Home Cerpen Seram/Misteri SIRI HANTU : SIAL
SIRI HANTU : SIAL
17/8/2016 15:19:29
5,333
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri


Van itu dipandu laju. 140 kilometer per jam. Lampu-lampu jalan tidak bernyala. Sudah lebih seminggu rosak. Masih belum dibaiki pihak berwajib. Suasana amat gelap. Di kiri kanan jalan, hutan kecil. Samar-samar beberapa ratus meter di hadapan terdapat satu selekoh.

Pemandu van baru meneguk air tenaga isotonik Red Bull. Dia masih segar. Belum mengantuk walau sedikit pun. Lagu rancak Search yang dimainkan Suria FM menyebabkan dia lebih segar. Dia ikut menyanyi dan kakinya berderap mengikut rentak lagu.

Dia memandang penumpang di sebelahnya lalu menggelengkan kepala.

Asal masuk kereta saje mesti tidur. Bukan nak teman aku jaga. Nasib baik aku tahan mengantuk. Ngomelnya di dalam hati.

Dia menoleh sepintas lalu. Kepalanya digeleng semakin kuat.

Semua dah tidur. Dia orang ni tak boleh harap langsung! Ngomelnya terus dalam hati.

Dia terus memandu. Selekoh tajam itu diambil dengan berhati-hati. Di separuh selekoh itu, darahnya berderau.

Apa tu? Tanyanya di dalam hati.

Dia seperti ternampak sepintas lalu seorang perempuan sedang berdiri di hadapan sebuah gerai buah-buahan yang sudah ditutup di tepi jalan.

Ish, tak mungkin ada perempuan dekat kawasan gelap dan sunyi begini. Aku perasan saja kut. Detik hatinya lagi.

Jalan lurus di hadapan. Dia terus menekan pedal minyak. Kelajuan van yang diperlahankan tadi kini kembali kepada 140 kilometer per jam. Masih tiada lampu-lampu jalan yang bernyala. Keadaan sekitar amat gelap dan sunyi. Sejak tadi hanya van itu yang berada di atas jalan itu.

Kilat berdenyar dan guruh berdentuman. Langit dan kawasan sekitar cerah dan bergema sedetik. Dalam cerah sedetik itulah pemandu van itu terlihat sesuatu yang mengejutkannya. Seorang perempuan sedang berdiri di tengah jalan. Van tetap meluncur laju walaupun kakinya sudah menekan pedal brek. Van itu semakin menghampiri gadis itu. Pedal brek ditekan lagi tetapi masih tidak mahu berhenti sepenuhnya seperti ia rosak.

Mata pemandu van itu terbeliak. Gadis yang menunduk itu mengangkat muka. Mukanya mengerikan. Dipenuhi dengan luka-luka dalam yang membuak-buakkan darah. Dia menyerigai dan menampakkan gigi-giginya yang tajam. Gadis itu berlari pantas hendak melanggar van itu.

Melihat keadaan itu, pemandu van itu melepaskan pijakan pada pedal brek, sepantas kilat pula masuk gear dan pantas menekan pedal minyak. Van yang bergerak perlahan tadi kini tersentap lalu bergerak laju. Pemandu van itu melanggar gadis itu. Gadis itu terhentak ke cermin. Bunyi hentakan kedengaran jelas pada cermin dan bumbung van.

“Apa tu Abang Razi?!” tanya Zaki yang berada di bangku penumpang. Terjaga mengejut bila mendengar bunyi kuat hentakan tadi.

Razi yang masih terkejut termengah-mengah.

“Bunyi apa tadi bang?” tanya Azalia yang terjaga. Dia duduk di bangku belakang. Dua tiga lagi rakan krew pengambaran terjaga dari tidur juga.

Razi diam. Tidak mampu bersuara. Terus memecut laju van.

“Abang langgar apa?” tanya Anis, pembantu pengarah.

Razi diam juga. Terus sahaja memecut van itu.

“Binatang ke bang?” tanya Anis.

Razi diam.

“Orang ke bang?” tanya Anis.

“Entah,” jawab Razi.

“Kenapa entah?” tanya Anis.

“Tak tahu sama ada orang ke hantu?” jawab Razi.

Zaki, Azalia dan lain-lain terkejut.

“Kalau orang macam mana? Patah balik! Patah balik! Saya tak mahu nanti orang kata kita langgar lari,” kata Anis.

“Kalau hantu macam mana?” tanya Zaki.

“Kalau orang macam mana? Buruk nama stesen nanti,” balas Anis.

“Tak ada orang nampak. Jalan ni sunyi,” kata Razi.

“Kalau ada orang nampak macam mana bang? Orang tu pulak hafal nombor plat van ni…” kata Anis. “Patah balik!” arahnya tegas.

Hendak tak hendak Razi terpaksa memandu semula ke tempat kejadian. Tetapi dia memandu dengan kelajuan sederhana. Tidak sampai 80 kilometer per jam. Lima puluh meter ke tempat kejadian, mereka lihat samar-samar satu tubuh terbaring di tengah jalan. Empat puluh meter ke tempat kejadian, tubuh yang tertiarap itu berdiri dan berjalan ke arah mereka dengan tangan yang tercekau-cekau. Satu suara bergema.

“Tolong saya!”

Semua terjaga mendengar suara yang bergema itu.

Razi menekan pedal brek. Lembaga yang berlari ke arah mereka itu kini terbang.

“Hantu!” jerit Azalia. “Patah balik bang!”

Razi masuk gear undur dan menekan minyak. Van berundur laju. Dia memulas stereng. Van berpusing 180 darjah. Kemudian dia terus memecut laju van itu.

“Benda tu ikut lagi tak?” tanya Zaki.

“Tak nampak dah,” kata Azalia. “Abang nampak?” tanyanya kepada Jamil, juru kamera yang berada di kerusi paling belakang yang sedang melihat ke luar melalui cermin belakang.

“Dah tak nampak,” jawab Jamil.

“Apa benda tu?” tanya Anis yang pucat mukanya.

“Hantu!” kata Razi. “Sekarang kau percaya?”

Anis diam. Ini kali pertama dia nampak hantu. Badannya menggeletar.

“Tolong aku!!!”

Suara hantu itu bergema lagi. Membuatkan mereka terkejut.

“Pecut laju lagi bang!” pekik Zaki.

“Kita tinggalkan tempat ni cepat!” arah Anis yang ketakutan.

Azalia tidak mampu berkata-kata. Seperti Anis dan lain-lain, dia ketakutan.

Hantu itu muncul di tengah jalan di hadapan mereka. Berdiri dengan badan bergoncang seperti sedang menangis. Kemudian perlahan-lahan ia mengangkat muka menampakkan mukanya yang penuh dengan luka-luka dalam yang membuak-buakkan darah.

“Laju lagi bang!” kata Zaki dan Anis hampir serentak.

“Langgar je Razi!” laung Jamil.

“Jangan berhenti!” kata beberapaorang krew lain hampir serentak.

Razi memecut laju dan melanggar hantu itu. Selepas van itu melepasi hantu itu, terbentang di hadapan ialah satu selekoh yang tajam. Razi cuba memusing stereng tetapi gagal. Ia statik seperti dipegang sesuatu. Akibatnya van itu melanggar sebuah gerai buah-buahan di tepi jalan, meluncur laju melanggar pagar tebing dan terhumban ke dalam gaung. Ia berguling-guling melanggar batang-batang pokok sebelum berhenti di bawah gaung.

Mata Azalia terbuka.

“Syukur, kamu selamat nak,” kata Puan Rokiah, mama Azalia.

Muka Azalia berbalut kerana cedera.

“Alhamdulillah,” kata Encik Azman pula, bapa Azalia.

“Dekat mana saya mama, abah?” tanya Azalia.

“Hospital,” jawab Puan Rokiah.

“Kamu kemalangan,” beritahu Encik Azman.

Azalia mengangguk. “Yang lain-lain?”

Encik Azman mengeluh. “Kesemua mereka meninggal dunia di tempat kejadian.”

Azalia terdiam.

Muka Azalia berparut akibat kemalangan. Dia yang cantik rupa parasnya sebelum kemalangan telah mencuba pelbagai cara untuk mengembalikan kecantikan pada wajahnya. Terkini dia telah melakukan pembedahan plastik. Wajahnya cantik semula walaupun tidaklah pada rupa yang asal. Tetapi itu tidak lama kerana tiba-tiba wajahnya ditompoki jerawat batu yang besar. Sedangkan sejak dulu mukanya yang selalu dijaga bersih itu tidak pernah ditumbuhi jerawat batu malah jerawat biasa sekali pun.

Sally mengemaskan meja solek sambil merungut-rungut.

“Apa yang kau rungutkan tu?” tanya Rin, seorang lagi juru mekap artis yang nama sebenarnya adalah Bidin.

“Teruk sungguh muka dia sekarang! Letih aku kena make uptebal. Lain kali aku nak cakap dengan bos, tak mahu make up dia dah. Serik! Dahlah cerewet. Bagi budak baru make updia,” kata Sally, juru mekap artis yang nama sebenarnya adalah Salleh itu.

“Nasib baik bos tak suruh aku,” kata Rin.“Eh, aku dengar program baru tu… Eh apa nama program baru tu?”

“Kalau tak silap aku Kenali Malaysia. Alah, pergi merata Malaysia untuk perkenalkan tempat cantik dan budaya Malaysia. Lepas satu, satu program baru dia dapat,” jawab Sally.

“Apa-apalah…” balas Rin. “Hah, aku dengar Sanggul Emas taja program tu. Jadi budak Sanggul Emaslah yang akan make up dia.”

“Selamat!” kata Sally.

Azalia yang mendengar dari balik pintu bilik solek TV11 itu berasa sangat sedih. Dia menyangka Sally kawan baiknya. Selama ini Sally begitu suka menyolek mukanya. Malah selepas kemalangan pun dia menyangka Sally tidak apa-apa tetapi rupanya baik mulut di depan sahaja tetapi busuk hati di belakang!

Azalia menolak pintu bilik solek itu. Kehadirannya mengejutkan Sally dan Rin. Mereka berdua terdiam. Azalia mengambil telefon bimbitnya yang tertinggal di atas meja solek.

“Eh Sally, kenapa you diam? Macam nampak hantu je? Pucat!” kata Azalia.

Sally melihat mukanya di cermin. “Eh mana ada…”

See you,” kata Azalia dan keluar dari bilik solek itu.

“Habislah kita kalau dia dengar apa kita cakap tadi,” kata Rin.

Sally benar-benar pucat bila teringatkan betapa baiknya Azalia dengan orang atasan TV11 itu. Dia berasa periuk nasinya terancam. Walaupun semua pembaca berita stesen itu sebenarnya takut dengan mereka kerana mereka boleh membuatkan wajah seseorang itu cantik atau seperti pondan di depan skrin televisyen tetapi tidak dengan Azalia. Dengan Azalia merekalah yang perlu mengampu pembaca berita itu walaupun Azalia sekadar membaca Berita Terkini. Tidak Berita Utama di waktu puncak 8 malam itu. Ini kerana Azalia diketahui ada hubungan cinta dengan Ketua Pegawai Eksekutif stesen televisyen itu yang baru menjadi duda tanpa anak sejak setahun lalu.

Keesokan harinya Sally dipecat dengan serta merta. Rin pula diberi amaran sahaja.

Kali ini krew Jelajah Malaysia akan membuat laporan tentang Beting Beras Basah di Bagan Datoh, Perak. Salah satu tempat yang wajib dilawati oleh bakal sultan Perak dalam istiadat pertabalan. Tempat itu juga termasuk di dalam kawasan parlimen Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Daripada mengikut jalan darat, mereka memilih jalan air. Menaiki dua buah sampan dari kunci air di bagan ketika air sedang surut. Zakiah, pengarah program termuntah kerana mabuk laut di pertengahan jalan walaupun jarak dari kunci air di bagan itu ke beting beras basah tidaklah berapa jauh. Selepas tidak sampai setengah jam mereka pun sampailah di Beting Beras Basah.

Pak Hassan, tuan punya sampan yang mereka sewa itu dan juga orang lama di Bagan Datoh serta nelayan di situ sejak remaja lagi memberi pesan sebelum krew Jelajah Malaysia itu turun ke Beting Beras Basah.

“Pak cik nak pesan kat kome. Baca bismillah sebelum turun sampan ni. Jangan cakap dan buat benda tak elok di sini.”

“Baik pak cik,” kata Azalia.

Krew Jelajah Malaysia itu turun dari sampan. Pak Hassan menaikkan kipas enjin dan melabuhkan sauh walaupun sampannya berlabuh di atas beting pasir itu. Ada kejadian sampan hanyut ketika pemilik sedang leka mengutip kepah sampai tidak perasan air laut pasang secara tiba-tiba.

Azalia sedang dibetulkan solekannya oleh Nabihah, juru mekap Sanggul Emas yang dipilih mengikuti program itu.

“Okey ke make upmuka kakak dik?” tanya Azalia.

“Okey je kak,” jawab Nabihah. Walaupun banyak yang perlu disolek untuk menyembunyikan jerawat batu dan mencantikkan Azalia tetapi Nabihah tidak mengeluh dan berasa susah. Dia menganggap ia adalah sebahagian daripada kerjanya. Dia suka dengan kerjanya. Tambahan pula dia masih baru dalam bidang ini. Bersyukur kerana diberi peluang mengikuti program ini. Itu akan menggempakkan portfolionya kelak.

“Kan muka kak ni teruk. Tak licin macam dulu…” kata Azalia.

Nabihah tersenyum. “Saya buat kerja saya kak. Bagi saya okey ja sebab saya suka dengan kerja saya ni.”

Azalia mengangguk. Senang dengan jawapan Nabihah itu. Dia juga senang dengan hasil solek Nabihah. Nabihah seperti sudah lama menjadi juru solek artis. Terkejut bila Nabihah memberitahu dia baru sahaja menceburi bidang ini. Ikuti kelas pengajian solekan Puan Normah beberapa bulan yang lalu dan diberi beberapa peluang untuk menyolek beberapa artis di mana Sanggul Emas menaja solekan program-program itu sejak beberapa bulan yang lalu. Dia juga senang dengan sikap Nabihah. Tidak memaksanya supaya mengambil gambar sebelum disolek untuk dimasukkan dalam portfolionya kelak.

“Eh mana Ghani?” tanya Zakiah kepada Dina, pembantu pengarah.

Dina melihat sekeliling. “Tadi ada dekat hujung sana tu…” katanya sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah tengah beting. “Dia kata nak cari anglecantik dan menarik.”

“Tak ada pun dia,” kata Zakiah selepas melihat tengah beting. “Kau orang, ada nampak Ghani?” tanyanya kepada krew-krew lain.

Ghani hilang. Mereka telah mencari di seluruh beting itu. Hanya kaki tripod kamera video miliknya sahaja yang tercacak di hujung beting.

“Pak cik tolong kami,” kata Zakiah kepada Pak Hassan yang tidur di dalam sampan.

Pak Hassan terjaga lalu menarik topi yang menutup mukanya. Dia terbidas bangun. “Kenapa?”

“Kawan kami hilang,” jawab Zakiah.

Pak Hassan mengoleng-olengkan sampan sebelah. Pak Saad yang ikut tidur di dalam sampan sebelah terjaga.

“Kenapa?” tanya Pak Saad kepada Pak Hassan.

“Kawan dema hilang,” beritahu Pak Hassan lalu turun sampan. “Moh kita cari.”

Pak Saad turun sampan dan mengekori Pak Hassan dan Zakiah ke tengah beting.

Pak Hassan meminta mereka mencari Ghani sekali lagi di setiap inci beting itu. Selepas memeriksa seluruh kawasan beting itu, Ghani tidak juga ditemui.

“Memang tak ada pak cik,” beritahu Zakiah.

Ahli krew yang lain mengangguk, mengiakan kata-kata Zakiah.

Pak Hassan melihat Pak Saad.

“Engko buatlah apa yang patut, Hassan,” kata Pak Saad.

Pak Hassan mengangguk. Lantas dia mengambil pasir yang dipijaknya itu. Memejam mata dan membaca sesuatu pada pasir itu dan terus melempar ke empat penjuru di mana dia berdiri. Satu hembusan angin yang deras melanda kawasan mereka berkumpul itu, kilat memancar dan guruh berdentuman sedetik dengan tidak semena-mena.

“Tengok di hujung beting sana. Dia ada di sana,” beritahu Pak Hassan sebaik membuka mata.

Krew Jelajah Malaysia itu bergegas ke hujung beting di mana kaki tripod kamera video milik Ghani ditemui tadi. Akhirnya Ghani ditemui tertiarap di gigi air separas betis di hujung beting itu. Ghani sudah mati!

Laman facebook TV11 yang mendapat like sebanyak dua juta lebih pengguna facebook itu, memuat naik status pemakluman tentang kematian Ghani itu. Beribu komen takziah dan saranan menyedekahkan al-fatihah menghujani ruang komen status tersebut. Terkini satu komen telah menghangatkan status tersebut.

Ghani jadi mangsa kepada sial salah seorang krew Jelajah Malaysia! Al-Fatihah untuk arwah.

Begitu komen salah seorang pengguna facebook terhadap status itu. Ia mengundang sensasi dan juga spekulasi. Tambahan pula status dan komen itu diviralkan oleh portal-portal hiburan yang mempunyai ramai pengikut.

Bila status itu menjadi viral dan dikongsi oleh ratusan ribu pengguna media sosial, satu komen lain daripada pengguna facebook yang sama telah menghangatkan lagi keadaan.

Dia yang sial itu adalah pengacara Jelajah Malaysia itu. Azalia Binti Azman. Semasa dia mengacara Hero Bisnes Tempatan, semua krew mati dalam kemalangan kecuali dia. Kali ini nasib baik bukan semua krew tetapi arwah seorang sahaja. Kau orang tengok mukanya. Dulu cantik sekarang penuh jerawat. Tak ke kerana sial tu?

Komen itu sempat disalin sebelum ia dipadam oleh penyelia laman facebook TV11. Lalu ia diviralkan oleh portal-portal hiburan berpengaruh. Kini namaAzalia meniti bibir setiap orang.

Azalia berasa malu danmarah dengan tuduhan itu, Dia yakin ia perbuatan Sally tetapi tidak mempunyai bukti kukuh memandangkan akaun facebook pengomen itu bukan didaftarkan atas nama Sally. Ia akaun facebook hantu.

Imalulah…” luah Azalia.

Ignore it! Just do it your job,” nasihat Datuk Rashdan, ketua pegawai eksekutif TV11.

Azalia dan Datuk Rashdan sedang makan malam di Restoran Marble 8 Steakhouse.

Stik daging lembu Wagyu boneless rib eye, menu kegemarannya jika makan di situ belum disentuh Azalia. Dia enggan membuat pesanan tadi. Sekadar mahu minum sambil menemani Datuk Rashdan makan malam. Pesanan menu kegemarannya itu dibuat oleh Datuk Rashdan walaupun dia menghalang tadi.

“Menu kegemaran you tu.Makanlah. Jangan fikir sangat benda remeh temeh macam tu,” kata Datuk Rashdan.

Barulah Azalia memotong stik itu. Memasukkan hirisan stik itu ke dalam mulut dan mengunyahnya perlahan-lahan. Hatinya masih tidak senang.

“Tetapi semua orang di stesen macam setuju dengan komen tu,” kata Azalia.

Sejak komen itu viral, kakitangan-kakitangan stesen TV11 memandangnya lain macam. Itu bukan perasaannya sahaja malah dia nampak beberapa kali dengan ekor matanya beberapa orang kakitangan menjuih mulut ke arahnya dan ada yang mengelak daripada bertembung dengannya.

“Yang penting Itak percaya. Betul kan?” kata Datuk Rashdan. “Mulai minggu depan you baca Berita Utama.”

Azalia terkejut besar. Itulah impiannya selama ini. “Betul ke?”

Datuk Rashdan mengangguk. “Zain beritahu Ipetang tadi.”

Thank you,” ucap Azalia. Anginnya kembali baik.

Itak buat apa-apa pun…” kata Datuk Rashdan.

Thank you,” ucap Azalia lagi disertai senyuman manisnya. Dia pasti Datuk Rashdan telah melakukan sesuatu sehingga dia mendapat tempat di dalam Berita Utama.

Datuk Rashdan tersenyum juga. “Makanlah stik tu…”

Azalia mengangguk riang. Di luar, melalui dinding kaca bilik persendirian itu, Menara Berkembar Petronas berdiri tegak melatari langit.

Kereta mewah Mercedes Benz C 300 AMG Line itu meluncur laju. Lagu My Cherie Amour dendangan Stevie Wonder berputar dari sistem audio kereta itu. Datuk Rashdan melihat Azalia. Azalia berpaling dan melihat Datuk Rashdan. Mereka berbalas senyuman.

Bunyi hon yang panjang kedengaran. Datuk Rashdan dan Azalia melihat ke depan semula. Masing-masing terkejut satu limpahan cahaya tinggi menyambut pandangan mereka bersama hon panjang yang berlanjutan.

Datuk Rashdan memulas stereng. Tidak pasti bila keretanya memasuki lorong bertentangan. Tetapi usahanya sia-sia. Kereta itu dilanggar juga oleh treler panjang itu. Menyeretnya beberapa belas meter, terbabas kemudiannya dan akhirnya melanggar penghadang jalan.

Kereta mewah itu remuk. Pemandu treler turun melihat keadaan. Pengguna jalan raya yang baru tiba di tempat kejadian turut mengerumuni kereta mewah itu.

“Telefon ambulans!” arah salah seorang daripada mereka yang mengerumuni.

“Ada yang masih hidup,” kata salah seorang daripada mereka yang mengerumuni yang menadai-mandai menjadi paramedik.

“Seorang lagi dah mati,” kata seorang lagi yang memandai-mandai.

Azalia terjaga mengejut. Bau ubat-ubatan menyucuk deria baunya. Dia terkejut mendapati dirinya di atas katil yang di sisinya berdiri beberapa mesin.

“Alhamdulillah kamu dah sedar Azalia,” kata Puan Rokiah.

“Syukur nak,” kata Encik Azman.

“Apa yang terjadi mama?” tanyaAzalia.

“Kamu koma kerana kemalangan. Bos kamu pula meninggal,” beritahu Puan Rokiah.

“Datuk Rashdan meninggal?” tanyaAzalia, mukanya berubah pucat.

Puan Rokiah dan Encik Azman mengangguk. Jururawat yang ada sejak tadi sekadar tersenyum.

“Bagi saya handphone mama,” pinta Azalia.

Puan Rokiah menyerahkan juga telefon bimbitnya walapun teragak-agak.

Azalia memeriksa halaman facebook TV11 dan portal-portal hiburan. Tentang kesialannya itu menjadi viral sejak dua minggu lalu. Rupa-rupanya dia sudah koma selama dua minggu! Azalia menjerit sekuat hati. Jeritannya terlepas keluar juga dari bilik satu katil hospital swasta itu menyebabkan beberapa orang jururawat yang kebetulan berada di koridor luar berdekatan meluru masuk untuk mengetahui kecemasan apa yang sedang berlaku.

Azalia memohon cuti tanpa gaji selama dua bulan. Pihak pengurusan TV11 yang faham masalah yang sedang dihadapinya meluluskan permohonannya itu. Dia mengurungkan diri di dalam bilik tidurnya. Dia berasa apa yang tersebar di media-media sosial tentang kesialan dirinya itu benar belaka. Dia ada di setiap kecelakaan yang mengorbankan nyawa itu. Tetapi yang peliknya dia tidak pula mati. Orang-orang di sekelilingnya sahaja yang mati.

Pintu bilik tidurnya dibuka.

“Macam mana mama?” tanyaAzalia.

“Mama tak percaya sangat pasal sial dan tuah ni. Semuanya takdir Tuhan. Tetapi tak apalah kalau Azalia nak menengok juga. Jom kita tengok dengan Mak Siti,” kata Puan Rokiah.

“Tapi memang betul mama. Azalia dah banyak kali fikir. Semua ni jadi selepas kemalangan masa buat Hero Bisnes Tempatan tu. Sejak tu macam-macam sial berlaku pada Azalia. Nasib tak mati saja,” kata Azalia

"Kita tanya Mak Siti ya?” kata Puan Rokiah.

Azalia mengangguk.

Mereka berjumpa Mak Siti pada malam itu juga. Mereka orang terakhir berjumpa mengikut giliran. Selepas hampir dua belas malam, barulah giliran mereka sampai.

Mak Siti menggeleng-geleng. “Berat…” katanya.

“Kenapa Mak Siti?” tanya Puan Rokiah.

“Anak kau ni dah didampingi roh jahat. Roh jahat yang kacau dia dan kawan-kawannya masa kemalangan di Jalan Bukit, Pahang tu,” beritahu Mak Siti.

Azalia dan Puan Rokiah terkejut dengan kata-kata Mak Siti itu. Berasa takjub dengan kehebatan ilmu yang ada pada Mak Siti. Ini kerana mereka tidak pernah memaklumkan tentang kemalangan itu kepada Mak Siti.

“Kau tahu apa yang terjadi pada arwah kawan kau yang mati lemas di beting dan dalam kemalangan dua bulan lebih yang lepas?” tanya Mak Siti.

Azalia dan Puan Rokiah makin takjub. Dua kejadian yang meragut nyawa itu pun tidak diceritakan kepada Mak Siti.

“Apa yang jadi pada mereka Mak Siti?” tanya Puan Rokiah.

“Roh jahat yang ikut kau tu lah yang buat sampai mereka berdua tu mati!” beritahu Mak Siti. “Lepas ni giliran kau pulak.”

Muka Azalia pucat. Puan Rokiah gelabah.

“Jadi macam mana Mak Siti?” tanya Azalia.

Mak Siti ketawa.

“Mak Siti boleh halau roh jahat tu?” tanya Puan Rokiah.

Mak Siti ketawa. “Bukan setakat tangkap, nak dera dan bunuh pun aku boleh…”

“Buatlah Mak Siti,” kata Azalia.

“Lepas tu kau kena buang sial roh jahat yang melekat kat diri kau tu. Sebab tu kau buat apa pun macam-macam ada halangannya. Bukan setakat dia orang tu mati tetapi muka kau juga jadi hodoh. Macam-macam kau buat untuk bagi muka tu cantik semula tapi tetap hodoh. Sial tu juga buat kau tak dapat kahwin Datuk tu dan tak dapat baca berita dalam Berita Utama. Ramai orang benci pada kau sebab sial tu jugalah. Mereka meluat tengok muka kau. Mereka tak suka semua gerak geri kau,” kata Mak Siti.

Puan Rokiah memandang Azalia. Dia tertarik dengan kata-kata Mak Siti yang Azalia tak dapat kahwin dengan Datuk itu. Azalia yang faham makna pandangan mamanya itu, mengangguk dan tersenyum paksa. Puan Rokiah mengeluh kerana tidak dapat bermenantukan orang kaya.

“Macam mana nak buang sial tu Mak Siti?” tanya Azalia lagi.

“Kena mandi bunga. Lepas tu kena amalkan ayat. Aku buat dan bagi nanti,” kata Mak Siti.

“Bila nak mandi Mak Siti?” tanya Azalia, tidak sabar hendak membuang sial.

“Sekarang. Memang masa yang sesuai. Bunga-bunga tu pun memang sudah ada,” jawab Mak Siti.

Azalia tersenyum gembira.

Mak Siti melempar kelopak-kelopak tujuh jenis bunga ke dalam air. Kemudian dia melemparkan pula daun pandan, limau nipis dan sintuk. Kesemua bahan itu digaul dan diramas-ramas dan diperah-perahnya sambil membaca mantera yang hanya kedengaran kata Bismi sahaja di hadapannya.

Azalia yang berkemban dengan kain batik itu diarah duduk bertinggung.

Mak Siti meletakkan tapak tangannya ke tengah kepala Azalia dan menjirus air bunga itu ke tubuh Azalia sambil membaca mantera sehingga habis air bunga di dalam baldi besar itu.

Azalia berasa segar selepas mandi bunga. Dia berasa lebih bersemangat.

“Aku dah halau roh jahat tu. Dia keluar masa aku mula jirus kau dengan air bunga tadi,” beritahu Mak Siti.

Azalia berasa lega. Puan Rokiah hilang bimbangnya.

Mak Siti mengambil pen dan kertas dan menulis sesuatu di atasnya lalu diserahkan kepada Azalia.

“Amal bacaan tu dan raup muka kau dengan kain kuning ni seminggu sekali. Muka kau akan sentiasa cantik dan berseri-seri. Kau tak kan sial lagi. Malahakan sentiasa bertuah lepas ni,” jamin Mak Siti.

Kertas bertulis mantera dan kain kuning bertulis wafak itu diambil oleh Azalia. Melihatnya sepintas lalu. Yakin ia tidak apa-apa kerana secara seimbas lalu ayat yang tertulis di kertas dan tulisan yang membentuk wafak itu mirip bacaan dan tulisan ayat-ayat Al-Quran.

Sejak mengamalkan apa yang disuruh oleh Mak Siti, jerawat batu pada mukanya hilang. Wajahnya kembali cantik dan berseri-seri. Malah dia berasa bersemangat dan berkeyakinan. Bila dia bekerja semula, semua orang kagum dengan kecantikan wajahnya yang mereka akui lebih cantik berbanding dulu. Dia juga diterima baik oleh rakan-rakan sekerja dan semua kakitangan TV11 itu. Kisah kesialan dirinya hilang begitu sahaja.

Nasibnya juga bertambah baik. Dia mendapat juga tempat membaca berita dalam Berita Utama. Menjadi pengacara untuk beberapa program yang mencatat tontonan tertinggi. Malah dia diundang menjadi pengacara pelbagai acara koporat yang menawarkan imbuhan yang lumayan. Tidak sampai beberapa bulan dia sudah menjadi selebriti televisyen yang terkenal. Dilamar oleh beberapa syarikat terkemuka untuk menjadi duta produk mereka. Selain itu dia juga diintai oleh ketua pegawai eksekutif TV11 yang baru yang kebetulan seorang duda juga.

Azalia terjaga dari tidur. Jam dinampak seperti pukul 8 pagi. Dia terus turun katil dan ke bilik air dalam keadaan masih mamai. Dia melalui meja solek. Melihat sepintas lalu mukanya di dalam cermin meja solek.

Selepas setapak meninggalkan meja solek itu, dia memberhentikan langkah. Pantas berundur dan melihat mukanya semula di dalam cermin meja solek. Dia seperti nampak mukanya begitu hodoh tadi. Berkedut seribu, berlubang-lubang, mata yang tersembul dan merah serta gigi yang hitam.

Dia berasa lega. Mukanya tidak seperti yang dilihatnya tadi. Mainan perasaaan sahaja, fikirnya. Dia membelek-belek mukanya. Tersenyum gembira kerana wajahnya itu memang lebih cantik berbanding dahulu. Dia bergaya pula di hadapan cermin itu. Melihat-lihat badannya yang dirasakannya semakin bergetah. Lekuk-lekuk dan bonjolan-bonjolan yang lebih mengancam berbanding dahulu.

Sedang dia berbangga-bangga dengan wajah dan bentuk tubuhnya itu, kedengaran decur air pili di bilik air di dalam bilik tidurnya itu. Dia yang berkongsi bilik air dengan adik perempuannya terkejut. Segera terfikir siapa yang membuka pili air itu. Adik perempuannya tiada di bilik tidurnya. Baru pulang ke asrama semalam.

Dia ke pintu bilik air. Menolak pintu itu perlahan-lahan. Terkejut bila mendapati seseorang yang bentuk badan merupai dirinya sedang membongkok seperti seperti sedang termuntah di hadapan mangkuk tandas. Dengan sepantas kilat lembaga yang berkemban itu mendongak melihatnya.

Azalia terundur sehingga terduduk di lantai serta menjerit ketakutan. Muka lembaga itu amat hodoh. Penuh dengan liang-liang besar dan dalam. Ulat-ulat hitam dan putih menggeletik masuk keluar liang-liang itu. Bila lembaga itu menyerigai kepadanya kelihatan darah mencurah-curah keluar dari mulutnya membasahi dada dan kain batik.

Azalia pengsan. Lembaga itu hilang. Pintu bilik tidur itu dibuka. Puan Rokiah dan Encik Azman meluru masuk ke dalam bilik tidur itu.

Azalia berasa seram sejuk. Dia memandu bersendirian. Pulang dari kerja selepas tugasnya membaca berita untuk Berita Utama itu selesai. Sesekali dia melihat cermin pandang belakang. Tiada apa-apa di tempat duduk belakang. Sejak terlihat hantu di dalam tandas beberapa minggu yang lalu, dia selalu berasa dirinya seram sejuk, diekori dan diperhati oleh entah apa.

Kini lehernya meriding bila masuk ke simpang jalan menuju ke rumahnya. Dia berasa lehernya disentuh tangan yang dingin. Dia pantas menoleh sedikit dan ternampak tangan hitam, berkedut dan berkuku panjang melingkar pada lehernya.

Dia terkejut lantas menekan brek sehingga badannya tergerak mengejut ke hadapan dan hampir sahaja dahinya menghentak stereng. Dia meletakkan gear pada posisi P lalu menarik brek tangan lantas melepaskan pijak pada pedal brek. Dia menoleh dan tiada apa-apa di bangku belakang.

Dia menghembus nafas lega. Dia memandang ke hadapan semula. Menekan pedal brek, meletakkan gear pada posisi D, melepaskan brek tangan, melepaskan tekanan pada pedal brek lalu menekan minyak. Selepas berjalan beberapa meter dia melihat ke bangku belakang melalui cermin pandang belakang. Tiada apa-apa. Ketenangan hatinya menokok.

Ketenangan itu bertambah menokok bila dia sudah dapat melihat bumbung rumahnya. Dia sampai di hadapan pintu pagar rumah. Pintu pagar rumah itu dibuka secara automatik. Memakirkan keretanya, keluar dari kereta dan mengunci kereta.

Dia tidak jadi melangkah masuk ke dalam rumah selepas membuka pintu. Teringatkan beg komputer ribanya yang tertinggal di bangku belakang kereta. Dia membuka pintu kereta lalu membongkok mengambil beg komputer riba itu. Bau busuk menerpa hidungnya. Dia mendongak pantas dan bangku belakang itu kosong sahaja.

Dia berdiri semula dan mengunci pintu. Berpusing untuk masuk ke dalam rumah. Berdiri di hadapannya ialah hantu yang dilihatnya di dalam tandas beberapa minggu yang lalu itu. Hantu itu yang wajahnya berlubang-lubang dipenuhi ulat dan berdarah mulut, dada dan kembannya itu terus merangkul tubuhnya.

Azalia yang terkejut menjerit ketakutan tetapi suaranya tidak didengar oleh sesiapa. Hantu itu merangkulnya lebih erat sehingga dia sesak nafas. Matanya terbelalak, mulutnya ternganga dan badannya mengigil-gigil. Tidak lama kemudian hantu itu terserap ke dalam badannya. Serentak itu dia rebah ke lantai.

Puan Rokiah dan Encik Azman susah hati. Azalia yang terlentang di atas katil masih tidak sedarkan diri selepas meracau-racau dan melawan seperti orang kerasukan.

“Apa jadi pada anak saya ni tok?” tanya Encik Azman kepada Tok Pian, bomoh yang dipanggil untuk mengubati Azalia. Tok Pian dikatakan antara bomoh terhebat.

“Parah, parah, parah…” jawab Tok Pian. “Aku tak dapat nak ubat anak kamu ni. Sesiapa pun tak boleh ubat dia kecuali Mak Siti. Tetapi Mak Siti dah mati. Ini hantu dia. Ayat dan wafak tu bukan sebarang. Ayat dan wafak tu gunanya supaya hantu tu selalu dekat dengan anak kamu dan akhirnya bersatu dengan dia. Hantu tu lah yang bagi wajah dan badan anak kamu cantik. Bagi semua orang suka pada dia. Bagi semua orang rasa kasihan pada dia. Dapatkan jawatan dan kerja.”

“Tak ada cara lain ke tok?” tanya Puan Rokiah.

“Oh, baru aku ingat! Ada,” jawab Tok Pian.

“Bagaimana tok?” tanya Puan Rokiah, menyeka air matanya. Kata-kata Tok Pian itu memberi sinar harapan kepadanya.

“Bawak dia jumpa Karim. Dia sahaja yang boleh ubatkan anak kau ni,” jawab Tok Pian.

“Karim?” tanya Encik Azman.

“Mahaguru Silat 44 dan juga bomoh paling hebat. Dia tinggal di Bukit Mertajam,” beritahu Tok Pian.

Encik Azman dan Puan Rokiah mengangguk.

“Sampai sana tanya kat orang. Dia orang mesti tahu siapa Karim ni,” sambung Tok Pian lagi.

Encik Azman dan Puan Rokiah mengangguk.

“Pergi secepat mungkin. Aku takut keadaan anak kau makin teruk,” pesan tok Pian.

Encik Azman dan Puan Rokiah mengangguk.

Malam itu juga mereka membawa Azalia ke Bukit Mertajam untuk berubat dengan Karim. Apa yang mereka tidak tahu ialah Azalia akan mendapat sial lagi memandangkan cara berubat Karim sama dengan cara berubat Mak Siti malah Tok Pian juga. Kesemuanya menggunakan syaitan sebagai pengantara untuk mengubat.

Sial!

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.