Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 44

LOGIK, LOGIK DAN LOGIK

"Fenomena unik yang tak mampu diperhatikan sang pemerhati. Perkara yang tak mampu diukur mana-mana instrumen di dalam makmal. Fenomena yang tak mampu dikesan dengan lima pancaindera manusia. Apa yang tak mampu dilihat, apa yang tak mampu didengar, apa yang tak mampu dirasa, apa yang tak mampu dihidu, apa yang tak mampu disentuh."

Secara tiba-tiba Ilham menghamburkan kata-kata itu. Dengan nada perlahan dan mendatar.

"Ilham? Kenapa ni? Kau okey, ke?" Fizri memegang bahu Ilham. Dia memandang ke arah Ilham penuh kerisauan. Beg Ilham tadi disangkutkan ke bahunya.

Ilham mengangkat wajah. Mendedahkan wajah yang kosong dan kelam tanpa sinar kehidupan. Fizri berasa tidak sedap hati melihat renungan mata Ilham itu. Matanya itu seperti mati tanpa sinar kehidupan.

"Wujudkah fenomena alam selain daripada apa yang mampu diperhatikan sang pemerhati? Adakah alam hanya terbatas pada pemerhatian semata-mata? Adakah ilmu Sains hanya terbatas pada apa yang mampu diukur saja? Kalau lima pancaindera manusia tak berjaya mengesan sesuatu perkara tu, maksudnya benda tu memang tak wujud ke?"

Ilham mengajukan pula soalan bertalu-talu, tidak tahu kepada siapa. Mungkin kepada Fizri. Mungkin juga kepada dirinya sendiri.

"Ilham, kita akan jawab soalan tu nanti. Kita bincang sama-sama nanti. Sorry pasal tadi tu. Biasalah, aku terlebih excited tadi. Takkanlah nak bincang kat tengah orang ramai ni," runding Fizri.

"Bincang? Dengan kau? Hmmh!" Ilham ketawa kecil tiba-tiba. Dia memandang sinis ke arah Fizri lalu mula berjalan beberapa langkah. Langkahnya dihentikan sebelum berpaling semula ke arah Fizri.

Fizri hanya memerhati sahaja tingkah Ilham. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya.

"Orang macam kau ni takkan faham perasaan aku. Orang macam kau ni hanya percaya pada apa yang kau lihat dan alami saja. Orang macam kau ni mudah sangat memandang skeptikal pada segala benda. Menjengkelkan tahu tak? Sebab apa? Sebab kau ni, elitis Sains kan?" Ilham mencerlung tajam ke arah Fizri.

"Tak, bukan macam tu, Ilham. Se ...."

"Sebab apa? Sebab golongan elitis Sains macam kau ni, dari kecil lagi dah dibiasakan dengan logik, logik dan logik saja! Apa yang tak logik, semuanya mustahil, kan? Sebab tu dengan mudahnya kau berasa skeptikal terhadap semua benda!" Ilham terus-menerus membidas Fizri. Dia seperti marahkan sesuatu.

"Ilham, dengar dulu penjelasan aku."

"Sebab kau tak pernah alami perkara-perkara tak logik, kan? Sebab kau tak pernah nampak, terus kau kata tak wujud. Macam tu!" Ilham langsung tidak peduli akan rayuan Fizri. Sebaliknya terus-menerus mengkritik cara pemikiran lelaki itu. Sambil itu, langkahnya maju setapak demi setapak menghampiri Fizri.

"Yalah, kan. Kau tak nampak. Kau tak dengar. Kau tak rasa. Kau tak dapat sentuh. Jadi, kau taknak per ... ca ... ya ...." Ilham sengaja menguatkan kata di hujung bicaranya sambil menjegilkan mata ke arah Fizri. Dia sudah pun berada beberapa inci di hadapan Fizri.

Disebabkan perdebatan yang berlangsung tanpa disengajakan itu, orang ramai terus berkumpul memerhatikan mereka berdua.

"Ilham ...." Fizri sudah tidak tahu apa hendak dibuat dengan keadaan Ilham yang semakin tidak stabil itu.

"Sekarang ni aku tak tahulah. Sama ada kau masih mahu percaya pada ...." Tangan Fizri pantas naik lalu menutup mulut Ilham. Menghentikan bicara lelaki itu. Dia tidak boleh membiarkannya. Jika dibiarkan, dia khuatir Ilham akan bercakap perkara di luar batasan. Ilham sekarang sudah dikuasai emosinya mengatasi rasional akalnya sendiri.

"Dah, cukup Ilham. Cukup Ilham. Kita sambung bincang nanti," pujuk Fizri.

Ilham menepis mulut Fizri dengan kasar. Tubuh Fizri ditolak kasar ke belakang. Terjelepok Fizri ke atas lantai dibuatnya. Baru sahaja dia ingin bangun, Ilham telah menerpa ke arahnya terlebih dahulu. Kolar baju kemejanya dicekak Ilham lalu diangkat, memaksa Fizri untuk berdiri bersamanya. Setelah itu, tubuhnya diangkat tinggi sedikit sehingga kakinya terjuntai ke bawah.

"Fenomena unik tak wujud. Apa yang ada cuma ralat dalam eksperimen, eh?" Ilham mencerlung tajam ke arah Fizri.

Fizri tidak mampu menjawab dalam keadaannya tergantung di udara sebegitu. Tangannya cuba melepaskan cengkaman Ilham tetapi tidak mampu. Cengkaman daripada tangan Ilham terlalu kuat. Malah, kekuatannya pada hari ini terlalu luar biasa dan di luar jangkaan.

"Walaupun ada beberapa orang yang alami fenomena unik tu, tapi orang macam kau tetap kata tak wujud, kan? Sebab apa? Sebab bukan kau yang tengok! Sebab aku yang tengok! Dan suara aku ni tak didengari! Sebabnya orang macam aku ni sikit! Sepatutnya orang macam aku ni tak patut wujud, kan?"

Orang ramai yang memerhatikan terdiam tidak terkata. Terpegun mendengar kata-kata Ilham walaupun dilontar dengan penuh kemarahan.

"Bila sikit, jadinya apa? Jadinya pemerhatian aku ni tak cukup untuk diterima dalam scientific community. Then, korang semua tolak macam tu je dakwaan kami ni lepastu tuduh kami ni pendusta!" Tubuh Fizri yang diangkat tadi ditolak hingga ke dinding. Sakit belakang tubuh Fizri dibuatnya akibat ditolak kasar ke dinding.

"Orang macam korang tu senanglah, kan? Senanglah! Senang je tolak dakwaan aku macam tu je! Sebab korang tak nampak! Habis aku ni apa? Yang tengok semua benda tu hari-hari! Yang alami semua benda tu hari-hari macam separuh gila!" Ilham menjegil mata memandang Fizri. Cengkamannya di kolar baju Fizri masih belum dilepaskan.

"Aku hari-hari cuba fikir apa logik di sebalik semua ni! Apa penjelasan di sebalik semua ni! Aku cuba gunakan akal aku untuk faham semua ni! Aku hari-hari fikir! Tapi korang semua bukan nak provide jawapan pun! Korang tuduh aku ni penipu adalah!"

Ilham melepaskan tubuh Fizri kasar. Hampir sahaja tubuh Fizri terjatuh ke lantai namun sempat ditahan tangannya yang melekap ke dinding.

Ilham mula berjalan beberapa langkah sebelum berhenti lalu berpaling semula ke arah Fizri.

"Lepastu korang cakap semua tu tak wujud! Habis yang aku alami ni apa? Khayalan aku! Imaginasi aku! Dan aku sekarang ni tengah merapu dan meroyan macam orang gila isim!" Sebelah tangan digenggam Ilham sekuat hati. Matanya yang menjegil sedari tadi bertukar kemerahan. Seluruh tubuhnya semakin panas.

Fizri cuba mampir ke arah Ilham untuk menghentikannya.

"Kau cakap perkara yang tak diperhatikan tak wujud, kan? Semua benda kat dunia ni mesti patuh pada hukum sebab dan akibat, kan?" Wajah Ilham menunduk. Suaranya yang keluar dari bibir perlahan sahaja tanpa nada, tetapi cukup mendalam untuk menzahirkan tekanan emosi yang dialaminya.

Fizri menelan liur mendengar soalan Ilham.

"Sekarang aku nak tanya kau. Dalam Quantum Physics kan defies causality. Dalam Quantum Physics kan, banyak benda yang tak dapat diperhatikan. Kau rasa layak ke bidang ni wujud dalam Sains? Ke cuma pseudoscience shit je?" Ilham mengejok kata-kata Fauzan tempoh hari. Luka di hatinya akibat diejek tempoh hari masih membekas sampai sekarang.

"Ilham, apa yang kamu cakap ni? Sudah tentulah sebahagian daripada ilmu Sains. Tapi ... mungkin ada benda yang kau masih confuse lagi ni. Kita bincang nanti key?" Fizri masih tidak berputus asa untuk memujuk Ilham.

Ilham kekal menunduk. Genggaman di tangannya semakin dikuatkan sehingga menggigil.

"Oh, itu jawapan kau? Confuse eh? Aku tak sepatutnya harapkan apa-apa jawapan daripada kau pun. Kau bukannya faham pun! Kau sampai bila-bila takkan faham!"

Lampu koridor yang berada berhampiran tempat mereka berdua berdebat menjadi malap secara tiba-tiba sebelum berkelip-kelip. Lampu itu seperti rosak. Fizri yang sedang berjalan menghampiri Ilham termati langkahnya serta-merta. Dia menyedari ada sesuatu yang tidak kena.

"Fine then! Semua perkara yang aku lalui sepanjang aku hidup tak wujud. Semua perkara yang aku belajar sepanjang aku hidup ...." Bicaranya jeda sejenak. Tercungap-cungap Ilham menahan kemarahan yang meluap-luap.

"Ilham?" Fizri memerhatikan wajah Ilham yang masih menunduk sedari tadi.

"Sampah semata-mata!" Secara tiba-tiba tangannya yang digenggam sedari tadi naik lalu menghentam tingkap kaca lutsinar di sebelah dengan kuat.

Fizri terpanar mendengarnya. Tanpa disedarinya, matanya mula berair kerana tidak tahan melihat penderitaan Ilham. Sedikit sebanyak dia faham apa yang dilaluinya, tetapi dia tidak tahu bagaimana harus menolong lelaki itu.

Ilham sendiri tidak terbuka untuk menerima pertolongan orang lain. Dia seperti sudah menutup 100 peratus pintu kepercayaannya pada orang lain.

Walau bagaimanapun, ada sesuatu yang lebih membuatkan dia terpanar, terkesima dan terpegun. Teka apa yang berlaku. Tingkap kaca yang dihentam penumbuk Ilham tadi tiba-tiba retak. Retakan itu mula merebak perlahan-lahan ke sekeliling. Membuntang mata Fizri memerhatikan fenomena itu.

Sepatutnya tingkap itu cukup tahan lasak untuk menerima apa jua jenis tekanan. Hentaman peluru sekalipun tidak mampu untuk meninggalkan walau secalit calar sekalipun. Sengaja tingkap itu dibina daripada bahan tahan lasak begitu agar dapat menahan mana-mana serangan tidak diduga.

Universiti itu sendiri tidak terlepas daripada menerima tempias konflik berpanjangan yang sedang berlaku. Jadi, siapa-siapa sahaja akan merasakan fenomena ini aneh. Bagaimana Ilham mampu menghasilkan retakan pada permukaan tingkap itu? Dari mana datangnya kekuatan itu?

Nafas Ilham turun naik menahan kemarahan yang meluap-luap di dada. Tangannya yang digenggam tadi masih terlekat di permukaan tingkap yang retak itu. Fizri mula risau sekiranya Ilham melukakan tangannya sendiri.

"Orang macam aku ni ...." Sekali lagi bicaranya jeda seketika. Turun naik nafasnya masih tidak berhenti malah menjadi semakin kencang. Seluruh tubuhnya terasa semakin panas membahang, namun Ilham langsung tidak mempedulikannya.

"Tak patut wujud pun!" Ilham sekali lagi menghayun tangannya sekuat hati lalu menghentam tingkap kaca di tempat yang retak tadi. Kali ini momentum hentamannya berkali ganda daripada tadi.

"Tunduk semua!" Fizri yang menyedari akan bahaya yang kian mendatang terus memberi amaran.

Kali ini tingkap itu bukan setakat retak. Malah, turut pecah berderai lalu serpihannya berterbangan di udara. Tidak cukup dengan itu, tingkap-tingkap bersebelahan turut sama pecah. Bagaikan domino yang tumbang, sebuah demi sebuah tingkap pecah berderai sehingga ke penghujung koridor.

Serpihan-serpihan halus kaca berterbangan di udara. Para pelajar perempuan yang berjalan berhampiran dengan tingkap kaca itu menjerit ketakutan akibat terlalu terkejut dengan situasi itu. Mereka tidak tahu dari mana puncanya yang menyebabkan kaca itu pecah.

Beberapa orang pelajar sempat duduk lalu melindungi tubuh mereka dengan beg daripada terkena serpihan kaca tersebut. Beberapa orang pelajar yang tidak sempat menyelamatkan diri mereka tercedera akibat terkena serpihan kaca tersebut.

Fizri turut tercedera sedikit akibat terkena sebahagian serpihan kaca tersebut. Akibat terlalu memikirkan keselamatan orang di sekelilingnya, dia lambat bertindak untuk menyelamatkan diri. Setelah keadaan kembali tenang, Fizri memberanikan dirinya untuk membuka matanya yang terpejam tadi.

Apa yang telah terjadi kepada Ilham? Adakah dia turut tercedera?


Previous: BAB 43
Next: BAB 45

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.