Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 8

DITANGKAP

Hari sudah menginjak tengahari ketika pasangan kembar itu mengambil keputusan untuk pulang. Cahaya dari sang suria mengintai ruang di celah-celah dedaunan dari pepohononan nan merimbun demi memancarkan sinarannya di lantai hutan. Bunyi kicauan unggas di hutan memecah keheningan di hutan belantara itu.

Zalfa dan Zafran pulang ke rumah dalam keadaan tergesa-gesa. Kehadiran lelaki yang memulangkan buku nota kepada mereka berdua tadi begitu mencurigakan. Dia meragui niat lelaki itu memulangkan buku nota Zalfa kepada mereka.

Apa yang pasti, mereka mungkin tidak boleh menjalani lagi rutin harian mereka seperti selalu. Mereka juga mungkin tidak boleh datang lagi ke hutan ini. Lelaki itu telah mengetahui isi kandungan buku nota itu. Kata-katanya juga tadi menunjukkan bahawa lelaki ini faham akan apa yang dibacanya dalam buku itu. Dia faham akan isi kandungannya.

"Hebat isi kandungannya, persis catatan ahli perubatan Melayu lama. Orang yang menulisnya pasti seorang yang genius atau...." Dia pasti memaksudkan sesuatu ketika melemparkan kata-kata ini.

Ya, benar seperti yang dikata. Catatan Zalfa itu lebih mirip catatan ahli perubatan Melayu lama. Pelik bukan bunyinya? Apa yang dia maksudkan sebenarnya?

"Abang, siapa agak-agaknya lelaki tu?" soal Zalfa memulakan bicara.

"Entahlah. Abang pun tak pasti. Tapi tadi abang rasa tak sedap hati je. Maksud abang, apa dia buat seorang-seorang kat tengah hutan? Dan kenapa dia cakap macam tu? Kenapa dia tiba-tiba beri kita tawaran tu?" jelas Zafran menzahirkan kerisauannya.

"Lagi satu, dari apa yang dia cakapkan tu, nampaknya dia mungkin dah tahu tentang kuasa Zalfa, sekurang-kurangnyalah," tambah Zafran lagi.

"Ya, nampaknya kita kena lebih berhati-hati lepasni," balas Zalfa mengakhiri perbualan mereka.

***

Kabus mencengkam persekitaran tika dinihari. Kebanyakan penduduk kampung itu masih lena diulit mimpi, namun tidak bagi Zafran, Zalfa dan datuk mereka yang tinggal bersama. Mereka berdua dikejutkan dengan bunyi ketukan bertalu-talu di pintu rumah kayu mereka.

Tok! Tok! Tok!

"Aduh, siapa pulalah yang datang pagi-pagi buta ni," rungut Zaqwan sambil menguap menahan kantuk yang masih bersisa. Kepalanya yang tidak gatal digaru.

Zalfa dan datuk mereka berdua, Zainal turut terjaga dari lena masing-masing. Mata Zalfa yang masih kuyu diusap perlahan untuk menghilangkan sisa kantuknya. Ketiga-tiga mereka berjalan ke ruang sorong rumah kayu itu untuk melihat siapakah gerangannya tetamu yang bertandang ke rumah mereka pada waktu sebegini.

"Zafran, pergi bukakan pintu. Tengok siapa yang datang tu," arah Zainal kepada cucunya lembut.

Zafran hanya mampu akur dengan permintaan datuknya. Dia tidak mahu ingkar arahan orang lebih tua daripadanya. Perlahan-lahan dia berjalan ke pintu hadapan dengan langkah yang terhuyung-hayang. Zalfa pula setia menanti di sisi datuknya.

Pintu rumah itu dibuka perlahan. Zafran ketika itu langsung tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah dia menyedari siapakah sebenarnya yang bertandang ke rumahnya pada waktu ini. Beberapa orang askar yang memakai uniform dengan lambang Eurasia sedang berdiri di hadapan rumah mereka.

Zafran membeliakkan matanya. Spontan, dia mengambil beberapa langkah ke belakang.

"Kenapa, abang?" soal Zalfa menyedari abangnya seperti takutkan sesuatu.

Walau bagaimanapun, belum sempat dia mengajukan soalan seterusnya, beberapa orang askar telah pun naik ke rumah kayu dengan tidak menanggalkan kasut but masing-masing. Sengaja mereka berbuat sebegitu. Biadab sungguh perbuatan mereka itu.

Zafran terus menerpa ke arah adik dan datuknya yang sudah pun berada di suatu sudut rumah, bagi melindungi mereka berdua.

"Apa kamu semua nak?" soal Zafran kasar.

Sejak dari dahulu lagi dia memang membenci pihak Eurasia. Merekalah yang bertanggungjawab membunuh ibu dan bapa mereka berdua sejak mereka kecil lagi. Kedua-dua ibu dan bapanya terkorban dalam sebuah pertempuran melibatkan pihak Eurasia dengan pemberontak yang menguasai wilayah mereka. Sejak dari hari itu, mereka hanya tinggal bersama datuk mereka.

Para askar yang masuk ke rumah mereka tanpa diundang itu melangkah perlahan ke arah mereka bertiga. Dapat didengar dengan jelas bunyi derapan tapak kaki mereka. Zalfa dan Zafran memerhatikan mereka dengan penuh kebencian. Askar-askar itu semua menayangkan riak wajah selamba, menghangatkan lagi api kebencian yang kian lama terpendam di hati Zafran dan Zalfa.

"Apa kamu semua nak?" Zafran mengulang soalannya dengan meninggikan lagi suaranya.

"Zafran Dasuki dan Zalfa Dayana, sila ikut kami," arah salah seorang daripada mereka mendatar.

Zainal yang hanya senyap sejak dari tadi ingin mara ke hadapan, tetapi perbuatannya dihalang Zafran.

"Takpa, atuk. Biar saya uruskan," tegas Zafran setelah menoleh ke belakang.

"Tapi, Zafran...." Zainal ingin membantah tetapi dia dipotong Zafran.

"Takpa, atuk dan Zalfa lari dulu ikut pintu belakang. Biar saya lengahkan masa untuk bolehkan atuk lari." Zafran mengusulkan rancangannya dalam nada berbisik agar tidak didengari oleh askar yang sedang berdiri tidak jauh dari mereka bertiga.

"Rumah ni dah dikepung. Dah takda jalan untuk kamu berdua larikan diri lagi," tutur askar itu secara tiba-tiba seperti mendengar perbincangan mereka bertiga.

Zafran membeliakkan matanya, terkejut tatkala menyedari masalah yang sedang dihadapi mereka sekarang. Dia sedar yang mereka bertiga sudah tidak mampu untuk melarikan diri lagi. Zafran menoleh, memandang ke arah askar yang bercakap dengannya tadi. Dia masih lagi dengan riak wajah selambanya.

Ringan sahaja tangan Zafran untuk melayangkan penumbuk di muka askar itu. Biar pecah mukanya dikerjakan. Akan tetapi, dia sedar akan keadaan dirinya yang lemah. Dia tahu dia tidak mampu melawan.

"Kalau kamu bertiga taknak diapa-apakan, lebih baik kamu beri kerjasama saja pada kami," tambah askar itu lagi setelah tidak menerima sebarang respons daripada mereka bertiga.

"Tolong jangan apa-apakan cucu-cucu aku. Ambillah aku sebagai ganti." Tiba-tiba sahaja Zainal bersuara.

"Atuk!" jerit Zalfa dan Zafran serentak, terkejut dengan keputusan drastik datuk mereka.

"Kerajaan Eurasia mahukan kamu berdua, bukan orang tua nyanyuk ni," balas askar itu bersikap kurang ajar.

Zafran terus bertindak melayangkan penumbuk ke muka askar itu, berang dengan sikap kurang ajarnya. Walau bagaimanapun, dengan cekapnya askar itu mengelak penumbuk yang cuba disasarkan ke arahnya. Pergelangan tangan Zafran ditangkap, lalu diletakkan ke belakang tubuhnya bersama dengan sebelah lagi tangannya, mengunci pergerakan lelaki itu. Kemudian, tubuh Zafran ditekan kuat ke atas meja yang terdapat di ruang sorong itu. Askar itu hanya melakukan kesemuanya dengan sebelah tangan sahaja. Semuanya berlaku dengan pantas. Zafran tidak sempat berbuat apa-apa.

Zafran meringis menahan kesakitan. Kepalanya dirasakan sakit dek hentaman kuat yang diterimanya akibat berlaga dengan permukaan keras meja tersebut.

"Abang!" teriak Zalfa terkejut dengan apa yang berlaku.

"Zafran!" teriak datuknya serentak dengan Zalfa.

Zalfa dan datuknya ingin menerpa ke arah Zafran untuk menyelamatkannya, tetapi tubuh mereka berdua ditangkap askar-askar lain yang turut berada di rumah itu.

"Zalfa! Atuk!" teriak Zafran setelah menyedari adik dan datuknya telah ditangkap.

Zafran meronta-ronta, cuba untuk melepaskan dirinya tetapi gagal. Pegangan di tubuhnya dikuatkan agar dia tidak mampu untuk melarikan diri. Dia berasa buntu sekarang. Habis segala harapan mereka untuk melarikan diri.

Zalfa juga cuba meronta sekuat yang boleh bagi melepaskan dirinya. Sementara itu, datuk mereka hanya mampu akur diperlakukan sebegitu. Tubuhnya sudah lemah. Dia tidak mampu untuk melawan.

"114-A dan 114-B berjaya dineutralkan. Doktor boleh masuk sekarang," lapor askar yang memegang tubuh Zafran melalui alat telekomunikasi yang dipasang di telinganya.

Di luar perkarangan rumah kayu tersebut, diparkir sebuah kenderaan milik Tentera Eurasia. Seorang lelaki keluar dari dalam kenderaan tersebut. Dia merupakan Dr. Qarin Isfahan, salah seorang pegawai penyelidik dari Universiti Eurasia Kampus Nusantara. Dia juga turut terlibat dalam projek rahsia milik Kerajaan Eurasia.

Dr. Qarin melangkah masuk ke dalam rumah kayu seperti yang dipinta. Sebaik sahaja dia masuk, matanya terus tertancap pada Zalfa dan Zafran. Dia terus berjalan menghampiri Zalfa.

"Subjek 114-B. Dan lagi satu tu mesti Subjek 114-A," tutur Dr. Qarin sambil merenung wajah Zalfa yang dibasahi peluh.

"Ah, kau...." Zalfa mengenali lelaki yang beradaa di hadapannya ini. Inilah lelaki yang dijumpai mereka berdua di tengah hutan beberapa hari yang lalu.

"Good. Nampaknya kau masih ingat lagi aku," puji Dr. Qarin lalu mengukirkan senyuman penuh agenda.

Seorang askar datang menghampiri Dr. Qarin. Di tangannya terdapat sebuah kotak berwarna hitam. Kotak itu ditunjukkan kepada Dr. Qarin. Dr. Qarin membuka kotak itu. Di dalamnya terdapat dua tiub lutsinar berserta cecair di dalamnya. Zalfa pula hanya mampu memerhatikan apa yang ada di dalam kotak tersebut.

"Masih ingat lagi tawaran yang aku berikan tempoh hari?" soal Dr. Qarin sambil sebelah tangannya mencapai salah satu daripada tiub kaca tersebut.

"Apa kamu semua nak dengan kami? Kami dah kata kami tak berminat dengan tawaran tu kan?" soal Zalfa dengan lontaran suara agak lemah. Rasa gerun terbit di jiwanya tatkala memerhati tingkah Dr. Qarin.

"Kan aku dah kata, kamu berdua sangat berharga buat Kerajaan Eurasia. Tak mungkin aku akan biarkan saja subjek yang berharga macam kamu berdua," jelas Dr. Qarin kepada Zalfa.

Air liur Zalfa ditelannya kelat. Bertambah-tambah rasa gerunnya apabila mendengar penjelasan Dr. Qarin.

"Hulurkan sebelah tangan subjek," arah Dr. Qarin mendatar.

Sebelah tangan Zalfa dihulurkan secara paksa oleh askar yang memegang tubuhnya. Sebelah tangan Dr. Qarin memegang erat tangan Zalfa yang dihulurkan. Manakala sebelah lagi tangannya meletakkan tiub berisi cecair tadi ke atas lengan Zalfa. Sebaik tiub itu menyentuh kulitnya, Zalfa dapat rasakan ada jarum menusuk kulitnya. Jarum itu terletak di hujung tiub itu.

"Ah!" Zalfa terjerit sekejap, terkejut dengan jarum yang menusuk ke kulitnya.

"Apa kau dah buat dengan Zalfa?" soal Zafran setelah mendengar jeritan adiknya. Rontaannya menjadi semakin kuat.

"Oh, tak sabar-sabar rupanya kau ya? Nantilah, lepas ni giliran kau pula," kata askar yang memegang Zafran, sengaja menimbulkan provokasi.

Cecair di dalam tiub itu meresap masuk ke dalam tubuh Zalfa. Tubuh Zalfa mula terasa lemah dek kesan cecair yang masuk ke dalam tubuhnya itu. Pandangannya pula perlahan-lahan beransur gelap sebelum dia mulai hilang kesedaran. Tubuh Zalfa jatuh terkulai dalam tangan dua orang askar yang memegangnya. Dr. Qarin yang memerhatikan Zalfa sedari tadi tersenyum sinis.

Dr. Qarin memandang pula ke arah Zafran. Langkahnya diatur untuk menuju ke arah Zafran. Askar yang membawa kotak hitam itu turut mengikuti langkah Dr. Qarin. Dr. Qarin melutut di sebelah Zafran yang masih ditekan tubuhnya di atas meja. Wajahnya ditenung sebentar sebelum mengambil satu lagi tiub cecair yang berada di dalam kotak hitam tersebut.

"Kenapa kau pegang subjek ni macam tu?" soal Dr. Qarin sambil mencapai tiub di dalam kotak hitam itu.

"Subjek ni lebih agresif," jelas askar itu.

"Apa kamu semua nak buat dengan kami?" Zafran melemparkan soalan dengan kemarahan yang meluap di dada.

Lengan baju Zafran diselak. Tiub cecair yang berada di tangannya diletakkan di atas lengan Zafran.

"Relaks. Pihak kami akan memberi layanan yang terbaik untuk manusia istimewa macam kamu bertiga." Ayat itu menyapa gegendang telinga Zafran tatkala dia merasakan ada jarum menusuk kulitnya.

Terkejut Zafran dibuatnya tatkala mendengar lelaki itu menyebut perkataan bertiga. Maksudnya, selain dia dan Zalfa, ada seorang lagi yang dimaksudkannya.

"Bertiga? Ah, tak mungkinlah! Abang Zaqwan...." Zafran menyedari abang mereka juga turut menjadi sasaran pihak Eurasia.

Zafran mahu bersuara tetapi dia tidak mampu. Tubuhnya dirasakan terlalu lemah saat ini dek cecair yang masuk ke dalam tubuhnya. Seperti adiknya, Zafran juga turut jatuh pengsan beberapa saat selepas itu. Askar yang memegang tubuh Zafran meleraikan pegangannya.

Dr. Qarin bangun lalu memberi arahan, "Bawa dua-dua subjek ni masuk dalam kenderaan."

Tubuh Zalfa dan Zafran dibawa keluar dari rumah kayu tiang tinggi itu. Dr. Qarin turut berjalan keluar dari rumah itu, meninggalkan datuk Zalfa dan Zafran bersama beberapa orang askar di dalam.

"Tuan, apa kita patut buat pada orang tua ni." Salah seorang askar menyoal menunggu arahan.

"Hapuskan dia. Kita tak perlukan orang tua ni." Arahan diberikannya senada, bagaikan nyawa orang awam itu tiada makna pada mereka.

"Baik tuan." Askar itu akur menurut arahan seperti robot, langsung tidak dipersoalkan arahan itu.

Muncung senapang ditalakan ke arah lelaki tua itu. Picu ditarik lalu tembakan dilepaskan dengan sekali nafas.

Bang!

Bergema bunyi tembakan itu memecahkan keheningan dinihari. Beberapa ekor burung berterbangan dek terkejut dengan bunyi tembakan itu. Askar itu pula langsung tidak merasakan apa-apa ketika mengambil nyawa orang yang tidak bersalah itu. Setakat tugas mengambil nyawa orang awam adalah perkara biasa bagi mereka.

Bunyi tembakan itu tidak pula mengejutkan para penghuni berhampiran dari alam mimpi. Mereka sebenarnya sudah biasa dengan bunyi sebegitu. Tiada siapa pun yang peduli. Jika ia tidak melibatkan ahli keluarga terdekat, mereka tidak akan mempedulikannya. Bagi mereka, tidak perlulah mereka masuk campur jika tidak mahu diheret sama ke dalam masalah.

Tubuh lelaki tua itu rebah mencium lantai kayu rumahnya. Darah merah pekat mengalir keluar dari luka tembakan di kepalanya, membasahi permukaan lantai. Adegan mengerikan itu hanya dilihat para askar di situ dengan renungan kosong. Mereka memang sudah tiada perasaan lagi.

Para askar berlalu pergi, meninggalkan tubuh lelaki tua itu terkujur di rumah kayu tersebut.


Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hana Mizari