MASA HADAPAN DAN MASA LALU
Wilayah Autonomi
Haikal Raimi mendapati dirinya sedang berdiri di hadapan sebuah tingkap kaca lutsinar di dalam sebuah bangunan. Di bawahnya kelihatan orang ramai sedang berarak sambil membawa sepanduk, Obor Tiki, dan gambar Donald Trump bersaiz besar. Daripada riak wajah mereka, dapat dilihat kemarahan terekspres pada wajah masing-masing berkenaan insiden yang baru berlaku, iaitu kematian Donald Trump.
Presiden Amerika Syarikat yang ke-45 itu ditembak mati ketika sedang berucap di hadapan khalayak ramai. Sedang dia sibuk menyampaikan ucapannya, secara tiba-tiba muncul seorang rakyat Amerika yang anti dengan pentadbiran Donald Trump menembak pemerintah fasis itu tepat mengenai kepalanya. Sebutir peluru menembusi kepalanya sekaligus mengambil nyawa presiden fasis itu.
Tunjuk perasaan diadakan oleh penyokong Donald Trump dan pendokong ideologi fasis dek kemarahan mereka terhadap kematian presiden itu. Senjata api turut dibawa bersama menyatakan kesediaan mereka untuk berperang bila-bila masa sahaja. Tunjuk perasaan yang berpanjangan membawa kepada pertumpahan darah tatkala mereka bertembung dengan pendukung ideologi haluan kiri. Rentetan peristiwa itu membawa Amerika Syarikat ke kancah perang saudara.
Raimi hanya melihat perarakan ekstremis haluan kanan dengan perasaan bercampur-baur antara kecewa, putus asa, takut dan berbagai-bagai perasaan lagi yang tidak mampu untuk diungkapkan dengan kata-kata. Sungguh, dia sudah tidak tahu apa yang patut dirasakan kala ini.
"Ekonomi dunia dah jadi teruk sebab peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba ni. Lepas presiden tu kena tembak mati, Amerika jadi huru-hara sampai jadi perang. Tak cukup dengan tu, perang ni dah merebak satu dunia sampai jadi World War III. Negara aku turut tak terkecuali, sampai habis tutup universiti dibuatnya sebab keadaan ekonomi yang teruk," ulas Raimi sambil memegang permukaan tingkap kaca lutsinar yang berketinggian dari lantai sehingga ke siling.
Satu keluhan berat dilepaskan Raimi. Pemandangan orang sedang berarak di bawahnya direnung Raimi dengan seribu satu perasaan bercampur-baur. Pantulan dari tingkap kaca di hadapannya mempamerkan wajahnya yang sugul.
Suasana berubah secara tiba-tiba. Raimi mendapati dia berada di sebuah bilik yang menempatkan dirinya berserta dua orang lagi pelajar lelaki lain. Di hadapannya terdapat sebuah meja dan seorang wanita duduk di kerusinya. Keadaan di bilik itu menunjukkan dia seperti berada di sebuah pejabat. Pejabat milik wanita itu barangkali.
"Saya dah bagi awak peluang, kan? Tapi awak sia-siakannya. Tengok, kawan-kawan awak semua dah grad." Wanita itu tiba-tiba sahaja bersuara. Lancang sekali dia berbicara.
"Tapi, mana saya tahu keadaan nak jadi macam ni. Tiba-tiba je satu dunia berperang." Raimi membuka mulutnya untuk bersuara. Alasan diberikannya untuk terus berunding.
"Ah, itu masalah awak! Bukan masalah saya. Pandai-pandailah awak nak bawa diri lepas ni," balas wanita itu seperti tidak peduli akan masalah yang menimpa dirinya dan dua orang lagi rakan yang bersama dengannya.
Terkedu Raimi dibuatnya. Tidak tahu apa lagi alasan yang patut diberikan agar dia dapat meneruskan pengajiannya dan memperoleh ijazahnya.
"Oh, kan bagus kalau masa dapat diundur kembali. Lagi sikit lagi aku nak dapatkan ijazah aku sebelum universiti ni nak tutup. Sepatutnya aku dah grad sama-sama kawan aku kalau peristiwa tu tak berlaku. Aku sempat nak grad sebelum Perang Dunia Ketiga berlaku. Kalaulah...," keluh Raimi penuh kekesalan dalam hatinya.
Raimi melangkah keluar bersama dengan dua orang lagi yang turut bersama dalam bilik tersebut. Mereka berdua turut berkongsi masalah yang sama dengan Raimi, cuma tidak diketahui apa puncanya. Kekecewaan turut dipamerkan pada riak wajah masing-masing. Mereka bertiga berjalan meninggalkan bilik itu.
Kecewa sungguh dirasakan Raimi kala ini. Perasaan ini turut dikongsi dua orang lagi pelajar yang turut bersamanya dalam bilik itu. Pengajian yang hanya berbaki setahun sahaja lagi tidak sempat dihabiskan. Universiti tempat mereka menuntut tiba-tiba sahaja ingin ditutup dek kegawatan ekonomi yang melanda. Kerajaan sudah tiada duit lagi untuk menampung kos perbelanjaan institusi pengajian tersebut. Akibatnya, para pelajar dan staf di situ menjadi mangsa kepada kegawatan ekonomi yang melanda negara tersebut.
"Jadi, apa kita nak buat ni?" soal salah seorang daripada rakannya kepada Raimi yang berjalan paling hadapan.
"Entahlah. Aku pun tak tahu apa yang patut aku lakukan sekarang ni. Nasi dah jadi bubur. Kita dah tak boleh buat apa untuk melawan semua ni," balas Raimi dengan nada kecewa dan putus asa.
Dua orang lagi rakannya hanya mampu menayangkan wajah sugul mendengar apa yang dibicarakan Raimi. Sedikit sebanyak mereka berdua setuju dengan apa yang dikatakan Raimi. Raimi menoleh lalu melangkah pergi. Kemudian, turut diekori oleh dua orang lagi rakannya. Mereka berdua hilang arah, tidak tahu ke mana lagi harus dituju selepas ini. Oleh sebab itu, mereka hanya mampu mengekori sahaja langkah Raimi. Ke mana sahaja Raimi pergi, mereka akur.
Raimi yang perasan dirinya diekori menoleh lalu berkata, "Tak payahlah korang berdua ikut aku. Aku pun sama macam korang, dah hilang arah. Bawalah diri masing-masing." Putus asa sahaja bunyinya.
"Takpa, kitorang ikut je. Kau nak pergi mana lepas ni?" soal salah seorang daripada mereka tanpa berlapik.
Soalan itu dirasakan bagai tusukan daripada besi tajam yang panas ke dadanya. Pedih benar baginya untuk menjawab soalan itu. Dia bukannya ada jawapan pun untuk menjawab soalan itu.
"Aku nak terus blah je dari U ni. Bukannya kita boleh buat apa pun lagi," luah Raimi dengan tidak bersemangat.
"Yalah, jomlah kita blah terus dari sini," balas si penanya tadi bersetuju dengan cadangan Raimi.
Mereka bertiga terus melangkah ke arah pintu pagar universiti tersebut. Walau bagaimanapun, ada sesuatu yang pelik mencuri tumpuan Raimi. Di pintu pagar, terdapat beberapa orang askar sedang berkawal bersama kawat duri yang dipasang mengelilingi kawasan universiti tersebut. Di tangan masing-masing terdapat selaras senapang AK-12. Mereka seperti tidak membenarkan sesiapa pun keluar dari kawasan universiti tersebut. Sekali tengok, seperti mereka berada di sempadan wilayah pula.
Raimi hanya melangkah tenang ke arah askar-askar tersebut. Dia sudah pasrah dengan nasibnya kini. Tiada apa lagi yang tinggal buat dirinya selepas masa hadapannya direnggut tanpa belas kasihan. Dua orang lagi rakannya turut melakukan perkara yang sama.
Seperti menyerah diri, Raimi hanya berjalan menghampiri salah seorang daripada askar tersebut. Apabila diamati dari dekat, baru Raimi perasan akan lambang yang terdapat pada uniform masing-masing. Terdapat lambang berbentuk lapan anak panah berwarna kuning emas yang bercantum di tengah pada pangkalnya dan menuju ke arah bertentangan. Raimi kenal sangat dengan lambang itu. Lambang itu merupakan lambang Eurasia, iaitu salah satu daripada empayar yang meningkat naik semasa Perang Dunia Ketiga.
Doktrin politik yang dibawa oleh mereka iaitu Fourth Political Theory yakni doktrin politik yang baru menggantikan segala ideologi, sistem dan doktrin politik sebelum ini. Ideologi ini menentang segala dogma kemodenan yang dibawa ketiga-tiga ideologi sebelum ini iaitu liberalisme, komunis dan nazi. Eurasianisme menginginkan sebuah dunia multipolar, iaitu sebuah dunia yang membenarkan setiap ketamadunan membentuk sistem mereka sendiri.
Selepas dunia multipolar yang diimpikan mereka terbentuk, pertembungan di antara semua ideologi mengheret seluruh dunia ke kancah peperangan dan huru-hara.
Raimi sendiri tidak faham, apalah tujuan mereka membawa dunia ini menjadi huru-hara sebegini. Tidak bolehkah mereka membiarkan sahaja dunia ini aman seperti sediakala?
"Eurasia? Apa Tentera Eurasia buat kat sini? Sini bukan wilayah autonomi ke? Apa dah berlaku sebenarnya ni?" Pelbagai persoalan mula timbul di benak fikiran Raimi.
Raimi terus berjalan menghampiri mereka. Rasa gerun terbit dalam dirinya tatkala berhadapan dengan tentera tersebut. Lagak mereka seperti penjaga sempadan sahaja.
"Aik, sejak bila universiti ni jadi sempadan wilayah pula ni?" Semakin lama semakin pening Raimi dibuatnya.
Tatkala Raimi berada betul-betul di hadapan tentera tersebut, salah seorang daripada mereka terus bersuara dengan nada mendatar, "Serah diri, Subjek 288."
Raimi terjaga dari tidurnya secara mendadak. Peluhnya merinik di dahi. Dadanya berdegup kencang. Baru dia sedar yang selama ini dia hanya bermimpi. Dia berasa lega. Sekurang-kurangnya, sebahagian daripada mimpi tersebut hanya mainan tidur semata-mata. Raimi menarik nafas lega.
Raimi sekarang sedang berada di atas sofa lusuh di ruang tamu rumahnya. Keadaan di dalam rumah itu lengang sekali. Tiada siapa pun berada di rumahnya melainkan dirinya. Ibu dan bapanya telah keluar untuk mendapatkan bantuan makanan daripada UNHCR sementara keadaan sedang aman sekarang. Selepas ini, mereka sekeluarga akan berkurung dalam rumah jika konflik bersenjata berlaku lagi antara Malaya Nationalist Front dan Eurasia.
Wilayah tempat Raimi tinggal kini berada di bawah pengaruh Malaya Nationalist Front. Hanya tinggal wilayah ini dan beberapa wilayah lain sahaja yang masih belum jatuh ke dalam tangan Eurasia.
Mata Raimi melilau ke kiri dan kanan memerhatikan persekitaran rumahnya. Hatinya dipagut kehairanan. Hairan dengan mimpi yang baru dialaminya.
"Mimpi je ke? Tapi, kenapa aku mimpi macam tu pula? U tempat aku belajar tu baru tutup berapa bulan lepas. Apasal aku mimpi macam tu lagi?" Pelbagai persoalan terbit di mindanya. Raimi mengusap dagunya.
"Pelik! Selalunya aku akan mimpi pasal apa akan berlaku di masa depan macam sebelum ni. Masa sebelum U tu tutup. Tapi, kenapa aku mimpi lagi? Apa yang mimpi ni nak bagitahu? Dan, sub...." Kata-katanya terputus di situ.
"Raimi!" panggil seseorang secara tiba-tiba.
Terloncat Raimi daripada sofa dibuatnya kerana terlampau terkejut mendengar seseorang memanggil namanya. Sudahlah rasa berdebarnya masih belum hilang dek mimpi yang dialaminya tadi, datang pula seseorang mengejutkannya secara tiba-tiba.
"Raimi, kau ni apahal pula terloncat-loncat macam beruk?" soal Marisa yang datang entah dari mana.
"Engkau rupanya Marisa! Aku ingatkan siapa tadi. Terkejut aku dibuatnya tadi tahu tak! Lain kali jangan kejutkan aku macam tu lagi." Lega Raimi dibuatnya tatkala mendapati Marisa Khairina, jirannya yang memanggil tadi. Dadanya diurut perlahan demi melegakan keresahan yang bersarang di hatinya.
Marisa hanya menayangkan seringainya.
"Kau ni, orang lain semua tengah sibuk-sibuk pergi ambil bekalan dekat UNHCR, kau boleh pula duduk kat sini sedap-sedap tidur," perli Marisa.
"Mak ayah aku suruh aku stay je kat rumah. Lagipun, aku rasa tak sedap hati. Sejak akhir-akhir ni aku asyik mimpi bukan-bukan je," terang Raimi akan alasannya kenapa dia tidak mengikut ibu dan bapanya pergi.
"Oh, kau mimpi lagi ke? Kau mimpi pasal masa depan lagi ke?" soal Marisa mula menunjukkan minatnya.
Raimi menggaru kepalanya yang tidak gatal sehingga kusut-masai rambut dibuatnya. Serabut memikirkan pelbagai mimpi yang dialaminya sebelum ini.
"Hmm, let me guess. Kau mimpi pasal... Perang Dunia Ketiga?" telah Marisa secara tiba-tiba.
Raimi mengangguk laju mengiakan telahan Marisa.
"Lepastu..., presiden rambut kuning tu kena tembak masa berucap, kan?" Sekali lagi Marisa cuba meneka apa yang dialami Raimi. Dia tidak berapa ingat nama Presiden Amerika Syarikat ke-45 itu.
Raimi hanya mampu mengangguk seperti tadi. Malas membuka mulutnya untuk bersuara.
"And then, orang ramai berarak kat jalan raya sebab tak puas hati dengan insiden tu. Lepastu, tunjuk perasaan tu berlanjutan sampailah menyebabkan pertumpahan darah. Peristiwa nilah yang menjadi prelude kepada Perang Dunia Ketiga," sambung Marisa.
Raimi sudah memandang Marisa pelik. Walaupun dia tahu yang Marisa mungkin telah mempelajari sejarah itu di mana-mana, tetapi apa yang diceritakannya seperti begitu selari dengan mimpi yang dialaminya.
"Dia ni, macam mana dia boleh terangkan dengan detail mimpi aku ni? Dia ni boleh baca fikiran aku ke?" Raimi mula membuat andaian.
"Marisa! Kalau kau pandai, cuba kau teka apa lagi yang berlaku lepastu dalam mimpi aku." Raimi ingin memastikan andaiannya sama ada betul atau tidak.
"Kau tak sempat habiskan pengajian kau, kan masa tu? Lepastu kau macam ajak kawan-kawan kau untuk tinggalkan universiti tu, betul tak?" Tanpa mengesyaki apa-apa, Marisa terus menjawab soalan Raimi.
"Teruskan," pinta Raimi. Dia masih belum berpuas hati. Dia ingin betul-betul memastikan andaiannya.
"Masa tu, bila sampai kat pintu pagar universiti, kau nampak ada Askar Eurasia sedang berkawal macam dekat sempadan, kan? Dan paling pelik sekali, mereka kata kau... Subjek 288?" terang Marisa dengan yakin sekali.
Raimi pula sudah membeliakkan matanya. Sungguh, dia tidak menyangka yang andaiannya begitu tepat. Raimi merenung wajah Marisa dalam-dalam. Marisa pula sudah tidak selesa ditenung sebegitu. Bibir bawahnya digigit perlahan lalu pandangannya dikalihkan ke tempat lain. Malu tatkala direnung sebegitu oleh Raimi.
"Ehm, Raimi? Apahal kau pandang aku macam tu?" soal Marisa malu-malu. Wajahnya masih lagi memandang tempat lain.
Raimi yang menyedari perbuatannya tadi turut melakukan perkara yang sama. Bukan apa, dia bukannya sengaja untuk berbuat sebegitu. Dia cuma terkejut dan tidak percaya dengan apa yang Marisa lakukan ke atas dirinya jika andaiannya betul.
"Marisa, ah... betul ke... kau boleh baca fikiran aku? Kau baca fikiran aku tadi, kan?" soal Raimi lagi sekali untuk menyimpulkan andaiannya.
"Ya, betul tu. Tiba-tiba je aku dapati aku boleh tahu apa yang orang lain sedang fikirkan. Maaf, kalau aku buat kau terkejut. Aku cuma nak luahkan kat seseorang je apa yang aku rasa," jelas Marisa serba salah.
Raimi mengeluh perlahan. Kepalanya didongakkan memandang siling. Marisa pula sudah menekur memandang lantai. Keadaan senyap sunyi seketika, membiarkan hanya bunyi kipas siling mengisi keheningan.
"Jadi, sekarang kita ni samalah, ya?" soal Raimi tiba-tiba. Pandangannya dikalihkan semula ke arah Marisa.
"Ha? Kenapa pula kau cakap macam tu?" soal Marisa semula tidak faham. Kepalanya didongakkan untuk menatap wajah Raimi.
"Yalah. Maksud aku, kita berdua sekarang ni dah sama-sama ada kuasa pelik, kan? Kau boleh baca fikiran orang dan aku pula boleh ramal masa depan," jelas Raimi menerangkan maksudnya.
Marisa tiba-tiba sahaja tersenyum membuatkan Raimi tertanya-tanya.
"Ehem!" Kedengaran suara seseorang berdehem menghentikan perbualan mereka berdua. Serentak, Marisa dan Raimi berpaling ke arah punca suara itu.
"Eh, Fiya! Bila sampai? Tak perasan pun," tegur Marisa teruja. Orang yang datang itu merupakan Izati Syafiyah, sepupu kepada Haikal Raimi merangkap kawan baik kepada mereka berdua.
"Dah puas dah loving couple nibergurau-senda?" seloroh Syafiyah.
"Kau ni ada-ada je, Fiya. Mana ada," nafi Marisa malu-malu. Mukanya sudah merah padam menahan malu.
Syafiyah ketawa kecil melihat telatah dua orang sahabat baiknya.
"Kau ni datang ada apa, Fiya?" soal Raimi kembali kepada pokok perbincangan.
"Oh, ah! Aku cari Marisa tadi, tapi dia takda kat rumah pulak, jadi aku pergi sini cari kau, Marisa." Syafiyah memandang Marisa.
"Macam mana tahu aku kat sini?" soal Marisa semula.
"Ah..., biasanya kau kan kat sini, kan?" balas Syafiyah seperti sedang menyembunyikan sesuatu. Marisa mula memandang Syafiyah pelik.
"Ah, Fi...." Marisa ingin bertanya sesuatu tetapi dipotong Raimi.
"Ehm, kenapa cari Marisa? Ada apa-apa kau nak bagitahu ke?" soal Raimi.
"Aku nak bagitahu pasal ni." Syafiyah menunjukkan sekeping sampul surat yang dibawanya bersama.
"Apa tu?" soal Marisa dan Raimi serentak sambil memerhatikan sampul surat tersebut.
Syafiyah mengeluarkan surat dari dalam sampulnya lalu membuka lipatannya. Dia kemudian menunjukkan surat itu kepada mereka.
"Ini surat tawaran ke Universiti Eurasia Kampus Nusantara yang aku dapat. Korang dapat juga tak?"
Marisa dan Raimi berpandangan serentak lalu bersuara, "Ha?"