Home Novelet Thriller/Aksi YETI
YETI
23/2/2017 23:30:42
5,044
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab SIRI # 2 : PERAS

Irham memandu laju kereta. Nafasnya turun naik deras. Sesekali dia melihat cermin pandang belakang. Matanya berkilau dan mukanya bengis. Dia melihat jari-jarinya yang menggenggam stereng. Garisan-garisan urat timbul pada permukaan kulit. Kekuatan dalamannya dirasakan berubah secara luar biasa. Dia dapat merasakan ada kekuatan yang terpendam di dalam tubuhnya itu. Otot-ototnya dirasakan memejal sekeras besi. Dia berasa badannya kian panas. Lekas melaraskan suhu penghawa dingin ke kedinginan maksimum.

Telinganya bergetar-getar halus.

Aku dah tak ngantuk. Jom kita cari Amy.

Suara samseng yang mengantuktadi bergema di dalam kepalanya.

Tak cukup ke duit yang kita dapat tadi?

Suara samseng berpisau komando pula kedengaran.

Takkan nak duduk saja. Baik cari duit lagi. Kau tak nak duit?

Suara samseng mengantukkembali kedengaran.

Macam mana Suib?

Suara samseng berbuku lima bergema.

Aku okey dah. Celaka betullah dia tu…

Suara Suib, ketua samseng bergema menjawab.

Jom gerak ke Sunway.

Irham memulas stereng masuk ke simpang menuju ke Seberang Jaya.

Suib dan anak-anak buahnya sampai di Kelab Malam The Ice, berdekatan Hotel Sunway di Seberang Jaya. Mereka parkir di lorong belakang premis berhampiran.

“Kau dan Zin pergi cari dia kat dalam,” arah Suib kepada samseng yang mengantuk dan samseng berpisau komando.

“Jom Nan,” ajak Zin kepada samseng yang mengantuk.

Zin dan Nan keluar kereta dan masuk ke dalam kelab malam. Bouncer-bouncer yang menjaga pintu Kelab Malam The Ice membenarkan mereka berdua masuk. Bouncer-bouncer itu kenal mereka berdua dan seluruh ahli kumpulan samseng remaja itu. Mereka adalah anak-anak buah tauke kelab malam itu.

Kelab malam yang terkenal itu bingit. Muzik-muzik tekno yang dimainkan DJ bergema di segenap ruang. Anak-anak muda menari terkinja-kinja dengan penuh bersemangat tanpa lelah. Mereka seperti tidak letih dan sentiasa bertenaga. Di meja-meja, botol-botol arak asyik bertambah. Ada yang sudah bercakap merapu-rapu sambil memeluk gro-gro untuk melempiaskan nafsu.

Zin dan Nuar ke salah satu meja. Di situ duduk dua orang lelaki bersama empat orang gro. Mereka sedang berseronok di situ.

“Amy,” panggil Nan.

Salah seorang gro di meja itu mendongak. Dia baru menambah arak ke dalam gelas lelaki yang sedang merangkul pinggangnya. Matanya terbeliak sedetik sebelum melepaskan keluhan.

“Suib panggil hang,” jawab Nan.

“Dia nak apa?” tanya Amy.

“Dia tunggu hang kat luar,” jawab Nan.

“Kan aku dah bagi hari tu…” kata Amy.

“Lekas,” kata Nan dengan pandangan tajam.

Amy mengeluh tetapi tetap mengekori Zin dan Nan keluar dari kelab malam itu.

Tetapi pelanggan yang merangkul pinggangnya itu enggan melepaskannya. “Aku dah bayar kau.”

“Sekejap saje sayang. Nanti Idatang semula,” pujuk Amy.

I dah bayar you!” tegas pelanggan tu, berdiri dan memandang tajam Amy.

“Sekejap lagi dia datanglah kat hang semula! Hang tak faham ke apa?!” marah Zin.

Pelanggan yang mabuk itu merenung tajam Zin.

“Nanti I datang balik ya sayang. Sekejap saje. Nanti Ibagi youdiskaun untuk special service,” pujuk Amy.

Pelanggan itu tersenyum, kembali duduk di sofa dan terus memeluk pinggang gro lain.

Amy mengekori Nan dan Zin ke lorong belakang bangunan premis perniagaan itu. Suib membuka cermin tingkap kereta untuk menampakkkan dirinya kepada Amy. Nan dan Zin yang faham Suib tidak mahu Amy melihat mukanya yang dibelasah Irham menarik Amy beberapa langkah menjauhi kereta.

“Bagi kami dua ribu,” kata Nan.

“Apa? Gila!” balas Amy.

“Kalau tak kami bocorkan rahsia hang,” peras Nan.

Amy mengeluh hampir menangis. “Aku mana ada duit banyak tu. Sebulan lepas hangpa dah ambik…”

“Aku dengar hang banyak buat kerja luar. Tiap-tiap malam full sampai siang. Bersambung petang sebelum mai kerja sini,” balas Nan.

“Mana ada…”

“Hang jangan nak tipu! Mai dua ribu, cepat!” tengking Nan.

“Aku tak ada du…”

Zin mencekak leher Amy dan menolak gadis itu ke dinding bangunan. “Pergi ambik cepat kalau tak aku bunuh hang!”

Amy meronta-ronta. Cuba melepaskan diri dari cekakan Zin. Mulutnya tercungap-cungap menarik nafas, matanya berair dan mukanya merah.

“Lepaskan dia.” Satu suara yang dingin dan mendatar kedengaran.

Nan dan Zin berpaling ke arah punca suara. Berdiri di bawah kelam suasana ialah seorang lelaki yang tinggi dan besar badannya.

“Aku kata lepaskan dia!”

“Siapa kau? Kau nak kami bunuh kau?!” balas Nan.

Lelaki itu diam tidak menjawab. Hanya bunyi nafasnya merengus yang kedengaran semakin kasar setiap detik.

Berasa tercabar, Zin melepaskan cekakan dan sepantas kilat pula menampar Amy sehingga wanita itu jatuh terjelepuk.

Dalam sekelip mata lelaki yang dalam kelam itu memunculkan diri dengan menerkam Nan dan Zin. Lelaki itu ialah Irham. Bila dia berdiri begitu nampaklah perubahan fizikal pada tubuhnya. Badannya nampak lebih tegap, ada dua gigi taring yang muncul pada barisan giginya dan kuku tangannya memanjang sedikit dan tajam.

Nan dan Zin tidak sempat berbuat apa-apa. Mereka tergamam seperti sedang diserang mengejut oleh seekor beruang yang besar. Irham melompat dan terus mencakar leher Nan sehingga luka teruk dan berlumuran darah. Lantas menerkam dan menggigit leher Zin dengan gigi taringnya pula sehingga darah membuak-buak keluar dari leher samseng itu.

Nan dan Zin rebah. Nan mati serta merta. Darah mengalir keluar banyak dari lehernya. Zin yang menghempap Amy sedang menekap luka di lehernya yang membuak-buak keluar darahnya. Terenjat-renjat seketika dan kemudian kaku. Amy yang dihempap berpinar kepalanya. Pandangannya kabur melihat samar-samar kelibat Irham melangkah ke dua kereta tidak jauh dari situ.

Manap, salah seorang samseng kumpulan itu tercegat di sisi kereta. Dia baru keluar kereta ketika serangan Irham terhadap Nan dan Zin itu berlaku. Segera masuk ke dalam kereta selepas melihat Irham berlari laju ke situ. Dia kalut menghidupkan enjin, masuk gear dan tekan pedal minyak.

“Kenapa?” tanya Suib kalut. Dia menoleh dan terkejut melihat ada seseorang yang sedang berlari ke arah mereka. Larian lelaki itu laju walaupun badannnya besar.

“Ada orang kejar kita. Dia dah bunuh Nan dan Zin!” beritahu Manap.

“Siapa dia tu?” tanya Suib.

“Nampak macam budak yang kita belasah tadi,” jawab Manap. “Tapi badannya macam besar sikit.”

Manap menghon panjang, memberi isyarat kepada tiga lagi kawannya di dalam kereta yang satu lagi supaya beredar dari situ.

“Blah!” jerit Manap.

Alwi, pemandu kereta yang satu lagi itu tergopah-gapah menghidupkan enjin, masuk gear dan menekan pedal minyak. Sebaik kereta itu baru hendak meluncur mengekori kereta yang di hadapan, terdengar sesuatu yang berat memijak bumbung kereta sehingga menghasilkan kemik yang dalam. Sedetik kemudian kelihatan Irham melompat dan mendarat di atas hud hadapan kereta sehingga menyebabkan tayar kiri bahagian hadapan kereta itu pancit. Irham terus melompat pula ke atas lorong dan mengejar kereta yang dinaiki Suib. Kereta yang dipandu Alwi terbabas, nyaris melanggar sebuah perancah. Sebaliknya melanggar tong sampah besar di tepi lorong.

Manap menekan pedal minyak lebih laju. Matanya tidak henti-henti memandang cermin pandang belakang. Suib juga tidak berkelip memandang cermin sisi. Irham semakin menghampiri mereka.

“Laju lagi Manap!” arah Suib. Dia sudah mengeluarkan kerambit.

“Dah habis laju!” jawab Manap.

Hujung lorong hanya beberapa meter dari mereka berdua. Ketika Manap sudah berkira-kira di dalam kepala untuk membelok ke kanan, ketika itulah Irham menerajang bahagian kiri bamper kereta itu sehingga ia terbabas ke kiri, melanggar paip bomba dan berpusing 180 darjah. Paip bomba pecah dan air memancut membasahi kereta dan sekitar kawasan itu.

Enjin kereta mati dan Manap yang terkejut kalut cuba menghidupkan semula enjin. Sekali, gagal. Dua kali, gagal. Tiga kali, enjin kereta tersemput-semput hendak hidup. Kedengaran bunyi kaca pecah. Serentak itu cermin tingkap sebelah pemandu pecah dan satu tangan terus muncul menumbuk pipi kanan Manap.

Manap rebah di kerusi sebelah. Rusuk kanannya menghentak keras tuil gear. Pintu sebelah penumpang dibuka keras dan Manap ditarik keluar dengan panta dilontar. Badannya dicampak ke dinding belakang bangunan bersetentangan yang berjarak enam atau tujuh langkah itu. Bunyi derak tempurung kepala pecah kedengaran dan kelihatan badan Manap melurut jatuh dengan meninggalkan bekas darah yang memanjang dari atas ke bawah.

Suib yang ketakutan segera keluar dari kereta. Dia menggenggam kerambit di balik kereta. Air bomba yang memancar membasahi dirinya.

Irham berpusing dan kini berdepan dengan Suib. Suib mengacah-ngacah untuk melibas dan dalam masa yang sama berkira-kira hendak melarikan diri. Dia terkejut besar dengan apa yang sudah dilakukan oleh Irham terhadap Manap.

“Siapa kau sebenarnya ha?” tanya Suib, cuba membeli masa. Dia sempat mengerling ke arah kereta yang dipandu Alwi.

Suib menggamit Alwi dan dua orang anak buahnya itu. Alwi dan dua orang anak buahnya itu sedang memerhati dari jauh. Mereka kelihatan tergamam. Tidak berani mendekati untuk menolong Suib.

Irham tidak menjawab. Dia hanya merengus kasar. Mukanya bengis dan nafasnya semakin kuat. Pandangan tajamnya tepat kepada Suib. Muka dan badannya basah disirami air pili yang memancar.

“Aku bagi duit kau balik. Aku bayar duit hospital adik hang!” kata Suib yang ketakutan.

Sebaik habis mengucapkan kata-kata itu, Suib terus berlari ke arah Alwi dan lain-lain. Sepantas kilat Irham menerkam dan menolak tubuh Suib. Tubuh Suib terpelanting dan menghentak dinding belakang bangunan sebelah kiri.

Suib rebah dan cuba bangun tetapi lehernya dicekik Irham. Irham mengangkat Suib sehingga kaki Suib tergantung beberapa inci dari tanah. Dia menghentak belakang badan Suib pada dinding bangunan. Urat pada leher Suib timbul, mulutnya tercungap-cungap, matanya berair dan mukanya merah. Suib meronta-ronta hendak melepaskan diri.

Bunyi derak tulang leher patah kedengaran. Kaki Suib yang tergantung terkodek-kodek tadi diam. Mata Suib terbeliak dan mulutnya ternganga statik.

Irham mencekik leher Suib sehingga patah!

Suib yang sudah mati dilepaskan. Mayat Suib jatuh ke atas penutup longkang. Irham melihat ke arah Alwi dan dua orang samseng yang lain. Alwi dan dua orang kawannya itu terperanjat dengan apa yang mereka lihat. Tanpa berlengah mereka terus melarikan diri.

Irham mengejar ketiga-tiga samseng itu. Sambil menghampiri mereka dia sempat mencapai perancah yang berada di belakang sebuah kedai yang di dalam kerja pengubahsuaian. Dia membaling perancah itu dan pang!

Perancah itu mendarat beberapa langkah di hadapan ketiga-tiga samseng itu.

Ketiga-tiga samseng yang terkejut itu berhenti berlari. Mereka menoleh bila berasa ada titis air yang mengenai leher dan pipi mereka. Mereka lebih terkejut bila mendapati Irham sudah pun melompat untuk menerkam mereka.

Irham menyasarkan serangannya kepada Alwi yang berada paling hampir dengannya terlebih dahulu. Dia menghayunkan tangannya ke leher Alwi. Alwi yang tidak bersedia tidak dapat mempertahankan diri. Kuku tajam Irham mencakar leher Alwi sehingga mengakibatkan luka yang amat dalam. Darah membuak-buak keluar. Ketika Alwi menjerit kesakitan dan cuba menekup lukanya dengan tangan, Irham menyerang lagi. Kali ini kuku tangan kirinya pula merodok rusuk kanan Alwi. Alwi tersentak dan rebah lalu mati.

Irham menyerang pula dua lagi samseng yang tinggal. Seorang samseng cuba menendang Irham. Irham berjaya menangkap kaki samseng itu dan memulasnya sehingga tulang kaki itu patah. Kemudian dia menghayun samseng itu sehingga berpusing dan melemparkannya ke perancah. Besi perancah menembusi badan samseng itu. Samseng itu mati serta merta.

Seorang lagi samseng cuba menumbuk Irham. Irham menangkap tangannya dan memulasnya sehingga patah. Kemudian melambung samseng itu ke udara. Tinggi lambungan bersahajanya hampir setinggi bumbung bangunan kedai dua tingkat itu. Selepas beberapa saat badan samseng itu pun menghentak lorong. Bunyi debup kedengaran. Kelihatan samseng terakhir itu menggelupur dan mati. Darah keluar dari hidung dan mulutnya.

Irham melihat sekeliling. Nafasnya turun naik laju. Dia berasa puas. Kemudian dia berlari ke kereta dan meninggalkan kawasan tersebut. Separuh perjalanan pulang ke rumah, ketika perasaan marah, dendam, rasa bersalah dan simpatinya mulai reda, dia mulai berasakan perubahan pada dirinya. Otot-ototnya yang pejal tadi mulai mengendur, kuku dan giginya kembali normal dan rasa kekuatan di dalam dirinya juga semakin berkurangan. Sebaik sampai di rumah dia kembali seperti sedia kala.

Irham masuk senyap ke dalam rumah. Menyucikan tangannya dan badannya yang dipenuhi percikan darah. Selepas itu dia terus tidur.


Selepas mendapat panggilan telefon daripada salah seorang pengunjung Kelab Malam The Ice yang menjumpai mayat-mayat yang bergelimpangan di lorong belakang bangunan kedai berdekatan, sepasukan polis pun segera ke tempat kejadian.

Pita garisan polis berwarna kuning merentangi laluan-laluan masuk ke dalam lorong itu. Di lorong itu, berbelas anggota polis kelihatan.

Inspektor Yusri yang baru sampai di tempat kejadian tunduk dan melalui pita garisan polis. Sarjan Hisham mendekatinya.

“Apa cerita?” tanya Inspektor Yusri.

“Tujuh mangsa. Melalui pemeriksaan awal, mereka adalah samseng-samseng Geng 31,” jawab Sarjan Hisham.

“Umur? Bangsa?” tanya Inspektor Yusri.

“18-25 tahun. Semua melayu,” jawab Sarjan Hisham.

“Budak muda melayu dalam Geng 31 lah depa ni…” kata Inspektor Yusri, mencangkung dan melihat mayat Alwi.

Inspektor Yusri meneliti lama luka di leher dan rusuk kanan mayat Alwi. Dahinya berkerut dan matanya membulat terkejut. Kemudian dia memeriksa pula mayat dua lagi mangsa di kawasan itu.

“Dr. Adib dah sampai?” tanya Inspektor Yusri.

“Sudah tuan. Dia ada di hujung lorong lagi satu,” jawab Sarjan Hisham.

Inspektor Yusri ke hujung lorong lagi satu. Singgah sebentar di kawasan di mana mayat Suib dan Manap bergelimpangan. Dia terkejut dengan keadaan mayat dan keadaan kawasan kejadian pembunuhan dua mangsa itu.

“Apa pendapat kau, doktor?” tanya Inspektor Yusri sebaik berada di sisi Dr. Adib, ketua D10, unit forensik.

“Pertama kali aku tengok pembunuhan macam ni,” jawab Dr. Adib, melihat Inspektor Yusri.

“Maksud kau?” tanya Inspektor Yusri.

“Mangsa ni…” sambil jari telunjuknya mengarah ke mayat Suib, “… dicekik sehingga tulang lehernya patahnya sampai mati. Melalui pemeriksaan awal, aku percaya tulang leher tu dipatahkan dengan sekali cekikan yang pantas. Kuat pembunuh ni.”

“Macam gorila,” kata Inspektor Yusri.

“Betul. Kuat macam gorila saja boleh cekik dan patahkan leher orang dengan pantas,” jawab Dr. Adib.

“Jadi pembunuh ni seorang yang kuat?” tanya Inspektor Yusri.

“Bukan setakat kuat tetapi luar biasa kuat,” jawab Dr. Adib. “Kau lihat tu,” jari telunjuknya mengarah ke dinding kedai bangunan bertentangan.

Inspektor Yusri melihat kawasan dinding yang ditunjukkan oleh Dr. Adib. Ada kesan darah yang memanjang dari aras separuh ketingginan dinding itu hingga ke bawah di mana mayat Manap terjelepuk.

Dr. Adib melangkah ke pintu pemandu kereta yang tersadai melanggar paip bomba. Air bertakung di kawasan tersebut.

“Teori awal aku mengatakan mangsa dilempar ke dinding tu dari sini,” beritahu Dr. Adib.

“Biar betul,” kata Inspektor Yusri.

“Aku dah periksa mayat tu. Tengkorak belakang kepalanya pecah. Tulang-tulang belakangnya patah. Itu hanya boleh berlaku jika dua bahagian tubuh dia tu terhentak kuat pada dinding tu,” jelas Dr. Adib.

“Tinggi tu,” kata Inspektor Yusri.

“Sebab tu aku kata pembunuh tu luar biasa kuat,” kata Dr. Adib. “Kau dah tengok kesan lekukan pada bumbung dan hud kereta lagi satu?”

“Belum,” jawab Inspektor Yusri.

“Kami percaya ia kesan dipijak seseorang. Tetapi lekukannya dalam. Macam dihenyak-henyak gorila. Kami juga percaya kereta tu pancit sebab dipijak pembunuh,” beritahu Dr. Adib.

Inspektor Yusri berjalan ke kereta yang dipandu Alwi. Dr. Adib mengekori. Inspektor Rahmat memeriksa kesan pijakan pada bumbung dan hud kereta itu.

“Pembunuh ni manusia ke gorila?” tanya Inspektor Yusri yang terkejut. Matanya memandang Dr. Adib.

“Itu kerja kau untuk menyiasat. Kalau ikut saiz kaki nampak macam saiz kaki manusia,” jawab Dr. Adib.

“Kalau tengok luka pada seorang mangsa di hujung lorong satu lagi, nampak macam diserang harimau pun ada,” kata Inspektor Rahmat.

“Luka tu hasil daripada kuku-kuku yang tajam,” kataDr. Adib. “Dan mangsa yang satu lagi lehernya macam kena gigit dengan gigi taring.”

“Macam vampire?” tanya Inspektor Yusri.

“Begitulah kalau kau percaya vampire,” jawab Dr. Adib.

“Tuan,” kata Sarjan Hisham, “Kita dah dapat saksi kejadian. Saya dah periksa cctv Kelab Malam The Ice”

Inspektor Yusri dan Sarjan Hassan menyoal siasat Amy. Mereka ke rumah sewa Amy yang tidak jauh dari Kelab Malam The Ice.

Amy menceritakan apa yang terjadi.

“Lepas tu?” tanya Sarjan Hassan selepas melihat Amy diam. Amy seperti enggan hendak meneruskan cerita.

Amy diam. Mukanya berubah pucat.

“Cik, apa yang terjadi selepas cik rebah ditampar Zin?” tanya Inspektor Yusri dengan suara yang lembut.

“Seorang lelaki terus menerkam mereka. Saya tak berapa nampak sebab berada di belakang Nan dan Zin. Yang saya nampak Nan rebah. Darah keluar banyak dari leher dia. Dia terus mati kat situ. Lepas tu Zin pula rebah. Saya nampak lelaki tu panjat atas badan Zin dan gigit leher dia. Zin jatuh atas badan saya. Saya pengsan,” kata Amy, menyambung cerita.

“Cik pasti dia manusia dan seorang lelaki?” tanya Inspektor Yusri.

“Saya rasa begitu. Saya nampak dia berlari melepasi saya sebelum saya pengsan,” jawab Amy.

Inspektor Yusri dan Sarjan Hisham saling berpandangan.


Subuh itu, Irham dikejutkan oleh Datin Azian, mamanya.

“Irham,” kata mamanya.

“Ya, mama,” jawabnya sambal memisat-misatkan mata.

“Adik kamu…”

“Dia dah sedar ke mama?” potong Irham.

Datin Azian menggeleng. “Izham dah meninggal. Papa yang menunggu di hospital baru call tadi.”

Irham terkejut. Dia menekup muka dan menjerit semahu-mahunya. Ada air mata yang mengalir dari tubir mata. Dia teringat apa yang terjadi di puncak tertinggi dunia itu. Jikalau boleh dia mahu memutarkan mangsa agar semua ini tidak terjadi. Biar sahaja dia mati bersama yang lain agar semua ini tidak berlaku. Dia menyalahkan dirinya di atas kematian Izham.


Fawaz mematikan telefon bimbit. Wartawan jenayah itu pantas keluar pejabat. Dia mencari Amy dan berjaya menemubual saksi kejadian pembunuhan yang menggemparkan itu. Dengan sumber dari orang dalam polis dan Amy, dia pun menulis laporan tentang pembunuhan itu.

Keesokan pagi laporannya menjadi berita utama untuk Berita Malaysia setelah diluluskan oleh bosnya Hanif. Maka gemparlah Pulau Pinang khususnya dan Malaysia umumnya dengan kemunculan pembunuh misteri yang dipotretkan sebagai hero secara halus oleh Fawaz. Dia memfokuskan laporannya kepada kekejaman yang dilakukan oleh mangsa dan bagaimana pembunuh misteri itu berjaya menyelamatkan Amy daripada diperas.

Sejak laporan itu dikeluarkan dan viral di media sosial, kadar jenayah peras ugut menurun secara mendadak di Pulau Pinang. Mungkin tulisan Fawaz ‘Jadi kalau anda seorang pemeras ugut, berhati-hatilah! Lelaki ini akan membinasakan anda!’ di akhir laporan berjaya membuatkan pemeras ugut berfikir banyak kali untuk melakukan jenayah peras ugut.


bersambung…

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.