Home Novel Thriller/Aksi FANA
FANA
28/7/2016 11:49:12
26,891
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
SIRI #16 (Bab 32 & Bab 33)

Bab 32

Mereka melalui perjalanan yang amat panjang. Bertukar kenderaan beberapa kali. Mula-mula helikopter kemudian kapal terbang dan terakhir kapal selam. Akhirnya barulah mereka sampai di salah sebuah penjara rahsia Alam Hitam. Penjara rahsia yang paling rahsia itu terletak di sebuah pulau rahsia di satu kawasan terpencil di Lautan Atlantik. Ia tidak pernah dipetakan dalam mana-mana peta. Kewujudannya hanya diketahui oleh segelintir manusia di dunia. Sama seperti Pulau Kayel. Hanya berlainan fungsi. Pulau itu dipanggil Pulau Merah.

Di atas Pulau Merah itu ada sebuah bukit. Di dalam bukit itulah penjara rahsia itu dibina. Satu-satunya cara memasuki penjara rahsia itu ialah melalui pintu di bawah air. Sebuah terusan dibina dari gua semulajadi di sisi bukit hingga ke pintu tersebut.

Kapal selam mini yang membawa Sayyid Muhaimin dan Tok Mula tiba di pintu di bawah air itu. Pintu itu terbuka selepas mendapat pelepasan dari pusat operasi penjara rahsia tersebut. Kapal selam itu masuk perlahan-lahan dan mengambil posisi yang sudah ditentukan. Air dikeluarkan dari tangki balas dan diganti dengan udara. Kapal selam mini itu naik ke permukaan perlahan-lahan.

Sayyid Muhaimin dan Tok Mula dibawa keluar dari kapal selam mini itu. Mereka diserahkan kepada sekumpulan pegawai penjara rahsia tersebut. Dibawa ke bilik-bilik berasingan. Dibuka penutup kepala. Dibiarkan di situ beberapa ketika sebelum didatangi oleh beberapa orang pegawai penjara rahsia itu.

Kemudian mereka berdua diimbas cap jari, retina, gigi dan seluruh anggota badan untuk didokumentasikan. Mereka berdua diletakkan di bawah kod satu iaitu tahanan berprofil tinggi yang akan ditempatkan di sayap penjara yang mempunyai paras keselamatan paling maksimum.

Selepas menjalani proses dokumentasi mereka dihantar ke sel masing-masing. Sel mereka berdua saling bertentangan.

“Masuk goyim!!!” pekik salah seorang warden penjara yang membawa Sayyid Muhaimin dan Tok Mula ke sel masing-masing dari bilik pendokumentasian.

Salah seorang warden penjara yang mengiringi Sayyid Muhaimin menendang belakang pinggang Sayyid Muhaimin. Sayyid Muhaimin terlangkah ke hadapan beberapa tapak lalu masuk ke dalam sel tersebut. Dia tidak melawan. Membiarkan sahaja dirinya diperlakukan sebegitu rupa. Pintu sel menggelongsor secara automatik. Bunyi klik kedengaran. Sistem kunci tercanggih diaktifkan. Dua buah lubang seperti bentuk gari pada pintu terbuka secara automatik.

“Melangkah ke hadapan,” arah warden penjara yang menendang Sayyid Muhaimin itu. “Masukkan kedua-dua tangan engkau ke dalam lubang-lubang itu!” arahnya lagi.

Sayyid Muhaimin mengikut arahan yang diberikan. Dia memasukkan tangannya ke dalam lubang-lubang itu. Warden penjara itu memasukkan kunci digital ke dalam lubang gari tersebut. Gari itu terbuka lalu ditarik keluar.

“Jahanam goyim tua!” pekik salah seorang warden penjara yang mengiringi Tok Mula dan terus menendang bahagian belakang pinggang Tok Mula.

Tok Mula hampir tersembam.

Sayyid Muhaimin berasa kurang senang dengan kejadian yang berlaku di hadapannya itu. “Engkau tak sepatutnya bertindak begitu kepada orang tua,” tegur Sayyid Muhaimin.

“Bangun goyim tua! Masukkan tangan engkau di dalam lubang-lubang ini! Cepat!” arah warden penjara yang menendang Tok Mula itu.

Tok Mula mengikut arahan. Garinya dibuka.

“Engkau tak sepatutnya bertindak begitu tadi,” tegur Sayyid Muhaimin lagi.

Warden penjara itu memandang tajam Sayyid Muhaimin. Dia menarik cota dan menghampiri sel Sayyid Muhaimin. Dengan pantas terus menghentak cota itu ke batang-batang besi sel tersebut. Degar memenuhi ruang tersebut. Tetapi suasana itu tidak menggetarkan Sayyid Muhaimin yang hanya tersenyum.

“Goyim seperti engkau hanya layak dilayan begitu!” jerit warden penjara itu. Meludah ke dalam sel Sayyid Muhaimin. Air liurnya melekat kental di lantai berhampiran dengan kaki Sayyid Muhaimin.

Selepas puas menjerit warden penjara itu dan rakan-rakan setugasnya beredar dari situ dengan ketawa yang panjang.

“Tok tak apa-apa?” tanya Sayyid Muhaimin.

Tok Mula tergamam dengan keprihatinan Sayyid Muhaimin. Perkataan ‘tok’ itu pula dirasanya begitu rapat dengan dirinya bila ia keluar dari mulut Sayyid Muhaimin.

“Tok tak apa-apa?” tanya Sayyid Muhaimin lagi.

Tok Mula tersedar dari lamunan singkatnya. “Ya, ya, tok tak apa-apa. Sakit sikit sahaja di belakang ni,” jawabnya sambil mengurut-urut belakang pinggang.

Sayyid Muhaimin lega. Dia amat hormatkan orang tua. Sesuai dengan ajaran Islam. Tetapi jauh di sudut hatinya dia sedar bahawa keprihatinnya terhadap Tok Mula bukan semata-mata hasil didikan baik yang diterimanya selama ini. Tetapi didorong sama oleh satu perasaan lain yang tidak mampu diterjemahkannya kala itu. Perasaan itu sama seperti perasaannya terhadap Roshil.

“Mengapa biarkan mereka menangkap engkau?” tanya Tok Mula tiba-tiba. Duduk di atas pangkin batu yang sejuk.

Sayyid Muhaimin tersenyum. “Mungkin kerana mereka lebih hebat,” jawabnya, cuba mengelak.

Tok Mula tersenyum. “Kenapa tak guna buah malaikat maut ketika dia melakukan tendangan kapak tadi? Cucu boleh tapi enggan. Simpan kuku walau ada. Sengaja biarkan diri ditangkap...”

Sayyid Muhaimin tersenyum lagi. Diam tidak menjawab pertanyaan Tok Mula itu.

“Tentu ada sebabnya bukan?” tanya Tok Mula lagi.

Sayyid Muhaimin terus tersenyum. Pantas mengalih perbualan. “Kenapa tok boleh berada di sini? Disengajakan atau tidak? Ikut gerak hati, saya tahu ilmu tok bukan calang-calang.”

Tok Mula tersenyum. “Tok orang tua. Lemah. Mana dapat melawan kudrat orang muda...” jawabnya kemudian.

Sayyid Muhaimin tersenyum juga. “Kita sama. Ditangkap selepas melawan.”

Mereka sama-sama tersenyum. Menyembunyikan tindakan masing-masing dalam pertempuran di Gua Balam itu.

Di Istana Jawi, satu mesyuarat tergempar diadakan. Ia dihadiri oleh semua ahli Majlis Syura Tanah Melayu. Ia diadakan khusus untuk membincangkan tentang penangkapan Sayyid Muhaimin oleh Roshil itu.

“Apa tindakan kita seterusnya?” tanya Sultan Muzaffar yang mempengerusikan mesyuarat itu.

“Kita tunggu dan lihat,” jawab Sultan Harun. “Seperti yang saya kata tadi kawan-kawannya memaklumkan bahawa dia sengaja mahu ditangkap. Dia mahu mendekati Roshil. Dia percaya Roshil berminat terhadap Islam.”

“Saya khuatir dia diseksa,” kata Sultan Ali Sharif.

“In Sha ALLAH dia boleh tahan apa jua seksaan. Ilmu persilatannya bukan calang-calang,” kata Jeneral Rahman.

“Tetapi persoalan terpenting di sini ialah mengapa dia diburu dan mahu ditangkap?” tanya Syeikh Hakim.

Semua ahli majlis mengangguk mengerti kepentingan persoalan tersebut.

“Adakah ia berkaitan dengan Ainul Hayat?” tanya Sultan Hashim.

“Sayyid Muhaimin dan Roshil pernah berdebat tentang kepercayaan Islam dan Kristian. Dari situ Roshil tertarik untuk mengetahui tentang siapa Jesus sebenarnya menurut Islam. Mereka bertemu empat mata. Dalam perjalanan kembali ke hotel mereka diserang di pertengahan jalan. Kawan-kawannya yang berada di hotel juga diserang. Sahabat-sahabatnya percaya serangan itu dilakukan atas arahan Roshil yang tentunya mendapat persetujuan Richard Rotchield. Pertemuan yang diatur itu sebenarnya adalah satu perangkap,” terang Sultan Harun.

“Tetapi Sayyid Muhaimin tidak beranggapan begitu?” tanya Sultan Azim.

Sultan Harun mengangguk.

“Tetapi Roshil terlibat sama dalam serangan di Gua Balam, bukan?” tanya Sultan Abdul Hamid.

“Benar,” jawab Sultan Harun.

“Seakan sudah jelas penglibatan Roshil. Adakah Sayyid Muhaimin tidak nampak itu?” kata Sultan Azim.

“Saya fikir sebab itulah Sayyid Muhaimin ingin benar mengetahui mengapa Roshil melakukan serangan tersebut. Saya kenal Sayyid Muhaimin sejak kecil. Dia tidak akan diam sehingga dapat jawapan yang sebenar,” jelas Sultan Harun.

“Di mana dia sekarang?” tanya Sultan Muzaffar.

“Di Pulau Merah. Ditahan di penjara rahsia di situ,” jawab Jeneral Rahman. “Kami berjaya mengesannya melalui peranti mikro halimunan yang dilekatkan pada bahunya,” jelasnya.

“Pulau terdekat?” tanya Sultan Muzaffar.

“Pulau Doba. Kira-kira dua batu nautika daripada Pulau Merah,” jawab Mejar Rahman. “Jika majlis luluskan aku akan hantar kawan-kawan Sayyid Muhaimin dan sepasukan GGK ke sana beberapa hari sebelum tarikh akhir. Bertindak selepas sebulan seperti yang diminta oleh Sayyid Muhaimin. Apa pendapat majlis?” cadang Jeneral Rahman.

Semua ahli majlis syura bersetuju dengan cadangan Jeneral Rahman itu.

Bab 33

Roshil datang melihat Sayyid Muhaimin. Sayyid Muhaimin sedang mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran. Dia sedang mengalunkan ayat ke 43 surah Taha ketika Roshil tiba di hadapan pintu selnya.

Sayyid Muhaimin membuka matanya lalu mengukirkan senyuman sebaik melihat Roshil. Sistem kunci dinyahaktifkan lalu pintu itu dibuka secara automatik. Roshil masuk ke dalam sel tersebut dengan ditemani oleh dua orang pengawal peribadi. Sayyid Muhaimin bangun dari bangku batu yang amat sejuk itu. Dia menghulurkan salam tetapi tidak disambut oleh Roshil.

Roshil berdiri megah sambil memandang tajam Sayyid Muhaimin.

“Kenapa engkau lakukan itu?” tanya Roshil tiba-tiba.

Sayyid Muhaimin berasa aneh dengan soalan tersebut. Bukankah sepatutnya dia yang bertanyakan soalan itu kepada Roshil. “Aku tidak faham maksud saudara,” jawab Sayyid Muhaimin terus terang. Dia tahu ada sesuatu yang tidak kena.

Roshil mengeluh panjang. Berasa kecewa dengan kepura-puraan Sayyid Muhaimin. 

“Kenapa?!” tanyanya lagi. Nada suaranya mulai kedengaran keras.

“Aku benar-benar tidak faham,” balas Sayyid Muhaimin.

Roshil berang secara tiba-tiba. Dia lekas menggenggam kolar baju Sayyid Muhaimin dan menolak Sayyid Muhaimin hingga pemuda itu terhenyak di bangku batu. Kepala Sayyid Muhaimin hampir terhentak dinding. Roshil seperti diserang histeria.

“Engkau jangan pura-pura tidak tahu! Jangan berlagak alim!” Roshil meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

“Apa yang telah aku lakukan?” tanya Sayyid Muhaimin.

Berang Roshil membuak-buak. Dia mencapai semula kolar baju Sayyid Muhaimin dan memaksa Sayyid Muhaimin bangun. Dia terus memulas kolar baju itu sehingga hampir menjerut leher Sayyid Muhaimin. Sayyid Muhaimin tidak melawan. Dia membiarkan sahaja dirinya diperlakukan sebegitu rupa. Roshil menghempas badan Sayyid Muhaimin ke dinding. Kemudian melangkah keluar dari sel tersebut sambil berkata kepada pengawal-pengawal peribadinya, “Buat sampai celaka ini mengaku!”

Sayyid Muhaimin segera dibawa ke bilik soal siasat. Suhu bilik itu diturunkan ke paras sejuk yang ekstrem. Ia sangat sejuk sampai menggigilkannya. Dia dibiarkan kesejukan di situ hampir 33 jam. Tetapi dia tidak alami hipotermia. Tidak juga pitam, pengsan, jauh sekali koma walaupun suhu tubuhnya terlalu rendah iaitu 88ºF. Jauh dari suhu normal badan manusia iaitu sekitar 96ºF. Bibirnya terus melontarkan ayat-ayat suci Al-Quran. Suaranya yang merdu bergema di dalam bilik soal siasat itu walaupun kedengaran bergetar-getar kerana menggigil.

Sayyid Muhaimin yang tidak apa-apa itu mula menghairankan sepasukan pakar soal siasat PPA. Mereka sudah sampai kepada seksaan kesejukan yang paling maksimum. Suhu bilik soal siasat itu dinaikkan sedikit demi sedikit sehingga ke paras normal. Mereka khuatir Sayyid Muhaimin mati jika suhu bilik itu terus diturunkan. Roshil sudah memberi peringatan dapatkan pengakuan dengan apa cara sekali pun tetapi jangan sampai nyawa Sayyid Muhaimin melayang.

Seorang pakar soal siasat PPA masuk ke dalam bilik soal siasat itu.

“Engkau tidak apa-apa Muhaimin?” tanya pakar soal siasat perempuan yang bernama Nancy itu.

“Kesejukan tadi. Tetapi sekarang sudah kembali seperti biasa,” jawab Sayyid Muhaimin.

“Engkau tahu kami boleh turunkan suhu itu lagi jikalau mahu. Engkau akan alami hipotermia akut yang boleh menyebabkan koma dan putus nyawa,” kata Nancy. “Tetapi kami tidak mahu lakukan begitu. Kami mahu beri peluang kepada engkau untuk bekerjasama,” sambungnya, mengugut sambil memujuk.

Sayyid Muhaimin tersenyum. Faham dengan apa yang sedang dilakukan oleh Nancy.

“Mengapa engkau menyerang Roshil dan kawan-kawannya selepas pertemuan itu?” tanya Nancy, suaranya lembut dan perlahan.

“Menyerang Roshil dan kawan-kawannya? Subhanallah. Kami tidak pernah terlintas untuk mengapa-apakannya,” balas Sayyid Muhaimin. Sekarang tahulah dia mengapa Roshil menyerang mereka di Gua Balam itu.

“Benar engkau tidak terlibat dalam serangan itu?” tanya Nancy, merenung tajam muka Sayyid Muhaimin.

“Ya,” jawab Sayyid Muhaimin dengan pantas.

Nancy hampa kerana tidak dapat mengesan sebarang tanda pada muka dan tingkah Sayyid Muhaimin yang boleh mengisyaratkan tahanannya itu sedang berbohong.

“Aku tidak percaya,” kata Nancy. “Kami percaya serangan itu dilakukan oleh kumpulan engkau. Mereka bertakbir ketika melakukan serangan.”

“Sesiapa sahaja boleh bertakbir untuk meletakkan kesalahan kepada muslim,” balas Sayyid Muhaimin.

Nancy berasa begitu naif bila mendengar penjelasan Sayyid Muhaimin itu.

“Kami juga diserang selepas pulang dari pertemuan itu. Sahabat-sahabatku yang tidak ikut serta ke pertemuan itu juga diserang di hotel. Jika dilihat secara kasar ia kerja pihak kamu. Tapi aku tidak percaya ia perbuatan Roshil. Hati kecilku percaya dia seorang yang baik,” kata Sayyid Muhaimin lagi.

Nancy keluar dari bilik soal siasat itu setelah gagal mendapatkan pengakuan Sayyid Muhaimin. Sayyid Muhaimin dibiarkan berseorangan di situ. Dia diberi makan dan minum. Nasi bercampur pasir dan air longkang. Selepas itu dia disoal siasat lagi oleh beberapa orang pakar soal siasat PPA. Ditanyakan soalan yang serupa lalu memberi jawapan yang sama. Roshil yang sempat melihat sesi soal siasat terakhir itu terus mengarahkan PPA menyiasat kebenaran cerita Roshil itu.

Sayyid Muhaimin dibawa kembali ke selnya. Dia sempat terlelap setengah jam sebelum didatangi semula oleh Roshil dan pengawal-pengawal peribadinya.

“Kenapa engkau lakukan serangan itu?!” bentak Roshil.

“Aku tak ada mengena dengan serangan itu,” jawab Sayyid Muhaimin.

“Masih tak mahu mengaku?! Sial engkau!” bentak Roshil. Berangnya sampai di puncak perasaannya. Satu tumbukan dilepaskan dan ia mengenai pipi kiri Sayyid Muhaimin. Darah tersembur dari mulutnya.

Sayyid Muhaimin menyapu darah pada mulutnya. Bersikap tenang sehabis mungkin. “Aku hanya bercakap benar. Bagaimana engkau tahu mereka itu adalah kumpulanku?”

“Mereka bertakbir ketika serangan,” jawab Roshil.

“Sesiapa sahaja boleh menyamar menjadi muslim,” jawab Sayyid Muhaimin.

“Aku yakin mereka muslim tulen. Aku yakin mereka orang engkau,” balas Roshil.

“Tidak mungkin,” jawab Sayyid Muhaimin. “Kami juga diserang selepas pertemuan itu. Kumpulan penyerang itu mirip kumpulan engkau.”

“Aku sudah selidik tak ada tanda-tanda kumpulan engkau diserang. Hotel tempat kumpulan engkau menginap tidak alami apa-apa serangan. Aku sudah selidik!” balas Roshil.

Sayyid Muhaimin tersenyum. “Ada yang tidak kena. Yang pastinya aku bercakap benar.”

“Bohong!” bentak Roshil lalu melepaskan satu lagi tumbukan yang kena tepat pada pipi kiri Sayyid Muhaimin sekali lagi. Darah tersembur keluar lagi dari mulut Sayyid Muhaimin. Ia berceretek memerahi lantai sel tersebut.

Roshil berlalu pergi dari situ dengan marah yang semakin membuak-buak.

Tidak lama kemudian beberapa orang pakar soal siasat PPA datang mengambil Sayyid Muhaimin di selnya untuk dibawa semula ke bilik soal siasat. Mereka mengikat Sayyid Muhaimin pada sekeping papan. Kemudian papan yang tegak lurus itu diturunkan hingga mendatar. Sayyid Muhaimin kini terlentang. Selepas itu mereka menutup muka Sayyid Muhaimin dengan kain. Lalu mencurahkan air tanpa henti di atas kain tersebut. Sayyid Muhaimin berasa seperti sedang lemas di dalam air. Tiba-tiba curahan air diberhentikan.

“Mengaku atau tidak?!” tanya salah seorang pakar soal siasat itu.

“Aku tak lakukannya!” tegas Sayyid Muhaimin.

Seksaan waterboarding itu diulang sekali lagi. Kali ini mereka menjirus lebih lama. Sayyid Muhaimin menanggung rasa kelemasan lebih lama sehingga menyebabkan dia meronta-ronta sekali sekala. Tetapi dia berjaya juga melepasi seksaaan itu untuk kali kedua.

“Mengaku atau tidak?!” tanya salah seorang pakar soal siasat itu.

“Aku tak lakukannya!” tegas Sayyid Muhaimin sekali lagi.

Pintu bilik soal siasat itu dibuka. Roshil muncul.

“Kenapa engkau begitu degil?!” bentak Roshil.

“Aku tak mungkin mengakui kesalahan yang tidak aku lakukan,” jawab Sayyid Muhaimin dengan termengah-mengah. Nafasnya sedikit sesak.

“Sampai sanggup mati?!” tanya Roshil.

“Ajalku milik ALLAH. Bukan di tangan manusia,” jawab Sayyid Muhaimin.

“Tetapi sekarang ajal engkau di tanganku. Aku yang akan menentukan engkau mati atau hidup sekarang!” balas Roshil.

“Jika aku mati kerana seksaan ini bukanlah hakikatnya aku mati kerana seksaan tersebut. Hakikatnya ialah aku mati kerana ALLAH menakdirkan aku mati melalui seksaan ini. Seksaan ini hanya penyebab kepada kematianku. Tetapi jika ALLAH menakdirkan umurku masih panjang lakukanlah seksaan apa pun semuanya pasti tidak mampu mencabut nyawaku!” jelas Sayyid Muhaimin.

Roshil merasa tercabar lantas mengarahkan waterboarding dilakukan sekali lagi terhadap Sayyid Muhaimin. Ia dilakukan lebih lama berbanding sebelumnya. Seminit, dua minit, tiga minit. Sayyid Muhaimin mula meronta-ronta kecil. Empat minit, Sayyid Muhaimin mula meronta-ronta sedikit keras. Lima minit. Tiba-tiba Roshil yang faham benar dengan seksaan itu mengarahkan ia diberhentikan. Sayyid Muhaimin berjaya mengatasi seksaan tersebut.

Kain yang menutup kepala Sayyid Muhaimin ditarik.

“Syaitan apa yang engkau pakai?!” tanya Roshil, menggelengkan kepala dalam kehairanan.

Sayyid Muhaimin hanya tersenyum lalu menjawab, “Hasbunallah Wani’mal wakil. Cukuplah ALLAH sebagai penolong kami, dan ALLAH adalah sebaik-baik pengurus.” Ayat 173 surah Ali’ Imran itu diucapkan oleh Sayyid Muhaimin dengan penuh keyakinan.

Roshil berlalu pergi dari situ.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.