Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 13

Sebaik menyeberang sungai di kawasan paling cetek, mereka tiba di kuil Shinto yang ada patung Buddha dengan dua patung gangsa berbentuk singa. Tiada aral melintang. Seekor hayabusa berlegar-legar di atas mereka seperti biasa. Di mana ada Hisamiko, di situlah ada burung itu. Hisamiko boleh diumpamakan seperti seorang magnet hayabusa. Mereka sampai di kuil Shinto kedua setelah hampir malam. Kuil ini ialah kuil di mana mereka pernah menghabiskan dua malam di situ kerana Hisamiko jatuh sakit.

 

Dia masuk ke kuil. Kelihatan seorang penjaga sedang menyapu daun-daun kering. Penjaga itu senyum kerana dia mengenali Ryouji. Dia berhenti menyapu dan tunduk kepada Ryouji. Ryouji dan Hisamiko membalas. Ryouji menyampaikan hasratnya mahu bermalam di situ.

 

Berbeza dengan setahun lepas ketika dia datang ke kuil ini dengan perasaan berkecamuk, kini dia berasa sedikit tenang. Dingin musim luruh tidak lagi terlalu menggigit. Kehadiran rakan-rakan di rumah perlindungan itu ke dalam hidupnya sedikit sebanyak merawat luka di hati dan membantu dia melupakan kisah pahit yang dilalui. Untuk seketika cuma. Kenangan bersama bapanya masih bermain di fikiran tatkala dia berendam di dalam onsen di situ.

 

Esoknya, dia dan Hisamiko berangkat awal pagi menuju ke kuil ketiga. 

 

Sampai di torii, Ryouji berhenti sejenak, mengingat di mana lokasi kubur penjaga kuil itu yang dibunuh Saitou. Dia menuju ke kubur itu yang terletak di luar kuil, dan duduk bersila di hadapannya. Hisamiko menurut.

 

Dia bertafakur di depan kubur itu. Bunyi higurashi bingit memecah suasana. Daun-daun kering meliputi atas kubur, Ryouji mengambil ranting kering dan membersihkannya.

 

“Semoga para kami memberi hukuman setimpal kepada pembunuhmu. Semoga karma menimpanya segera.”

 

Dia masuk ke kuil. Kelihatan seorang penjaga sedang menyapu daun-daun kering. Dia lebih muda dari penjaga sebelumnya. Penjaga itu berhenti menyapu dan tunduk kepada Ryouji. Ryouji dan Hisamiko membalas.

 

Mereka kemudian mencampakkan kepingan duit syiling ke dalam sebuah peti di tempat persembahyangan dan berdoa memohon keselamatan dari para kami. Kemudian mereka ke taman bonsai.

 

Ryouji membuka bentonya, memberikan onigiri kepada Hisamiko. Hayabusa yang mengekori mereka bertenggek di atas longgokan batu-batu besar di taman itu. Ryouji menawarkannya sedikit lauk dari bento. Ikan salmon. Burung itu terbang, bertenggek di atas lengan Ryouji, dan menyambar lauk itu, seraya menelan dengan lahapnya.

 

Hisamiko menyampaikan khabar burung itu kepada Ryouji “Baru sekarang engkau mahu memberiku makan.” Ryouji tersenyum, kemudian berkata kepadanya melalui Hisamiko “Aku akan memberikanmu makan lebih banyak selepas ini, dengan syarat engkau mesti memerhati ruang udara di atas kami ketika melepasi pekan Furukawa.” Burung itu menjawab melalui Hisamiko “Ryoukai desu! (faham!)”.

 

Ryouji amat risau akan pekan tersebut. Ia pekan yang penuh dengan pelbagai ragam manusia, dari pedagang tempatan mahupun Barat, dari ronin ke ninja (saki bakinya), pedagang sutera, senjata termasuk fukiya, dan pembunuh upahan. Mereka kadangkala akan pergi ke tebing Sungai Miya yang merupakan laluan ke kampung Ryouji untuk bersembahyang di kuil itu. Ia pekan terdekat dengan kampung mereka di utara Hidagawa dan merupakan pintu masuk utama masyarakat Jepun ke laluan celah pergunungan Hidagawa itu. Selainnya, hanyalah hutan belantara sasa, shirakaba, momiji, karamatsu dan kaede yang bersilih ganti yang mengelirukan bak fatamorgana.

 

Hayabusa di atas terbang turun melaporkan pemerhatiannya sekali-sekala. Biasalah, apabila perut sudah kenyang, kerja pun senang, hati pun girang. Sekali lagi tiada aral melintang. Sekian lama berjalan, semakin banyak persekitaran yang mereka kenali menerpa benak, menggamit memori. Akhirnya, mereka tiba ke jeti merentasi tali air ke bendang milik keluarga mereka yang dilalui setahun lalu. Mereka berhati-hati merentasinya. Hisamiko dipimpin.

 

Sekarang mereka merentasi perbatasan sawah padi yang luas terbentang dibahangi cahaya matahari yang sedang tegak di atas kepala. Kini tiada lagi padi di petakan sawah, hanya bendang yang dipenuhi tanah perang gelap kerana ia baru dituai dua bulan sebelumnya. Timbunan jerami menghiasi laluan-laluan batas di antara bendang-bendang, dijemur ketika musim panas lalu. Ryouji mahu singgah melihat rumahnya dahulu.

 

Dia terperanjat mendapati rumahnya telah diubahsuai. Dia melihat seseorang di luar rumah sedang duduk di atas timbunan jerami. Dia tidak mengenalinya. Dia bertanyakan orang itu berkenaan pemilik rumah tersebut.

 

Orang itu menjawab rumah dan tanah bendang itu miliknya, dan dibelinya dari gabenor yang dilantik oleh kerajaan Maharaja yang baru diasaskan. Daimyo Taishii Kimura melepaskan semua haknya ke atas tanah-tanah di situ dan tanah lain di Hidagawa kepada Maharaja setelah menerima perintah dari baginda. Dia telah berpindah ke Kyushu. Ryouji terkilan mendengarnya, namun dia tidak mampu berbuat apa-apa. Tanah-tanah di Jepun sememangnya hak Maharaja dan ia layak dikembalikan dan ditukarmilik oleh baginda.

 

Ryouji beredar dengan hampa, kerana dia merancang untuk bermalam di situ selepas pulang dari melawat kubur bapanya. Dia dan Hisamiko beredar melalui denai menuju ke gua tempat persembunyian mereka dahulu.

 

Mereka tiba di gua itu. Ia masih sama seperti dahulu. Cuma Ryouji mendapati agak sukar untuk masuk ke dalamnya kerana badannya yang semakin tinggi.

 

Mereka duduk di sisi kubur Miura yang hanya terletak di sebelah gua kecil itu seraya bertafakur.

 

Otou-san, sudah lama tidak ketemu. Bagaimana otou-san di sana? Pasti otou-san bahagia bersama okaa-san di syurga. Kami di sini baik-baik sahaja. Hisamiko sudah sepuluh tahun, aku empat belas. Terlalu banyak kisah yang ingin kami kongsikan denganmu. Terima kasih memperkenalkan kami dengan Takasaki-san. Kami mendapat ramai kawan baru di sana. Hisamiko tidak lagi pendiam seperti dahulu. Seorang kakak yang sangat cantik sentiasa berbicara dengannya.”

 

Ryouji dan Hisamiko tidak dapat menahan sebak. Dia menyeka matanya dengan lengan haori, bersekali dengan Hisamiko.

 

Otou-san, aku masih belum dapat menjejak pembunuhmu. Namun aku tidak akan berputus asa. Kematianmu pasti akan terbela. Aku berjanji.”

 

Mereka juga bertafakur mengingati roh ibunya. Mayat Ritsuko tidak dikebumikan, tetapi dibakar mengikut adat Shinto dan juga atas permintaan Ritsuko sendiri. Miura menghormati keputusan itu. Namun keputusan sama ada mayat Miura dibakar terletak di tangan Ryouji dan Hisamiko. Ryouji memilih untuk tidak membakarnya kerana merasakan dengan pengebumian, kubur bapanya dapat dilawati seperti yang dilakukan sekarang. Sekurang-kurangnya mereka masih ada tempat kembali saban tahun.

 

Miura berkahwin lewat, ketika umurnya sudah menginjak lebih empat puluhan. Dalam ingatan Ryouji, Miura seorang bapa yang tua dan rambutnya hampir separuhnya sudah beruban. Dia kurus, matanya dua kelopak dan sedikit sepet. Tingginya purata. Dia memakai kimono berwarna biru muda dengan haori kelabu pekat kebiasaannya. Di waktu lapang selepas musim menuai dia sering duduk di bawah pohon sakura itu sambil mengukir patung kayu jika tidak melatih Ryouji. Sekali-sekala dia akan membawa Ryouji ke pekan Furukawa dengan mengendongnya di belakang melihat masyarakat luar.

 

Ryouji masih mengingatinya. Ketika itu musim panas 1860, ketika dia berumur lima tahun.

 

Otou-san, orang-orang itu aneh wajahnya.”

 

“Benar, mereka bukan dari sini.”

 

“Bukan dari sini?”

 

“Ya. Mereka datang dari negeri yang jauh.”

 

“Negeri yang jauh? Mengapa mereka datang ke sini?”

 

“Mereka mahu menjual barang mereka dan membeli barang kita.”

 

“Menjual barang mereka? Seperti topi itu?” Ryouji menunjuk ke arah topi yang dipakai salah seorang pedagang Belanda.

 

“Ya. Dan juga kain sutera kimono yang kita pakai ini.” Pedagang Belanda ialah pedagang pengantara yang bertanggungjawab membawa sutera dari tanah besar Qing (China) ke Jepun pada era ini, selain dari pedagang Portugis.

 

Otou-san, jika mereka boleh datang ke sini, adakah kita juga boleh datang ke tempat mereka?”

 

“Tidak boleh, Ryouji. Kita tidak boleh keluar dari negara ini.”

 

“Mengapa pula?”

 

“Jika kita keluar kita akan dibunuh. Jika kita selamat sekalipun, kita tidak akan dapat kembali ke sini lagi.” Miura menunjukkan wajah terkilannya. Dia juga kecewa dengan peraturan begitu. Menyuarakan kekecewaan kepada anaknya, seperti dia memindahkan batonnya kepada Ryouji bagi menyambung perjuangannya membuka negara ini kembali. Ryouji kebingungan mendengar jawapan tersebut. Dia tidak berpuas hati.

 

Ryouji memandang langit yang membumbunginya di hari musim panas yang cerah itu. Apakah sama warna langit yang biru itu di tanah yang jauh sana? Aku ingin sekali melihatnya. Mengapa kami tidak dibenarkan keluar dari negara ini?

 

Miura mendekati orang asing yang berupa aneh itu, seraya bertutur dalam bahasa mereka, bahasa Belanda. Ryouji mendengarnya, satu habukpun tidak dia fahami. Kebiasaannya orang-onrag asing di sini akan bertutur dalam bahasa Jepun. Namun bapanya memilih untuk bertutur dalam bahasa mereka.

 

Otou-san bahasa apa yang engkau tuturkan itu?”

 

“Bahasa Belanda. Aku hanya ingin melatih diriku mempelajarinya.”

 

Otou-san mengapa rupa mereka sungguh aneh?” Fokus Ryouji kembali kepada wajah mereka.

 

“Kerana mereka berlainan dari kita. Ryouji, jika engkau keluar dari negara ini, engkau akan temui lebih ramai lagi bangsa lain yang berwajah aneh. Ada yang berkulit merah, ada yang hitam, ada yang coklat, ada yang tidak memakai baju dan hanya cawat.”

 

Otou-san mahu keluar dari sini? Jika otou-san mahu keluar, aku mahu mengikutmu.” Ke situ pula fikirnya Ryouji.

 

“Shhh...Ryouji! Jangan cakap kuat-kuat, bahaya!” Miura menegah Ryouji. Bahaya jika mata-mata Tetsugawa mendengarnya.

 

“Ryouji, sebentar lagi aku akan bertemu seseorang. Aku pinta engkau mendiamkan diri sejenak sahaja, sehingga orang itu beredar. Simpan soalan-soalanmu dahulu, aku pasti akan menjawabnya kemudian.”

 

“Baik, otou-san.”

 

Ryouji masih di kendongan Miura ketikamana mereka berdua bergerak ke sebuah lorong yang agak sempit, yang dibarisi rumah-rumah kedai di kedua-dua bahunya. Miura mendekati seorang lelaki yang memakai topi kon dan berkimono perang gelap, sedang berdiri di tepi sebatang tiang dengan pedang bersarung tersisip di pinggangnya. Barangkali seorang samurai, getus Ryouji.

 

“Salju yang tidak pernah mencair...” Miura mengujarnya kepada lelaki misteri bertopi kon itu sebaris ayat pengesahan.

 

“...hanya di Shirasaka-no-kogen.” Sahut lelaki itu, mengesahkan identitinya.

 

“Takasaki.”

 

Lelaki bertopi kon itu mengangkat sedikit topinya. Wajahnya jelas di mata Ryouji dan Miura. Dia menurunkan kembali topi konnya. Miura bertutur perlahan namun menghadap ke arah lain agar lawan bercakapnya itu tidak nampak ketara pada pandangan mereka yang lalu-lalang.

 

“Orang-orang Belanda memberitahuku mereka telah menghantar bekalan garam Chile (Chilean saltpetre) ke hab simpanan senjata di Yozehama. Aku pinta pertolonganmu melancarkan pemindahannya ke Shirasaka.” Yozehama ialah wilayah terdekat dengan tanah tinggi Shirasaka, ibu pejabat pertubuhan mereka, Kogen.

 

“Miura, aku perlukan alasan lain. Sekiranya orang-orang Hamada menemui dan bertanyakan soalan-soalan.”

 

“Katakan saja ia untuk membaja sawah padi kita. Ia baja yang lebih baik dari ikan hering. Jika mereka mahu bukti, rujuk padaku.” Nitrat itu sebenarnya digunakan untuk tujuan penghasilan ubat bedil yang digunakan di dalam peluru, dan ujikaji-ujikaji tambahbaik lain senjata api dari Belanda di makmal di Shirasaka.

 

“Baiklah. Aku dan Kotobuki akan ke Kyoto sekali lagi bulan hadapan melobi Maharaja. Ada apa yang engkau ingin sampaikan kepada baginda?” Pada ketika ini Maharaja yang sedang memerintah ialah ayahanda kepada Maharaja yang memimpin Pembaharuan pada tahun 1868, lapan tahun kemudian.

 

“Tiada apa-apa. Seperti biasa, aku harap Kotobuki bertegas dalam memujuk baginda menerima Kogen. Kita memerlukan bantuan dana dari baginda. Aku tahu baginda masih mengesyaki kita bersekongkol dengan Tetsugawa memeranginya. Aku mahu kita buktikan keikhlasan kita memihak kepada baginda.”

 

“Engkau yakin Miura, yang Tetsugawa tidak akan mampu menewaskan baginda jika berlaku perang saudara?”

 

“Reputasi beliau sudah jatuh. Sejak baginda dipaksa menandatangani perjanjian berat sebelah dengan Marcus Palgraves itu. Maharaja sekarang menyusun strategi bagi mengukuhkan kuasanya kembali. Daimyo-daimyo dari Kyushu sekarang sudah memihak kepada Maharaja bagi mengusir Tetsugawa. Terbaru, aku juga mendengar Hoshimiya di Tsugaru dan daimyo wilayahku Taishii Kimura juga menyatakan sokongan terhadap baginda. Yang masih keras kepala ialah keluarga Yoshitsugu.”

 

“Miura, aku yakin, Maharaja pasti memihak kepada kita. Sekarang atau dalam masa terdekat. ”

 

Miura hanya tersenyum. Aku perlukan kata-kata seperti itu. Kekuatan dan keyakinan itu. Dalam mendepani daimyo-daimyo yang menyebelahi Tetsugawa seperti Hamada dan Hagiura.

 

“Miura, pertama kali aku lihat engkau mengendong budak. Anakmu?” Takasaki memandang ke arah Ryouji, sambil tersenyum.

 

“Ya.”

 

“Berapa umurnya?”

 

“Lima tahun.”

 

“Namanya?”

 

“Ryouji.”

 

Hajimemashite, Ryouji. Aku Takasaki.”

 

Hajimemashite, Takasaki ojii-san.”

 

“Budak yang baik. Semoga engkau menjadi seorang pemimpin suatu hari nanti.”

 

Ryouji tunduk malu seraya menyorokkan wajahnya di belakang tubuh Miura. Miura dan Takasaki ketawa kecil. Mereka berpisah haluan sejurus kemudian.

 

Hanya itu kenangan dalam memoriku yang menghubungkan otou-san dengan Takasaki. Mungkin itu salah satu sebabnya mengapa Hamada mahu menamatkan riwayatnya.

 

Apakah garam Chile yang diperkatakan otou-san itu? Untuk membaja sawah? Tetapi ia dihantar ke hab simpanan senjata? Apakah mereka mahu berperang? Sebentar, perang sudahpun berakhir. Maharaja baru sahaja memenanginya, kerajaan Tetsugawa dan pengikutnya sudah berkubur. Apakah pertubuhan mereka itu membantu Maharaja dengan membekalkan bahan untuk senjata?

 

Hari beransur petang. Mereka bermalam di gua yang penuh kenangan itu. Ryouji menghidupkan unggun dan teringat kertas peninggalan bapanya yang masih dibawa. Dia membuka peti gangsa itu dan melihat kembali coretan-coretan tersebut.

 

Dia kebosanan, lalu membelek-belek kertas itu sekali lagi dan melipatnya mengikut garis-garis origami angsa. Di bawah tulisan yang mengarah dia ke rumah perlindungan, dia mendapati tulisan yang kecil, seperti nota kaki di bawahnya. Ia berbunyi begini:

 

Tatkala amarah dibendung, berlalulah awan mendung.

 


Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov