Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 37

Azuchi terbang mencari Hisamiko, setelah menyedari dia sudah jauh meninggalkan Ryouji.

 

“Hisamiko!”

 

Hisamiko sedang terbaring di lantai hutan, kepenatan.

 

“Engkau ke mana?” Hisamiko bertanya kepada Azuchi dengan nafas mencungap.

 

“Aku sedang memerhati Ryouji menyerangmu seperti orang hilang akal. Sekarang dia sudah pulih.”

 

“Pulih? Azuchi, apakah yang telah berlaku?”

 

Azuchi terbang turun mendekati Hisamiko dengan hinggap pada dahan yang lebih dekat.

 

“Hisamiko, aku nampak bayangan hayabusa berwarna hitam di belakang tubuh abangmu.”

 

“Apa maksudmu? Aku tidak nampak apa-apapun.”

 

“Hanya kami yang boleh melihatnya. Bayangan itu melekap di belakang badannya. Kepala dan paruhnya di atas kepala abangmu, sedang kedua-dua sayapnya di belakang tangan abangmu. Cakarnya sebelah kaki kanan mencucuk tangan kanannya dan membuat tanda hitam.”

 

“Tanda hitam?”

 

“Ya.”

 

“Apakah aku boleh melihat tanda hitam itu?”

 

“Manusia sepertimu boleh melihatnya. Ia seperti tanda kecederaan yang tidak diketahui apa penyebabnya, namun kami tahu. Ia sumpah hayabusa. Sesiapa yang ditimpanya, akan mati sebelum umurnya menginjak dua puluh tahun.” Azuchi selamba berkata tanpa mempedulikan perasaan Hisamiko. Dia hanya binatang, apa yang dia faham!

 

“Apakah...apakah yang engkau cuba beritahu aku, Azuchi? Apakah engkau bergurau?” wajah Hisamiko mula berubah kelam.

 

“Aku tidak bergurau Hisamiko. Engkau tidak tahukah bagaimana engkau beroleh kebolehan memahami bahasaku?”

 

“Tidak. Ceritakan padaku, Azuchi. Ceritakan semua yang engkau tahu!” Hisamiko sedikit membentak, sambil menggoncangkan dahan tempat Azuchi bertenggek.

 

“Nenek moyangmu pernah membuat perjanjian dengan kami. Agar puakmu dikurniakan kepantasan hayabusa ketika bertarung. Sebagai pembayaran, setiap seratus tahun seorang dari puakmu akan dikorbankan. Pada masa ini, Ryouji adalah korban itu. Juga setiap seratus tahun, akan muncul seorang pemedang yang handal dari puakmu, dan dia mampu memahami bahasa hayabusa. Engkau adalah pemedang itu.”

 

Hisamiko kebingungan sama ada mahu mempercayai Azuchi atau tidak. Namun melihatkan apa yang telah berlaku pada dirinya, ia nampak seolah-olah benar.

 

Namun, jika benar, onii-san akan mati sebelum umur kedua puluhnya! Jika sekarang dia sudah berumur enam belas tahun, hanya empat tahun berbaki. Dan aku akan keseorangan.

 

“Apakah onii-san sudah mengetahui perkara ini?”

 

“Aku tidak pasti. Aku pernah melihat sami di Furukawa itu seperti memberitahunya dan dia termenung panjang selepas itu. Di hari ketika kepalamu cedera selepas diserang lelaki gemuk dan tiga rakannya itu di hutan Furukawa. Maaf, aku tidak faham butir-butirnya kerana aku tidak faham bahasa kalian.”

 

Hisamiko termenung. Mengapa sami itu tidak memberitahuku? Mengapa onii-san menyembunyikannya dariku? Kemudian Hisamiko mengingat kembali Ryouji yang menangis tiba-tiba sewaktu memberikannya kalungan bermanik itu. Onii-san memendam, dan menanggung kesakitan itu sendiri. Aku tidak tahu, maafkan aku onii-san!

 

Dia menyeluk dada yukatanya, mengeluarkan dan membelek-belek kalungan itu. Sekarang baru kufaham. Dia tidak punya banyak masa. Bagaimana dengan nee-chan? Adakah nee-chan juga sudah mengetahuinya?

 

“Tidakkah ada penawar untuk sumpahan itu?”

 

“Aku tidak tahu. Mungkin ada. Beberapa ratus tahun lepas ada sahaja dari puakmu yang ditimpa sumpahan itu, kembali sihat, kemudian mereka mati sebagai manusia normal. Namun aku tidak pasti apa penyebabnya. Sebentar Hisamiko. Batu apa yang berkalung di lehermu itu?” Azuchi tertarik dengan kalungan yang dipakai Hisamiko, dan dia tiba-tiba menguap panjang. Bagaimana Azuchi boleh mengantuk tiba-tiba pula di siang hari begini?

 

“Pemberian onii-san. Cantik, bukan?” Hisamiko membuka loket bujur dari gangsa di tengahnya dan menunjukkan kepada Azuchi kandungannya, iaitu batu resin kuning yang mengandungi fosil serangga itu.

 

“Woho..” Azuchi teruja melihat batu resin itu sebaik loket dibuka dan mendedahkannya. Kemudian dia terhoyong-hayang dan matanya terkatup separa, seperti seorang manusia yang sedang mabuk sake yang banyak sekali, sedang cakarnya masih kukuh di dahan tempat dia bertenggek mengelakkannya dari terjatuh.

 

“Azuchi...! Azuchi...!” Hisamiko cuba mengejutkannya dengan menggoncangkan dahan. Dia tidak pengsan tetapi berada dalam khayal yang dalam. 

 

Kemudian Azuchi berkata perlahan-lahan, “Jangan dekatkan aku dengan batu itu... jangan.... Jika tidak aku khayal.”

 

Hisamiko menutup loket itu dan menyimpannya kembali ke dalam dada yukatanya. Batu apakah ini?

 

**

 

Awal musim bunga, tahun lepas (1870) (Ryouji menemani Chisato menziarahi kampungnya Kisennuma)

 

Mereka pulang dengan menumpang sebuah kereta kuda yang menuju ke arah pekan tempat mereka singgah dahulu.

 

Sampai di sebuah kawasan bendang, kereta itu berhenti untuk mengambil jerami kering dan berpatah balik ke tempat mulanya, dan mereka terpaksa meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki. Mujur sahaja hari itu tidak terlalu panas.

 

Dalam perjalanan, Ryouji tertarik melihat seorang penjual barangan cenderamata, yang menarik kereta kayunya. Kereta kayu itu dipenuhi pelbagai barangan cenderamata yang bergantungan, dan ada di antaranya yang disusun kemas di dalam kotak yang dapat dilihat kandungannya dari luar. Bijak, getus Ryouji. Sengaja penjaja ini mempamerkannya kepada pejalan kaki dan orang ramai agar mereka tertarik. Kebanyakan barangan itu ialah patung ukiran yang pelbagai jenis. Ada patung berupa daimyo-daimyo terkenal seperti Oda Nobuzawa, dan juga daimyo terkenal yang merupakan moyang Tetsugawa yang telah disingkirkan Maharaja itu iaitu Tetsugawa Hayashi. Ada juga patung-patung berbentuk haiwan seperti burung hantu dan musang tanuki. Ada juga barangan untuk perempuan seperti kalungan yang dipenuhi manik-manik kayu yang besar seperti yang dipakai sami Buddha dan penyepit rambut berbentuk rama-rama.

 

Dia teringat pesan Hisamiko agar membelikannya satu.

 

“Chisato, tunggu sebentar.” Chisato hanya mengangguk. Dia memegang obi Ryouji. Dia masih bersedih dan membisu.

 

“Chisato, engkau tidak mahu apa-apa?”

 

Chisato hanya menggelengkan kepala. “Untuk Chinami dan Chiho?”. Masih dia menggeleng.

 

“Baiklah. Ojii-san, aku mahukan yang ini.”

 

“Ini?” Penjaja itu menunjuk kepada salah satu kalungan bermanik yang bergantungan.

 

“Ya.”

 

Penjaja itu tidak bercakap banyak lalu memasukkannya ke dalam beg bambu, menyerahkan kepada Ryouji selepas menerima bayarannya, dua keping syiling tembaga. Mendapati harganya murah, Ryouji menambah dua lagi utas kalungan tersebut, setiap satu untuk Chinami dan Chiho. Dia tidak membawa banyak wang, hanya untuk membeli cenderamata dan makanan sahaja.

 

Ryouji membuka loket pada salah satu kalungan. Dia terpesona dengan kandungannya, iaitu sejenis batu resin berwarna kuning lutsinar dengan rama-rama kecil yang telah mati di dalamnya. Agak lama juga dia membelek-belek batu itu.

 

Usai mereka hilang dari pandangan, penjaja itu tersenyum.

 

“Engkau membuat pilihan tepat, budak. Jika tidak, aku pasti akan memberikan juga kepadamu percuma. Engkau memerlukan loket itu, sekurang-kurangnya sekarang.”

 

Seketika kemudian dia melihat seekor hayabusa terbang terhoyong-hayang tidak jauh dari tempat dia berdiri. Hayabusa itu langsung jatuh ke dalam semak samun.

 

“Nampaknya seekor telah terkena kuasanya.” Getus hati kecil penjaja itu. "Sudah pasti hayabusa milik Hagiura itu, melihatkan saiznya."

 

**

 

Azuchi agak lama dalam khayalnya sehingga dia pulih kembali. Hisamiko meneruskan pertanyaan sebaik Azuchi sedar.

 

“Azuchi, mengapa onii-san seperti dirasuk? Aku tidak pernah melihatnya begitu.”

 

“Dari apa yang aku nampak, setiap kali aku mengibaskan sayapku berdekatan Ryouji ketika dia menggunakan jurus kelapan seni kaminari, kelibat hayabusa di belakangnya bangkit dengan mata menyala merah dan merasuknya. Tubuhnya digerakkan oleh kelibat itu seperti boneka. Jika dia menyerang, semua akan menjadi mangsa, termasuk engkau Hisamiko. Engkau, yang dilindungi hayabusa-no-kami. Mujur sahaja pedang Ryouji tidak bermata.”

 

Hisamiko mula teringat bagaimana kakinya seolah-olah bergerak sendiri sejurus diserang Ryouji tadi seperti dia sudah tahu apa patut dilakukan, sama seperti bagaimana fikirannya begitu tenang ketika melepaskan diri dari orang Sonzaemon dan bagaimana dia bertarung dengan lincah dengan Funazuki, dan bagaimana dia mengelak tembakan edamame dengan mudah. Adakah itu perlindungan hayabusa-no-kami? Adakah dia sentiasa dilindungi hayabusa-no-kami setiap kali bertarung?

 

“Azuchi, apakah aku sentiasa dilindungi hayabusa-no-kami?”

 

“Ya, engkau hanya perlu nekad melindungi dirimu. Selagi mana engkau nekad untuk terus hidup, kami akan sentiasa membantumu. Dia berada di setiap urat nadi dan salur darahmu. Dia mencengkam dirimu seperti cakarku mencengkam dahan ini.

 

Hisamiko, walau apapun dugaan yang melanda dirimu di masa mendatang, engkau harus nekad, dan teruskan hidupmu. Berjuang untuk teruskan hidupmu, Hisamiko!”

 

“Hisamiko, sumpah hayabusa ialah semangat jahat hayabusa dan seteru kepada hayabusa-no-kami. Oleh itu, ia akan menyerang sesiapa sahaja termasuk pemedang yang dilindungi kami itu. Maka hanya nekadmu yang akan membantumu.”

 

Hisamiko tidak pasti, apakah dia masih nekad meneruskan hidup, apabila melihat Ryouji benar-benar tidak bernyawa di hadapannya, suatu hari nanti? Apakah ada dorongan lain untuk dia meneruskan hidupnya tanpa Ryouji di sisi? Dan pada ketika itu jika nyawanya diancam, apakah dia sekadar menyerah diri dan membuang nyawanya begitu sahaja?

 

Larut dalam menungnya, Hisamiko hampir melupakan Shinji yang entah di mana dan Ryouji yang sedang mencarinya. Azuchi melihatnya dengan wajah biasa seekor burung. Tiada perasaan terlukis di wajahnya, hanya perutnya yang berbunyi kelaparan.

 

“Hisamiko! Hisamiko!” Sayup-sayup kedengaran suara Ryouji memanggilnya dari atas bukit.

 

Onii-san!”

 

Hisamiko memandang Ryouji, berlari dan memeluknya sambil menangis.

 

“Miko, mengapa engkau menangis? Di mana Shinji? Apa yang telah berlaku?” Ryouji tidak dapat mengingati apa-apa selain pertarungannya dengan Shizuo dan kemudiannya dia terduduk di tengah-tengah hutan itu sedang mereka semua telah hilang dari pandangan.

 

Hisamiko tidak menjawab, masih menangis teresak-esak. Ryouji mengendongnya lalu meneruskan berjalan merentas hutan itu mencari Shinji.

 

Kejam, sungguh kejam sumpah hayabusa itu. Pertama kali dalam sejarah perjanjian itu, orang yang ditimpa sumpah ada hubungan adik-beradik dengan orang yang dikurniakan perlindungan hayabusa-no-kami. Ryouji hampir sahaja mencederakan adik kesayangannya sendiri. Mujurlah pedangnya tidak bermata dan Hisamiko sendiri nekad mengelak. Mungkin kerana hanya mereka berdua sahaja keturunan Okuhida yang tinggal, maka kedua-dua sumpah dan kurniaan diberikan kepada mereka berdua sekaligus.


Previous: Bab 36
Next: Bab 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov