Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 53

Saat pertarungan semakin pantas, Mariko melihat peluang terbuka untuk dia meningkat ke jurus kesembilan. Pantas dia merempuh dan menetak leher Tsugiyama. Serta-merta Tsugiyama terjatuh, tidak sedarkan diri. Tidak semena-mena, panah berapi dilancarkan dari jauh, mengenai dada Mariko tepat.

 

Ryouji sudah agak lama sampai di dataran namun dia hanya duduk tidak dapat mengesan Mariko dan Tsugiyama. Ini kerana mereka berada di jurus kelapan dan kesembilan yang pantas dan tidak akan dapat diteliti mata kasar. Ryouji tersentak mendapati Tsugiyama sudah rebah di hadapannya sedang Mariko berdiri dengan pedangnya yang tidak bermata dalam posisi menetak. Tidak lama selepas itu, panah berapi menembusi dada Mariko.

 

“Mariko-san!” Ryouji berlari mendapatkan Mariko.

 

“Ryouji...tinggalkan aku...” Mariko memuntahkan darah sebaik menghabiskan kata-kata.

 

“Tidak, Mariko-san. Aku akan membawa engkau ke kuil Furukawa. Ayuh!”

 

Ryouji mengikat Mariko membelakanginya kerana panah itu masih tercacak di dadanya, bergegas ke kudanya dan pantas menuju kuil Furukawa.

 

Sementara itu, Tatsuya keluar dari persembunyiannya sebaik mereka berdua hilang dari pandangan.

 

“Tsugiyama-san, Tsugiyama-san, Tsugiyama-san!” Tatsuya menggoncangkan tubuh tua itu. Kaku. Dia memeriksa nadi. Tiada denyutan. Tatsuya memapah mayat Tsugiyama dan menguburkannya di tengah-tengah hutan buluh.

 

“Aku telah membunuh perempuan itu. Aku pasti. Panah itu telah menusuk dadanya. Jika aku nampak lagi dia di mana-mana, aku akan pastikan dia mati! Pasti!” Tatsuya menggumam sambil duduk di tepi pusara Tsugiyama.

 

Sementara itu di kuil Furukawa...

 

“Bagaimana, Ayame-san?”

 

Ayame menggelengkan kepala. Mariko sudah tiada.

 

Aku hidup – itu kata-kata terakhir Mariko menurut Ayame, semasa merawat luka yang dalam itu.

 

“Maafkan aku Ryouji. Aku tidak menyangka Tsugiyama akan menyerang seawal pagi begini.”

 

“Bukan salahmu Ayame-san. Mariko-san berdegil tidak mahu meninggalkan rumah itu. Jika dia tidak berdegil sudah pasti dia sekarang dalam perjalanan ke Shirasaka bersama yang lainnya.” Ryouji menyuarakan penyesalannya. Namun nasi sudah menjadi bubur. Kedegilan Mariko telah memakan dirinya.

 

Memori rumah perlindungan itu tenggelam dalam api yang marak, bersama-sama cita-cita murni Mariko yang dipegangnya sejak dari mula. Dia mati mempertahankan perkara yang dipandangnya sebagai nilai sebuah kehidupan. Wajahnya tersenyum pada saat-saat akhir hayatnya.

 

Kalian, anak-anakku, teruskan perjuanganku!

 

*****

TAMAT 

BUKU 1: HAYABUSA , 

ARKA 1: TAKASAKI

 

SETERUSNYA

BUKU 1: HAYABUSA, 

ARKA 2: KOGEN

 

 

***************************************************************************


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov