Home Novel Seram/Misteri KESUMAT
KESUMAT
8/2/2017 08:51:43
3,405
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Senarai Bab
BAB 1


Sayap penjara itu kelihatan begitu menyeramkan dan menjijikkan. Suasananya kelam dan udaranya pengap, tengik dan hancing. Lantainya yang kotor dipenuhi genangan air kencing dan ratusan kala jengking serta ular hitam yang merayap dan melingkar di sana sini. Silingnya hampir keseluruhan dilitupi oleh sarang labah-labah. Ratusan labah-labah merayap-rayap di atas sarang-sarang itu. Dindingnya pula dipenuhi dengan palitan tahi kering dan basah di sana sini. Di atas permukaan lantai, siling dan dinding itu samar-samar kelihatan wafak-wafak yang mengandungi campuran ayat Al-Quran dan mantera sihir. Wafak-wafak itu sesekali bercahaya merah seolah-olah sedang bernafas.

Sel-sel penjara tanpa apa-apa kemudahan walaupun mangkuk tandas itu dipenuhi dengan banduan yang kelihatan bercakap-cakap dan menjerit-jerit sendirian, menghentak-hentak kepala pada dinding, lantai atau jeriji besi sehingga berdarah dan memeluk lutut sambil menggoyangkan badan dalam keadaan gelisah dan ketakutan. Sel-sel penjara itu lebih mirip kepada hospital sakit jiwa. Hanya seorang banduan sahaja yang ditempatkan di sel penjara paling hujung nampak berkelakuan lain. Banduan itu ialah Karim.

Karim kelihatan tenang. Dia bersila dan memejamkan mata. Menghela dan menghembus nafas secara berkadar, memusatkan fikiran kepada hajat disertai dengan pujian panjang di dalam hati. Dia sedang bertafakur sejak beberapa jam yang lalu.

Pujian berupa pengakuannya bahawa lelaki misteri itu adalah tuannya dan tuan lelaki misteri itu adalah tuhannya. Tiada tuhan yang patut disembah melainkan tuhan lelaki misteri itu dan memanjatkan kesyukuran atas pelantikannya untuk menyempurnakan agama yang sudah jauh terpesong.

Beberapa orang wadar muncul di hujung lorong yang kelam. Mereka berjalan sederap dengan langkah bongkak. Melihat banduan-banduan dengan pandangan dan muka penuh kebencian dan kebengisan. Salah seorang daripada mereka menarik cota dan sengaja menyeretnya ke jeriji besi sel. Bunyi seretan cota yang membingitkan menyebabkan beberapa orang banduan yang duduk memeluk lutut sambil menggoyangkan badan itu terkencing di dalam seluar.

Kini bunyi seretan cota diganti pula dengan bunyi hentakan bertalu-talu cota pada jeriji besi. Kumpulan wadar itu berhenti berjalan dan kini berdiri di hadapan sel yang menempatkan Karim.

“Hei orang tua, dah sampai masa mampus kau!” kata salah seorang daripada kumpulan wadar. Dia berbadan paling tegap, tinggi dan berdiri di hadapan sekali.

Karim kekal bertafakur. Tidak terganggu walau sedikit pun.

“Buat alim… Alim taik kucing! Sesat! Neraka!” sambung seorang lagi wadar, badannya juga tegap, sedikit rendah dan berdiri di sisi kanan selangkah di belakang wadar yang mula-mula bersuara keras tadi.

Karim membuka mata selepas diherdik begitu. Dia melihat kumpulan wadar itu dengan pandangan redup lalu menguntumkan senyuman hangat.

“Cepat! Masa mampus kau dah sampai!” kata wadar berbadan paling tegap.

Karim mengangguk. “Izinkan aku solat dulu.”

“Macam-macamlah kau ni. Solat apa?” tanya wadar berbadan paling tegap.

“Solat subuh,” jawab Karim.

“Ya lah, ya lah… cepat!” jawab wadar berbadan paling tegap.

Kumpulan wadar itu mengomel-ngomel marah. Mereka menunggu di luar sel. Sementara Karim mendirikan solat subuh. Bacaan-bacaan solatnya yang memuji kebesaran Allah SWT dan Nabi Muhammmad SAW diganti dengan memuji tuan lelaki misteri dan lelaki misteri itu sendiri. Wadar-wadar itu tanpa bersembunyi mencaci bacaan Karim itu.

Selesai solat subuh, Karim pun dibawa keluar dari sel. Diiringi oleh kumpulan wadar itu ke bilik gantung. Di luar, awan gelap membuak-buak di dada langit. Ribut menggila tanpa diduga. Kilat pancar memancar dan guruh berlentam-lentum. Di belakang kawasan penjara kelihatan lelaki misteri itu sedang berdiri tegak. Di hadapan pagar belakang penjara kelihatan Azlan dan sekumpulan pemuda berjubah, berserban dan berkain rida’ sedia menunggu.

“Aku akan selamatkan kau…” kata lelaki misteri itu. Suaranya bergema di telinga Karim.

Karim yang dalam perjalanan ke bilik gantung berhenti melangkah. Mulut Karim bergerak halus, bersuara hampir berbisik, membalas kata-kata lelaki misteri itu; “Kepada kau aku berharap…”

Pertempuran sengit berlaku di antara lelaki misteri dengan kumpulan yang diketuai Azlan. Bermacam jenis ilmu batin digunakan dalam pertempuran tersebut. Kini tinggal lelaki misteri dan Azlan sahaja yang masih berdiri tegak. Lelaki misteri itu masih gagah walaupun mengalami kecederaan dalaman. Manakala Azlan nampak keletihan dan kurang berdaya. Darah menitis dari hidung dan meleleh dari mulut Azlan. Kawan-kawannya bergelimpangan tidak sedarkan diri. Mereka berdua dalam tempoh bertenang.

Karim sudah berada di dalam bilik gantung. Tidak berapa lama kemudian dia dibawa pula naik ke atas lantai pintu perangkap. Lalu tali gantung pun dilingkarkan pada lehernya. Mulut Karim terus bergerak halus mengucapkan; “Kepada kau aku berharap…”

Lelaki misteri itu berlari kencang. Bertukar menjadi bebola api berwarna putih dan menyerang Azlan. Serta merta kawasan itu membahang kepanasan. Pokok-pokok, rumput dan lalang di sekitar kawasan tersebut hangus terbakar.

Azlan mengukuhkan kekuda. Bertapak kejap dan stabil. Pantas melilitkan kain rida’ ketat-ketat pada genggaman tangan. Bebola api putih yang meluncur kencang semakin menghampiri Azlan. Pada jarak hampir dua depa, Azlan melibaskan kain rida’. Hujung kain itu menujah keras bebola api putih. Tetapi bebola api putih itu tidak terpelanting atau pecah sebaliknya membakar kain rida’ tersebut. Membakar pantas sehingga Azlan yang terkejut tidak sempat berbuat apa-apa. Bebola api putih itu melanggar tangan dan seterusnya menghentam dada kanan Azlan sehingga menyebabkan pemuda itu terundur jauh dan merempuh pagar.

Bebola api putih yang merempuh pagar itu pantas bertukar menjadi asap hitam yang bergerak sangat laju menembusi bangunan penjara dan terus ke bilik gantung. Asap hitam itu sekejap-sekejap membentuk rupa lelaki misteri tersebut yang sedang meluncur angin. Mulut lelaki misteri itu terkumat-kamit mengucapkan sesuatu.

“Datanglah padaku wahai roh yang tenang…”

Di bilik gantung, Karim tersenyum. Selepas beberapa ketika dia pun memejamkan mata. Bibirnya bergetar mengucapkan sesuatu. Iaitu ucapan syahadah songsang yang menuhankan tuan lelaki misteri itu. Jam menunjukkan pukul 6.15 pagi. Kelihatan pengarah penjara memberikan isyarat. Tukang gantung melaksanakan tugas. Pintu perangkap terbuka. Karim digantung.

Ketika itulah lelaki misteri berupa asap hitam itu merempuh bilik gantung dan terus meluru ke arah Karim. Tetapi dia sudah terlewat. Roh Karim sudah dibawa pergi dari situ oleh satu lembaga hitam yang bersayap dan besar.

Beberapa lembaga hitam bersayap lain yang lebih kecil saiznya, pembantu kepada lembaga hitam bersayap yang besar dan bengis itu, cuba menahan lelaki misteri itu. Mereka berhasil mencakar belakang badan lelaki misteri itu sehingga menghasilkan luka yang dalam dan panjang dengan kuku-kuku tajam mereka. Lelaki misteri itu memekik. Suara garaunya menggempitakan seluruh isi penjara itu. Namun masih mampu melepaskan diri dan hilang di balik awan gelap yang membuak-buak.

Soraya tersentak. Bebas dari bayangan yang menerpanya secara tiba-tiba ketika dia sedang minum petang itu. Cawan kopi kekal di tangan dan dua biji karipap di dalam pinggan belum diusik.

“Cik Soraya, okey?” tanya salah seorang bekas pengikut Kumpulan Panji Hitam.

Soraya membisu beberapa ketika sebelum menjawab teragak-agak. “Ya, ya…”

“Cik Soraya macam patung tadi. Tak bergerak langsung walaupun kami cuba sedarkan. Mata saja yang kadang-kadang terbeliak dan kadang-kadang sayu. Betul ke tak apa-apa?” tanya seorang lagi bekas pengikut Kumpulan Panji Hitam.

“Ya, ya…” Soraya menelan air liur. Dia menangis dan meradang serentak di dalam hati. Wajah Karim dan Azlan tenggelam timbul dalam fikirannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.