PERGI!
Yuni terjaga dari tidur. Cepat meraba perutnya yang
memulas lagi. Dia turun dari katil. Melihat Amira yang sedang nyenyak dan
berdengkur nipis di katil bawah.Dia berasa segan hendak mengejut Amira supaya
menemaninya sekali lagi ke bilik air di tingkat bawah. Bilik air di dalam bilik
itu tidak dapat digunakan sejak dua tiga hari ini. Tekanan air kurang.
Yuni mencapai tuala dan memakainya. Segera keluar bilik.
Ruang keluarga yang gelap menyambutnya. Dia menekan suis lampu dan ruang itu
cerah. Menyusuri tangga dan tiba di ruang makan. Dia membuka lampu di situ. Ruang
makan itu terang benderang. Dari situ dia terus ke dapur dan seterusnya masuk
ke dalam bilik air lalu buang air besar.
Ketika di hujung buang air besar, telinganya tertangkap
bunyi air mencurah dari singki dapur yang bersetentangan dengan pintu balik air
itu. Dia mendengar seseorang mengambil pinggan dan membuka periuk.
Siapalah yang makan pagi-pagi buta ni, detik hatinya.
Fikirannya terus teringatkan Aza yang gemuk dan kuat makan.
Bunyi-bunyi dari dapur itu hilang tidak lama kemudian. Yuni
habis buang air besar. Mencuciapa yang perlu, terus keluar dari bilik air dan
menutup lampu. Lega.
Dia berasa haus. Ambil botol air dari dalam peti ais dan
menuangnya ke dalam gelas. Meneguk air sejuk itu dan kemudian ke singki untuk
membasuh gelas. Terperanjat bila mendapati singki itu kering.
Tadi bukan bunyi air singki ni ke? detik hatinya.
Dia yang memang pengecut, meremang. Pantas meletakkan
gelas ke dalam singki tanpa membasuhnya. Mencapai botol air dan memasukkanya
semula ke dalam peti ais. Sebaik menutup pintu peti ais dia terdengar keriuk
pintu bilik tidur berdekatan dapur. Pintu bilik tidur itu terkuak sedikit.
Dia melangkah ke situ dan menjenguk ke dalam bilik yang
samar itu. Aza sedang nyenyak tidur dan berdengkur kuat. Faen pula sedang duduk
berjuntai di tepi katil.
“Kenapa Faen?” tanya Yuni.
Faen tidak menjawab. Badannya bergoncangan. Dia menangis
teresak-esak.
“Kenapa Faen?” tanya Yuni melangkah masuk ke dalam bilik
tidur itu dan terus mendekati Faen.
Faen terus memeluk dan membenamkan mukanya ke perut
Yuni. Yuni membelai rambut Faen.
“Kenapa Faen?” tanya Yuni lagi.
Faen menarik mukanya. Dari celah rambutnya yang mengurai
menutupi muka kelihatan air mata terus bercucuran dari matanya.
“Raz dah tinggalkan aku…” jawab Faen.
Yuni mendengus nipis. Dia ingatkan apa tadi. Putus cinta
rupanya. “Banyak lagi lelaki lainlah. Jantan tu memang tak sesuai dengan kau.”
Keriuk katil kedengaran. Aza yang terjaga terbidas
bangun.
“Kenapa?” tanya Aza sambil memisat-misatkan mata.
Suaranya serak.
“Raz dah tinggalkan dia,” jawab Yuni.
“Betul?” tanya Aza.
Faen mengangguk.
“Bagus pun…” balas Aza.
“Sudahlah. Tidurlah. Buat apa menangis. Entah-entah
jantan tu elok je tidur lena bermimpi indah lagi,” kata Yuni yang memang
mengantuk.
“Betul tu. Payah juga berkawan dengan jantan playboy macam dia tu. Kau bukan tak
cantik. Lepas ni tentu ramai lelaki yang nak kat kau. Kalau kau takut nak
bercinta dengan lelaki, baik kau bercinta dengan makanan saja. Macam aku. Tak
kan pernah disakiti!” bebel Aza panjang lebar.
Bebelan Aza itu mengundang ketawa Faen dan Yuni.
“Aku naik dulu,” kata Yuni. Dia keluar bilik dan menutup
pintu. Sementara Faen dan Aza menarik selimut masing-masing.
Aza menutup lampu dapur dan kemudian bergerak ke ruang
makan. Terkejut bila mendapati Amira sedang makan di meja makan dengan
lahapnya. Menunduk tanpa menghiraukan kehadiran dirinya.
“Kau lapar ke?”tanya Yuni.
Amira sekadar mengangguk. Mulutnya penuh nasi.
“Aku naik dululah,” kata Yuni.
Amira mengangguk juga tanpa berkata apa-apa.
Yuni naik ke tingkat atas. Di pelantar pertama tangga,
dia sempat menjeling ke arah meja makan. Amira sedang makan dengan lahapnya.
Dia berasa pelik dan terus ke bilik tidur. Pintu bilik tidur dibuka. Dia
terkejut bila mendapati Amira sedang tidur merekot dan berdengkur seperti
sebelum dia ke tandas seorang diri tadi.
Yuni ke tangga. Mengintai ke meja makan. Amira yang
sedang makan dengan lahapnya memanggungkan muka. Melihatnya dengan pandangan
tajam. Yuni yang ketakutan bergegas naik ke bilik tidur semula. Lantas membuka
lampu dan terus mengejutkan Amira.
Amira bangun dan duduk berjuntai di tepi katil.
“Hoi, aku nampak kau dekat meja makan tadi,” beritahu
Yuni, suaranya bergetar.
Amira diam tidak menjawab. Menunduk sahaja. Rambut
panjangnya menutupi mukanya.
“Kau dengar tak?”tanya Yuni lalu menolak badan Amira ke
belakang supaya melihatnya.
Amira melihat Yuni. Yuni terpempan dan berlari lintang
pukang keluar bilik. Dia melihat muka Amira yang hitam dan hodoh. Dia mengetuk
pintu bilik tidur utama. Pintu bilik tidur itu dibuka tidak lama kemudian.
Yuni terus menerpa masuk. Bilik tidur itu menjadi kecoh.
“Kenapa?” tanya Suria, penghuni bilik tidur utama itu.
“Aku nampak hantu!” jawab Yuni.
“Macam yang aku nampak?” tanya Mahani, teman sebilik Suria.
Yuni mengangguk.
“Nampak apa?” tanya seseorang di muka pintu. Amira
berdiri di depan muka pintu.
Yuni terkejut dengan kemunculan Amira. Dia melompat ke
atas katil.
“Hoi, kau buang tabiat apa? Tengok aku macam nampak
hantu,” kata Amira.
“Kau dekat mana tadi?”tanya Yuni.
“Aku makan tadi. Terjaga masa kau buka pintu nak keluar
bilik. Aku pun turun ke dapur. Kau dalam tandas. Kau tegur aku masa aku makan
tadi kan?” jawab Amira.
“Kau buka air singki?”tanya Yuni.
“Tentulah buka. Basuh pinggan dan gelas. Termasuklah
gelas yang kau tinggal tak berbasuh tu,” jawab Amira.
“Kau ada buka air singki sebelum makan?”tanya Yuni.
“Tentulah. Basuh tangan,” jawab Amira.
Yuni berasa hairan kerana mendapati singki itu kering
tadi. “Ni kau baru naik kan?”
“Ya. Kenapa?” tanya Amira.
“Aku nampak kau tengah tidur masa masuk bilik tadi. Aku
periksa meja makan. Kau tengah makan juga. Aku naik semula dan gerak kau. Kau
bangun dan duduk di tepi katil. Bila aku cerita apa yang aku nampak, kau diam
saja. Aku ingat kau tengah mamai ke apa. Bila aku tolak badan kau, kau dongak
dan aku nampak muka kau hitam dan hodoh. Hantu,” terang Yuni.
“Biar betul…” kata Amira.
“Buat apa aku nak tipu. Mata aku sendiri yang nampak,”
kata Yuni.
“Jom kita periksa bilik kau orang,” cadang Suria.
Mereka berempat ke bilik tidur Yuni dan Amira. Katil
Amira kosong.
“Apa yang sedang berlaku ha?” tanya Amira kepada mereka
bertiga.
Sudah dua kali orang nampak lembaga menyerupai dirinya.
Pertama Mahani dan terbaru Yuni. Sesungguhnya dia tidak tahu apa yang sedang
berlaku.
Pagi itu rumah sewa itu kecoh dengan cerita Yuni dikacau
hantu menyerupai Amira. Hari itu ahad dan tiada kuliah. Hujung minggu begini mereka
serumah selalunya akan masak, makan dan menonton televisyen atau dvd
bersama-sama.
“Yang aku hairan kenapa benda tu merupa kau?” tanya Era,
salah seorang penghuni bilik sebelah bilik Amira dan Yuni. Dia memang jenis
yang suka berterus terang. Tidak suka simpan di dalam hati.
“Itulah aku tengah fikir dari hari tu lagi,” jawab
Amira.
“Yang aku tahulah, hantu boleh menyerupai orang yang
membelanya. Tapi…”
Amira tersentak. Terasa dengan kata-kata Era.
“Tapi takkan kau membela pula, kan?” sambung Era.
“Itulah… Hairan aku,” jawab Amira. Lega kerana Era tidak
berfikir bukan-bukan.
“Sebelum aku kena usik, kau ada pergi campingkan?” tanya Mahani.
Amira mengangguk. “Aku hiking. Camping di puncak
Gunung Irau,” jawab Amira.
“Entah-entah benda kat tempat tu yang ikut kau. Manalah
tahu…” kata Era.
“Kau ada buat benda tak elok tak masa kat situ?” tanya
Yuni pula.
“Memang pernah berlaku pada pendaki lain. Gunung mana
pun tempatnya keras. Tetapi aku tak rasa apa-apa pun. Sepatutnya akulah yang
diganggunya. Kenapa pulak benda tu nak menyerupai aku?” jawab Amira, melihat
Era.
Era mengangguk-angguk setuju dengan jawapan logik Amira.
Amira tumpu perhatian pada Yuni pula. “Tak pernah aku
buat benda tak elok. Baik semasa hiking,
camping dan hari-hari biasa macam
ni.”
“Betul jugak tu Yuni…” kata Suria. “Dia kan solat tak
tinggal… Baik hati… Kau ni…” Dia maksudkannya. Tidak memerli.
“Maksud aku, terpetik bunga ke. Terambil apa-apa bawa
balik ke…” kata Yuni.
“Tak. Aku tak buat benda tu. Memang kami pendaki hafal
pantang larang mendaki dan bermalam di gunung. Petik dan ambik bunga,
tambah-tambah yang pelik memang dilarang,” kata Amira.
“Kalau macam ni bahaya. Takut kena kat aku pulak,” kata
Faen yang diam sejak tadi.
“Kenapa?” tanya Yuni.
“Aku pernah tengok hantu dulu. Masa di asrama SEMESTI.
Terus histeria. Berjangkit dekat budak lain. Kecoh satu sekolah. Malu… Aku
pusing satu asrama dengan pakai baju tidur. Jenuh jugak warden-warden nak kejar
dan tenangkan aku. Nasib baik salah seorang tu ustaz. Lepas kena air jampi dia
baru aku okey,” terang Faen.
“Aku pun biasa kena histeria. Jangkit dari kawan. Aku
orang kelima ke keenam kena jangkit,” sambut Shida, rakan sebilik Era.
“Eh, hari tu kau kena kacau sabtu malam ahad juga kan?”
tanya Yuni, melihat Mahani.
Mahani mengangguk.
“Kau ada cerita kat family
kau?” tanya Shida. Dia mencerap sahaja perbualan kawan-kawan serumahnya
sebelum menyampuk tadi.
Amira menggeleng. “Kenapa?” tanyanya.
“Kau orang tahu saka?”tanya Shida.
Ada yang menggeleng dan ada yang mengangguk.
“Saka ni boleh berdamping dengan warisnya tanpa orang tu
sedar pun. Tetapi kebanyakkannya sedarlah,” kata Shida. Bila semua orang
menanti dia meneruskan kata, dia pun menyambung. “Jiran kat kampung aku dapat
saka tanpa dia sedar. Dia tak sedar terambil benda tu dalam mimpi. Dalam mimpi
tu dia mengangguk bila bapaknya yang nazak minta dia bersetuju terima sesuatu
tanpa beritahu apa benda yang nak diberi tu. Boleh tahu bila dua tiga kali
orang kampung terserempak dia duduk di beranda rumah padahal masa tu dia tiada
di rumah. Bila berubat cara kampung terbongkarlah semuanya.”
Amira menelan air liur.
“Keluarga kau ada saka?” tanya Era.
“Setahu aku tak ada,” jawab Amira.
“Cuba kau tanya emak bapak kau,” saran Yuni.
Amira mengangguk-angguk.
“Kau biasa mimpi terima atau diminta terima apa-apa?”
tanya Era lagi.
Amira menggeleng. Mukanya pucat. “Seram aku…”
Sabtu malam ahad minggu berikutnya sampai. Jam dinding
di ruang keluarga menunjukkan pukul 10 malam. Rumah sewa itu sudah gelap. Tidak
seperti selalu, kali ini penghuni-penghuninya masuk awal ke dalam bilik tidur
masing-masing.
Pintu bilik tidur tidur Era dan Shida terbuka
perlahan-lahan. Kelihatan hanya Shida yang sedang tidur nyenyak di atas
katilnya. Katil Era pula kosong. Di sekeliling katilnya mula kelihatan beberapa
lembaga berpakaian putih dan bermuka hodoh. Berdiri tegak memandang ke katil
Shida.
Salah satu lembaga itu menggoncang-goncangkan kaki
Shida. Shida menggeliat dan membuka mata. Menjerit sekuat hati sebaik nampak
lembaga menyerupai pontianak berwajah Amira yang berdiri di sisi kanannya. Dia
terjun katil dan melanggar salah satu lembaga yang berdiri di hujung katil.
Lembaga yang besar berbanding dua lagi itu rebah ke lantai. Begitu juga dengan
Shida yang tersungkur di depan pintu. Shida bangun dan berlari membuka pintu.
Sebaik membuka pintu dia disambut oleh Era, Yuni dan Faen.
Era, Yuni dan Faen bersama-sama memegang sebiji kek. Aza
yang terlentang berlakon menjadi pontianak yang terlentang di lantai mengaduh
dan bangun. Amira, Mahani dan Suria yang juga berlakon menjadi pontianak gelak
dan terus menerpa Shida. Serentak itu mereka semua menyanyikan lagu selamat
hari lahir kepada Shida.
Shida yang pada mulanya ingin marah kerana dikejutkan
begitu, tergelak akhirnya lalu meniup api pada lilin-lilin yang tercacak di
atas kek.
“Nasib baik aku tak histeria tadi,” kata Shida. “Siapa
punya rancangan ni?”
“Faenlah siapa lagi…” kata Era.
“Orang putus cinta pun sempat merancang lagi…” kata
Shida, geram kepada Faen.
Faen tersengih saja.
Mereka makan KFC yang dibeli Era, Faen dan Yuni untuk
meraikan hari lahir Shida. Mereka berdua sempat menyusup keluar sebaik Shida
masuk ke dalam bilik tidur. Sementara yang lain-lain bersiap dan bersolek
seperti pontianak tadi.
Sekitar jam 12 tengah malam mereka pun masuk tidur.
Jam dinding di ruang keluarga itu menunjukkan pukul 2.13
pagi. Penghuni di semua bilik tidur rumah sewa itu sedang tidur lena.
Termasuklah Faen yang menjadi kepala rancangan mengenakan Shida tadi.
Faen menarik selimut yang menjauhi dadanya dalam keadaan
mamai. Selimut yang menutupi tubuhnya itu kini menjauhi semula dadanya. Dia
menarik selimut itu lagi supaya menutupi dadanya semula. Tidak lama kemudian
selimut itu menjauhi dadanya lagi.
Keadaan itu menyebabkan Faen terjaga dari tidur. Membuka
perlahan-lahan matanya dan ternampak satu lembaga berpakaian putih dengan
rambut mengurai di hadapan muka berdiri di hujung katilnya.
“Jangan kacaulah aku nak tidur. Trickkau orang ni tak jadilah…” kata Faen yang membuka mata
sedetik dan terus berfikir lembaga menyerupai pontianak yang di hadapannya itu
kemungkinan salah seorang rakan serumahnya. Kemungkinan lembaga itu adalah
Shida. Dia menarik selimut menutupi tubuhnya.
Sejurus kemudian selimut itu direntap kasar.
Faen yang bengang terbidas bangun. Membuka matanya
luas-luas dan mahu memarahi siapa sahaja yang berlakon sebagai pontianak itu.
Tetapi dia terpempan sebaik melihat muka lembaga itu. Muka lembaga yang
menyerupai Amira itu hitam dan hodoh. Matanya pula merah menyala-nyala.
Lembaga itu membuka mulut. Mengilai-ngilai sehingga keluar
ulat-ulat dari mulutnya. Faen yang lemah semangat mula menjerit-jerit diserang
histeria. Mata hitamnya naik ke atas. Dia lari keluar bilik dan berdiri sambil
menarik-narik rambut di ruang tamu. Aza yang terjaga terus keluar bilik dan
terpinga-pinga melihat Faen. Dia segera ke tingkat atas dan memberitahu kepada
penghuni-penghuni lain.
Mereka semua turun ke ruang tamu. Faen terus
menjerit-jerit. Tiba-tiba Shida pula menjerit-jerit menunjuk ke arah Amira. Dia
juga meraung-raung diserang histeria. Mata hitamnya naik. Selepas itu Yuni pula
diserang histeria. Diikuti oleh Aza dan Suria.
Rumah itu bising dengan bunyi jerit dan hilai yang
menakutkan.
Era pantas keluar rumah. Jiran sebelah sudah keluar
rumah untuk mengetahui apa yang sedang berlaku. Suami isteri itu bergegas ke
dalam rumah jiran mereka itu bila Era memberitahu kawan-kawan serumahnya
diserang histeria.
“Ada air mineral?”tanyaPak Husni kepada Amira.
Amira mengangguk.
“Ambil empat botol,” arah Pak Husni.
Amira bergegas mengambilair mineral di dapur.
“Ambilkan segengam garam juga,” arah Pak Husni kepada
Mahani pula.
Mahani bergegas mengambil garam di dapur.
Selepas melihat keadaan Faen, Shida, Yuni, Aza dan Suria
yang sekadar menjerit-jerit dan mengilai-ngilai, tidak agresif, Pak Husni pun
melaungkan azan sebanyak tiga kali. Keempat-empat mereka menjadi tenang dan
terus menangis tersedu sedan sebaik azan habis dilaungkan.
Pak Husni membaca ayat kursi sebanyak tujuh kali dan
ditiupkannya pada empat botol air mineral yang dibuka penutupnya dan juga
ubun-ubun Faen, Shida, Yuni, Aza dan Suria. Mereka berempat berhenti menangis
dan kini diam seperti orang bodoh.
“Beri mereka minum air ni,” kata Pak Husni. “Rasanya tak
perlu guna garam ni,” sambungnya.
Era, Amira, Mahani dan Mak Mardihah, isteri Pak Husni
memberi mereka yang diserang histeria tadi minum. Mereka berempat pulih selepas
minum air jampi Pak Husni. Masing-masing terpinga-pinga dengan apa yang
terjadi.
Tanpa ada Amira yang pulang ke kampung keesokan harinya,
penghuni-penghuni rumah sewa yang lain mengambil kesempatan itu berbincang
tentang gangguan yang berlaku terhadap mereka sejak tiga minggu yang lalu itu.
“Aku takutlah. Entah-entah betul kata Era, Amira tu
membela atau ada saka,” kata Yuni.
“Jadi nak buat macam mana sekarang?” tanya Faen.
“Aku dah tak nak sebilik dengan dia. Aku tumpang bilik
kau orang ya mulai malam ni. Tidur bawah pun tak apa,” kata Yuni, melihat
Mahani dan Suria.
Mahani dan Suria mengangguk.
“Kita kena halau dia dari rumah ni,” cadang Era.
Yang lain-lain setuju dengan cadangan Era tu.
“Tapi dia tu kawan kita kut,” kata Yuni tiba-tiba.
“Kalau kau sanggup kau duduklah dengan dia,” kata Shida.
Yang lain-lain menyokong kata-kata Shida.
Yuni yang minoriti diam. Terpaksa mengikut.
“Kita pulau dia. Nanti dia blah sendirilah tu,” cadang Faen.
Mereka setuju dengan cadangan Faen.
Sejak hari itu Amira dipulau oleh penghuni-penghuni lain
rumah sewa itu. Akhirnya dia mengambil keputusan keluar dari rumah sewa itu. Menyewa
seorang diri di rumah flat yang agak jauh dari kampus. Dia menceritakan masalah
itu kepada keluarganya. Ibu dan bapanya bersungguh-sungguh menyatakan keturunan
mereka tidak memiliki saka.
Setiap kali selepas solat, Amira memanjatkan doa kepada
Allah SWT supaya ditunjukkan kebenaran.
Azrinazsedang membaca cerpen seramatas talian di portal
Ilham Karangkraf. Sedang dia ralit membaca di meja studi, dia terdengar suara
perempuan menyanyi di belakangnya. Dia menoleh dan melihat Yuni sedang duduk sambil
menyikat rambut panjangnya di hadapan
meja solek.
“Yuni, bila kau masuk bilik. Tak dengar pun,” kata
Azrinaz dan terus menyambung baca.
Tiada jawapan. Yang kedengaran hanya suara menyanyi. “Tuai
padi antara masak. Esok jangan layu-layuan. Intai kami antara nampak. Esok
jangan rindu-rinduan…”
Mendapati soalannya tidak dijawab, Azrinaz menoleh
sekali lagi. “Merdu suara kau…”
Nyanyian itu terhenti. Kepala Yuni pantas berputar. Ia
bukan Yuni tetapi lembaga yang merupa persis muka Amira. Tetapi muka itu hitam
dan hodoh. Lembaga itu menyeringai dan membeliakkan mata.
“Astagfirullahhalazim…” ucap Azrinaz sebaik melihat rupa
lembaga yang menakutkan itu. Dia
terkejut tetapi tidak gentar. “Kenapa kau kacau aku? Aku makhluk Allah.
Kau makhluk Allah. Pergi dari sini. Jangan kacau aku lagi!” Kemudian terus
membaca ayat kursi.
Lembaga itu lesap bersama hilaian ketawanya yang
panjang.
Pintu bilik tidur itu ditolak. Yuni terjengul di muka
pintu. “Kau cakap dengan siapa?”
“Tak ada siapa-siapa,” jawab Azrinaz.
“Aku macam dengar kau bercakap dengan orang tadi,” kata
Yuni.
Azrinaz tersenyum.
Yuni terjaga mengejut dari tidur.
“Kenapa?”tanya Azrinaz yang baru hendak membaca Yasin
selepas bersolat isyak.
“Aku mimpi saka Amira tu. Takut…” jawab Yuni mengurut
dada.
“Kau tidur pun waktu senja tadi. Tak elok tidur waktu
senja,” kata Azrinaz.
“Aku rasa macam takut pula nak tidur kat bilik ni,” kata
Yuni.
“Kenapa?” tanya Azrinaz.
“Rasa macam saka Amira tu ada lagi kat sini,” jawab
Yuni.
“Mari kita baca Yasin sama-sama. Kalau kita selalu baca
Al-Quran tentu dia pergi dari sini. Insya-Allah,” balas Azrinaz.
“Kau baca. Aku nak sambung tidur. Letih sangat ni. Aku
nak tumpang tidur bilik Suria dan Mahani. Mahani hari ni balik kampung. Suria
tinggal sorang,” jawab Yuni dan terus keluar bilik.
Azrinaz sambung membaca Yassin. Ketika dia sedang
membaca Yassin, beberapa kali dia nampak kelibat di luar tingkap bilik tidur
yang berada di tingkat atas itu. Dia tidak mempedulikan gangguan lembaga itu.
Terus sahaja membaca Yassin. Selepas separuh bacaan, kelibat itu tidak
kelihatan lagi.
Tetapi malam itu Azrinaz diganggu lagi. Kali ini dia
dicekik ketika sedang tidur. Dia yang separa sedar, cuba melawan dengan membaca
ayat kursi. Tetapi cekikan lembaga itu semakin kuat sehingga nafasnya
tersangkak-sangkak. Dia tidak berputus asa. Terus sahaja membaca ayat kursi dan
berserah kepada Allah SWT. Perlahan-lahan dia mulai berasa cekikan itu semakin
longgar dan akhirnya hilang.
Dia terbidas bangun, mengucapkan Alhamdulillah,
mengambil air sembahyang dan bersolat tahajud seperti selalu. Kemudian barulah
dia tidur semula.
Sementara Suria di bilik tidur utama baru terjaga dari
tidur. Dia menjerit-jerit ketakutan sehinggamengejutkan semua penghuni rumah sewa itu. Mereka terus
berkumpul di bilik tidur utama. Kemudian seorang demi seorang dijangkiti histeria
kecuali Azrinaz dan Era. Pak Husni dan Mak Mardihah datang menenangkan keadaan
seperti tempoh hari. Semua pulih tak lama kemudian kecuali Yuni. Tetapi Yuni
juga dapat dipulihkan selepas sejam kemudiannya.
“Kenapa saka Amira tu tak habis-habis nak kacau kita?”
tanya Yuni, tidak puas
hati.
“Dia dendam dengan kita ke?” tanya Era pula.
“Kita pergi jumpa dia. Mintak saka dia tu jangan kacau
kita lagi,” saran Faen pula.
“Tapi aku pun kena juga. Banyak kali dah. Aku tak
terlibat pun dalam kes sampai dia kena keluar dari sini tu,” kata Azrinaz.
“Mungkin sebab kau duduk dalam bilik tu kut…” kata Yuni.
“Betul kata Yuni tu,” kata Suria.
“Betul ke saka dia?” tanya Azrinaz. “Takut tak betul,
berdosa kita.”
“Betullah tu…” kata Suria. “Tadi aku nampak saka dia tu
merupa dia.”
“Aku pun,” sambut Faen.
Yang lain-lain terkena histeria itu menyokong kata-kata
Suria dan Faen.
“Aku nak pindah,” kata Yuni tiba-tiba.
Semua memandangnya. “Tak tahan aku duduk dalam bilik tu.
Ingatkan dah tak ada gangguan bila dia tak duduk sini lagi.”
“Kat mana nak cari rumah lagi? Semua dah penuh kat
kawasan ni. Kalau ada pun, jauh,” kata Era.
Yang lain-lain bersetuju dengan kata-kata Era.
Walaupun jauh, Yuni berpindah juga ke rumah sewa lain.
Kali ini dia menyewa bersendirian di flat.
“Okey tinggal sini?” tanya Sahir, bapa Yuni. Dia dan
isteri datang melawat Yuni dan akan bermalam di rumah sewa Yuni itu malam itu.
“Okey, abah. Dah tak kena kacau macam kat rumah lama,”
jawab Yuni.
“Kesian si budak Amira tu. Dia tahu ke dia ada saka?”
tanya Yasmin, mama Yuni.
“Entahlah, mama,” jawab Yuni. "Tapi dia orang dah
tak kena kacau lagi sejak dia orang pergi jumpa Amira tu.”
“Bahaya saka ni…” kata Yasmin. “Aunty Yana kau pun
pernah kena dulu. Nasib baik ada bomoh pandai buangkan.”
“Keturunan kita pun ada saka, mama?” tanya Yuni
terkejut.
Yasmin mengangguk. “Tapi dah buang dah…”
Yuni menyikat rambut panjangnya perlahan-lahan di
hadapan meja solek. Dia tersenyum melihat kecantikan wajahnya di dalam cermin.
Tiba-tiba dia terkejut mendapati wajahnya bertukar menjadi wajah seseorang yang
mirip dengan wajahnya. Cuma bezanya wajah itu ada lesung pipit yang dalam.
Wajah itu hilang dan diganti pula dengan wajah Amira yang hitam dan hodoh. Dan
Yuni perlahan-lahan menyanyikan lagu Gurindam Jiwa tanpa disedarinya. “Tuai
padi antara masak…”
Yuni tersedar lantas berdiri dan berundur sehingga melanggar
kerusisampai jatuh. Dia berasa belakang
badannya melanggar sesuatu. Seluruh badannya meriding. Jantungnya berdegup
deras. Nafasnya turun naik laju. Dia hendak menoleh tetapi tak dapat
menggerakkan kepalanya. Dua tangan perlahan-lahan terjulur melepasi bahunya.
Kedua-dua tangan itu dibaluti dengan kain kasa. Pergelangan tangan-tangan itu
dihiasai dengan gelang-gelang emas. Kedua-dua tangan itu memeluk Yuni. Yuni
tergamam dan ketakutan.
“Jangan menangis…” Satu suara lembut berbisik di telinga
Yuni.
“Siapa kau?”tanya Yuni dengan suara bergetar.
“Aku pendamping kau,” jawab suara itu.
Perlahan-lahan lembaga yang memeluk Yuni itu menampakkan
dirinya. Yuni yang melihat di cermin menelan air liur. Dari belakang kepalanya lembaga
itu perlahan-lahan menunjukkan diri. Muka dan ragam badan lembaga itu miripnya.
Tetapi muka lembaga itu mula berubah perlahan-lahan menjadi hitam dan hodoh.
“Pergi!” jerit Yuni lalu jatuh pengsan.
Yuni terjaga selepas beberapa lama pengsan.
“Apa yang terjadi?” tanya Yasmin.
Yuni menceritakan apa yang berlaku.
“Perempuan tu macam Yuni? Ada lesung pipit? Pakai gelang
banyak? Pakai baju kebaya?” tanya Yasmin, terkejut.
Yuni mengangguk.
“Baju kebaya warna apa?” tanya Yasmin lagi.
“Merah,” jawab Yuni.
Yasmin pantas mengambil telefon bimbit dan terus
menelefon Yana, adiknya.
“Kenapa mama? Kenapa mama?”tanya Yuni.
TAMAT