Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 60

Di Kogen, Tokui mula disoal siasat oleh Kogen. Ryouji, Goryuuin dan Ayame duduk berhadapan Tokui di dalam bilik soal siasat, di dalam sebuah kompleks penjara bawah tanah di Shirasaka-no-Kogen.

“Aku seorang penghuni yang dilatih Segawa sebagai saintis rekrut di rumah tersebut.”

Tokui dilatih sebagai saintis lantaran minatnya, sama seperti Shinji dilatih oleh Takasaki.

“Aku sudah lama menaruh hati terhadap Ayako dan telah mengakui perasaanku. Namun Ayako telah menolaknya. Aku bertanya dia adakah dia sudah mencintai seseorang. Dia tidak menjawab.”

Kami tetap bersahabat seperti biasa. Ayako sebaya aku iaitu tujuh belas tahun umurnya. Yang tiga lagi penghuni perempuan masih budak-budak. Maka masaku banyak dihabiskan berbual dengannya jika aku tidak di bengkel relau.

Ayako mulai berubah sejak belakangan ini. Aku tidak tahu apa alasannya. Dia mengelakkan diri dariku setiap kali aku mendekatinya. Ia berlarutan berminggu-minggu. Aku faham perempuan ada masa-masanya. Namun ini berminggu-minggu. Ia meragukan.

Aku mula mengurangkan masa di bengkel relau bagi mengamati perlakuan mereka. Ia tidak hanya berlaku pada Ayako, bahkan penghuni lain yang masih budak itu. Aku lihat Ayako dan penghuni wanita kerap mengantuk di siang hari. Kadangkala mereka terlelap ketika melakukan aktiviti di rumah seperti membasuh pakaian dan membersihkan rumah. Aku hairan. Mereka tidak tidur malamkah? Aku sering tidur awal dan selalunya aku akan tidur di dalam bilik relau di dalam bilik stor yang punya tandas dan kolah mandi sendiri itu, maka aku tidak tahu-menahu apa yang sebenarnya berlaku pada waktu malam. Bahkan, perpustakaan kami terletak berdekatan dengan bengkelku memudahkan rujukanku, maka aku tidak banyak berada di sekitar rumah. Hanya apabila aku berada di sekitar rumah seperti ketika makan dan melepak di taman bonsai, aku lebih kerap berkomunikasi dengan Ayako berbanding penghuni lain.

Aku tidak berani bertanya pada Masami yang berwajah menakutkan seperti ahli sihir tua itu dan Segawa yang kerap tiada di rumah tersebut pada waktu siang. Aku jarang sekali berbual dengan Masami. Jika aku ada sesuatu yang ingin dibincangkan, aku lebih gemar mendekati Segawa.

“Suatu malam aku cuba menyiasat gerak geri mereka. Aku terdengar bunyi seseorang di dalam bilik pejabat. Pintu gelangsar terbuka sedikit, dan aku menolaknya perlahan. Aku terkejut mendapati Ayako sedang bersenggama dengan Segawa-san.”

Aku amat marah berbaur terkejut, seraya lari ke hutan buluh. Wajah Ayako yang dinoda Segawa bermain-main di benakku. Aku hanya sempat memandang seimbas dari balik celah pintu gelangsar yang terbuka sedikit, aku tidak sanggup melihatnya lama sebelum melarikan diri. Ia sungguh menyakitkan hatiku. Namun jelas di mataku saat itu yang dia tidak langsung merelakannya, wajahnya penuh kejijikan dan keengganan. Jelas dia dinodai. Barangkali diugut Segawa-san atas perkara yang tidak aku maklum. Aku akan bertanya kepada Ayako sendiri kelak.

Esoknya Segawa-san bertemuku dan rupanya dia menyedari aku telah mengintai mereka. Segawa-san meminta aku merahsiakan hubungannya dengan Ayako. Sebagai balasan, aku akan disarankan nama kepada Kogen sebagai calon saintis mereka. Tawaran itu amat berat untuk kutolak, kerana aku sememangnya berminat untuk menjadi penyelidik sejak sekian lama. Aku fikir adalah lebih baik aku menerimanya. Aku fikir tawaran itu lebih bernilai dari mengharapkan cinta Ayako yang mustahil akan aku miliki.

Namun sebelum itu, aku harus benar-benar memastikan apa yang kulihat. Adakah Ayako memang mencintai Segawa atau telah diperdayakannya? Hubungan apakah yang dimaksudkan Segawa?

Aku lantas bertemu Ayako sendiri. Pada mulanya Ayako enggan memberitahu. Aku mendesak sekeras-kerasnya, bahkan menarik tangannya ke hutan buluh, jauh dari pendengaran sesiapapun.

Selepas aku mendesaknya berkali-kali, Ayako akhirnya memberitahuku segala-galanya. Segawa telah mengugutnya. Masami yang menghasut Segawa agar mengugut Ayako yang mereka akan membunuhnya jika dia memberitahu Kogen akan jenayah mereka. Ayako memohon agar penghuni-penghuni wanita yang masih muda itu dilepaskan dari dilacurkan, hanya itu yang dia mahukan. Segawa dan Masami bersetuju, dengan syarat Ayako mesti menyerahkan tubuhnya kepada Segawa.

Aku terkejut mendengarkan penjelasan Ayako. Aku harus laporkan kepada Kogen namun bagaimana? Bagaimana jika Masami membunuh kami? Ayako memberitahuku Masami senantiasa memerhati sekeliling hutan buluh dan memanah curi mana-mana nazir yang cuba mendekati rumah itu. Risikonya amat tinggi. Rumah merpati mereka juga dikawal. Kami tidak dibenarkan mendekati rumah merpati itu, atau kami akan dipanah. Bahkan kami tidak dibenarkan keluar dari rumah itu langsung.

Tidak lama selepas itu, Ayako mengandung. Dia tidak memberitahu sesiapapun kecuali aku. Demi kandungan itu, Ayako nekad meminta pertolonganku membantunya melarikan diri dari rumah itu, sedang aku tidak dibenarkan mengikutnya. Dia yakin Masami dan Segawa pasti akan menamatkan riwayatnya sekiranya mereka mendapat tahu perkara itu.

Aku bimbangkan dia. Aku masih cintakan dia. Aku harus memilih, sama ada menyertainya melarikan diri, atau kekal di sini demi masa depanku dan para penghuni lain yang masih budak.

Aku akhirnya memilih Ayako. Pada mulanya dia masih enggan membenarkan aku mengikutnya, kerana bimbang rakan-rakan penghuni wanita yang masih budak yang ditinggalkan di situ kembali dilacurkan. Dia mahu menyerahkan kepadaku nasib tiga budak perempuan itu.

Kemudian dia mengubah fikiran dan membenarkan, dengan satu syarat. Ayako memberitahuku dia sudah hilang keyakinan terhadap Kogen dan menyarankan agar kami tidak melaporkan kepada mereka onar Segawa dan Masami. Dia mendapat mesej bertulis yang dipanah salah seorang nazir Kogen ke sebatang pokok tatkala dia menjemur futon, memberitahu dia mewakili sebuah unit rahsia baharu ditubuhkan di bawah Kogen, yang digelar Skuad Sakura. Juga dalam mesej tersebut nazir itu memberitahunya mahu mendapatkan maklumat perinci berkenaan kegiatan Segawa dan Masami dan akan menunggunya di sebuah tempat di hutan buluh. Ayako mensyaratkan sekiranya aku mahu mengikutnya, kami perlu bertemu nazir tersebut terlebih dahulu dan mendedahkannya. Sekurang-kurangnya jika kami mati dibunuh Masami, Skuad Sakura sudah diberitahu. Dalam surat tersebut turut diselitkan simbol Skuad Sakura. Ayako mendedahkan simbol tersebut kepada tiga lagi penghuni lainnya dan menasihati mereka agar hanya mempercayai unit baharu itu dan melupakan Kogen.

Aku memerah otak mencari jalan bagaimana mengelak dari diperhatikan Masami. Suatu malam aku bersama Ayako keluar ke hutan buluh bertemu nazir Kogen dari Skuad Sakura yang sekian lama cuba menyelinap masuk ke situ bagi mendapatkan kisah sebenar. Aku mengekori Ayako jauh dari belakang.

Masami yang mengekori kami cuba memanah nazir tersebut, namun disedari Ayako. Ayako sempat melindungi nazir berkenaan dengan tubuhnya, dan panah itu mengenai jantungnya tepat. Ayako sempat menggesa nazir itu melarikan diri secepat mungkin ke Kogen. Ayako meninggal dunia tidak lama kemudian, mengisyaratkan kepadaku dengan isyarat mata agar segera melarikan diri dari situ agar tidak disedari Masami. Namun aku enggan, dan memerhati Masami mengebumikan mayat Ayako di situ.

Aku memberanikan diri turun mengadap ‘ahli sihir tua’ itu.

“Masami-san, apa yang engkau lakukan?”

“Tokui?”

“Engkau telah membunuh Ayako...Engkau pembunuh!”

“Ya.” Masami kemudian menyambung dengan ketawa terbahak-bahak. “Jadi, engkau mahu menuntut bela nyawanya? Dipersilakan.”

Aku mengeluarkan pedangku. Namun Masami pantas memanah betisku.

“Panah ini telah dicalit racun torikabuto yang kuolah sendiri yang tidak pantas membunuh.” Dia ketawa lagi.

“Dan engkau menggunakan racun lain memanah Ayako?”

“Kerana aku mahu membunuh nazir itu, aku menggunakan celupan lain. Namun Ayako menggunakan badannya sebagai perisai. Zannen datta.”

“Jawab aku, Tokui. Engkau mahu lari, atau kekal di sini? Pilih, Tokui. Buat pilihan yang tepat.”

Sial. Aku tidak mahu mati sekarang.

“Fikir Tokui. Racun itu telah kuolah agar serapannya lambat. Engkau membuat pilihan yang salah, dan aku akan biarkan engkau mati di sini.”

Akhirnya aku terpaksa memilih untuk hidup. Ayako sudah mati, dan aku mahu hidup demi menuntut bela nyawanya dan melindungi tiga budak perempuan itu. Dan Skuad Sakura pun akan tiba tidak lama lagi. Pasangan sial ini akan mendapat balasan mereka. Aku harus berpura-pura dahulu sementara menanti Skuad Sakura tiba. Aku melihat unit baharu itu sebagai harapan. Lupakan Kogen. Masami dan Segawa telah lama berkhidmat kepada Kogen dan rapat dengan Omi dan Kotobuki, Kogen pasti akan mendengar mereka dan jenayah mereka pasti akan disorong di bawah lantai.

Aku tertekan dengan kematian Ayako, namun aku perlu menyembunyikannya. Segala harapanku telah musnah. Aku mahu membina kehidupan dengan Ayako namun segalanya berakhir sekelip mata.

Saat itu, aku mula menaruh dendam terhadap Kogen. Aku akan membunuh Kogen, tidak, aku akan membiarkan Kogen datang dan menangkap Segawa dan Masami. Kemudian aku akan mencuri peluang menamatkan riwayat mereka, dan petarung Kogen itu, demi menuntut bela Ayako. Dan aku akan melarikan diri bersama-sama penghuni rumah ini. Aku tidak akan tinggal di Shirasaka-no-Kogen. Di sana mungkin aku akan menerima takdir yang sama, diperalat, rakanku dilacurkan. Kogen lemah dan tidak boleh dipercayai.

Aku fikir aku mahu melepaskan diri secepat mungkin dari kehidupan di rumah ini, dan lari. Namun Masami dan Segawa sentiasa memerhati gerak-geriku. Selangkah aku keluar dari sini, nyawaku melayang. Aku mahu hidup. Aku mahu menuntut bela kematian Ayako. Siapa yang boleh diharapkan? Adakah nazir yang menghantar laporan dari Ayako itu boleh dipercayai?

Siapa yang boleh menolong kami di sini?

**

Ayako mengesyaki ketiga-tiga penghuni perempuan yang masih berumur di bawah dua belas tahun itu berubah sikap belakangan ini. Mereka tidak banyak berbicara dan kerap termenung muram, dan kadangkala mengantuk sehingga tertidur ketika sedang melakukan kerja-kerja rumah. Apabila dia cuba mengorek, mereka hanya mendiamkan diri. Kata mereka otou-san meminta mereka merahsiakannya.

Ayako mencuba berkali-kali, sehingga keadaan mengizinkan pada suatu hari, salah seorang dari mereka membuka pekung Segawa. Ayako menekup mulut menahan rasa terkejut.

Aku mesti melaporkan perkara ini kepada Kogen!

Ayako bertemu Masami meminta penjelasannya. Namun lebih mengejutkan, Masami pula menegahnya dari melaporkan kepada Kogen. Malah Masami mengugut akan membunuhnya sekira mendapati dia melaporkan kepada nazir Kogen yang seringkali memerhati rumah itu dari luar, namun kerap dihalau Masami dengan panahan curi sejak Segawa mula melacurkan anak-anak di rumah itu.

Malam itu ketiga-tiga penghuni perempuan yang masih budak itu dipukul oleh Masami kerana memberitahu perbuatannya kepada Ayako.

Sejak itu, Ayako tidak mempercayai pasangan penjaga rumah tersebut. Pada ketika itu, Tokui mula mengesyaki perubahan sikap keempat-empat penghuni wanita di situ. Dia sering di bengkel relau dan jarang bersama mereka. Namun dia seringkali bersama Ayako dan tatkala melihat Ayako juga begitu, dia mengesyaki sesuatu.

Ayako datang merayu kepada Masami agar melepaskan penghuni-penghuni wanita yang masih budak itu dari dilacurkan.

Onegai, Masami-san! Jangan jual mereka lagi, aku mohon sungguh-sungguh! Mereka hanyalah budak, Masami-san!”

“Baiklah. Aku tidak akan menjual mereka, dengan satu syarat.”

Segawa muncul dengan muka menyeringai.

“Engkau perlu ‘menghiburkan’ suamiku bila-bila masa dia mahu.”

“Apa maksudmu Masami-san?”

“Engkau tidak fahamkah? Engkau perlu menyerahkan tubuhmu kepadanya.” Dengan cara ini, Tasutake akan tunduk kepada segala kemahuanku.

Ayako terdiam lama. Kemudian dia bersuara.

“Baiklah. Namun kalian mesti berpegang pada janji kalian. Jangan apa-apakan lagi adik-adik kami itu.”

**

Sebaik mendapat laporan dari Skuad Sakura, Kogen menghantar beberapa pegawainya bagi membawa Tokui dan penghuni lain ke Shirasaka. Kogen turut menghantar tabib bagi merawat Ayame dan Touma. Keadaan kedua-dua mereka sudah beransur pulih. Mujur dos yang masuk ke dalam tubuh Touma sedikit. Namun kes Ayame berbeza dan aneh. Tabib tidak dapat menjelaskan mengapa.

Nazir Kogen di sekitar kawasan itu membantu dengan membekalkan ubat-ubatan dan makanan. Ayame, Ryouji, Touma dan Takumi tinggal di situ selama seminggu sebelum rumah perlindungan itu ditutup sepenuhnya.

Pada hari keenam Ayame terlantar, dia bangun.

“Ruka-san, ambilkan mangkuk.” Ayame meminta kepada tabib perempuan yang merawatnya, bernama Ruka. Ruka seorang tabib berusia empat puluhan.

“Baiklah.” Ruka menurut, tidak bertanyakan alasannya.

Ayame mengambil mangkuk dari Ruka, meletakkan di bawah hidung dan menghembuskan darah merah pekat dari hidungnya. Ruka terperanjat. Apa yang sedang berlaku?

“Ayame... engkau tidak apa-apa?”

“Tidak. Aku rasa sungguh lega sekali. Benar-benar seperti sebelum aku dipanah itu. Hanya kawasan cedera di pinggang masih sedikit sakit.”

Darah apakah ini? Getus Ruka.

Ruka memeriksa Ayame. Dia sihat, seperti dia langsung tidak pernah dipanah Masami. Aneh. Mungkinkah Ayame mengumpulkan racun itu ke dalam darah pekat itu dan mengeluarkannya, selama dia pengsan hampir seminggu? Namun bagaimana dia melakukannya?

Esoknya, mereka berempat meninggalkan rumah itu. Rumah tersebut dibakar sepertimana arahan Omi. Batu tama-no-iwa-nya dibiarkan runtuh sendiri menjadi abu. Dalam masa tiga tahun dari sekarang, kawasan ini akan dibuka kembali, dihuni oleh penghuni baru, penjaga baru dengan kenangan baru, atau mungkin, tragedi sebegini.

Ryouji merenung rumah itu tatkala api marak menjilatnya. Aku berharap tragedi begini tidak akan berulang lagi. Api begini marak sekalipun tidak akan dapat memadamkan memori hitam dalam benak para penghuni yang telah dimangsakan Segawa dan Masami. Ia akan berparut di hati mereka buat selama-lamanya.

Takumi bertemu Ayame.

“Ayame-san, engkau bolehkah menunggang kuda? Bagaimana dengan pinggangmu?”

“Ya, sakit di situ sudahpun hilang. Aku fikir goncangan kuda tidak akan menyakitkanku.”

Takumi berbisik sendirian. Ayame sungguh aneh. Dia berjalan normal tanpa menundukkan sikit pinggangnya tanda kesakitan. Padahal semalam dia mengatakan pinggangnya masih sakit. Tabib itu juga mengatakan tahap kesihatannya normal, seperti seolah-olah racun itu langsung tidak memberi kesan kepadanya, selepas dia menghembus keluar darah pekat itu. Apapun, aku gembira sekiranya dia sihat kembali. Hanya itu yang mahu kupastikan.

Dalam perjalanan pulang ke Kogen, Ayame melihat Ryouji seperti tidak bermaya.

“Ryouji, engkau tidak apa-apa?”

“Aku pening sedikit.”

Ayame meminta Takumi dan Touma meneruskan perjalanan, sementara dia membiarkan Ryouji berehat dahulu. Mereka bersetuju.

Sebaik mereka jauh meninggalkan Ayame dan Ryouji, Touma menegur Takumi.

“Takumi, relakah engkau membiarkan mereka berdua?”

“Budak itu masih perlu bimbingan. Banyak perkara mengejutkan dalam seminggu lepas sedang Ayame masih terlantar. Ada baiknya Ayame bercakap dengannya sekarang.”

“Maksudku, perasaanmu terhadap Ayame. Engkau tidak cemburu?”

“Mana mungkin, Ryouji di bawah umur lagi. Sudahlah, aku tidak mahu fikirkannya sekarang. Ayuh!” Takumi memecut kudanya.

Touma menurut di belakang. Takumi, aku berharap engkau punya kekuatan untuk mengakui perasaanmu terhadap Ayame satu hari nanti.

Sementara itu, jauh di belakang...

“Ryouji, kita rehat sebentar di sini.” Ayame berkata kepada Ryouji tatkala kuda mereka melintas laluan yang di kanannya ada sebatang sungai kecil. Nun jauh di ufuk jelas kelihatan Gunung Fuji di hari yang cerah tanpa awan itu.

Ryouji menurut. Sebaik turun dari kuda, dia tiba-tiba rebah.

Ryouji! Ryouji! Ayame menggoncang-goncangkan tubuh itu. Kaku. Namun nafasnya masih dihela. Nadi masih berdenyut. Ayame menyandarkan Ryouji pada sebuah batu besar. Dia meletakkan tangan pada dahinya. Tiada tanda-tanda demam. Aku fikir dia keletihan, getus Ayame.

Apapun aku biarkan dahulu dia tidur di sini.

**

“Keisuke! Keisuke! Keisuke!” Ryouji memanggil-manggil nama rakan karibnya itu. Ketika itu dia berumur sembilan tahun. Dia berlari-lari merentas laluan di tengah-tengah bendang yang sudah kering dituai padinya.

Ia musim luruh, 1864.

Dia ternampak Keisuke sedang terbaring berlumuran darah di kepalanya, di tepi tali air. Bersamanya, tiga orang budak lelaki yang amat dikenali Ryouji, salah seorang dari mereka sedang memegang kayu dengan kesan darah padanya.

“Kalian!” Ryouji bergegas menuju ke arah mereka. Mereka pantas melarikan diri.

Ryouji beralih kepada Keisuke yang sedang terbaring.

“Keisuke! Keisuke!”

Keisuke tidak sedarkan diri. Dia seorang budak sebaya Ryouji namun bertubuh kecil, dan kurus. Dia kerap dibuli oleh tiga budak lelaki tadi, sejak tiba di sini tahun lepas bersama bapa dan ibunya yang bekerja di sawah di sebelah sawah bapa Ryouji. Namun sejak Ryouji menyelamatkan dia dari dibuli pada suatu hari pada tahun lepas oleh tiga budak itu, dia tidak lagi dibuli mereka, hanya tiga budak itu berani mengejeknya dari jauh, kerana takut dengan Ryouji yang tahu bertarung.

Setiap hari Keisuke akan datang bertemu Ryouji. Ryouji tidak lagi kesunyian selepas kematian kucingnya. Namun pada hari ini, Keisuke tidak datang-datang. Ryouji kerisauan seraya menjejakinya.

Keisuke, Keisuke! Ryouji menggoncang-goncang tubuh kecil itu. Masih, tiada jawapan.

Dia mengendong Keisuke bertemu bapanya. Selepas dibawa bertemu tabib, dia mengesahkan Keisuke sudah meninggal dunia.

Ryouji tidak dapat menahan amarah. Esoknya, dia keluar sambil membawa sebatang kayu yang besar.

“Engkau hendak ke mana, Ryouji dengan kayu itu?” Miura menegurnya.

“Aku mahu menuntut bela kematian Keisuke.”

“Ryouji, bersabar. Aku sudah melaporkan kepada Daimyo Kimura. Dia akan menghantar polis menahan budak-budak itu.”

Ryouji tidak mempedulikan kata-kata Miura. Dia berjalan laju menuju ke laluan di tengah-tengah bendang sambil membawa kayu besar itu. Beberapa orang petani yang sedang membersihkan sawah-sawah yang kering kontang itu terkejut dan berdiri memerhati Ryouji. Miura mengekorinya di belakang.

“Ryouji! Dengar dahulu kataku!”

Miura memegang kedua-dua belah tangan anak lelakinya itu, memandang tepat menembusi anak matanya.

“Pandang otou-san, Ryouji. Pandang otou-san!”

Ryouji memandang Miura. Kemarahan masih jelas tertera di wajahnya, matanya merah, dahi berkerut.

“Tenangkan dirimu Ryouji. Adakah engkau mahu menjadi pembunuh seperti mereka juga? Ryouji, pembunuhan itu sudah berlaku. Kita tidak dapat mengubahnya. Biarlah undang-undang yang menghukum mereka.”

“Hanya jika aku lebih cepat tiba di situ... hanya jika aku lebih cepat, Keisuke pasti masih hidup!”

Miura memeluk anak lelakinya itu.

Sejak hari itu, Ryouji kemurungan. Dia duduk di dalam rumah berminggu-minggu lamanya. Pada suatu hari, dia bangun seperti biasa, normal. Bertutur dengan ibunya normal.

Ibu Ryouji, Ritsuko hairan melihatnya.

“Miura, apakah anak kita itu sudah pulih?”

“Ada apa dengannya?”

“Aku lihat dia bertutur seperti biasa denganku.”

“Biar aku periksa.”

Miura menemui Ryouji sedang duduk merenung ke arah bendang di bawah pokok sakura di depan rumah.

“Buat apa Ryouji?”

“Ah, otou-san. Tiada apa-apa. Aku teringin melihat matahari. Lama sudah aku berkurung.”

“Masih rindukan rakanmu?”

“Rakan? Otou-san apa yang engkau mengarut?”

Miura terperanjat mendengar kata-kata Ryouji.

“Rakanmu yang bernama Keisuke itu.”

Otou-san, aku tidak pernah punya rakan bernama Keisuke. Apa yang engkau karutkan ini?”

Miura tidak mengesan sebarang riak lakonan. Ryouji nampaknya berkata benar. Barangkali dia terlupa kerana kerap tidur di dalam rumah. Atau dia memang hilang ingatan?

Miura membawa Ryouji bertemu tabib. Tiada apa-apa sakit. Normal.

“Mungkin ingatan terhadap rakannya itu hilang akibat tekanan emosi.” Kotobuki menyuarakan pandangannya ketika Miura bertemunya di kuil Furukawa beronsen.

“Seseorang boleh hilang ingatan terhadap satu peristiwa pahit yang menekan emosinya.”

Maka fahamlah Miura.

“Namun kesan dari peristiwa itu kekal. Cuma pesakit tidak akan tahu darimana punca kepada kesan itu. Contohnya, dia akan bermati-matian melindungi seseorang yang rapat dengannya dan tidak mampu bertarung, namun dia tidak akan tahu mengapa dia cenderung melakukannya.”


Previous: Bab 59
Next: Bab 61

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov