Home Cerpen Seram/Misteri SIRI HANTU : BUAS
SIRI HANTU : BUAS
3/8/2016 19:19:10
4,563
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

BUAS

Fatah beratur sebaris bersama dua belas pemuda lain. Mereka berpakaian silat serba hitam. Di hadapan mereka berdiri sebaris beberapa orang guru tua. Berdiri di tengah-tengah barisan guru-guru tua itu ialah mahaguru persilatan itu.

Mahaguru persilatan itu tak lain tak bukan ialah Mahaguru Karim, pengasas kepada Persilatan 44 atau Persilatan Panji Hitamyang terkenal itu.

“Assalammualaikum semua,” kata Karim, memulakan ucapan.

Fatah dan dua belas pemuda serta guru-guru tua menjawab salam Karim itu.

“Akhirnya tuhan tunjukkan jalan benar kepada hangpa. Hangpa beruntung kerana menjadi pemuda terpilih. Sebab apa aku kata begitu?” sambung Karim, melihat muka tiga belas pemuda itu sepintas lalu.

Semua pemuda itu melarikan mata sebaik bertembung mata Karim. Tidak mampu menentang Karim walaupun dengan pandangan mata. Hati masing-masing menjadi kecut.

“Tak tahu?” tanya Karim.

“Tak,” jawab semua pemuda itu hampir serentak.

“Sebab silat yang hangpa akan terima ni bukan calang-calang. Silat ni anugerah langsung dari tuhan!” kata Karim penuh bersemangat.

Semua pemuda itu menjadi bersemangat dan berbangga bila mendengar kata-kata itu dari mulut Karim. Ada di antara mereka yang sudah menggengam-genggam erat penumbuk. Tetapi tidak Fatah. Entah mengapa dia berasa lain bila mendengar kata-kata Karim itu. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Jantungya berdegup kencang sebaik melihat Karim.

“Bila hangpa dah menjadi saudara persilatan ini, sampai bila-bilalah hangpa akan saling bersaudara dan kepunyaan persilatan ini. Jika hangpa berpaling, akibatnya amat buruk!” sambung Karim lagi.

Ketika dua belas pemuda lain terus bersemangat, Fatah pula semakin kecut perut.

“Sudahkah hangpa bersedia?!” pekik Karim.

“Sudah Mahaguru Karim!” jerit semua pemuda dengan penuh semangat kecuali Fatah yang teragak-agak.

“Mulakan,” arah Karim kepada Budin, ketua pelatih dan guru tua kanan Silat 44 itu.

Budin mengambil tiga belas ekor ayam jantan. Setiap seekor ayam itu diberikan kepada Karim.

“Bismi…”

Hanya bahagian ucapan Karim itu yang ditangkap telinga sebelum dia menyembelih setiap ekor ayam jantan itu. Darah yang memercik keluar dari leher ayam-ayam jantan itu dititiskan ke seluruh garisan sempadan gelanggang silat. Selepas upacara menyemah gelanggang itu selesai, kesemua pemuda itu diarah berjalan seorang demi seorang kepada Karim. Mereka diarah mencium tangan dan menyentuh kaki Karim. Karim pula akan memegang ubun-ubun mereka dan membaca mantera entah apa. Kemudian masing-masing diajarkan mantera yang ajaibnya dapat dingat serta merta oleh mereka semua. Lantas Karim berpesan mereka mestilah membaca mantera itu setiap kali hendak memulakan latihan dan masuk gelanggang selama 44 hari itu. Dan juga bila hendak bertempur dengan musuh selepas habis belajar kelak.

Fatah dapat merasakan sesuatu dari tapak tangan Karim mengalir ke dalam ubun-ubun dan masuk ke dalam tubuhnya. Urat-uratnya segera menegang, tulang belakang dan rangkanya pantas meregang dan otot-ototnya mengembang.Dia berasa ada semangat yang bangkit dari dalam dirinya menjadikannya lebih berani. Kebimbangan dan kegerunan yang menguasai dirinya tadi hilang. Dadanya kini berkobar-kobar dan bersedia untuk melakukan apa sahaja.

“Masuk gelanggang. Mula dengan langkah kiri” arah Budin.

Fatah dan dua belas lagi pemuda itu masuk ke dalam gelanggang dimulai dengan langkah kiri. Mereka terus mengikuti sukatan pembelajaran persilatan itu. Setiap gerak yang diajar cepat diingati dan mudah dipraktikkan oleh mereka semua. Seolah-olah setiap gerak mereka itu didorong oleh sesuatu. Tendangan deras, tumbukan padu, libasan parang, tikaman keris tidak memberi kesan kepada tubuh mereka. Tiada kulit yang tercalar sedikit pun, apatah lagi cedera dan lebam. Kebal.

Masing-masing bergembira mengikuti persilatan itu. Mereka mula berasa hebat dan bertuah. Berfikir tiada pesilat lain yang lebih hebat daripada mereka.

Selesai pulang dari belajar silat, Fatah mandi dan kemudian makan. Perutnya lapar semula walaupun sudah melantak nasi kandar sebelum ke markas silat 44 tadi. Lega kerana masih ada nasi di dalam periuk dan lauk di bawah tudung saji.

Dia makan dengan lahap. Tidak cukup dua pinggan penuh. Baru menambah nasi untuk kali kedua. Ketika gopoh melahap, ekor matanya menangkap kelibat seseuatu lalu di belakangnya. Dia pantas menoleh. Tiada sesiapa di belakangnya.

Dia menyambung makan. Cuba tidak menghiraukan apa yang ditangkap ekor matanya tadi. Menganggap itu semua mainan perasaan. Mungkin terpengaruh dengan cerita kawan seperguruannya tadi tentang pontianak yang mengacau hampir saban malam sejak seminggu lalu di Kampung Machang Bubok.

Sedang pulun menyuap nasi, ekor matanya menangkap lagi kelibat sesuatu lalu di belakangnya. Kali ini kelibat itu berhenti dan berdiri di hadapan pintu jamban. Belakang lehernya meremang. Dia berpaling perlahan-lahan dan kemudian dengan pantas. Matanya tepat pada pintu jamban. Tiada sesiapa di situ.

Dia hairan dan mula berasa seram. Segera menyuap nasi terakhir, menutup tudung saji dan membasuh pinggan di singki. Kemudian meletakkan pinggan di atas para lalu berpaling dan terkejut besar sehingga berderau darah dan pucat mukanya.

“Awat hang terkejut macam tu?”tanyaSobri, bapa Fatah.

Fatah mengurut dada. “Terkejut.”

“Ha, kau pergi mana tadi?” tanya Sobri.

“Keluar dengan kawan, bapak,” jawab Fatah, menyembunyikan tindakannya belajar silat 44.

“Bapak nak pergi bilik air,” kata Sobri lalu terus ke bilik air.

Fatah mengangguk. Ketika Sobri yang berdiri di muka pintu di antara dapur dan ruang tengah itu beredar untuk ke bilik air, ternampak kelibat seseorang memasuki bilik tidur Fatah.

Fatah masuk ke dalam bilik tidurnya. Menutup lampu bilik danterus merebahkan badan di atas katil. Tidak lama kemudian dia pun terlelap kerana keletihan. Selepas dua jam tidur, mukanya mula berkerut dan badannya berpeluh. Di sudut bilik berdekatan pintu kelihatan samar-samar dalam kelam satu lembaga sedang berdiri. Lembaga itu persis Fatah. Tersenyum dengan mata yang besar dan merah.

Sudah lima belas hari Fatah mempelajari ilmu persilatan 44. Dalam tempoh itu dia kerap ternampak kelibat sesuatu yang tidak diketahuinya apa. Selalunya kelibat itu lalu di belakangnya sahaja. Tetapi sebentar tadi kelibat sesuatu itumemegang tangannya ketika dia sedang mandi. Dia terus keluar dari bilik air tanpa membilas betul-betul badan yang bersabun. Teringatkan seseorang dan bergegas mencarinya.

Fatah memberhentikan motosikal di hadapan sebuah bengkel mengetuk dan mengecat kereta yang berada di pangkal jalan masuk kampung. Dia menjenguk-jenguk ke dalam bengkel itu. Tersenyum bila nampak kelibat orang yang dicarinya. Dia mematikan enjin motosikal dan berjalan masuk ke dalam bengkel.

“Kat sini rupanya hang. Aku cari merata!” kata Fatah kepada Mat Top, kawan baik dan sekampungnya yang sedang berdiri di hadapan pintu jamban bengkel.

“Awat hang cari aku? Hari ni bukan hang ada…”

Fatah pantas meletakkan jari telunjuk ke bibirnya lalu menggerakkan bebola matanya ke kanan. Mat Top yang memutuskan kata-katanya serta merta melihat ke arah seorang rakan sekerjanya yang sedang bercangkung di tepi kereta. Rakan sekerjanya yang sedang melihat mereka berdua tersengih.

“Hang tak habis kerja lagi ka? Aku ada hal nak sembang,” kata Fatah.

“Dah habislah ni. Tangan pun dah cucini. Hari ni banyak kerja. Kereta tu…”

“Jom lepak kedai mamak. Aku belanja hang makan,” potong Fatah lagi. Tiada masa hendak mendengar penjelasan panjang lebar Mat Top.

Fatah terus melangkah ke motosikalnya. Mat Top mengekori walaupun hatinya tertanya-tanya.

“Kita lepak kat port dulu. Lepas tu baru pergi kedai mamak. Okey?” kata Fatah.

“Mana-manalah,” jawab Mat Top lalu menghidupkan enjin motosikalnya.

Mereka sudah berada di dalam port yang dimaksudkan Fatah.Ia adalah sebuah rumah tinggal di hujung kuala. Di tepi pantai dengan persekitaran yang dipenuhi semak samun.

“Hang cerita balik…”

“Bagilah aku cucuh rokok dulu. Tak sempat-sempat,” potong Mat Top.

Fatah terdiam. Membiarkan Mat Top menyalakan rokok gudang garam dan menghisap serta menghembus asapnya dua tiga kali. Bila Mat Top sudah bersandar selesa di dinding, dia pun mahu mengulang tanya.

“Cerita apa?” tanya Mat Top sebelum sempat Fatah bersuara.

“Silat 44,” jawab Fatah.

“Hari tu hang blah tak mahu dengar,” kata Mat Top.

“Hang ceritalah balik la…” balas Fatah. Berasa kesal kerana tidak mahu mendengar cerita Mat Top beberapa minggu lalu. Akhirnya Mat Top bercerita tentang bahaya silat 44 yang didengarnya dari kawan-kawan di kampung lain kepada kawan-kawan mereka yang lain.

Mat Top menghembus asap rokok yang baru dihisapnya. “Depa kata silat 44 tu guna hantu raya.”

Fatah terkejut.

“Hang tak dengar cerita bouncer The Fire?” tanyaMat Top.

Fatahmenggeleng.

“Dia pergi tegur budak silat 44 supaya jangan parking kereta dekat petak bos dia. Dia tarik bahu budak silat 44 tu. Bila budak tu tengok je dia, dia terus terkencing! Hang tahu bouncer tu nampak apa?”

“Dia nampak apa?”

“Dia nampak mata budak tu besar dan merah macam epal!” beritahu Mat Top sungguh-sungguh.

Fatah semakin terkejut. Mukanya pucat.

“Tu sebab budak-budak silat 44 tu berani, kebal semacam… Budak-budak silat 44 kata tu kembar depa. Kembar depa tu dah diislamkan Mahaguru Karim. Kembar taik kucing! Hantu rayalah, apa lagi!” kata Mat Top.

Mendengar sahaja nama Karim disebut, Fatah berasa gerun serta merta. “Pasai kembar ni Guru Budin baru bagitau semalam. Memang depa cakap macam hang cakap tu lah. Kembar tu lahir sama kita. Dulu kafir dan sekarang dah diislamkan oleh Maha.. Maha…” Fatah tidak berani menyebut nama Karim. Hatinya diserang gerun tidak semena-mena.

“Awat?” tanya Mat Top.

“Takut pulak aku nak sebut nama dia…” jawab Fatah.

“Hang tak pi sana ke malam ni?” tanya Mat Top.

“Risau pulak aku nak pergi. Sejak aku belajar silat tu, aku selalu nampak kelibat,” kata Fatah.

“Hantu?” tanya Mat Top. Matanya bulat, terkejut.

“Entahlah. Tapi aku rasa macam tu lah. Aku pun selalu mimpi buruk,” kata Mat Top.

“Hang mimpi apa?” tanya Mat Top.

“Mimpi aku tengok diri aku buat benda-benda tak elok. Makan telur busuklah, jilat darahlah dan macam-macam lagi. Malam pertama belajar dah mimpi semua tu,” jawab Fatah.

“Hang dalam mimpi tu tengok orang serupa hang buat benda-benda tak elok tu, macam tu?” tanya Mat Top.

“Ya. Dia tu sebiji macam aku. Macam…”

“Kembar?” tanya Mat Top.

“Ya,” jawab Fatah.

“Malam ni hang pi belajar tak?” tanya Mat Top.

“Tak kut. Takut aku…” jawab Fatah.

“Jom ikut aku dan lain-lain. Ada kedai half cut baru buka kat Bukit Tengah,” kata Mat Top.

“Malam ni tak kut. Lain kalilah…” jawab Fatah.

“Ntah-ntah cerita yang aku dengar tu betul apa…” kata Mat Top kembali kepada topik silat 44.

Fatah terdiam. Hatinya berdebar-debar.

Selepas berfikir masak-masak, Fatah memutuskan untuk berhenti belajar silat 44. Malam itu dia duduk di rumah selepas balik kerja.Menonton televisyen dan sekali sekala berbalas mesej whatsapp dengan buah hatinya.

“Hari ni hang OT ka?” tanya Sobri yang baru keluar dari bilik tidur.

“Tak pak,” jawab Fatah.

“Eloklah. Aku dengan mak dan adik hang nak pi kenduri arwah. Hang jaga rumah,” kata Sobri.

Fatah mengangguk.

“Nasi dan lauk bawah tudung saji ya,” beritahu Hasnah, emak Fatah.

“Ya,” jawab Fatah yang masih kenyang kerana sudah mentedarah nasi kandar dengan Mat Top tadi.

“Hang esok cuti?” tanya Sobri.

“Ahad ni saya cuti pak,” jawab Fatah. “Kenapa?”

“Kami nak pi Balik Pulau. Pak menakan hang ajak makan durian kat kebun dia. Hang nak ikut?” jawab Sobri.

“Tak mau pak,” jawab Fatah.

Bapak, emak dan Lina, adiknya beredar dari rumah itu. Fatah yang tinggal seorang diri terus menonton televisyen dan berbalas mesej whatsapp dengan Aida, buah hatinya.

Fatah baru lepas membalas mesej whatsapp Aida. Selepas dipujuk dua tiga kali, akhirnya dia terpaksa membenarkan Aida menemaninya pergi memancing pagi esok. Aida hantar emotikon cium dua tiga kali. Bunyi mesej whatsapp masuk bertalu-talu. Serentak itu kedengaran bunyi sesuatu seperti guli bergolek di atas siling. Ia datang dari arah bilik air.

Berderau darahnya. Pantas melihat ke siling di atas kepalanya. Benda yang bergolek itu berhenti betul-betul di atas siling di atas kepalanya.

Tak mungkin tikus. Bunyinya lain. Lari tikus lain dengan bunyi bergolek benda apa ni. Detik hatinya.

Dia memandang lama siling itu. Menunggu kalau bunyi benda bergolek itu kedengaran lagi. Tiada tetapi entah kenapa dirinya kian seram. Bunyi mesej whatsapp daripada Aida memeranjatkannya sehingga menderaukan darahnya.

Dia tunduk dan melihat mesej whatsapp Aida itu. Aida beritahu dia baru hendak makan malam bersama keluarganya di luar. Mengucapkan selamat malam dan berharap dia akan mimpikannya malam ini.Mesej itu disertai dengan emotikon cium. Dia tersenyum kecil tetapi senyumannya pantas hilang bila teringatkan sesuatu yang dilihatnya sekali imbas pada kaca televisyen ketika dia menunduk melihat whatsapp Aida sebentar tadi.

Dia mengangkat mukanya perlahan-lahan dan memandang kaca televisyen. Dia merenung lama kaca televisyen itu. Imej-imej dari televisyen itu menenggelam timbulkan imej-imej yang terbias di atasnya. Tiba-tiba televisyen itu mati sendiri. Skrin hitam televisyen membiaskan sesuatu yang menyebabkan matanya terbeliak besar. Darahnya berderau lagi dan dia tergamam seketika. Ada satu lembaga besar sedang berdiri betul-betul di bahagian belakang sofa yang didudukinya. Dia menoleh juga dalam takut.

Tiada sesiapa di belakangnya.

Sejurus kemudian, bunyi benda bergolek di atas siling kedengaran semula. Kali ini dari siling di atas kepalanya menuju ke bilik air. Ia bergerak sangat pantas dan menghilang sebaik sampai di bilik air. Dia seram tetapi kakinya melangkah juga ke bilik air. Bunyi air pili baru dibuka kedengaran. Dia teragak-agak menolak pintu bilik air. Pintu bilik air terkuak perlahan-lahan. Tiada sesiapa di dalam dan pili air tidak terbuka.

Fatah mengurut dada. Berasa pelik tetapi tetap lega kerana tidak nampak apa-apa yang menakutkan. Dia berjalan ke ruang tamu semula. Langkahnya terhenti, darahnya berderau dan dirinya terpempan bila melihat dirinya sedang melihat televisyen. Dirinya itu menoleh ke arahnya dan kemudian tersenyum. Senyuman yang menyeramkan itu membuatkan dia berlari lintang pukang ke pintu dan membukanya tergopoh gapah. Terkejut lagi sebaik pintu dibuka sehingga dia terundur gopoh dan jatuh terduduk di lantai.

“Awat dengan hang ni?” tanya Sobri yang berdiri di muka pintu.

“Terkejut saya pak,” jawab Fatah sambal mengurut-urut dadanya yang turun naik laju. Mulutnya pula tercungap-cungap deras.

Hang ni macam nampak hantu saja,” kata Hasnah pula.

Fatah tidak membalas kata-kata Hasnah. Terus mengurut-urut dada.

“Hang nak pi mana?” tanya Sobri.

“Tak ada pi mana-mana,” jawab Fatah.

“Habis tu hang buat apa hang buka pintu tadi?” tanya Sobri.

“Nak buka untuk pak lah…” jawab Fatah, berbohong. Berdiri dan terus kembali ke ruang tamu.

Selepas tiga belas minit kembali menonton televisyen yang kembali hidup selepas mati sendiri tadi, Fatah diserang kantuk yang tiba-tiba. Mahu ditahan tetapi tidak mampu. Dia masuk ke dalam bilik tidur, meninggalkan Lina menonton televisyen bersendirian.

Di saat Fatah di hujung sedar sebelum masuk ke dalam lena, satu hembusan nafas kedengaran di telinga kirinya. Ia disertai dengan bisikan keras perlahan tetapi tegas menyeramkan.

“Kau ingkar! Kau khianat!”

Fatah tersentak lantas terjaga. Dia melihat lembaga yang menyerupainya berdiri di hujung katil. Lembaga itu berwajah dingin dengan pandangan tajam yang menyeramkan. Seluruh badan Fatah meremang. Kemudian badannya menggigil ketakutan. Lembaga itu perlahan-lahan tersenyum. Senyuman yang menakutkan.

Fatah menjerit sekuat hati. Pintu bilik tidurnya dibuka orang. Sobri, Hasnah dan Lina muncul di muka pintu. Fatah menunjuk-nunjuk ke hujung katil.

“Awat?” tanya Sobri.

“Hantu pak!”

“Tak ada apa-apa pun,” balas Sobri, berjalan masuk dan berdiri di hujung katil.

Fatah melihat semula ke hujung katil. Memang lembaga yang menyerupai dirinya tadi tidak dilihatnya lagi.

“Hang mamai kut,” kata Hasnah.

Fatah diam.

“Baca fatihah, tiga kul dan ayat kursi sebelum tidur. Tidur pula dengan rusuk kanan,” pesan Sobri.

Fatah mengangguk.

Sobri, Hasnah dan Lina pergi dari situ. Pintu bilik tidur Fatah ditutup.

Ketika Fatah cuba memikirkan apa yang terjadi, tombol pintu bilik tidur itu terkunci sendiri. Bunyi ketiknya kedengaran jelas. Mata Fatah terus terarah ke pintu. Darahnya berderau dan badannya meremang semula.

“Kau ingkar! Kau khianat!”

Bisikan yang menggerunkan itu terdengar di telinganya semula.

Fatah yang terkejut berpaling ke kiri. Tiada sesiapa.

“Kau ingkar! Kau khianat!”

Fatah berpaling semula ke kanan. Tiada sesiapa.

“Kau ingkar!!!”

Jeritan suara yang semakin kuat itu membuatkan Fatah melihat ke tilam.

“Kau khianat!!!”

Jeritan yang datangnya dari arah atas menyebabkan kepala Fatah mendongak pantas. Muka lembaga yang menyerupai mukanya timbul dari permukaan siling. Fatah terjun katil dan terus meluru ke pintu. Dia memulas tombol pintu untuk membuka pintu tetapi gagal. Diulangnya berkali-kali tetapi gagal juga. Dia menampar-nampar dan menumbuk-numbuk pintu tetapi usahanya itu tidak didengari oleh Sobri, Hasnah dan Lina yang sedang menonton televisyen di ruang tamu yang berada hanya dua langkah dari pintu bilik tidur Fatah itu.

Seluruh badan lembaga yang menyerupai dirinya itu mulai timbul dan kemudian ia merangkak di atas siling lalu mendekatinya. Lampu bilik terpadam sendiri. Sesaat kemudian dia dapat berasakan dirinya dipeluk sesuatu yang dingin dan busuk.

“Kau ingkar! Kau khianat!” suara itu benar-benar dekat di telinganya.

Dia terduduk dan menangis semahu-mahunya.

Mata Fatah terbuka pantas.Bilik itu cerah. Tidak gelap seperti yang difikirkannya. Lampu menyala terang dan tidak terpadam. Juga mendapati dirinya tidak terbaring di lantai seperti yang difikirkannya. Sebaliknya dia terlentang di atas katil sekarang. Dia berasa kepalanya semak dan hatinya sesak.

Ketukan pintu yang bertalu-talu kedengaran. Diiringi suara emaknya memanggilnya bersarapan. Pantas dia tidak senang dengan keadaan itu. Menyumpah seranah emaknya di dalam hati. Itu pertama kali berlaku di dalam hidupnya. Dia tidaklah baik, kadang-kadang buat jahat di belakang keluarganya juga, tetapi tidak pernah melawan cakap bapak dan emaknya sejak dulu.

“Makanlah dulu! Nanti cek pi lah!” jerit Fatah. Panas baran tidak semena-mena.

Hasnah terkejut dengan suara tinggi Fatah. Dia hairan kerana selama ini anak lelakinya itu tidak berperangai begitu. Dia kembali ke dapur.

Fatah turun malas dari katil. Membetul-betulkan rambut dan memisat-misatkan mata.

“Kenapa dengan Fatah tu?” tanya Sobri. Dengar jerit Fatah tadi.

“Entah. Pelik sejak malam tadi,” jawab Hasnah.

Lina melihat kedua orang tuanya itu. Dia ingin beritahu sesuatu tetapi teragak-agak.

“Kenapa dengan hang Lina?” tanya Sobri yang perasan.

“Tak ada apa-apa,” jawab Lina, membatalkan hasrat.

Bila Fatah keluar dari bilik tidurnya, dia bertembung dengan Lina yang berjalan ke bilik tidurnya selepas habis bersarapan. Fatah menegur Lina tetapi adik perempuannya itu tidak membalas. Kelakuan Lina itu membuatkan Fatah berang tidak semena-mena.

“Hoi!” jerit Fatah. “Aku cakap dengan hang! Hang pekak ka?!”

Lina tidak menjawab. Malah tidak menoleh dan tidak juga berhenti melangkah ke bilik tidurnya.

Fatih yang semakin berang pantas melangkah dan terus menarik lengan Lina. Lina yang terkejut berpaling dan segera meronta-ronta.

“Hang tak dengar aku tanya apa?!” tengking Fatah.

Lina terkejut melihat muka Fatah yang bengis. Dia tidak pernah melihat abangnya itu marah sebegitu rupa. Lina terketar-ketar kerana gentar.

“Hang ni pekak ke apa?!” tengking Fatah lagi. Matanya membuntang.

“Awat tu?” tanya Sobri yang datang dari dapur selepas mendengar kekecohan itu.

“Kenapa hang ni Fatah?” tanya Hasnah pula.

Fatah terus menghayun pelempang yg kena tepat pada pipi kiri Lina. Lina mengaduh kuat dan menangis kesakitan.

Fatah menghayun pelempang lagi. Kali ini tangan kirinya itu ditangkap Sobri.

“Hang kena rasuk apa ni Fatah?!” marah Sobri.

Fatah melihat tajam dan merengus kepada Sobri. Tangannya yang dipegang Sobri ditarik keras.

“Pelik hang ni Fatah. Awat hang jadi macam ni?” kata Hasnah, berdiri di hadapan Lina.

“Dia kurang ajar sangat. Orang kurang ajar memang kena ajar macam tu,” balas Fatah.

“Abang ni memang pelik mak. Malam tadi dia masuk bilik Lina. Berdiri dalam gelap dekat pintu nak dekat lima minit,” luah Lina. Perkara yang ingin diberitahu di meja makan tadi terlepas juga dari kerongkongnya.

Sobri dan Hasnah berpandangan. Masing-masing terkejut.

“Apa hang buat Fatah?” tanya Sobri.

“Tak ada kerja aku nak berdiri depan pintu bilik hang,” balas Fatah, tidak menjawab soalan Sobri sebaliknya berkata kepada Lina.

“Manalah adik tahu,” jawab Lina.

“Betul ke Fatah?” tanya Hasnah.

“Gila dia ni mak. Cek pun terkunci di dalam bilik,” jawab Fatah.

Sobri dan Hasnah berpandangan. Masing-masing hairan.

“Apa maksud hang Fatah?” tanya Sobri.

“Cek pun terkunci dalam bilik,” jawab Fatah.

“Bilik tu kan hanya boleh dikunci dari dalam. Hang kan ada dalam bilik semalam,” kata Sobri.

Fatah tersedar. Dia tidak bersedia menceritakan apa yang terjadi. Akhirnya tanpa membalas kata-kata Sobri, dia pun melangkah ke dapur. Makan nasi goreng dengan lahap, mandi dan keluar dari rumah.

Pukul 10.25 pagi, Fatah bawa Aida makan di kedai makan bawal goreng panas di Perai. Dalam pukul 11.15 pagi pula mereka berduasudah pun berada di salah satu lubuk ikan di Kuala Juru.

“Tak ada pun ikan…” kata Aida selepas setengah jam kail dilontar.

Boring dah? Semalam abang dah cakap jangan ikut. Aida yang nak ikut,” kata Fatah, menarik muka.

Aida tersenyum manja. “Memang kat sini banyak ikan ke?”

“Dah nama pun lubuk ikan kut,” jawab Fatah.

“Ikan apa yang ada?” tanya Aida lagi.

“Macam-macamlah…” jawab Fatah.

“Macam-macam tu apa?” tanya Aida lagi.

Fatah diam. Kepalanya semak. Hatinya sesak. Sungguh tak selesa dengan perbuatan Aida yang asyik bertanya itu ini sejak tadi.

“Aida diam boleh tak? Lari ikan kalau bising,” kata Fatah dengan nada suara tidak puas hati. Tidak memandang buah hatinya itu. Lebih selesa memandang ke tengah kuala.

Aida tersentak. Sepanjang dua tahun mereka bercinta, belum pernah Fatah berkata begitu kepadanya. Jika tidak tahu menjawab, Fatah sekadar tersengih sahaja. Dia terasa kerana kelakuannya yang ingin bermanja-manja itu dianggap menyusahkan oleh Fatah.

“Ada masalah ke?” tanya Aida.

Fath diam di mulut tetapi mengeluh di hati.

“Cakaplah kalau ada masalah,” desak Aida, bimbang perubahan kelakuan Fatah disebabkan dia dilanda masalah.

Berang Fatah mendidih.

“Masalah duit? Masalah ker…”

“Aku cakap diam, diamlah. Hang tak reti bahasa ka?” tengking Fatah sambal berpaling kepada Aida yang duduk di batang pancing satu lagi yang berjarak satu langkah darinya.

Fatah terpempan sebaik melihat Aida. Dia lari lintang pukang ke motosikalnya. Meninggalkan batang-batang pancing dan buah hatinya. Dia nampak Aida adalah Karim. Karim yang bermata besar merah menjegil dengan muka menakutkan. Dia cuba menghidupkan enjin motosikal beberapa kali tetapi gagal.

Aida terpinga-pinga dengan apa yang sedang berlaku. Dia mengejar sambil menjerit-jerit memanggil Fatah. Tetapi apa yang dilihat Fatah ialah Karim yang sedang mengejar sambal menjerit “Kau ingkar! Kau khianat!” kepadanya. Dia melihat Karim semakin menghampirinya.

Di dalam saat yang genting itu, Fatah berlari kencang meninggalkan motosikal dan Aida. Dia terus balik ke rumah dengan berjalan kaki dan terperuk di dalamnya.

Aida yang ditinggalkan tercengang-cengang. Dia pulang ke rumah bersendirian. Mujur Fatah meninggalkan kunci motosikal pada suisnya. Mencari Fatah di jalan utama tetapi tidak berjumpa. Menjelang petang, setelah Fatah tak muncul-muncul untuk mencari motosikalnya di rumahnya, barulah Aida menghantar motosikal Fatah itu ke rumahnya bersama adik lelakinya. Selepas diberi salam beberapa kali, tiada muncul sesiapa di muka pintu. Lalu kunci motosikal itu dijatuhkan ke dalam rumah melalui tingkap yang terbuka sedikit di ruang tamu. Aida pulang bersama adik lelakinya.

Sebenarnya Fatah ada di dalam rumah. Dia tidak mahu berjumpa Aida buat masa sekarang. Dia tidak tahu apa yang sedang berlaku kepadanya. Dia berasa bersalah kepada Aida.

Dia duduk memeluk lutut sambil bersandar pada almari baju. Badannya menggigil ketakutan. Wajah Karim bermata besar merah yang menjegil dan mukanya yang amat menakutkan berputar-putar dalam fikirannya. Ditambah pula dengan jeritan “Kau ingkar! Kau khianat!” yang tengiang-ngiang di telinganya.

Pintu almari itu ditumbuk dari dalam menghasilkan bunyi yang kuat. Kesan tumbukan itu terkena belakang badan Fatah. Fatah yang terkejut bingkas dari lantai. Dia berdiri dua langkah dari almari yang kini sedang bergerak-gerak pintunya. Seolah-olah ada sesuatu yang mahu keluar dari dalam almari itu.

Dengan nafas yang turun naik laju, jantung yang berdegup kencang dan badan yang meremang, dia panjangkan juga tangannya mencapai tangkai pintu almari. Dia memegang lama tangkai pintu almari itu dan kemudian menariknya sekuat hati dengan pantas. Muka pintu almari itu separuh terbuka sebelum ia ditarik semula dari dalam dan tertutup rapat. Dia nampak mata besar merah yang menyala-nyala dengan bibir yang tersenyum menakutkan dari celah-celah pakaian yang tergantung.

Dia berlari keluar dari bilik tidur dan cabut meninggalkan rumah dengan motosikal yang dihantar Aida tadi. Dia memecut laju ke tempat lepak Mat Top dan rakan-rakannya. Bila ditanya tentang kemunculannya yang tiba-tiba, dia sekadar memberitahu bosan duduk di rumah bersendirian kerana keluarganya belum pulang dari Balik Pulau.

Mereka sembang, hisap rokok dan minum air bergas sambil berbincang tentang kedai yang hendak dipecah masuk pada malam itu. Selepas itu mereka menyedut syabu dan mula menjalankan kerja jahat mereka. Jam tangan menunjukkan pukul 1.15 pagi.

“Hang ikut malam ni?” tanya Mat Top.

“Malam ni aku ikut,” jawab Fatah. Dia tidak diserang gangguan-gangguan lagi selepas menghisap syabu.

“Macam tu lah. Jangan kecut sangat! Malam ni kita cari enjin. Dah ada tempat nak tolak. Aku bawak Hilux bapak aku malam ni. Kadir pula bawak Triton abang dia,” kata Mat Top lalu mengambil plat nombor kenderaan palsu yang disorok di atas siling rumah itu.

Selama ini, di antara mereka semua, Fatahlah paling jarang mengikuti kerja memecah masuk dan merompak kedai-kedai di sekitar Bukit Tengah, Bukit Minyak, Alma dan Simpang Empat. Fatah pekena syabu juga tetapi bila diajak buat kerja jahat itu dia kerap menolak dan mengelak. Ketika mereka terus ke kedai yang disasarkan, Fatah pula membelok pulang ke rumahnya.

Kini mereka di tepi sebuah kedai half cutdi Bukit Tengah. Mereka memotong pagar zink kedai itu danmasuk ke dalam kedai itu.Berjalan senyap di balik alat-alat ganti terpakai kereta dan sampai di bangunan kedai yang menempatkan enjin kereta. Di situ duduk seorang pengawal keselamatan gurkha yang menjaga kedai half cut yang terbesar di Pulau Pinang itu.

Saat ketika mereka mengintai-ngintai itu, telinga Fatah dibisiki oleh suara yang menyuruhnya membaca mantera yang diberi oleh Karim di awal mempelajari Silat 44 itu. Mulutnya automatik terkumat-kamit membaca mantera itu. Serentak itu dia menjadi berani dan bersemangat. Ada sesuatu yang meresap masuk ke dalam badannya.

Tanpa disuruh, Fatah terus berlari laju ke arah pengawal keselamatan itu. Pengawal keselamatan itu menoleh tetapi terlambat sedar kerana Fatah sudah berada dekat dengannya. Dengan sekali tumbukan sauk yang mengenai tepat rahang, pengawal keselamatan itu rebah dan pengsan.

Mat Top dan lain-lain terkejut dengan keberanian Fatah kali ini. Selama ini jika mengikut, Fatahlah yang paling pengecut hendak buat apa dan selalunya minta mereka segera beredar dari situ. Mereka mengekori Fatah masuk ke dalam bangunan kedai itu. Gembira kerana terdapat banyak enjin kereta di dalam bangunan kedai itu.

Fatah mengangkat enjin kereta yang lebih dari 150 kilogram itu seorang diri. Memikulnya dan membawanya laju ke Hilux yang diparkirkan di tepi kedai.Hal itu mengejutkan Mat Top dan lain-lain. Mereka pula sekurang-kurangnya perlu empat orang untuk mengangkat sebuah enjin kereta.

Bukan sebuah tetapi Fatah mengangkat enjin kereta ke Hilux sebanyak tiga buah. Sementara Mat Top dan lain-lain sekadar dua buah yang berjaya diangkut ke dalam Titron.Kemudian mereka terus beredar dari situ dengan gelak besar.

Sejak malam itu, Fatah mula ketagih hendak memecah masuk dan merompak kedai. Lama kelamaan dia yang menjadi kepala menggantikan Mat Top dalam setiap kegiatan pecah masuk kedai-kedai. Dia yang paling berani dan kuat di antara mereka.

Pihak polis sudah dapat menghidu kegiatan jahat Fatah dan kumpulannya. Mereka juga sudah mengenal pasti rumah tinggal di hujung kuala itu sebagai tempat berkumpul Fatah dan kawan-kawannya. Malam itu mereka mengadakan operasi untuk menangkap kumpulan penjenayah itu. Mereka percaya dengan tangkapan itu dan soal siasat yang bakal dijalankan kelak, tentunya Fatah dan kawan-kawan penjenayahnyaakan mengaku tentang kegiatan-kegiatan jahat yang mereka lakukan itu.

Malam itu, sepasukan anggota polis mengepung rumah yang menjadi tempat lepak Fatah dan kawan-kawannya. Mereka sedang merancang untuk memecah masuk sebuah kedai half cut di Bukit Mertajam. Mengikut pemerhatian mereka ada enjin-enjin kereta yang baru sampai di kedai itu dua hari lepas.

Ketika mereka sedang leka berbincang, pasukan polis yang mengepung tadi pun menyerbu mereka. Fatah sempat berdiri dan memetik suis lampu. Lampu terpadam dan kini hanya bunyi bising yang kedengaran. Bila lampu dibuka oleh salah seorang anggota polis, kesemua mereka berjaya ditahan kecuali Fatah yang hilang entah di mana.

Fatah berjaya memboloskan diri dari kepungan polis dan kini berenang menjauhi rumah tinggal itu. Kemudian dia berjalan beberapa puluh meter, mencuri motosikal di rumah berdekatan dan menyembunyikan diri di rumah sewa kenalannya di Jawi.

Sejak itu Fatah dalam senarai dikehendaki polis. Walaupun begitu Fatah yang berhenti kerja, tidak pulang ke rumah dan tinggal bersama kenalannya yang juga seorang penyamun, semakin buas memecah masuk dan kini merompak bank juga. Selepas beberapa kali cubaan menangkapnya gagal, polis akhirnya berjaya mendapat peluang keemasan sekali lagi untuk menangkap Fatah.

Polis berjaya mendapat maklumat melalui panggilan telefon daripada Jo, kenalan Fatah yang juga perompak, bahawa Fatah sedang berada di sebuah rumah pelacuran di Bukit Mertajam. Jo melakukan begitu kerana berasa terancam dengan pengaruh Fatah yang mulai meluas. Dia dapat merasakan Fatah merancang untuk menjadi ketua kumpulan penjenayah yang diterajuinya sudah dua tahun itu.

Sepasukan polis baru sampai dikawasan rumah pelacuran itu. Fatah yang perasan kedatangan polis selepas mengintai ke luar tingkap setelah berasa tidak sedap hati, sudah terjun dari tingkap dan jatuh di atas bumbung sebuah kereta dari tingkat tiga. Fatah berlari dengan kaki terhencot-hencot ke bangunan sebelah. Menendang pintu belakang salah satu premis kedai dan berjaya masuk ke dalamnya. Berlari ke depan dan membuka pintu hadapan. Keluar ke jalan dan masuk ke dalam salah satu teksi yang kebetulan baru menurunkan seorang penumpang.

“Jalan!” arah Fatah sambil meletakkan pisau ke leher pemandu teksi.

Zahid, pemandu teksi itu menggerakkan teksinya.

“Ke mana encik?” tanya Zahid, melayan Fatah seperti pelanggan.

“Hang jalan saja sampai aku suruh berhenti,” kata Fatah.

Sedang sepasukan anggota Unit Tindakan Khas polis baru menyerbu bilik di mana Fatah dipercayai berada.

Ketika Fatah memeriksa kecederaan pada kakinya, Zahid memandang curi ke belakang melalui cermin pandang belakang. Mulutnya automatik berzikir sebaik melihat lembaga hitam besar pada tubuh Fatah.

“Awat panas?! Pasang air cond kuat sikit,” arah Fatah yang tiba-tiba kepanasan.

Zahid terus membaca fatihah, tiga kul dan ayat kursi.

“Ada sekatan polis di hadapan encik,” beritahu Zahid bila melihat ada sekatan jalan raya yang dilakukan polis yang jaraknya dua ratus meter dari mereka.

“Patah balik, patah balik,” arah Fatah.

“Kalau kita patah balik, polis mesti perasan. Depa mesti kejar,” kata Zahid.

“Habis tu?!”

“Depan tu, sebelum roadblock tu, simpang ke rumah saya. Rasanya saya macam kenal polis-polis tu. Mereka pun kenal teksi ni dan tahu saya tinggal di situ. Encik pun cedera. Boleh berehat di rumah saya,” kata Zahid.

Tanpa banyak fikir, Fatah bersetuju.

Zahid memulas stereng dan masuk ke simpang sebuah rumah di tepi jalan. Fatah menyusup masuk ke dalam rumah. Dia selamat di situ.

“Encik jangan risau saya takkan report polis…” kata Zahid.

Melihat muka Zahid yang baik, Fatah mudah percaya.

Memang Zahid tidak melaporkan tentang keberadaan Fatah di situ. Dia pergi dan balik kerja seperti biasa. Fatah pula menumpang di rumahnya sudah lebih seminggu. Kakinya yang retak sudah baik diurut Zahid.

Selepas makan malam dan solat isyak pada hari ketujuh itu, Zahid mula membuka bicara.

“Hang tahu Silat 44?” tanya Zahid.

“Tahu,” jawab Fatah, tiba-tiba memandang tajam Zahid.

“Okey ke silat tu?” tanya Zahid.

“Okey je,” jawab Fatah. “Kenapa?”

“Orang kata Pak Karim tu teruk. Dia serah hantu raya pada anak muridnya,” kata Zahid.

Fatah merengus tiba-tiba. Dia menjadi marah bila Karim dicaci begitu. Dia mengenggam penumbuk dan terus menghayunnya ke muka Zahid. Zahid yang memang bersedia berjaya mengelak dan terus berdiri berdepan Fatah yang sudah kerasukan.

“Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahirobbilakamin…” Zahid membaca al-Fatihah.

Fatah berdiri dan mulutnya kumat kamit membaca mantera yang panjang. Badannya menjadi kejap dan semangat serta keberaniannya membara. Tangannya bersilang di dada. Badannya bergoncangan. Selepas beberapa ketika dia pun menaikkan muka dan membuka mata. Matanya besar merah menyala. Sepantas kilat dia menyerang Zahid.

Zahid yang sudah bersedia berjaya mengelak setiap tumbukan dan tendangan Fatah. Bila mendapat peluang dia pun menyerang Fatah. Dia berjaya melepaskan tumbukan sauk yang mengenai tepat rahang Fatah. Fatah yang kebal dan kuat itu terpelanting ke udara dan jatuh terlentang di lantai. Belakang kepalanya menghentak kuat lantai dan dia pengsan.

Zahid membaca Al-Fatihah dan menghembusnya pada tapak tangan. Tapak tangan itu disapu ke muka Fatah. Fatah terjaga lalu terpinga-pinga.

“Apa yang terjadi?” tanya Fatah.

“Syukur. Alhamdulillah…” kata Zahid.

Mulai hari itu, Fatah mula belajar asas agama daripada Zahid. Zahid orang biasa yang dalam ilmu agamanya. Dia pemandu teksi yang beriman. Sentiasa takut dan dekat pada Tuhan.

“Abang cadangkan hang serah diri pada polis,” jawab Zahid bila ditanya Fatah tentang apa yang harus dilakukannya.

“Saya pun rasa begitu bang. Tapi sebelum tu saya nak balik jumpa keluarga dulu,” balas Fatah.

“Begitulah sepatutnya,” kata Zahid.

Fatah pulang ke rumahnya. Sobri, Hasnah dan Lina yang sudah lama tidak berjumpa dengannya menyambutnya dengan linangan air mata. Zahid menceritakan apa yang terjadi kepada Fatah kesan menuntut Silat 44.

Selepas makan tengah hari, Zahid membawa Fatah ke balai polis. Fatah menyerah diri dengan rela hati. Tak lama kemudian dia dibicara. Dia mengaku terhadap semua pertuduhan yang dibacakan. Dijatuhi hukuman penjara dan ditahan di Penjara Jawi.

“Hoi budak!” seorang banduan berpengaruh di penjara Jawi itu memanggil Fatah.

Fatah tidak mempedulikan panggilan itu. Kali ini dia tidak mahu dibuli lagi. Sudah lebih tiga bulan dia mengikut sahaja arahan banduan itu dan pengikut-pengikutnya.

“Celaka hang! Aku panggil hanglah budak!” tengking banduan itu.

Fatah terus beriadah. Tidak mempedulikan tengkingan itu.

Banduan berpengaruh itu memberi isyarat kepada dua orang pengikutnya. Pengikut-pengikutnya itu menghampiri Fatah. Salah seorang daripada mereka menyucuk senjata tajam buatan sendiri ke pinggang Fatah.

Fatah yang kesakitan mula berang. Tiba-tiba bisikan suara hantu raya yang sudah berbulan tidak muncul kini bergema semula di telinganya.

“Baca mantera tu…”

Fatah menahan diri.

Pengikut banduan berpengaruh itu menyucuk senjata tajam ke pinggang Fatah sekali lagi. Fatah kesakitan dan darah mulai keluar dengan banyaknya dari luka. Dia cuba berzikir.

“Baca mantera tu…”

Badan Fatah bergoncangan menahan kesakitan pada tikaman yang ketiga. Dia menoleh dan berdepan dengan kedua-dua pengikut banduan berpengaruh itu.

Kedua-dua banduan itu menggeletar dan salah seorang daripada mereka, yang memiliki senjata tajam itu, terkencing di dalam seluar…

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.