Sayap penjara itu kelihatan begitu menyeramkan dan
menjijikkan. Suasananya kelam dan udaranya pengap, tengik dan hancing.
Lantainya yang kotor dipenuhi genangan air kencing dan ratusan kala jengking
serta ular hitam yang merayap dan melingkar di sana sini. Silingnya hampir
keseluruhan dilitupi oleh sarang labah-labah. Ratusan labah-labah merayap-rayap
di atas sarang-sarang itu. Dindingnya pula dipenuhi dengan palitan tahi kering
dan basah di sana sini. Di atas permukaan lantai, siling dan dinding itu
samar-samar kelihatan wafak-wafak yang mengandungi campuran ayat Al-Quran dan
mantera sihir. Wafak-wafak itu sesekali bercahaya merah seolah-olah sedang
bernafas.
Sel-sel penjara tanpa apa-apa kemudahan walaupun
mangkuk tandas itu dipenuhi dengan banduan yang kelihatan bercakap-cakap dan
menjerit-jerit sendirian, menghentak-hentak kepala pada dinding, lantai atau
jeriji besi sehingga berdarah dan memeluk lutut sambil menggoyangkan badan
dalam keadaan gelisah dan ketakutan. Sel-sel penjara itu lebih mirip kepada
hospital sakit jiwa. Hanya seorang banduan sahaja yang ditempatkan di sel
penjara paling hujung nampak berkelakuan lain. Banduan itu ialah Karim.
Karim kelihatan tenang. Dia bersila dan memejamkan
mata. Menghela dan menghembus nafas secara berkadar, memusatkan fikiran kepada
hajat disertai dengan pujian panjang di dalam hati. Dia sedang bertafakur sejak
beberapa jam yang lalu.
Pujian berupa pengakuannya bahawa lelaki misteri itu
adalah tuannya dan tuan lelaki misteri itu adalah tuhannya. Tiada tuhan yang
patut disembah melainkan tuhan lelaki misteri itu dan memanjatkan kesyukuran
atas pelantikannya untuk menyempurnakan agama yang sudah jauh terpesong.
Beberapa orang wadar muncul di hujung lorong yang
kelam. Mereka berjalan sederap dengan langkah bongkak. Melihat banduan-banduan
dengan pandangan dan muka penuh kebencian dan kebengisan. Salah seorang
daripada mereka menarik cota dan sengaja menyeretnya ke jeriji besi sel. Bunyi
seretan cota yang membingitkan menyebabkan beberapa orang banduan yang duduk
memeluk lutut sambil menggoyangkan badan itu terkencing di dalam seluar.
Kini bunyi seretan cota diganti pula dengan bunyi
hentakan bertalu-talu cota pada jeriji besi. Kumpulan wadar itu berhenti
berjalan dan kini berdiri di hadapan sel yang menempatkan Karim.
“Hei orang tua, dah sampai masa mampus kau!” kata
salah seorang daripada kumpulan wadar. Dia berbadan paling tegap, tinggi dan
berdiri di hadapan sekali.
Karim kekal bertafakur. Tidak terganggu walau sedikit
pun.
“Buat alim… Alim taik kucing! Sesat! Neraka!” sambung
seorang lagi wadar, badannya juga tegap, sedikit rendah dan berdiri di sisi
kanan selangkah di belakang wadar yang mula-mula bersuara keras tadi.
Karim membuka mata selepas diherdik begitu. Dia
melihat kumpulan wadar itu dengan pandangan redup lalu menguntumkan senyuman
hangat.
“Cepat! Masa mampus kau dah sampai!” kata wadar
berbadan paling tegap.
Karim mengangguk. “Izinkan aku solat dulu.”
“Macam-macamlah kau ni. Solat apa?” tanya wadar
berbadan paling tegap.
“Solat subuh,” jawab Karim.
“Ya lah, ya lah… cepat!” jawab wadar berbadan paling
tegap.
Kumpulan wadar itu mengomel-ngomel marah. Mereka
menunggu di luar sel. Sementara Karim mendirikan solat subuh. Bacaan-bacaan
solatnya yang memuji kebesaran Allah SWT dan Nabi Muhammmad SAW diganti dengan
memuji tuan lelaki misteri dan lelaki misteri itu sendiri. Wadar-wadar itu
tanpa bersembunyi mencaci bacaan Karim itu.
Selesai solat subuh, Karim pun dibawa keluar dari sel.
Diiringi oleh kumpulan wadar itu ke bilik gantung. Di luar, awan gelap
membuak-buak di dada langit. Ribut menggila tanpa diduga. Kilat pancar memancar
dan guruh berlentam-lentum. Di belakang kawasan penjara kelihatan lelaki
misteri itu sedang berdiri tegak. Di hadapan pagar belakang penjara kelihatan
Azlan dan sekumpulan pemuda berjubah, berserban dan berkain rida’ sedia
menunggu.
“Aku akan selamatkan kau…” kata lelaki misteri itu.
Suaranya bergema di telinga Karim.
Karim yang dalam perjalanan ke bilik gantung berhenti
melangkah. Mulut Karim bergerak halus, bersuara hampir berbisik, membalas
kata-kata lelaki misteri itu; “Kepada kau aku berharap…”
Pertempuran sengit berlaku di antara lelaki misteri
dengan kumpulan yang diketuai Azlan.
Bermacam jenis ilmu batin digunakan dalam pertempuran tersebut. Kini
tinggal lelaki misteri dan Azlan sahaja yang masih berdiri tegak. Lelaki
misteri itu masih gagah walaupun mengalami kecederaan dalaman. Manakala Azlan
nampak keletihan dan kurang berdaya. Darah menitis dari hidung dan meleleh dari
mulut Azlan. Kawan-kawannya bergelimpangan tidak sedarkan diri. Mereka berdua
dalam tempoh bertenang.
Karim sudah berada di dalam bilik gantung. Tidak
berapa lama kemudian dia dibawa pula naik ke atas lantai pintu perangkap. Lalu
tali gantung pun dilingkarkan pada lehernya. Mulut Karim terus bergerak halus
mengucapkan; “Kepada kau aku berharap…”
Lelaki misteri itu berlari kencang. Bertukar menjadi
bebola api berwarna putih dan menyerang Azlan. Serta merta kawasan itu membahang
kepanasan. Pokok-pokok, rumput dan lalang di sekitar kawasan tersebut hangus
terbakar.
Azlan mengukuhkan kekuda. Bertapak kejap dan stabil.
Pantas melilitkan kain rida’ ketat-ketat pada genggaman tangan. Bebola api putih
yang meluncur kencang semakin menghampiri Azlan. Pada jarak hampir dua depa,
Azlan melibaskan kain rida’. Hujung kain
itu menujah keras bebola api putih. Tetapi bebola api putih itu tidak
terpelanting atau pecah sebaliknya membakar kain rida’ tersebut. Membakar
pantas sehingga Azlan yang terkejut tidak sempat berbuat apa-apa. Bebola api
putih itu melanggar tangan dan seterusnya menghentam dada kanan Azlan sehingga
menyebabkan pemuda itu terundur jauh dan merempuh pagar.
Bebola api putih yang
merempuh pagar itu pantas bertukar menjadi asap hitam yang bergerak
sangat laju menembusi bangunan penjara dan terus ke bilik gantung. Asap hitam
itu sekejap-sekejap membentuk rupa lelaki misteri tersebut yang sedang meluncur angin. Mulut lelaki
misteri itu terkumat-kamit mengucapkan sesuatu.
“Datanglah padaku wahai roh yang tenang…”
Di bilik gantung, Karim tersenyum. Selepas beberapa
ketika dia pun memejamkan mata. Bibirnya bergetar mengucapkan sesuatu. Iaitu
ucapan syahadah songsang yang menuhankan tuan lelaki misteri itu. Jam
menunjukkan pukul 6.15 pagi. Kelihatan pengarah penjara memberikan isyarat.
Tukang gantung melaksanakan tugas. Pintu perangkap terbuka. Karim digantung.
Ketika itulah lelaki misteri berupa asap hitam itu
merempuh bilik gantung dan terus meluru ke arah Karim. Tetapi dia sudah
terlewat. Roh Karim sudah dibawa pergi dari situ oleh satu lembaga hitam yang
bersayap dan besar.
Beberapa lembaga hitam bersayap lain yang lebih kecil
saiznya, pembantu kepada lembaga hitam bersayap yang besar dan bengis itu, cuba
menahan lelaki misteri itu. Mereka berhasil mencakar belakang badan lelaki
misteri itu sehingga menghasilkan luka yang dalam dan panjang dengan kuku-kuku
tajam mereka. Lelaki misteri itu memekik. Suara garaunya menggempitakan seluruh
isi penjara itu. Namun masih mampu melepaskan diri dan hilang di balik awan
gelap yang membuak-buak.
Soraya tersentak. Bebas dari bayangan yang menerpanya
secara tiba-tiba ketika dia sedang minum petang itu. Cawan kopi kekal di tangan
dan dua biji karipap di dalam pinggan belum diusik.
“Cik Soraya, okey?” tanya salah seorang bekas pengikut
Kumpulan Panji Hitam.
Soraya membisu beberapa ketika sebelum menjawab
teragak-agak. “Ya, ya…”
“Cik Soraya macam patung tadi. Tak bergerak langsung
walaupun kami cuba sedarkan. Mata saja yang kadang-kadang terbeliak dan
kadang-kadang sayu. Betul ke tak apa-apa?” tanya seorang lagi bekas pengikut
Kumpulan Panji Hitam.
“Ya, ya…” Soraya menelan air liur. Dia menangis dan
meradang serentak di dalam hati. Wajah Karim dan Azlan tenggelam timbul dalam
fikirannya.