Irham memandu laju kereta. Nafasnya turun naik deras. Sesekali dia
melihat cermin pandang belakang. Matanya berkilau dan mukanya bengis. Dia
melihat jari-jarinya yang menggenggam stereng. Garisan-garisan urat timbul pada
permukaan kulit. Kekuatan dalamannya dirasakan berubah secara luar biasa. Dia
dapat merasakan ada kekuatan yang terpendam di dalam tubuhnya itu. Otot-ototnya
dirasakan memejal sekeras besi. Dia berasa badannya kian panas. Lekas
melaraskan suhu penghawa dingin ke kedinginan maksimum.
Telinganya bergetar-getar halus.
Aku dah tak ngantuk. Jom kita cari
Amy.
Suara samseng yang mengantuktadi
bergema di dalam kepalanya.
Tak cukup ke duit yang kita dapat
tadi?
Suara samseng berpisau komando pula kedengaran.
Takkan nak duduk saja. Baik cari
duit lagi. Kau tak nak duit?
Suara samseng mengantukkembali
kedengaran.
Macam mana Suib?
Suara samseng berbuku lima bergema.
Aku okey dah. Celaka betullah dia
tu…
Suara Suib, ketua samseng bergema menjawab.
Jom gerak ke Sunway.
Irham memulas stereng masuk ke simpang menuju ke Seberang Jaya.
Suib dan anak-anak buahnya sampai di Kelab Malam The Ice, berdekatan
Hotel Sunway di Seberang Jaya. Mereka parkir di lorong belakang premis
berhampiran.
“Kau dan Zin pergi cari dia kat dalam,” arah Suib kepada samseng yang
mengantuk dan samseng berpisau komando.
“Jom Nan,” ajak Zin kepada samseng yang mengantuk.
Zin dan Nan keluar kereta dan masuk ke dalam kelab malam. Bouncer-bouncer
yang menjaga pintu Kelab Malam The Ice membenarkan mereka berdua masuk.
Bouncer-bouncer itu kenal mereka berdua dan seluruh ahli kumpulan samseng
remaja itu. Mereka adalah anak-anak buah tauke kelab malam itu.
Kelab malam yang terkenal itu bingit.
Muzik-muzik tekno yang dimainkan DJ bergema di segenap ruang. Anak-anak muda
menari terkinja-kinja dengan penuh bersemangat tanpa lelah. Mereka seperti
tidak letih dan sentiasa bertenaga. Di meja-meja, botol-botol arak asyik
bertambah. Ada yang sudah bercakap merapu-rapu sambil memeluk gro-gro untuk
melempiaskan nafsu.
Zin dan Nuar ke salah satu meja. Di situ duduk dua orang lelaki bersama
empat orang gro. Mereka sedang berseronok di situ.
“Amy,” panggil Nan.
Salah seorang gro di meja itu mendongak. Dia baru menambah arak ke dalam
gelas lelaki yang sedang merangkul pinggangnya. Matanya terbeliak sedetik
sebelum melepaskan keluhan.
“Suib panggil hang,” jawab Nan.
“Dia nak apa?” tanya Amy.
“Dia tunggu hang kat luar,” jawab Nan.
“Kan aku dah bagi hari tu…” kata Amy.
“Lekas,” kata Nan dengan pandangan tajam.
Amy mengeluh tetapi tetap mengekori Zin dan Nan keluar dari kelab malam
itu.
Tetapi pelanggan yang merangkul pinggangnya itu enggan melepaskannya.
“Aku dah bayar kau.”
“Sekejap saje sayang. Nanti Idatang
semula,” pujuk Amy.
“I dah bayar you!” tegas pelanggan tu, berdiri dan
memandang tajam Amy.
“Sekejap lagi dia datanglah kat hang semula! Hang tak faham ke apa?!”
marah Zin.
Pelanggan yang mabuk itu merenung tajam Zin.
“Nanti I datang balik ya
sayang. Sekejap saje. Nanti Ibagi youdiskaun untuk special service,” pujuk Amy.
Pelanggan itu tersenyum, kembali duduk di sofa dan terus memeluk pinggang
gro lain.
Amy mengekori Nan dan Zin ke
lorong belakang bangunan premis perniagaan itu. Suib membuka cermin tingkap
kereta untuk menampakkkan dirinya kepada Amy. Nan dan Zin yang faham Suib tidak
mahu Amy melihat mukanya yang dibelasah Irham menarik Amy beberapa langkah
menjauhi kereta.
“Bagi kami dua ribu,” kata Nan.
“Apa? Gila!” balas Amy.
“Kalau tak kami bocorkan rahsia hang,” peras Nan.
Amy mengeluh hampir menangis. “Aku mana ada duit banyak tu. Sebulan lepas
hangpa dah ambik…”
“Aku dengar hang banyak buat kerja luar. Tiap-tiap malam full sampai siang. Bersambung petang
sebelum mai kerja sini,” balas Nan.
“Mana ada…”
“Hang jangan nak tipu! Mai dua ribu, cepat!” tengking Nan.
“Aku tak ada du…”
Zin mencekak leher Amy dan menolak gadis itu ke dinding bangunan. “Pergi
ambik cepat kalau tak aku bunuh hang!”
Amy meronta-ronta. Cuba melepaskan diri dari cekakan Zin. Mulutnya
tercungap-cungap menarik nafas, matanya berair dan mukanya merah.
“Lepaskan dia.” Satu suara yang dingin dan mendatar kedengaran.
Nan dan Zin berpaling ke arah punca suara. Berdiri di bawah kelam suasana
ialah seorang lelaki yang tinggi dan besar badannya.
“Aku kata lepaskan dia!”
“Siapa kau? Kau nak kami bunuh kau?!” balas Nan.
Lelaki itu diam tidak menjawab. Hanya bunyi nafasnya merengus yang
kedengaran semakin kasar setiap detik.
Berasa tercabar, Zin melepaskan cekakan dan sepantas kilat pula menampar
Amy sehingga wanita itu jatuh terjelepuk.
Dalam sekelip mata lelaki yang dalam kelam itu memunculkan diri dengan
menerkam Nan dan Zin. Lelaki itu ialah Irham. Bila dia berdiri begitu nampaklah
perubahan fizikal pada tubuhnya. Badannya nampak lebih tegap, ada dua gigi
taring yang muncul pada barisan giginya dan kuku tangannya memanjang sedikit
dan tajam.
Nan dan Zin tidak sempat berbuat apa-apa. Mereka tergamam seperti sedang
diserang mengejut oleh seekor beruang yang besar. Irham melompat dan terus
mencakar leher Nan sehingga luka teruk dan berlumuran darah. Lantas menerkam
dan menggigit leher Zin dengan gigi taringnya pula sehingga darah membuak-buak
keluar dari leher samseng itu.
Nan dan Zin rebah. Nan mati serta merta. Darah mengalir keluar banyak
dari lehernya. Zin yang menghempap Amy sedang menekap luka di lehernya yang
membuak-buak keluar darahnya. Terenjat-renjat seketika dan kemudian kaku. Amy yang dihempap berpinar kepalanya.
Pandangannya kabur melihat samar-samar kelibat Irham melangkah ke dua kereta
tidak jauh dari situ.
Manap, salah seorang samseng kumpulan itu tercegat di sisi kereta. Dia
baru keluar kereta ketika serangan Irham terhadap Nan dan Zin itu berlaku.
Segera masuk ke dalam kereta selepas melihat Irham berlari laju ke situ. Dia
kalut menghidupkan enjin, masuk gear dan tekan pedal minyak.
“Kenapa?” tanya Suib kalut. Dia menoleh dan terkejut melihat ada
seseorang yang sedang berlari ke arah mereka. Larian lelaki itu laju walaupun
badannnya besar.
“Ada orang kejar kita. Dia dah bunuh Nan dan Zin!” beritahu Manap.
“Siapa dia tu?” tanya Suib.
“Nampak macam budak yang kita belasah tadi,” jawab Manap. “Tapi badannya
macam besar sikit.”
Manap menghon panjang, memberi isyarat kepada tiga lagi kawannya di dalam
kereta yang satu lagi supaya beredar dari situ.
“Blah!” jerit Manap.
Alwi, pemandu kereta yang satu lagi itu tergopah-gapah menghidupkan
enjin, masuk gear dan menekan pedal minyak. Sebaik kereta itu baru hendak
meluncur mengekori kereta yang di hadapan, terdengar sesuatu yang berat memijak
bumbung kereta sehingga menghasilkan kemik yang dalam. Sedetik kemudian
kelihatan Irham melompat dan mendarat di atas hud hadapan kereta sehingga
menyebabkan tayar kiri bahagian hadapan kereta itu pancit. Irham terus melompat
pula ke atas lorong dan mengejar kereta yang dinaiki Suib. Kereta yang dipandu
Alwi terbabas, nyaris melanggar sebuah perancah. Sebaliknya melanggar tong
sampah besar di tepi lorong.
Manap menekan pedal minyak lebih laju. Matanya tidak henti-henti
memandang cermin pandang belakang. Suib juga tidak berkelip memandang cermin
sisi. Irham semakin menghampiri mereka.
“Laju lagi Manap!” arah Suib. Dia sudah mengeluarkan kerambit.
“Dah habis laju!” jawab Manap.
Hujung lorong hanya beberapa meter dari mereka berdua. Ketika Manap sudah
berkira-kira di dalam kepala untuk membelok ke kanan, ketika itulah Irham
menerajang bahagian kiri bamper kereta itu sehingga ia terbabas ke kiri,
melanggar paip bomba dan berpusing 180 darjah. Paip bomba pecah dan air
memancut membasahi kereta dan sekitar kawasan itu.
Enjin kereta mati dan Manap yang terkejut kalut cuba menghidupkan semula
enjin. Sekali, gagal. Dua kali, gagal. Tiga kali, enjin kereta tersemput-semput
hendak hidup. Kedengaran bunyi kaca pecah. Serentak itu cermin tingkap sebelah
pemandu pecah dan satu tangan terus muncul menumbuk pipi kanan Manap.
Manap rebah di kerusi sebelah. Rusuk kanannya menghentak keras tuil gear.
Pintu sebelah penumpang dibuka keras dan Manap ditarik keluar dengan panta
dilontar. Badannya dicampak ke dinding belakang bangunan bersetentangan yang
berjarak enam atau tujuh langkah itu. Bunyi derak tempurung kepala pecah
kedengaran dan kelihatan badan Manap melurut jatuh dengan meninggalkan bekas
darah yang memanjang dari atas ke bawah.
Suib yang ketakutan segera keluar dari kereta. Dia menggenggam kerambit
di balik kereta. Air bomba yang memancar membasahi dirinya.
Irham berpusing dan kini berdepan dengan Suib. Suib mengacah-ngacah untuk
melibas dan dalam masa yang sama berkira-kira hendak melarikan diri. Dia
terkejut besar dengan apa yang sudah dilakukan oleh Irham terhadap Manap.
“Siapa kau sebenarnya ha?” tanya Suib, cuba membeli masa. Dia sempat
mengerling ke arah kereta yang dipandu Alwi.
Suib menggamit Alwi dan dua orang
anak buahnya itu. Alwi dan dua orang anak buahnya itu sedang memerhati dari
jauh. Mereka kelihatan tergamam. Tidak berani mendekati untuk menolong Suib.
Irham tidak menjawab. Dia hanya merengus kasar. Mukanya bengis dan
nafasnya semakin kuat. Pandangan tajamnya tepat kepada Suib. Muka dan badannya
basah disirami air pili yang memancar.
“Aku bagi duit kau balik. Aku bayar duit hospital adik hang!” kata Suib
yang ketakutan.
Sebaik habis mengucapkan kata-kata itu, Suib terus berlari ke arah Alwi
dan lain-lain. Sepantas kilat Irham menerkam dan menolak tubuh Suib. Tubuh Suib
terpelanting dan menghentak dinding belakang bangunan sebelah kiri.
Suib rebah dan cuba bangun tetapi lehernya dicekik Irham. Irham mengangkat
Suib sehingga kaki Suib tergantung beberapa inci dari tanah. Dia menghentak
belakang badan Suib pada dinding bangunan. Urat pada leher Suib timbul,
mulutnya tercungap-cungap, matanya berair dan mukanya merah. Suib meronta-ronta
hendak melepaskan diri.
Bunyi derak tulang leher patah kedengaran. Kaki Suib yang tergantung
terkodek-kodek tadi diam. Mata Suib terbeliak dan mulutnya ternganga statik.
Irham mencekik leher Suib
sehingga patah!
Suib yang sudah mati dilepaskan. Mayat Suib jatuh ke atas penutup
longkang. Irham melihat ke arah Alwi dan dua orang samseng yang lain. Alwi dan
dua orang kawannya itu terperanjat dengan apa yang mereka lihat. Tanpa
berlengah mereka terus melarikan diri.
Irham mengejar ketiga-tiga samseng itu. Sambil menghampiri mereka dia
sempat mencapai perancah yang berada di belakang sebuah kedai yang di dalam
kerja pengubahsuaian. Dia membaling perancah itu dan pang!
Perancah itu mendarat beberapa langkah di hadapan ketiga-tiga samseng
itu.
Ketiga-tiga samseng yang terkejut itu berhenti berlari. Mereka menoleh
bila berasa ada titis air yang mengenai leher dan pipi mereka. Mereka lebih
terkejut bila mendapati Irham sudah pun melompat untuk menerkam mereka.
Irham menyasarkan serangannya kepada Alwi yang berada paling hampir
dengannya terlebih dahulu. Dia menghayunkan tangannya ke leher Alwi. Alwi yang
tidak bersedia tidak dapat mempertahankan diri. Kuku tajam Irham mencakar leher
Alwi sehingga mengakibatkan luka yang amat dalam. Darah membuak-buak keluar.
Ketika Alwi menjerit kesakitan dan cuba menekup lukanya dengan tangan, Irham
menyerang lagi. Kali ini kuku tangan kirinya pula merodok rusuk kanan Alwi.
Alwi tersentak dan rebah lalu mati.
Irham menyerang pula dua lagi samseng yang tinggal. Seorang samseng cuba
menendang Irham. Irham berjaya menangkap kaki samseng itu dan memulasnya
sehingga tulang kaki itu patah. Kemudian dia menghayun samseng itu sehingga
berpusing dan melemparkannya ke perancah. Besi perancah menembusi badan samseng
itu. Samseng itu mati serta merta.
Seorang lagi samseng cuba menumbuk Irham. Irham menangkap tangannya dan
memulasnya sehingga patah. Kemudian melambung samseng itu ke udara. Tinggi
lambungan bersahajanya hampir setinggi bumbung bangunan kedai dua tingkat itu. Selepas
beberapa saat badan samseng itu pun menghentak lorong. Bunyi debup kedengaran.
Kelihatan samseng terakhir itu menggelupur dan mati. Darah keluar dari hidung
dan mulutnya.
Irham melihat sekeliling. Nafasnya turun naik laju. Dia berasa puas.
Kemudian dia berlari ke kereta dan meninggalkan kawasan tersebut. Separuh
perjalanan pulang ke rumah, ketika perasaan marah, dendam, rasa bersalah dan
simpatinya mulai reda, dia mulai berasakan perubahan pada dirinya. Otot-ototnya
yang pejal tadi mulai mengendur, kuku dan giginya kembali normal dan rasa
kekuatan di dalam dirinya juga semakin berkurangan. Sebaik sampai di rumah dia
kembali seperti sedia kala.
Irham masuk senyap ke dalam rumah. Menyucikan tangannya dan badannya yang
dipenuhi percikan darah. Selepas itu dia terus tidur.
Selepas mendapat panggilan telefon daripada salah seorang pengunjung
Kelab Malam The Ice yang menjumpai mayat-mayat yang bergelimpangan di lorong belakang
bangunan kedai berdekatan, sepasukan polis pun segera ke tempat kejadian.
Pita garisan polis berwarna kuning merentangi laluan-laluan masuk ke
dalam lorong itu. Di lorong itu, berbelas anggota polis kelihatan.
Inspektor Yusri yang baru sampai di tempat kejadian tunduk dan melalui
pita garisan polis. Sarjan Hisham mendekatinya.
“Apa cerita?” tanya Inspektor Yusri.
“Tujuh mangsa. Melalui pemeriksaan awal, mereka adalah samseng-samseng
Geng 31,” jawab Sarjan Hisham.
“Umur? Bangsa?” tanya Inspektor Yusri.
“18-25 tahun. Semua melayu,” jawab Sarjan Hisham.
“Budak muda melayu dalam Geng 31 lah depa ni…” kata Inspektor Yusri,
mencangkung dan melihat mayat Alwi.
Inspektor Yusri meneliti lama luka di leher dan rusuk kanan mayat Alwi.
Dahinya berkerut dan matanya membulat terkejut. Kemudian dia memeriksa pula
mayat dua lagi mangsa di kawasan itu.
“Dr. Adib dah sampai?” tanya Inspektor Yusri.
“Sudah tuan. Dia ada di hujung lorong lagi satu,” jawab Sarjan Hisham.
Inspektor Yusri ke hujung lorong lagi satu. Singgah sebentar di kawasan
di mana mayat Suib dan Manap bergelimpangan. Dia terkejut dengan keadaan mayat
dan keadaan kawasan kejadian pembunuhan dua mangsa itu.
“Apa pendapat kau, doktor?” tanya Inspektor Yusri sebaik berada di sisi
Dr. Adib, ketua D10, unit forensik.
“Pertama kali aku tengok pembunuhan macam ni,” jawab Dr. Adib, melihat Inspektor
Yusri.
“Maksud kau?” tanya Inspektor Yusri.
“Mangsa ni…” sambil jari telunjuknya mengarah ke mayat Suib, “… dicekik
sehingga tulang lehernya patahnya sampai mati. Melalui pemeriksaan awal, aku
percaya tulang leher tu dipatahkan dengan sekali cekikan yang pantas. Kuat
pembunuh ni.”
“Macam gorila,” kata Inspektor Yusri.
“Betul. Kuat macam gorila saja boleh cekik dan patahkan leher orang
dengan pantas,” jawab Dr. Adib.
“Jadi pembunuh ni seorang yang kuat?” tanya Inspektor Yusri.
“Bukan setakat kuat tetapi luar biasa kuat,” jawab Dr. Adib. “Kau lihat
tu,” jari telunjuknya mengarah ke dinding kedai bangunan bertentangan.
Inspektor Yusri melihat kawasan dinding yang ditunjukkan oleh Dr. Adib.
Ada kesan darah yang memanjang dari aras separuh ketingginan dinding itu hingga
ke bawah di mana mayat Manap terjelepuk.
Dr. Adib melangkah ke pintu pemandu kereta yang tersadai melanggar paip
bomba. Air bertakung di kawasan tersebut.
“Teori awal aku mengatakan mangsa dilempar ke dinding tu dari sini,”
beritahu Dr. Adib.
“Biar betul,” kata Inspektor Yusri.
“Aku dah periksa mayat tu. Tengkorak belakang kepalanya pecah.
Tulang-tulang belakangnya patah. Itu hanya boleh berlaku jika dua bahagian
tubuh dia tu terhentak kuat pada dinding tu,” jelas Dr. Adib.
“Tinggi tu,” kata Inspektor Yusri.
“Sebab tu aku kata pembunuh tu luar biasa kuat,” kata Dr. Adib. “Kau dah
tengok kesan lekukan pada bumbung dan hud kereta lagi satu?”
“Belum,” jawab Inspektor Yusri.
“Kami percaya ia kesan dipijak seseorang. Tetapi lekukannya dalam. Macam
dihenyak-henyak gorila. Kami juga percaya kereta tu pancit sebab dipijak
pembunuh,” beritahu Dr. Adib.
Inspektor Yusri berjalan ke kereta yang dipandu Alwi. Dr. Adib mengekori.
Inspektor Rahmat memeriksa kesan pijakan pada bumbung dan hud kereta itu.
“Pembunuh ni manusia ke gorila?” tanya Inspektor Yusri yang terkejut.
Matanya memandang Dr. Adib.
“Itu kerja kau untuk menyiasat. Kalau ikut saiz kaki nampak macam saiz
kaki manusia,” jawab Dr. Adib.
“Kalau tengok luka pada seorang mangsa di hujung lorong
satu lagi, nampak macam diserang harimau pun ada,” kata Inspektor Rahmat.
“Luka tu hasil daripada kuku-kuku yang tajam,” kataDr. Adib. “Dan mangsa yang satu lagi
lehernya macam kena gigit dengan gigi taring.”
“Macam vampire?”
tanya Inspektor Yusri.
“Begitulah kalau kau percaya vampire,” jawab Dr. Adib.
“Tuan,” kata Sarjan Hisham, “Kita dah dapat saksi kejadian.
Saya dah periksa cctv Kelab Malam The Ice”
Inspektor Yusri dan Sarjan Hassan menyoal siasat Amy.
Mereka ke rumah sewa Amy yang tidak jauh dari Kelab Malam The Ice.
Amy menceritakan apa yang terjadi.
“Lepas tu?” tanya Sarjan Hassan selepas melihat Amy
diam. Amy seperti enggan hendak meneruskan cerita.
Amy diam. Mukanya berubah pucat.
“Cik, apa yang terjadi selepas cik rebah ditampar Zin?”
tanya Inspektor Yusri dengan suara yang lembut.
“Seorang lelaki terus menerkam mereka. Saya tak berapa
nampak sebab berada di belakang Nan dan Zin. Yang saya nampak Nan rebah. Darah
keluar banyak dari leher dia. Dia terus mati kat situ. Lepas tu Zin pula rebah.
Saya nampak lelaki tu panjat atas badan Zin dan gigit leher dia. Zin jatuh atas
badan saya. Saya pengsan,” kata Amy, menyambung cerita.
“Cik pasti dia manusia dan seorang lelaki?” tanya Inspektor
Yusri.
“Saya rasa begitu. Saya nampak dia berlari melepasi
saya sebelum saya pengsan,” jawab Amy.
Inspektor Yusri dan Sarjan Hisham saling berpandangan.
Subuh itu, Irham dikejutkan oleh Datin Azian, mamanya.
“Irham,” kata mamanya.
“Ya, mama,” jawabnya sambal memisat-misatkan mata.
“Adik kamu…”
“Dia dah sedar ke mama?” potong Irham.
Datin Azian menggeleng. “Izham dah meninggal. Papa yang menunggu di
hospital baru call tadi.”
Irham terkejut. Dia menekup muka dan menjerit semahu-mahunya. Ada air
mata yang mengalir dari tubir mata. Dia teringat apa yang terjadi di puncak
tertinggi dunia itu. Jikalau boleh dia mahu memutarkan mangsa agar semua ini
tidak terjadi. Biar sahaja dia mati bersama yang lain agar semua ini tidak
berlaku. Dia menyalahkan dirinya di atas kematian Izham.
Fawaz mematikan telefon bimbit. Wartawan jenayah itu
pantas keluar pejabat. Dia mencari Amy dan berjaya menemubual saksi kejadian
pembunuhan yang menggemparkan itu. Dengan sumber dari orang dalam polis dan
Amy, dia pun menulis laporan tentang pembunuhan itu.
Keesokan pagi laporannya menjadi berita utama untuk
Berita Malaysia setelah diluluskan oleh bosnya Hanif. Maka gemparlah Pulau
Pinang khususnya dan Malaysia umumnya dengan kemunculan pembunuh misteri yang
dipotretkan sebagai hero secara halus oleh Fawaz. Dia memfokuskan laporannya
kepada kekejaman yang dilakukan oleh mangsa dan bagaimana pembunuh misteri itu
berjaya menyelamatkan Amy daripada diperas.
Sejak laporan itu dikeluarkan dan viral di media
sosial, kadar jenayah peras ugut menurun secara mendadak di Pulau Pinang.
Mungkin tulisan Fawaz ‘Jadi kalau anda seorang pemeras ugut, berhati-hatilah!
Lelaki ini akan membinasakan anda!’ di akhir laporan berjaya membuatkan pemeras
ugut berfikir banyak kali untuk melakukan jenayah peras ugut.
bersambung…