Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 59

Sementara itu di taman bonsai...

“Masami-san, aku masih memberi engkau peluang. Serah diri dan relakan dirimu dibicarakan kami.”

“Untuk apa? Untuk akhirnya dipenjarakan kalian? Aku lebih rela mati dari dipenjarakan!”

“Jika mati yang kau mahukan, aku akan mempercepatkan engkau mendapatkannya.”

“Dipersilakan. Aku tidak gentar meskipun engkau pemedang handal. Namun aku tidak akan menyerah sewenang-wenangnya!”

Mereka naik jurus demi jurus. Namun hanya Ayame yang naik ke jurus kesembilan, sementara Masami hanya mampu menggunakan jurus kelapan, dibimbangi dia tidak dapat mengawal rusuhan tenaga. Keadaan di taman bonsai itu jika dilihat dari jauh oleh mereka yang tidak dapat mengesan Ayame dan Masami, seperti dilanda puting beliung yang bersaiz kecil dan bergerak buas melantun ke sana ke mari melanggar dahan-dahan pokok momiji, sakura, shirakaba dan keyaki yang ditanam melata di situ, dan memotong daun-daun setiap kali ia melanggar dahan.

“Engkau ingat dengan mengatasi satu jurus di atasku, engkau mampu mengalahkanku?”

“Aku tidak pernah fikir aku mampu mengalahkan sesiapa, pisang kaki kering. Aku perlu menumpaskanmu demi Kogen, demi anak-anak kami!”

Masami mengambil kesempatan membunuh seekor tupai. Dia berjaya mengelak Ayame dan melompat sehingga ke dahan tertinggi pokok keyaki.

Dia mencampakkan bangkai tupai itu ke tanah. Ayame kebingungan. Apa yang cuba dilakukannya?

Tidak semena-mena, Momoyama burung hayabusa pengiring Ayame, turun menyambar tupai itu. Namun Masami sudah bersedia menarik panahnya dan melepaskan ke arah Momoyama.

Ara! Dia menyambarnya. Seperti kujangkakan. Burung gemuk dan pemalas begitu manalah mahu menangkap makanan sendiri, setelah biasa diberi makan tuannya. Sedari tadi aku lihat dia memerhati tupai itu namun tidak pula terbang menangkapnya.

Yamero! (Hentikan)” Ayame pantas bergerak membentengi Momoyama. Panah Masami mengenai pinggangnya. Momoyama terbang ke atas pokok shirakaba membawa bangkai tupai itu.

Masami ketawa terbahak-bahak, masih di atas pokok keyaki.

“Engkau bilang dengan kepantasanmu itu engkau tidak akan dapat dikalahkan? Guna otaklah, anak dara tua!”

“Tak...guna...” Ayame mengerang kesakitan, dia mencabut perlahan-lahan panah beracun itu dari pinggangnya. Darah mengalir deras. Racun torikabuto sudah mula meresap ke dalam tubuhnya. “Aku... tidak...boleh...mati...” Ayame pengsan.

Masami melompat turun dari pokok keyaki. Dia mengeluarkan pedangnya.

“Aku bilang tugasku menamatkan penderitaanmu, Ayame-san. Mati dengan dipancung itu lebih lekas dari menanggung derita dari racun itu.” Gumamnya. Dia kini berdiri di sebelah Ayame yang sedang pengsan. Dia mengangkat pedangnya dan bersedia melibas ke leher Ayame.

Yamerou (hentikan), Masami-san.” Ryouji di belakang menegah. Dia keluar memerhati pertarungan mereka lebih rapat selepas mendapati Touma tercedera.

Masami pantas memusing dan melibas pedangnya. Ryouji mengelak. Ryouji mengeluarkan Saishi-tou dan cuba mengalih perhatian Masami, memberi peluang kepada Tokui yang mengikutnya memapah Ayame masuk ke dalam rumah untuk dirawat.

Bagus Tokui. Engkau amat membantu.

Pertarungan kini beralih kepada pertarungan di antara Masami dengan Ryouji.

“Masami-san, aku menggantikan Ayame membawa pendirian Kogen. Serah diri untuk perbicaraan, atau aku terpaksa berkeras denganmu.”

Panah itu beracun torikabuto. Dan ia menusuk pinggang Ayame, dalam kulihatnya. Mampukah Ayame bertahan? Mampukah? Melihatkan racun itu torikabuto, aku fikir amat tipis peluangnya, kerana dos yang masuk lebih tinggi nampaknya dari Touma. Akan berkesankah antidot itu?

Aku perlu fokus. Aku berharap Tokui melakukan apa yang patut. Tugas Ayame perlu kugalas sekarang. Hanya aku yang masih berupaya bertarung di sini.

Ara... ini misi pertamamu bukan? Engkau fikir semudah itu aku akan mengalah, Ryouji?” Masami ketawa sebaik menghabiskan sindirannya.

Dia menyambung, “Ryouji, apa kata engkau berpakat denganku? Kita hapuskan keluarga Shirasaka dan mengambilalih Kogen. Ayame sudah kubunuh. Yang tinggal dua orang tua kutuk itu sahaja, amat mudah menewaskan mereka. Dou?”

“Aku tidak punya angan-angan begitu. Aku tidak akan mengkhianati mereka. Merekalah yang menjagaku selepas kematian bapaku.”

Ara ara, setia benar engkau. Fikir Ryouji. Engkau belum pernah memegang kuasa bukan? Engkau akan mendapat kembali harta peninggalan bapamu yang disimpan dalam perbendaharaan Kogen oleh keluarga Shirasaka itu.”

Apa permainanmu, Masami-san? Aku maklum bapaku menyimpan sejumlah dana peribadi di perbendaharaan Kogen. Ia bukan seperti yang selalu disalurkan kepada Kogen, ia wang terkumpul peribadi. Aku masih belum melihat sendiri wasiatnya. Takasaki memberitahuku wasiat itu dalam simpanan keluarga Shirasaka. Maka aku masih belum dapat memastikan sama ada dana itu diwasiatkan kepadaku dan Hisamiko, atau kepada Kogen.

“Mereka telah menyeleweng wang bapamu. Berpakat denganku, dan engkau akan mendapatkannya kembali.”

Apakah Omi menyeleweng wang bapaku? Tidak, wanita tua ini sedang cuba memperalatku. Aku memerhati Kotobuki dan Omi beberapa kali. Mereka bukan orang begitu.

“Apa buktimu?”

“Engkau masih tidak tahu? Mereka menggunakannya untuk perang yang bakal meletus. Perang menentang saki-baki samurai yang tidak berpuas hati dengan Pembaharuan oleh Maharaja.”

Shinji ada meramalkan perkara sama. Perang itukah? Yang mungkin meletus di Kyushu atau di sini?

“Bahkan semua wang Kogen juga diperuntukkan untuk itu. Sehingga gaji kami, penjaga rumah perlindungan juga dipotong mereka. Demi meningkatkan bekalan senjata.”

“Bohong! Jika engkau punya bukti, kemukakannya!”

“Engkau masih baru, Ryouji. Engkau belum benar-benar mengenali Kogen. Ayuh sertaiku. Dengan kuasa di tanganmu, engkau akan dapat mengubah Kogen. Dana Kogen akan sepenuhnya di bawah kawalanmu. Juga orang-orangnya, para petarung kami.”

Dou? Siapa lagi yang boleh mengawalmu? Engkau punya kuasa seperti Shirasaka bukan? Dan semua yang berada dalam Kogen pasti akan gerun dan patuh lalu menurut arahanmu. Ryouji, dunia ini dalam genggamanmu jika engkau punya kuasa.”

“Ryouji, jangan mudah tertipu dengan jasa mereka sehingga engkau sanggup berkhidmat kepada mereka demi membalas budi. Kelak mereka akan membuangmu sepertimana yang telah aku lalui.” Masami menyembunyikan seringainya dengan menoleh sejenak.

Tidak, Kogen tidak begitu. Kogen tidak begitu! Sebentar, mengapa Ayame membentuk pasukan berasingan dari Kogen? Apakah kerana ia ada kaitan dengan dakwaan-dakwaan Masami ini?

Ryouji, tenangkan dirimu. Abaikan Kogen. Abaikan Masami. Abaikan Ayame. Abaikan Skuad Sakura. Apa yang engkau mahu capai di sini? Apa pendorongmu yang menggerakkan dirimu sehingga ke saat ini? Para penghuni malang itulah. Gadis-gadis di bawah umur itu. Yang terketar-ketar menghunus tantou itu, mereka yang masih belum matang namun telah mencurigai kami yang melindungi mereka. Yang sewenang-wenangnya dilacurkan penjaga rumah ini.

“Masami-san. Walau apapun katamu, engkau telah merosakkan penghuni rumah ini. Mereka hanyalah budak, Masami-san. Mereka hanyalah budak! Bayangkan jika mereka anakmu, dilacurkan begitu...”

“Aku tidak pernah menyayangi sesiapapun yang pernah berlindung di sini. Jika Kogen memotong pendapatanku, maka mereka layak dijual demi menampung jurangnya!”

“Maka engkau tidak layak menjaga rumah perlindungan kami sejak dari mula lagi!” Ryouji dikuasai amarah. Pertarungan yang berselang seli dengan perbualan itu semakin ke penghujung. 

Pada suatu ketika, Ryouji naik ke jurus sembilan dan berjaya menetak buku lali wanita tua itu. Dia rebah. Ryouji berdiri dengan Saishi-tou masih terhunus.

Pantas. Dia lebih pantas dari Ayame! Meskipun dia naik ke jurus sembilan lebih lambat, pedang itu menambahkan kelajuannya  ketika bertarung di jurus tersebut. Jika dia masih pada kelajuan jurus sembilan Ayame, mungkin aku dengan dia setara, sepertimana aku dengan Ayame sebelumnya. Hanya dia dibodohkan oleh taktik bangkai tupai itu. Sial. Pedang apakah di tangan Ryouji itu? Buku laliku seperti sudah dipecahkannya.

“Masami-san, aku tidak mahu mereka yang sepatutnya mendapat perlindungan di sini, dirosakkan. Ia tidak sepatutnya berlaku, Masami-san. Engkau telah melampaui batas! Kogen ialah harapanku, bangsa ini, rakan-rakanku, Tokui dan rakan-rakannya. Jika engkau tidak berpuas hati, bantahlah di Kogen. Bukan merosakkan anak-anak kami!”

“Apa lagi Ryouji, lakukan, usah bersyarah lagi. Bunuhlah aku.”

Ryouji berbolak-balik. Tangannya masih terketar-ketar. Pedang bermata Ayame sudah di tangannya. Dia hanya perlu melibas merentas perut Masami yang terbaring itu.

Zass!

Darah mengalir deras dari leher Masami tatkala sebatang panah menerobosnya. Siapa yang memanahnya?

Masami terkulai. Kelibat Tokui berdiri memegang busur yang kosong di atas bumbung. Dia lebih pantas memutus berbanding Ryouji nampaknya.

“Ayame-san, aku percayakan engkau. Aku percayakan engkau!” Gumam Tokui.

“Tokui...engkau...”

Tokui turun mendekati Ryouji seraya berkata, “Dia telah membunuh Ayako, aku saksinya malam itu. Dan jika dibiarkan dia mungkin akan mengambil kesempatan untuk membunuh engkau juga.”

Ryouji tidak berkenan akan perbuatan Tokui yang membalas dendam begitu. Adalah lebih sesuai Masami dibicarakan dahulu dan dihukum bunuh, sekiranya didapati bersalah, oleh Kogen. Adalah satu kepastian bahawa pembunuh dihukum bunuh di bawah Kod Kogen. Namun siapalah dia untuk menghakimi mereka, fikir Ryouji. Mungkin mereka lebih lama menanggung derita sementara menanti Kogen tiba di sini. Apapun, aku perlukan Tokui memberikan maklumat penuh di Kogen nanti. Namun aku pasti akan dihukum kerana membiarkan tugas yang sepatutnya dilakukanku, dilakukan penghuni rumah perlindungan.

Sementara itu di hutan buluh...

Segawa dan Takumi pegun, masing-masing bersedia dengan gerakan seterusnya. Buluh-buluh di sekeliling banyak yang terpotong.

Sepertimana Masami, Segawa juga menuduh anak-anak di rumah itu mahu menyingkirkan mereka.

“Mereka tidak menyukai tindakan kami yang mengongkong mereka di sini. Mereka mahu bebas seperti kanak-kanak lain. Dapat ke mana-mana, berjalan di pekan-pekan bersama ibu bapanya. Sedangkan kami mengurung mereka di sini.” Demikianlah dakwaan Segawa.

“Bukankah itu normal? Bukankah telah berpuluh tahun kami mengurung anak-anak kami sehingga umur lapan belas tahun baru dibenarkan keluar? Bahkan jika mereka mahu keluar mereka dibenarkan namun akan diekori kami demi keselamatan. Di manakah kami mengongkong mereka?”

“Itulah kelemahan kalian. Zaman sudah berubah, Takumi. Anak-anak ini hidup di zaman di mana anasir dari Barat sudah meresap jauh ke ceruk tanahYamato. Mereka mahukan kebebasan, bukan dikurung begini. Jika keluar diekori, bukankah sama dengan dipenjarakan?”

“Engkau bohong. Pengintip kami mengesan engkau membawa keluar mereka seorang demi seorang di tengah malam. Untuk dilacurkan!”

Segawa tidak berlengah. Dia tahu dia kehilangan hujah, apabila Takumi mula mengeluarkan dapatan dari pengintip mereka. Dia menyerang Takumi, danTakumi sempat mengelak, dan mengerling ke arah tepi taman bonsai dari celah-celah hutan buluh itu. Dia mendapati Masami sedang terbaring.

“Segawa, isterimu sudah ditewaskan. Menyerah diri sahajalah.”

Segawa pantas mengelak dari Takumi, dan cuba mendapatkan pemandangan di taman bonsai. Benar kata Takumi. Dia pantas berlari menuju ke taman bonsai. Takumi mengejarnya.

Segawa sampai di sebelah Masami dan menggoncangkan jasadnya.

Takumi mencari kelibat Ayame. Ayame, di mana engkau? Dia mula gelabah.

“Tuan, Ayame-san ada di dalam.” Tokui menegur Takumi.

Takumi masuk ke dalam, mendapati Ayame sedang terbaring, sedang Touma bersandar pada tiang dengan kaki berbalut. Ryouji, Tokui dan tiga budak perempuan itu duduk di tepi Ayame.

“Takumi-san, pendarahannya sudah berhenti. Aku sudah membalutnya.” Ryouji memberitahu.

Tokui menambah, “Aku telah menyuntik antidot. Aku tidak pasti apa yang aku lihat, namun racun itu seperti tiada kesan ke atasnya. Mungkin kuantitinya sedikit.”

“Bagaimana dengan Segawa?” Ryouji bertanya kepada Takumi.

“Dia sedang meratapi isterinya. Dia tidak akan lari dan akan membalas dendam.”

“Biar aku yang selesaikan dia. Takumi-san, engkau lihatkan Ayame-san.”

Takumi mengangguk, wajahnya sugul. Dia benar-benar risaukan gadis sebayanya itu nampaknya.

“Ryouji, sebentar.” Takumi memanggil Ryouji seraya membisikkan sesuatu. Ryouji mengangguk, seraya keluar dari rumah. Dia bersenjatakan pedang Saishi-tou-nya dan membawa bersama pedang Ayame yang bermata sekiranya Segawa terlalu berbahaya, atas nasihat Takumi. Matlamat utama Ryouji ialah menangkap Segawa untuk dibicarakan di Kogen. Tentang peranan Ayame yang menuntutnya membunuh itu, dia sebenarnya masih berbolak-balik.

Tokui keluar mengikut Ryouji.

Aku tidak yakin Ryouji akan mampu membunuh Segawa. Aku harus membantunya.

Matte, Tokui. Doko iku no? (Tunggu, Tokui, engkau mahu ke mana?)”

Tokui tidak mengendahkan soalan Touma. Touma cuba bangkit namun kakinya yang masih kekejangan menghalang. Sedang Takumi masih duduk kaku mengadap tubuh Ayame yang terbujur kaku itu. Ayame, jangan mati! Wajah Takumi pucat seperti mayat. Dia benar-benar risaukan Ayame nampaknya.

Di kejauhan, kelihatan mayat Masami sudah dialihkan. Di mana Segawa?

Ryouji berasa tidak sedap hati. Dia tahu Segawa sedang menunggunya. Dia keluar berhati-hati, mengamati dengan penuh teliti segenap pelusuk rumah perlindungan itu.

Ryouji pantas menghayun pedang Ayame membelah sebatang panah yang tiba-tiba melayang entah dari mana.

“Engkau mencariku, budak?” Segawa sedang berdiri di atas bumbung.

“Segawa-san, serah diri sahaja.”

“Engkau bilang begitu mudah aku menyerah diri? Setelah kalian membunuh isteriku?”

“Dia telah memanah Ayame. Kami hanya bertindak balas. Segawa, turun dan bertarung denganku.”

“Tidak, aku akan memanahmu sehingga mengena.”

Satu-persatu panah dilepaskan, semua tidak mengenai Ryouji. Semua panah dalam kelongsong sudah kehabisan.

Lelaki separuh abad itu akhirnya turun.

“Ryouji, aku akan bertarung bermati-matian.”

“Aku pasti akan menangkapmu untuk dibicarakan di Kogen.”

Kedua-dua bergerak ke dataran dan mula bertarung. Ryouji tahu keputusannya, namun dia harus berwaspada. Segawa mahir kaminari. Amat mahir, sehinggakan dia mampu berlari pantas ketika membawa keluar anak-anak dari rumah itu untuk dilacurkan, demi mengelak diekori nazir. Takumi juga tidak dapat menewaskannya meskipun bertarung agak lama.

Tak guna! Aku langsung tidak berjaya mendekatinya. Jurus apakah ini?

Dou, Ryouji?”

Dia seperti berada dua, tiga langkah di hadapanku. Dan dia hanya menepis dan mengelak. Hanya aku yang bergerak. Dan pergerakan pantasku seperti langsung tidak berguna. Meskipun dia hanya menggunakan jurus lapan dan aku menggunakan jurus kesembilan dengan Saishi-tou, dia tampak lebih mahir berbanding Masami.

“Apa tujuan engkau mengelak dariku Segawa? Bertarunglah seperti lelaki!”

Segawa tidak membalas. Dia masih mengelak, tidak langsung mengeluarkan pedangnya.

Bagaimana aku boleh mendekatinya?

Pada satu ketika, Segawa berjaya mendekati Ryouji dan menyahsenjatakannya. Ryouji dijatuhkan dan ditindih oleh Segawa dengan lututnya sedang lengan kirinya mengunci lengan Ryouji ke belakang. Tangan kanannya menyeluk saku dan mengeluarkan tantou.

“Ryouji, tidak mudah mengalahkanku. Engkau fikir kerana engkau Okuhida, engkau boleh menewaskanku? Engkau boleh tewaskan Masami yang belajar dariku, namun menewaskan gurunya memerlukan lebih latihan.”

Aku tidak boleh mati sekarang. Aku tidak boleh mati sekarang! Mengapa pada saat itu tanganku kaku sejenak? Mengapa, mengapa, mengapa, mengapa, mengapa! Sekian lama ia tidak berlaku dan saat ini ia datang kembali? Mengapa, hayabusa-no-kami?!

Momoyama yang sedang berlegar-legar di atas bumbung mencari Ayame, hinggap di atas bumbung untuk memerhati mereka berdua dengan tumpuan penuh. Dia terbatuk-batuk, kemudian meludah sesuatu, ludahan itu berupa darah merah pekat. Ada tulang tupai sekali keluar bersamanya.

Tokui pula yang berdiri tidak jauh dari tempat Momoyama bertenggek, sedang menyarung panah pada busur, bersedia menarik dan melepaskannya ke arah Segawa.

“Tokui, sekarang!” Laung Ryouji sebaik melihat Tokui di atas bumbung. Dia sudah hilang harapan. Dia tidak boleh mati sekarang. Hanya Tokui pada saat itu yang masih boleh diharapkan, meskipun dia tidak langsung menyangka Tokui akan membantunya lagi.

Panah itu hampir mengenai Segawa sebelum dia berjaya mengelaknya. Ryouji pantas menolak Segawa dan bangun, mencapai senjatanya.

“Segawa, jangan terlalu yakin dengan kemahiranmu.” Ryouji menghunus pedang dengan tangan kiri. Dia teragak-agak, dan mula dikuasai gentar.

Bolehkah aku menewaskannya? Hanya tangan kiriku yang mampu kumanfaatkan. Aku tidak yakin, amat. Meskipun jurus kesembilan mampu kulakukan, aku tidak yakin dengan tangan kiriku. Tadi ketika aku di jurus sembilan sumpahan celaka itu kembali datang tiba-tiba, dan akibatnya aku ditindih Segawa semudah katak.

Aku fikir, sudah tiba saat aku perlu melakukannya. Aku sangat tidak ingin melakukannya, namun aku tiada pilihan. Jika aku naik ke jurus kesembilan tanpa sedar, tangan aku akan pulih kembali. Dahulu ketika di Hidagawa, kakiku yang tercedera kembali pulih meskipun sementara. Itu yang kudengar dari Shinji.

Momoyama, di mana engkau?

Ryouji mengerling ke atas bumbung.

Sekarang aku perlu mencari mana-mana haiwan kecil untuk mengumpannya sepertimana yang dilakukan Masami tadi. Aku akan membawa lelaki tua tak guna ini ke taman bonsai.

Ryouji terus-terusan bertarung pedang dengan Segawa, sedikit demi sedikit menganjak sehingga ke taman bonsai. Disebabkan berada pada jurus pantas, dia berjaya menangkap seekor katak yang sedang tidur di atas batu di taman itu, seraya menggenggam sedaya-upaya dengan tangan kanan yang kaku namun masih boleh menggerakkan sedikit jari.

Momoyama tertarik dengan tangkapan Ryouji. Burung gemuk itu masih lapar nampaknya. Tupai sahaja tidak cukup untuk makan tengahari.

Sebaik Ryouji di jurus kelapan, dia mencampakkan katak itu ke udara, pantas disambar Momoyama. Sejurus itu, Ryouji dirasuk sumpah hayabusa dan bertarung pantas di jurus kesembilan. Sedar dari pukau tersebut, Segawa rebah. Ryouji dapat mendengar suara Tokui memekik menyebut namanya pada ketika itu.

Sebelumnya, ketika keluar dari rumah bersama Tokui...

“Tokui, jika engkau lihat aku seperti dirasuk dan terus-terusan mengamuk tanpa tujuan, laung namaku sekuat hatimu. Aku akan kembali sedar.”

“Apa maksudmu?”

“Aku tidak tahu. Ia berlaku sekali-sekala ketika aku bertarung.” Aku sengaja berbohong kepada Tokui, demi merahsiakan sumpahan itu. Dahulu Goro menjerit dan aku sedar kembali. Aku fikir mungkin sebarang jeritan mampu menghilangkan kembali sumpahan itu.

“Namun jika aku masih tidak sedar, engkau masuk dan berlindunglah di dalam rumah. Kunci pintu hadapan sehingga aku pulih.”

“Baiklah.”

Aku tidak tahu dengan apakah aku mampu naik ke jurus sembilan tanpa sedar. Mungkinkah dengan Momoyama? Selagi boleh aku tidak mahu melakukannya di bawah sedar. Ia terlalu berbahaya kepada semua mereka yang berada di sini. Namun jika tangan kananku tiba-tiba kaku, aku tiada pilihan lain.

Aku sudah menumpaskannya. Bermulalah perhitungan terakhirmu, Segawa. Serah diri sahaja. Aku sangat tidak ingin menumpahkan darahmu.

Segawa luka-luka di kaki dan tangannya hasil tetakan demi tetakan pedang tumpul Saishi-tou. Dia terduduk. Pedangnya sudah jauh tercampak. Ryouji mendapati sumpahan hayabusa menghilang dan tangan kanannya kembali pulih.

“Bunuhlah aku sekarang. Jika engkau tidak lakukan sekarang, aku akan mencari ruang untuk membunuhmu juga.”

Ryouji berdiri pegun. Sekali lagi, hatinya berbolak-balik. Lama dia membisu tidak melakukan apa-apa.

“Mengapa Ryouji? Aku telah menodai ahli rumah ini. Jika aku dibicarakan pun, hukumannya tetap hukuman mati. Aku mengakui kesalahanku. Bunuh aku, bukankah itu tujuan Ayame datang ke mari?

“Diam, Segawa...”

Tidak. Aku tidak mahu membunuhnya. Aku mahu dia dibawa ke Kogen. Aku mahu mendengar pandangannya, mengapa dia melakukan semua onar-onar ini. Kemudian terserah kepada Kogen bagaimana menghukumnya mengikut Kod Kogen. Yang pastinya mengikut kod itu, Segawa akan dihukum bunuh.

Namun aku sedang menjalankan tugas Ayame. Jika dia mengaku telah menodai ahli rumah ini, kod Kogen menghalalkan darahnya dan Ayame dibenarkan menjatuhkan hukuman terus tanpa perbicaraan. Dan aku dibenarkan melakukannya sekarang, menggantikan Ayame.

Mengapa tanganku masih kaku?

Tidak, aku patut mengikat tangannya sekarang, dan membawa dia ke Kogen.Aku sangat tidak ingin membunuhnya.

Tangan Ryouji bukan lagi kaku kerana sumpah hayabusa, namun dikakukan hatinya yang berbolak-balik. Perasaan ketika mahu menamatkan riwayat Sonzaemon datang kembali. Ia seperti sebuah kata-kata yang terlekat di tenggorok dan tidak mampu diluahkan, entah apa yang menyekatnya.

Perasaan yang sama ketika aku di Furukawa menerpa kembali. Namun kini, ia datang bersama sebuah kenangan pahit yang sekian lama hilang dari ingatanku. Kenangan yang amat pahit.

Dalam kenangan itu, Otou-san menenangkan aku dengan mengatakan “Ryouji, kawal amarahmu!” sambil memegang tanganku yang sedang memegang kayu besar sekuat-kuatnya, cuba menghalang aku dari pergi memukul seseorang.

Memukul siapa? Siapa?

Tanpa disedari, air matanya mengalir. Pegangan ke atas pedangnya mulai longgar, dan pedang Ayame itu gugur ke bumi. Segawa perasan itu, seraya mencapai pedangnya pantas dan cuba menerpa dengan menghunus ke dada Ryouji.

Perut Segawa pantas dirobek oleh libasan pedang bermata Ayame. Ryouji terbelalak memerhatinya. Segawa tersungkur langsung, tangannya menekup perut sedang darah merah pekat keluar dari celah-celah jari.

Tokui berdiri di tepi Segawa yang sudah nyawa-nyawa ikan dengan memegang pedang Ayame yang tadi terlepas dari sarung Ryouji ketika bertarung, berlumuran darah, memastikan yang Segawa tidak mencapai kembali pedangnya.

“Segawa-san, terima kasih atas jagaanmu selama ini. Namun aku tidak akan memaafkan engkau atas apa yang telah engkau lakukan terhadap Ayako dan penghuni rumah ini.”

“Tokui. Maafkan aku.”

Serentak itu Segawa kaku.

Ryouji bertambah terkejut. Ia kali kedua Tokui campur tangan tugas Kogen. Tokui memandang Ryouji.

“Apa kau kelamun Ryouji? Jika aku tidak pantas dia sudah pasti telah membunuhmu.”

Ryouji tidak menjawab, berdiri kaku seperti patung batu. Benaknya masih dikuasai kenangan pahit yang datang menerpa tiba-tiba.

Previous: Bab 58
Next: Bab 60

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov