Home Novel Thriller/Aksi BRIEFCASE
BRIEFCASE
#mystrill
15/11/2019 13:35:00
4,370
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 2
9.15 malam, 30 Mac 2023,
Lobi Pejabat Kementerian Hal Ehwal Kewangan, Precint 33, Kotaraya Kosmopolis.


    Press conference tergempar sedang dalam proses untuk dimulakan.  Beberapa orang pengurus teknikal pejabat tersebut bertungkus-lumus memeriksa setiap mikrofon yang ada di dalam dewan seminar tersebut.

    Sebuah meja sepanjang 8 kaki diletakkan di hadapan pentas.  Dan 4 buah kerusi diletakkan mengadap ke arah deretan kerusi yang sedia tersusun di dalam dewan tersebut.  Beberapa orang petugas wanita pula sedang memastikan meja yang baru diletakkan dibaluti dengan penutup meja yang bersesuaian.  Mikrofon juga disusun dengan teliti untuk memastikan sidang akhbar tersebut dapat berjalan dengan lancar.

    Beberapa orang krew teknikal dan jurukamera beberapa buah stesen tv mula dibenarkan masuk setelah menunjukkan pas media masing-masing.  Mereka segera menempatkan mikrofon di atas meja dan juga menghidupkan kamera masing-masing kerana press conference tersebut dijadualkan akan bermula kira-kira lima belas minit lagi.

    Inspektor Irham masuk ke dewam tersebut dan memeriksa keadaan di situ dengan beberapa orang anggotanya.  Ketika dia berjalan ke arah pentas, telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi.

    “Assalamualaikum tuan.  Tuan, macamana dengan mayat ni tuan?”

    Soalan itu terus menerpa sebaik saja panggilan tersebut dijawab.  Lelaki itu menarik nafas panjang.

    “Ambulans semua dah sampai?”

    “Dah tuan.  Semua dah sampai dan mereka tengah tunggu kat belakang bangunan macamana yang tuan arahkan.”

    “Bagus.  Pastikan bila semua reporter dah masuk kat dalam dewan ni, kamu boleh mula uruskan mayat tu dan segera bawa ke jabatan forensik.  Tapi ingat, kalau ada wartawan yang ternampak atau ikut ambulans tu, jangan bagi mereka dekat dengan mayat tu.  Nafikan apa saja spekulasi yang mereka cuba timbulkan.  Kita tak nak keadaan jadi bertambah tegang. Faham?”

    “Faham tuan. Arahan diterima.”

    Inspektor Irham menyimpan semula telefon bimbitnya ke dalam kocek seluar slack biru gelapnya.  Dia meraup wajahnya.  Dia mula merasakan beban pelik yang harus ditanggungnya dengan kes ini. 

    Lagipun inilah kali pertama dia mengendalikan kes berprofil tinggi yang melibat seorang VVIP bergelar menteri.  Dia tahu yang siasatan berkenaan kes ini akan menjadi sangat sukar kerana banyak perkara yang perlu ditutup dan dipadamkan sebagaimana yang telah diarahkan oleh pihak atasannya.  Dia melepaskan keluhan berat.

    Telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi nyaring sekali lagi.  Dia mengeluarkan telefon tersebut dari kocek seluarnya sambil membelek nama pemanggil di skrin.  Buat seketika dahinya berkerut.  Panggilan tersebut segera di jawabnya.

    “Assalamualaikum tuan.  Ya tuan..”

    Wajah Inspektor Irham semakin serius saat mendengar arahan yang sedang diberikan oleh ketua operasinya di hujung talian tersebut.  Walaupun banyak arahan yang dia tidak berpuas hati, tapi dia tak mampu untuk berkata tidak.

    “Ya tuan.  Saya faham tuan.”

    Selesai mendapat arahan tersebut, dia mengeluh berat.  Sebagaimana yang dia jangkakan, pasti ada tangan-tangan ghaib yang cuba untuk menganggu tugasannya menyiasat kes ini.  Dan panggilan tadi adalah arahan kali kedua yang dia dapat daripada dua orang atasannya yang berlainan.

    Nampaknya ada banyak sangat benda yang tak kena dengan kes ini.  Pasti ada sesuatu yang cuba disembunyikan.  Hatinya mula meneka saat itu.

    “Err..  Tuan ni Inspektor Irham kan?”

    Seorang wanita bertudung dan berbaju kurung warna biru cair menegurnya yang ketika itu sedang berjalan kembali ke kerusi yang didudukinya tadi.  Dahinya berkerut beberapa ketika sebelum dia menganggukkan kepalanya.

    “Ye saya.”

    Wanita bertudung tersebut tersenyum pendek.

    “Ada orang nak jumpa tuan.”

                        ****

9.25 malam, 30 Mac 2023,
Terminal Bas Berpusat, Precint 33, Kotaraya Kosmopolis.


    Iqbaal menyeluk kocek seluar jeansnya lalu dikeluarkan beberapa keping wang kertas beraneka warna.  Wang tersebut diserahkan kepada seorang gadis bertudung di hadapannya.  Sesekali dia tertinjau-tinjau dari celahan tong sampah berwarna gelap yang terletak beberapa puluh meter dari deretan kaunter tiket di terminal tersebut.

    “Dik.  Tolong abang ye.  Adik belikan 2 tiket untuk ke Andraloka.  Satu untuk adik, dan satu untuk anak abang ni.  Nanti abang akan bayar adik macam yang abang janjikan tadi.”

    Gadis itu mengangguk sambil tersenyum.  Mungkin dia sudah membayangkan upah lumayan yang dia akan perolehi hanya dengan menemani kanak-kanak perempuan yang sedang terlelap di pangkuan lelaki di hadapannya itu.  Dia memasukkan beberapa keping not $100 yang diberikan Iqbaal ke dalam kocek seluar jeansnya.

Tugasnya mudah saja.  Beli tiket bas ekspres terakhir malam ini untuk ke negeri Andraloka.  Perjalanannya mengambil masa lebih kurang 3 ke 4 jam.  Dan apabila sampai besok pagi, dia perlu beli semula tiket untuk balik ke sini dan dia akan mendapat baki wang ganjaran sebagaimana yang dijanjikan.

    Gadis itu bergegas ke kaunter untuk membeli tiket.  Selesai membeli tiket, gadis itu datang semula ke arahnya. 

    “Ini tiketnya bang.  Bas pukul 12 tengah malam ni.  Nombor plat...”

    Gadis itu membacakan nombor plat bas tersebut.  Iqbaal mencatatkan nombor tersebut ke dalam telefon bimbitnya yang sudah dimatikan talian dan akses internetnya.

    “Ok. Sekarang adik bawa anak abang ni ke dalam terminal.  Jaga dia elok-elok.  Kalau orang tanya budak ni siapa, cakap je tu adik awak.  Ok?”

    Gadis itu menganggukkan kepalanya tanda faham dengan arahan yang diberikan.

    “Habis tu abang takkan tak ikut kami sekali nanti?”

    “Abang akan ikut.  Itu awak tak payah risau.  Yang penting awak buat je macamana yang abang ceritakan tadi.  Ok?”

    “Ok bang.”

    Gadis itu tersenyum ceria.  Dia nampak gembira.  Mungkin kerana malam ini dia boleh ‘melancong’ percuma ataupun mungkin juga kerana imbuhan tinggi yang dia akan perolehi setelah menyelesaikan tugasannya.  Iqbaal menarik nafas lega.  Kalau dia tidak bertemu dengan gadis penjual air kotak dan tisu bersebelahan tandas di mana dia bersembunyi tadi, pasti lebih banyak kerumitan yang dia terpaksa hadapi.

    Gadis bertudung itu mendukung Aryani yang tiba-tiba saja terjaga.  Anak kecil itu mencebikkan wajahnya dan mula menangis.

    “Abah..”

    Air mata gadis kecil itu gugur lagi.  Iqbaal menarik nafas panjang lalu memegang kedua belah tangan Aryani.

    “Yani.  Dengar cakap abah.  Yani kena ikut kakak ni.  Ok?  Abah akan ikut sekali, Yani tak payah risau.  Tapi abah tak boleh duduk sekali dengan Yani.  Kakak ni akan teman Yani.  Faham.”

    “Tapi abah...”

    Air matanya berjuraian semakin laju.  Iqbaal mencium dahi anak kecilnya itu.

    “Yani kena dengar cakap abah.  Tak payah takut.  Faham?  Abah ada je kat sini.  Nanti bas sampai, Yani ikut kakak ni naik bas tu.”

    “Yani takut..  Abah tak ikut sekali ke?”

    Aryani mula merengek.  Iqbaal menghela nafas panjang.  Dia menatap wajah Aryani dalam-dalam.

    “Abah akan ikut sekali.  Tapi abah tak boleh ada sekali dengan Yani.  Bahaya.  Yani ikut saja kakak ni.  Kakak ni baik.  Dia akan jaga Yani.  Nanti dah sampai, abah akan ambil Yani semula.  Faham?  Jangan takut ok?  Abah ada.”

    Aryani mengesat air matanya sambil menganggukkan kepalanya.  Iqbaal mengoyakkan plastik pembalut roti krim yang dibeli gadis bertudung itu tadi lalu dihulurkan kepada Aryani.  Anak kecil itu mencapainya lalu menggigit dan mengunyahnya dengan lahap.  Iqbaal mengesat air mata di wajah polos Aryani dengan jarinya.

    “Yani kena kuat dan berani ok?  Abah nak bawak Yani balik kampung.  Yani nak jumpa nenek kan?”

    Perlahan-lahan gadis kecil itu mengorak senyuman lalu menganggukkan kepalanya.  Mendengar saja perkataan kampung dan nenek, emosinya kembali berubah.  Dia mula nampak ceria.  Iqbaal tersenyum lega.  Gadis bertudung itu pantas mendukung Aryani yang masih mengunyah menghabiskan sisa roti di tangannya.

    “Dik..  Jaga anak abang ni elok-elok ya.”

    Iqbaal berpesan sekali lagi kepada gadis tersebut.  Dia pantas menganggukkan kepalanya dengan segaris senyuman.

    “InsyaAllah bang.  Saya akan jaga dia elok-elok.  Abang pun jaga diri.”

    Iqbaal melukiskan segaris senyuman lalu menganggukkan kepalanya.  Tanpa menunggu lebih lama, gadis bertudung itu mendukung Aryani dan mula melangkah menuju ke arah lobi terminal yang dipenuhi dengan penumpang yang sedang menanti bas masing-masing.

    Iqbaal mengeling jam di pergelangan tangannya.  Jam menunjukkan pukul 9.30 malam.  Ini bermakna, masih panjang lagi masa yang perlu dinantikan sebelum bas terakhir itu berlepas ke Andraloka.

    Iqbaal melepaskan nafas panjang lalu duduk sambil menyandarkan tubuhnya di dinding tong sampah tersebut.  Dia meraup wajahnya.  Saat itu dia tak pasti apa yang sedang ada dalam perasaannya.  Dia tak tahu samada dia perlu bersedih, takut ataupun marah dengan apa yang sedang dilaluinya ketika ini.  Yang pasti, kalau dia tersilap langkah, maka nyawanya akan berakhir begitu saja.  Dan bila briefcase hitam ini sampai ke tangan-tangan yang tak sepatutnya, maka segala bukti penyelewengan dalam kementerian yang mungkin berkait rapat dengan kematian Dato’ Khalil akan lenyap begitu saja dan semuanya akan menjadi sia-sia tanpa pembelaan.

    Besar kemungkinan, dia pula yang akan dituduh membunuh bekas majikannya itu.

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.