Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 1

Petang itu gamat dengan bunyi higurashi dari hutan berhampiran.

Ryouji dan adiknya baru sahaja pulang dari mengail ikan di bendang. Sesampai di rumah, Ryouji tersentak.

Pintu kertas gelangsar rumah kayu itu terbiar dalam keadaan terbuka. Di mana bapanya? Kebiasaannya dia akan menutup pintu bagi mengelak penceroboh.

Ryouji berasa tidak sedap hati, dia berundur perlahan-lahan meredah belukar di mana dia berada, demi mengurangkan bunyi. Kerana saki-baki penceroboh mungkin masih berada di mana-mana. Dia mungkin sasaran mereka juga. Dia bergerak merentas belukar itu untuk menjejak kesan-kesan tinggalan lain oleh penceroboh.

Otou-san, di mana kamu?

Ryouji tidak dapat mengelak dari memikirkan perkara buruk yang mungkin menimpa bapanya. Bapanya mungkin telah diserang, atau mungkin dibunuh! Dia mula teringat akan kata-kata bapanya yang dia mungkin akan diserang oleh musuh keluarga mereka. Mungkinkah hari ini yang dimaksudkan bapanya itu?

"Onii-sanonii-san mengapa berundur?", tanya Hisamiko, adik perempuan tunggal yang sedang dikendong di belakangnya yang baru terjaga dari tidur sambil menggosok-gosok matanya, hairan melihat Ryouji berhenti dan bergerak meninggalkan rumah perlahan-lahan. Hisamiko berumur sembilan tahun pada ketika itu. Dia selalu mengikut Ryouji menangkap ikan di bendang.

"Shhh, Hisamiko!", Ryouji membalas, sambil meletakkan jari ke mulutnya.

"Aku akan membawamu ke tempat lain. Nampaknya rumah kita telah diceroboh." Ryouji memberitahu, sambil matanya masih tidak lepas dari melihat kesan tompokan darah dari tingkap rumah yang juga terbuka diceroboh dan berjejeran masuk ke dalam sebuah belukar. Tidak pasti darah siapa, sama ada penceroboh atau bapanya.

"Siapa yang menceroboh, Onii-san?"

"Barangkali perompak. Hisamiko, kau akan berdiam di tempat persembunyian sehingga aku kembali." Ryouji membuat keputusan itu setelah melihatkan dia mungkin tidak mampu bertarung sambil mengendong Hisamiko, kerana dia masih belum cukup pandai dan kuat untuk itu. Jika dia tewas, Hisamiko mungkin akan ditangkap dan dijual kepada ibu ayam sebagai karayuki. Bapanya tidak mungkin akan memaafkan kesilapan ini. Terngiang-ngiang pesan mendiang ibu dan bapanya bahawa dia perlu melindungi dan mengutamakan keselamatan Hisamiko dalam apa jua keadaan. Pada mereka, biarlah Hisamiko didahulukan meskipun mereka akan mati kerana ditangguhkan perlindungan dan rawatan demi Hisamiko. Ryouji amat memahami sayang mereka yang melangit kepada Hisamiko, kadangkala dia mencemburuinya.

Dia tidak mahu Hisamiko ditimpa nasib yang dahsyat itu. Dijual sebagai karayuki, dan kemudian digauli oleh lelaki 'gaikokujin' (asing) hidung belang dari negara asing, adalah pengalaman hitam yang akan berparut di jiwa Hisamiko buat selama-lamanya. Hisamiko adalah satu-satu adiknya dan dia sebagai abang harus mempertahankan maruahnya.

Ryouji tekad, Hisamiko dahulu sebelum bapanya.

"Tapi Miko takut, Onii-san." Hisamiko berbunyi sebak. Matanya mula berkaca. Tangannya menggenggam kuat lengan Ryouji

"Miko, kamu hanya perlu berdiam di tempat sembunyi. Aku pasti akan kembali."

Ryouji bergegas lari, selepas beberapa langkah mengundur keluar dari belukar menuju ke sebuah denai. Ryouji dan adiknya bergerak kembali ke dalam hutan berhampiran mengikut denai itu.

Bunyi higurashi masih bingit dan semakin kuat apabila mereka berada di dalam hutan. Ryouji mengamati keadaan sekelilingnya dan cuba mencari petunjuk-petunjuk ke tempat persembunyian, sekali sekala matanya meliar melihat sekiranya ada yang mengekori mereka. Ryouji menjadikan tempat tersebut sebagai tempat bersembunyi sekiranya dia dimarahi ibu atau bapanya. Selepas membina tempat persembunyian itu, dia meletakkan beberapa petunjuk di sekitar hutan.

Petunjuk pertama: kekuatan bunyi air sungai setelah lima puluh langkah dari rumahnya mengikut denai. Jika masih belum kuat bererti dia berada di tempat permulaan yang salah. Dia mundar-mandir seketika dan mencorongkan tangan di telinga. Dia bergerak lima langkah ke kanan, dan menginjak-injak kakinya. Ya, inilah laluannya! Ia adalah tebing curam di tepi denai di mana mereka berdiri. Tebing itu dilitupi oleh pepohon renek yang merimbun. Namun di bawah pepohon renek ini tiada sebarang pokok pun, maka dengan hanya menyelak ranting-rantingnya mereka dapat duduk dan langsung menggelongsor pada tebing curam itu ke bawah.

Miko menekup mukanya dengan belakang badan Ryouji dan memaut tubuhnya sekuat-kuatnya. Mereka duduk di atas tebing, menguis ranting-ranting hidup yang melitupi tebing itu seraya menggelongsor ke bawah.

Petunjuk kedua: jarak dari anak sungai ialah dua puluh langkah. Ryouji hanya perlu menganggarkannya dari sebatang anak sungai yang sedang mengalir di hadapan mereka dan melihat ke sebuah gua batu kecil di bahagian kanan, yang ditutup dengan pintu buluh dan dilapisi dengan dedaun dan ranting kayu agar tidak nampak ketara pada orang asing.

"Miko, aku tidak akan pergi lama. Jika aku tidak kembali sehingga esok, ikut perancangan yang telah kuajarkan padamu selalu." Ryouji mulai mengulangi perancangan yang telah diajarkan Hisamiko berkali-kali. Kemahiran survival, yang diperturunkan bapanya.

"Adakah Onii-san akan mati? Onii-san jangan mati. Miko takut!" Hisamiko mulai sebak, esak tangis kecil mula kedengaran di celah-celah kebingitan dengung higurashi dan aliran sungai kecil. Dia memeluk Ryouji sambil terus menangis.

"Jangan menangis, Miko! Aku pasti akan kembali. Ikut apa yang telah aku ajarkan." Ryouji meletak tangannya ke atas kepala Hisamiko dan mengusapnya, perlahan-lahan melepaskan pelukan Hisamiko. Matanya masih melilau, takut-takut tangisan Hisamiko menarik perhatian penceroboh yang mungkin sedang mengekori mereka. Ryouji kemudiannya meletakkan bakul berisi tangkapan dari bendang dan juga beg buluh berisi buah yang dipetik Hisamiko.

"Hisamiko, Onii-san pasti akan kembali. Sehingga itu, makanlah buahan di dalam bakul ini untuk mengalas perut.", pesan Ryouji, lalu bergegas kembali ke rumah.

Aku yakin, perancangan yang telah kuajarkan kepada Hisamiko itu berguna dan mampu menyelamatkannya. Hisamiko hanya perlu menunggu sehingga bantuan tiba dari rumah rakan kepada otou-san. Aku akan menghantar surat melalui merpati kepada rakannya memaklumkan keadaan kami.

Bapa Ryouji, Okuhida Miura adalah bekas samurai dan pemilik bendang dan juga ketua keluarga Okuhida. Ibu Ryouji, Ritsuko telah meninggal dunia setahun lalu selepas ditimpa demam panas dan sakit lain yang menyusul darinya yang menyebabkan dia terlantar berbulan-bulan sebelum meninggal. Hisamiko adalah satu-satunya adik beradik Ryouji. Mereka, keluarga Okuhida, berkhidmat kepada daimyo yang bernama Taishi Kimura yang juga bertanggungjawab ke atas semua bendang-bendang dan kampung-kampung lain di dalam wilayah pentadbirannya, iaitu Wilayah Hidagawa yang bergunung-ganang, yang terletak di tengah-tengah pulau utamanya, Honshu di Jepun.

Ryouji perlahan-lahan mendekati pintu rumahnya yang masih terbuka. Hari akan gelap dalam masa beberapa jam lagi, angin petang musim luruh bertiup perlahan. Ryouji melihat ke kiri dan kanan. Otou-san! Dia melaung memanggil bapanya. Tiada jawapan.

Ryouji menolak pintu gelangsar bilik utama, tersentak apabila mendapati seorang asing berpakaian merah gelap terbaring kaku di dalam bilik itu. Dia memusingkan tubuhnya, memeriksa nadi. Dia sudah mati. Terdapat kesan libasan pedang di lehernya.

Melihatkan kesan darah yang berjejeran dari dalam bilik, melalui tingkap dan terus ke dalam belukar, Ryouji menjangkakan ia datang dari seorang lagi penyerang yang tercedera dan cuba melarikan diri. Dia melihat pedang bapanya sudah tiada dalam simpanan. Dia memeriksa sangkar merpati. Merpati pada sangkar merpati bertuliskan 'rumah perlindungan Takasaki' sudah kosong. Bapanya telah melepaskannya, bererti rakannya yang bernama Takasaki itu sudah diberitahu.

Aku pasti, otou-san masih bergelut dengan penyerangnya.

Ryouji bergegas keluar melalui pintu utama. Dia melihat capal bapanya tiada. Sah, bapanya sedang mengejar baki penceroboh. Dia bersedia dengan dua bilah pedang pendek disisip kemas di pinggangnya, jika bantuannya diperlukan kelak.

Dia menjejak kesan tapak kaki, namun kesan tersebut hilang ke dalam belukar bersama-sama dengan kesan darah. Bapanya mungkin melalui belukar tebal. Bagaimana harus aku jejaki mereka? Hari semakin gelap dan amat sukar menjejak tapak kaki dan darah di dalam belukar.

Fikiran Ryouji buntu. Dia kembali ke denai menuju Hisamiko dengan perasaan hampa.

Ketika di pertengahan perjalanan, Ryouji mendapati denai itu kini memiliki tompok-tompok darah. Dia menjejaki tompok-tompok darah itu. Aneh, tompok darah itu membawa dia menelusuri denai yang sama yang dilaluinya ketika membawa Hisamiko bersembunyi. Barangkali penceroboh itu berjaya mengekori mereka dan Hisamiko sedang dalam bahaya!

Ryouji menggetap bibir menahan marah. Bodohnya aku! Getus hati kecilnya sambil menumbuk-numbuk dahi, menyedari bahawa mereka berdua telah diekori. Barangkali diekori oleh penceroboh itu namun dia mungkin tidak tahu hubungan mereka dengan Miura. Dia tangkas berlari dan menggelongsor ke tempat persembunyian Hisamiko.

Setibanya di bawah di tebing sungai, dia mendengar bunyi desingan pedang. Dua orang lelaki sedang bertarung di bawah, di tepi sungai. Otou-san! Pandangan Ryouji menjadi terang. Dia lega berbaur cemas. Otou-san masih hidup!

Bapanya, Miura sedang berhadapan dengan seorang lelaki berkimono perang yang sedang tercedera. Ryouji menemui Hisamiko dalam keadaan takut dan menangis, sedang mengintai dari pintu gua.

Miura menanti serangan seterusnya sambil pedangnya masih dihunus ke arah Genji. Dia melibas pedangnya ke pinggang Miura. Miura menahan libasan itu, kemudian membuat kilasan dan sepantas kilat, pedangnya tercampak ke tepi sedang pedang Miura berada di lehernya.

"Pancunglah. Aku sudah tewas." Genji bersuara, ada nada penyesalan. Menyesal, kerana dia mengikut Sairenji menyertai Hamada dahulu.

"Engkau Genji bukan? Yang selalu bersama Saitou itu?"

"Benar."

"Jika engkau lari dariku sekarang, aku tidak akan membunuhmu. Rawat lukamu segera, aku sengaja menghirisnya cetek." Miura cuba menawarkan sesuatu dengan kata dua, dia selagi boleh tidak mahu membunuhnya kerana dia tahu, Genji ketakutan. Miura hanya mahu melindungi dirinya.

Genji bingkas bangun dan melarikan diri sambil kakinya menjengket-jengket, sedang tangannya memegang pinggang. Dia tahu kini, bahawa luka di pinggang itu bukannya kerana dia berjaya mengelaknya, tetapi kerana simpati Miura. Tawaran Miura berjaya. Dia kini selamat. Jika Genji masih belum mengalah, sudah pasti dia tidak akan teragak-agak lagi membunuhnya dalam enggan.

Pengecut atau tidak, aku tidak peduli. Mustahil aku dapat mengalahkan Miura. Bahkan dia pencipta asal kaminari-no-kaze dan masih mahir melakukannya. Adalah bodoh jika aku membiarkan diriku dibunuhnya dalam pertarungan sia-sia, yang sudah tentu siapa kalah dan menangnya. Apakah Hamada memang sengaja menghantar kami ke sini untuk dikambinghitamkan?

Apapun, aku memilih untuk hidup. Aku mahu lari dari sini sejauh-jauhnya. Akan aku hantarkan utusan kepada Hamada mengatakan yang aku telah mati, ibubapaku akan mendapat pampasan. Dan aku akan menghilangkan diri sejauh mungkin, berkahwin dan membina keluargaku. Sayounara, soshite arigatou, Miura-san!

Tidak semena-mena tembakan sumpit beracun fukiya tepat mengenai leher Miura. Sejurus selepas itu, terdengar bunyi ranting patah dan pepohon renek bergoyang di kejauhan.

Pandangan Miura beransur-ansur menjadi kabur. Dia rebah.

"Otou-san!"

Ryouji menghampiri jasad bapanya yang longlai, seraya memangku tubuh tua itu di ribaannya.

"Otou-sanotou-san!" Ryouji menggoncang-goncang tubuh bapanya. Matanya membeliak dan memutih. Nafasnya tersekat-sekat seperti tercekik sesuatu. Darah merah yang bertakung di dalam mulutnya meleleh keluar. Kesan racun itu pantas kerana ia menembusi urat di leher. Hisamiko keluar dari gua itu dan turut berada di sisi abangnya.

"Ni-ge-ro (Lari)...Ta-ka-sa-ki...e (kepada Takasaki)." Miura mengeluarkan peti kecil yang diperbuat daripada gangsa dari dalam saku kimononya, lalu meletakkannya ke dalam genggaman Ryouji. Sejurus itu, dia terus kaku sedang tangannya masih digenggam Ryouji.

Miura menghembuskan nafas terakhir sebelum sempat menjelaskan siapa Hamada dan orang-orangnya. Hisamiko keluar dari tempat persembunyian, masih ketakutan selepas melihat sendiri pertarungan antara bapanya dengan pembunuh upahan itu. Dia dan Ryouji menangis di sisi mayat bapa mereka.

***

Kisah ini juga diterbitkan di laman wattpad saya: https://www.wattpad.com/user/meddmenov

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov