Home Novel Fantasi ESTODANIA : Hikayat Nusantara
ESTODANIA : Hikayat Nusantara
Awan Wafdan
28/12/2017 18:42:21
63,768
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 21

NOTA PENULIS : Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Terima kasih kerana berminat untuk membaca karya saya yang tidak seberapa ini. Boleh tahan jauh juga anda membaca dah sampai bab ini.. Saya sangat menghargainya...
.

Minta tolong untuk vote, drop komen dan follow agar karya ini lebih disedari kewujudannya. Terima kasih.Jom sambung mengembara dalam dunia Estodania.

Jom sambung mengembara dalam dunia Estodania

Penghujung Tahun 2014,

Ekrandia.

AINUL HAYAT menitiskan airnya tanpa henti. Punca airnya masih menjadi tanda tanya. Bentara Lakhus sendiri tidak mengetahui dari mana punca mata air Ainul Hayat ini. Hanya menitik dari batu kecil di atas kolamnya. Kolamnya yang agak kecil tidak pernah kelihatan keruh. Tetap indah dengan kilauan-kilauan bak permata. Airnya sehijau zamrud. Malangnya, makhluk sepertinya dihalang untuk merendamkan diri dalam kolam abadi itu. Bentara Lakhus menitahkan jika sesiapa daripada mereka yang ingkar perintah, kelak ajal akan menemui mereka. Dek kerana itulah, dia dan sahabat-sahabatnya menjauhkan diri daripada pulau terpencil ini. Lagipun, mereka tidak memerlukan kesaktian kolam itu kerana mereka sudah dijanjikan umur yang panjang. Hasil kebijaksanaan nenek moyang mereka terdahulu. Kunjungannya ke sini hanya untuk melaksanakan arahan kedua Bentara Lakhus yang tercatat dalam Pandora hitamnya.

"Soowa.... Soowa... Patua... Naka... Soowa... Soowa... Patua... Naka...!"

Nilakendra memulakan jampi serapah memanggil penunggu pulau terpencil itu. Dia ditugaskan untuk menjaga Ainul Hayat selepas dia mencetuskan huru-hara di kepulauan Jawa.

"Soowa.... Soowa... Patua... Naka... Soowa.... Soowa... Patua... Naka...!" ujarnya lagi. Lalu muncullah ekor ular yang besar tergantung dari atas pokok diikuti dengan bunyi desisan ular. Nilakendra segera mendongak ke atas pokok.

"Turunlah kamu Mandalika. Ada perkhabaran Bentara utuskan," ujar Nilakendra. Seraya susuk tubuh ular yang berkepala manusia itu menjalar turun tepat di atas kolam Ainul Hayat. Ular itu mengapungkan dirinya. Tidak menyentuh air Ainul Hayat.

"Bentara mengutuskan titah agar kamu melanggar Esramudra. Ramalnya, kota duyung itu bakal menjadi punca Estodania tidak terhapus," beritahu Nilakendra.

"Esramudra? Sudah berkurun aku cuba ke sana. Usaha ku lebih lama sebelum Bentara meminta aku terbang ke sini. Pasti gagal lagi kali ini," balas Mandalika. Nada kesal ada pada suaranya. Kesal dengan kegagalannya sendiri. Gagal meruntuhkan kawasan jin yang mentauhidkan Allah.

"Kamu hanya perlu mencari yang fasiq dalam kota itu. Makhluk yang kulitnya tidak serupa dengan yang lain. Dia adalah pintu untuk kamu," ujar Nilakendra lagi.

"Lalu, apa untungnya bagi aku?" tanya Mandalika. Tandukknya yang melengkung tergerak-gerak seiring dengan keningnya yang dinaikkan.

"Menjadi raja di Esramudra! Bukankah itu yang kamu inginkan?" ujar Nilakendra. Tersenyum. Dia yakin, Mandalika akan jatuh dengan helahnya itu.

"Baiklah. Jangan sekali kamu mungkiri kata. Kalau tidak, pulau ini aku turunkan kembali ke dasar bumi!" ugut Mandalika.

"Usah durja. Bentara selayaknya sebaik-baik raja kepada rakyatnya," pujuk Nilakendra.

"Sudah selesai? Jika sudah, aku segera ke Esramudra," ujar Mandalika. Dia malas berbual lama dengan Nilakendra yang dianggapnya bongkak itu. Hanya kerana dia menjadi kesayangan Bentara Lakhus, dia mengganggap dirinya terlalu hebat.

"Ghaibkan aku kembali ke Estodania. Aku masih ada urusan di sana," laju Nilakendra menuturkannya.

"Bagaimana kamu harus aku ghaibkan ke sana? Apakah kamu sudah menjadi bodoh sehingga terlupa kesaktian yang ada di kota itu?" ujar Mandalika. Mukanya sedikit membegah.

"Aku tidak bodoh, Mandalika. Malah lebih bijak daripada kamu! Jaga butir bicara kamu jika tidak mahu tanduk sakti kamu itu aku patahkan," Nilakendra berujar marah sambil mengeluarkan kuku runcingnya. Kuku tajamnya itu dipanjangkan sehingga hampir dengan tanduk Mandalika.

"Aku telah tinggalkan sanggul sisik kamu di sana. Kamu kata, kamu mampu sampai ke mana sahaja sisik itu berada," beritahu Nilakendra. Sanggul sakti itu telah dipasangkan di kepala Farihah sebelum dia bertemu dengan Permaisuri Isabella tadi.

Mandalika tersenyum bangga. Dia tidak menyangka akhirnya pejuang kanan Bentara Lakhus itu mengakui kesaktian yang dia miliki. Pengiktirafan ini sudah cukup membanggakannya. Apatah lagi dia diharapkan untuk menghancurkan Esramudra yang diramalkan akan menggagalkan rancangan agung Ekrandia itu. Kehebatannya mula dipandang oleh raja Ekrandia itu.

Penghujung Tahun 2014, Estodania.

FARIHAH dibaringkan di atas tilam katil. Sebentar tadi, dia telah ditemui terlentang pengsan di pintu gerbang Estodania. Wajah fuqaha itu kelihatan sedikit kusam. Kesan air mata nampak jelas di pipinya. Permaisuri Isabella memakaikan kembali purdah Farihah selepas dia selesai membersihkan wajah fuqaha muda itu. Menutup wajah fuqaha itu. Hatinya sedikit simpati melihat keadaan Farihah yang kusam. Walaupun begitu, dia masih berprasangka kurang baik terhadap Farihah. Tambah-tambah lagi lokasi Farihah ditemui di luar lingkungan pelindung Estodania daripada kesaktian Ekrandia. Dia semakin pasti bahawa kepelikan tingkah laku Farihah ini ada kaitan dengan Ekrandia.

"Assalamualaikum," suaminya memberi salam. Permaisuri Isabella menjawab salam tersebut.

"Bagaimana keadaan Farihah?" Sultan Iltizam masih tidak melangkah masuk ke dalam bilik. Dia risau kalau-kalau isterinya belum selesai menutup keseluruhan aurat Farihah. Permaisuri Farihah yang memahami rasa hati suaminya itu segera menyelubungi tubuh Farihah dengan cadar kuning. Hanya bahagian kepala sahaja yang dinampakkan. Bahagian rambut Farihah masih ditutupi dengan jilbab labuh berwarna hitam.

"Masuklah, kanda," pelawa Permaisuri Isabella. Segera Sultan Iltizam melangkah masuk lalu mendekati katil. Dia hanya melihat mata Farihah yang masih tertutup rapat. Alis mata anak didik Imam Syahriyan itu terlihat lebat sedikit.

"Mana Sultan Aminuddin?" tanya Permaisuri Isabella apabila menyedari kelibat Sultan Aminuddin tidak kelihatan.

"Kanda meminta dia dan Pangeran Badar pergi selatan Karimata. Mencari jawapan tentang Mandalika," beritahu Sultan Iltizam. Wajahnya sedikit kusut. Risau memikirkan keselamatan rakyatnya.

"Dinda bimbang, kanda" luah Permaisuri Isabella. Matanya masih memandang tubuh kaku Farihah.

"Bimbang mengapa, dinda?" tanya Sultan Iltizam. Tangannya disilangkan di bahagian belakang pinggangnya.

"Seperti ada sesuatu buruk yang akan berlaku. Keadaan Farihah seperti ini seolah-olah satu petanda bahana besar akan melanda," Permaisuri Isabella meluahkan rasa galau di hatinya.

Sultan Iltizam memahami maksud isterinya itu. Seraya dia berjalan menghampiri jendela kamar. Melemparkan pandangan jauh ke kaki langit. Burung-burung camar mula terbang berkumpulan kembali ke sarang.

"Kanda faham apa maksud dinda itu. Kanda juga merasakan galau yang sama. Munculnya Mandalika selepas seribu tahun bukanlah satu maksud yang baik. Jin itu pernah menyebabkan kehancuran dan perang di tanah Insulendia. Pasti munculnya sekali lagi dengan tujuan yang sama," ujar Sultan Iltizam. Permaisuri Isabella menghampirinya.

"Apakah kita perlu menziarahi Imam Syahriyan sekali lagi? Meminta pandangan dan saranannya," tanya Permaisuri Isabella sekaligus memberikan saran kepada suaminya itu.

"Imam juga perlu dikhabarkan keadaan cucunya ini," sambung Permaisuri Isabella. Tudung kuningnya terkibar-kibar ditiup angin tatkala dia menghampiri jendela.

"Ada baiknya kita menanti Farihah bangun dahulu. Biarkan dia ceritakan apa gerangan yang melandanya sehingga menimbulkan kalut seperti ini. Biarkan dia sendiri yang memaklumkan kepada Imam Syahriyan. Itu hak dia. Soal Mandalika, biarkan Aminuddin berhubung dengan Esramudra dahulu. Bertemu buntu, barulah kita menghubungi Imam Syahriyan," jawab Sultan Iltizam. Permaisuri Isabella hanya mengangguk setuju.

"Dalam hemat kanda, adakah sakit Farihah ini ulah Ekrandia? Hati dinda tidak sedap memikirkannya. Hati dinda kuat menyatakan ada sesuatu yang tidak kena dengan Farihah ini," ujar Permaisuri Isabella. Kali ini pandangannya dihalakan kepada Farihah.

"Jangan berfikir yang bukan-bukan, dinda. Kelak terhasut Syaitan, buruk jadinya. Risau adinda kelak hilang pertimbangan kalau terus-terusan berfikir seperti itu," tegur Sultan Iltizam. Dia tersenyum melihat ulah isterinya yang sedikit tersentak. Segera Permaisuri Isabella melafazkan istighfar lalu melepaskan nafas berat.

"Imam Syahriyan tidak memaklumkan apa-apa perihal cucunya yang satu ini?" ujar Permaisuri Isabella.

"Tidak ada. Imam hanya maklumkan cucunya setuju menjadi fuqaha. Tidak seperti sebelum ini. Imam hanya mengutuskan mahamiy-mahamiynya bagi menjaga Syariah Islamiyah di sini. Kanda juga sedikit kaget apabila Imam memaklumkan sedemikian," jawab Sultan Iltizam.

Dalam kusyuk meluahkan rasa hati masing-masing sambil menikmati keindahan alam, tiba-tiba Farihah terbatuk. Segera kedua-dua amirul Islam Estodania itu menolah dan menghampiri Farihah.

"Farihah sudah sedar?" tanya Permaisuri Isabella sambil membantu Farihah duduk. Farihah mengulum senyuman kelat.

"Alhamdulillah, sudah. Sekarang sudah pukul berapa, tuanku?" tanya Farihah. Suaranya sedikit serak.

"Sikit lagi masuk pukul tujuh petang," beritahu Permaisuri Isabella.

"Astaghfirullah Al Azim. Patik belum Solat Asar lagi, tuanku," serta merta wajah Farihah berubah pucat. Tanpa mempedulikan kerabat diraja yang sedang risau memikirkan kesihatannya, Farihah segera bingkas bangun menuruni katil.

"Kamu belum cukup sihat lagi, Farihah. Rehatlah dulu," pujuk Permaisuri Isabella. Dia risau memandang Farihah yang cuba berdiri dalam kepayahan.

"Tidak mengapa, biarkan dia solat Asar dahulu. Itu lagi penting," ujar Sultan Iltizam. Permaisuri Isabella sedikit kecewa namun meredhakannya kerana dia juga maklum bahawa solat itu lebih penting berbanding perkara-perkara lain.

"Terima kasih, tuanku," ujar Farihah sambil menundukkan kepala tanda menghormati kedua-dua raja itu.

"Solat sahaja di kamar ini, Farihah. Kamu pergi berwuduk, tikar sejadahnya beta ambilkan," ujar Permaisuri Isabella sambil membimbing Farihah ke kamar mandi.

 Kamu pergi berwuduk, tikar sejadahnya beta ambilkan," ujar Permaisuri Isabella sambil membimbing Farihah ke kamar mandi

.

.

.

NOTA PENULIS : Minta tolong untuk vote, drop komen dan follow agar karya ini lebih disedari kewujudannya. Terima kasih. 


Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Awan Wafdan