Home Cerpen Seram/Misteri SIRI HANTU : PERGI!
SIRI HANTU : PERGI!
3/8/2016 19:25:03
5,041
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

PERGI!

Yuni terjaga dari tidur. Cepat meraba perutnya yang memulas lagi. Dia turun dari katil. Melihat Amira yang sedang nyenyak dan berdengkur nipis di katil bawah.Dia berasa segan hendak mengejut Amira supaya menemaninya sekali lagi ke bilik air di tingkat bawah. Bilik air di dalam bilik itu tidak dapat digunakan sejak dua tiga hari ini. Tekanan air kurang.

Yuni mencapai tuala dan memakainya. Segera keluar bilik. Ruang keluarga yang gelap menyambutnya. Dia menekan suis lampu dan ruang itu cerah. Menyusuri tangga dan tiba di ruang makan. Dia membuka lampu di situ. Ruang makan itu terang benderang. Dari situ dia terus ke dapur dan seterusnya masuk ke dalam bilik air lalu buang air besar.

Ketika di hujung buang air besar, telinganya tertangkap bunyi air mencurah dari singki dapur yang bersetentangan dengan pintu balik air itu. Dia mendengar seseorang mengambil pinggan dan membuka periuk.

Siapalah yang makan pagi-pagi buta ni, detik hatinya. Fikirannya terus teringatkan Aza yang gemuk dan kuat makan.

Bunyi-bunyi dari dapur itu hilang tidak lama kemudian. Yuni habis buang air besar. Mencuciapa yang perlu, terus keluar dari bilik air dan menutup lampu. Lega.

Dia berasa haus. Ambil botol air dari dalam peti ais dan menuangnya ke dalam gelas. Meneguk air sejuk itu dan kemudian ke singki untuk membasuh gelas. Terperanjat bila mendapati singki itu kering.

Tadi bukan bunyi air singki ni ke? detik hatinya.

Dia yang memang pengecut, meremang. Pantas meletakkan gelas ke dalam singki tanpa membasuhnya. Mencapai botol air dan memasukkanya semula ke dalam peti ais. Sebaik menutup pintu peti ais dia terdengar keriuk pintu bilik tidur berdekatan dapur. Pintu bilik tidur itu terkuak sedikit.

Dia melangkah ke situ dan menjenguk ke dalam bilik yang samar itu. Aza sedang nyenyak tidur dan berdengkur kuat. Faen pula sedang duduk berjuntai di tepi katil.

“Kenapa Faen?” tanya Yuni.

Faen tidak menjawab. Badannya bergoncangan. Dia menangis teresak-esak.

“Kenapa Faen?” tanya Yuni melangkah masuk ke dalam bilik tidur itu dan terus mendekati Faen.

Faen terus memeluk dan membenamkan mukanya ke perut Yuni. Yuni membelai rambut Faen.

“Kenapa Faen?” tanya Yuni lagi.

Faen menarik mukanya. Dari celah rambutnya yang mengurai menutupi muka kelihatan air mata terus bercucuran dari matanya.

“Raz dah tinggalkan aku…” jawab Faen.

Yuni mendengus nipis. Dia ingatkan apa tadi. Putus cinta rupanya. “Banyak lagi lelaki lainlah. Jantan tu memang tak sesuai dengan kau.”

Keriuk katil kedengaran. Aza yang terjaga terbidas bangun.

“Kenapa?” tanya Aza sambil memisat-misatkan mata. Suaranya serak.

“Raz dah tinggalkan dia,” jawab Yuni.

“Betul?” tanya Aza.

Faen mengangguk.

“Bagus pun…” balas Aza.

“Sudahlah. Tidurlah. Buat apa menangis. Entah-entah jantan tu elok je tidur lena bermimpi indah lagi,” kata Yuni yang memang mengantuk.

“Betul tu. Payah juga berkawan dengan jantan playboy macam dia tu. Kau bukan tak cantik. Lepas ni tentu ramai lelaki yang nak kat kau. Kalau kau takut nak bercinta dengan lelaki, baik kau bercinta dengan makanan saja. Macam aku. Tak kan pernah disakiti!” bebel Aza panjang lebar.

Bebelan Aza itu mengundang ketawa Faen dan Yuni.

“Aku naik dulu,” kata Yuni. Dia keluar bilik dan menutup pintu. Sementara Faen dan Aza menarik selimut masing-masing.

Aza menutup lampu dapur dan kemudian bergerak ke ruang makan. Terkejut bila mendapati Amira sedang makan di meja makan dengan lahapnya. Menunduk tanpa menghiraukan kehadiran dirinya.

“Kau lapar ke?”tanya Yuni.

Amira sekadar mengangguk. Mulutnya penuh nasi.

“Aku naik dululah,” kata Yuni.

Amira mengangguk juga tanpa berkata apa-apa.

Yuni naik ke tingkat atas. Di pelantar pertama tangga, dia sempat menjeling ke arah meja makan. Amira sedang makan dengan lahapnya. Dia berasa pelik dan terus ke bilik tidur. Pintu bilik tidur dibuka. Dia terkejut bila mendapati Amira sedang tidur merekot dan berdengkur seperti sebelum dia ke tandas seorang diri tadi.

Yuni ke tangga. Mengintai ke meja makan. Amira yang sedang makan dengan lahapnya memanggungkan muka. Melihatnya dengan pandangan tajam. Yuni yang ketakutan bergegas naik ke bilik tidur semula. Lantas membuka lampu dan terus mengejutkan Amira.

Amira bangun dan duduk berjuntai di tepi katil.

“Hoi, aku nampak kau dekat meja makan tadi,” beritahu Yuni, suaranya bergetar.

Amira diam tidak menjawab. Menunduk sahaja. Rambut panjangnya menutupi mukanya.

“Kau dengar tak?”tanya Yuni lalu menolak badan Amira ke belakang supaya melihatnya.

Amira melihat Yuni. Yuni terpempan dan berlari lintang pukang keluar bilik. Dia melihat muka Amira yang hitam dan hodoh. Dia mengetuk pintu bilik tidur utama. Pintu bilik tidur itu dibuka tidak lama kemudian.

Yuni terus menerpa masuk. Bilik tidur itu menjadi kecoh.

“Kenapa?” tanya Suria, penghuni bilik tidur utama itu.

“Aku nampak hantu!” jawab Yuni.

“Macam yang aku nampak?” tanya Mahani, teman sebilik Suria.

Yuni mengangguk.

“Nampak apa?” tanya seseorang di muka pintu. Amira berdiri di depan muka pintu.

Yuni terkejut dengan kemunculan Amira. Dia melompat ke atas katil.

“Hoi, kau buang tabiat apa? Tengok aku macam nampak hantu,” kata Amira.

“Kau dekat mana tadi?”tanya Yuni.

“Aku makan tadi. Terjaga masa kau buka pintu nak keluar bilik. Aku pun turun ke dapur. Kau dalam tandas. Kau tegur aku masa aku makan tadi kan?” jawab Amira.

“Kau buka air singki?”tanya Yuni.

“Tentulah buka. Basuh pinggan dan gelas. Termasuklah gelas yang kau tinggal tak berbasuh tu,” jawab Amira.

“Kau ada buka air singki sebelum makan?”tanya Yuni.

“Tentulah. Basuh tangan,” jawab Amira.

Yuni berasa hairan kerana mendapati singki itu kering tadi. “Ni kau baru naik kan?”

“Ya. Kenapa?” tanya Amira.

“Aku nampak kau tengah tidur masa masuk bilik tadi. Aku periksa meja makan. Kau tengah makan juga. Aku naik semula dan gerak kau. Kau bangun dan duduk di tepi katil. Bila aku cerita apa yang aku nampak, kau diam saja. Aku ingat kau tengah mamai ke apa. Bila aku tolak badan kau, kau dongak dan aku nampak muka kau hitam dan hodoh. Hantu,” terang Yuni.

“Biar betul…” kata Amira.

“Buat apa aku nak tipu. Mata aku sendiri yang nampak,” kata Yuni.

“Jom kita periksa bilik kau orang,” cadang Suria.

Mereka berempat ke bilik tidur Yuni dan Amira. Katil Amira kosong.

“Apa yang sedang berlaku ha?” tanya Amira kepada mereka bertiga.

Sudah dua kali orang nampak lembaga menyerupai dirinya. Pertama Mahani dan terbaru Yuni. Sesungguhnya dia tidak tahu apa yang sedang berlaku.

Pagi itu rumah sewa itu kecoh dengan cerita Yuni dikacau hantu menyerupai Amira. Hari itu ahad dan tiada kuliah. Hujung minggu begini mereka serumah selalunya akan masak, makan dan menonton televisyen atau dvd bersama-sama.

“Yang aku hairan kenapa benda tu merupa kau?” tanya Era, salah seorang penghuni bilik sebelah bilik Amira dan Yuni. Dia memang jenis yang suka berterus terang. Tidak suka simpan di dalam hati.

“Itulah aku tengah fikir dari hari tu lagi,” jawab Amira.

“Yang aku tahulah, hantu boleh menyerupai orang yang membelanya. Tapi…”

Amira tersentak. Terasa dengan kata-kata Era.

“Tapi takkan kau membela pula, kan?” sambung Era.

“Itulah… Hairan aku,” jawab Amira. Lega kerana Era tidak berfikir bukan-bukan.

“Sebelum aku kena usik, kau ada pergi campingkan?” tanya Mahani.

Amira mengangguk. “Aku hiking. Camping di puncak Gunung Irau,” jawab Amira.

“Entah-entah benda kat tempat tu yang ikut kau. Manalah tahu…” kata Era.

“Kau ada buat benda tak elok tak masa kat situ?” tanya Yuni pula.

“Memang pernah berlaku pada pendaki lain. Gunung mana pun tempatnya keras. Tetapi aku tak rasa apa-apa pun. Sepatutnya akulah yang diganggunya. Kenapa pulak benda tu nak menyerupai aku?” jawab Amira, melihat Era.

Era mengangguk-angguk setuju dengan jawapan logik Amira.

Amira tumpu perhatian pada Yuni pula. “Tak pernah aku buat benda tak elok. Baik semasa hiking, camping dan hari-hari biasa macam ni.”

“Betul jugak tu Yuni…” kata Suria. “Dia kan solat tak tinggal… Baik hati… Kau ni…” Dia maksudkannya. Tidak memerli.

“Maksud aku, terpetik bunga ke. Terambil apa-apa bawa balik ke…” kata Yuni.

“Tak. Aku tak buat benda tu. Memang kami pendaki hafal pantang larang mendaki dan bermalam di gunung. Petik dan ambik bunga, tambah-tambah yang pelik memang dilarang,” kata Amira.

“Kalau macam ni bahaya. Takut kena kat aku pulak,” kata Faen yang diam sejak tadi.

“Kenapa?” tanya Yuni.

“Aku pernah tengok hantu dulu. Masa di asrama SEMESTI. Terus histeria. Berjangkit dekat budak lain. Kecoh satu sekolah. Malu… Aku pusing satu asrama dengan pakai baju tidur. Jenuh jugak warden-warden nak kejar dan tenangkan aku. Nasib baik salah seorang tu ustaz. Lepas kena air jampi dia baru aku okey,” terang Faen.

“Aku pun biasa kena histeria. Jangkit dari kawan. Aku orang kelima ke keenam kena jangkit,” sambut Shida, rakan sebilik Era.

“Eh, hari tu kau kena kacau sabtu malam ahad juga kan?” tanya Yuni, melihat Mahani.

Mahani mengangguk.

“Kau ada cerita kat family kau?” tanya Shida. Dia mencerap sahaja perbualan kawan-kawan serumahnya sebelum menyampuk tadi.

Amira menggeleng. “Kenapa?” tanyanya.

“Kau orang tahu saka?”tanya Shida.

Ada yang menggeleng dan ada yang mengangguk.

“Saka ni boleh berdamping dengan warisnya tanpa orang tu sedar pun. Tetapi kebanyakkannya sedarlah,” kata Shida. Bila semua orang menanti dia meneruskan kata, dia pun menyambung. “Jiran kat kampung aku dapat saka tanpa dia sedar. Dia tak sedar terambil benda tu dalam mimpi. Dalam mimpi tu dia mengangguk bila bapaknya yang nazak minta dia bersetuju terima sesuatu tanpa beritahu apa benda yang nak diberi tu. Boleh tahu bila dua tiga kali orang kampung terserempak dia duduk di beranda rumah padahal masa tu dia tiada di rumah. Bila berubat cara kampung terbongkarlah semuanya.”

Amira menelan air liur.

“Keluarga kau ada saka?” tanya Era.

“Setahu aku tak ada,” jawab Amira.

“Cuba kau tanya emak bapak kau,” saran Yuni.

Amira mengangguk-angguk.

“Kau biasa mimpi terima atau diminta terima apa-apa?” tanya Era lagi.

Amira menggeleng. Mukanya pucat. “Seram aku…”

Sabtu malam ahad minggu berikutnya sampai. Jam dinding di ruang keluarga menunjukkan pukul 10 malam. Rumah sewa itu sudah gelap. Tidak seperti selalu, kali ini penghuni-penghuninya masuk awal ke dalam bilik tidur masing-masing.

Pintu bilik tidur tidur Era dan Shida terbuka perlahan-lahan. Kelihatan hanya Shida yang sedang tidur nyenyak di atas katilnya. Katil Era pula kosong. Di sekeliling katilnya mula kelihatan beberapa lembaga berpakaian putih dan bermuka hodoh. Berdiri tegak memandang ke katil Shida.

Salah satu lembaga itu menggoncang-goncangkan kaki Shida. Shida menggeliat dan membuka mata. Menjerit sekuat hati sebaik nampak lembaga menyerupai pontianak berwajah Amira yang berdiri di sisi kanannya. Dia terjun katil dan melanggar salah satu lembaga yang berdiri di hujung katil. Lembaga yang besar berbanding dua lagi itu rebah ke lantai. Begitu juga dengan Shida yang tersungkur di depan pintu. Shida bangun dan berlari membuka pintu. Sebaik membuka pintu dia disambut oleh Era, Yuni dan Faen.

Era, Yuni dan Faen bersama-sama memegang sebiji kek. Aza yang terlentang berlakon menjadi pontianak yang terlentang di lantai mengaduh dan bangun. Amira, Mahani dan Suria yang juga berlakon menjadi pontianak gelak dan terus menerpa Shida. Serentak itu mereka semua menyanyikan lagu selamat hari lahir kepada Shida.

Shida yang pada mulanya ingin marah kerana dikejutkan begitu, tergelak akhirnya lalu meniup api pada lilin-lilin yang tercacak di atas kek.

“Nasib baik aku tak histeria tadi,” kata Shida. “Siapa punya rancangan ni?”

“Faenlah siapa lagi…” kata Era.

“Orang putus cinta pun sempat merancang lagi…” kata Shida, geram kepada Faen.

Faen tersengih saja.

Mereka makan KFC yang dibeli Era, Faen dan Yuni untuk meraikan hari lahir Shida. Mereka berdua sempat menyusup keluar sebaik Shida masuk ke dalam bilik tidur. Sementara yang lain-lain bersiap dan bersolek seperti pontianak tadi.

Sekitar jam 12 tengah malam mereka pun masuk tidur.

Jam dinding di ruang keluarga itu menunjukkan pukul 2.13 pagi. Penghuni di semua bilik tidur rumah sewa itu sedang tidur lena. Termasuklah Faen yang menjadi kepala rancangan mengenakan Shida tadi.

Faen menarik selimut yang menjauhi dadanya dalam keadaan mamai. Selimut yang menutupi tubuhnya itu kini menjauhi semula dadanya. Dia menarik selimut itu lagi supaya menutupi dadanya semula. Tidak lama kemudian selimut itu menjauhi dadanya lagi.

Keadaan itu menyebabkan Faen terjaga dari tidur. Membuka perlahan-lahan matanya dan ternampak satu lembaga berpakaian putih dengan rambut mengurai di hadapan muka berdiri di hujung katilnya.

“Jangan kacaulah aku nak tidur. Trickkau orang ni tak jadilah…” kata Faen yang membuka mata sedetik dan terus berfikir lembaga menyerupai pontianak yang di hadapannya itu kemungkinan salah seorang rakan serumahnya. Kemungkinan lembaga itu adalah Shida. Dia menarik selimut menutupi tubuhnya.

Sejurus kemudian selimut itu direntap kasar.

Faen yang bengang terbidas bangun. Membuka matanya luas-luas dan mahu memarahi siapa sahaja yang berlakon sebagai pontianak itu. Tetapi dia terpempan sebaik melihat muka lembaga itu. Muka lembaga yang menyerupai Amira itu hitam dan hodoh. Matanya pula merah menyala-nyala.

Lembaga itu membuka mulut. Mengilai-ngilai sehingga keluar ulat-ulat dari mulutnya. Faen yang lemah semangat mula menjerit-jerit diserang histeria. Mata hitamnya naik ke atas. Dia lari keluar bilik dan berdiri sambil menarik-narik rambut di ruang tamu. Aza yang terjaga terus keluar bilik dan terpinga-pinga melihat Faen. Dia segera ke tingkat atas dan memberitahu kepada penghuni-penghuni lain.

Mereka semua turun ke ruang tamu. Faen terus menjerit-jerit. Tiba-tiba Shida pula menjerit-jerit menunjuk ke arah Amira. Dia juga meraung-raung diserang histeria. Mata hitamnya naik. Selepas itu Yuni pula diserang histeria. Diikuti oleh Aza dan Suria.

Rumah itu bising dengan bunyi jerit dan hilai yang menakutkan.

Era pantas keluar rumah. Jiran sebelah sudah keluar rumah untuk mengetahui apa yang sedang berlaku. Suami isteri itu bergegas ke dalam rumah jiran mereka itu bila Era memberitahu kawan-kawan serumahnya diserang histeria.

“Ada air mineral?”tanyaPak Husni kepada Amira.

Amira mengangguk.

“Ambil empat botol,” arah Pak Husni.

Amira bergegas mengambilair mineral di dapur.

“Ambilkan segengam garam juga,” arah Pak Husni kepada Mahani pula.

Mahani bergegas mengambil garam di dapur.

Selepas melihat keadaan Faen, Shida, Yuni, Aza dan Suria yang sekadar menjerit-jerit dan mengilai-ngilai, tidak agresif, Pak Husni pun melaungkan azan sebanyak tiga kali. Keempat-empat mereka menjadi tenang dan terus menangis tersedu sedan sebaik azan habis dilaungkan.

Pak Husni membaca ayat kursi sebanyak tujuh kali dan ditiupkannya pada empat botol air mineral yang dibuka penutupnya dan juga ubun-ubun Faen, Shida, Yuni, Aza dan Suria. Mereka berempat berhenti menangis dan kini diam seperti orang bodoh.

“Beri mereka minum air ni,” kata Pak Husni. “Rasanya tak perlu guna garam ni,” sambungnya.

Era, Amira, Mahani dan Mak Mardihah, isteri Pak Husni memberi mereka yang diserang histeria tadi minum. Mereka berempat pulih selepas minum air jampi Pak Husni. Masing-masing terpinga-pinga dengan apa yang terjadi.

Tanpa ada Amira yang pulang ke kampung keesokan harinya, penghuni-penghuni rumah sewa yang lain mengambil kesempatan itu berbincang tentang gangguan yang berlaku terhadap mereka sejak tiga minggu yang lalu itu.

“Aku takutlah. Entah-entah betul kata Era, Amira tu membela atau ada saka,” kata Yuni.

“Jadi nak buat macam mana sekarang?” tanya Faen.

“Aku dah tak nak sebilik dengan dia. Aku tumpang bilik kau orang ya mulai malam ni. Tidur bawah pun tak apa,” kata Yuni, melihat Mahani dan Suria.

Mahani dan Suria mengangguk.

“Kita kena halau dia dari rumah ni,” cadang Era.

Yang lain-lain setuju dengan cadangan Era tu.

“Tapi dia tu kawan kita kut,” kata Yuni tiba-tiba.

“Kalau kau sanggup kau duduklah dengan dia,” kata Shida.

Yang lain-lain menyokong kata-kata Shida.

Yuni yang minoriti diam. Terpaksa mengikut.

“Kita pulau dia. Nanti dia blah sendirilah tu,” cadang Faen.

Mereka setuju dengan cadangan Faen.

Sejak hari itu Amira dipulau oleh penghuni-penghuni lain rumah sewa itu. Akhirnya dia mengambil keputusan keluar dari rumah sewa itu. Menyewa seorang diri di rumah flat yang agak jauh dari kampus. Dia menceritakan masalah itu kepada keluarganya. Ibu dan bapanya bersungguh-sungguh menyatakan keturunan mereka tidak memiliki saka.

Setiap kali selepas solat, Amira memanjatkan doa kepada Allah SWT supaya ditunjukkan kebenaran.

Azrinazsedang membaca cerpen seramatas talian di portal Ilham Karangkraf. Sedang dia ralit membaca di meja studi, dia terdengar suara perempuan menyanyi di belakangnya. Dia menoleh dan melihat Yuni sedang duduk sambil menyikat rambut panjangnya di hadapan meja solek.

“Yuni, bila kau masuk bilik. Tak dengar pun,” kata Azrinaz dan terus menyambung baca.

Tiada jawapan. Yang kedengaran hanya suara menyanyi. “Tuai padi antara masak. Esok jangan layu-layuan. Intai kami antara nampak. Esok jangan rindu-rinduan…”

Mendapati soalannya tidak dijawab, Azrinaz menoleh sekali lagi. “Merdu suara kau…”

Nyanyian itu terhenti. Kepala Yuni pantas berputar. Ia bukan Yuni tetapi lembaga yang merupa persis muka Amira. Tetapi muka itu hitam dan hodoh. Lembaga itu menyeringai dan membeliakkan mata.

“Astagfirullahhalazim…” ucap Azrinaz sebaik melihat rupa lembaga yang menakutkan itu. Dia terkejut tetapi tidak gentar. “Kenapa kau kacau aku? Aku makhluk Allah. Kau makhluk Allah. Pergi dari sini. Jangan kacau aku lagi!” Kemudian terus membaca ayat kursi.

Lembaga itu lesap bersama hilaian ketawanya yang panjang.

Pintu bilik tidur itu ditolak. Yuni terjengul di muka pintu. “Kau cakap dengan siapa?”

“Tak ada siapa-siapa,” jawab Azrinaz.

“Aku macam dengar kau bercakap dengan orang tadi,” kata Yuni.

Azrinaz tersenyum.

Yuni terjaga mengejut dari tidur.

“Kenapa?”tanya Azrinaz yang baru hendak membaca Yasin selepas bersolat isyak.

“Aku mimpi saka Amira tu. Takut…” jawab Yuni mengurut dada.

“Kau tidur pun waktu senja tadi. Tak elok tidur waktu senja,” kata Azrinaz.

“Aku rasa macam takut pula nak tidur kat bilik ni,” kata Yuni.

“Kenapa?” tanya Azrinaz.

“Rasa macam saka Amira tu ada lagi kat sini,” jawab Yuni.

“Mari kita baca Yasin sama-sama. Kalau kita selalu baca Al-Quran tentu dia pergi dari sini. Insya-Allah,” balas Azrinaz.

“Kau baca. Aku nak sambung tidur. Letih sangat ni. Aku nak tumpang tidur bilik Suria dan Mahani. Mahani hari ni balik kampung. Suria tinggal sorang,” jawab Yuni dan terus keluar bilik.

Azrinaz sambung membaca Yassin. Ketika dia sedang membaca Yassin, beberapa kali dia nampak kelibat di luar tingkap bilik tidur yang berada di tingkat atas itu. Dia tidak mempedulikan gangguan lembaga itu. Terus sahaja membaca Yassin. Selepas separuh bacaan, kelibat itu tidak kelihatan lagi.

Tetapi malam itu Azrinaz diganggu lagi. Kali ini dia dicekik ketika sedang tidur. Dia yang separa sedar, cuba melawan dengan membaca ayat kursi. Tetapi cekikan lembaga itu semakin kuat sehingga nafasnya tersangkak-sangkak. Dia tidak berputus asa. Terus sahaja membaca ayat kursi dan berserah kepada Allah SWT. Perlahan-lahan dia mulai berasa cekikan itu semakin longgar dan akhirnya hilang.

Dia terbidas bangun, mengucapkan Alhamdulillah, mengambil air sembahyang dan bersolat tahajud seperti selalu. Kemudian barulah dia tidur semula.

Sementara Suria di bilik tidur utama baru terjaga dari tidur. Dia menjerit-jerit ketakutan sehinggamengejutkan semua penghuni rumah sewa itu. Mereka terus berkumpul di bilik tidur utama. Kemudian seorang demi seorang dijangkiti histeria kecuali Azrinaz dan Era. Pak Husni dan Mak Mardihah datang menenangkan keadaan seperti tempoh hari. Semua pulih tak lama kemudian kecuali Yuni. Tetapi Yuni juga dapat dipulihkan selepas sejam kemudiannya.

“Kenapa saka Amira tu tak habis-habis nak kacau kita?” tanya Yuni, tidak puas hati.

“Dia dendam dengan kita ke?” tanya Era pula.

“Kita pergi jumpa dia. Mintak saka dia tu jangan kacau kita lagi,” saran Faen pula.

“Tapi aku pun kena juga. Banyak kali dah. Aku tak terlibat pun dalam kes sampai dia kena keluar dari sini tu,” kata Azrinaz.

“Mungkin sebab kau duduk dalam bilik tu kut…” kata Yuni.

“Betul kata Yuni tu,” kata Suria.

“Betul ke saka dia?” tanya Azrinaz. “Takut tak betul, berdosa kita.”

“Betullah tu…” kata Suria. “Tadi aku nampak saka dia tu merupa dia.”

“Aku pun,” sambut Faen.

Yang lain-lain terkena histeria itu menyokong kata-kata Suria dan Faen.

“Aku nak pindah,” kata Yuni tiba-tiba.

Semua memandangnya. “Tak tahan aku duduk dalam bilik tu. Ingatkan dah tak ada gangguan bila dia tak duduk sini lagi.”

“Kat mana nak cari rumah lagi? Semua dah penuh kat kawasan ni. Kalau ada pun, jauh,” kata Era.

Yang lain-lain bersetuju dengan kata-kata Era.

Walaupun jauh, Yuni berpindah juga ke rumah sewa lain. Kali ini dia menyewa bersendirian di flat.

“Okey tinggal sini?” tanya Sahir, bapa Yuni. Dia dan isteri datang melawat Yuni dan akan bermalam di rumah sewa Yuni itu malam itu.

“Okey, abah. Dah tak kena kacau macam kat rumah lama,” jawab Yuni.

“Kesian si budak Amira tu. Dia tahu ke dia ada saka?” tanya Yasmin, mama Yuni.

“Entahlah, mama,” jawab Yuni. "Tapi dia orang dah tak kena kacau lagi sejak dia orang pergi jumpa Amira tu.”

“Bahaya saka ni…” kata Yasmin. “Aunty Yana kau pun pernah kena dulu. Nasib baik ada bomoh pandai buangkan.”

“Keturunan kita pun ada saka, mama?” tanya Yuni terkejut.

Yasmin mengangguk. “Tapi dah buang dah…”

Yuni menyikat rambut panjangnya perlahan-lahan di hadapan meja solek. Dia tersenyum melihat kecantikan wajahnya di dalam cermin. Tiba-tiba dia terkejut mendapati wajahnya bertukar menjadi wajah seseorang yang mirip dengan wajahnya. Cuma bezanya wajah itu ada lesung pipit yang dalam. Wajah itu hilang dan diganti pula dengan wajah Amira yang hitam dan hodoh. Dan Yuni perlahan-lahan menyanyikan lagu Gurindam Jiwa tanpa disedarinya. “Tuai padi antara masak…”

Yuni tersedar lantas berdiri dan berundur sehingga melanggar kerusisampai jatuh. Dia berasa belakang badannya melanggar sesuatu. Seluruh badannya meriding. Jantungnya berdegup deras. Nafasnya turun naik laju. Dia hendak menoleh tetapi tak dapat menggerakkan kepalanya. Dua tangan perlahan-lahan terjulur melepasi bahunya. Kedua-dua tangan itu dibaluti dengan kain kasa. Pergelangan tangan-tangan itu dihiasai dengan gelang-gelang emas. Kedua-dua tangan itu memeluk Yuni. Yuni tergamam dan ketakutan.

“Jangan menangis…” Satu suara lembut berbisik di telinga Yuni.

“Siapa kau?”tanya Yuni dengan suara bergetar.

“Aku pendamping kau,” jawab suara itu.

Perlahan-lahan lembaga yang memeluk Yuni itu menampakkan dirinya. Yuni yang melihat di cermin menelan air liur. Dari belakang kepalanya lembaga itu perlahan-lahan menunjukkan diri. Muka dan ragam badan lembaga itu miripnya. Tetapi muka lembaga itu mula berubah perlahan-lahan menjadi hitam dan hodoh.

“Pergi!” jerit Yuni lalu jatuh pengsan.

Yuni terjaga selepas beberapa lama pengsan.

“Apa yang terjadi?” tanya Yasmin.

Yuni menceritakan apa yang berlaku.

“Perempuan tu macam Yuni? Ada lesung pipit? Pakai gelang banyak? Pakai baju kebaya?” tanya Yasmin, terkejut.

Yuni mengangguk.

“Baju kebaya warna apa?” tanya Yasmin lagi.

“Merah,” jawab Yuni.

Yasmin pantas mengambil telefon bimbit dan terus menelefon Yana, adiknya.

“Kenapa mama? Kenapa mama?”tanya Yuni.

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.