Home Novel Thriller/Aksi MANGSA
BAB 4: Empat Tembok Bisu

Empat tahun yang lalu Saleh telah dipenjarakan. Dia bukan seorang yang jahat. Dia bukan jahat, dia adalah mangsa. Dia mangsa keadaan. Empat tembok bisu sangat menjengkelkan. Tiba-tiba Saleh teringat keadaan bagaimana watak Sa'aman dalam novel 'Keluarga Gerilya' dikurung penjajah Belanda ketika Zaman Revolusi Indonesia. Revolusi menuntut kemerdekaan dari penjajah jahanam yang merobek kebebasan rakyat Indonesia. Revolusi Buluh Runcing.

Segalanya bermula kira-kira empat tahun yang lalu. Di sebuah Jeti persendirian di tepi laut lepas, di Pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis, Perlis. Ketika itu Saleh baru sahaja kembali ke kampung halamannya di Kuala Perlis, setelah bermukim di Pulau Pinang sebagai pekerja industri di kawasan Zon Perindustrian Bebas, selama beberapa tahun. Hijrahnya ke Pulau Pinang setelah tamat SPM untuk membantu kedua ibu-bapa dan adik-adiknya yang masih bersekolah. Dia tidak meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya setelah tamat SPM. Walaupun keputusan peperiksaannya mampu membawanya melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam.

Dia pernah memohon untuk memasuki perkhidmatan perguruan, semua syarat yang ada padanya cukup dan melayakkannya untuk mengikuti kursus perguruan di Maktab perguruan. Tapi persaingan sengit serta peluang mendapatkan pekerjaan yang kurang bagi lepasan SPM, menyebabkannya dia ketinggalan. Berbagai kreteria tambahan diperlukan di samping menggunakan pengaruh-pengaruh tertentu untuk melayakkannya mengikuti kursus perguruan dan seterusnya menjadi seorang guru.

Empat tahun dia merantau di Pulau Mutiara. Rezekinya murah, dapat bekerja di sebuah kilang memproses cip computer yang amat terkenal. Intel Pulau Pinang, di situ dia meraih rezeki membantu dua orang adiknya yang masih bersekolah di Sekolah Menengah Derma, Kangar.

Saleh tidak pernah menyesal. Hasratnya untuk membantu keluarganya telah tercapai. Sedikit sebanyak dia telah dapat meringankan beban ibu-bapanya, dengan mengirim wang belanja setiap bulan. Kadang-kadang ketika pulang bercuti di kampungnya, Padang Besar Selatan, Kuala Perlis, Saleh juga turut memberikan wang kepada ibunya.

Saleh tinggal bersama Husin yang berasal dari sanglang, Kedah. Mereka berdua merantau mencari rezeki di Pulau Mutiara. Bersama mereka ada empat orang lagi rakan. Mereka semua menyewa di sebuah taman perumahan. Rumah yang sederhana besarnya yang terletak di lorong Makloom, yang terkenal dengan Nasi Rose dari sebuah restoran nasi kandar.

“Betul ka hang nak balik ke kampong?. Hang nak berhenti kerja ka”? Husin bertanya kepada Saleh tentang hasrat kawannya nak berhenti kerja.

“Itulah, aku fikirkan ibu-bapa aku lah. Dua orang adik aku di asrama. Depa pun dah uzur,” Saleh meyakinkan Husin dengan alas an menjaga orang tua, menyebabkan dia ingin berhenti kerja dan balik ke Perlis.

Apa kerja yang hang boleh buat di sana? Tak kan hang nak turun ke laut?” balas Husin atas jawapan rakannya. Dia rasa amat rugi jika Saleh berhenti kerja.

“Aku pun tengah fikir la ni. Ada kilang macam-macam di Kuala tu, bukan lagi macam dulu, macam empat tahun yang dulu. Aku boleh kerja kilang, macam tak biasa pulak,” balas Saleh.

“Ikut suka hang lah, hang fikir patut mana yang bagus, pilihan di tangan hang,” Husin mengalah dengan alasan rakannya.

Seminggu lepas itu, Saleh menulis surat kepada pihak pengurusan sumber manusia di Intel Penang, menyatakan hasratnya untuk meletak jawatan. Hasratnya diketahui oleh penyelia tempat dia bertugas.

“Kenapa awak nak berhenti kerja”? penyelia perempuan yang bernama Cik Zanariah bertanya kepadanya.

“Saya ada urusan keluarga,perlu diselesaikan,” Saleh menyatakan sebab untuk berhenti.

“kalau ye pun urusan keluarga, tak kan nak berhenti”? Cik Zanariah penyelia Saleh yang masih belum berkahwin seolah memujuk Saleh supaya jangan berhenti.

Cik Zanariah sentiasa mengambil berat tentang Saleh, kadang-kadang tanpa pengetahuan Saleh, dia bertanya tentang saleh dari rakan sekerja Saleh. Di mana Saleh? Mengapa bercuti? Dan sebagainya.

Keputusan Saleh memang berat untuk diterima oleh Husin. Cik Zanariah sendiri merasa kehilangan kerana Saleh seorang pekerja yang dedikasi, saleh seorang yang tinggi produktivinya, dapat menghasilkan output yang sentiasa melapasi tahap QC yang ditetapkan. Di samping itu secara diam-diam Cik Zanariah ada menaruh hati pada Husin.

Suasana sayu mengiringi pemergian Saleh, balik ke kampong dan meletakkan jawatan di Intel Penang. Rakan serumahnya turut terasa kehilangannya.

“Ok lah bro. nanti jangan lupa contact kami,” Husin dan kawan-kawan serumah Saleh mengucapkan selamat tinggal pada Hari Ahad, ketika Saleh hendak memulakan perjalanan balik ke kampong dengan Perodua Kancil 660 keluaran tahun 2000.

Lorong Maklom, Pulau Mutiara yang sentiasa menggamit pelancung dengan berbagai juadah serta tempat-tempat menarik mula ditinggalkan Saleh. Lama-kelamaan bayangan Pulau Mutiara hilang setelah dia melepasi plaza tol Sungai Dua, menuju ke utara melalui lebuhraya PLUS.

Akhirnya, sampai Saleh di kampong halamannya. Kampong kelahirannya di Kampung Padang Besar Selatan, yang terletak kira-kira 15 km dari Kuala Perlis. Kampung yang indah di kelilingi sawah padi, amat indah bila padi menguning. Mudah mendapat bekalan ikan segar samada dari Kuala Perlis atau di kuala Kurung Tengar yang terletak beberapa km sahaja. Selain dari tanamam mempelam Sala yang amat terkenal, kuning menguning ketika masak ranum, menghiasi laman rumah.

Sudah hampir dua minggu, saleh pulang ke kampong. Permohonannya untuk bekerja di Kilang Irichi belum Berjaya. Kebetulan keadaan ekonomi yang lembap menyebabkan permintaan untuk barangan yang dihasilkan oleh kilang tersebut agak kurang. Kilang yang menjadi harapannya untuk menyambung rezeki, mengambil pendekatan mengurangkan pekerja untuk mengawal kos tetap pengeluaran.

Suatu petang di warung kopi Pak Mail, Saleh terserempak dengan rakan sekolahnya, ketika mereka sama-sama belajar di Sekolah Menengah Syed Hassan, Majid. Majid kelihatan sungguh bergaya dan Saleh sendiri hampir tidak mengenali Majid. Dengan kereta lama Nissan yang diubahsuai, menyerlahkan lagi gaya Majid.

Hoi, hang cuti ka”? Majid yang berhenti untuk minum Kopi Jantan di Warung Pak Mail menegurnya.

“Dak, aku dah berhenti kerja,” balas Saleh.

“Berhenti kerja? Pasai apa? Apa hang buat lani?” bertubi soalan dari Majid, seolah seorang peguam, dengan penuh kehairanan.

“Saja, aku ingat nak balik kerja di Perlis lah. Dok dekat mak ayah, depa pun dah tua,” balas Saleh.

Habis la ni hang buat apa?” Tanya Majid.

“Aku dok cari kerja tapi tak dapat, “ Saleh membalas dengan nada sedih.

Kalau hang mau hang boleh join aku, hang tengok lani aku macam mana?” Majid mengumpan sambil menunjuk-nunjuk kehebatannya kepada Saleh.

Majid kemudiannya memberikan nombor telefon bimbitnya dan meminta Saleh menghubunginya jika ingin berkerja dengannya.

“Ni nombor telefon aku, hang call bila hang free,” kata Majid sambil menghidupkan kereta dan berlalu pergi.

Malik pulang ke rumah.

Pagi yang indah. Burung Pipit melayang-layang di sawah padi. Rerama terbang beriringan. Cuaca yang cerah dan damai. Malik bersarapan pulut tanak dan ikan tamban kering beserta sedikit kelapa. Kopi panas menjadi minuman utama pagi itu bersama ibunya, Mak Leha. Pak Mat, ayahnya dah turun ke laut, meredah gelombang mencari nafkah dalam bot ikan milik Tokey Ah Seng, yang mempunyai peti ais untuk menyimpan hasil laut di pelantar, Kuala perlis berhadapan dengan Jeti LKIM.

“Mak, mak ingat tak Majid? Kawan sekolah saya dulu?” Saleh bertanyakan tentang kawannya.

“Majid anak Pak Leman tu ka?” awatnya?” balas Mak Leha.

“Tengok nampaknya dia dah Berjaya la ni,” balas saleh.

“Mak dengar macam-macam cerita. Kalau boleh Mak tak mau hang berkawan baik dengan dia,” Mak Leha seolah memberi amaran kepada saleh.

Awat? Pasai apa mak?” Saleh bertanyakan Maknya.

“Dak la, Mak dengar macam-macam cerita, ada depa kata dia dok juai dadah,” balas Mak Leha.

Amaran Mak Leha dan cerita penjualan dadah itu sedikit sebanyak mengejutkan Saleh. Dia tidak menyangka Majid begitu. Apa betulkah Majid yang kelihatan mewah terlibat dengan pengedaran dadah. Memang Perlis, negeri yang bersempadan dengan Thailand, mempunyai sempadan laut yang luas. Pantai Perlis yang panjang dan luas serta sempadan darat yang panjang, memudahkan aktiviti penyludupan dadah dan barang-barang yang dilarang.

“Awat hang tak perabih puluit tu?” lamunan Saleh terhenti dengan pertanyaan Mak Leha, ibunya.

“Hang dah kenyang ka?” saleh masih mengelamun memikirkan hal Majid, tanpa menyedari pertanyaan ibunya.

“dak… dak sedap pulut Mak tanak ni,” saleh berhelah. Fikirannya masih tertumpu kepada rakannya Majid.

“Eloklah hang tok sah rapat sangat dengan dia,” Mak Leha terus mengingatkan Saleh.

Pulut tanak dan tamban kering yang menjadi sarapan pagi saleh sungguh menyelerakan. Dah lama saleh tak merasa, sejak bermukim di Pulau Pinang, jarang sekali. Saleh kemudian mengikut ibunya ke bendang, yang terletak berhampiran rumah mereka, untuk meramu. Membuang jerami-jerami yang ada serta membuang rumput perun yang ada untuk menyediakan bendang bagi proses menanam padi seterusnya.

Satu petang tanpa pengetahuan Mak Leha, Saleh telah menefon Majid. Mereka berjanji untuk berjumpa di Gerai Rozaina Selera Ikan bakar yang terletak di tepi laut, berdekatan Masjid Terapung Kuala Perlis, masjid Al Hussain.

Majid menjemputnya di Warung Pak Mail dan membawanya ke situ. Sudah lama Saleh tidak ke gerai ikan bakar di medan selera baru yang menggantikan medan selera asal di hadapan Taman Kastam Kuala Perlis. Dia melihat rekabentuk Masjid Al-Hussain lebih kurang sama dengan Masjid Terapung di Tanjong Bungah, Pulau Pinang, atau Masjid Terapung di Laut Mati, Jeddah, yang dilihat melalui Internet.

“ Aku ada projek baik punya,” Majid memulakan perbincangan.

“ Hang nak join dak?”.

" Nanti nak fikir dulu," tiba-tiba Saleh terkenangkan pesan ibunya.

Saleh tidak lupa hal itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.