Home Cerpen Seram/Misteri SIRI HANTU : BATAS
SIRI HANTU : BATAS
17/8/2016 15:20:47
4,867
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri


Semua peralatan sudah dimasukkan ke dalam kenderaan pacuan empat roda. Mereka berempat segera masuk ke dalam pacuan empat roda. Munir menghidupkan enjin kenderaan. Masuk gear dan kenderaan itu meluncur lancar.

“Berhenti!” jerit Syahir tiba-tiba.

“Kenapa?” tanya Munir selepas menekan brek secara mengejut. Semua orang terlajak ke hadapan kerana inersia. Termasuk dirinya.

Syahir tak menjawab. Terus sahaja keluar kereta. Berlari laju ke dalam rumah. Sejurus kemudian kembali semula. Minta Munir membuka bonet dan meletakkan barang yang baru diambilnya di situ.

“Tak habis-habis!” kata Fakhrul.

“Aku ingat apa tadi? Ish!” ngomel Nawi.

Syahir tersengih. Tidak menunjukkan apa-apa kekesalan.

“Kau ni kalau tak memancing tak boleh ke?” tanya Fakhrul.

“Sudah jadi darah daging. Joran bagi aku macam rokok bagi kau,” jawab Syahir.

Fakhrul tergelak. Tidak terasa hati. Sebab jawapan itu sudah acap kali diberikan oleh kawan sekerjanya itu setiap kali dia bertanyakan soalan itu.

“Dan aku pulak joran bagi kau macam kopi o bagi aku!” sahut Munir yang memandu.

“Aku pulak kopi o bagi kau macam betina bagi aku,” sambut Nawi. Tanpa segan silu.

Mereka berempat ketawa.

“Rugi kalau tak cuba. Ingat tak tempat terakhir kita pi mengukur hari tu. Banyak dapat ikan. Kau bertiga juga yang melantak paling banyak,” kata Syahir.

Fakhrul, Munir dan Nawi tersengih.

“Kau Munir,” sambung Syahir. “Bangun je tidur terus melantak. Sudah separuh ikan masuk perut baru tanya daripada mana dapat ikan tu semua. Ingat turun dari langit ke? Dari pancing aku lah…”

Munir ketawa mengingatkan cerita dua minggu lepas itu. Mereka ditugaskan mengukur sebuah pulau yang akan dibangunkan sebagai sebuah pusat peranginan. “Tapi hari-hari berikutnya aku tolong bakar juga kan?”

Fakhrul menyambut, “Orang sembang pasal hari pertama. Aku dan Nawi yang tolong bakar ikan tu pun makan kurang daripada kau, Munir!”

Munir ketawa lebih besar.

“Jangan kali ni kau bertiga tidur, aku seorang yang bakar sudah. Kalau tak bangun, aku perabis semua!” seloroh Syahir.

“Sampai nanti, kita rehat dulu. Lepas makan tengahari baru kita tinjau kawasan tu,” kata Fakhrul, yang mengetuai kumpulan tersebut.

“Elok sangat tu. Letih ni. Malam tadi pukul satu lebih baru balik. Layan awek baru,” sambut Nawi.

“Kau Munir?” tanya Syahir.

“Tengoklah nanti,” jawab Munir.

Pajero itu membelok ke jalan besar. Selepas sejam perjalanan Fakhrul tertidur. Nawi bersiul melayan lagu rock kapak yang berkumandang di radio. Munir fokus memandu. Syahir pula tidak sabar hendak sampai cepat. Sesekali dia menjenguk meter kelajuan. Bila meter kelajuan itu kurang daripada 110, pantas dia menyuruh Munir memandu lebih laju. Teruja benar hendak sampai di destinasi.

Pajero itu sampai di tempat yang dituju. Selepas itu mereka berjalan merentasi denai yang becak, sungai dan lereng sebelum tiba di kawasan yang hendak diukur. Mereka memilih kawasan berdekatan sungai untuk mendirikan khemah. Kawasan rata dan bersih daripada batu dan akar-akar pokok. Di bawah pokok muda yang masih kecil dahan dan ranting serta muda, tidak reput. Bukan juga kawasan laluan binatang buas. Di mana paras tanahnya melebihi paras tertinggi air sungai itu. Dua khemah. Berkongsi satu khemah dua orang.

Dua khemah itu siap didirikan. Nawi meloncat ke dalam khemah. Pantas merebahkan badan. “Aku nak rehat sekejap. Tak tidur sepanjang perjalanan tadi.”

Syahir menggeleng. Dia melepaskan punggung selepas duduk sebentar di kerusi lipat. Kelihatan bersiap entah hendak ke mana.

“Nak pergi mana?” tanya Nawi, melihat dari dalam khemah.

“Jalan-jalan kejap,” jawab Syahir.

“Sekejap lagilah,” celah Fakhrul yang sedang menjerang air. “Lepas makan tengahari nanti.”

“Aku pusing sorang dulu. Nanti pusing dengan korang pula,” jawab Syahir, memakai topi.

“Tak tahan nak cari lubuklah tu. Tak lari ikan tu woi,” jerit Munir yang sedang menabur belerang kuning di sekeliling khemahnya dan Fakhrul.

Syahir tersengih sahaja. Memang tujuannya hendak meninjau sungai. Hatinya terpanggil-panggil oleh sungai itu sejak mendirikan khemah tadi. Deru, kocak dan desis air sungai menaikkan keterujaannya.

“Nanti jangan lupa tabur belerang kuning tu sekeliling khemah kita,” pesan Syahir pada Nawi.

Nawi mengiakan lantas pejam mata.

Syahir beredar dari situ. Selepas beberapa langkah, Fakhrul berpesan.

“Jangan pergi jauh sangat. Nanti sesat.”

“Okey,” jawab Syahir sambil mengangkat tangan.

“Jaga-jaga sini banyak hantu! Masih dara maklumlah ni kan hutan dara!” laung Munir.

Tiada balasan suara dari Syahir. Dia hanya mengomel di dalam hati. ‘Kau ingat aku siapa. Sungai mana yang aku tak pernah redah. Hutan mana yang aku tak pernah masuk. Pulau mana aku tak pernah jejak untuk memancing. Soal hantu ni bukan apa-apa bagi aku!’

“Ish, kau ni. Cakap tu tapis-tapis sikit,” nasihat Fakhrul.

Munir tersengih.

Syahir ke sungai berdekatan kawasan perkhemahan. Berjalan senyap ke tebing. Terpaku melihat jeram di hadapannya itu. Indah tak terkata. Dia memejamkan mata untuk menikmati keindahan alam itu. Deru jeram, kicauan burung, dengung serangga, letap letup ranting patah dan desir daun bersatu menjadi melodi hutan yang mengasyikkan. Lama dia begitu. Sehinggalah dia mendengar decupan sungai.

Matanya terbuka cepat. Melingas memeriksa sungai. Air sungai mengalir deras seperti biasa. Tiada apa-apa ikan melompat di permukaan sungai. Dia melihat di tepi sungai. Anak-anak ikan berenang melawan arus. Sekali pintas dia seperti ternampak sebarau dan kelah.

Kelah! Jerit hati Syahir. Dia menajamkan penglihatan. Benarkah anak ikan yang dilihat sedang berenang melawan arus, di celah-celah batuan kecil itu adalah kelah? Bimbang jika tengas disangka kelah. Ah, tengas! Keluh hatinya bila mendapati anak ikan yang disangka kelah itu sebenarnya tengas.

Air sungai berdecup. Beberapa biji buah hutan asli gugur dari tangkai dan jatuh ke dalam sungai. Dibawa arus dan melekat di celah-celah batuan di tepi tebing. Syahir melihat pokok buah hutan asli yang gugur itu. Pokok ara! Dia berjalan senyap ke tebing di mana beberapa biji buah ara tersangkut di batuan.

Matanya bersinar. Beberapa ekor anak ikan sedang mengerumuni buah-buah ara itu. Dia menajamkan penglihatannya semula. Terkejut bila mendapati rupa-rupanya sekawan kelah memang ada bersama dalam sekawan tengas yang dilihatnya tadi.

Dia gembira bukan kepalang. Kali ini dia berpeluang memancing kelah lagi. Kali terakhir dia memancing kelah dua tahun lepas di Taman Negara Pahang. Pengalaman menaikkan kelah memang mengasyikkan. Cerita yang didendangnya dengan megah dengan kaki-kaki pancing sehingga kini. Dapat menaikkan kelah adalah kebanggaan bagi mana-mana kaki pancing.

Dia berjalan senyap sepanjang sungai dengan hati yang riang. Berjaya menemui beberapa lubuk yang diyakini adalah lubuk kelah. Dia memeriksa jam tangan. Sudah lebih sejam dia meninggalkan kawasan perkemahan. Masanya untuk kembali ke kawasan perkemahan. Menolong menyiapkan makan tengahari, bersolat dan kemudian meninjau kawasan yang perlu diukur bersama rakan-rakan yang lain.

Tetapi sebelum dia menoleh untuk meninggalkan tebing, dia terlihat sekumpulan tiga orang sedang berdiri memerhatinya dari tebing seberang sana. Mereka bertiga berdiri di bawah bayangan pokok. Syahir berderau tetapi segera beristighfar bila mendapati mereka adalah orang asli. Jarang dia berperasaan gementar begitu.

Dia mengangkat tangan untuk menyapa. Orang-orang asli itu meredah sungai untuk datang kepadanya.

“Kau buat apa di sini?” tanya salah seorang daripada mereka. Dia memegang sumpit. Tidak berbaju. Hanya berseluar pendek. Dipinggangnya tersisip parang pendek.

Syahir tersenyum. Tangan dihulur. Salamnya disambut oleh orang-orang asli itu. Termasuk dua orang yang sedang memikul rusa.

“Saya datang bersama kawan-kawan untuk mengukur kawasan ini,” jawab Syahir.

“Untuk apa?” tanya orang asli yang tidak memakai baju itu.

“Untuk tahu berapa luas dan sempadan-sempadan tepat kawasan ini,” jawab Syahir.

Orang asli itu mengangguk. Tanda menerima penjelasan Syahir. “Mana kawan kau yang lain?”

“Mereka di khemah,” jawab Syahir. Tangannya menunjuk ke arah hilir sungai itu.

“Kau pula buat apa di sini?” tanya orang asli itu.

“Saya cari tempat memancing. Ada kelah di sini, bang?” jawab Syahir.

“Ya, ya ada,” jawab orang asli tidak berbaju itu. “Tapi kecil-kecil sahaja. Kamu pernah pancing kelah?”

“Ya. Dapat naikkan kelah berat 7 kilo di Taman Negara Pahang,” jawab Syahir.

Orang asli itu mengangguk. “Mungkin boleh cuba di sini. Tapi kecil-kecil sajalah. Pancinglah di mana-mana tapi jangan lepas batas.”

Syahir mengangguk.

Orang asli tidak berbaju itu menghalakan jari ke arah hulu lalu berkata, “Tok batin sudah tanda batastu. Jangan memancing melebihi batu warna merah. Kami pun tak berani memancing di kawasan tu.”

Syahir mengangguk.

“Hati-hati,” pesan orang asli tidak berbaju itu.

“Ya, bang,” jawab Syahir.

Selepas memberi peringatan berkurun itu orang-orang asli itu terus meredah sungai, naik tebing seberang dan menghilang di dalam hutan.

Selepas bersolat jemaah zuhur, mereka menikmati makan tengahari. Sardin tin, telur dadar, nasi putih dan air kosong menajdi juadah pada tengahari itu.

“Lepas ni kita terus pergi tinjau kawasan. Aku nak memancing pula petang ni,” kata Syahir yang baru melicinkan pinggannya.

“Tinjau habis dulu baru pergi memancing,” pesan Fakhrul.

“Baik bos,” jawab Syahir.

“Kau jumpa lubuk ke?” tanya Munir yang baru menambah nasi untuk kali ketiga. Dia melihat Nawi melihatnya semacam. “Laparlah,” katanya lalu tersengih.

“Makan mengalahkan aku,” sindir Nawi berlapik, yang badannya paling sasa. Ikut menambah nasi untuk kali ketiga seperti Munir.

Mereka berempat ketawa.

“Ada lubuk ke?” tanya Munir sekali lagi.

“Ada,” jawab Syahir, tersenyum.

“Lubuk apa?” tanya Nawi.

“Kelah!” jawab Syahir, teruja.

Nawi, Munir dan Fakhrul saling berpandangan.

“Apasal yang suka sangat ni?” tanya Fakhrul.

“Nampak sangat kau bertiga ni buta ikan…” balas Syahir sambil menggelengkan kepala. “Pernah tengok Animal Planet? Discovery Channel?”

“Biasa,” jawab Fakhrul.

“Tahu ikan mahseer india dan ikan barber UK?” tanya Syahir.

“Ikan salmon aku tahulah. Bini aku ada juga beli nak merasa di Giant,” kata Munir.

“Kau ni cerita makan saja…” celah Nawi. “Habis tu apa kena mengena dengan kelah ni?”

“Kelah ni King Of River macam mahseer dan barber tu!” jawab Syahir.

“Sedap ke isi dia?” tanya Munir.

“Lebih sedap daripada patin Pahang! Sisik dia pun rangup macam keropok! Inikan pula isinya!” jawab Syahir.

Munir tercengang, menelan air liur.

“Sudah, sudah. Bersiap untuk meninjau. Siapa nak tunggu khemah?” kata Fakhrul.

Syahir cepat menawar diri.

“Jangan nak mengada. Munir jaga khemah. Sediakan makan malam sekali,” arah Fakhrul.

Syahir mengeluh. Jika dibenarkan tadi bolehlah dia memancing di sungai berdekatan perkhemahan mereka itu. “Sekejap saja kan?”

“Ya lah,” jawab Fakhrul. “Lepas tu kau nak buat apa buatlah. Yang penting boleh buat kerja esok.”

“Beres bos,” balas Syahir, seronok.

Fakhrul, Syahir dan Nawi meninjau kawasan yang perlu diukur mereka. Nawi melakar kawasan yang sudah dikenal pasti. Syahir terpandangkan sebuah batu besar di dalam sungai. Batu besar itu adalah batu hampar yang berwarna merah di permukaannya. Nun sedikit ke hulu sebuah air terjun rendah yang indah menggamit.

Sebaris dengan batu besar bertanda merah itu adalah sebatang pokok ara yang besar yang hidup subur berdekatan tebing. Beberapa buahnya gugur ke dalam sungai.

Syahir terpanggil untuk melewati pokok ara tersebut. Ketika itu Fakhrul dan Nawi sedang berbincang tentang lakaran kawasan yang dibuat Nawi. Dia nampak kumpulan kelah berenang laju melawan arus. Bila dia mendekati kawasan itu, kumpulan kelah itu hilang entah ke mana menuju ke kawasan melepasi batu hampar itu.

Syahir hendak pergi lebih jauh melepasi pokok ara tetapi dipanggil Fakhrul. Dia tidak jadi melangkah. Sebaliknya berpusing dan ketika itulah dia mendengar decup kuat dari arah batu hampar.

Mesti tu lubuk kelah. Confirm! detik hatinya.

Dia melangkah untuk berkumpul semula dengan Fakhrul dan Nawi. Selepas melangkah dua tiga tapak, hidungnya tercium bau yang sangat wangi. Bau bunga melati. Dia menoleh dan mengadap kawasan di hadapan pokok ara yang bersetentangan dengan batu hampar itu.

Lama dia berdiri melihat kawasan itu. Mencari entah apa. Ketika dia berkira-kira hendak pergi dari situ, telinganya tertangkap bunyi suara perempuan menyanyi lagu dalam bahasa jawa halus. Suaranya merdu dan nadanya mendayu seperti orang kerinduan.

Dia terlarut di dalam nyanyian itu. Seolah-olah terpukau. Kakinya melangkah hendak mencari punca suara yang mengasyikkan itu. Tetapi tiba-tiba tangannya direntap seseorang. Dia tersedar dari khayalan.

“Kau nak pergi mana?! Tak dengar ke aku dan Fakhrul panggil?” tanya Nawi.

Syahir terpinga-pinga. Tidak tahu apa yang sedang berlaku kepadanya. Terus mengekori Nawi untuk berkumpul dengan Fakhrul.

Ketika kawan-kawannya berehat di khemah, Syahir sudah mula melemparkan beberapa mata kailnya ke sungai. Selepas lama menunggu tiada seekor kelah pun yang menjamah umpannya. Dia merenung langit. Gelap. Bukan malam bulan penuh. Dia juga tak bergerak. Duduk diam macam tunggul kayu. Tetapi kawasan yang dilihat banyak kelah siang tadi tidak memberi tanda keberadaan raja sungai itu di situ.

Dia segera teringatkan kawasan sungai di batu hampar tadi. Ternampak-nampak kumpulan ikan kelah yang berenang ke arah kawasan itu. Juga terdengar-dengar decup kelah di dalam sungai. Membuatkan dia mengemas batang pancing dan lain-lain lantas hendak beredar ke sana.

“Woi! Nak pergi mana tu?” jerit Munir.

“Nak memancing tempat lain. Nak cuba kat lubuk lain,” jerit Syahir.

“Jangan pergi jauh. Nanti sesat pulak,” jerit Fakhrul.

“Okey bos,” jawab Syahir. Suaranya kedenagran sayup.

“Kau tak takut hantu ke woi!” jerit Munir.

Syahir tidak menjawab. Dia sudah menghilang masuk ke dalam hutan. Berbekalkan lampu suluh dan lampu kepala.

Syahir dan Nawi merenung tajam Munir. Munir tersengih dan menampar mulut sendiri.

Syahir sampai di kawasan batu hampar selepas melangkah berhati-hati supaya tidak terpijak ranting dan daun kering yang akan menghasilkan getaran dan bunyi kuat lalu mengejutkan kelah. Dia mengambil tempat berdekatan pokok ara bersetentang dengan batu hampar bertanda merah itu. Sepintas lalu dia teringatkan kata-kata orang asli tak berbaju siang tadi.

Dia mengambil umpan buah ara yang dipotong dadu itu lalu melemparkannya ke kawasan yang dipercayai ada kelah. Buah ara itu disambar kelah. Dapat diketahui melalui ombak yang terhasil agak besar tetapi lembut riaknya.

Selepas menyediakan batang-batang pancing, dia pun melempar umpan-umpan ke kawasan yang dipercayai ada kelah. Selepas tidak berapa lama menunggu salah satu umpan buah ara pada salah satu batang pancingnya dijamah kelah. Dia pantas mengambil batang pancing itu. Tali pancing bergerak deras. Tidak putus walaupun disentap deras dan dilarikan berpuluh meter ke hilir.

Syahir terus berusaha menaikkan kelah itu. Tetapi kelah itu tidak mudah mengalah. Terus sahaja menjunam ke dasar sungai. Tali pancing masih bertahan walaupun berlaga dengan tunggul-tunggul kayu dan batu-batu yang tajam di dasar sungai itu.

Syahir terus bertahan untuk menjinakkan kelah itu. Badannya lecun dengan peluh. Nafasnya tersangkak-sangkak. Ketika dia berasa kelah itu akan menyerah, tiba-tiba raja sungai itu membuat satu lagi gerakan yang melelahkannya.

Kelah itu bergerak laju ke hulu pula. Masuk ke dalam lata. Berenang-renang deras melawan arus laju yang datang dari air terjun rendah itu. Syahir masih tidak putus asa untuk menaikkan kelah itu. Dia berharap tali pancingnya tidak putus dan cuba bertahan sedaya mungkin agar kelah itu mengalah.

Tali pancingnya kekal kuat melawan kebuasan kelah, ketajaman batu dan tunggul kayu serta arus deraslata. Kelah itu berpatah balik. Meluru pula ke batu hampar bertentangan. Berdiam lama di situ. Meronta-ronta sebelum jinak secara aneh sehingga Syahir dengan mudah berjaya menariknya ke tebing. Di tebing ia meronta-ronta buas semula tetapi akhirnya menyerah.

Syahir menumbuk angin dan menjerit tanpa suara kerana gembira. Tambah memuaskan hatinya bila mendapati berat kelah itu sekurang-kurangnya 9 kilogram!Sakit pada tangan, kaki dan badan hilang serta merta.

Selepas 15 minit. Satu lagi umpannya disambar kelah. Selepas berhempas pulas seperti tadi dia berjaya juga menaikkan kelah itu. Berat kelah kali ini lebih 9 kilogram. Anehnya kelah itu juga mula tidak melawan sebaik berada di batu hampar bertanda merah itu.

Syahir bersorak riang tanpa suara. Malam ini malam paling hebat dalam hidupnya sebagai pemancing. Mana tidaknya, dia berjaya naikkan dua ekor kelah seberat 9 kilogram ke atas dalam selang waktu yang singkat!

Ketika dia sedang bergembira itu, satu lagi umpannya disambar kelah. Tetapi kali ini amat kuat dan deras. Dia yang terlambat perasan tidak sempat mengambil batang pancingnya. Sehingga batang pancingnya dibawa ke tengah sungai sedang kelah menuju ke lata. Batang pancing itu tersangkut di batu hampar.

Kerana gilakan kelah dan mahu menaikkan seberapa banyak kelah yang dapat pada malam itu, dia meredah sungai untuk mengambil batang pancingnya itu. Lagi pula batang pancing itu paling mahal yang dimilikinya.

Ketika dia membongkok hendak mengambil batang pancing yang tersangkut di bawah batu hampar itu, batang pancingnya itu ditarik menuju ke lata. Dia terus ke lata, melepasi batu hampar bertanda merah itu.

Bau harum bunga melati menyucuk hidungnya. Sedikit demi sedikit latar alam di sekelilingnya berubah. Di tebing sebelah kanan tersergam sebuah istana yang amat indah. Dibuat dari emas. Di tebing sebelah kanan terdapat rumah-rumah yang sederhana besar. Dari dalam rumah-rumah itu keluar gadis-gadis yang berkemban berkain batik yang amat cantik coraknya tercangak-cangak sebelum pandangan mereka berhenti padanya. Perlahan-lahan di hadapannya wujud satu jambatan emas yang merentangi dua tebing itu. Di atas jambatan itu berdiri seorang gadis yang sangat jelita. Bersanggul bunga melati. Berpottu pada dahi. Berkalung, berpotoh,bergelang tangan emas. Berkemban kain warna putih dan bersarung merah tenun bermotif bunga-bungaan yang amat cantik.

Gadis jelita itu tersenyum semanis madu kepadanya. Sejurus kemudian mengangkat tangan kanannya menyambut kedatangan Syahir.

Syahir terpukau. Di hadapannya wujud anak-anak tangga menuju ke bahagian jambatan emas di mana gadis jelita itu berada. Syahir menaiki anak-anak tangga itu lalu menyambut tangan gadis jelita itu. Dia dibawa ke istana yang berada di tebing kiri. Di situ dia dilayan oleh gadis jelita itu seperti seorang raja. Dia bersuka ria sepanjang masa di situ.

Sudah dua hari pencarian Syahir yang hilang di hutan dara itu dilakukan. Pihak berkuasa mengembeling seluruh tenaga yang ada tetapi Syahir masih belum ditemui. Beberapa orang bomoh dan ustaz juga dipanggil dan ada yang sukarela ingin membantu tetapi Syahir masih saja gagal ditemui.

Emak dan bapa Syahir tidak senang hati dibuatnya. Manisah, emak Syahir yang menanti berita dari hotel di pekan berdekatan hampir setiap masa menangis dek bimbang jika anaknya itu ditimpa kecelakaan yang menyebabkannya hilang nyawa. Shamsudin, bapa Syahir yang berkampung di dalam hutan bersama anggota pihak berkuasa dan lain-lain sudah nampak peluang untuk menjumpai Syahir nipis sekali.

Sedang Shamsudin mengangkat muka selepas menekup sambil mengenang nasib Syahir, dia ternampak kelibat beberapa orang asli di tebing seberang. Pantas terlintas di fikirannya kemungkinan orang-orang asli itu dapat membantu. Dia terus meredah sungai untuk mendapatkan mereka tetapi kumpulan tiga orang asli itu segera beredar dari situ.

Shamsudin terus mengejar orang asli itu. Meredah hutan yang dia sendiri tidak tahu akan selok beloknya. Ketika dia berlari tiba-tiba kakinya tersadung akar pokok. Dia tertomoih ke lantai hutan. Bila dia bangun, berdiri di hadapannya ialah tiga orang lelaki orang asli itu.

“Kamu tahu di mana anak saya?” tanya Shamsudin.

Orang asli itu tidak memberi reaksi.

“Bantu saya cari anak saya,” rayu Shamsudin. Hatinya kuat merasakan bahawa orang asli itu boleh menolongnya.

Shamsudin melutut. “Saya merayu.”

Orang asli yang berdiri paling hadapan itu melihat muka Shamsudin.

“Tolong saya…”

“Kau tanya tok batin,” kata orang asli itu lalu beredar dari situ.

Shamsudin mengekori ketiga-tiga orang asli itu. Selepas hampir dua jam perjalanan sampailah di perkampungan orang asli itu. Dia dibawa berjumpa tok batin.

“Aku tak jamin. Tapi aku boleh usahakan…”kata tok batin selepas mendengar cerita Shamsudin tentang kehilangan Shahir.

“Apa yang terjadi pada anak saya tok batin?” tanya Shamsudin.

“Hmmm…” balas tok batin. “Anak-anak buah aku sudah pesan kepada dia supaya jangan lepasi batu merah tu tetapi dia tidak ikut pesan.”

“Apa ada di situ?” tanya Shamsudin.

“Puteri Kesuma Hati,” jawab tok batin.

“Siapa dia?” tanya Shamsudin.

Tok batin melihat salah seorang daripada tiga orang anak buahnya yang membawa Shamsudin ke situ.

“Panggil San,” arah tok batin itu.

Orang asli yang diarah itu menghilang dan tak lama kemudian kembali bersama lelaki orang asli yang dipanggil San itu. Lelaki itu berusia di penghujung 40.

“Kau boleh tanya San ni. Dia mesti tahu apa terjadi dan di mana anak kau sekarang,” kata tok batin.

“Apa terjadi pada anak saya? Di mana dia sekarang?” tanya Shamsudin.

“Betul dia hilang di batu bertanda merah tu?” tanya San.

Shamsudin mengangguk. “Mereka jumpa batang-batang pancingnya di situ.”

“Sudah dua hari dia hilang?” tanya San.

Shamsudin mengangguk.

“Kau keturunan Panglima Hitam Awang?” tanya San.

Shamsudin menggeleng. “Saya tak tahu. Yang saya tahu saya keturunan Tuan Guru Manan yang hidup zaman British.”

San tersenyum. “Aku yakin kau keturunan Tuan Guru Manan dan juga keturunan Panglima Hitam Awang.”

“Bagaimana kau yakin itu? Dan apa kaitan dengan kehilangan anak saya tu?” tanya Shamsudin.

“Panglima Hitam Awang itulah yang ditunggu Puteri Kesuma Hati selama ratusan tahun ini. Aku yakin anak kau seiras dengan Panglima Hitam Awang,” kata San.

“Apa sebenarnya yang berlaku?” tanya Shamsudin berkerut dahi.

“Begini…”

San bercerita.

Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dulu, Seri Melur, seorang gadis yang cantik paras rupanya telah jatuh sakit. Sakitnya sangat misteri sehingga tiada seorang bomoh pun yang mampu mengubatinya. Ada seorang bomoh yang tinggi ilmunya memberitahu gadis itu hanya boleh diubati dengan melati sakti, sejenis bunga melati yang hidup di alam ghaib di tengah hutan belantara. Bunga melati sakti ini dijaga oleh jin tanah yang amat hebat. Setakat yang diketahuinya hanya beberapa orang manusia sahaja yang pernah mendapatan melati sakti itu. Dikatakan melati sakti itu mampu mengubati apa jua penyakit.

Panglima Hitam Awang yang memang menaruh hati terhadap Seri Melur bernekad untuk mencari melati sakti. Dia yang mempunyai ilmu batin yang tinggi sesuai dengan gelaran panglima hitam itu memasuki alam ghaib. Dari makhluk-makhluk alam ghaib, dia mendapat tahu hanya Puteri Kesuma Hati yang mampu mengambil melati sakti itu. Puteri Kesuma Hati adalah anak kesayangan Raja Ghoran, raja kerajaan alam ghaib hitam seluruh hutan dan lembah di situ. Melati sakti adalah bunga larangan. Yang boleh mendekatinya cuma Raja Ghoran sahaja.

Panglima Hitam Awang memikat Puteri Kesuma Hati. Puteri Kesuma Hati jatuh hati dengan Panglima Hitam Awang. Selepas yakin Puteri Kesuma Hati betul-betul menyayanginya, Panglima Hitam Awang berbohong menyatakan bahawa ibunya sakit tenat dan hanya melati sakti penawarnya. Pada mulanya Puteri Kesuma Hati enggan hendak mencuri melati sakti kerana bimbang dimarahi Raja Ghoran. Tetapi melakukannya juga selepas Panglima Hitam Awang berjanji akan membawanya keluar dari alam ghaib itu dan mengahwininya.

Selepas mendapat melati sakti itu, Panglima Hitam Awang segera meninggalkan kerajaan ghaib Raja Ghoran itu. Seri Melur pulih daripada penyakit misteri selepas mencium bau melati sakti yang keharuman dan penawarnya tiada tara itu. Kerana mengenangkan jasa Panglima Hitam Awang, pembesar kerajaan Melaka itu mengahwinkan anak perempuannya itu dengan Panglima Hitam Awang. Sementara perbuatan Puteri Kesuma Hati diketahu Raja Ghoran. Selepas diberi pilihan, Puteri Kesuma Hati memilih tempat di lata itu untuk dipenjarakan bersama dayang-dayangnya yang bersubahat dengannya mencuri melati sakti.

Selepas lama menunggu, kelibat Panglima Hitam Awang tidak muncul-muncul untuk menunaikan janjinya. Puteri Kesuma Hati mencari Panglima Hitam Awang. Dia merempuh dinding sihir yang mengelilingi penjara ghaibnya itu sehingga tubuhnya luka teruk. Alangkah marahnya dia bila mendapati kekasihnya itu sudah beristeri dan hidup bahagia. Dia menggangu rumahtangga Panglima Hitam Awang dan Seri Melur. Seri Melur keguguran beberapa kali. Kemudian dia mengidap penyakit yang misteri. Semua bomoh gagal mengubatinya. Sehinggalah muncul seorang pandeta yang tinggi ilmunya.

Selepas pertempuran batin yang dahsyat, akhirnya pandeta itu berjaya menghalau Puteri Kesuma Hati itu ke penjaranya semula dan memagar kawasan sekitarnya dengan mantera tetapi dengan syarat Panglima Hitam Awang dan keturunannya itu tidak boleh melewati batas mentera yang dibuatnya itu.

Sejak itu Panglima Hitam Awang tidak pernah menghampiri kawasan lata, malah hutan ini sekali pun.

“Begitulah…” kata San.

Shamsudin menelan air liur. Tidak pasti hendak percaya atau tidak. “Habis tu kenapa dia ada di situ lagi? Masih nak tunggu panglima hitam tu? Nak balas dendam pada keturunan panglima hitam tu?”

“Aku rasa begitu. Tetapi aku tak pasti. Mungkin tempoh penjaranya belum habis. Mereka hidup lama,” kata San.

“Mana kau tahu semua ni?” tanya Shamsudin.

“Salah seorang dayang Puteri Kesuma Hati tu beritahu aku,” jawab San.

Shamsudin terlopong lantas melihat tok batin.

“Dia pernah termasuk dalam alam ghaib tu. Bercinta dengan salah seorang dayang puteri tu. Tetapi mujur berjaya diseludup keluar oleh dayang tu sebelum diketahui puteri tu. Sebelum tu banyak dah orang kami mati bila termasuk tempat tu. Dari dayang tu lah kami tahu di mana batas tu. Kalau dari arah perkhemahan tu, batasnya dari pokok ara dan batu hampar bertanda merah itulah,” jelas tok batin.

“Ada cara nak dapatkan anak aku semula? Kami bukan keturunan panglima hitam tu,” kata Shamsudin.

Tok batin melihat San.

“Aku ada cara. Tetapi kena ambik masa sebelum dapat jumpa dayang tu. Dah bertahun aku tak jumpa dia,” kata San.

“Tolonglah…” rayu Shamsudin.

San mengangguk.

Shamsudin kembali ke kem operasi pencarian dengan bantuan orang orang asli itu.Bila mereka sampai di situ, hari sudah senja. Ketika itulah kedengaran suara seorang anggota pasukan gerak am menjerit memberitahu dia telah menjumpai Syahir.

Syahir dijumpai terbaring lemah di dalam perdu pokok besar yang terangkat sedikit akarnya dari tanah. Syahir masih bernyawa dan terus diberi rawatan awal sebelum dikejarkan ke hospital berdekatan.

“Kan aku dah cakap kami bukan keturunan panglima hitam tu,” kata Shamsudin kepada lelaki-lelaki orang asli itu. “Jika tak anak aku tu tentu dah mati dibalas dendam syaitan tu.”

Syahir tidak dapat menceritakan apa yang berlaku kepadanya sepanjang kehilangannya di hutan itu. Ingatannya tentang kehidupan di alam ghaib itu tiba-tiba hilang. Begitulah yang diberitahu kepada semua orang. Walhal dia ingat beberapa perkara yang berlaku kepadanya di alam ghaib itu. Semuanya tentang keseronokannya dilayan seperti seorang raja oleh gadis jelita itu. Sebetulnya dia sudah jatuh cinta dengan gadis jelita itu.

“Mereka takkan dapat terima saya,” suara seorang gadis kedengaran dari dalam bilik Syahir. Nadanya lembut dan berat sayu.

Syahir melihat Shamsudin dan Manisah. Dia menguyah laju nasi di dalam mulutnya.

“Ayah, boleh tak kalau manusia berkahwin dengan makhluk halus yang baik?” tanya Syahir.

“Ish,” sambut Manisah. “Buat apa kalau boleh pun. Simpang malaikat 44!”

“Tak payahlah fikir benda yang bukan-bukan tu! Hah, hari ni kau nak ke mana?” kata Shamsudin.

“Duduk rumah,” jawab Syahir.

“Kau ni sejak kejadian tu tak mahu bergaul dengan orang langsung. Kenapa?” tanya Shamsudin.

“Asyik terperuk dalam rumah saja. Kenapa?” tanya Manisah.

Syahir tidak menjawab.

Tengah malam itu, Syahir keluar dari bilik tidurnya. Dia turun ke ruang menonton di tingkat bawah. Berjalan menghampiri sofa panjang yang mengadap televisyen. Ayah dan emaknya yang sedang duduk di sofa itu sambil menonton televisyen terkejut dengan kehadiran tiba-tiba Syahir itu.

“Kena…”

Sebelum sempat Shamsudin habis bertanya, Syahir terus menyembelih Shamsudin dan Manisah dengan pisau pemotong daging. Darah tersembur deras dari leher Shamsudin dan Manisah lalu membasahi sofa panjang dan permaidani ruang menonton itu. Tidak cukup dengan itu Syahir mencincang-cincang mayat kedua orang tuanya itu.

Selepas puas, dia berpaling ke kiri. Di belakang sofa panjang itu berdiri Puteri Kesuma Hati yang sedang tersenyum.

“Aku sudah hapuskan halangan kebahagian kita berdua,” kata Syahir.

Puteri Kesuma Hati mengangguk sambil tersenyum. Lalu dia mendepakan kedua-dua tangannya sambil jari-jarinya menggamit Syahir. Syahir bangun dari melutut, meninggalkan mayat kedua orang tuanya lalu terus memeluk gadis jelita idaman hatinya itu.

Puteri Kesuma Hati memeluk Syahir lebih erat. Ketika Syahir dalam keasyikan berahi itulah, puteri syaitan itu bertukar wajah.

Wajah Puteri Kesuma Hati bertukar menakutkan. Kulitnya yang putih mulus bertukar biru pucat. Hampir seluruh badannya yang mulus tadiberbirat-birat kesan parut. Telinganya yang terbentuk cantik bertukar menjadi capang. Matanya yang bundar dan bersinar bertukar menjadi besar dan merah menyala-nyala. Giginya yang tersusun elok bertukar menjadi tajam dan bertaring. Bibirnya yang segar dan merah bertukar merekah dan hitam. Lidahnya pula terjelir-jelir panjang melepasi dagu. Kuku tangannya juga menjadi panjang dan tajam.

Kuku-kuku tangan yang panjang dan tajam itu dirodok pada belakang badan Syahir.

Syahir tersentak. Darah keluar dari mulutnya.

Ratusan duri keluar dari badan Puteri Kesuma Hati. Menyempurnakan rupa bentuknya yang sebenar.

Duri-duri itu merodok tubuh Syahir. Darah terus keluar dari mulut Syahir. Darah juga keluar dari hidung dan telinganya.

Syahir meronta-ronta. Dia dilepaskan oleh Puteri Kesuma Hati. Matanya terbelalak bila melihat rupa sebenar gadis jelita idaman hatinya itu.

Puteri Kesuma Hati ketawa panjang.

Syahir jatuh terlentang di sisi mayat kedua orang tuanya.

“Mampus kau keturunan Awangku sayang!”

Nafas Syahir putus.

Pengebumian Syahir, Shamsudin dan Manisah sudah dilaksanakan siang tadi. Selepas kenduri arwah, Amanda, anak perempuan dan satu-satunya waris keluarga Shamsudin yang masih tinggal itu masuk ke dalam bilik tidurnya. Dia berasa sedih dan ingin tidur awal. Lagi pula badannya terlalu letih. Penerbangan berjam dari London semalam selepas mendapat tahu kematian ahli keluarganya itu masih terasa hingga sekarang.

Dia membasuh muka dan memakai pakaian tidur. Kemudian dia menutup lampu. Lantas berbaring di atas katil lalu pejam mata. Di syiling di atasnya, terawang-awang Puteri Kesuma Hati dengan bibirnya yang mengukir senyum.

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.