Home Novel Thriller/Aksi BRIEFCASE
BRIEFCASE
#mystrill
15/11/2019 13:35:00
25,677
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 3
10.30 malam, 30 Mac 2023,
Bilik mesyuarat Parti Angkatan Gabungan Kosmo,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan, Precint 30, Kotaraya Kosmopolis.
    Mesyuarat tergempar diadakan dan kesemua pemimpin politik tertinggi gabungan parti politik di bawah Angkatan Gabungan Kosmo diarahkan menghadiri mesyuarat ini oleh Perdana Menteri Kosmopolis, Dato’ Seri Ir Haji Zaharian Bin Haji Othman.

    Menjelang pukul 10.30 malam, hampir kesemua pemimpin politik berkenaan sudah pun memenuhi ruang bilik mesyuarat tersebut.  Perbincangan mereka yang paling utama adalah berkenaan isu kematian Dato’ Khalil yang baru saja diumumkan melalui siaran secara langsung di kaca tv sebentar tadi oleh pegawai khas allahyarham.

    Dato’ Edmund Khoh adalah antara pemimpin tertinggi yang paling lantang sekali bersuara di dalam mesyuarat tergempar tersebut.

    “Tuan presiden, apa yang berlaku malam ni seriously akan effect keyakinan rakyat terhadap parti kita.”

    Dato’ Edmund Khoh membetulkan duduknya.  Dia ingin menyambung bicaranya namun segera dipintas oleh Dato’ Seri Perdana Menteri.

    “Saya tak nampak sebarang masalah pun yang akan mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap parti kita.  Boleh kamu terangkan kepada saya apa yang kamu cuba maksudkan Dato’ Edmund?”

    Soalan tersebut membuatkan lelaki tionghua itu menarik nafas panjang.

    “Tuan presiden, saya tahu pegawai khas Dato’ Khalil berbohong.  Saya sendiri dah tengok mayat Dato’ Khalil dan saya yakin yang dia sebenarnya dibunuh, bukannya mati sebab serangan jantung.”

    Beberapa orang pemimpin dan juga menteri serta timbalan menteri yang ada di dalam bilik menyuarat tersebut menganggukkan kepala masing-masing menyokong kenyataan lelaki itu.
    “Kalau pun dia berbohong, itu semua untuk kebaikan parti kita.  Kamu tak perlu nak menggelabah Dato’ Edmund.  Tugas kita semua sekarang ni adalah untuk melindungi nama baik parti, bukannya nak membuat tuduhan melulu macam tu.  Apa yang patut jadi rahsia, kita kekalkan sebagai rahsia.”

    Dato’ Edmund Khoh menarik nafas panjang.  Semua mata bertumpu ke arahnya.

    “Saya sokong pandangan dato’ seri tu.  Dalam keadaan sekarang, kita perlu bersatu dan apa-apa kenyataan yang kita keluarkan, mestilah sama dan perlu merujuk kepada kestabilan parti, sebab pilihanraya dah dekat.  Kita dah tak banyak masa untuk berkempen kalau asyik nak melayan masalah-masalah macam ni.”

    Dato’ Harith Ismail, timbalan menteri di Pejabat Perdana Menteri bersuara.  Sebagaimana biasa, hanya sekadar untuk mengiyakan apa yang dikatakan oleh Dato’ Seri Perdana Menteri semata-mata.  Atau dengan ayat lainnya, hanya untuk membodek.  

    Dato’ Edmund Khoh kehilangan kata-kata.  Beberapa kali juga dia cuba menegakkan pendiriannya itu, namun hampir kesemua pemimpin tertinggi yang hadir mesyuarat tergempar malam itu sebulat suara menerima pengumuman yang dibuat dalam sidang media sebentar tadi.

    Dato’ Edmund Khoh menyandarkan tubuhnya ke sofa.  Hatinya terasa lain macam.  Banyak perkara yang tak kena sedang menikam perasaannya ketika ini.  Mesyuarat tadi juga berlalu tanpa ada sebarang penyelesaian.  Dia mengeluh berat.  Ruang bilik rehat yang luas dan kosong itu membuatkan dia jadi semakin resah.  Dua tiga orang pegawai khas dan juga Polis pengiringnya kelihatan mundar mandir di hadapan pintu bilik itu yang terbuka lebar.

    Telefon bimbitnya berbunyi, perlahan tapi menusuk.  Panggilan daripada private number tersebut dijawabnya dengan pantas.

    “So macamana?”

    Suara Dato’ Edmund Khoh rendah, sedaya upaya dia tidak mahu perbualannya didengari sesiapa pun walaupun jarak antara dia dan pegawainya agak jauh ketika itu.

    “Susah aku nak cakap.”

    Suara di hujung talian itu bagaikan halilintar.  Jawapan yang keluar itu bukanlah jawapan yang mampu menyenangkan hatinya.  Lelaki separuh baya itu mengelap peluh di dahinya.

    “I tak kisahlah benda tu susah ke senang ke.  I sudah bayar sama you, you bikin you punya kerjalah.  Takkan dia sorang pun you all ramai-ramai tak boleh nak tangkap?”

    Dato’ Edmund Khoh menekan suara.  Agak keras, tapi masih mendatar.  Dahinya berkerut.  

    “Aku faham.  Aku tengah cari ni.  Tapi kau kena tau, bukan kau sorang yang hantar orang untuk cari budak Iqbaal tu tau.”

    “Itu I tak mau taulah.  Yang I mau tau, briefcase tu ada di tangan you.  Bukan orang lain.”

    “Dato’..  Like what I said..  Bukan kami saja yang tengah buru dia.  You kena faham benda tu.”

    “Bunuh sesiapa saja yang rampas beg tu selain you.  Pasal lain, let me settle it.”

    Suara di hujung talian berhenti sejenak.  Yang kedengaran hanyalah bunyi dengusan nafas.  Beberapa ketika kemudian barulah dia kembali bersuara.    

    “Ok.  Aku try cari briefcase tu.”

    “Make sure you dapat ha beg tu.”

    “Ok. Ok.  Aku try.”

    Panggilan dimatikan.  Dato’ Edmund Khoh menyumpah dalam hati.  Gaji mau besar, tapi kerja mudah macam itu pun tak mampu nak buat.  Bibirnya bergerak-gerak terus menyumpah orang kanannya yang mengetuai kumpulan keselamatan di bawah pentadbirannya.

    Mati I kalau briefcase tu sampai ke tangan orang yang salah.  Tambah-tambah kalau Hafeez yang dapat.  
 
    Dato’ Edmund Khoh mengeluh dalam hati.  Dia tahu, satu-satunya jalan yang mampu menenangkan dia ketika ini adalah briefcase tersebut ada di tangannya.  Setelah segala dokumen, pendrive dan hard disc yang mempunyai butiran keluar masuk duit, pembayaran, skandal dan penyelewengan yang dia lakukan melalui Kementerian Hal Ehwal Kewangan  dan apa saja yang berkaitan dengannya dihapuaskan, barulah dia akan rasa senang hati.

    Sebab itulah tadi dia cuba memerangkap Hafeez.  Dia mahu Dato’ Seri Perdana Menteri mengambil tindakan terhadap Hafeez atas tuduhan membunuh Dato’ Khalil.  Tapi majoriti menteri dan pemimpin di dalam mensyuarat tersebut pula sebulat suara mahu mendiamkan kes tersebut atas alasan Pilihanraya Nasional akan menjelang lebih kurang sebulan dari sekarang.  Masing-masing bimbang akan kalah dalam pilihantara tersebut kalau isu ini sampai ke pengetahuan rakyat.

    “Dato’ Edmund, kalau rakyat tahu Dato’ Khalil dibunuh, mereka akan anggap yang gabungan parti-parti kita ni sedang bermasalah.  Pihak pembangkang akan gunakan isu ini untuk merangka strategi nak musnahkan kita dalam pilihanraya tu nanti.”

    “Betul cakap Dato’ Kamsani tu.  Saya sokong.  Cyber troopers pembangkang pun dah mula mainkan isu ini.  Tadi saya ada baca di Facebook.  Ramai pula yang like dan komen di post tersebut.  Ini satu perkembangan yang tidak elok untuk parti kita.”

    Dato’ Edmund Khoh hilang kata-kata.  Dia tak mampu melawan keputusan sebulat suara yang lainnya.  Jadi dia harus kembali ke plan asalnya iaitu mendapatkan briefcase daripada Iqbaal dengan apa cara sekalipun.  

    Cuma masalahnya sekarang, sebagaimana laporan orang kanannya tadi, bukan hanya kumpulan mereka yang sedang memburu Iqbaal.  Tapi ada banyak kumpulan lain.  Dia yakin yang Hafeez juga sedang memburu Iqbaal kerana rahsia lelaki itu sebenarnya jauh lebih besar tersembunyi di dalam beg hitam tersebut.
    

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham