PENEROKAAN KE DALAM MEMORI
Dr. Akmal Hadid melangkah tenang di koridor bangunan yang berwarna putih serba-serbi. Lantai, dinding, dan siling, semuanya berwarna putih, sama seperti warna kot makmal yang dikenakan Dr. Akmal. Lampu Neon menerangi seluruh ruang koridor itu. Di tangannya terdapat sekeping tablet dan sebuah fail. Bersama dengannya, berjalan dua orang tentera memakai uniform dengan lambang Eurasia mengekori langkah Dr. Akmal dari belakang.
Sampai sahaja di hadapan pintu sebuah bilik yang berlabel Subjek 232, Dr. Akmal menghentikan langkahnya. Dua orang askar yang berjalan di belakangnya turut menghentikan langkah masing-masing. Dr. Akmal menoleh untuk berhadapan dengan pintu bilik itu.
Di sebelah pintu bilik itu, terdapat sejenis alat pengimbas yang diletakkan di situ. Dr. Akmal meletakkan kad matriknya pada alat pengimbas tersebut. Keluar sejenis laser berwarna merah dari alat itu mengimbas kad matriknya. Perkataan 'ACCESS GRANTED' terpampang di skrin yang terdapat pada alat pengimbas tersebut. Secara automatik, pintu bilik itu terbuka.
Dr. Akmal dan dua orang askar itu melangkah masuk ke dalam bilik tersebut. Setelah mereka berdua masuk, pintu itu terus ditutup secara automatik. Kelihatan seorang gadis awal 20-an sedang duduk bersila di atas lantai dan bergumam sesuatu. Di hadapannya terbentang sebuah buku peta dunia yang memaparkan peta Benua Afrika di atasnya.
"Gabon, Benin, Togo, Burkina Faso...." Gadis itu menyebut satu-persatu nama negara-negara di Benua Afrika yang terpampang di atas peta. Jari telunjuknya dituding ke arah satu-persatu nama negara tersebut.
Dr. Akmal menghampiri gadis itu. Dia menunduk untuk memerhatikan apa yang dibaca gadis tersebut. Sementara itu, dua orang askar lagi hanya berdiri tercegat berhampiran pintu keluar.
"Subjek 232," panggil Dr. Akmal lembut.
Gadis itu tidak mempedulikan panggilan Dr. Akmal.
Dr. Akmal menghembus nafas perlahan sebelum memanggil semula, "Rania!" Nada suaranya ditinggikan sedikit untuk meminta perhatian gadis bernama Rania itu namun dia tetap tidak mempedulikannya. Rania terus-menerus asyik membaca buku peta bersaiz besar itu.
"Rania Humaira Bte Kasim Sahar!" Saintis itu sengaja memanggil nama penuh Rania tatkala mendapati Rania tidak mempedulikan panggilannya.
Mendengarkan nama penuhnya dipanggil, Rania terus mendongakkan kepalanya secara mendadak untuk memandang Dr. Akmal lalu melafazkan kata-kata dengan satu nada, "Saya takda papa. Saya cuma ada mama je. Saya tak kenal pun siapa Kasim Sahar tu."
Dr. Akmal duduk di sebelah Rania yang masih lagi duduk bersila di atas lantai.
"Kenapa? Kamu masih marah ke dengan tindakan papa kamu menjual kamu dulu?" soal Dr. Akmal tanpa berlapik.
Rania tidak menjawab, sebaliknya kepalanya dikalihkan semula untuk menghadap buku peta di atas lantai. Dr. Akmal yang mendapati Rania tidak menjawab soalannya turut memandang ke arah buku peta tersebut.
"Oh, kamu tengok peta dunia sebelum Perang Dunia Ketiga tercetus ya?" soal Dr. Akmal mahu mengalih topik.
Rania tidak menjawab. Sengaja tidak mahu melayan saintis yang datang ke biliknya ini. Rania memang bersikap dingin dengan semua orang. Sejak dia dimasukkan ke institusi penyelidikan rahsia milik Kerajaan Eurasia, dia sudah hilang keinginan untuk berkomunikasi dan bersosial dengan manusia lain. Mana tidaknya, dia sudah tidak berpeluang lagi untuk berjumpa orang lain melainkan beberapa orang saintis yang menjalankan ujikaji terhadap dirinya. Entah apa tujuan ujikaji itu dijalankan, dia sendiri tidak pernah mengambil kisah.
"Subjek 232, hari ni ada tugasan untuk kamu," beritahu Dr. Akmal setelah lama membiarkan Rania melayan perasaannya.
"Eksperimen lagi ke?" soal Rania spontan.
"Tak, hari ni ada sesuatu yang special untuk kamu."
"Special?" Perkataan itu menarik perhatian Rania. Kepalanya didongakkan untuk memandang semula wajah Dr. Akmal.
"Kalau nak tahu apa dia, mari ikut doktor. Doktor akan tunjukkan apa benda yang special tu," balas Dr. Akmal menjawab pertanyaan Rania lalu bingkas bangun.
Rania turut bangun untuk mengikut Dr. Akmal pergi. Dr. Akmal tersenyum penuh makna. Mudah sahaja baginya untuk memujuk subjek yang bernama Rania itu.
Serentak itu, dua orang askar yang hanya berdiri tercegat seperti patung mannequin di kompleks membeli-belah sedari tadi terus menghampiri Rania. Kedua-dua tangan Rania dipegang lalu dihulurkan ke arah Dr. Akmal. Rania hanya mampu akur dirinya diperlakukan sebegitu. Dr. Akmal terus mengeluarkan gari elektronik dari dalam poket kot makmalnya lalu dipasang pada pergelangan tangan Rania. Gari elektronik itu hanya boleh dibuka melalui kod akses yang diketahui Dr. Akmal dan beberapa orang saintis sahaja.
"Doktor, saya taknak pakai gari ni boleh tak?" runding Rania secara tiba-tiba.
"Tak boleh, ni prosedur biasa," bantah Dr. Akmal tegas.
Rania hanya mampu akur dengan arahan Dr. Akmal. Dia dibawa keluar oleh Dr. Akmal dengan dua orang askar itu memegang tubuhnya dari belakang.
Rania dibawa berjalan melalui koridor serba putih yang bersimpang-siur jalannya. Di kiri dan kanannya terdapat beberapa buah bilik lain. Rania sendiri pun tidak tahu bilik itu untuk apa tujuannya.
Perjalanan yang dilalui Rania dirasakan sungguh panjang. Walaupun Rania telah melalui perjalanan di dalam bangunan itu berkali-kali, tetapi dia tidak pernah mengingati jalan keluar dari bangunan itu. Manakan tidak, keseluruhan bangunan itu putih dan nampak sama sahaja di mana-mana. Dia pun hairan, bagaimanalah para saintis di tempat ini boleh mengingat jalan-jalan di dalam bangunan ini.
Setelah melalui perjalanan cukup panjang, akhirnya mereka berhenti di hadapan sebuah pintu bilik. Dr. Akmal mengimbas kad matriknya untuk membenarkan mereka semua masuk. Dalam bilik itu, terdapat sebuah lagi ruangan kecil yang boleh dilihat melalui cermin pandang tembus. Beberapa orang saintis yang memakai kot makmal sedang memerhati apa yang berada dalam ruangan itu. Dalam ruangan itu, terdapat sebuah meja dan dua buah kerusi. Keseluruhan ruangan itu berwarna putih.
"Mungkin semua orang dalam bangunan ni obses warna putih," fikir Rania.
Dalam ruangan itu, ada seorang lelaki yang kelihatan sebaya Rania sedang duduk di salah sebuah kerusi di situ.
"Bawa Subjek 232 masuk dalam testing chamber tu," arah Dr. Akmal kepada dua orang askar yang setia memegang Rania sedari tadi.
Dr. Akmal kelihatan menekan sesuatu pada skrin tablet miliknya. Pintu itu terus terbuka secara automatik bagi membenarkan mereka masuk. Dengan menggunakan teknologi IOT, pintu itu disambungkan dengan tablet dan telefon pintar milik para staf di institusi penyelidikan tersebut. Dr. Akmal melangkah masuk ke ruangan ujikaji diikuti beberapa orang saintis lain, Rania dan dua orang askar yang membawanya.
Setelah itu, Rania diarahkan duduk di atas satu lagi kerusi kosong yang terdapat di ruangan tersebut. Rania sekarang duduk berhadapan dengan lelaki tersebut. Gari yang dipakai Rania dibuka oleh Dr. Akmal. Kemudian, Rania dipasang dan dilekatkan dengan alat untuk memantau perkembangan fisiologi dan aktiviti gelombang otaknya oleh para saintis yang lain. Seorang lagi lelaki yang sedang duduk di hadapannya juga turut dipasang dengan alat yang sama.
Dua orang askar itu terus keluar dari ruangan itu. Mereka berdua diarahkan untuk tunggu di luar sahaja sementara eksperimen dijalankan.
"Subjek 232, tugas kamu, gunakan kuasa kamu untuk analisis apa kuasa dia. Kami akan pantau aktiviti kamu berdua dari luar," arah Dr. Akmal mendatar.
Dr. Akmal pada waktu itu kelihatan menekan sesuatu pada tabletnya. Alat-alat yang dipasang pada badan Rania dan seorang lagi dikalibrasi oleh Dr. Akmal menggunakan tabletnya. Alat-alat itu telah disambung dengan tablet dan panel kawalan yang berada di luar melalui IOT.
Dr. Akmal dan beberapa orang saintis lain sudah bersedia untuk membuat pemerhatian dan mengambil data. Cermin pandang tembus yang memisahkan para saintis dengan Rania dan lelaki yang ada di hadapannya ini bukan cermin biasa. Cermin itu turut dilengkapi dengan teknologi Augmented Reality dan skrin sesentuh.
Pada cermin itu terpampang beberapa tetingkap yang memaparkan keadaan fisiologi berserta aktiviti gelombang otak para subjek yang sedang diujikaji. Panel kawalan turut berada di hadapan cermin pandang tembus tersebut. Salah seorang daripada saintis yang berada di bilik itu kelihatan menekan sesuatu pada skrin sesentuh tersebut. Dia sedang menetapkan untuk mengambil data mereka berdua.
Rania memerhatikan lelaki yang sedang duduk di hadapannya kini. Lelaki itu menghadiahkan senyuman yang manis kepada Rania. Rania tidak membalas senyuman lelaki itu sebaliknya hanya renungan kosong sebagai balasannya. Seperti biasa, Rania hanya bersikap dingin dengan semua orang.
Di tangan lelaki itu terdapat seutas gelang daripada besi, gelang yang sama dipakai Rania. Pada gelang besi tersebut, tertulis 064. Lelaki itu mengenakan sepasang baju dan seluar berwarna putih sama seperti Rania. Sahlah bahawa lelaki itu subjek ujikaji juga sama seperti Rania.
"Ehm...." Lelaki itu membuka mulut memecahkan keheningan antara mereka.
"Bagitahu saya nama penuh dengan bin sekali dan tarikh lahir," pinta Rania mendatar seperti robot.
"Nama saya Hafiz Marzuki Bin Kamarulzaman. Awak boleh panggil saya Hafiz. Ah, tarikh lahir saya 6 April 2002. Nama awak pula?" balas lelaki itu berbasa-basi.
"Rania Humaira," balas Rania dingin.
Rania tiba-tiba sahaja memejamkan matanya. Hafiz mula berasa pelik dengan tingkah gadis di hadapannya ini.
Sebaik sahaja dia memejamkan mata, dia melihat satu senarai panjang nama dan tarikh lahir terapung dalam sebuah ruangan kosong berkeluasan infiniti. Dalam banyak-banyak senarai itu, ada salah satu daripadanya kelihatan menonjol. Rania memfokuskan matanya ke arah nama dan tarikh lahir tersebut. Itu merupakan nama dan tarikh lahir Hafiz, iaitu orang yang baru memperkenalkan dirinya sebentar tadi.
Tangan Rania diangkat untuk menyentuh lembut nama Hafiz. Serentak itu, senarai di hadapannya hilang dan diganti dengan segala maklumat peribadi mengenai Hafiz. Nama dan tarikh lahir itu menjadi ibarat nama pengguna dan kata laluan untuk log masuk ke sesebuah laman sesawang. Maklumat peribadi itu ditatap penuh perhatian. Rania ingin mencari apa kuasa lelaki di hadapannya ini.
Rania mempunyai kebolehan untuk mencari segala maklumat mengenai seseorang asalkan dia mengetahui nama dan tarikh lahirnya. Dia mempunyai akses ke arah sebuah ruang yang menyimpan segala maklumat mengenai seseorang seperti pengkalan data.
Perubahan pada aktiviti gelombang otak Rania dipaparkan di atas cermin pandang tembus secara Augmented Reality. Beberapa orang saintis yang memantau perkembangan mereka berdua di luar mencatatkan sesuatu pada papan klip masing-masing.
Rania terus mencari, mencari dan mencari. Setelah dia berjumpa dengan apa yang dicarinya, Rania terus menekan lembut teks terapung di hadapannya seperti tadi. Serentak itu, teks itu terus meletus membentuk satu letusan huruf di sekelilingnya. Huruf-huruf itu kemudiannya bergabung untuk membentuk beberapa perkataan.
Di sekelilingnya, Rania mendapati pelbagai jenis tulisan dari tiga jenis bahasa. Apabila dia mengamati tulisan itu satu persatu, dia mendapati tulisan itu semua memperihalkan mengenai pelbagai perkara berkisar mengenai ilmu pengetahuan. Ada Sains, Sejarah, Matematik, Bahasa dan sebagainya. Rania fikir, itu adalah memori yang ada di dalam diri Hafiz sekarang. Memori tentang apa yang dipelajarinya.
"Jadi, apa sekarang? Ini adalah memori dia? Kenapa aku berada dalam memorinya pula ni?" soal Rania kepada dirinya sendiri.
Selalunya Rania akan ditunjukkan berbagai-bagai imej sebelum ini, jika dia ingin meneroka ke dalam minda orang lain. Imej itu akan menggambarkan apa-apa yang ingin diketahui mengenai orang yang ingin diterokai Rania. Walau bagaimanapun, imej ini betul-betul pelik dan membuatkan Rania tidak mampu menafsirkannya. Dia mahu mengetahui kuasanya tetapi memorinya pula yang ditunjukkan.
Adakah dia tersilap? Atau memori itulah kebolehannya?
"Jadi, dia ni merupakan seorang yang kuat ingatan? Macam tu je ke?" soal Rania lagi.
Mungkin, sebab ini adalah kali pertama dia menggunakan kuasanya untuk menganalisis kuasa orang lain.
Rania membuka matanya. Susuk tubuh Hafiz menyambut Rania sebaik sahaja matanya dibuka. Senyuman di bibir Hafiz masih lagi tidak lekang dari bibirnya. Rania pun hairan bagaimanalah Hafiz masih mampu tersenyum dengan keadaan yang menimpa dirinya sekarang. Adakah Hafiz tidak sedar akan masalah yang menimpa dirinya sekarang? Adakah Hafiz tidak sedar yang dia menjadi bahan ujikaji?
"Hafiz, aku nak tanya kau sesuatu boleh?" soal Rania mendatar dan dingin.
"Ya, apa dia? Tanya jelah," balas Hafiz masih lagi dengan senyumannya. Terbentuk lesung pipit di bibirnya sebaik sahaja dia tersenyum namun ia langsung tidak menarik perhatian Rania.
"Kau ada ingatan yang sangat kuat ke?" soal Rania tidak membuang masa.
"Ingatan? Alhamdulilah. Itu anugerah yang Allah berikan pada saya. Nak kata ingatan saya ni kuat. Entahlah, semua orang kata saya macam tu...." terang Hafiz penuh merendah diri.
"Boleh tak kau buktikan pada aku sejauh mana kekuatan ingatan kau tu?" Rania masih tidak faham apa yang istimewa sangat dengan ingatannya ini. Dia mahu terus meneroka dan mencari jawapannya.
"Buktikan? Maaf, saya tak mampu nak buktikan pada awak. Ingatan saya yang kuat ni bukan untuk ditunjuk-tunjuk pada orang. Maaf sekali lagi," balas Hafiz masih lagi dengan sifat rendah dirinya.
Belum sempat mereka berdua meneruskan perbualan, mereka diganggu dengan seorang saintis yang masuk ke ruangan itu dengan membawa sekeping kertas. Saintis itu menghampiri Hafiz lalu menyerahkan kertas tersebut kepadanya.
Hafiz mengambil kertas yang dihulurkan kepadanya tanpa banyak soal. Atas kertas itu tertulis senarai beberapa perkataan yang tiada kaitan di antara setiap satunya. Hafiz menoleh ke arah saintis itu, memohon penjelasan akan perbuatannya itu. Rania pula hanya memerhatikan tanpa berkata apa-apa.
"Ingat apa yang tertulis dalam kertas tu sebanyak dan secepat yang mungkin," arah saintis itu tegas dan mendatar.
Hafiz hanya menurut arahan saintis itu seperti robot. Saintis itu pula memerhatikan Hafiz sambil berpeluk tubuh. Hafiz terus membaca semua yang tertulis dalam kertas itu sekilas. Dia hanya mempamerkan riak wajah tenang ketika membacanya. Langsung tidak menunjukkan sebarang kesukaran untuk mengingat seperti yang dialami orang lain. Setelah beberapa ketika, Hafiz menyerahkan kertas itu semula kepada saintis itu tanpa ragu-ragu.
"Dah?" soal saintis itu agak terkejut dengan kecepatan Hafiz menyerahkan semula kertas itu kepadanya. Hafiz mampu mengingat lebih cepat daripada jangkaannya.
Kemudian, dengan selamba sahaja saintis itu mengoyakkan kertas itu tanpa perasaan. Rania sedikit terkejut dengan tindakan saintis itu. Cebisan-cebisan kertas yang terjatuh ke atas lantai ditenung satu-persatu oleh Rania. Kemudian, dia memandang semula saintis itu dengan riak wajah tidak percaya.
Sementara itu, Hafiz pula berkelakuan lebih aneh. Secara tiba-tiba sahaja dia mendongak ke atas seperti ada sesuatu yang menarik di siling bilik itu. Lama matanya memerhatikan siling bilik sebelum dikalihkan untuk menghadap mereka berdua. Rania semakin pelik dengan tingkah yang ditunjukkan Hafiz.
Pada Rania, Hafiz seperti merenung siling kosong dan tiada apa-apa yang menarik di situ. Akan tetapi, Hafiz melihat sesuatu yang berbeza. Dia melihat sesuatu yang tidak boleh dilihat semua orang melainkan dirinya. Apa yang tertulis di dalam kertas itu tiba-tiba muncul satu-persatu di ruang udara. Tulisan itu seperti terapung-apung di udara. Jelas sekali apa yang tertulis di kertas itu muncul pada pandangannya. Hafiz membaca satu-persatu apa yang tertulis di situ. Tatkala tulisan itu semua hilang, dia telah pun mengingat kesemuanya sekali tanpa perlu bersusah-payah.
"Subjek 064, cuba kau sebutkan semula apa yang tertulis dalam kertas tadi tu," uji saintis itu.
Hafiz hanya tersenyum mendengar soalan itu. Dengan tenangnya dia mampu menyebut satu-persatu apa yang tertulis dalam kertas itu tanpa tertinggal walau sepatah pun. Rania pula hanya mampu melopong mendengar apa yang disebutkan Hafiz. Ternyata, ingatannya yang kuat bukan sekadar omongan kosong. Hafiz memang betul-betul mengingatinya. Itu sahajakah kebolehannya? Rania masih tertanya-tanya. Begitu juga dengan para saintis yang turut memerhatikan mereka berdua.
"Alright, tugas kamu berdua dah selesai. Kamu berdua dibenarkan balik ke bilik kamu," ucap Dr. Akmal lebih berbunyi arahan.
Rania dan Hafiz kedua-duanya digari seperti tadi. Mereka berdua diiringi askar yang membawa mereka datang ke bilik ujikaji itu sebelum ini. Rania dan Hafiz dibawa ke bilik masing-masing. Bilik mereka berada di arah yang bertentangan. Oleh itu, Rania tidak sempat berjumpa lagi dengan Hafiz setelah dia dibawa pergi.
Dr. Akmal turut mengiringi Rania ke biliknya.
"Kenapa? Kamu teringin untuk jumpa lagi kawan baru kamu tu ke?" soal Dr. Akmal setelah mendapati Rania kelihatan sugul ketika dibawa balik ke biliknya.
Rania tidak menjawab. Seperti biasa, dia hanya bertindak dingin terhadap semua orang.
"Takpa, lepas ni kamu akan jumpa lebih ramai lagi kawan seperti kamu," ujar Dr. Akmal sambil menyimpulkan senyuman sinis. Gembira benar dia tatkala mendapat berita mengenai jumlah subjek ujikaji yang berjaya ditangkap dengan bantuan pihak tentera.