Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 34

“Azusa, aku rasa baik kita berundur dahulu. Hari pun akan gelap tidak lama lagi.”

 

“Berundur? Ke mana, Chisato? Kita sudah jauh dari rumah.” Azusa terketar-ketar sambil memegang lengan Chisato. Dia sebenarnya seorang penakut. Bunyi haiwan-haiwan hutan petang itu semakin nyaring pabila petang sudah hampir ke penghujungnya.

 

Tiba-tiba kedengaran burung hayabusa berteriak di udara. 


"Hee..." Azusa terperanjat, berbunyi takut seraya memeluk Chisato.


Mereka mendongak ke atas.

 

Burung itu terbang turun dan mengibas-ngibas sayapnya, sambil berbunyi nyaring seolah-olah mengisyaratkan mereka agar mengikutinya.

 

“Chisato, bukankah itu hayabusa? Mungkin kita boleh menjejak Hisamiko dengan mengekorinya?” Azusa mencadangkan.

 

“Aku pun fikir begitu. Ayuh.”

 

Sejurus mereka bergerak, burung itu terbang ke atas perlahan-lahan dan mengibas-ngibas sayapnya setempat, seperti menunggu mereka agar mengekorinya.

 

“Nampak seperti burung yang bijak. Adakah dia dilatih? Chisato, pernahkah Hisamiko menceritakan kebolehannya menjinakkan hayabusa kepadamu?”

 

“Tidak pernah. Cuma aku pernah terlihat Ryouji melatih Shinji menarik hayabusa nya di taman bonsai namun tidak bertanya lanjut. Aku tidak tahu sekiranya Hisamiko turut memiliki kebolehan itu.”

 

“Bukan aku tidak mahu memberitahumu Chisato, tetapi aku melihat Hisamiko seolah-olah bertutur dengan burung ini tadi, sewaktu pulang dari kuil. Sungguh, aku pasti apa yang aku lihat.”

 

Bertutur dengan burung? “Sungguh aku tidak tahu, Azusa. Aku pasti akan bertanyanya nanti. Ayuh, cepat.”

 

Namun, sekian jauh berjalan meredah tanah hutan yang beralun dan ditumbuhi pokok-pokok tinggi, mereka tidak menemui langsung batang hidung Hisamiko.

 

Bahkan, mereka telah melangkah ke tempat yang tidak sepatutnya. Mereka dikepung oleh sekumpulan lelaki.

 

Seorang lelaki gempal keluar dari kumpulan lelaki tersebut, memandang mereka. Burung hayabusa tadi sedang bertenggek di atas lengannya yang berbulu itu.

 

“Petang, kalian. Aku Yoshitsugu Hagiura, gabenor Kodama. Engkau Ogasawara Chisato bukan?” Dia memandang Chisato dari atas ke bawah, menjalar matanya melihat tubuh cantik itu. Agak lama, seperti seekor kucing melihat ikan. "Tsugiyama kerap menceritakan tentangmu. Seorang rupawan yang telah membunuh rakannya di jeti."

 

Hagiura? Sebentar, bukankah dia ini yang pernah diberitahu Ryouji? Yang memerdagang wanita dan kanak-kanak perempuan sebagai karayuki? Dan mengotori sungai di kampung Tsuneki? Apa yang dibuatnya di tengah-tengah hutan dengan pengawal-pengawal sebegini ramai? Adakah dia menjejaki kami?

 

“Apa yang engkau mahukan? Mengapa kalian di sini?” Chisato cemas.

 

“Bertenang. Aku tidak akan mengapa-apakan kalian. Kami bersiar-siar di sini.” Pengikut-pengikutnya ketawa, kemudian dia mengangkat tangan dan tawa mereka pun terhenti pantas, takut kalau-kalau kepala mereka tergolek dek pedangnya jika terus ketawa. Kemudian dia menyambung.

 

“Ogasawara-san, nasib aku terlalu baik hari ini. Aku hanya keluar berburu di sini, dan Goro menghidu baumu dan memberitahuku. Terima kasih kerana datang ke Kisennuma memberi baumu. Apa lagi yang ingin aku pinta? Engkau pula muncul di sini menyerah diri!” Pengikut-pengikutnya ketawa sekali lagi.

 

“Tsugiyama! Tangkap mereka. Jangan cederakan mereka sedikitpun. Sedikit calar, dan kalian akan aku arahkan melakukan seppuku!”

 

“Chisato, kita bertemu lagi.” Tsugiyama bersiap menghunus penumbuknya, sekadar mahu membuka pencak bagi menangkap Chisato yang tahu bertarung itu. Dia tidak boleh mencederakan Chisato. Begitu juga pengawal yang lain.

 

Chisato dan Azusa bersedia. Mereka mengeluarkan tantou masing-masing.

 

“Aku tidak akan sekali-kali membiarkan kita ditangkap mereka.”

 

Azusa membuka pencak. Tantou yang pendek itu menghadkan serangannya dalam jarak dekat. Tambahan pula hari semakin gelap. Dua orang remaja wanita, berhadapan dengan sekumpulan lelaki dengan seorang dari mereka mahir seni kaminari. Keputusannya seolah-olah sudah diketahui, siapa yang akan menang dan kalah.

 

Azusa tidak cekap akan seni kaminari-no-kaze. Namun dia kuat. Lengannya bersaiz besar dan berotot dan badannya keras selepas bertahun melombong dan melakukan kerja-kerja berat. seperti menguruskan kuil patung Buddha dan patung singa.

 

Lelaki-lelaki itu tidak berpedang. Masih-masih cuba menerpa ke arah Azusa, namun dia berjaya mengelak.

 

Azusa melihat sekeliling. Ada lima orang lelaki. Aku harus mencari seseorang yang mudah dirempuh, yang kecil. Ya, dialah orangnya!

 

Azusa merempuh seorang lelaki yang kecil yang mengepung mereka. Lelaki itu terjatuh. Kemudian dia menumbuk pengepung-pengepung lain sedang tantounya kembali disimpan. Tumbukannya persis libasan kayu yang besar. Tangannya yang berotot setanding dengan kudrat lelaki, bahkan lebih lagi. Dia belajar seni kaminari-no-kaze dari Takasaki dan Ryouji dan menjaga berat badannya bagi meningkatkan kepantasan. Berkat kebenaran Takasaki atas pertarungan rentas jantina, dia lebih berkeyakinan dengan lawan lelaki. Dan ini adalah kali pertama dia bertarung pertarungan sebenar dengan lawan lelaki, kerana sebelum ini dia hanya berlatih dengan Ryouji dan Takasaki sahaja.

 

Ketika kekecohan itu berlaku, Azuchi tiba-tiba menerjah ke arah Goro, menambahkan lagi kekeliruan orang-orang Tsugiyama di dalam hutan yang hampir kelam ditelan senjakala itu. Azusa memberi isyarat kepada Chisato agar mengambil kesempatan dari kekeliruan orang-orang Hagiura itu untuk melarikan diri. Chisato keberatan, namun melihatkan tiga orang sudah ditumpaskan Azusa, dia mengambil kesempatan melarikan diri menuruni cerun curam tidak jauh dari situ. Azusa juga menurut, namun tiba di lokasi berasingan.

 

Mereka bertemu di bawah cerun, berhampiran sebatang anak sungai.

 

Azuchi terbang mengejar Goro. Jika diikutkan, saiz Goro yang lebih besar sememangnya mampu mengalahkan Azuchi. Namun entah mengapa, dia dikejar Azuchi kerana beratnya melembabkan pergerakannya. Dua ekor hayabusa itu bertarung di udara, merempuh dan mengelak dari yang lainnya. Goro akhirnya terkulai setelah berkali-kali dirempuh Azuchi yang pantas seperti peluru tanegashima itu.

 

Mereka berlari menuju hutan buluh yang padat. Agak mencabar melarikan diri di tengah-tengah senjakala begitu, dengan keadaan yang semakin gelap dan cuaca yang semakin sejuk. Orang-orang Tsugiyama semakin jauh dari pandangan. Kegelapan dan kepadatan hutan buluh serta cerun curam tadi menyukarkan mereka. Goro pula tidak kelihatan lagi di udara kerana telah cedera diserang Azuchi.

 

Mereka bersembunyi di dalam sebuah pondok terbiar. Mujur, di dalamnya masih ada barangan lama yang tinggal. Ia mungkin rumah tumpangan yang digunakan oleh pemburu. Ada baju jerami untuk menebat sejuk yang semakin mencengkam.

 

Mereka bersembunyi, dan berdiam di dalam rumah itu. Azusa melihat Chisato menggigil. Dia juga takut dan keadaan yang semakin gelap dan sejuk menambah seram suasana. Dia memeluk Chisato dan menyelimutkan mereka berdua di dalam baju jerami. Muka Azusa merah padam. Pertama kali dia memeluk Chisato, merasai hangat tubuhnya. Bau Chisato sungguh menggiurkan. Azusa seorang wanita yang kasar. Namun malam itu dia cair dengan Chisato. 


Azusa berbisik sendirian, mengapa aku menyelamatkan seteru cintaku? Orang yang merampas Ryouji dariku? Kasihankan dia setelah mendengar kisah latarnya dahulu lalu tanpa sedar menggerakkan tubuh melindunginya? Atau aku bertarung demi melepaskan geramku terhadap petarung lelaki seperti Kobato, yang memukul Saki dahulu, demi membuktikan yang wanita juga mampu bertarung setara?

 

“Azusa, terima kasih. Aku masih gentar dengan lawan lelaki, meskipun aku telah berlatih melawan Ryouji dan Takasaki di rumah perlindungan.”

 

Doumo.” Azusa masih merah padam mukanya, menjawab ringkas, memandang ke arah lain.

 

Dia teringat dahulu dia seringkali mengintai Ryouji dan Chisato berlatih di hutan buluh, sebelum pertarungan rentas jantina dibenarkan Takasaki beberapa bulan lepas. Dalam salah satu malam, Chisato telah membongkar kisah silamnya. 

 

“Chisato, aku minta maaf. Aku pernah meminta dari Ryouji untuk mengintai kamu berdua berlatih dan Ryouji membenarkanku.”

 

Chisato terkejut. Dia diperhatikan setiap malam rupanya. Dan Ryouji tidak memberitahuku! Siap engkau Ryouji selepas ini!

 

Betsu ni ii dakedo,” Chisato menjawab tiada apa-apa yang perlu dirisaukan, masih geram dengan Ryouji. Kemudian Chisato teringat yang Azusa juga mungkin sudah mendengar kisah latarnya. Mungkin dia faham mengapa aku sebegitu gentar bertarung, fikir Chisato. Azusa, engkau seorang yang baik hati, berlawanan amat dengan luaranmu yang seperti lelaki. Dan engkau juga seorang penakut! Chisato tersenyum lalu ketawa kecil.


"Mengapa engkau ketawa, Chisato?"


"Tiada apa-apa."

 

“Chisato, engkau mencintai Ryouji?” Tiba-tiba terpacul soalan itu dari mulut Azusa. Dia fikir tidak boleh bertangguh. Bila lagi dia dapat berdua dengan Chisato untuk bertanyakan soalan begitu?

 

“Ya.”

 

“Chisato, aku juga mencintainya.” Azusa berterus terang. Dia mahu melihat reaksi Chisato.

 

Chisato memandang Azusa, lalu tersenyum.

 

“Chisato, berjanji denganku, kita akan bersaing merebut hatinya secara adil.” Azusa menghulurkan jari kelingkingnya.

 

Chisato menyambut dengan jari kelingkingnya juga seraya berkata “ Yakusoku (aku berjanji).”


Aku tidak akan kalah denganmu, Chisato.

 

Mereka berdua berbual panjang tentang pelbagai perkara, kemudian tertidur keletihan dan kesejukan, sehinggalah cahaya matahari esoknya mengejutkan mereka.

 

Sementara itu, orang-orang Tsugiyama berpatah balik ke tempat asal mereka, bertemu Hagiura.

 

“Tsugiyama, Goro kesayanganku telah tercedera dan tidak boleh terbang. Maka apa cadanganmu?”

 

“Hagiura-sama, aku akan merawatnya. Biar aku menjaganya dahulu.”

 

“Bagus, aku setuju cadanganmu. Pastikan tindakanku ini berbaloi. Jika engkau pulang tanpa wanita-wanita itu, di kali lain engkau mahu menggunakan Goro, aku akan meningkatkan sewanya. Aku mahu pulang sekarang.”

 

“Terima kasih Hagiura. Serahkan padaku.”

 

Hagiura langsung meninggalkan tempat tersebut bersama para pengiringnya, pulang ke Yozehama.

 

“Tatsuya, kita akan merawat sayapnya kemudian. Deria hidunya masih boleh digunakan untuk menjejaki mereka.” Tsugiyama berkata kepada pembantunya.

 

“Baik Tsugiyama.”

 

**


Ryouji baring merenung siling. Hisamiko sudah terlena sambil memeluknya, air liurnya meleleh membasahi yukata Ryouji.


Dia tidak boleh tidur malam itu, dan asyik terbayang-bayangkan remaja perempuan siang tadi. Dia sebaya Chisato, mungkin muda sedikit. Cantik. Kulitnya cerah sekali, rambutnya hitam pekat. Pada ketika ini dia dan rakan-rakannya mungkin sudah berada di dalam feri menuju Osaka. Esok dia mungkin akan berlayar ke benua lain. Kemudian digauli lelaki hidung belang di sana. Dan dilupakan. Dan barangkali tidak akan kembali lagi ke sini, ke tempat tumpah darahnya.

 

Apakah sebegitu murah maruah mereka? Boleh dijual beli begitu mudah? Apakah tiada cara lain untuk mendapatkan wang bagi mengubati ibu bapa mereka?

 

Ryouji, engkau tidak akan faham. Engkau membesar dalam keadaan serba cukup. Ketika bapamu mati, kekayaan hasil padi keluargamu melimpah ruah, dan disimpan oleh pertubuhannya. Bahkan engkau dipindah jagaan terus ke rumah perlindungan melalui wasiat Miura. Betapa bapamu mengambil berat kebajikanmu.

 

Kejadian hari ini membuka satu lagi perspektif baru. Aku mungkin perlu melihat dari sudut lain. Bahkan... .

 

Dia tiba-tiba teringat kata-kata Sonzaemon di Furukawa. “Engkau tidak akan faham, Ryouji. Padi bapamu selalu laris. Bahkan dia merampas pelanggan setiaku. Aku juga ingin makan, Ryouji...”

 

Namun dia telah membunuh bapaku. Apa pun penjelasannya, membunuh bukanlah penyelesaiannya. Ia perbuatan pengecut.

 

Mungkin, dalam keadaan tertentu, seseorang tidak ada pilihan. Sepertimana yang dihadapi Chisato. Realiti di luar amat menyakitkan dan menekan. Sehingga otou-san mati, aku tidak pernah merasai kembara di luar. Menghadapi cabaran dan duka yang sebenar seperti Chisato yang berbapakan penjudi dan kemudiannya hidup dalam ketakutan dikejar musuhnya, dan merasai keperitan hidup dalam kemiskinan seperti gadis itu.

 

Namun Sonzaemon masih ada pilihan. Perbuatan membunuh bersandarkan hasad hanyalah perbuatan pengecut. Tindakannya sama sekali tindakan mementingkan diri sendiri. Hasad, dendam dan bagi melindungi kegiatan mereka, atau bagi melindungi maruah kerana ditipu, adalah alasan-alasan yang tidak boleh diterima akal. Hamada membunuh bagi memastikan dia kekal memegang kuasa dan hartanya selepas menghapuskan syak Maharaja kepadanya, dan bagi memaksa petani-petani membayar cukai kepadanya.

 

Namun, aku masih tidak mampu menelan kenyataan sebegini. Seorang gadis sunti yang rela menjual dirinya? Tidak, tidak sekali-kali. Lagikan Hisamiko, lagikan Chisato, Chinami dan Chiho, dan Funazuki bersaudara. Jika mereka rela memperdagangkan diri mereka, aku rela membunuh diriku. Memalukan! Kerana untuk apa maknanya aku melindungi mereka?

 

Sebentar, bukankah itu seppuku? Bukankah menebus malu dengan membunuh diri itu seppuku? Apakah, ada dalam kalangan bangsaku, yang bukan samurai, yang tidak tahu-menahu perihal Bushido, membunuh dirinya demi menutup malu? Contohnya, bapa yang mengetahui anak perempuannya melacur dan mengandung anak luar nikah, kemudian dia membunuh demi menutup malunya terhadap orang-orang kampung.

 

Mungkin ada benarnya Bushido itu. Mungkin. Dalam keadaan tertentu.

 

Ryouji bertelagah di dalam kepala. Bayangkan, bayangkan, jika wanita-wanita yang dikenalinya itu, atau adiknya, rela melacurkan diri... . Apakah yang dia akan lakukan? Apakah dia boleh meneruskan hidupnya?

 

Dia membiarkan persoalan itu tidak berjawab. Apakah aku seorang yang gagal jika aku tidak dapat mencegah mereka dari merosakkan diri mereka sendiri?

Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov