Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 5

DISSOCIATIVE IDENTITY DISORDER

Mata Aira dibuka perlahan-lahan. Cahaya lampu menyuluh masuk ke dalam matanya lalu mengecilkan anak matanya secara mendadak. Pedih mata Aira dibuatnya. Lambat-lambat matanya menyesuaikan dengan keterangan cahaya dalam bilik itu. Aira memandang keseluruhan bilik itu. Suasananya kelihatan asing sekali. Dia bukan berada di bilik tidurnya seperti selalu.

"Ah, awak dah sedar ke?" soal seorang perempuan yang baru masuk ke bilik itu.

Kepala Aira ditoleh untuk melihat ke arah punca suara itu. Wanita itu memakai pakaian serba putih, uniform jururawat. Sedarlah Aira bahawa sekarang dia berada di hospital. Dia berkira-kira di dalam hatinya. Sejak bila dia dibawa ke hospital? Bagaimana dia boleh sampai ke situ? Bagaimana dia boleh tidak sedarkan dirinya? Satu demi satu persoalan mengasak mindanya.

Jururawat itu memeriksa keadaan Aira. Aira hanya membiarkan sahaja jururawat itu memeriksa dirinya.

"Cik Aira Syafira ya? Apa yang cik rasa sekarang ni?" Jururawat itu mula menanyakan khabar Aira.

Aira senyap. Tidak tahu bagaimana dia harus menjawab soalan itu. Melihatkan keadaan Aira yang tidak memberi sebarang respons, jururawat itu hanya mengukirkan senyuman tipis. Dia mencatat sesuatu pada kad rekod perubatan Aira.

"Kejap lagi doktor yang merawat Cik Aira sampai. Okey?" ujar jururawat itu sebelum meninggalkan wad yang menempatkan Aira. Aira yang sudah pun bangun pada waktu itu hanya mengangguk lemah.

Beberapa minit kemudian, Dr. Arif, doktor yang merawat Aira sampai. Dia melangkah masuk dengan menyimpulkan senyuman yang manis di bibirnya. Dia menghampiri katil Aira lalu duduk di kerusi yang berada di sebelah katil tersebut. Aira hanya memerhatikan Dr. Arif dengan riak wajah tiada perasaan. Hatinya berasa kosong sekarang, tidak tahu apa yang harus difikirkan.

"Aira, macam mana awak rasa hari ni?" soal Dr. Arif dengan penuh kelembutan.

Aira hanya diam membisu seribu bahasa. Tidak memberi sebarang respons. Kepalanya ditekur ke bawah.

"Aira, kenapa awak lakukannya? Maksud saya... bunuh diri tu." Dr. Arif mengubah soalannya. Berat benar dirasakannya tatkala ingin menyebut perkataan itu.

Sekali lagi Aira tidak menjawab. Tiada satu patah pun perkataan dilafazkan olehnya. Dia masih lagi menunduk seperti tadi.

"Awak masih dengar suara tu lagi ke? Suara tu ke yang suruh awak buat macam tu?" Soalan yang seterusnya pula diajukan.

Mendengarkan soalan itu, Aira terus mendongak memandang wajah Dr. Arif. Dia membuka mulutnya untuk bersuara, "Kalau suara tu tak suruh atau tak wujud sekalipun, saya tetap akan bunuh diri juga. Bukan sebab suara tu yang buatkan saya rasa macam tu." Mendatar sekali lantunan suaranya. Riak wajahnya pula masih kosong.

Dr. Arif menarik nafas sedalam-dalamnya mendengar jawapan yang diberikan Aira. Tidak apa, mungkin Aira cuba menyorokkan fakta yang sebenar atau dia ingin melindungi suara itu sahaja. Mungkin juga Aira sedang menafikan fakta itu. Fakta bahawa dia merupakan seorang penghidap Dissociative Identity Disorder (DID). Ramai pesakit sepertinya tidak boleh menerima hakikat itu. Mereka tidak boleh menerima hakikat yang mereka sedang sakit. Mereka seboleh-bolehnya akan cuba menafikan sekeras-kerasnya tentang penyakit mereka. Itu merupakan tanggapan seorang doktor Psikiatri seperti Dr. Arif.

Dr. Arif, doktor yang merawat Aira mendiagnosnya mengalami DID. DID merupakan suatu penyakit Psikologi yang menyebabkan sesiapa yang mengalaminya mempunyai kecelaruan identiti. Pesakit yang mengalaminya akan menganggap ada identiti asing yang lain wujud dalam dirinya. Identiti tersebut mempunyai personaliti yang unik dan berbeza dengan dirinya. Oleh itu, personaliti mereka boleh berubah secara mendadak. Itu yang dimaksudkan mereka semua sebagai identiti asing yang wujud dalam diri mereka.

Selain itu, mereka juga akan turut mengalami halusinasi auditori, iaitu satu suara asing yang hanya boleh didengari pesakit itu sahaja. Berlainan dengan halusinasi auditori yang dialami penghidap Skizofrenia, penghidap DID menganggap suara asing itu datang dari dirinya sendiri bukannya dari luar.

Aira mula dibawa berjumpa dengan Dr. Arif sejak sembilan tahun yang lalu, iaitu setelah dia diselamatkan daripada terus didera lelaki itu. Suatu peristiwa yang menguatkan dakwaan Dr. Arif akan penyakit DID yang dialami olehnya. Menurut Traumagenic Model, DID berpunca dari penderaan yang dialami seseorang itu semasa kanak-kanak.

Ibu dan bapanya iaitu Kamal dan Badrina mungkin telah melupakan peristiwa itu, atau mereka sengaja mahu lepas tangan. Akan tetapi, tidak bagi Aira. Aira ingat segala-galanya, ketika dia didera dan diseksa dengan teruk oleh lelaki itu. Kesan parut yang penuh di badannya menjadi buktinya.

Semuanya gara-gara Aira tahu akan rahsia lelaki itu. Dia ingin mendedahkannya, tetapi dia takut. Dia takut tiada siapa yang akan mempercayainya. Dia takut bapanya akan memarahinya jika dia bersuara. Dia takut akan dilemparkan dengan tuduhan dan label bukan-bukan jika dia membocorkan rahsia lelaki itu. Walau bagaimanapun, entah bagaimana lelaki itu tahu yang Aira menyimpan rahsianya.

Kenangan lama kembali terimbau di mindanya, iaitu tatkala ketika dia mula-mula mengetahui rahsia lelaki itu. Rahsia lelaki itu membuka mata Aira pada sesuatu yang dia tidak pernah tahu pun sebelum ini, lalu peristiwa itu berlaku. Sebuah peristiwa yang mengubah pandangannya terhadap dunia ini. Sejak dari peristiwa itu, dia tidak lagi melihat dunia ini dengan hitam dan putih.

Semuanya bermula apabila ibu dan bapanya membawa Aira berjumpa dengan seorang bomoh yang menggelar dirinya sebagai pengamal perubatan Islam.

"Aira, kau nak tahu satu perkara tak?" tegur suara itu kepada Aira secara tiba-tiba.

"Apa dia?" soal Aira semula menunjukkan minatnya. Terkejut Aira dibuatnya tatkala disergah suara itu secara tiba-tiba. Dia hanya berbual dengan suara itu di dalam hatinya, khuatir orang lain akan memandang hairan akan dirinya.

"Kau rasa ilmu perubatan yang dia amalkan tu hasil kajian diakah? Ilmu tu semua milik diakah? Kau rasa macam mana dia boleh tahu bahan apa yang diperlukan untuk menghasilkan ubat tu semua? Macam mana dia tahu cara menghasilkannya? Macam mana dia boleh tahu semua penyakit yang dialami pesakit-pesakitnya tanpa menggunakan sebarang alat pun?" Suara itu mula mengajukan soalan untuk menjentik rasa ingin tahu dalam diri Aira.

"Apa maksud kau sebenarnya? Aku tak faham," soal Aira semula tidak faham. Pelik dia dibuatnya dengan soalan-soalan yang diajukan kepadanya oleh suara itu.

"Perbuatan yang dia lakukan tu semua melanggar fitrah kejadian manusia. Kalau ikutkan, mana mampu manusia biasa melakukan itu semua. Betul tak? Ilmu perubatan yang dia dapat tu, tak diperoleh dengan cara yang normal. Dia telah buat sesuatu yang melanggar hukum alam, dan melanggar fitrah kejadian manusia," terang suara itu dengan berhati-hati.

Sampai sekarang Aira masih kurang mengerti apa yang dimaksudkan suara itu. Apa yang dia tahu, selepas peristiwa itu, dia didera dengan teruk oleh bomoh yang kononnya boleh merawat penyakit yang dialami Aira. Kononnya, semua yang lelaki itu lakukan untuk menghalau jin yang menumpang pada tubuhnya.

"Aira, awak dengar tak apa doktor cakap ni?" panggil Dr. Arif lalu mengembalikan Aira ke alam nyata.

Aira telah terlalu jauh tenggelam dalam lautan memorinya sehinggakan dia tidak mendengar sepatah pun perkataan yang dilafazkan Dr. Arif.

Dr. Arif yang melihat Aira masih lagi terpinga-pinga hanya tersenyum. Memang selalu pun Aira jadi sebegitu di hadapannya. Dia sudah biasa akan kerenah pesakitnya itu.

"Doktor, boleh saya tanya sesuatu?" soal Aira secara tiba-tiba.

"Ya, ada apa? Tanya sajalah. Aira boleh luahkan segala-galanya pada saya, saya sudi mendengarnya. Saya kan doktor yang merawat awak," balas Dr. Arif menyatakan kesudiannya.

"Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan melanggar fitrah kejadian manusia? Apa yang dimaksudkan dengan melanggar hukum alam? Fitrah tu apa? Apa pula maksudnya hukum alam?" soal Aira bertubi-tubi. Dia sudah tidak tahan lagi. Dia harus meluahkan segala-galanya agar segala persoalan itu boleh dirungkai.

Dr. Arif menguntum senyum. Dia tahu, sejak dahulu lagi Aira suka bertanya soalan-soalan pelik. Dia pun tidak tahu kenapa. Mungkin, Aira memang seorang yang pintar atau, mungkin juga dia melihat dunia ini dengan pandangan yang berbeza daripada manusia lain. Kebanyakan pesakit yang dirawatnya juga sebegitu, suka bertanya dan berbicara sesuatu yang tidak terfikir dek akal manusia yang normal.

"Awak nak saya jawab yang mana satu dulu? Banyak tu soalan saya kena jawab," soal Dr. Arif semula sambil menyimpulkan senyuman nipis.

"Mana-mana pun boleh," pinta Aira ringkas.

"Okey, saya terangkan pasal fitrah dulu ya? Fitrah tu ialah asal kejadian manusia. Maksud saya, kejadian manusia secara semula jadi dan apa saja-sajalah yang tak langgar sifat semula jadi manusia. Contohnya... orang yang...." Dr. Arif belum sempat menghabiskan penerangannya tetapi telah dipotong Aira terlebih dahulu.

"Maksudnya, kebolehan saya untuk dengar suara tu semua adakah termasuk dalam perkara melanggar fitrah?" potong Aira tidak sabar-sabar.

Sekali lagi Dr. Arif menarik nafas sedalam-dalamnya.

"Aira, kenapa cakap macam tu?" soal Dr. Arif lembut.

"Sebab ia tak normal. Manusia lain tak alaminya macam saya alami," terang Aira memberitahu alasannya kenapa dia mengaggap sebegitu.

"Suara yang awak alami tu memang tak normal. Tapi ia tak membawa maksud bahawa ianya melanggar fitrah. Apa yang awak alami tu sebenarnya...," jelas Dr. Arif satu-persatu. Khuatir Aira akan terasa dengan kata-katanya.

"Habis tu apa?" potong Aira mula meninggikan suaranya. Bengang kerana Dr. Arif tidak mampu memahami masalahnya.

"Dissociative Identity Disorder yang awak alami tu adalah sejenis penyakit dan awak perlu dirawat. Suara yang awak alami tu sebenarnya halusinasi auditori yang dihasilkan minda awak. Sebab tu hanya awak seorang sahaja yang mendengarnya," terang Dr. Arif tanpa jemu. Walaupun ayat itu telah diulangnya berkali-kali, tetapi dia tidak pernah jemu menerangkannya kepada pesakit-pesakitnya.

"Tahu. Dah berapa puluh kali dah doktor cakap macam tu," balas Aira malas. Dia sudah hilang selera untuk terus berbicara dengan Dr. Arif. Pandangan matanya dialihkan ke jendela.

Kalau diikutkan, Aira sendiri sudah penat mencari jawapan di sebalik suara misteri yang dialaminya. Daripada dahulu lagi dia ingin mencari dari mana suara itu datang. Pada mulanya, dia menganggap suara itu merupakan suara makhluk halus kerana tanggapan ibu dan bapanya sendiri. Pemikiran mereka yang lebih cenderung untuk mengaitkan semuanya dengan jin mempengaruhi persepsi Aira.

Semua itu bermula tatkala ibu dan bapa Aira mendapati ada sesuatu yang tidak kena dengan anak mereka. Personaliti Aira, yang sering berubah secara mendadak menyebabkan ramai orang salah anggap terhadap dirinya.

Berbagai-bagai tanggapan, andaian dan persepsi yang orang lemparkan terhadap dirinya tatkala melihat dia berkelakuan sebegitu. Setiap satunya ada hujah masing-masing walaupun kebanyakannya dangkal dan tidak berasas. Walau bagaimanapun, apa yang pasti, ada dua kecenderungan yang besar dapat dia simpulkan melalui pemerhatiannya setakat ini. Satu yang cenderung kepada perubatan moden, manakala satu lagi lebih cenderung kepada perubatan tradisional.

Kamal dan Badrina, yang sudah tidak tahan dengan kejelikan pandangan masyarakat terhadap anak mereka, mula mengambil keputusan untuk melakukan sesuatu.

"Abang, kita bawa ajelah Aira ni pergi jumpa Ustaz Leman," cadang Badrina kepada Kamal pada suatu hari.

Manusia yang dipanggil Ustaz Leman itu sebenarnya bomoh, bukannya pengamal Perubatan Islam. Malah, tiada apa yang Islamik mengenai perubatan yang diamalkan olehnya. Apa yang Islamik pada dirinya hanyalah pada permukaan sahaja. Hanya orang yang berotak dangkal sahaja akan mudah terpengaruh seperti ibu dan bapa Aira.

"Betul juga tu. Esok juga kita bawa Aira pergi jumpa ustaz tu," balas Kamal setuju dengan cadangan isterinya.

Mereka berdua suami isteri memang amat cenderung untuk memilih perubatan alternatif daripada perubatan moden. Hal ini disebabkan sikap mereka yang skeptikal terhadap perubatan moden terutama sekali Psikologi. Mereka amat mudah terpengaruh dengan segala teori konspirasi memburukkan perubatan moden yang berlegar di alam maya. Oleh sebab itu, jika mereka sakit apa pun, mereka sekeluarga akan meminta perkhidmatan perubatan alternatif.

Apa lagi pilihan yang mereka ada? Perubatan moden sudah ditolak mentah-mentah oleh mereka. Tidak akanlah mereka mahu menjilat balik ludah mereka sendiri?

"Aira, esok ikut mak dengan ayah pergi jumpa Ustaz Leman tau," arah Badrina muktamad. Sedikit pun dia tidak mahu mendengar alasan.

Aira yang pada masa itu masih naif dan tidak tahu apa-apa hanya akur dengan permintaan ibu dan bapanya.

"Budak ni ada gangguan ni," ucap bomoh itu dengan penuh yakin setelah selesai melakukan ritual pemeriksaan terhadap Aira.

Dengan mudahnya, bomoh itu mendakwa Aira mengalami gangguan. Aira yang pada masa itu masih lagi polos dan naif, percaya akan dakwaan bomoh itu bulat-bulat. Begitu juga dengan ibu dan bapanya. Adakah itu jawapan yang dicari Aira selama ini?

Jika benar Aira mengalami gangguan, adakah dia berjaya disembuhkan dari penyakitnya itu?

Tidak, malah sudah berpuluh kali Aira dibawa untuk berjumpa dengan Ustaz Leman, tetapi dia tetap juga tidak sembuh. Walau bagaimanapun, tidak pula mereka terfikir apa puncanya Aira tidak mampu disembuhkan. Tidak pula mereka terfikir, adakah betul tindakan mereka itu? Adakah benar dakwaan Ustaz Leman itu? Adakah benar dia mengamalkan perubatan Islam, atau itu hanya luaran sahaja.

Mereka berdua tidak sedar yang mereka berdua sudah tertipu dengan imej alim bomoh Ustaz Leman. Mereka juga tidak sedar, sebab bomoh itu tidak mengenakan bayaran yang tinggi, sebaliknya dia menerima berapa pun bayaran yang ingin diberikan. Kononnya dia ikhlas ingin membantu.

Kelompongan di dalam sistem perubatan moden menyebabkan orang ramai mula beralih kepada bomoh sebagai alternatif. Oleh sebab itulah, perkhidmatan bomoh semakin popular dalam kalangan masyarakat. Tambahan pula, kegawatan ekonomi yang melanda menyebabkan ramai orang sudah tidak mampu lagi untuk menampung kos perubatan.

Sekurang-kurangnya segala jenis perubatan alternatif dan produk pseudosains yang melambak di pasaran suatu ketika dahulu sudah gulung tikar. Perniagaan mereka mengalami kerugian yang banyak akibat tidak mampu lagi untuk mencari pelanggan baru. Orang ramai sudah tidak mampu lagi untuk membeli produk-produk tersebut yang harganya tidak masuk akal.

***

"Aira, maafkan mak ya, Aira. Maafkan mak kerana membiarkan kamu diperlakukan sebegitu oleh bomoh temberang tu," luah Badrina yang mula mengeluarkan air mata.

Tubuh Aira didakap lemah. Kepala Aira diusap perlahan. Badrina sudah teresak-esak mengenangkan nasib satu-satunya anak perempuan mereka yang didera dengan teruk itu. Tatkala tembelang Bomoh Leman pecah, dia didapati sedang memukul Aira dengan kejam sekali. Habis penuh tubuh kecilnya dengan kesan lebam dan parut di sana-sini. Badrina hampir menjerit apabila dia melihat keadaan anaknya yang amat memilukan itu.

Aira tidak melafazkan sebarang bicara. Dia hanya senyap sahaja dari tadi. Sedikit pun tidak mahu bersuara. Dia masih lagi takut untuk bersuara. Takut didera lelaki itu lagi. Takut ibu bapanya akan menyalahkannya pula.

"Rina, aku rasa eloklah anak kau ni dibawa berjumpa doktor Psikiatri. Dia mungkin masih trauma sebab kena dera dengan teruk sebelum ni," saran Zaidah, kakak ipar kepada Badrina merangkap ibu saudara Aira.

Badrina mengangguk faham. Dia akur dengan nasihat kakak iparnya. Dia tidak patut lagi terlampau keras hati dan enggan mempercayai perubatan moden seperti yang dicanang-canangkan dalam teori konspirasi. Sejak dari hari itu, Aira dibawa berjumpa dengan doktor Psikiatri seperti yang dipinta. Dia didiagnos mengalami DID oleh Dr. Arif. Trauma yang dialaminya kerana didera dengan teruk menguatkan dakwaannya.

Begitu andaiannya. Tidak semestinya seseorang yang berkelakuan ganjil itu mengalami gangguan jin. Pandangan masyarakat yang lebih cenderung kepada kepercayaan tahyul dengan mudahnya akan menganggap orang sebegitu mengalami gangguan jin dan dibawa berjumpa bomoh atau pengamal Perubatan Islam. Sedangkan orang itu sebenarnya mengalami penyakit Psikologi dan perlu dirawat dengan perubatan moden. Orang zaman dahulu memang sebegitu, kerana tidak tahu apa puncanya penyakit misteri, mulalah menjadikan unsur tahyul sebagai asbabnya.

Akan tetapi, benarkah pandangan ini? Bagaimana perbezaan pendapat ini boleh berlaku? Yang mana satu adalah benar? Atau, memang ada dua sebab yang berbeza. Atau, kedua-duanya adalah benar. Bagaimana mahu membezakannya?

Bagaimana pula dengan suara yang dialami Aira? Betulkah andaian Dr. Arif itu mengenai penyakit yang dialaminya? Katanya, Aira mengalami masalah itu berpunca daripada penderaan yang dialaminya. Ya ke? Bukankah dia telah mendengar suara misteri itu sejak sebelum itu lagi?


Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.