MATHEMATICAL BEAUTY
Menggigil tangan Ilham memegang pen di dalam jari-jemarinya. Peluh membanjiri dahi walaupun dia sekarang berada di dalam bilik berpenghawa dingin. Segala ilmu yang terkandung dalam otaknya diperah sehabis boleh untuk dicurahkan di atas kertas.
Tambah burukkan lagi keadaan, otaknya sudah berkarat akibat terlalu lama meninggalkan pelajarannya sebelum ini. Segalanya terasa susah sahaja untuk diingati. Kepalanya mula terasa sakit. Barangkali kesakitan itu timbul kerana cuba menggerakkan semula sel-sel otak yang sudah lama membeku.
Ilham benci benar jika kepalanya terasa sakit begini. Lebih-lebih lagi jika kesakitan itu berlaku pada saat-saat genting seperti pada waktu peperiksaan, ujian atau kuiz. Jika kesakitan sudah menyerang, memang dia sudah tidak mampu berfikir lagi. Seperti ada sebuah tembok besar yang menahan otaknya daripada terus berfikir.
'Mungkin aku patut give up je.' Ilham meletakkan pennya di atas meja. Baki soalan yang masih belum dijawab hanya dibiarkan sahaja kosong.
Masa satu jam diberikan Zahran untuk menjawab semua soalan. Masa yang cukup lama itu menunjukkan betapa susahnya soalan yang diberikan walaupun ia cuma kuiz.
Ilham menongkatkan kepalanya dengan kedua-dua belah tangan. Siku diletakkan di atas meja. Rambutnya yang kusut diraup kasar. Jam di tangan dikerling sekilas. Masih ada beberapa jam sahaja sebelum masa tamat. Ilham berkira-kira, pasti dia tidak sempat untuk menyiapkan semua soalan dengan masa yang berbaki beberapa minit sahaja ini.
Kepala Ilham menoleh ke kiri dan kanan. Memerhatikan gelagat pelajar-pelajar lain. Mereka semua kelihatan khusyuk menjawab soalan. Masing-masing ralit mencurahkan segala ilmu ke atas kertas. Malu Ilham dibuatnya melihat kekhusyukan mereka menjawab soalan. Dia pula hanya duduk termangu di tempatnya sambil memerhatikan orang sekeliling.
"Alright, masa dah tamat. Serahkan kertas jawapan masing-masing." Pengumuman yang dibuat Zahran tadi mengejutkan lamunan Ilham.
Ilham dengan pasrahnya menyerahkan kertas jawapan kepada pelajar di sebelahnya untuk dikumpulkan. Riak wajahnya sugul. Dia telah berkali-kali merasakan seperti ini. Merasakan dirinya tidak berguna dan tidak dipedulikan. Merasakan dirinya bodoh dan langsung tidak menyumbang apa-apa kepada masyarakat.
Setelah masa satu jam berlalu dan kuiz tamat, para pelajar dibenarkan untuk pulang. Sekarang masa menunjukkan pukul 12.59 tengahari. Kelas seterusnya iaitu kelas bagi subjek Relativity akan bermula pukul 3.00 petang. Masih ada berbaki lebih kurang dua jam untuk kelas seterusnya.
Ilham bercadang untuk menggunakan masa terluang itu bagi menunaikan kewajipan solat zuhur. Makan tengahari? Dia berasa malas dan kurang berselera untuk mengambilnya. Dia takut dia akan mengantuk ketika kelas pada waktu petang nanti.
Ilham mengatur langkah ke arah masjid untuk menunaikan kewajipan solat zuhur. Usai solat, dia tidak tahu apa yang patut dilakukan sekarang sementara menunggu waktu untuk kelas seterusnya. Dia tidak mahu pergi ke makmal untuk menyiapkan tugasan yang diberikan Zahran. Mahu sahaja dimalukan dan dimarahi dengan teruk seperti tadi.
Jadi, Ilham mengambil keputusan untuk pergi ke pusat sumber sahaja. Lagipun, suasana di dalam pusat sumber itu cukup nyaman lagi menenangkan. Entah-entah dia boleh tertidur di dalamnya sambil-sambil menunggu.
Langkah diatur tenang untuk masuk ke dalam pusat sumber. Beberapa orang pelajar dilihat sedang berurusan di kaunter yang terdapat di tingkat satu untuk urusan peminjaman dan pemulangan buku. Pelajar-pelajar lain pula sedang membawa beberapa buah buku tebal ke sebuah mesin untuk meminjam buku. Ilham perhatikan gelagat mereka sekali lalu.
Langkah diatur menuju ke arah lif. Butang tingkat tiga ditekan.
Setelah pintu lif terbuka, mata Ilham terus melilau mencari tempat kosong. Sekumpulan pelajar kelihatan sedang berkerumun di hadapan sebuah komputer. Nampaknya, mereka sedang mencari buku menggunakan kemudahan yang disediakan di pusat sumber tersebut. Pelajar-pelajar lain pula ralit menyiapkan tugasan di meja masing-masing.
Ilham berjalan ke salah sebuah meja yang masih kosong lagi. Meja itu terletak di tepi tingkap. Kerusi ditarik sebelum punggung dilabuhkan ke atasnya. Ilham mengeluarkan kertas-kertas yang terselit di dalam buku tadi kerana tidak sempat mengemasnya. Dia mahu memasukkan kertas-kertas tersebut ke dalam fail.
Sudah menjadi kebiasaan bagi Ilham, untuk melihat terlebih dahulu apa yang tertulis di atas kertas. Dia mahu menyusun kertas-kertas itu. Baginya, kertas-kertas itu mempunyai susunannya tersendiri. Walaupun pada pandangan manusia biasa, apa yang ditulisnya kelihatan tidak teratur dan kacau-bilau. Hanya Ilham sahaja yang tahu cara hendak menyusun kertas-kertas tersebut.
"Yang ni, lepastu yang ni ...," gumam Ilham sambil menilik kertas-kertas itu dan mengaturnya di atas meja.
Sedang dia ralit menyusun, tiba-tiba pergerakan tangannya terhenti. Matanya tertarik kepada salah satu kertas yang berada di tangannya. Apa yang tertulis di dalamnya dilihat betul-betul.
"Eh? Pelik betul. Aku mana ada tulis macam ni kat kertas aku. Aku tak kenal equation ni. Hmmm ... ni mesti aku dah tertukar dengan budak tu punya ni."
Ilham termenung sejenak. Baginya, kehilangan sebahagian kertas miliknya merupakan masalah besar. Dia terfikir untuk mencari kertas-kertas miliknya semula, tetapi bagaimana caranya? Di mana dia mahu mencari gadis itu tadi?
Persoalannya itu ditolak ke tepi terlebih dahulu. Dia akan memikirkannya kemudian. Kertas-kertas yang bukan miliknya itu diletak ke tepi. Baki kertas-kertas yang lain disusun dan dimasukkan ke dalam fail.
Setelah tugas menyusunnya itu selesai, Ilham terfikir untuk melihat semula beberapa helai kertas yang bukan miliknya itu. Teorem Matematik yang ditulis di atasnya ditatap Ilham.
"Indah sungguh persamaan ni. Cantik tersusun rapi. Tak macam aku punya yang nampak chaotic," gumam Ilham sendiri.
"Persamaan Matematik memanglah cantik. Teorem Matematik memanglah indah. Samalah indahnya ibarat bait-bait puisi yang tersusun rapi dalam rangkap masing-masing. Setiap satunya mempunyai makna yang tersendiri. Ada lukisannya yang tersendiri. Sebuah lukisan yang menggambarkan keindahan alam melalui susunan simbol-simbol dan angka-angka dalam sebuah persamaan."
Bergema lantuan suara seorang gadis menyampuk kata-kata Ilham tadi. Dengan panjang lebarnya dia berbicara. Gemersik merdu suaranya. Ilham terkejut lalu pantas menoleh ke sisi.
Seorang gadis sedang berdiri di sisinya. Melemparkan renungan kosong tetapi dalam penuh makna. Ilham terpanar seketika melihat kecantikan gadis ini. Sama cantiknya seperti tutur bicara yang baru terbit dari dua ulas bibirnya yang mungil.
Bulu matanya lentik. Alisnya matanya terbentuk semula jadi bak bulan sabit. Matanya bundar dengan anak mata berwarna coklat. Hidungnya comel. Bibirnya mungil. Pipinya gebu mulus. Kulitnya cerah kemerahan.
Mata Ilham tidak berkelip memerhatikan segenap inci wajah gadis kecil molek itu. Dia rasa seperti pernah melihat gadis ini tetapi dia tidak ingat di mana.
"Awak suka Matematik juga ke?" soal gadis itu setelah lama mendiamkan diri.
"A ... suka. Tapi saya lagi suka Fizik." Agak tergagap sedikit Ilham menjawab soalan itu. Lidahnya menjadi kelu tiba-tiba untuk menjawab soalan itu.
Gadis itu pula terus menatap Ilham penuh makna. Sedikit pun dia tidak berganjak dari posisinya. Ilham berasa pelik melihat tingkah gadis itu. Apa yang dia mahukan sampai datang ke sini?
"Kenapa awak datang sini?" soal Ilham setelah beberapa minit momen senyap terbentuk di antara mereka berdua.
"Tempat saya kat sini," jawab gadis itu senafas.
"Hah?" Ilham tidak faham dengan apa yang dimaksudkan gadis itu.
"Ni tempat duduk saya." Sekali lagi gadis itu memberi penegasan dengan nada mendatar.
Ilham menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Semakin tidak faham dengan permintaan gadis itu. Tidak tahu pula di pusat sumber ini ada tempat yang dikhaskan bagi setiap pelajar. Kenapa dia langsung tidak mengetahuinya? Di mana pula tempat duduk yang dikhaskan untuknya? Pelik-pelik sungguh peraturan di universiti ini.
Beberapa orang pelajar yang lalu-lalang berhampiran mereka berdua kelihatan berbisik sesama mereka sambil melihat ke arah si gadis. Ilham pelik melihat tingkah pelajar-pelajar itu. Ada apa yang tidak kena ke? Adakah dia melakukan kesalahan apa-apa?
Tiba-tiba datang seorang pelajar perempuan lalu membisik ke arah Ilham, "Bagi jelah dia duduk situ. Kalau dah Mathematical Beauty ni nak duduk kat satu tempat, dia akan duduk kat situ je, taknak duduk kat tempat lain. Macam nama dia ada kat situ pula."
Ilham memandang pelik ke arah pelajar perempuan yang tiba-tiba datang menghampirinya. Dia terus berlalu pergi dan berjalan semula ke arah rakan-rakannya.
"Mathematical Beauty?" soal Ilham pelik.
Dia kemudiannya terus bangun untuk mempersilakan si gadis duduk di tempatnya. Barang-barang yang ada di atas mejanya dipindah ke tempat lain. Dia mengambil tempat berhadapan dengan gadis itu, di meja yang sama.
Gadis ini berperwatakan menarik sehingga Ilham ingin berkenalan dengan lebih lanjut.
"Nama saya Alisya, Alisya Maryana. Awak boleh panggil saya Alisya." Tanpa dipinta, gadis itu memperkenalkan dirinya.
"Sa ... ya ... Ilham Hakimi. Panggil saya Ilham." Ilham turut memperkenalkan dirinya.
"Indahnya nama tu. Sesuai dengan awak." Alisya mengulas.
Ilham tersenyum kekok. Malu dan rasa tidak biasa dipuji begitu. Dalam hatinya mula tertanya-tanya. Kenapa gadis ini diberi gelaran Mathematical Beauty? Adakah disebabkan dia mempunyai paras rupa yang rupawan. Adakah ada sebab lain?
"Awak tahu tak kenapa saya suka duduk kat tempat ni?" Alisya berkalih pandang ke arah jendela kaca lutsinar yang ada di sisinya.
"Kenapa?" Ilham mula menunjukkan minat.
"Sebab kat sini saya boleh tengok pemandangan yang indah. Macam-macam saya dah perhatikan kat sini. Dan macam-macam pemandangan yang saya dah lukiskan melalui jendela ini. Keindahan alam yang saya saksikan melalui jendela ini, akan saya lukiskan atas buku nota ni." Alisya mengeluarkan buku nota kesayangannya dari dalam beg lalu ditunjukkan ke arah Ilham.
Ilham terkesima mendengarnya. Baru dia tahu, gadis di hadapannya ini pandai melukis. Dia pasti, di dalam buku itu pasti penuh dengan lukisannya yang cantik. Hati Ilham meronta-ronta untuk melihat lukisan Alisya di dalam buku nota itu. Pasti cantik sekali hasil lukisannya.
"Awak nak tengok lukisan saya?" soal Alisya seperti faham akan kehendak hati Ilham. Dia menghulurkan buku nota miliknya.
Ilham mengambil buku nota yang dihulurkan Alisya dengan teragak-agak. Berasa malu pula untuk mengintai buku nota milik si gadis. Kulit luar buku nota itu kelihatan biasa-biasa sahaja. Tiada apa yang luar biasa. Sekali lihat, seperti buku nota yang sering dibawa pelajar ke kelas.
Ilham membuka helaian pertama buku nota itu. Dia sudah menjangkakan lukisan-lukisan yang cantik di dalamnya. Akan tetapi, apa yang terpamer dalam buku nota itu bukanlah sebuah lukisan seperti yang tergambar dalam imaginasinya. Sebaliknya helaian kertas putih itu penuh dengan segala persamaan Matematik di atasnya.
Ilham pelik. Dia cuba pula membuka muka surat seterusnya. Mungkin lukisan itu berada di muka surat seterusnya. Sebaliknya apa yang tercatat di dalamnya hanyalah persamaan Matematik. Satu pun Ilham tidak faham tatkala dia cuba membaca apa yang ditulis di dalam buku itu.
Ilham memandang semula ke arah Alisya, memohon penjelasan. Dia pasti Alisya tersilap beri buku nota. Mungkin itu buku nota pelajarannya. Buku nota itu diserahkan semula kepada Alisya.
"Mungkin awak tersilap bagi kot. Ni bukan buku lukisan awak tapi buku nota pelajaran," jelas Ilham berhati-hati.
Alisya mengambil semula buku nota miliknya. Dia menilik isi kandungan di dalamnya. Helaian dibuka satu-persatu. Kemudian dia memandang semula ke arah Ilham.
"Betullah ni buku lukisan saya. Saya tak silap bagi. Kenapa?" Selamba Alisya membalas.
Ilham melongo. Adakah gadis ini sedang bergurau dengannya? Jika benar ini gurauan, ternyata gurauannya ini tidak kelakar. Sedikit pun hati Ilham tidak tercuit untuk ketawa. Ilham merenung wajah Alisya dalam-dalam. Gadis itu kelihatan serius riak wajahnya. Menunjukkan dia betul-betul memaksudkan kata-katanya tadi.
Ilham senyum senget cuba memahami kepelikan Alisya. Gadis ini sudah mula menunjukkan keanehannya.
"Tapi ... buku nota ni dah penuhlah ...." Alisya tiba-tiba merungut. Buku nota itu diselak sampai ke helaian belakang sekali.
"Nak beli lagi kakak saya tak bagi," rungut Alisya lagi. Ilham hanya mendengar dengan setia. Dia sudah tidak tahu apa hendak dibalas pada pertuturan si gadis.
Alisya mengeluarkan failnya dari dalam beg. Beberapa helai kertas dikeluarkan dari fail itu lalu ditunjukkan kepada Ilham. Kertas-kertas itu penuh dengan persamaan Matematik.
"Sekarang saya cuma tulis atas kertas. Tapi, pakai kertas susah. Baru tadi beberapa helai kertas saya dah hilang. Ada orang terambil kertas saya. Lukisan saya jadi tak lengkaplah." Alisya menjadi monyok tiba-tiba. Bagi Alisya, kehilangan sebahagian kertasnya ibarat ditimpa sebuah batu besar rasanya.
Ilham teringatkan sesuatu. Baru tadi dia terlanggar seseorang sehingga terambil beberapa helai kertas miliknya. Kertas kepunyaannya pula telah diambil gadis itu. Adakah si gadis di hadapannya ini sama dengan gadis yang dilanggarnya tadi?
"Kejap! Bila kertas awak hilang tu? Dan macam mana orang tu boleh terambil pula?" Ilham teringatkan sesuatu. Baru dia ingat, ada seseorang memanggil gadis yang dilanggarnya tadi dengan nama Alisya. Sama seperti nama gadis ini.
"Baru tadi. Saya terlanggar dia dan kertas-kertas saya ni berterabur. Dia punya pun sama juga. Masa saya dengan dia kutip kertas tu, masa tulah kami tertukar kot," cerita Alisya. Kejadian itu masih segar di ingatannya.
"Tadi? Ni awak punya ke?" Ilham menunjukkan kertas yang berada di tangannya tadi.
Alisya terus mengambil kertas yang ditunjukkan Ilham itu. Dia membaca baris demi baris persaman yang tertulis di atasnya. Dia mengamati setiap simbol dan angka yang tercatat di atasnya.
Suatu gambaran yang tidak jelas secara automatik menjelma di mindanya. Gambaran itu diterjemahkan melalui bait-bait persamaan yang tertulis.
"A ... Alisya?" panggil Ilham setelah mendapati gadis itu senyap tidak bergerak.
"Ya, kertas ni saya punya. Macam mana awak boleh jumpa?"
"Sa ... sayalah yang awak langgar tadi. Nah, maknanya semua kertas ni awak punyalah kan?" Ilham menyerahkan baki-baki kertas itu kepada Alisya.
Alisya mengambil semua kertas itu sedikit gelojoh. Dia menilik kertas itu satu-persatu. Satu cahaya terbit dari mata bundarnya. Berseri-seri wajahnya. Bibir mungilnya mengukirkan senyuman lalu memandang semula ke arah Ilham.
Ilham dari tadi hanya memerhati tingkah si gadis. Dia dapat rasakan ada sesuatu yang luar biasa ada pada gadis ini.
"Terima kasih kerana tolong lengkapkan lukisan saya ni," ucap Alisya bersama senyuman terukir di bibirnya yang mungil.