Home Novel Cinta HERO UNTUKNYA
HERO UNTUKNYA
TASHA SAIN
10/4/2015 00:36:28
20,611
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 6

6

Fia mengenakan baju kurung berwarna putih dengan corak bunga yang berwarna oren. Sengaja Fia membawa baju kurung itu bersama, supaya dapat mengenakan baju yang sedondon dengan rombongan pengantin lelaki. Hari ini, dengan izin Allah, Along akan melafazkan akad yang akan menghalalkan pergaulannya dengan Kak Jun. Sempat Fia berdoa moga-moga dilancarkan segalanya.

Jari-jemari yang sudah berrwarna merah pekat ini Fia tenung lama. Rasanya, ingin sahaja Fia menyembunyikannya agar tidak dilihat orang. Salah faham mereka nanti. Ah, biarkan sahaja.

Setelah siap merapikan tudung yang terlekat di atas kepala, Fia melangkah keluar dari kamar Haziq. Along yang berada di bilik sebelah turut keluar dari biliknya.

Fia tersenyum melihatnya. Dia membalas senyuman Fia. Padanya, Along kelihatan sungguh kacak dengan baju Melayu cekak musang yang berwarna putih gading dengan sampin hitam bersulam putih.

Handsome tak?” soalnya merapikan sampin yang terlilit di pinggang.

Fia mengangkat ibu jari mengiakan soalannya. “Naiklah serinya”. Tidak mahu memuji lebih-lebih, kembang Along nanti. Tetapi Fia pasti, Kak Jun yang melihat Along akan berbangga kerana menjadi pasangannya.

Fia berjalan menghampirinya sedikit. “Nervous tak?” Ujarnya sekadar ingin menduga hati Along. Siapa sahaja pun, akan berdebar memandangkan ini kali pertama. Lainlah mereka yang sudah ada pengalaman melafazkan akad nikah.

“Mahu tak nervousnya. Ni, jantung Along dah dub dab…dub dab…Macam kereta api!” cerita Along bersungguh-sungguh. Wajahnya sedikit pucat.

“Insya Allah, Allah permudahkan”, doa Fia buat Along.

“Amin! Semalaman Along tak tidur. Tidur-tidur kucing aje!”

Fia menggeleng. Sempat lagi Along ni `merosakkan peribahasa. Mujur sahaja tiada lebam yang kelihatan bawah matanya.

Along merapikan rambutnya yang tersisir kemas sebelum meletakkan songkok di atas kepala. Dia menarik nafas sebelum menghembusnya.

“Along, rileks. Tarik nafas dalam-dalam. Hembus dengan tenang,” nasihat Fia.

Along mengikuti saranan Fia. “Fia dengar eh, Along berlatih akad”.

Fia tertawa mendengar permintaan Along. Gabra betul Along ni.

“Aku terima nikah Nur Juni Aida Bt….” Along terdiam.

Fia pula berkerut. Kenapa pula ni?

“Binti… binti apa?” soal Along kepada Fia yang berkerut memandangnya. Dia menggaru kepala setelah itu.

Fia menepuk dahi. Inilah padahnya kalau gabra sangat. Nama ayah mentua yang agak simple namanya Along boleh terlupa! Ah, sudah.

“Ali!” Fia membantu Along untuk mengingati semula.

“Ha…Ali! Aku terima nikah Nur Juni Aida bt Ali…Eh, betulkah Ali, bukan Abu?” soal Along kepada Fia lagi. Wajahnya berkerut. Keliru. Rasanya macam Abu.

Sekali lagi, Fia menepuk dahi. Menggeleng dia memandang Along. “Apa ni Along! Alilah Along! Tanyalah Ummi kalau tak percaya”.

Sepatutnya, Along sudah menghafal nama bapa mertuanya itu memandangkan mereka sudah berkenalan sejak dari zaman universiti lagi. Mungkin kerana Along terlalu gemuruh. Malas ingin melayan, Fia melangkah ke arah tangga. Makin dilayan menjadi pula keliru Along itu.

Along mengekori langkah Fia Cepat sahaja langkahnya ingin bertemu Umi supaya Umi boleh mengadili mereka.

“Fia! Tolonglah Along ni. Betulkah Ali? Bukan Abu?”

“Orang kata Ali…Alilah!”


Fia, Ummi dan Abah berjalan beriringan keluar dari pintu rumah. Saudara mara yang lain sudah menunggu di kereta masing-masing. Memandangkan abah tuan rumah kepada vila ini, maka abah bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan vilanya sewaktu ketiadaannya. Jiran-jiran sekeliling sudah dimaklumkan tentang ketiadaan mereka. Fia dan Umi menanti abah untuk mengeluarkan kereta dari garaj sebelum sebuah teksi berhenti betul-betul di hadapan pintu pagar rumah.

“Siapa tu Ummi, sedara ke?” soal Fia apabila teksi tersebut masih belum bergerak dari situ. Ummi menggeleng tidak tahu.

Along dan sepupunya keluar dari Harrier milik Along untuk melihat tetamu yang datang. Mereka bersoal antara satu sama lain.

Beberapa saat kemudian, keluar seorang lelaki berkaca mata hitam dengan jaket hitam dan berseluar jeans. Fia memandang Umi. Umi seolah kaku di situ. Bola mata Fia menangkap Along berlari mendapatkan lelaki itu. Dalam fikirannya cuma… aziq?

“Umi…Haziq kan tu?” soalnya kepada Umi. Fia lihat, mata Umi sudah berair. Umi mengesat air matanya dengan hujung lengan baju kurungnya. Betullah tu.

Umi mengangguk. Kepulangan lelaki itu cukup membuatkan Umi hilang kata. Fia pula hanya berdiri di situ. Tidak percaya yang pada hari ini, dia akan bertemu dengannya. Bukankah dia tidak boleh pulang sempena hari perkahwinan Along ini? Bagaimana pula boleh muncul tiba-tiba?

Setelah Haziq bercakap-cakap dengan Along yang dia sendiri tidak mendengar butir bicaranya, Haziq memandang ke arah Fia dan Umi. Pasti Haziq sendiri yang akan menapak ke arah mereka. Membayangkan itu, Fia kalut sendiri. Patutkah dia pergi? Tetapi, nak ke mana?

Perlahan-lahan Fia lihat Umi menapak ke hadapan. Seakan dihipnosis langkah yang diatur Umi itu. Haziq bertindak untuk berlari mendapatkan Ummi. Sekelip mata, dia lihat Haziq telah memeluk Uminya itu. Along dan sanak saudara yang lain menjadi pemerhati. Melihat mereka, Fia yakin sudah lama Haziq tidak pulang ke vila ini. Hidup merantau memang memerlukan pengorbanan.

Wajah Haziq diusap oleh Ummi. Sayang benar Umi akan puteranya itu. Fia cuma mampu tersenyum walaupun hati ini sedikit resah. Kepulangannya yang mengejut cukup membuatkan Fia gabra. Fia tidak bersedia mendepani dirinya.

Kereta abah sudah menanti di hadapan pintu pagar rumah. Abah keluar dari Mercedesnya lalu mendapatkan Umi dan Haziq. Haziq pantas menyalami dan mengucup tangan ayahnya itu. Fia perasan riak wajah abah terlalu gembira dengan kepulangan putera keduanya itu.

Entah apa yang dibicarakan oleh mereka, Haziq memandangnya seketika kemudian memandang Umi semula. Beberapa saat kemudian, Fia lihat Haziq mengatur langkah ke arahnya. Kaku dia di situ. Tetapi, fikiran ini sudah kalut ingin melarikan diri dari situasi ini.

Belum sempat Haziq benar-benar mendepani dirinya, seoles senyuman dihadiahkan buatnya. Subhanallah! Fia terpana. Jantung ini sudah berdegup kencang dengan debaran yang tidak pernah dirasai. Mungkin lebih hebat dari debaran yang sedang Along rasai.

Benarkah dia Haziq? Melihatnya dalam realiti, Fia pasti yang dia telah jatuh hati dengan dirinya. Fia jatuh hati dengan tunangnya sendiri! Kerana, mata ini masih tidak mahu lepas dari memandang langkahnya walaupun Fia tahu yang dia perlu menundukkan pandangannya.

“Boleh tunggu saya? Enam minit. Kita pergi sama-sama,” bisiknya. Lembut bicaranya hingga membuatkan lutut ini terasa lembik. Dia berjalan melepasinya. Serentak itu, harum Hugo Boss menusuk ke dalam hidung milik Fia.

Waktu itu, Fia rasakan yang hanya mereka berdua sahaja yang berada di situ. Masa seolah-olah berhenti. Fikirannya cuba mengingati bicaranya. ‘Apa yang dikatakannya kepada aku tadi?’

Ummi sudah berada di hadapannya sambil melambai-lambaikan tangannya ketika Fia mula sedar di mana dia berada ketika ini. Umi sudah tersenyum-senyum melihatnya. Dia mungkin tahu apa yang sedang bermain di fikirannya ini.

“Umi panggil dekat sepuluh kali”,ujarnya.

Fia hanya tersengih namun, dia dapat merasakan darahnya menyerbu ke wajah membuatkan wajah terasa panas.

“Minta maaf, Umi!”

Ummi menggosok lengan Fia. “Tak apalah. Umi pergi dulu. Fia tunggu Angah sekejap. Lagipun, dah lambat ni”.

Fia terkejut dengan permintaan Umi. Umi nak pergi tinggalkan dia dengan Haziq? Bermakna, mereka akan berdua dalam kereta yang dipandu Haziq? Membayangkan itu, Fia seram sendiri.

“Boleh tak, Fia?” soal Umi setelah menyedari Fia hanya mendiamkan diri.

“Tak apa ke Umi?” soalnya serba salah. Ummi mengukir segaris senyuman.

“Tak apa. Fia kenallah dengan Angah. Dia pun cuti dua minggu.”

Fia mengangguk perlahan walaupun dia sendiri tidak menyenangi cadangan Umi. Perkara yang tidak pernah ditanyakan sebelum ini, Fia terpaksa tanya. Sebelum ini, jika menaiki kereta bersama Along pun, pasti Along akan membawa Usu bersama.

Fia menghembus nafas berat. Mencari kalau-kalau dia boleh mencipta alasan lain untuk mengelakkan mereka berdua sahaja.

“Umi, Fia segan. Malu kalau berdua saja dengan Haziq. Lagipun, ni kali pertama kan.” Fia cuba meminta pengertian daripada Ummi.

Ummi berfikir seketika. Bola matanya mencari seseorang. “Fia tak kisah kalau minta Gina temankan?”

Wajah Fia bercahaya. “Tak kisah Ummi!” Alhamdulillah Umi faham. Sekurang-kurangnya mereka tidak berdua.

Fia mengikut langkah Ummi untuk mendapatkan Gina. Ayah dan ibunya telah dimaklumkan terlebih dahulu sebelum Gina berpindah tangan kepadanya. Mulanya Gina memberontak. Fia faham, Gina kurang suka dengannya. Namun, apabila nama Haziq dijaja Umi, kanak-kanak itu lantas menyuruhnya mendukungnya. Fia mengukir senyuman. Haziq memang memiliki auranya sendiri.

Gina berpeluk tubuh di tempat duduk belakang. Wajah putihnya bertukar merah. Semua ini gara-gara Fia. Ada perselisihan faham sedikit antara Fia dan Gina apabila Haziq menyuruh Fia untuk duduk di hadapan. Gina tidak berpuas hati, lantas meraung ingin duduk di bahagian hadapan. Fia ingin mengalah namun, Haziq pantas memujuk Gina. Termakan pujukan Haziq, Gina melangkah berat berpindah ke tempat duduk belakang.

Fia sudah mengambil tempat di sebelah pemandu sebelum Haziq membuka pintu keretanya.

“I’ve thought there will be two of us only,” ujarnya perlahan namun cukup jelas pada pendengarannya. Fia menelan liur. Serba salah pula Fia dibuatnya.

Dia memakai tali pinggang keledar selepas menghidupkan enjin. Songkok hitam diletakkan di atas dashboard.

Sejujurnya Fia tidak selesa walaupun ada Gina di belakang.

“ Safiyyah right?” soalnya kepada Fia tatkala kereta ini sudah bergerak keluar dari kawasan perumahan.

Fia tidak tahu sama ada perlu atau tidak bercakap dengan Bahasa Inggeris menjawab soalannya. Sudahnya dia mengangguk sahaja. Entah Haziq perasan atau tidak, Fia tidak tahu.

“Uncle, does she know English?”soal Gina kepada Haziq apabila mereka tidak mendengar sepatah jawapan dari bibir Fia mengiakan panggilan namanya

‘Budak ni! Aku babap juga nanti!’

“Gina, that’s not the right way to talk to people older than us,”nasihat Haziq kepada Gina apabila menyedari Gina sedang mengutuk Fia di hadapannya. Dalam hati ini, Fia berterima kasih kerana memenangkan walaupun di hadapan budak kecil itu.

“Say sorry to aunty”, ujar Haziq lagi.

Teringat pula Fia akan Along yang memenangkannya di hadapan kanak-kanak ini. Mereka mungkin berkongsi sifat yang sama.

“Tak apalah. Budak kecil. Tak tahu apa-apa lagi.” Fia cuba menyedapkan hati kedua mereka. Buatnya Gina naik hantu nanti, susah pula Haziq ingin memujuk.

Dari sisi, Fia lihat wajah Haziq mengukir senyuman nipis. Setelah itu, dia juga mendiamkan diri tidak mahu memanjangkan isu ini lagi.

“Sebenarnya, ada sesuatu yang perlu kita bincangkan nanti. Dah jadi macam ni, terpaksalah kita tangguh.”

Fia dapat mengesan ada kesal dalam bicaranya.

Dia ingin menghulurkan rasa maafnya kerana terpaksa mengajak Gina sekali. Namun, takut mengecilkan hati Haziq pula nanti.

Fia dan Haziq yang mendukung Gina melangkah masuk ke dalam vila Kak Jun. Penuhnya! Ujarnya hanya di dalam hati. Akad nikah masih belum berlangsung. Fia lihat Along sudah duduk di tempat yang dikhaskan untuknya. Dia memandang ke arah pintu masuk. Melambaikan tangannya ke arah kami. Mungkin ingin adiknya juga menjadi saksi pernikahannya.

Haziq meminta Fia songkoknya yang dipegang sejak keluar dari kereta. Kelam kabut Fia memberikannya kepada Haziq. Entah apa yang membuat dia kelam kabut apabila berhadapan dengan Haziq.

Gina masih lagi dalam dukungan ketika dia bergerak ke arah Along yang sedang dikerumuni tetamu yang lain. Sedar yang Fia masih berdiri di pintu masuk ruang tamu tersebut, dia lantas mencari tempat kosong.

Mujur ketika itu dia lihat Umi. Umi duduk betul-betul di sebelah pengantin perempuan. Ummi mengangkat tangannya memanggil Fia untuk duduk dekat dengannya. Fia menggeleng sebagai isyarat, tidak mengapa. Dari sini juga dia dapat melihat Kak Jun dengan jelas. Wajahnya berseri-seri. Cantiknya dia!

Dengan dua kali lafaz Along sah menjadi suami kepada Siti Juni Aida bt Ali. Mujur sahaja Along tidak buat hal. Menukar nama ayah mertuanya kepada Abu. Kalau tidak, haru jadinya.

Fia tumpang gembira atas kebahagiaan mereka. Fia perasan Kak Jun mengalirkan air mata tatkala mengaminkan doa yang dibaca walinya. Mungkin sahaja Fia juga akan turut mengalirkan air mata apabila tiba detik bersejarah ini.

Ketika doa dibaca, entah kenapa hatinya tergerak ingin memandang ke arah tempat yang diduduki Haziq tadi. Bola mata Fia menangkap yang Haziq juga sedang memandangnya. Kerana rasa malu yang menebal, Fia kalihkan pandangannya ke tapak tangan semula.

Along melakukan solat sunat dahulu sebelum acara membatalkan air sembahyang. Sementara itu, Kak Jun pula berpelukan dengan Umi dan ibu Kak Jun sendiri. Pada wajah Kak Jun tergambar rasa bahagia. Fia juga tumpang gembira.

Fia duduk dibawah khemah sendirian. Perutnya sudah memainkan lagu keroncong. Niat dihati, ingin sahaja Fia makan terlebih dahulu. Tetapi, memandangkan Fia bersama rombongan pihak lelaki, maka lebih beradab jika dia makan bersama mereka.

Fia merasakan ada getaran dari dalam kocek bajunya. Dia sudah dapat meneka gerangan yang menelefonnya ketika ini. Sambil tersenyum dia menjawab panggilan tersebut. Mereka bertukar salam.

“Alhamdulillah, dah selamat dah”, ujarnya ketika mak ngah bertanya kalau-kalau majlis akad sudah berlangsung. Fia dengar ucapan Alhamdulillah juga dari mak ngah di hujung talian.

“Fia tengah buat apa ni?” soal mak ngah.

“Fia tengah tunggu orang nak makan. Kat dalam tengah sesi fotografi”.

“Kenapa tak makan dulu?”

“Tak manislah mak ngah. Segan Fia nak makan sorang-sorang”

Mak ngah tertawa di hujung talian. Fia turut tertawa kecil dengan bicaranya sendiri. “Tunang kamu ada situ?” soal mak ngah kepadanya.

Fia menghela nafas berat. ikutkan hati, ingin sahaja diceritakan kepada mak ngah tentang perasaannya kala ini. Memandangkan ramai tetamu yang sedang lalu-lalang maka Fia membatalkan niatnya.

“Alhamdulillah ada. Dia balik sekejap. Katanya, dua minggu saja cuti”.

Mak ngah kedengaran teruja di sana. “Macam mana orangnya?”

Fia tersenyum. “Mak ngah ni…Malulah nak cerita”

Mak ngah tertawa di hujung talian. “Dah jatuh hatilah tu…Ceritalah kat mak ngah, dia macam mana,” pinta mak ngah.

Fia terdiam memikirkan patutkah dia membuat penilaian terhadap Haziq sementelah hanya beberapa patah kata sahaja. Tetapi, dia tidak sampai hati menghampakan hati mak ngah.

“Alhamdulillah, setakat ni semua positif. Orangnya tinggi, ada rupa. Boleh kata handsome lah untuk Fia yang tak berapa ni. Yang penting, dia baik macam yang selalu Umi cerita”. Panjang juga penerangannya tentang Haziq sedangkan Fia masih belum benar-benar mengenalinya.

“Dengan yang hari tu, mana handsome?”

Fia terdiam mendengar soalan mak ngah. “Yang hari tu? Yang mana?”

Mak ngah tertawa lagi. “Alah, sudah gaharu cendana pula!” Sempat pula mak ngah berpantun. Sengaja Fia buat-buat tidak tahu walaupun dia tahu siapa yang dimaksudkan mak ngah.

Fia meggeleng apabila mak ngah seolah-olah meminta Fiamembandingkan mereka berdua. “Mak ngah, dua-dua pun ada rupa”

“Semua orang ada rupa!” tegas mak ngah.

Tidak mahu membandingkan antara Ziyad dan Haziq, Fia cuba mengubah topik perbualan.

“Mak ngah jadi tak nak datang sini esok?”

“Insya Allah kalau tak ada apa-apa. Fia doakan ya”

“Selalu”.

Kemudian kami bertukar salam. Sempat mak ngah menitipkan salam buat Umi dan keluarga. Tak dilupakan juga kepada tunangnya, Haziq. Fia tersenyum nipis memandang telefon bimbit yang berada dalam pegangannya. Rasa rindu pula kepada mak ngah walaupun mereka sudah berbicara tadi. Hatinya tiba-tiba menjadi melankolik.

“Jom makan,” bisik seseorang yang dirasakan cukup hampir dengan pendengarannya pada saat fikiran ini menerawang mengingati mak ngah. Fia berpaling ke kanan. Wajah lelaki itu terlalu hampir hingga Fia boleh mendengar deru nafasnya. Dia bertindak menggerakkan kepalanya ke belakang agar kedudukan mereka tidak seperti tadi. Dadanya berombak kencang.

Jelas pada wajah ini dia seakan sedang mentertawakan Fia. Mungkin kerana reaksinya tadi.

“Makan?” soalnya perlahan. Memang perut ini sudah tidak mampu lagi menahan lapar, tetapi, bukan makan dengan lelaki ini. Fia tidak akan kenyang nanti. Lagipun, makan dengannya, Fia rasakan yang dia perlu memelihara adab dan sopan. Tidak boleh comot-comot.

“Emm…Makanlah dulu”, Fia cuba menolak permintaannya dengan baik. “Saya belum lapar lagi”, tambahnya.

“Nak makan kena tunggu lapar ke?”sinis bicaranya. Dia yang berdiri di sebelahnya menarik kerusi kosong lalu duduk di situ. Makin berbahang pula keadaan yang dirasakan ketika ini. Dalam hatinya meminta agar, cepatlah dirinya beredar.

“Tak. Tak sedap pulak makan sekarang. Ummi dan yang lain pun belum makan lagi”

“Then, you’ve to accompany me”.

“Huh?”

“Temankan saya. Kalau awak tak nak makan, justtemankan je”.

Serba salah pula Fia melihatnya. Daripada melihat dirinya makan, baik dia juga makan sekali. Menunggu Ummi dan yang lain entah pukul berapa.

“Tak apalah. Saya makan sekali”, ujarnya perlahan lalu mengukir seoles senyuman. Haziq tersenyum menang. Tak mengapalah. Dia juga yang untung nanti.

“Good girl! Tunggu sini, I’ll take those foods

Fia pantas berdiri ingin menghalang Haziq dari berbuat demikian. Dia pula sudah ke arah meja yang terhidang segala jenis juadah yang boleh dinikmati oleh tetamu yang hadir. Fia menghela nafas berat. Takutnya Fia dengan kebaikan Haziq. Setakat ini, semua yang dilihat dan didengar baik-baik sahaja.

Tidak mahu Haziq sahaja yang melakukan semuanya, Fia ke meja yang menghidangkan minuman. Air asam boi jambu batu itu benar-benar menarik perhatiannya. Untuk Haziq, Fia sengaja mencapai jus oren kerana tidak tahu seleranya. Kemudian, Fia kembali ke tempat duduk tadi.

Ada dua pinggan nasi minyak dengan kari daging, ayam masak merah dan juga acar timun. Sajian wajib pada hari perkahwinan masyarakat Melayu. Terliur Fia dibuatnya. Lalu, cawan jus oren itu Fia letakkan di pinggan yang lebih banyak nasinya. Fia yakin, ini miliknya.

Fia sudah melabuhkan punggung di atas kerusi sebelum Haziq kembali ke meja dengan menatang sepiring kek yang pelbagai. Besar betul seleranya. Tak mengapalah, lelaki. Tak perlu risau dengan tubuh badan jika terlebih makan.

Mereka membasuh tangan bersama-sama. Tatkala itu, Fia asyik berfikir mujurlah dia tidak terikut-ikut dengan budaya barat. Masih ingin menggunakan tangan ketika makan Kalau tidak, susah juga Fia nanti.

“Makan banyak-banyak!” ucapnya ketika ingin memasukkan nasi ke dalam mulut. Fia tersenyum melihat dia teruja dengan makanan yang terhidang di hadapannya.

“Doa” .

Terlepas nasi ke dalam pinggan semula. Haziq tersengih menyedari kekhilafannya.

“Terlupa.” Lalu, mereka menadah tangan bersama-sama dengan Haziq mengetuai bacaan doa. Subhanallah! Perasaan Fia indah tetapi begitu mendebarkan. Biarpun, dirinya tidak duduk di hadapan, berada di sebelahnya cukup membuatkan jantung ini tidak berhenti berdegup kencang.

Lama mereka tidak bercakap kerana masing-masing seakan menghayati setiap kunyahan. Fia juga tidak ada kata untuk memulakan perbualan.

“Sedap kan?” soalnya Haziq memandang Fia yang leka mengunyah.

Fia mengangguk. “Sedap sangat. Perut memang lapar tadi”

“Tadi kata tak lapar”.

Fia terperangkap dengan kata-katanya sendiri. Tetapi, dia tetap meneruskan nyanyahan. Fia dengar dia tertawa kecil.

Don’t get me wrong. Saja usik awak”.

“Nak sikit kek,” pinta Fia kepada Haziq apabila mereka telah selesai makan. Kek yang disediakan juga cukup menyelerakan.

“It’s yours,” ujarnya lalu menghulurkan pinggan kek yang dekat dengannya. Fia mencapai sepotong kek yang menarik perhatiannya, Blueberry cheese kek lalu menguyah perlahan. Sedapnya! Keju seakan cair di mulut. Sekeping lagi Fia capai walaupun dia perasan cuma ada dua keping bagi setiap jenis kek yang diambil Haziq.

Haziq tertawa kecil melihatnya. Tidak mempedulikan tawanya, Fia meneruskan kunyahan. Apa yang lawaknya?

“Kenapa ketawa?”

Dia masih lagi tertawa ketika Fia bertanya kepadanya. “Comel”.

Hampir tersedak Fia mendengar pujiannya. Itu satu pujian ataupun penghinaan? Comotkah dia?

“Sedap kek ni! Tak nak try?” Tidak mahu memanjangkan isu ‘comel’ lagi Fia menjemput Haziq untuk makan sekali.

“Makanlah. Saya tak berapa benda manis-manis ni”

‘Kalau tak makan kenapa ambil. Banyak ni! Siapa nak habiskan. Tak kan nak letak balik dalam tray tu?’ ujarnya di dalam hati. Dek kerana malu, Fia diamkan sahaja suara hati ini.

“Ya ke? Rasanya kalau saya bagi awak rasa kek yang saya buat, awak tak kan makanlah ya?”

Haziq menongkat kepala memandang ke arah tunangnya.

‘Janganlah tenung macam tu, malu!’ Fia melarikan pandangan.

“Emm…makan kot! Tunang saya buat untuk saya, takkan nak bagi orang lain. Anyway, awak reti buat kek?”

Fia mengangguk yakin. “Saya bakerist!” ada bangga dalam bicaranya walaupun, dia sendiri tidak tahu apa yang perlu dibanggakan.

Haziq berkerut memandangnya seakan baru pertama kali mendengar kerjaya itu. “Seriously! I’ve thought you’re….”, bicaranya terhenti.

Giliran Fia pula bekerut menanti bicara Haziq.

Previous: BAB 4, BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh TASHA SAIN