Home Novel Thriller/Aksi BRIEFCASE
BRIEFCASE
#mystrill
15/11/2019 13:35:00
25,650
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 1
8.15 malam, 30 Mac 2023,
Pinggir Kotaraya Kosmopolis, Negara Necropolis.


    Iqbaal berhenti berlari.  Dia membelingaskan pandangannya ke kiri dan kanan dengan cemas.  Wajahnya disimbahi peluh yang bukan sedikit.  Peluh itu mengalir hingga ke tengkuk dan ada yang menitis ke lengannya yang sedang kemas mengendong Aryani.


    Anak gadisnya yang baru berusia 7 tahun itu hanya mendiamkan diri.  Ketakutan dan keresahan jelas terbayang di wajahnya.  Iqbaal termengah-mengah.  Dia mencangkung lalu mendirikan Aryani di atas jalan tar yang basah.  Hujan masih lagi rintik.  Lorong gelap di mana dia berada ketika itu kelihatan masih lagi panjang.

 

    Iqbaal menghidu bahaya yang mungkin ada di hadapannya.  Dia tahu yang dia harus segera meninggalkan lorong tersebut.  Jika tidak, lelaki-lelaki yang sedang memburunya pasti akan lebih mudah menemui dia dan Aryani. 


    Dadanya gemuruh.  Inilah kali pertama dia terpaksa berdepan dengan ujian yang sebegini hebat.  Tak sempat menunggu lelahnya berkurangan, dia kembali mengendong Aryani dan meneruskan lariannya.


    Dia perlu segera mencari tempat yang selamat.  Sekurang-kurangnya untuk dia bersembunyi seketika daripada lelaki-lelaki bersenjata itu.  Keadaan semakin genting.  Kalau dia tersalah langkah, bermakna nyawanya dalam bahaya.


    Dia tahu mereka yang memburunya ketika ini bukanlah untuk menangkapnya.  Tapi mereka mahu apa yang ada di tangannya ketika ini.  Iqbaal mengerling ke arah briefcase hitam yang dipegangnya.  Inilah yang mereka mahukan.  Inilah yang mereka cari.  Jika semua ini mereka perolehi, nyawanya dan Aryani pasti akan berakhir.


    Iqbaal menarik nafas panjang.  Dia tak rela mati dalam keadaan sebegini.  Dia tak mahu Aryani yang tak bersalah turut sama menjadi mangsa.  Cukuplah dengan apa yang pernah menimpa Syafiqah, arwah isterinya dulu.  Cukup!

 

Iqbaal menggenggam penumbuknya.  Lariannya bertambah laju biarpun nafasnya kadangkala tersekat-sekat.  Tapi kakinya masih laju mengayuh langkah.  Matlamatnya hanya satu ketika ini, dia perlu menyelamatkan dirinya dan Aryani terlebih dahulu.  Dia perlu pulang segera ke Andraloka dengan apa cara sekalipun.


    Setelah segalanya selamat, barulah dia akan balik ke sini semula merencanakan serangan balas, sekurang-kurangnya untuk membuktikan yang dia memang tidak bersalah.

                        ****
       

    Hafeez mendengus marah.  Wajahnya kemerahan.  Dia menggenggam telefon bimbit di tangannya dengan keras.  Kalau boleh dia nak hancurkan telefon tersebut.  Kemarahannya memuncak. 


    “Aku nak korang cari dia.  Aku tak nak dengar apa-apa alasan, yang aku tahu, aku nak briefcase tu ada depan mata aku malam ni jugak!”


    Dia menghamun di hujung talian.  Suaranya kuat hingga menyebabkan beberapa orang yang lalu lalang di sekitarnya berpaling dengan wajah tertanya-tanya.


    “Bangsat!  Bodoh!  Benda mudah macam tu pun korang tak mampu nak buat ke hah??”


Hafeez menghempas telefon bimbit tersebut ke lantai.  Berderai segala bahagian telefon tersebut, menjadi serpihan-serpihan kecil.  Wajah Hafeez tambah kemerahan.  Peluh membasahi tubuh dan wajahnya.  Dua orang lelaki yang berpakaian serba hitam di hadapannya saling berpandangan sesama sendiri.


    “Boss, macamana ni boss?”


    Soalan salah seorang daripada lelaki itu meningkatkan lagi darjah kepanasan di hati Hafeez.


    “Kau ambil pistol ni, kau pergi tembak kepala samseng-samseng yang bebal nak mampus tu kalau Iqbaal terlepas malam ni.  Kau ingat, aku nak kau tembak sekor-sekor sampai semuanya mampus!”


    Sepucuk pistol Glock .45 Caliber Auto dibaling ke arah lelaki itu.  Pistol itu penuh dengan 13 butir peluru yang cukup untuk meledakkan kepala samseng-samseng suruhan Hafeez itu.


    Lelaki itu menyambut pistol tersebut sambil mengangguk dengan segaris senyuman sinis.  Lelaki yang seorang lagi turut sama tersenyum sinis.  Mereka tahu tugas yang harus mereka lakukan.  Hafeez masuk ke dalam Vellfire hitam berkilat miliknya dengan wajah yang masih dipenuhi kemarahan dan kebencian.


    Sebaik pintu tertutup, tingkap diturunkan dan Hafeez menjenguk keluar ke arah dua orang lelaki suruhannya itu.  Nampaknya masih ada lagi perkara yang ingin dipesannya.


    “Korang uruskan pasal Iqbaal.  Aku tak nak tahu pasal dia hidup ataupun mampus.  Itu kerja korang.  Aku cuma nak briefcase tu.  Itu saja.  Korang fahamkan maksud aku.”


    Kedua lelaki itu sengih lalu mengangguk serentak.


    “Jangan risau bos.  Kami tahu apa yang kami nak buat.”


    “Bagus.  Aku nak kena balik ke pejabat.  Polis dah sampai tu.  Aku nak kena selesaikan urusan mayat Dato’ Khalil.  Kejap lagi mesti wartawan akan datang.”


    Kedua lelaki itu mengangguk lagi.


    “Tak apa, bos settlekan dulu hal big boss tu.  Kami akan settlekan kerja kami.  Don’t worry.”


    Hafeez angguk lalu mencapai sesuatu dari dalam kocek bajunya.  Sekeping envelop berisi segumpal wang kertas dicampakkan ke arah kedua lelaki itu.  Senyuman tambah meleret di wajah masing-masing bila sampul itu tiba ke tangan mereka.  Semangat untuk membunuh menjadi bertambah bergelodak.


    “Thank you bos!”


    Kedua-dua lelaki itu tersengih-sengih sambil menghantar pandangan ke arah Vellfire tersebut yang mula berjajar meninggalkan tempat tersebut.

Previous: PROLOG2
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh #mystrill