Home Novel Thriller/Aksi MANGSA
Bab 5 : Perjuangan

Dia perlu berjuang di sini. Dia bukan minta datang ke sini. Secara tiba-tiba dia di dalam kelompok manusia yang terkurung. Saleh harus keluar dari kelompok ini.

Setiap pagi mengadap jerejak besi. Setiap pagi mendengar jeritan dan setiap pagi bergerak dalam kumpulan ketika dipanggil warden penjara. Mengadap muka-muka yang sama. Mungkin warden-warden itu juga terpaksa bertugas atau pun menceburi bidang tugas itu kerana gagal menjawat jawatan di tempat lain. Warden-warden itu juga kelihatan bosan dengan tugasan mereka setiap hari.

"Cepat bergerak dalam kumpulan. Buat barisan cepat!" ketua Warden bersuara garang.

"Cepat!, terhegeh-hegeh," salah seorang warden memberi arahan.

Sekumpulan banduan kelihatan akur dengan arahan warden. Mereka tiada pilihan yang lain. Jika boleh banduan-banduan ini boleh merempuh semua warden yang ada, bilangan mereka jauh lebih ramai dari warden.

"Mana seorang lagi?, mana kawan kamu dari sel no.15?" teriak ketua Warden apabila mendapati terdapat kekurangan seorang banduan dalam kumpulan itu.

tak tahu encik,” balas Mat black yang seolah sebagai ketua kumpulan.

“Cari sampai dapat!” arah Ketua warden, Penolong Penguasa Penjara, Tuan Zamzuri.

Sehari sebelum itu,Jerjak besi yang mengurungnya sungguh menjengkelkan. Teriakan banduan mengadu sakit di tengah malam, pergaduhan di Antara banduan dan kumpulan banduan yang menyeludup masuk rokok dan dadah juga cukup melemaskan Saleh. Saleh mencari helah untuk keluar sementara dari kawasan sel yang menyerkupnya selama 2 tahun di situ. Dia tahu dia tidak akan bebas, Cuma dia ingin bebas sementara.

Saleh mengadu sakit perut yang teramat sangat kepada Warden. Pedih seperti dihiris-hiris. Memang tengahari itu dia tidak berselera makan. Seleranya hilang tiba-tiba kerana mengenangkan nasibnya yang secara cepat berubah. Hasrat untuk bersama keluarga, tiba-tiba bertukar menjadi menyusahkan ibu dan bapa. Semuanya kerana enggan mengikut nasihat ibunya. Adakah ini satu balasan?.

“Aduh… aduh encik sakit sangat perut saya ini,” Saleh mengadu kepada seorang yang bertugas di Sel penjara tempat dia di tempatkan.

“Aduh… saya rasa memang encik, nak bernafas pun susah,” saleh terus meraung sambil menggelupur di dalam Sel No.15.

Nampaknya usahanya berhasil, sepasukan bantuan kecemasan didatangkan ke selnya, setelah laporan yang dikemukakan oleh Warden Ismail kepada penyelia tugas ketika itu Sarjan Rahim, diluluskan. Taktik yang sama turut digunakan oleh Botak Chin di Penjara Pudu suatu ketika dulu, untuk cuba melepaskan diri.

Botak Chin akhirnya ke tali gantung. Sebelum digantung dia mengaku kesalahan yang dibuat. Botak Chin atau nama sebenarnya Wong Swee Chin digantung pada bulan Jun 1981. Masyarakat China menganggap Botak Chin adalah Robbin Hood yang berkongsi kekayaan dengan orang miskin. Bagaimanapun mengikut rekod pihak berkuasa, Botak Chin adalah gangster yang merbahaya pada tahun-tahun 70an dan 80an, rompakan bersenjata dengan jumah wang yang banyak.

Saleh kemudiannya di bawa berjumpa Pegawai Perubatan di penjara Pokok Sena, Doktor Jagjit Singh. Tangannya digari dan dua orang Warden bertanggungjawab membawanya ke klinik. Doktor itu melakukan pemeriksaan rapi dan mendapati terdapat kesan gastrik yang agak serius pada bahagian dalam perut Saleh. Saleh perlu diberi suntikan dan direhatkan di klinik.

Ketua Warden yang bertugas di giliran seterusnya tidak diberitahu ketiadaan Saleh yang telah dipindahkan ke klinik untuk menerima rawatan. Ketika itu juga semua banduan di sel itu telah keluar membuat kerja luar di penjara itu seperti mencuci kawasan, menyiram pokok-pokok bunga dan juga menyiram sayur-sayuran yang telah ditanam sambil memetik hasil.

"Tadi ada," bingkas jawapan Mat Black secara berseloroh menafikan ketiadaan seorang banduan dalam kumpulan itu. Saleh didapati tiada. kemana dia?

"Saleh 541 di mana dia?" dengan suara yang kuat Ketua warden bermisai tebal dan melenting bertanya kepada banduan dalam kumpulan itu.

Saleh bukan seorang VIP. Bagi banduan VIP akan diiringi oleh seorang Warden berpangkat Sarjan yang bersenjata pistol. Dua orang Warden akan mengiringi banduan VIP. Peguam banduan VIP akan ikut serta ke mana saja banduan VIP itu dibawa. Samada di Klinik atau di mana sahaja.

"Sarjan, banduan 541 di bawa ke klinik mendapatkan rawatan," warden yang ditugaskan mencari Saleh, memaklumkan kepada Ketua Warden yang berpangkat Sarjan, bagi giliran bertugas pagi itu.

Setelah pemeriksaan di buat dan mengesahkan bilangan banduan yang ada dalam sel penjara, semua banduan diarahkan kembali ke sel masing-masing atau mereka juga boleh berehat di ruang rehat yang disediakan di penjara. Mereka boleh menonton TV di situ.

Saleh semakin pulih setelah menerima dua suntikan di lengannya bagi meredakan serangan gastrik. Serangan gastrik yang mulanya berpunca dari keracunan makanan. Dia merenung kipas yang berpusing-pusing betul-betul di atasnya. Saleh terkenangkan kata-kata Sukarno yang pernah dipenjarakan.

"Tidak diragukan lagi, kehidupan dalam penjara menimbulkan malapetaka bagi manusia yang memiliki nafsu normal,"

Kata-kata itu yang tersemat pada dinding di bahagian dalam bangunan penjara itu. Petikan kata-kata itu mengingatkan banduan bahawa banyak malapetaka dalam penjara, dengan berbagai gejala seperti dadah dan hubungan sejenis. Sukarno dihukum penjara selama empat tahun kerana dikatakan melawan Belanda. Saleh membaca dari sebuah buku di perpustakaan penjara.

Saleh ngeri memikirkan kejadian di dalam sel penjara. Banduan baru akan menjadi mangsa banduan lama yang bernafsu serakah. Banduan baru akan dipanggil 'Jambu' dan kebanyakkan menjadi habuan banduan lama yang ganas. Pihak penjara terpaksa menyediakan lampu kecil dan meletakkan banduan dalam bilangan ganjil. Bagaimanapun sukar untuk menghapuskan aktiviti tersebut sama sekali. Itu cerita penjara pudu kira-kira 20 atau 30 tahun dulu, seperti yang diceritakan oleh seorang Warden yang bernama Mansur kepada Saleh, suatu ketika dulu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.