Home Cerpen Seram/Misteri SIRI HANTU : PUAKA
SIRI HANTU : PUAKA
17/8/2016 15:18:13
6,913
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri


Jam dinding menunjukkan pukul 11.35 pagi. Di salah satu seksyen di bahagian pengeluaran kilang sarung tangan getah itu, seorang perempuan sedang memegang-megang pinggangnya. Dia sedang mengandung. Kandungannya genap tujuh bulan hari ini. Sejak sepuluh minit yang lalu bayi di dalam kandungannya itu menendang perutnya tidak henti-henti. Butir-butir peluh yang berbintik di dahinya pecah, mengalir melepasi hidung, turun ke dagu dan menitis ke lantai.

“Kau okey ke Mar?” tanya Awin, rakan sekerja yang mendekatinya selepas melihat keadaannya dari jauh tadi.

“Okey, okey,” jawab Mar sambil mengesat peluh di dahi dan muka. Kemudian meraba-raba perut dan pinggangnya.

“Betul ke kau okey? Aku tengok macam tak okey je,” kata Awin.

“Aku okey…” tegas Mar. “Cuma babyni menendang sejak tadi. Kuat. Sakit perut. Tangkap pinggang jugak. Tak biasa macam ni,” jelasnya.

Mar tersenyum dan mengangguk setuju.

Awin melihatjam dinding. “Lagi 10 minit rehatlah. Rehat lebih sikit nanti. Kalau sempat, tidurlah kat surau tu sekejap.”

Mar mengangguk. Tetapi matanya tiba-tiba terbeliak. Seluruh anggotanya kaku sekejap.

“Kenapa Mar?” tanya Awin yang kehairanan.

“Apa benda belakang kau tu?” tanya Mar dengan nada suara terketar-ketar. Mukanya pucat.

Mar melihat seorang perempuan sedang berdiri membelakangi mereka. Rambut perempuan itu panjang mengurai melepasi bahu. Berpakaian tidur warna hitam. Sebaik Mar memberitahu keberadaannya di situ kepada Awin, kepala perempuan itu berputar 180 darjah. Kelihatanlah mukanya yang hancur dan berdarah. Hidung dan mulutnya yang pecah dan berdarah. Giginya yang patah-patah mengeluarkan darah dan diselaputi oleh sesuatu berwarna kelabu. Baju tidurnya basah dengan darah yang hanyir.

Bau hanyir darah itu menyucuk hidung Mar. Badan perempuan itu berpusing 180 darjah juga. Menampakkan perutnya yang terlopong dengan usus yang terjuntai-juntai dipenuhi darah. Mengangkat tangan lalu mencekau-cekau Mar.

Semuanya berlaku dalam sekelip mata.

Awin berpusing untuk melihat apa yang dimaksudkan Mar. “Aku tak nampak apa…”

Mar yang terkejut rebah. Mujur dia berjaya disambut oleh Awin yang tidak sempat menghabiskan kata-katanya.

“Tolong!” jerit Awin.

Rakan-rakan sekerja mereka datang ke tempat kejadian. Mereka menolong mengangkat Mar ke kafeyang berada dekat dengan seksyen itu.

“Darah!” jerit Salmah yang tolong mengangkat Mar. Dia mengangkat bahagian peha Mar.Melihat tangannya selepas Mar diletakkan di meja kafe yang berhampiran dan bertentangan dengan pintu yang memisahkan bahagian pengeluaran dan kafe.

Kelihatan darah keluar banyak dari kelangkang Mar. Mengalir di atas meja dan menitis ke lantai.

“Cepat telefon ambulans!” kata Awin.

Mar yang tadi masih bergerak-gerak tanpa sedikit suara kini terbaring kaku. Darah terus keluar banyak dari kelangkangnya, memenuhi meja dan menitis ke lantai. Di lanta.i tompokan genangan darah itu semakin membesar.

Awin melihat lantai dari pintu ke meja itu. Ada titis-titis darah hampir sebaris.

Rehat sudah bermula. Kafe itu mula dikunjungi pekerja. Meja di mana Mar berada dikerumuni rakan-rakan kilangnya yang hendak melihat dan ambil tahu apa yang berlaku kepadanya. Ada yang kekal di situ, menahan lapar untuk bersama Mar, Awin dan mereka yang mula-mula mengangkat Mar ke situ. Ada juga yang bergegas ke tandas hendak muntah kerana tidak tahan melihat darah yang banyak dan hanyir itu. Ada juga yang sekadar melihat sepintas lalu dan berlalu untuk ke meja-meja lain untuk makan tengahari. Ada juga yang langsung tidak melihat Mar dan terus sahaja membeli nasi dan makan selamba.

“Bagi ruang pada dia!” laung Azi, seorang penyelia perempuan yang baru datang. “Tak bernyawa nanti. Panas sama.”

Raung ambulans kedengaran sayu-sayu di kejauhan.

Prak! Prak! Prak!

Bunyi benda pecah kedengaran nyaring. Semua saling berpandangan.

Prak! Prak! Prak!

Bunyi itu kedengaran lagi.

“Lantai pecah!” jerit salah seorang daripada mereka sambil jarinya menunjuk ke arah lantai dari pintu yang menyambungkan bahagian pengeluaran dan kafe ke meja di mana Mar diletakkan.

“Lantai terangkat!” jerit salah seorang lagi sambil berundur dari meja Mar diletakkan dengan jari menunjuk bawah meja.

Semua menjauhkan diri dari meja itu. Hampir seluruh lantai di bawah meja itu terus retak, pecah dan kemudian terjungkit.

Mereka saling berpandangan. Pelbagai andaian menerpa benak masing-masing.

Dua barisan panjang pekerja baru beratur di hadapan dua buah meja di belakang kafe itu. Mereka adalah kumpulan pertama pekerja asing yang akan bekerja di kilang sarung tangan getah itu. Pekerja asing lelaki semua dari Bangladesh. Sementara pekerja asing perempuan pula semua dari Indonesia. Mereka berbaris untuk mengambil set pakaian seragam bagi memulakan kerja hari itu.

Pekerja-pekerja tempatan yang bersarapan di kafe ada yang memerhati dan ada yang tidak peduli dengan kehadiran pekerja asing itu. Pelbagai perasan bercampur baur di hati mereka yang ambil peduli dengan perkembangan baru itu. Marah, meluat dan tidak senang antara perasan yang menguasi hati mereka. Masing-masing berasa periuk nasi mereka terancam. Jika ada kumpulan pertama tentua ada kumpulan kedua, ketiga dan seterusnya. Jika ada tawaran skim berhenti secara sukarela yang pertama tentulah ada tawaran begitu lagi selepas ini kepada pekerja-pekerja tempatan. Jika tidak diambil skim tersebut, surat berhenti sudah pasti akan diberikan olehh pihak pengurusan.

“Berapa orang tu?” tanya Zahar.

“Kalau ikut kata Encik Jay, 150 orang,” jawab Azim.

“Sama dengan mereka yang ambik vss tu,” kata Zahar.

“Betul,” jawab Azim.

“Kau tengok bangla-bangla tu. Liar je mata tengok budak-budak tu,” kata Fadil muncung mulutnya sedetik kepada gadis-gadis kilang warga tempatan yang duduk di meja berdekatan barisan pekerja asing itu.

“Dia orang pun gedik,” kata Zahar setelah melihat gelagat gadis-gadis kilang warga tempatan yang bergelak ketawa dan melambai-lambai manja kepada pekerja-pekerja asing lelaki Bangladesh itu.

“Aku rasa macam nak korek je mata bangla-bangla tu,” kata Fadil.

“Cewek-cewek indon tu cantik-cantik,” kata Adib yang sejak tadi memerhati pekerja asing perempuan Indonesia itu. “Ada yang rupa dan badan macam pelakon sinetron!” Sudah bermain mata dengan beberapa orang daripada mereka.

“Betullah…” sokong Aman.

“Kau orang berdua ni. Ke situ pulak!” marah Zahar.

Adib dan Aiman tersengih.

“Dia orang bujang, Zahar… Kita yang dah kahwin ni yang kena jaga. Terjerat, mampus!” kata Azim.

Selepas mengambil set pakaian seragam, pekerja-pekerja asing itu terus menukar baju di bilik persalinan atau tandas lalu segera memulakan kerja. Kini bilik persalinan dan tandas itu lengang. Azi yang baru memulakan kerja 10 minit yang lalu tiba-tiba berasa sakit perut. Dia bergegas ke tandas. Tetapi selepas duduk lama di atas mangkuk tandas, tiada apa pun yang keluar dari perut kecuali angin.

Dia keluar jamban. Serentak itu terdengar bunyi hentakan bertalu-talu yang kuat dari salah satu jamban. Dia menolak pintu-pintu jamban satu per satu. Tiada sesiapa di dalam jamban yang sudah diperiksanya itu. Kini dia di hadapan pintu jamban terakhir sebelah kiri.

Bunyi hentakan kuat yang bertalu-talu kedengaran lagi. Mengejutkannya yang berada di hadapan pintu jamban itu. Ia memang datang dari dalam jamban itu.

“Siapa di dalam?” laung Azi.

Tiada jawapan.

“Boleh saya bantu?” tanya Azi.

Masih tiada jawapan.

“Apa yang berlaku?” tanya Azi lagi.

Tiada jawapan juga. Tetapi pintu jamban itu ditolak dari dalam. Bila pintunya terbuka, berdiri seorang gadis bersanggul dengan muka berbekas tangis sambil memegang penutup kepala.

“Kamu pekerja Indonesia?” tanya Azi.

Gadis itu mengangguk.

“Kenapa dengan kamu?” tanya Azi.

“Bapa saya meninggal malam tadi. Saya sedih sebab tak dapat pulang,” jawab gadis itu.

“Oh begitu. Saya simpati dengan kamu. Tetapi saya rasa arwah dan keluarga kamu tentu faham keadaan kamu. Kamu bukan sengaja tidak mahu pulang tatapi kamu cari rezeki di sini,” pujuk Azi.

Gadis itu mengangguk. Barulah nampak dia tenang.

“Yang penting kamu kerja sungguh-sungguh. Capai apa yang kamu impikan,” kata Azi lagi.

“Baik kak…”

“Kak Azi,” kata Azi.

“Baik Kak Azi,” kata gadis itu.

“Apa nama kamu?” tanya Azi.

“Sri,” jawab gadis itu.

Maznah bekerja sif malam pada hari itu. Selepas makan maggi kuah, perutnya serta merta memulas-mulas.

“Itulah… Aku dah cakap jangan makan maggi tu. Tak baik untuk baby. Tengok sekarang perut pun dah memulas. Baby kau tak boleh terimalahtu. Makan terus nak berak!” Awin berleter. Dia main cakap. Tak peduli faktanya betul atau tidak.

Maznah tersengih, bangun dan berlari terkengkang ke tandas berdekatan kafe itu. Awin dan lain-lain yang semeja dengannya ketawa melihat gelagatnya itu.

“Mengidam ke dia yang nak mentedarah!” leter Awin lagi.

Maznah kembali ke kafe selepas membuang air besar. Tetapi Awin dan lain-lain sudah tiada di meja. Meja-meja di kafe itu pun semuanya sudah kosong. Hanya seorang pekerja kafe yang sedang membersihkan meja.

Dia mengambil penutup kepalanya yang tertinggal di atas kerusi. Ketika dia mengambil penutup kepala itu, tidak semena-mena fikirannya teringatkan apa yang berlaku kepada Mar di meja itu. Tengkuknya meriding dan terus segera beredar dari situ.

Pekerja kafe yang membersihkan meja merenung pelik Maznah yang berjalan hampir berlari menuju ke pintu.

“Awal kau orang masuk hari ni,” kata Maznah sebaik melintas belakang Junaidah yang sedang sibuk menarik sarung tangan getah dari model tangan.

Junaidah yang dikenali becok itu diam tidak menjawab. Dia terus sahaja melakukan kerjanya. Membuatkan Maznah berasa hairan. Tetapi Maznah tidak memikirkan sangat hal itu. Dia terus juga melangkah ke bahagian di mana dia bekerja.

“Aku dah lama tunggu kau…”

Maznah berhenti melangkah. Terkejut dengan suara garau Junaidah.

Suara Junaidah ke siapa tu, detik hati Maznah. Sekarang dia was-was. Tengkuknya meriding seperti tadi. Maznah berpusing perlahan-lahan. Mendapati Junaidah sedang sibuk menarik sarung tangan.

“Apa yang kau cakap tadi Ju? Aku tak faham? Kau dah lama tunggu aku?” tanya Maznah.

Junaidah diam sahaja dan terus melakukan kerjanya. Kebetulan bunyi nyaring bergema di bahagian pengeluaran itu. Entah dari mesin yang mana.

“Kau tak dengar ke?” tanya Maznah, meninggikan suaranya agar dapat didengari Junaidah.

Tetapi Junaidah tetap membisu dan terus melakukan kerjanya.

“Eh tak dengar ke?” tanya Maznah, sudah berada di sisi Junaidah dan menampar bahunya.

Junaidah berpaling. Melihat muka Maznah tanpa air muka.

“Apa kau cakap pada aku tadi?” tanya Maznah semula.

Junaidah diam. Kemudian perlahan-lahan wajahnya yang tidak berair muka itu berubah senyum. Senyuman itu pula sifatnya terasa menakutkan.

“Eh, kenapa kau senyum? Seram aku aih!” kata Maznah. “Apa kau cakap tadi? Kau kan yang cakap?”

Junaidah terus tersenyum. “Aku dah lama tunggu kau…”

“Apa maksud kau?” tanya Maznah.

Junaidah tersenyum. “Maksud aku, aku dah lama tunggu saat ini.”

Sebaik menghabiskan kata-kata itu, muka Junaidah terus berubah menakutkan. Muka yang dilihat oleh Mar dulu.

Tersirap darah Maznah. Dia yang terkejut, kaku sesaat sebelum lari lintang pukang. Berlari keluar ke kafe. Tetapi terjatuh bila kakinya seperti disentap oleh satu tangan dingin yang muncul dari lantai kafe. Dia jatuh tergolek dan akhirnya terlentang. Matanya terbelalak bila nampak hantu itu sedang tergantung di siling kafe. Hantu itu turun pantas dan terus melanggar perutnya. Darah keluar dari kelangkangnya. Membasahi lantai berdekatan meja berhampiran dan bersetentangan pintu antara bahagian pengeluaran dan kafe. Tidak lama kemudian, lantai-lantai itu pun retak, pecah dan terjungkit.

“Tolong! Aduh” raung Maznah sebelum pengsan.

Pekerja-pekerja kafe bergegas mencari punca suara.


Bilik persalinan perempuan itu lengang bila Azi masuk ke dalamnya. Dia mahu memeriksa jika ada pekerja shif pagi yang sepatutnya sudah memulakan kerja masih terkial-kial dan bersenang-senang di situ.

“Lewat kamu balik hari ni,” tegur Azi.

Hanya Sri yang ada di situ. Dia yang bekerja shif malam sedang menyalin pakaian.

“Lambat sikit kak. Pening. Muntah di tandas tadi,” jawab Sri.

“Kamu tak sihat?” tanya Azi.

“Sikit saja kak,” jawab Sri.

“Pergilah klinik nanti. Ha, cepat. Nanti tertinggal bas,” kata Azi.

“Tak apa. Ada orang ambil saya nanti,” jawab Sri.

“Siapa? Boyfriend?” tanya Azi.

Sri tersenyum.

“Baru beberapa bulan di sini sudah ada boyfriend?” kata Azi.

Sri tersenyum.

“Orang sini ke?” tanya Azi.

Sri mengangguk.

“Saya kenal?” tanya Azi lagi.

Sri mengangguk.

“Siapa?” Azi terus bertanya.

“Nantilah saya beritahu bila sampai masa nanti,” jawab Azi.

Azi mengangguk. Tidak memaksa.

“Apa jadi dekat kafe tu kak?” tanya Sri.

“Entalah. Sudah dua orang turun darah dekat situ. Lepas tu lantai habis terjungkit. Tempat sama pulak tu,” beritahu Azi.

“Kak Mar dan Kak Maznah tu kawan kak kan?” tanya Sri.

Azi mengangguk. “Bukan setakat kawan tetapi kawan rapat. Tiada rahsia antara kami.”

“Apa jadi pada mereka sekarang?” tanya Sri.

“Mar terus berhenti kerja. Babynya mati dalam kandungan. Maznah pulak minta cuti panjang. Kandungannya keguguran. Mereka berdua kata mereka nampak hantu perempuan.”

“Saya pun dengar macam tu,” kata Sri.

“Ada orang kata tempat tu berpuaka. Meja pun dah tak diletak di situ. Tetapi saya tak percaya,” kata Azi.

“Kenapa kak tak percaya?” tanya Sri.

“Entahlah. Kebetulan saja semua tu. Mungkin dia orang stress. Itu yang nampak macam-macam,” jawab Azi.

“Mungkin juga kata orang tu betul, kak. Mungkin betul lantai tu makan darah. Mungkin betul ada sesuatu bawah lantai tu,” kata Sri pula.

“Kak pergi dululah. Nanti nahas kalau MMnampak kak tak ada di tempat kak,” kata Azi.

Sri mengangguk.

Mereka berdua keluar dari bilik persalinan itu. Seorang pekerja kilang wanita yang berada di hadapan pintu bilik persalinan itu menegur Azi dengan ragu-ragu.

“Hei, baru masuk dah mai sini?” tegur Azi sambil menggeleng.

“Saya pening. Nak ambik ubat dalam loker,” jawab pekerja perempuan itu.

“Nanti masuk kerja balik. Cepat sikit,” kata Azi dan terus beredar dari situ.


Telefon bimbit di atas meja sisi itu berbunyi. Azi mencapai telefon bimbitnya itu selepas terjaga dari tidur. Dia menjawab panggilan telefon itu.

“Tolong saya kak…” Suara Sri bergema di talian.

Azi yang terkejut manjadi segar. “Kenapa Sri?” tanyanya kalut.

Mahmud, suami Azi yang tidur di sebelah, terjaga. “Kenapa?” tanyanya.

Azi tidak menghiraukan pertanyaan Mahmud. Dia lebih risaukan Sri yang sudah dianggapnya seperti adik sendiri itu.

“Kenapa Sri?” tanyanya lagi selepas pertanyaan tadi tidak dijawab.

“Saya nampak hantu tu kak? Dekat tandas. Hantu tu nak bunuh saya. Tolong!”

Suara Sri menjerit-jerit meminta tolong bergema di talian.

“Sri! Sri!” panggil Azi.

Talian terputus.

Azi gopoh gapah turun katil.

“Awak nak pergi mana?” tanya Mahmud.

“Kilang. Sri dalam masalah,” jawab Azi.

“Saya temankan awak,” kata Mahmud.

“Eloklah tu. Awak drive laju sikit. Cepat sikit sampai,” kata Azi.

Suami isteri itu sampai di kilang. Azi mencari Sri di tandas. Pintu jamban ditolak satu per satu. Kini dia menolak pintu jamban terakhir. Jamban paling hujung sebelah kiri. Terkejut mendapati ada kesan darah pada dinding tepi dan lantai jamban itu. Tetapi Sri tiada di situ. Ini menyebabkan Azi risau dengan kemungkinan Sri ditimpa kecelakaan. Dia mencari di bilik persalinan pula.

Mahmud yang duduk di meja berhampiran dan bersetentangan dengan pintu yang menghubungkan bahagian pengeluaran dan kafe itu sakit perut secara tiba-tiba. Dia bergegas ke tandas.

Azi mengeluh. Sri tiada di bilik persalinan juga. Dia teringatkan kemungkinan ada pekerja kafe nampak kelibat Sri. Dia kembali ke kafe. Sampai di kafe, hatinya lega bila melihat Sri duduk di meja berhampiran dan bersetentagan dengan pintu yang menghubungkan bahagian pengeluaran dan kafe itu.

“Di sini rupanya kamu…” kata Azi.

“Saya pergi surau tadi kak,” jawab Sri.

“Awin leader tu bagi kamu rehat?” tanya Sri.

Azi mengangguk.

“Apa yang terjadi?” tanya Azi.

“Saya nampak hantu,” jawab Sri.

“Dekat mana? Tandas hujung?” tanya Azi.

Sri mengangguk.

“Darah tu darah kamu?” tanya Azi.

Sri mengangguk.

“Darah apa tu?” tanya Azi hairan, tidak melihat kecederaan pada Sri.

Sri memegang perutnya.

“Kamu turun darah?” tanya Azi, terkejut.

Sri mengangguk. “Saya mengandung kak.”

Azi terkejut lebih besar.

"Sudah berapa bulan?” tanya Azi.

“Lima bulan lebih kak,” jawab Sri. “Kak rasa perut saya. Babytengah menendang.”

Azi meletakkan tapak tangannya pada perut Sri. “Betullah…” Kegembiraan menyusup masuk ke dalam hatinya. Ini kali pertama dia merasa bayi di dalam kandunagn menendang-nendang tangannya. Dia masih belum dapat zuriat sampai sekarang.

“Rasa kak?” tanya Sri.

Azi mengangguk. “Nasib baik tak jadi apa-apa…”

Seorang pekerja kafe yang membasuh pinggan sesekali melihat aneh ke arah Azi.

“Siapa bapanya?” tanya Azi.

Mahmud muncul dari tandas. Azi dan Sri memandang Mahmud. Mahmud mendekati mereka berdua.

“Saya dah jumpa Sri, bang,” beritahu Azi. Tapak tngannya masih melekap pada perut Sri.

Mahmud mengangguk. Dia melihat Sri. Sri memandang ke lantai.

“Nasib baik dia okey,” kata Azi lagi.

Kelihatan darah meleleh pada kaki Sri. Membasahi stokin dan kasut putihnya.

Boyfriend Sri tahu?” tanya Azi.

Sri mengangguk tetapi sedetik kemudian dia menangis sehingga badannya bergoncang. Dia menekup muka dengan kedua belah tapak tangan.

“Kenapa Sri?” tanya Azi.

“Dia tak mahu bertanggungjawab. Dia suruh saya gugurkan bayi ni,” jawab Sri.

“Kenapa?” tanya Azi, nada suaranya tinggi. Marah. “Ini kan darah daging dia!”

“Dia dah bertunang,” jawab Sri.

“Tunang dia tahu?” tanya Azi.

Sri mengangguk. “Tunang dia pernah jumpa saya. Dia datang dengan kawan-kawan dia. Mereka bersumpah akan bunuh saya jika saya tak tinggalkan tunang dia.”

Azi tersentak. Teringatkan sesuatu.

“Tunang dia tahu Sri mengandung?” tanya Azi.

Sri mengangguk. “Dia sepak perut saya.”

Azi tersentak lagi. Menelan air liur. “Boyfriend Sri tahu tunang dia buat macam tu?”

Sri mengangguk. Terus menangis teresak-esak.

“Apa dia kata?” tanya Azi.

“Dia sayangkan saya tetapi dalam masa yang sama minta saya gugurkan kandungan tu. Dia berjanji akan jadikan saya isteri kedua selepas kahwin dengan tunang dia tu. Saya tak nak gugurkan anak ni. Kami bergaduh di tempat parking…”

Azi dan Mahmud berpandangan. Muka mereka berubah, tertanya-tanya.

“Siapa boyfriend Sri?” tanya Azi.

Sri meleraikan tekupan. Dia mengangkat wajahnya. Selepas melihat Azi seketika, dia mengangkat pula tanganya perlahan-lahan dan terus menunjuk ke arah Mahmud.

Azi dan Mahmud terkejut.

Azi cuba melepaskan tapak tangannya dari perut Sri. Tetapi tapak tangannya terus melekap di situ.

“Siapa kamu, Sri?" tanya Azi yang mendadak ketakutan.

Sri tersenyum dan mukanya berubah perlahan-lahan menjadi muka gadis lain.

“Dewi!” jerit Azi.

Muka Dewi itu berubah pula menjadi wajah hantu yang pernah dilihat oleh Mar dan Maznah itu. Azi hendak lari dari situ tetapi tapak tangannya yang melekap pada perut Dewi itu ditarik kasar oleh sesuatu. Dari perut Dewi itu keluar bayi bergigi tajam yang terus menggigit tangan Azi sehingga putus. Azi terjelepuk ke lantai yang digenangi darah dan meraung kesakitan yang jeritannya itu tidak dapat didengar oleh sesiapa. Semuanya berlaku dengan amat pantas. Azi ditarik perlahan-lahan masuk ke dalam lantai yang mula retak, pecah dan terjungkit. Ketika itulah dia terkenangkan peristiwa beberapa tahun dahulu…


“Laki aku dah ikut tunang kau. Memang dia ada perempuan lain. Perempuan indon. Kerja kilang. Namanya Dewi,” beritahu Mar.

“Perempuan indon tu dah mengandung pun. Tapi aku percaya mesti perempuan indon tu perangkap Mahmud. Kau tahulah perempuan indon ni…” kata Mar lagi.

“Laki kau tahu di mana perempuan indon tu duduk?” tanya Maznah.

Mar mengangguk laju.

“Kita pergi jumpa dia. Celaka sungguh!” kata Azi yang tidak pernah meragui cinta Mahmud kepadanya. Dia percaya sama ada Mahmud terkena guna-guna atau diperangkap oleh perempuan Indonesia itu.

Tiga kawan baik itu ke rumah sewa Dewi. Sebaik pintu dibuka mereka terus menyerang Dewi. Azi menerajang perut Dewi sepuas-puasnya.

“Kau jangan dekati tunang kawan aku ni lagi! Faham?!” jerit Mar.

“Kalau kau dekati dia lagi, kami bersumpah akan bunuh kau!” tegas Maznah.

“Aku tahu kau perangkap dia. Aku tahu anak dalam perut ni anak orang lain. Kau jadikan dia kambing hitam!” marah Azi lalu menampar muka Dewi.

Darah mengalir dari kelangkang Dewi…


Demi melihat apa yang berlaku kepada Azi, Mahmud terus hendak melarikan diri. Tetapi kakinya tidak mampu digerakkan. Melekat pada lantai yang digenangi oleh darah yang menitis dari kelangkang Dewi. Darah itu membentuk muka-muka Dewi dan terus menarik Mahmud ke bawah.

Mahmud cuba melawan tetapi tidak berdaya. Dia terlutut kemudian tertiarap. Darah Dewi terus menyelaputi Mahmud sehingga pada kepalanya. Kemudian kepala Mahmud itu dihentak pada lantai berkali-kali. Ketika itulah bayangan tentang apa yang dilakukannya kepada Dewi berputar semula dalam fikirannya…

Dewi dapat mencari Mahmud di tempat lepak kebiasaannya. Mahmud yang sedang berbual dengan rakannya di kedai mamak itu terkejut. Segera membawa Dewi ke tempat letak kereta.

“Abang dah bertunang?” tanya Dewi.

“Mana ada,” jawab Mahmud.

“Tadi tunang abang dan kawan-kawan dia datang marah saya,” beritahu Dewi, air matanya bercucuran.

Mahmud tersentak. “Err… memang abang dah bertunang tetapi abang sayangkan Dewi.” Terpaksa mengaku.

“Sampai hati abang buat saya macam ni…” kata Dewi.

Mahmud baru perasan pakaian berwarna gelap Dewi yang berdarah di kelangkang.

“Kenapa ni?” tanya Mahmud.

“Tunang abang tendang perut saya. Nasib baik tak gugur...”

“Kamu tak gugurkan lagi anak ni? Bukan ke siang tadi kamu sepatutnya pergi klinik tu!” marah Mahmud.

“Saya tak mahu gugurkan!” balas Dewi.

“Aku kata gugurkan!” bentak Mahmud.

“Tak mahu! Tak faham?!” tegas Dewi.

Mahmud menampar muka Dewi. Dewi terkejut dan terus berlari ke teksi sambil menjerit.

“Saya akan lapor pada polis abang rogol saya malam tu!”

Mahmud berjaya mengejar dan memujuknya. Dewi termakan pujuk dan bersetuju dihantar pulang oleh Mahmud.

“Jadi macam mana ni bang? Abang kena bertanggungjawab pada saya,” kata Dewi.

Mahmud mengangguk.

“Bagi abang kahwin dulu dengan dia. Lepas tu abang kahwin Dewi pula,” jawab Mahmud.

Dewi berfikir lama. “Eh, kita kat mana ni bang?”

Mahmud memberhentikan kereta di pinggir hutan kecil. Dia membelasah Dewi di situ. Melepaskan geramnya yang dipendam sejak di tempat letak kereta lagi. Sambil membelasah Dewi tanpa belas kasihan mulutnya tidak berhenti berkata-kata.

“Nak ugut aku konon!”

“Dasar perempuan indon!”

“Ini kau dapat kalau kau ugut aku lagi!”

“Faham?!”

Pertanyaannya itu tidak dijawab Dewi. Baru dia tersedar Dewi sudah pun terkulai di tangannya. Dia panik dan percaya Dewi sudah mati memandangkan mukanya yang penuh darah dihentak ke papan pemuka kereta.

Dia teringatkan seseorang. Segera menghubungi kawannya yang juga seorang pembunuh upahan. Pembunuhan upahan itu datang.

“Kau buatlah apa yang patut pada mayat dia ni. Aku tak mahu ambik tahu. Ini cheque. 10 ribu,” kata Mahmud kepada pembunuh upahan itu.

Mahmud beredar dari situ selepas menyerahkan tubuh Dewi kepada pembunuh upahan itu…


Azi terus ditarik ke dalam lantai sehingga mukanya terbenam ke lantai. Hanya rambutnya yang panjang mengerbang pada permukaan lantai. Raungannya tadi lama kelamaan senyap. Kedengaran tulang-tulangnya berderak. Darahnya membuak naik ke permukaan lantai.

Kepala Mahmud yang dihentak berkali-kali itu pecah. Otaknya terburai keluar. Dia mati serta merta di situ.

Dewi yang duduk di kerusi tersenyum memandang apa yang berlaku kepada Sri dan Mahmud. Kemudian dia perlahan-lahan hilang.

Pekerja kafe menjerit terkejut sebaik melihat mayat Mahmud dan rambut Azi di lantai itu. Dia ke situ untuk mengalihkan meja yang tiba-tiba berada semula di tempat itu. Dia segera menghubungi polis. Polis mengorek lantai di bawah meja itu. Di bawah konkrit mereka menjumpai mayat Azi dan tulang belulang Dewi.


Pembunuh upahan itu memasukkan Dewi ke dalam bonet keretanya. Dia sampai di hadapan kilang sarung tangan getah itu.

“Mat, buat apa datang malam-malam buta ni?” tanya pengawal keselamatan.

Pembunuhan upahan yang dipanggil Mat itu menyerahkan sebungkus KFC kepada pengawal keselamatan itu. Pengawal keselamatan itu mengambil bungkusan KFC itu.

“Aku nak tengok kafe tu. Tengok budak-budak Indonesia tu buat elok ke tak. Kalau tak aku kena menjawab dengan tauke nanti,” jawab Mat, mandur kepada kontraktor yang mendapat projek menaik taraf kafe kilang itu.

“Malam-malam macam ni? Kuat kau kerja,” kata pengawal keselamatan itu.

“Dia orang baru buat konkrit tutadi kan?” tanya Mat.

Pengawal keselamatan itu mengangguk. “Dia orang pun baru balik saja.”

“Ada barang dalam bonet aku nak letak kat situ jugak. Nak guna esok pagi,” kata Mat.

Pengawal keselamatan mengarahkan rakan sekerjanya membuka pagar.

“Tak nak check bonet ke? Manalah tahu nanti aku keluar penuh bonet dengan sarung tangan seludup pulak,” kata Mat.

“Aku percaya kau. Berapa bulan dah kau buat kerja kat sini. Sejak up grade tandas dulu,” jawab pengawal keselamatan itu.

Mat tersenyum. “Aku masuk dulu.”

Mat masuk ke dalam kawasan kilang dan terus ke kafe. Parkir kereta di belakang kafe. Mengangkat masuk Dewi ke dalam kafe. Lantai konkrit itu masih basah. Ketika dia berkira-kira hendak menimbus Dewi dengan simen konkrit, Dewi yang terjaga beberapa minit yang lalu terus bangun dan berlari ke tandas. Mat mengejar Dewi. Memeriksa tandas itu satu per satu. Akhirnya menjumpai Dewi di tandas hujung sebelah kiri.

Dewi cuba meluru keluar tetapi ditolak masuk semula oleh Mat.

“Aku ingat kau dah mati! Rupanya hidup lagi!”

Mat meluru ke arah Dewi. Menarik rambut dan menghentak kepala Dewi ke dinding tandas sehingga pecah. Dewi mati di situ. Mat menanggung Dewi ke lantai berdekatan pintu yang menghubungkan bahagian pengeluaran dan kafe lalu menimbusnya dengan simen konkrit.

Selepas melaksanakan tugasnya itu, Mat memandu pulang ke rumahnya. Tiba di salah satu simpang di tengah bandar, dia ditembak mati oleh pembunuh upahan lain.

Pembunuh upahan lain itu menelefon seseorang. “Aku dah bunuh dia. Macam kau suruh.” Talian telefon dimatikan.

Di talian sebelah sana, Mahmud tersenyum lega.

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.