Home Cerpen Seram/Misteri SIRI HANTU : KAWAN
SIRI HANTU : KAWAN
27/8/2016 21:16:29
9,877
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Aku nak cerita satu kisah ni pada kau. Terpulang pada kau nak percaya ke tidak.

Aku ada seorang kawan. Namanya Lan. Dia selalu kata dia boleh nampak hantu. Pada mulanya dia sendiri tak tahu bagaimana kebolehan itu ada pada dia. Tetapi dia cerita pertama kali dia tahu ada kebolehan tu ialah pada hari kematian Tok Ngah, datuknya.

Pada hari itu, dia sedang menimbang bola. Bola yang ditimbangnya bergolek ke bawah rumah. Sedang di atas rumah, di ruang tengah, mayat Tok Ngah sedang dimandikan. Dia tergopoh gapah membongkok lalu merangkak di bawah rumah untuk mengambil bola. Bola itu berhenti di atas tanah berbonggol. Dia mengambil bola itu. Mendongak dan terus berpusing untuk beredar dari situ.

Tetapi langkahnya terhenti. Fikirannya terlintaskan apa yang dilihatnya sepintas lalu tadi. Dia nampak sesuatu di kawasan jatuhnya air mandian mayat datuknya. Berderau darahnya dan bulu romanya meremang. Air liur tejun laju ke dalam kerongkong.

Toleh atau cabut?

Dalam takut dia juga ingin tahu. Perlahan-lahan dia menoleh. Kini matanya menyeluruhi kawasan tempat jatuhnya air mandian mayat datuknya itu. Tiada apa-apa lembaga di situ selain air mandian mayat yang jatuh mencurah-curah menjarumi tanah di bawah rumah itu.

Dia menghembus nafas. Entah lega, entah tidak puas hati. Dia berpusing untuk keluar dari situ. Tetapi ekor matanya tertangkap lagi sesuatu di kawasan tempat jatuhnya air mandian mayat datuknya itu.

Kali ini dia pantas berpusing. Berderau darah dan meriding bulu romanya semula. Dia nampak satu lembaga sedang duduk mencakung dan mendongak dengan mulut ternganga, sedang minum air mandian mayat Tok Ngah. Kemudian lembaga itu pantas pula menilat-jilat air pada tanah yang dibasahi mandian mayat Tok Ngah. Lembaga itu menoleh ke arahnya sepantas kilat. Dia tersentak dan diserbu ketakutan melampau. Lembaga itu menyerupai Tok Man, jiran sebelah rumah datuknya itu yang dikatakan membela hantu. Bezanya lembaga itu berkulit hitam, kurus kering menampakkan tulang dan bermata merah. Lembaga itu menyeringai ke arahnya.

Dia membuka langkah seribu. Terus bangun dan terlupa bawah rumah itu separas dadanya sahaja. Kepalanya terhantuk kuat kayu lantai dan dia terus pengsan. Bila tersedar dia mendapati dirinya sudah berada di halaman rumah dan dikerumuni ibu bapanya dan lain-lain.

Sejak itulah dia boleh nampak hantu. Tetapi bukan setiap masa. Terhad di masa-masa tertentu sahaja.

Kau percaya Lan?

Hmm… aku tak percaya. Sebabnya? Bukan sebab aku tak percaya manusia tak boleh nampak hantu. Aku percaya itu. Sebab aku yakin Tuhan boleh beri kelebihan itu kepada manusia. Cuma aku sangsi Tuhan akan beri kelebihan itu pada Lan. Sebabnya Lan ni sama macam aku. Culas solat, jauh Quran dan sangat nakal. Kalau Tuhan nak beri kelebihan tu tentu DIA beri pada budak-budak yang baik. Bukan pada kami yang nakal tu hanya Tuhan yang tahu.

Lagi satu sebab Lan tak pernah berjaya membuktikan apa yang didakwanya itu walaupun pernah mencubanya beberapa kali.

*****

Aku dan Lan sedang berbual di atas tangga. Bunyi enjin motosikal dihidupkan kedengaran. Dari bawah rumah, keluar abah aku dengan motosikal. Ibuku pula jadi pembonceng.

“Nak ke mana abah, ibu?” tanyaku.

“Kami nak pergi rumah Pak Said. Dia baru meninggal pukul 9 pagi tadi,” jawab abah.

“Kunci pintu kalau nak pergi mana-mana nanti,” pesan ibu.

Kemudian mereka terus beredar dari situ.

Mata Lan bersinar-sinar mendengar kata-kata abah. Kemudian dia diam agak lama. Matanya tidak berkerdip. Dirinya seperti di tempat lain.

“Hoi! Kenapa?” tanya aku, hairan.

“Kau tak percayakan aku kan? Jom aku tunjuk hantu pada kau,” kata Lan.

Lan terus ke basikal dan melompat ke atas pelananya. Aku pula masih tercegat duduk di tangga.

“Hoi!” jerit Lan. “Jomlah! Aku nak bagi kau percaya. Cepat!” sambungya.

Aku melepaskan duduk juga. Semestinya disertai keluhan dalam.

Tak lama kemudian kami sampai di rumah Pak Said. Penduduk kampung ramai yang sudah berkumpul di situ. Beberapa orang masjid baru lepas mengusung bekas mandian mayat ke dalam rumah Pak Said.

“Kenapa kita datang sini? Kata nak tunjuk hantu,” tanya aku, hairan.

“Aku nak tunjuk hantulah ni…” jawab Lan.

Dia menarik aku ke sisi rumah Pak Said yang tidak ada orang. Kemudian dia menyuruh aku bertinggung bersamanya melihat ke bawah rumah. Kelihatan tiub paip getah bekas mandian mayat terjuntai dari lantai yang dibuka. Tidak lama kemudian air mandian mayat mula mencurah-curah keluar dari tiub paip getah itu.

Lan merangkak ke tempat air mandian mayat jatuh. Membasahkan tangannya dengan air mandian mayat Pak Said itu dan datang kepadaku semula.

“Hoi! Kau gila apa? Apa kau buat tadi?” tanya aku, hairan.

“Calit air ni kat kening-kening kau tu. Lepas ni kau boleh nampak hantu,” kata Lan.

Aku kaku seketika. Entah mahu ikut atau tidak endahkan kegilaannya itu.

“Cepatlah. Aku nak bagi bukti ni…” kata Lan.

Aku ikut kegilaannya. Calit air mandian mayat itu pada kedua-dua kening.

“Kau tak calit?” tanya aku.

“Aku tak payah. Aku boleh nampak dia orang,” kata Lan. “Ni tengok aku kesat kat tanah. Jangan pulak kata aku calit kat kening nanti.” Lalu mengesat kedua-dua tapak tangannya pada tanah.

Mata Lan kemudian tertumpu pada kawasan air mandian mayat itu jatuh. Mata aku pula kejap pada kawasan yang dilihat Lan dan sekejap pada muka Lan. Sebelum sempat aku menyindirnya, dia mencuit peha aku. Jari telunjuknya mengarah tepat ke kawasan air mandian mayat Pak Said mencurah-curah jatuh.

Aku pantas melihat ke arah yang ditunjuk. Aku membuntangkan mata.

“Kau nampak mereka tu sedang berebut-rebut minum dan jilat air tu. Ada betina, jantan dan budak. Tengok yang jantan tu. Kurus macam lidi tapi paling pelahap. Aku pernah dua kali nampak yang jantan ni. Selalu ada kat pokok kekabu tepi rumah Pak Mail tu,” kata Lan.

Aku diam. Bulu roma meremang. Menelan air liur. Pucat terasa merabat muka.

“Yang betina tu pun aku biasa nampak. Dia selalu duduk dekat depan gereja tu. Eksiden-eksiden dekat situ betinalah ni sebabnya,” beritahu Lan.

Aku terus diam. Bulu roma makin meremang. Air liur terus terjun ke dalam kerongkong. Pucat terasa mula menguasai air muka.

“Yang budak tu pulak toyol. Tak tahu siapa punya,” kata Lan lagi.

Perasan aku yang diam sejak tadi, Lan melihat mukaku.

“Jomlah blah,” kata aku.

“Kau nampak kan?” tanyanya, ketawa. “Sekarang baru kau percaya aku kan?”

“Aku tak nampak,” jawab aku.

Lan terkejut. “Aku ingat kau nampak. Eh, kenapa muka kau pucat kalau tak nampak?”

“Dengar cerita kau pun aku seram. Kau ni pandai betul reka cerita kan. Seram aku…” jawab aku.

Aku beredar dari situ dan terus ke basikal. Aku menoleh sepintas lalu kepada Lan yang masih bertinggung. AKu nampak Lan menggeleng-geleng tidak puas hati.

Sumpah, aku memang tak nampak.


********

Lan tidak berputus asa untuk meyakinkan aku. Selepas dua tahun peristiwa di rumah Pak Said itu, Lan sekali lagi cuba membuktikan dirinya memang boleh nampak hantu. Ketika itu kami di tingkatan dua.

“Tak mahulah aku. Malam ni ada live bola,” jawab aku.

“Kita pergi lepas habis bola,” kata Lan.

“Aku nak tidur awal,” kata aku, mahu mengelak. Tidak mahu melayan kegilaannya sejak darjah enam itu. Sepanjang dua tahun itu dia memang tak pernah henti-henti bercerita nampak hantu itu hantu ini kepada aku. Aku takut tapi muak juga.

“Besok sabtu kut…” kata Lan.

Aku mengeluh dalam. Lelah. “Kenapalah aku jadi mangsa tak betul kau ni… Kan lebih baik kau cakap pada Din ke, Mat ke atau siapa-siapalah dulu…”

Lan tersengih. “Aku percaya kat kau. Kau memang tak beritahu sesiapa kan?”

Aku mengangguk. Masih pegang janji untuk simpan rahsia dia.

“Jomlah… Janganlah jadi pondan…” sindir Lan tiba-tiba.

Ego aku mencanak. “Okey. Jom!”

Lan tersengih.

Selepas dua minit siaran langsung bola sepak di televisyen habis, bunyi hon motosikal kedengaran di luar. Aku mengintai ke luar melalui tingkap. Lan melambai dengan senyuman. Komited sungguh dia!

Kami bermotosikal hingga sampai di menara tangki air perbadanan bekalan air kawasan tempat tinggal kami itu.

“Kita buat apa kat sini?” tanya aku.

“Nak bagi kau tengok hantulah. Aku dah tengok dua tiga kali kat sini masa pergi rumah awam dua tiga malam lepas,” kata Lan, selamba.

Aku menelan air liur. “Biar betul kau ni…”

“Apa pulak tak betul. Hantu Kak Gauri. Kakaknya Gayatri yang satu kelas dengan kita tu. Dia mati bunuh diri terjun dari menara tangki ni dua bulan lepas. Kau pun tahu,” kata Lan.

Aku maklum kejadian itu. Entah mengapa bulu roma aku meremang dan aku ketakutan.

“Ha, dia dah ada tu. Tengah duduk berjuntai atas tangki tu,” kata Lan sambil jari telunjuknya ke arah tangki air besar di atas menara itu.

“Aku tak nampak pun,” kata aku. Bulu roma meremang tetapi masih menggeleng menyindir kegilaan Lan itu.

“Aku ada sembang dengan dia…”

“Sembang?” tanya aku kemudian ketawa. “Biar betul…” Ini kali pertama Lan kata dia bersembang dengan hantu. Selama ini hanya lihat sahaja.

“Aku lupa nak beritahu kau. Dia tegur aku dulu. Hantu lain mana tegur aku. Tengok dan jegil aku saje…” jawab Lan.

“Ha, dia sembang apa dengan kau? Aku nak dengar juga cerita mengarut kau ni,” kata aku.

Lan tersengih. “Dia cerita kisah sedih dia. Dia tak tahu dengan siapa dia nak luahkan.”

“Jadi dia luah pada kau?” tanyaku, tergelak lagi.

Lan mengangguk. “Dia bunuh diri selepas mak bapak dia tak benarkan dia kahwin dengan kekasih dia. Dia kecewa dengan kekasih dia jugak.”

“Ooo,” balasku, tergelak lagi.

“Tu dia sedang tunggu kekasih dialah tu. Kekasih dia kata nak datang kat sini hari tu. Mereka nak mati bersama. Tetapi kekasih dia tak muncul. Kecewa dengan keluarga dan kekasih dia, akhirnya dia bunuh diri juga,” beritahu Lan.

Aku tergelak juga. Tetapi seriau juga.

“Kau tak percaya? Bila kau dah nampak dia nanti, kau tanyalah dia sendiri,” kata Lan.

“Aku tak nampak apa-apa pun,” kata aku.

“Kejap lagi kau nampaklah,” kata Lan.

“Macam mana?” tanya aku.

“Guna ni,” jawab Lan lalu mengeluarkan satu bungkusan dari poket seluar jeansnya.

Aku ambil bungkusan yang diunjukkannya itu. Membukanya dan melihat isinya adalah tanah. “Tanah apa ni?” tanyaku pantas.

Lan tersengih. “Kau sapu tanah tu kat mata. Lepas tu kau bolehlah nampak hantu Kak Gauri tu.”

Aku pantas teringat air mandian mayat Pak Said yang dicalit pada kening itu dulu. Lalu pantas terfikirkan tanah itu juga tentunya tanah kotor.

“Tanah apa ni?” tanya aku lagi.

“Tanah kubur. Aku baru ambik sebelum pergi rumah kau tadi,” jawab Lan.

“Gila kau!” kata aku dan serah balik tanah tu pada Lan.

“Aku nak buktikan pada kau… Tolonglah…” rayu Lan.

Aku mengeluh tetapi ikut juga kegilaannya itu. Sapu tanah kubur itu pada kelopak mata yang ditutup. Hati mula berdebar, takut bercampur risau. Bagaimana kalau aku benar-benar nampak hantu Kak Gauri itu? Dan lebih teruk kalau aku boleh nampak hantu-hantu lain lepas ni?

“Tunggu kejap. Jangan buka mata lagi,” kata Lan. Lantas dia memusingkan badanku supaya mengadap ke bahagian tangki yang dikatakannya tempat hantu Kak Gauri sedang duduk terjuntai. Kemudian dia menolak dagu aku ke atas.

“Nanti bila buka mata, kau akan nampak hantu Kak Gauri tu. Dia pakai sari merah, rantai emas, gelang emas, gelang kaki emas, rambut bersanggul ada bunga melati. Pakaian macam hendak kahwin tu. Tetapi kepala dia berlubang. Muka dia pecah. Penuh darah,” terang Lan.

Aku menelan air liur. Hendak saja aku cuci tanah kubur pada mata aku itu. Mula menyesal tetapi rasa malu pada Lan untuk tarik diri.

“Dari sini tak lah jelas sangat kut. Kalau kau okey, kita naik atas tangki tu nanti. Boleh sembang dengan dia,” sambung Lan lagi.

Aku terus menelan air liur. Terasa ada getar halus yang mula menggilkan kepala lutut.

“Sekarang kau buka mata,” arah Lan.

Aku menelan air liur. Dan aku mendengar ketawa nipis Lan. Mungkin dia nampak muka aku yang pucat dan biji halkum yang turun naik laju itu.

“Bukalah,” arah Lan lagi.

Aku buka mata perlahan-lahan. Pandangan aku terus pada tangki air.

“Kau nampak dia?” tanya Lan.

Aku melihat Lan.

“Kau nampak tak?” tanya Lan lagi.

“Kau ni gilalah! Tak nampak apa-apa pun!” jawab aku.

“Ha! Tak nampak?!” balas Lan.

“Ya. Bintang-bintang tu aku nampaklah,” jawab aku, beredar ke motosikal. Dalam hati leganya Tuhan saja yang tahu.

“Hoi! Aku memang boleh nampak hantu. Aku akan buktikan juga nanti,” kata Lan sambil mengejar aku ke motosikal.


******

Sekarang ni umur kami sudah mencecah 19 tahun. SPM teruk, jadi kami bekerja di 7E di bandar. Berulang alik ke kampung setiap hari bersama. Dan Lan masih dengan kegilaannya. Selalu sahaja cerita dia nampak hantu pada aku. Aku pula masih sanggup menadah telinga mendengar kegilaannya itu. Dan masih juga menyimpan rahsianya itu. Sesuatu yang aku tak faham sampai sekarang.

“Kalau betullah kau boleh nampak hantu, macam mana kau dapat kelebihan tu?” tanya aku tiba-tiba ketika kami berdua menjaga kaunter bayaran. Seorang gro yang baru membeli gula-gula getah menoleh sepintas lalu kepada aku dan segera menolak pintu dan beredar.

“Aku pun pelik tapi memang semuanya bermula pada hari kematian atuk aku tu,” jawab Lan, memeriksa stok rokok. “Aku laparlah. Kejap lagi nak beli apa-apa kat Rahim Mohamed. Kau nak apa?”

“Nasi kandar lagi! Tak ada tempat lain ke nak pergi? Kata lapar tapi sanggup pergi kedai jauh. Kau ni memang pelik,” balas aku.

“Dah situ yang kena dengan selera aku,” jawab Lan.

“Belikan aku nasi dengan ayam goreng sudahlah. Kuah banjir. Mesti ada kuah pedas. Jangan lupa tu,” kata aku.

Lan mengangguk.

“Takkan kebolehan tu datang tiba-tiba saja? Mesti ada penyebab,” kata aku, berbalik kepada persoalan tadi. “Sebelum kau timbang bola tu kau buat apa?”

“Sebelum tu aku… “ Lan cuba mengingati kenangan tujuh tahun itu. “Ha! Aku pergi Kedai Ah Seng. Beli Ding Dang!”

Aku mengeluh. Takkan makan Ding Dang terus boleh nampak hantu? Macam tak logik pulak, detik hatiku.

“Hari sebelum tu?” tanya aku.

Lan berfikir lama. “Lupalah. Malaslah aku nak fikir…”

Aku diam sahaja. Aku sendiri tak tahu kenapa malam itu aku hendak tahu semua itu. Mungkin malam itu aku kebosanan dan tidak tahu hendak buat apa. Awek yang aku suka pula tak nampak batang hidung sejak tadi.

“Hah!” kata Lan tiba-tiba selepas perbualan kami tadi terhenti sudah 11 minit yang lalu.

Aku terus pandang Lan. “Kau nampak hantu apa pulak?”

“Bukan. Aku dah ingat. Hari sebelum tu, atuk aku yang belum mati masa tu, panggil aku. Dia pegang tangan aku dan bagitahu dia memang boleh nampak hantu. Dia kata nanti aku akan…”

“Kejap, kejap,” pintas aku, kalut. “Atuk kau pun boleh nampak hantu ke?”

Lan mengangguk.

“Kenapa kau tak cerita pada aku selama ni?” tanya aku.

“Kau anggap aku gilakan? Aku tak mahu kau anggap keturunan aku gila juga. Kalau kau boleh nampak hantu macam aku jugak, masa tu baru aku cerita,” jawab Lan.

“Apa atuk kau cakap tu?” tanya aku.

“Dia kata aku akan boleh nampak hantu lepas ni. Besoknya dia mati. Lepas tu memang aku boleh nampak hantu,” jawab Lan.

“Sebab keturunanlah ni…” kata aku.

“Mungkin,” jawab Lan. “Hoi, aku nak pergi beli nasi dah. Duit nasi kau?”

Aku keluarkan dompet dan serah duit pada dia.

Tak lama kemudian kedengaranlah enjin motosikalnya mengaum. Selepas 20 minit dia pulang dari Restoran Nasi Kandar Rahim Mohamed.

“Nasi aku mana?” tanya aku.

“Kat dalam. Tempat biasa,” jawab Lan.

“Kau dah makan ke?” tanya aku.

“Belum,” jawab Lan.

Beberapa orang gro bersama klien masuk ke dalam kedai. Membeli gula-gula getah, rokok dan pelbagai barang lagi. Seorang gro yang masih berada di rak memandang aku beberapa kali. Aku pula yang curiga sesekali memerhatikannya. Takut-takut gro itu mencuri barang. Tetapi macam tak logic sebab klien berhidung belang itu bayarkan untuk mereka.

“Cepat sikit Di… Abang Mail nak bayar ni,” kata seorang gro yang sudah berada di kaunter.

GRO bernama Di yang melihat-lihat aku sejak tadi itu ke kaunter. Letak barangan yang diambilnya bersama barang-barang rakan gronya. Aku imbas kod bar-kod bar. Beritahu jumlah harga. Dibayar oleh Abang Mail lelaki berhidung belang itu.

Mereka bertiga beredar ke pintu.

“Kak gro tu macam pelik je tadi. Kau perasan Lan?” tanya aku.

Lan yang sedang mengira stok rokok diam tidak menjawab.

Kak gro itu menoleh sebaik sampai di pintu. “Adik ca…”

Pintu ditolak keras. Bunyi ting tong kedengaran. Awek yang aku tunggu-tunggu itu menerpa masuk. Hampir melanggar kak gro itu.

“Lan...”

“Lan, dia panggil kau,” kata aku hampir berbisik kepada Lan, terbit cemburu tidak semena-mena.

Lan membisu sahaja.

“Lan accident! Mati!” kata awek itu.

Aku tersentak. Tidak percaya. Aku segera melihat Lan. Lan perlahan-lahan berpaling. Muka kirinya terlopong. Dipenuhi darah. Sebelum ia hilang dari pandangan.

“Sekarang kau percaya?” Suara Lan berbisik di telingaku.

Darah berderau, lutut menggigil dan aku pucat pasi.

“Dia kena seret dengan treler…” aku dengar kata-kata awek itu antara dengar dengan tidak.

Entah mengapa aku teringatkan waktu aku memberi duit kepada Lan tadi. Tangan aku tersentuh tangannya. Dan fikiran aku mengalir lagi kepada cerita Lan yang memberitahu atuknya memegang tangannya dan memberitahu selepas ini dia boleh nampak hantu.

Aku menelan air liur. Gagah menyeret diri ke dalam. Nasi bungkus aku tiada di tempat biasa. Di kerusi aku terduduk lemah.


*******


Kau, sekarang aku boleh nampak hantu. Sama macam Lan.

Kau percaya?

Kau nak tahu apa aku nampak sekarang?

Aku nampak seseorang sedang membaca satu cerpen seram di portal Ilham. Tajuk cerpen itu ialah Kawan. Di belakang dia berdiri hantu. Hantu tu berambut panjang. Sedang menunduk sambil tersenyum. Bersedia memeluk dia bila-bila masa.

Kau tak percaya?

Cuba kau toleh.

Shhh… Jangan bagi tahu sesiapa ya. Aku bagitahu kau seorang saja ni. Aku percaya pada kau.


TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.