan seperti kelmarin.

“Awak baik… Tolong jangan hina saya macam ni…,” lirih suara Fia mengetuk sanubarinya. Bagaimana gadis itu masih mengatakan dia seorang yang baik sedangkan hati kecil gadis itu sudah disakiti tanpa belas.

Tanpa sedar, terselit rasa kagum terhadap gadis itu. Boleh bersabar dengan sikapnya yang menjengkelkan. Menahan rasa apabila ditinggalkan. Akibat rasa serba salah meninggalkan Fia di situ, kereta dipandu melalui jalan itu semula. Namun Fia sudah tiada. Hati berdoa moga-moga Fia selamat sampai ke rumah. Dia tidak mahu bertanggungjawab dengan apa-apa yang berlaku nanti. Jawapan apa yang perlu diberikan kepada umi apabila berlaku sesuatu?

Umi menapak ke arahnya sambil membawa segelas jus oren. Huluran umi disambut dengan senyuman lalu mempersilakan ibu itu duduk di sebelahnya. Baru hari ini mereka dapat duduk bersama seperti ini memandangkan masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing.

“Angah nampak penat. Minta maaf umi terpaksa susahkan angah hantar Fia balik” tegur umi ketika wajah Haziq dibelek.

Tersentak Haziq dengan teguran umi. Fia tidak memberitahu apa-apa kepada umi soal itu. Masih ingin menjaga hatinya walaupun telah disakiti dari semalam.

Haziq meneguk jus oren yang diberikan umi bagi menyembunyikan rasa gugup. Macam ni rasanya orang yang buat salah. Tak tenang.

“Macam mana Fia? Umi tak buat pilihan yang salah kan?”

Janganlah umi bertanya lagi. Dia sendiri tidak tahu apa jawapan yang perlu diberikan. Haziq hanya mengukir senyum nipis.

‘Minta maaf umi. Rasanya dia bukan yang terbaik’.

“Gembira umi anak umi akan membina rumah tangga sendiri. Memang impian ibu bapa nak lihat anaknya bina keluarga bahagia”, bicara umi. Hanya Allah sahaja tahu betapa gembira hati tuanya saat Along melafazkan akad. Saat mengucup Jun tanda dia menerima kehadiran gadis itu dalam keluarganya.

Haziq merenung wajah umi. Mata umi ditatap penuh kasih. Seakan ada perkara yang ingin dibicarakan dengan umi.

‘Umi yakin ke Angah bahagia dengan gadis yang Angah tak cinta?’

Now tell me…Apa yang Angah suka tentang Fia?”

Berkerut dahi Haziq mendengar soalan cepumas yang ditanyakan umi. Wajah gadis itu berlegar dalam kotak fikirannya. Siapa Fia? Dia tiba-tiba menjadi blurr.

Haziq menelan liur apabila umi merenungnya mengharapkan jawapan. Ah, cakap sahajalah! Kening umi sudah terjongket menanti jawapan.

“Dia…Dia comel”. Haziq menelan liur dengan kata-katanya sendiri. Rasanya umi tak akan menerima jawapan klise itu.

“Itu je?” Ternganga umi dibuatnya. “Lagi?”

Kelam kabut Haziq menyusun kata memandangkan hanya perkataan bakerist ada dalam fikiran. Yang lain tidak.

“Kak Sarah, ada tetamu ni!” panggil seseorang.

‘Fuh… Aku diselamatkan’.

“Sekejap!” sahut umi. Wajah anak terunanya direnung. “Angah brainstorm dulu. Nanti umi tanya balik”. Umi tersenyum setelah itu.

Haziq tersengih. Dia seakan diberi homework untuk mengenali Nur Safiyyah. Jus oren diteguk lagi. Wajah Fia terbayang di mata. ‘Apa perkataan yang sesuai menggambarkan Fia, agaknya?’

Previous: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh TASHA SAIN