Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 31

KOLEJ PSI

Setelah melalui perjalanan yang agak jauh, akhirnya kereta yang dinaiki mereka diparkir di hadapan sebuah blok asrama.Sebelum memasuki kawasan kolej kediaman ini, Ilham dapat lihat papan tanda yang tertulis 'KOLEJ PSI'. Nampaknya itu nama kolej kediaman ini. Kolej-kolej kediaman di universiti ini dinamakan dengan huruf-huruf greek.

Walaupun kolej kediaman ini agak terpencil daripada kolej-kolej lain, tetapi ciri-ciri seni binanya tetap nampak elegan dan mewah. Blok asrama yang bakal didudukinya ini dilabelkan X-11.

Keluar sahaja Ilham dari perut kereta, dia terkejut melihat bagasinya semua sudah dikeluarkan. Ada beberapa pekerja yang telah mengeluarkan bagasinya dari dalam but kereta. Belum sempat dia ingin mengambil bagasi itu, ada pekerja telah pun memasukkannya ke dalam sebuah troli. Sekali lagi dia diberi layanan istimewa.

Ilham menatap bangunan asrama yang berada di hadapannya ini. Seni binanya kelihatan mewah. Sesekali terbit rasa kagum dan cemburu dalam diri Ilham. Kagum dengan tahap kemudahan di universiti ini. Cemburu kerana pelajar-pelajar di sini mendapat layanan istimewa.

"Dah, jom saya tunjukkan kamu ke bilik kamu," ajak Akhtar.

"Eh, kita tak perlu daftar kolej kat pejabat dulu ke?" Ilham teringat akan prosedur yang sepatutnya dilalui sebelum masuk ke biliknya.

Akhtar yang sudah berada agak jauh daripada Ilham berhenti lalu menoleh.

"Tak perlu. Urusan daftar kolej dah diselesaikan tadi masa kamu sedang sibuk menjalani ujian." Mengertilah Ilham setelah mendengar penerangan daripada pegawai itu.

'Padanlah dia baru start minum kopi tadi. Pelik betul. Apasal dia selesaikan semua urusan aku?'

"Ilham Hakimi! Mari ikut saya ke bilik kamu. Beg kamu dah tunggu lama kat depan pintu dah." Sempat lagi pegawai itu berseloroh.

Ilham terus mengejar langkah pegawai itu. Tatkala kakinya melangkah masuk ke dalam bangunan, sekali lagi dia terpanar. Dia kagum melihat hiasan dalaman di bangunan itu. Hiasan dalamannya tidak seperti sebuah asrama, sebaliknya lebih mirip hotel.

Ada beberapa set sofa diletakkan di ruang legar asrama itu. Ruang legar itu terasa dingin dengan udara sejuk dari penghawa dingin. Terdapat beberapa buah rak majalah yang diletakkan di sudut-sudut tertentu. Lantai marmar ruang legar ini pula kelihatan berkilat seperti baru digilap.

Pintu lif terbuka. Keluar seorang pelajar lelaki dari dalam lif. Dia nampaknya sedang tekun bermain dengan telefon pintarnya. Ilham hanya memerhatikan tingkah pelajar itu dengan penuh minat. Memandangkan lelaki itu merupakan salah seorang pelajar di universiti ini, dia pastinya seorang yang genius.

Seperti tidak menyedari kehadiran Ilham dan Akhtar, dia hanya melintasi mereka berdua yang masih berdiri di muka pintu tanpa sedikit pun menoleh. Dia nampaknya ingin keluar. Ilham ingin menegur pelajar itu tetapi dia malu.

Akhtar secara tiba-tiba melihat ke arah telefon pintarnya lalu dihalakan ke arah pelajar itu seperti ingin mengambil gambar.

'Apahal dia nak ambil gambar tiba-tiba ni?' soal Ilham pelik.

"Haikal Raimi!" panggil Akhtar dengan tegas.

Pelajar itu terus berhenti melangkah tetapi tidak menoleh. Nampaknya Haikal Raimi ialah nama pelajar itu.

"Kamu tahu kan, sekarang ni waktu larangan untuk kamu keluar?" soal Akhtar sambil mengerling sekilas jam tangannya.

Pelajar bernama Haikal Raimi itu terus berpusing menghadap mereka berdua. Dia kelihatan pasrah. Terus dia berjalan untuk masuk semula ke dalam bangunan sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Langkahnya ke kiri dan ke kanan. Tidak lurus. Ilham pula hanya terpinga-pinga mendengar apa yang dikatakan lelaki itu.

Ada dua perkara yang sangat pelik pada Ilham. Pertama, dia kenal akan pelajar itu. Bagaimana dia kenal? Dia hafal semua nama pelajar di universiti ini ke?

Kedua, ada peraturan yang amat ketat di sini. Tidak dia menyangka bahawa peraturan di universiti ini sangat ketat. Mereka tidak boleh keluar sesuka hati. Mungkin untuk menjaga prestasi pelajar di sini. Memandangkan universiti ini bukan calang-calang orang boleh memasukinya.

'Ingatkan seronok sangat duduk universiti ni. Rupanya tak. Ada pula peraturan ketat macam budak sekolah,' desis Ilham di dalam hati.

'Ha'ah, ya. Betul kata kau. Ada pula waktu larangan yang kita tak boleh keluar.' Tiba-tiba ada suatu suara lain menjengah benak Ilham. Terkejut Ilham dibuatnya.

Suara siapa itu? Adakah dia sedang berhalusinasi?

Ilham mengangkat wajahnya. Pelajar lelaki itu kelihatan sedang mengukirkan senyuman mesra ke arahnya.

"Hai, saya Haikal Raimi. Course Electrical Engineering." Lelaki itu memperkenalkan dirinya tanpa dipinta. Tangan dihulurkan sebagai salam perkenalan.

"A ... saya Ilham, Ilham Hakimi. Course Science Physics." Ilham membalas sapaan Raimi. Huluran tangannya disambut. Kekok pula Ilham rasa.

Lama mereka berdua bersalaman. Raimi seperti tidak ingin melepaskan pegangannya terhadap tangan Ilham. Wajah Ilham pula ditatapnya penuh makna.

"Err...." Ilham berasa pelik dengan tingkah Raimi pada waktu itu.

Pegawai itu berdehem sebentar untuk meminta perhatian mereka berdua. Raimi dan Ilham menoleh ke arah pegawai itu serentak. Raimi terus melepaskan pegangannya.

"Sesi suai kenal tu kamu berdua boleh buat kemudian. Ilham, mari ikut saya ke bilik kamu, sekarang," arah Akhtar dengan tegas.

Dengan perasaan berat hati, Ilham akur menurut arahan pegawai itu. Dia baru sahaja ingin beramah mesra dengan rakan barunya ini. Ilham membuntuti langkah Akhtar ke lif. Butang lif ditekan untuk ke tingkat empat. Bangunan asrama ini ada empat tingkat tidak termasuk aras bawah. Bilik Ilham terletak di tingkat atas sekali.

Raimi masih tidak berganjak dari tempat tadi. Dia ralit memerhatikan tingkah mereka berdua. Setelah pintu lif terbuka, Ilham melangkah masuk bersama pegawai itu. Tertutup sahaja pintu lif, Raimi terus cepat-cepat melarikan diri daripada bangunan itu. Destinasinya masih tidak diketahui.

Ting!

Pintu lif terbuka. Mereka telah pun sampai di tingkat empat. Sekali lagi Ilham terkesima melihat hiasan dalaman di aras itu. Hiasan dalamannya persis sebuah hotel. Tidak kelihatan seperti asrama. Ilham terfikir. Adakah asrama lain turut mempunyai kemudahan yang sama seperti yang dia duduki sekarang?

Jika benar, pasti universiti ini mendapat dana yang sangat banyak untuk menampung segala kos perbelanjaan. Memikirkan itu sahaja sudah cukup untuk membuatkan Ilham berasa gerun. Air liur yang ditelannya terasa berpasir.

"Kenapa? Kamu terkejut ke?" Akhtar seperti memahami apa yang bermain di benak Ilham saat ini.

Ilham tidak menjawab. Pandangannya dikalihkan ke arah lain. Tidak mahu bertentang mata dengan Akhtar yang berada di sebelahnya. Ilham melewati koridor yang disimbahi cahaya dari lampu neon berwarna putih. Lantai tempat dia berpijak sekarang disaluti dengan batu marmar.

"Kita dah sampai bilik kamu," beritahu pegawai itu setelah berhenti di hadapan sebuah bilik. Biliknya itu terletak di hujung lorong.

Beg-beg Ilham sudah pun diletakkan di hadapan pintu biliknya.

Pegawai itu mengeluarkan kunci bilik yang disimpan dalam kocek seluarnya. Kunci itu dalam bentuk sekeping kad. Terdapat sebuah poket untuk memasukkan kad di pintu bilik itu. Kad kunci itu dimasukkan ke dalam poket tersebut. Setelah lampu pada poket itu menyala hijau, kad itu dikeluarkan.

Pintu biliknya terbuka. Tanpa disuruh, Ilham terus masuk ke dalam biliknya. Beg-begnya turut dibawa masuk lalu diletakkan di suatu sudut.

Seperti yang dijangka, bilik itu kelihatan seperti sebuah hotel. Lantainya dialas dengan permaidani. Ada sebuah katil, sebuah meja dan kerusi untuk belajar dan sebuah almari disediakan dalam bilik itu. Bilik air disediakan. Tidak perlulah dia bersusah-payah keluar dari bilik untuk ke bilik air selepas ini. Penghawa dingin turut disediakan di bilik itu.

Kad tadi dimasukkan ke dalam sebuah poket yang terletak di sebelah suis. Tanpa segan-silu, Ilham terus menghempaskan dirinya ke atas katil lalu bergolek. Dia sudah tidak sabar untuk melepaskan lelah setelah berhempas-pulas menjalani berbagai-bagai ujian saringan.

Ilham tidak sedar bahawa Akhtar masih di biliknya sambil memerhatikan tingkahnya. Dia kemudiannya bergolek ke kiri. Dilihatnya pegawai itu masih berdiri tercegat memerhatikannya. Terus Ilham cepat-cepat bangun lalu berdiri tegak. Mukanya merah padam menahan malu.

'Kenapa mamat ni tak balik lagi?' desis Ilham.

Akhtar berjalan ke arah meja belajar yang terdapat dalam bilik itu. Fail yang sedari tadi dibawa bersama diletakkan di atas meja. Dia membuka laci meja tersebut. Sekeping kertas yang telah dilaminat di dalam laci tersebut dikeluarkan. Kertas itu diserahkan kepada Ilham. Kertas berlaminat itu bertukar tangan.

"Baca tu. Dalam tu ada tertulis peraturan yang kamu kena patuhi sepanjang berada di universiti ni. Dalam fail tu ada jadual dan peta dalam kampus ni. Kamu akan mula hadir kelas esok. Ada bas yang akan datang jemput kamu tepat pukul 7.30," terang Akhtar mendatar.

"Kalau saya tak patuhi peraturan ni, apa akan jadi?" Dengan beraninya Ilham mengajukan soalan itu.

"Kamu akan dikenakan tindakan," beritahu Akhtar dengan tegas. Ilham terteguk air liurnya mendengar amaran daripadanya.

"Lagi satu, tu kunci saya dah letakkan kat situ." Akhtar menuding jari ke arah tempat dia meletakkan kunci bilik. Mata Ilham melirik mengikut arah yang ditunjukkan pegawai itu.

"Ada apa-apa yang kamu nak tanya?"

Ilham menggeleng pantas sebagai jawapan. Dia tidak mahu pegawai ini berlama-lama di dalam biliknya. Dia mahu cepat-cepat melepaskan kepenatan di atas tilam yang empuk itu. Bantal, tilam dan selimut kelihatan seperti memanggil-manggil Ilham.

"Okey. Kalau dah takda apa-apa saya pulang dulu," ujar pegawai itu sebelum melangkah pergi.

Ilham menghantar lelaki itu pulang dengan pandangannya. Pintu bilik ditutup. Ilham menghembuskan nafas kelegaan. Tubuhnya terus direbahkan ke atas katil. Baju-bajunya masih terlipat elok di dalam beg. Barang-barang yang lain juga masih tersimpan di dalam beg. Tubuhnya terasa berat sungguh untuk mengemaskan barang-barangnya.

Kepalanya bergolek ke sisi. Beg-beg yang sedari tadi sedia menunggu untuk dikemaskan terletak elok di sisi almari. Barang-barang itu memanggil-manggil Ilham untuk mengemaskannya.

'Bagilah aku peluang untuk rehat,' keluh Ilham.

Seruan untuk mengemaskan biliknya harus disahut, namun saat ini Ilham lebih cenderung untuk menyahut seruan daripada sang bantal, katil dan selimut. Tanpa disedarinya, kelopak mata Ilham perlahan-lahan terkatup rapat lalu bermulalah penerokaannya ke alam mimpi.

***

Azan zuhur yang datang dari arah surau berhampiran mengejutkan Ilham. Mata Ilham terbuka secara mendadak. Dia kelihatan terkejut dengan persekitarannya kini. Kepalanya dirasakan sakit sedikit. Dadanya berdegup kencang.

Ilham bingkas bangun. Dia menilik persekitaran bilik ini. Dia sudah tidak ingat sejak bila dia tertidur dan berapa jam dia telah tertidur. Dalam keadaan bingung, Ilham mencari telefon pintarnya untuk melihat jam.

'Mana pula ni?' soal Ilham yang tidak ingat di mana dia berada sekarang.

'Oh, aku kat hostel. Kan baru beberapa jam lepas aku daftar masuk universiti ni. Macam manalah aku boleh tak ingat.' Setelah beberapa saat, Ilham menjawab semula soalan yang diajukannya tadi.

Dalam keadaan yang masih mamai dan jalan yang terhuyung-hayang, dia berjalan ke arah bilik air untuk mengambil wuduk. Setelah solat nanti, dia berniat untuk mengemaskan barang-barangnya. Setelah tidur seketika, rasa letih di badan berjaya diusir keluar.

Jauh di sudut hatinya, dia berasa cukup malas untuk ke kelas esok. Nasiblah esok hari jumaat. Hari yang terakhir untuk menghadiri kelas sebelum cuti semula di hujung minggu. Sedikit sebanyak, Ilham sudah terbiasa dengan rutin hariannya di rumah. Jadi, untuk melalui perubahan rutinnya kali ini mungkin agak sukar bagi Ilham.

Walau bagaimanapun, ada sesuatu yang menjentik ingin tahu di benaknya. Ada suara asing yang didengarinya tadi sebelum naik ke bilik. Dari mana suara itu datang? Adakah dia pun sudah mula berhalusinasi? Adakah ia cuma monolog yang dihasilkan mindanya?

Tidak mungkin. Ilham pasti bukan mindanya yang menjana dialog sebegitu dalam mindanya. Dia yang pada asalnya ingin bermonolog sendiri di dalam hati tiba-tiba diterjah suara lain menjadikannya sebuah dialog.


Previous: BAB 30
Next: BAB 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.