Home Novel Thriller/Aksi BRIEFCASE
BRIEFCASE
#mystrill
15/11/2019 13:35:00
4,373
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 4
11.05 malam, 30 Mac 2023,
Terminal Bas Berpusat, Precint 33, Kotaraya Kosmopolis.


    Iqbaal menarik briefcase hitam itu supaya rapat ke sisinya.  Dia menarik nafas panjang.  Dia melihat jam Rolex di pergelangan tangannya.  Pukul 11.05 minit malam.  Bermakna dia ada lebih kurang sejam daripada sekarang untuk mencari bas yang akan membawa dia keluar dari kotaraya ini.

    Iqbaal membetulkan duduknya.  Dia meraba bahagian belakang bahunya yang berdenyut.  Belakang tubuhnya yang rasa sebal dijarakkan sedikit daripada dinding tong sampah di mana dia sedang berselindung.

    Tiba-tiba muncul sebuah kenderaan pacuan empat roda melintasi kawasan tersebut dan beberapa orang lelaki yang berdiri di deck belakang kenderaan tersebut menghalakan sorotan cahaya lampu suluh masing-masing ke arah tong sampah tersebut.

    Iqbaal menarik sekeping kotak kertas yang agak besar untuk melindungi tubuhnya.  Segera dia mengisut tubuhnya agar masuk sedikit ke dalam di antara dua buah tong sampah besar di situ.  Kemudian lembar kotak tersebut ditarik kenutupi tubuhnya yang mengerekot di antara tong tersebut.  Dia menahan nafas.

    Cahaya lampu suluh tersebut mula menyorot ke arahnya.  Dahinya mula berpeluh bila dia kenderaan tersebut berhenti betul-betul di hadapan tong sampah tersebut.  Kedengaran beberapa orang lelaki bercakap sesama mereka dalam bahasa kantonis yang tidak difahaminya.  Iqbaal memejamkan matanya.  Dia dapat mendengar dengan jelas beberapa orang lelaki itu melompat masuk dan memunggah sampah di dalam tong sampah tersebut dengan kasar.

    Nampaknya mereka memang betul-betul mencari di mana dia bersembunyi.  Iqbaal menelan liur.  Derap langkah mendekati bahagian kepalanya.  Daripada percakapan lelaki-lelaki ini, dia yakin yang mereka ini adalah kumpulan upahan Dato’ Edmund Khoh kerana ketika mengamati apa yang mereka cakapkan, beberapa kali dia terdengar nama lelaki itu disebut.

    Iqbaal menghela nafas panjang.  Dato’ Edmund Khoh bukanlah orang asing dengan dia.  Hubungan mereka sangat akrab dan dia juga banyak membantu kerier politik lelaki tua itu.  Dato’ Edmund Khoh sebenarnya pernah kalah sekali dalam PN dua penggal yang lepas.  Ketika itu, banyak isu perkauman yang dimainkan dan hasilnya, dia tewas di lubuknya sendiri.  

    Selepas kalah, dialah yang membantu ahli politik veteren itu membuat post mortem kekalahan di kerusi tersebut dan banyak isu mengejutkan yang dia perolehi.  Sebenarnya kekalahan tersebut diatur oleh ‘pihak dalaman’ parti sendiri.  

    Orang yang bertanggungjawab melaksanakan misi tersebut adalah rakan sejawatannya sendiri iaitu Hafeez.  Tapi Hafeez takkan buat apa-apa tanpa arahan kerana dia kenal sikap sebenar Hafeez yang tak berani mengambil risiko atas apa-apa masalah sekalipun.  Dia hanyalah jenis manusia yang suka menangguk di air yang keruh atas kesusahan orang lain asalkan kesusahan itu tidak mendekatinya.  Bila dia terus menyiasat, barulah dia beroleh jawapannya.

    Sebenarnya Dato’ Khalillah yang mengarahkan supaya Hafeez mensabotaj pencalonan Dato’ Edmund Khoh di kerusi parlimen tersebut.  Kenapa?  Kerana Dato’ Khalil ingin memberikan kemenangan kepada calon Parti Rakyat Progresif pimpinan Dato’ Haji Sulaiman agar memenangi kerusi tersebut.
 
    Kecewa dengan hasil post mortem tersebut, dia terus berjumpa dengan Dato’ Khalil yang ketika itu memegang jawatan sebagai setiausaha kehormat parti gabungan.  Namun jawapan yang diterimanya daripada Dato’ Khalil sangat mengecewakan.

    “Ya, saya mengaku memang kekalahan Edmund atas arahan saya.  Kita tak boleh bagi Edmund menang.  Dia dah banyak menyeleweng dana-dana dalam parti.  Tapi it’s ok.  Saya dah bincang dengan presiden parti dan dia dah setuju untuk lantik Edmund sebagai senator dan dia akan diserapkan sebagai Menteri di Pejabat PM.”

    “Tapi cara ni salah dato’.  Dato’ sendiri setiausaha kehormat parti.  Yang nak menjawabnya nanti dato’.  Bukan saya.”

    “Ini keputusan pemimpin tertinggi parti Iqbaal.  Kami ada reason untuk semua tu.”

    “Tapi dato’...”

    “Iqbaal.  Saya tahu awak seorang pegawai yang baik.  Lurus dan bertanggungjawab.  Tapi parti ada sebab untuk buat semua tu.  Ini untuk kebaikan semua pihak.”

    “Apa sebabnya?”

    “Itu rahsia parti.  Iqbaal, satu hari nanti kamu akan faham kenapa benda tu berlaku.  Sebab dan kesannya kalau Edmund terus pegang kerusi tu.”

    Dia masih tak berpuas hati.  Penerangan Dato’ Khalil langsung tak boleh diterimanya.  Agak lama dia berdiri di hadapan meja tersebut, Dato’ Khalil akhirnya bersuara sambil mengeluh kecil.

    “Iqbaal.  Duduk..”

    Pelawaan Dato’ Khalil membuatkan dia menarik kerusi lalu duduk berhadapan dengan lelaki itu.

    “Baiklah.  Saya boleh terangkan kepada kamu kenapa saya buat sampai Edmund kalah.  Sebab saya percayakan awak.”

    Dato’ Khalil bersuara perlahan.  Dia menghela nafas panjang lalu mengeluarkan sebuah fail yang agak nipis dengan beberapa dokumen terisi di dalamnya.

    “Dalam fail ni, ada banyak bukti-bukti penyelewengan yang Edmund dah buat sepanjang dia jadi ahli parlimen kat kawasan tu.  Ada banyak kontraktor yang jadi proksi dia kat situ.  Semua projek tak kira besar atau kecil, dia akan pastikan proksi-proksi dia ni yang akan dapat.  Walaupun itu perkara yang biasa diamalkan dalam politik, tapi berpada-padalah.  Rakyat dah mula nampak, mereka dah cerdik.  Sana-sini orang bercakap pasal Edmund.”

    “Habis tu kenapa tak serahkan saja dokumen-dokumen ni kepada Polis?”

    Dato’ Khalil tersenyum pendek.

    “Kalau dokumen-dokumen ni dibongkarkan, kesannya bukan hanya kepada Edmund, tapi juga kepada parti.  Sekarang rakyat hanya dengar cakap-cakap khabar angin yang dibawa oleh kontraktor-kontraktor lain yang tak berpuas hati dengan cara pembahagian projek-projek di dalam kawasan tu.  Tapi rumours macam tu kita mudah nak patahkan.  Cakap saja semua tu fitnah dan minta mereka laporkan kepada Polis.  Settle.  Sebab mereka takkan berani lapor kepada Polis pun sebab mereka sendiri pun tak bersih.  Cuma mereka marah sebab tak dapat projek.  Itu saja.”

    Dato’ Khalil menolak fail tersebut ke arah Iqbaal.

    “Jadi kami, pemimpin-pemimpin tertinggi parti dah buat keputusan, Edmund tak boleh bertanding di situ sebab kalau bertanding jugak, peluang dia untuk menang pun cuma 50-50.  Tapi Edmund mengamuk.  Dia cakap dia orang lama di situ.  Dia boleh menang, anytime.  Tapi realitinya, dari maklumat dalaman, kita memang akan kalah.”

    Iqbaal membelek beberapa dokumen sulit di dalam fail tersebut.  Kebanyakkannya dokumen pembayaran beberapa tender yang berjumlah ratusan juta ringgit dari beberapa projek besar yang dijalankan di kawasan Dato’ Edmund Khoh.  Antaranya adalah projek infrastruktur telekomunikasi yang dibiaya penuh oleh pihak kerajaan.  Iqbaal melepaskan keluhan berat.  Lima projek dimonopoli oleh syarikat yang sama.

    “Kalau kamu tengok dokumen tu, itu syarikat abang ipar Edmund.  Yang lima lagi syarikat yang dapat tender tu semuanya syarikat milik ahli keluarga dia.  So, sebab itulah ramai kontraktor yang lebih layak dapat projek tu marah dengan dia.”

    Iqbaal meraup wajahnya.  Dia perasan salah satu dokumen projek yang ada dalam fail itu, adalah projek pembinaan pencawang telekomunikasi yang pernah runtuh dan menyebabkan beberapa orang penduduk kampung maut dalam tragedi tersebut.  Ini isu nasional.  Iqbaal mengeluh dalam hati.  Dia mula nampak dan faham apa yang Dato’ Khalil cuba sampaikan kepada dia.

    “Bila kami nasihatkan dia supaya jangan bertanding, dia marah.  Dia cakap dia pemimpin senior.  Tak ada yang layak selain dia.  Jadi apa yang kami boleh buat adalah pastikan yang dia kalah di kerusi tersebut.  Supaya kita boleh keluarkan dia daripada kawasan.”

    Dato’ Khalil menyandarkan tubuhnya ke kerusi empuk yang sedang didudukinya.

    “Tapi kenapa dato’ hantar saya untuk bantu di kawasan?”

    “Sebab kamu pegawai yang amanah.  Lagipun kamu kan bekas pegawai khas dia.  So Edmund takkan rasa ini satu sabotaj.”

    “Jadi dato’ pergunakan sayalah dalam hal ni?”

    Soalan tersebut membuatkan Dato’ Khalil ketawa kecil lalu menggelengkan kepalanya.  

    “Pergunakan untuk kebaikan parti dan kebaikan semua pihak.  Lagipun dia masih lagi diangkat jadi menteri.  Tiada benda yang berbeza pun.  Cuma kuasanya dah tak macam dulu.  itu saja.”
    Iqbaal menggeleng-gelengkan kepalanya.  Kadang-kadang dia pening dengan permainan politik.  Banyak lapis yang perlu dikupas sebelum dapat dilihat objektif yang sebenarnya kenapa sesuatu keputusan itu dibuat.

    “Sebab itu jugalah saya akan hantar kamu untuk bantu dia sekali lagi dalam PN yang akan datang ni.  Kali ini, pastikan yang Edmund menang, tapi setelah kamu bersihkan semua masalah-masalah yang dia pernah buat dulu.  That’s why saya banyak arahkan kamu supaya masuk ke kawasan Edmund dan pantau semua projek-projek dalam kawasan tu sekarang ni.”     
   
    Lamunan Iqbaal terputus apabila lelaki-lelaki berbangsa Cina yang memburunya itu bergegas meninggalkan kawasan pembuangan sampah tersebut selepas mendapat satu panggilan telefon.
    Iqbaal menarik nafas lega.  Dia memejamkan matanya sejenak dan membiarkan saja fikirannya bergeluyur mengenang memori-memori lama ketika dia membantu Dato’ Edmund lebih kurang 10 tahun yang lalu.

                        ****

11.15 malam, 30 Mac 2023.
Ibupejabat Kontijen Polis Kosmopolis.


    Inspektor Irham melepaskan keluhan panjang sambil berjalan masuk ke dalam pejabat tersebut menuju ke biliknya.  Hatinya jadi sebal dengan apa yang sedang berlaku.  Namun belum sempat dia tiba di biliknya, ASP Zamari yang juga pegawai atasannya memanggil dia ke bilik dan memberikan amaran supaya dia ‘meringankan’ siasatan terhadap kes ini.

    “Kamu faham kan dengan arahan tuan KP kita kepada kamu masa dia telefon kamu tadi?”

    Soalan ASP Zamari membuatkan dia menganggukkan kepalanya.  

    “Faham tuan.”

    “Dah tu kenapa yang kamu masih lagi nak panjang-panjangkan kes ni?”

    “Saya belum mulakan apa-apa siasatan pun tuan.”

    “Ya saya tahu.  Tapi ada laporan yang cakap, kamu tetap berkeras nak siasat juga kes Dato’ Khalil tu.”

    Suara ASP Zamari sedikit meninggi.  Matanya membulat.  Lelaki itu yang sedang bersandar di kerusinya memandang tepat ke wajah Inspektor Irham yang sedang berdiri di hadapannya.

    “Mesti Hafeez yang..”

    “Dah-dah.  Tak payah nak tuding sana tuding sini.  Look Irham, saya tahu kamu seorang pegawai yang berdedikasi.  Saya tahu kamu menegak undang-undang melalui lencana yang kamu tengah pakai tu.  Tapi kita ada kuasa yang terhad.  Banyak pihak yang akan susahkan kita kalau benda ni tak berjalan macam yang mereka nak.”

    “Tapi itu dah memang tugas saya untuk buktikan kebenaran.  Apa guna saya letak lencana ni di dada tapi tangan dan mulut saya ditutup.”

    “Saya faham.  Saya pun dulu macam kamu jugak.  Bersemangat nak banteras segala benda yang salah.  Tapi macam yang saya cakap, kuasa kita terhad.  Satu hari awak akan faham kenapa saya cakap macam tu.”

    “Saya faham sangat-sangat tuan.  Itulah juga antara sebab kenapa saya tarik diri dari jadi pegawai pengiring ahli politik dulu.”

    Inspektor Irham menjawab dengan tegas.  Wajahnya serius.  ASP Zamari melepaskan keluhan berat.

    “Irham..  Kalau kamu teruskan juga siasatan ni, dan buka fail kes, bukan kamu saja yang akan susah tapi juga saya dan tuan KP.  Please Irham.  Saya merayu dengan awak, tutup sekejap sebelah mata awak.  Sampai masanya, kalau kamu dah dapat green light, baru kamu bertindak.  Peracayalah, masanya akan tiba juga satu hari nanti.  Sekarang ni apa yang kamu kena buat adalah sabar.”
    Inspektor Irham mengeluh dalam hati.  Dia jadi serba salah dengan permintaan tersebut.  ASP Zamari bangun dari kerusi lalu mendekatinya.

    “Tapi sampai bila tuan?”

    “Sampai masanya tiba.”

    Inspektor Irham tunduk sambil menggelengkan kepalanya.  Dia terpaksa akur dengan keputusan tersebut dan tahu yang dia takkan mampu berbuat apa-apa sekarang untuk mengubahnya.  Mood untuk terus menjalankan tugas menjadi pudar serta merta.

    “Nak siasat itu tak boleh ini pun tak boleh.  Habis apa guna aku kerja kat sini?”

    Dia merungut dalam hati sambil melangkah keluar daripada bilik tersebut.  Dia melangkah masuk ke dalam biliknya lalu duduk di kerusi miliknya sambil menyandarkan tubuhnya.  Inspektor Irham menggelengkan kepalanya.  

Dia teringat pertemuannya dengan Hafeez sebentar tadi di pejabat kementerian.  Lelaki yang penuh dengan kesombongan itu menunjukkan realiti sebenar pentadbiran kerajaan Kosmopolis.  

Semuanya telah diatur.  Kebenaran dan integriti bukan lagi agenda utama.  Jika ada kuasa dan wang, semuanya mampu dibeli dan mampu ditukar sesuka hati.

    Jadi apa gunanya manusia-manusia penjunjung kebenaran dan penegak keadilan seperti dia di dalam negara yang serba korupsi ini?  Apa perlunya kontijen Polis sebesar dan seramai ini kalau langsung tiada kebenaran yang boleh ditegakkan?

    Takkanlah tugas mereka hanya menangkap anak-anak bilis yang kesalahannya mencuri di pasaraya, menipu skim cepat kaya dan yang sewaktu dengannya semata?  Tapi golongan-golongan aristokrat sebegini masih mampu lepas bebas walaupun sampai ke tahap bunuh membunuh?

    Inspektor Irham menggelengkan kepalanya.  Dia menyalakan sebatang rokok dengan wajah yang suram.  Kemudian dia menyedut asap dari rokok putih tersebut dalam-dalam sebelum menghembusnya ke udara.  Hatinya jadi tenang melihat kepulan asap putih itu memenuhi ruang biliknya.

    Tiba-tiba pintu biliknya diketuk.  Inspektor Zahiral, rakan sejawatannya menjenguk kepala dengan dahi yang berkerut.

    “Aku ingat kau dah balik tadi.”

    Inspektor Irham mengangkat kening lalu menggelengkan kepalanya.  Dia terus melayan asap kemutih dari rokok tersebut sambil menikmatinya.  Inspektor Zahiral masuk lalu duduk di kerusi berhadapan dengannya.

    “Ni mesti pasal kes Dato’ Khalil kan.”

    Inspektor Irham menarik nafas panjang.  Rokok tersebut diletakkan di birai ashtray di hadapannya dan asapnya dibiarkan saja berkepul-kepul.

    “Aku nak tanya kau, apa sebenarnya fungsi kita kat sini?”

    Inspektor Zahiral sengih lalu menggelengkan kepalanya.

    “Jap, aku tau kau dah bosan nak jawab soalan aku kan.  Tapi please, aku harap kau ada jawapan yang lain yang kau tak pernah bagitau aku lagi.”

    Lelaki itu terus ketawa.  Inspektor Irham meraup wajahnya.  

    “Kalau 100 kali kau tanya pun, jawapan aku akan tetap sama Ham.  Dan aku akan tetap cakap dengan kau, kita ni mentimun aje.  Jadi buatlah cara mentimun kalau tak nak susah.”

    “Tapi aku tak dibayar gaji untuk jadi tunggu kat sini Zal.  Kalau aku tak boleh nak tegakkan undang-undang so apa point untuk aku duduk di jawatan dan kerusi ni?”

    Inspektor Zahiral menelan liur.

    “Betul.  Aku sokong pendapat kau tu 100%.  Tapi tugas kita adalah menjalankan kerja atas apa yang diarahkan pihak atasan kepada kita.  Kalau mereka cakap tak payah siasat, so tak perlulah kita penat-penat otak nak fikirkan pasal hal tu.”

    “Ye betul, aku tak nafikan pasal hal tu.  Tapi dalam kes Dato’ Khalil ni, aku sendiri yang periksa mayat dia.  Aku sendiri yang jumpa butir kelongsong peluru dalam bilik mesyuarat tu.  Bila aku soal siasat kakitangan di bangunan tersebut, semua mengakui dengan aku yang mereka terdengar macam bunyi tembakan tapi tak tahu daripada mana datangnya bunyi tersebut.”

    Inspektor Zahiral menganggukkan kepalanya.

    “Mangsa ditembak 3 das di bahagian dada.  Tapi kenapa mereka cuba tutup kes ini dan tipu rakyat yang Dato’ Khalil sebenarnya meninggal sebab sakit jantung.  Dalam masa yang sama Iqbaal pula hilangkan diri.”

    Dahi Inspektor Zahiral berkerut.

    “Siapa Iqbaal?”

    “Pegawai khas kanan Dato’ Khalil.”

    Inspektor Zahiral menganggukkan kepalanya.

    “Mungkin dia yang tembak Dato’ Khalil?  Kalau tak kenapa dia nak larikan diri?”

    “Entahlah.  Susah aku nak cakap pasal benda ni.  Kita kan diajar bercakap berdasarkan bukti tapi kalau siasatan pun kita tak boleh lakukan dengan sempurna, mana nak datang buktinya.”
    Inspektor Zahiral menganggukkan kepalanya.

    “Kau dah periksa CCTV kat pejabat tu?”

    Soalan Inspektor Zahiral membuatkan lelaki itu mengangguk lemah.  Wajahnya keruh.

    “Dah.  Tapi tak ada apa yang dapat dirakamkan pun.  awal-awal lagi CCTV tu dah dirosakkan.”

    “Dah-dah, kalau macam tu, kau tak payah nak peningkan kepala.  Sekarang ni kita buat aje kerja setakat mana yang diarahkan.  Ingat, kita ni mentimun.  Jangan bergolek lebih sangat, nanti kita yang teruk.”

    Inspektor Irham mencapai rokoknya yang masih bersisa.  Disedutnya asap putih itu sampai dia rasa di awang-awangan.  Fikirannya masih bercelaru.  Ditambah pula dengan hatinya yang masih terasa sebal dengan birokrasi pihak atasan serta tangan-tangan ghaib pencatur dalam kepimpinan tertinggi kerajaan.   

    Mampus.  Selagi semua ini tidak dihapuskan, sampai bila pun Kosmopolis ini tidak akan bersih daripada korupsi dan penyelewengan.

    Buat kesekian kalinya dia mengeluh panjang.  Inspektor Zahiral bingkas dari kerusi lalu menepuk bahunya. Rakan sejawatnya itu sekadar mahu menunjukkan yang dia faham dengan apa yang sedang dirasainya ketika ini.  Tapi ianya langsung tidak membantu.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.