KECAMUK
Sang suria merangkak perlahan-lahan untuk berlabuh di ufuk barat. Cahaya jingga yang dipancarkan perlahan-lahan bertukar kemerahan sebelum langit bertukar gelap. Tidak lama lagi, bulan akan mengambil alih tugas matahari untuk bertakhta di dada langit.
Kebanyakan makhluk Tuhan sudah mula beransur pulang tatkala hari menjelang senja. Masing-masing tahu malam ialah waktu untuk berehat setelah berhempas-pulas mencari rezeki pada siang hari. Walau bagaimanapun, Ilham masih termangu di atas bangku. Sedikitpun tidak mahu berganjak.
Termenung dia memikirkan berbagai-bagai perkara yang singgah di benaknya. Bagaikan untaian manik yang terputus dari rantainya, masalah demi masalah datang bertimpa-timpa hari ini. Sesak dada Ilham memikirkannya. Letih otaknya dikerahkan berkerja keras sepanjang hari.
Mindanya mengimbau semula peristiwa beberapa jam yang lepas. Sedikit sebanyak timbul rasa sesal dalam dirinya kerana terlalu mengikutkan perasaan tadi. Fizri pula menjadi tempat untuk dia melampiaskan kemarahannya. Mungkin dia patut membuka pintu hatinya untuk berbincang dengan lelaki itu. Mana tahu, mereka akan menjumpai satu titik persefahaman nanti.
Dengan tubuhnya yang kekal menunduk, Ilham melepaskan keluhan berat. Tiada gunanya lagi dia menyesali perbuatan lalu. Tiada gunanya juga dia menunggu seseorang yang tidak akan kunjung tiba.
Permukaan tasik nan tenang di hadapannya langsung tidak mampu meredakan kekusutan yang tersimpul sekian lama di benaknya. Lebih baik dia pulang sahaja sebelum matahari melabuhkan tirainya.
Dengan hati yang berat, Ilham mengangkat punggungnya lalu mula berjalan meninggalkan tempat itu. Perlahan sahaja langkahnya. Tidak berhasrat pun untuk mempercepatkan hayunannya. Semangatnya langsung tiada untuk membuat apa-apa pun pada hari ini.
Sambil dia melangkah, dia perhatikan persekitarannya yang sunyi. Langsung tiada seorang pun berada di luar. Beberapa batang lampu jalan mula menyala menandakan hari sudah berganjak ke waktu malam.
Ilham berjalan perlahan di bahu jalan. Lampu jalan yang dilewatinya terpadam satu demi satu. Sekali lagi fenomena aneh itu berlaku, namun Ilham hanya membiarkannya sahaja. Dia langsung tidak perasan akan keadaan itu, memandangkan dia sibuk berperang dengan otaknya sendiri.
Sebahagian daripada dirinya yakin bahawa fenomena unik itu wujud. Sementara sebahagian lagi dirinya tidak meyakini tentang kewujudan fenomena unik itu lalu menganggapnya sebagai ralat dalam pemerhatian sahaja.
Seandainya Ilham mempercayai bahawa fenomena unik itu wujud, maka hukum sebab dan akibat tidak lagi dipatuhi. Jadi, fenomena unik tidak wujud dan tidak sepatutnya berlaku agar hukum sebab dan akibat dipatuhi.
Akan tetapi, kalau fenomena itu tidak wujud, apa pula yang selalu diperhatikan Ilham semenjak dia kecil lagi? Jikalau fenomena unik itu tidak sepatutnya berlaku, kenapa Ilham selalu mengalaminya?
Fenomena unik, suatu fenomena yang jarang berlaku. Disebabkan fenomena itu jarang berlaku, maka fenomena tersebut disimpulkan sebagai ralat dalam eksperimen sahaja. Ralat dan kesilapan manusia yang mewujudkan fenomena itu sendiri. Fenomena itu berkemungkinan tidak wujud pun.
Bagi menentukan sama ada fenomena itu wujud atau tidak, dan bagi menentukan ada atau tidak saling perkaitan antara dua fenomena, eksperimen harus dijalankan berulang kali. Tujuannya supaya segala ralat dapat diketepikan.
Hal ini bermakna, pemerhatian harus dilakukan berulang kali. Jika banyak pemerhatian yang dapat dilakukan, maka fenomena itu betul-betul wujud. Namun jika sebaliknya yang berlaku, maka kewujudan fenomena unik harus diketepikan.
Bagaimana pula jika fenomena itu memang jarang berlaku? Bagaimana pula jika fenomena itu hanya berlaku dalam keadaan tertentu? Bagaimana kalau ada syarat tertentu bagi membolehkan fenomena itu berlaku?
Sudah tentu dengan cara melakukan eksperimen berulang kali kita akan terlepas pandang akan fenomena unik itu bukan? Itu pun kalau fenomena itu betul-betul wujud.
Walau bagaimanapun, apa yang menyebabkan Ilham yakin fenomena itu wujud adalah kerana dia mengalaminya sendiri berulang kali. Dia benar-benar yakin. Apa yang menjadi masalahnya, hanya dia seorang sahaja yang mengalaminya.
Adakah disebabkan dia seorang sahaja yang mengalaminya, dan orang lain tidak, fenomena itu terus dikatakan tidak wujud?
Kenapa mesti Ilham? Kenapa mesti Ilham yang mengalaminya? Kenapa orang lain tidak?
Persoalan-persoalan itu timbul di benak Ilham tatkala dia berjalan pulang ke biliknya. Keadaan ini menyesakkan lagi kepalanya yang sudah sedia berserabut.
Dia mahu mencari jawapan bagi persoalan itu tetapi dia tidak mampu. Seperti ada sesuatu yang menyekat kebolehannya berfikir. Dia mahu seseorang memberikan jawapan kepadanya tetapi tiada siapa yang mahu menolong. Jika ada pun, ramai yang lebih mudah menghukum daripada menyelesaikan hatta dalam kalangan orang Sains sekalipun.
Sampai suatu tahap, Ilham sendiri mempersoalkan kepandaiannya. Mempersoalkan sendiri kebolehannya untuk berfikir. Mempersoalkan sendiri cara pemikirannya.
Bagi Ilham, apa yang amat perlu bagi seorang saintis ialah kemampuan untuk berfikir secara logik. Ilham sendiri pun tidak tahu sama ada dia mampu berfikir secara logik atau tidak. Jika dia memang tidak mampu berfikir secara logik, apa yang dia buat di sini? Adakah dia sedang membuang masa?
"Fine then! Lepasni aku dah malas nak ke kelas lagi. Aku dah malas nak kejar cita-cita aku lagi. Aku tak layak pun. Aku tak layak pun untuk ambil bidang Sains," omel Ilham seorang diri.
Dengan sakit kepala yang tidak mampu lagi dibendung, Ilham terus merayau seorang diri. Mulutnya pula terkumat-kamit melafazkan sesuatu, sambil otaknya ligat berfikir. Sejak dari pagi tadi, Ilham tidak henti-henti memerah otaknya. Dia seperti tidak mahu berhenti. Dia seperti tidak boleh mengawalnya langsung.
"Fenomena unik tak wujud. Hukum sebab dan akibat dipatuhi. Tak, fenomena unik sebenarnya wujud, tapi ... hukum sebab dan akibat tak lagi dipatuhi. Tak ...." Ilham meneruskan ungkapan itu berulang-ulang sambil berjalan.
Tingkahnya persis orang gila sahaja gamaknya. Penampilannya kelihatan tidak terurus dengan rambut yang kusut-masai dan wajah yang sugul. Walaupun tubuhnya terasa letih dan kepalanya terasa seperti hendak meletup, kakinya terus melangkah, melangkah dan melangkah. Dia tidak mahu berhenti. Dia sudah tidak peduli.
Kaki yang dihayun sedari tadi akhirnya membawa tubuh Ilham ke kolej kediamannya. Melepasi pondok pengawal, salah seorang pengawal keselamatan yang berada di situ seperti hendak menghampiri Ilham, tetapi dihalang rakan setugasnya. Mereka bertindak memerhatikan sahaja Ilham berjalan pergi.
Sampai sahaja di blok asramanya, Ilham terus menuju ke biliknya. Sebaik pintu bilik dibuka, dia terus terduduk lemah di suatu sudut bilik. Mulut yang terkumat-kamit sedari tadi juga sudah berhenti. Tubuh Ilham hampir sahaja rebah mencium lantai, tetapi sempat ditopang dengan kedua-dua tangannya.
Kepalanya dirasakan sakit bagaikan mahu pecah. Seluruh tubuhnya terasa panas dan lemah. Bila-bila masa sahaja dia boleh tumbang. Sejak dari tengahari tadi dia bertahan dengan keadaan ini.
Ilham mula mengengsot perlahan-lahan ke dinding lalu bersandar di situ.
Dengan nafas yang tercungap-cungap, Ilham masih ingin menggunakan sisa tenaganya untuk merungkai persoalan tadi. Dia harus melakukannya. Jika tidak, selagi itulah dia akan terus diasak dengan persoalan. Memaksa otaknya untuk terus berkerja tanpa henti.
'Baiklah, dari mana aku hendak bermula? Dari mana datangnya Fizik Kuantum yang defies causality tu? Dari mana pula datangnya idea tentang quantum probability? Wave-particle duality? Heisenberg Uncertainty Principle?'
Ilham cuba membayangkan bagaimana rupanya partikel yang berkelakuan seperti gelombang. Selama ini dia selalu membayangkan cara pergerakan partikel dalam ruang seperti perambatan gelombang mengikut pola sinosuidal.
Pola sinusoidal gelombang dan partikel itu bolehlah dianalogikan sebagai sebatang jalan bengkang-bengkok dan sebuah kenderaan. Partikel itu kenderaannya, manakala pola sinusoidal itu adalah jalannya. Begitu cara Ilham membayangkan kedualan gelombang partikel bagi kes satu partikel.
Jika partikel itu dalam jumlah yang besar, Ilham membayangkan rupanya seperti gelombang yang terbentuk di permukaan air. Setakat ini, dia tiada masalah dalam pemahamannya, tetapi sampai titik inilah pemahamannya tersekat.
Maksudnya, dia mampu membayangkan Kedualan Gelombang-partikel tetapi dia tidak mampu mengaitkan pemahamannya ini dengan konsep-konsep yang lain.
Bagaimana Heisenberg boleh mengusulkan Prinsip Ketidak Tentuan Heisenberg? Kenapa dalam prinsip ini, momentum dan kedudukan partikel tidak dapat ditentukan dan sentiasa berada dalam kebarangkalian? Kenapa pula kebarangkalian kuantum itu wujud? Kenapa dalam skala mikroskopik, tenaga partikel mempunyai nilai diskret?
Kenapa dalam Fizik Kuantum begitu obses dengan konsep kebarangkalian? Dari mana datangnya pula konsep kebarangkalian itu? Adakah melalui konsep quantum tunneling, itu bermaksud partikel boleh menembusi dinding? Bagaimana pula mahu membayangkan partikel kuantum yang duduk dalam tingkat tenaga tertentu? Adakah seperti menaiki tangga?
Ilham mendapati masih banyak lagi yang dia belum faham mengenai Fizik Kuantum. Bagaimana mungkin dia mampu mengaplikasikan konsep-konsepnya untuk meleraikan kekusutan yang melanda benaknya kini? Sedangkan masih banyak lagi yang dia tidak faham.
'Alright, Ilham. Mula perlahan-lahan. Mungkin kau boleh mula dari bawah, atau dari atas, atau dari tengah. Cara berfikir kau kan pelik.' Ilham memberikan semangat kepada dirinya sendiri.
Ilham tidak tahu kenapa tetapi dia dapat rasakan yang segala persoalannya sejak dari kecil akan terungkai jika dia mendalami bidang ini. Oleh sebab itulah dia mengambil keputusan untuk mengambil bidang ini.
Akan tetapi, keputusannya itu seperti menikam dirinya semula. Dia tidak mendapat jawapan, sebaliknya lebih banyak persoalan pula yang tersimpul satu demi satu. Malah, dia semakin jauh tersesat.
Ilham mendapati cara berfikirnya seperti tidak sesuai sahaja dengan bidang ini. Dia merasakan dirinya tidak layak. Dia merasakan dirinya jauh terasing dengan ilmu yang sangat dicintainya itu.
Tidak cukup dengan itu, otaknya dirasakan seperti tersekat sahaja jika dia cuba berfikir lebih jauh, seperti ada sesuatu yang menghalang. Tidak, Ilham bukan sengaja mereka-reka. Dia memang selalu mengalami sakit kepala setiap kali dia belajar.
Pada kebiasaannya, saat dia cuba mengaitkan satu konsep dengan konsep yang lain, sakit di kepalanya akan menyerang. Saat dia cuba membayangkan bagaimana rupanya partikel berkelakuan seperti gelombang, ketika itulah kepalanya diserang rasa sakit.
Saat dia cuba memahami konsep-konsep asas dalam Relativiti dan mengaitkannya dengan Fizik Kuantum, dia merasakan sensasi yang pelik di kepalanya. Saat dia cuba mencari interpretasi fizikal bagi setiap persamaan, saat itulah rasa sakitnya menyerang.
Saat dia cuba memvisualisasikan konsep-konsep Fizik yang dipelajarinya, saat itulah kesakitan mula menjalar di kepala lalu menghentikan aktiviti otaknya.
Sekarang, semasa dia cuba merungkaikan segala persoalan di mindanya, sekali lagi dia diserang dengan rasa sakit. Namun kali ini, disebabkan kepalanya sudah sedia sakit, proses berfikirnya itu menyebabkan kesakitan itu semakin menggila.
"Argh! Masa nilah! Masa nilah kepala aku nak sakit! Tak, tak boleh sekarang. Kalau tak, sampai bila-bila pun aku takkan jumpa jawapannya!" Dengan penuh kepayahan dan dahi berkerut seribu, Ilham terus mengasak otaknya untuk berfikir.
Ilham memicit-micit kepalanya yang dirasakan bagai mahu meletup ini. Berharap kesakitannya akan hilang jika dia berbuat begitu. Paling tidak pun biarlah kesakitannya berkurang sedikit.
"Tak boleh! Bukan sekarang!" Setelah mendapati kesakitannya tidak beransur surut, Ilham berteriak sekuat hatinya.
Dia ingin terus memerah otaknya lagi. Semasa kesakitannya yang menggila itulah Ilham mula nampak sedikit gambaran tentang persoalan pertama yang cuba dirungkainya. Persoalan tentang bagaimana partikel boleh berkelakuan seperti gelombang. Persoalan tentang bagaimana ia berkait dengan kebarangkalian.
Walau bagaimanapun, proses berfikirnya itu seperti tersekat dek kesakitan yang semakin menggila itu. Ilham tidak peduli lagi akan kesakitannya. Dia terus-menerus memaksa otaknya untuk terus berkerja.
"Sikit lagi!" Ilham meraup kepalanya dengan kasar sekali untuk meredakan kesakitan tetapi tidak berjaya.
Akhirnya Ilham mengambil keputusan drastik dan gila. Dia terus bangun lalu menghadap dinding di belakangnya. Dinding berwarna putih itu ditatapnya dengan senyuman yang sukar ditafsirkan.
'Dinding putih ni akan aku hiasi dengan Mathematical equations.'
Hanya beberapa saat sahaja dia terdiam sejenak sebelum mengambil keputusan untuk menghantukkan kepalanya ke dinding sekuat hati berkali-kali. Perbuatan itu dilakukannya sehingga puas agar mampu meredakan kesakitan di kepala.
Impak hentaman kepalanya ke dinding begitu kuat sehingga bergema bunyinya di segenap ruang. Akan tetapi, perbuatannya itu langsung tidak berhasil, bahkan semakin menjadi-jadi sakitnya. Darah pekat mula mengalir di kepalanya. Corak abstrak berwarna merah darah mula terbentuk di dinding.
Ilham pula semakin ralit menghentam kepalanya ke dinding. Dalam masa yang sama, otaknya ligat berfikir. Segala teori, hukum, prinsip dan postulat cuba dikeluarkan dari kotak fikirannya lalu dikaitkan sesama sendiri.
Kali ini dia sudah tidak peduli lagi apa yang ingin dicari. Dia terus berfikir satu persoalan demi satu persoalan tanpa henti. Mindanya benar-benar bercempera kala ini. Segala maklumat yang tersimpan elok di dalam perpustakaan mindanya sudah berterabur di sana-sini. Semuanya demi merungkaikan satu persoalan.
Walau bagaimanapun, tiada satu pun terungkai dek keadaan otaknya yang benar-benar berkecamuk dan emosi yang semakin berterabur. Sebaliknya, ibarat orang yang kelam-kabut menjawab soalan peperiksaan saat-saat akhir, semua persoalan itu diselesaikan dengan cincai-boncai.
Lama-kelamaan, Ilham mula terasa kesederan meninggalkan tubuhnya. Tubuhnya terasa melayang di udara seketika sebelum rebah ke atas lantai. Seluruh blok itu terus bergelap serta-merta saat Ilham mula tidak sedarkan dirinya.
Pintu bilik Ilham terbuka tiba-tiba. Beberapa orang melangkah masuk. Mereka seperti sudah bersedia akan keadaan ini. Malah, sejak dari tadi mereka menunggu sahaja berhampiran bilik Ilham untuk bertindak.
Setelah mendapat arahan daripada orang atasan, mereka terus melangkah masuk ke bilik Ilham. Salah seorang daripada mereka memang telah bersedia dengan kad kunci pendua bilik Ilham. Bersedia untuk menceroboh bilik sasaran mereka.
Tubuh Ilham yang tidak sedarkan diri di atas lantai dirapati. Kolam darah terbentuk di bahagian kepalanya. Tubuh Ilham terus diangkat mereka lalu dibawa pergi ke lokasi yang tidak diketahui.