Home Novel Fantasi ESTODANIA : Hikayat Nusantara
ESTODANIA : Hikayat Nusantara
Awan Wafdan
28/12/2017 18:42:21
63,802
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 7


Penghujung Tahun 2017, Esramudra


Penghujung Tahun 2017, Esramudra.

CAHAYA terang menerobos masuk ke dalam matanya. Terasa silau walaupun dia sedang menutup mata. Ayyan memisat-misatkan matanya. Apabila menyedari matahari sudah terasa terik. Ayyan bingkas bangun lalu beristighfar kerana teringat dia belum melaksanakan Subuh. Tatkala terduduk, alangkah terkejutnya Ayyan melihat sekitarnya. Dia kini berada dalam satu rumah yang seperti terbuat daripada logam-logam berkarat. Bahunya diikat menggunakan kain anduh berwarna putih dan diikat kemas di bahagian belakangnya. Ayyan meraba-raba belakangnya. Terasa banyak tampalan-tampalan kain yang menarik-narik uratnya. Dia segera menggagahkan dirinya bangun kerana dia ingin melaksanakan subuh. Kehairanan benaknya dibungkamkan dahulu. Dia akan memikirkan kepelikan itu kemudian selepas dia melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah. Itu lebih utama. Berkali-kali istighfar terucap di lidahnya.

"Sabar dulu, anak muda. Subuh belum tiba lagi." Sapa satu suara dari belakangnya.

Ayyan segera menoleh ke belakang. Seorang lelaki sedang mengasah-asah pedang yang tajam tanpa memandangnya.

Minda Ayyan segera dapat mengingat kembali apa yang berlaku kepadanya sebelum dia tidak sedarkan diri. Lelaki itulah yang telah menyelamatkannya di pinggir Pantai Belawai. Dengan jambang dan hidungnya yang tidak mancung, mudah bagi Ayyan mengingat kembali tampak lelaki yang menyelamatkannya itu.

"Cahaya yang kamu nampak itu bukan matahari. Itu cahaya lampu," sambung lelaki tersebut.

"Saya di mana?" tanya Ayyan. Dia mendudukkan dirinya kembali apabila mengetahui waktu Subuh belum masuk.

"Esramudra!" jawab lelaki itu.

Pedang yang diasahnya dengan tiba-tiba dihunuskan ke arah Ayyan. Perlahan-lahan hujung pedang berwarna perak itu memanjang sehingga dekat dengan kepala Ayyan. Terkejut Ayyan melihat tingkah lelaki itu. Air liurnya ditelan jauh ke dalam anak tekak. Wajah lelaki itu tampak sangat serius. Matanya sedikit tajam dengan anak mata yang hitam pekat. Lelaki itu mencebikkan bibir lalu menarik hunusan pedang peraknya. Ayyan menarik nafas lega. Ucapan syukur dilontarkan di relung mulutnya.

"Kamu siapa?" tanya Ayyan selepas dia menenangkan dirinya.

Lelaki itu tidak menjawab. Dia berdiri bangun lalu menghilang di sebalik tirai yang diperbuat daripada kerang-kerang? Kemudian dia datang semula bersama segelas air. Gelas itu diperbuat daripada cengkerang kima. Ayyan mula berasa pelik semula. Kima itu dihulurkan kasar kepadanya.

"Minum. Sebentar lagi akan ada yang menjemput kamu datang. Jangan kata aku tidak melayan kamu dengan baik," ujar lelaki itu. Sangat tidak mesra bagi pengamatan Ayyan.

Kemudian dia kembali duduk di kerusi tempat dia mengasah pedang panjang tadi. Kerusi itu berwarna putih susu dan diperbuat daripada batu. Pada perkiraan Ayyan, kerusi itu seperti terumbu karang yang selalu dia temui di dasar Laut Sulawesi. Ayyan semakin pelik melihat kelainan kerusi tersebut.

Matanya dibawa memerhatikan segenap sudut rumah tersebut. Banyak hiasan-hiasan yang diperbuat daripada hasil laut. Beberapa cengkerang siput dan kerang digantung kemas di segenap dinding. Setentang dengan Ayyan, ditempatkan satu meja yang diperbuat daripada batu yang sama dengan kerusi. Di atas meja itu, diletakkan seekor tiram gergasi yang sedang menampakkan mutiara biru yang bersinar.

Subhanallah! Belum pernah seumur hidup Ayyan menyaksikan mutiara sebesar dan secantik itu. Saiznya lebih kurang saiz bola sepak yang selalu dia dan Faris guna untuk bermain bola sepak. Faris... bagaimanakah keadaan sahabatnya itu? Entahkah hidup atau tidak.

"Assalamualaikum, siapa di dalam?" sapa satu suara dari luar rumah. Lantang dan sedikit nyaring. Seperti suara perempuan.

"Masuklah! Pintu tidak berkunci!" laung lelaki yang menyelamatkannya itu.

Dia langsung tidak berganjak dari kerusinya. Kali ini tangannya sedang rancak mengasah pedang yang berwarna ungu. Ayyan baru perasan di sebelah kanan lelaki itu tergantung pelbagai jenis pedang dan tombak bermacam saiz dan warna.

Sepasang mata sedang mengintai-intai dari celah pintu. Kepalanya ditutup dengan topi kuning berbentuk piramid yang diikat pada dagunya. Terkedip-kedip matanya memandang Ayyan yang tidak berbaju itu. Tangannya memegang daun pintu. Jarinya berbentuk segi tiga dan sedikit tajam di hujung seperti diasah.

"Kau terhendap-hendap di pintu kenapa?! Masuk! Aku tidak akan makan kau!" bentak lelaki itu. Kali ini dia memusingkan badannya menghadap daun pintu. Tangannya menongkat dagu pada lututnya.

Ayyan hanya memerhatikannya. Diam tanpa kata. Baru dia perasan bahawa lelaki yang menyelamatkannya itu tidak memiliki jari kaki. Bahagian kakinya hanya membujur dengan hujung kaki kelihatan bersisik seperti ikan. Kulit lelaki tersebut sedikit gelap berkilat. Tahulah dia bahawa yang menyelamatkannya bukan manusia biasa. Tetapi mungkin salah satu bangsa jin.

Mata yang mengintai-intai di sebalik daun pintu itu tersengih-sengih. Dia melangkah masuk dengan kedua tangannya dirapatkan dan diletakkan di celah-celah pahanya. Dia hanya terkidum-kidum. Satu lagi bangsa jin pada pengamatan Ayyan. Tingginya hanya setakat paras dada Ayyan. Dia mengenakan seluar panjang berwarna biru sehingga menutup bahagian kakinya. Badannya hanya ditutup dengan rumpai-rumpai laut yang berwarna hijau tua. Ayyan tidak dapat mengenalpasti apakah jantina jin tersebut.

"Assalamualaikum, Ayyan!" sapanya sambil tersenyum.

"Wa alaikumussalam," balas Ayyan sambil merapatkan tangannya dan didekatkan di dada.

"Sudah! Kau pergi bersiap dan ikut Delu. Tugas aku sudah selesai" ujar lelaki yang menyelamatkannya sambil membaling jubah putih Ayyan. Tiada kesan darah langsung mahupun lumpur. Jubah itu terlihat sangat bersih seperti telah dibersihkan.

Ayyan segera menyarungkan jubah putih tersebut. Labuhnya pendek separas lutut sahaja. Dia menggagahkan dirinya untuk bangun. Belakang badannya masih terasa sakit. Tiba-tiba, bahu kanannya dipegang lelaki tadi lalu badan Ayyan ditarik ke belakang sehingga Ayyan dapat rasakan tulangnya hampir patah. Sakitnya terasa ketika bahu kanannya ditarik ke belakang.

"Kalau kau lemah macam ini, kau tidak akan sampai ke Estodania anak muda!" marah lelaki itu. Bahu kirinya ditepuk kasar.

Usai sahaja rasa sakit ditarik tadi, tubuhnya tiba-tiba terasa ringan. Sakit-sakit di bahagian belakang hilang tanpa sisa. Subhanallah, sesungguhnya kesaktian yang dia alami kini adalah dengan izin Allah. Sesungguhnya manusia dan jin itu tidak diciptakan melainkan untuk mengabdikan diri kepada Allah. Ayyan membetulkan kembali akidahnya yang sedikit takjub dengan kesaktian yang dijelmakan oleh jin di kelilingnya itu.

Tangannya segera ditarik keluar dari pintu rumah. Dia dibawa berlari menuruni bukit. Tahulah dia bahawa rumah tadi terletak di atas bukit. Ayyan menoleh ke belakang. Rumah tadi rupanya diperbuat daripada kerang gergasi yang ditelengkupkan menyembah bumi. Mungkin lelaki tadi suka dengan kerang-kerang seperti itu. Selesai menuruni bukit, pegangan tangannya dilepaskan. Jin yang membawanya lari itu tercungap-cungap menarik nafas.

"Nama aku... aku Del.. aku Delu.." tersekat-sekat jin itu menghela nafas. Ayyan tersenyum melihat tingkahnya.

"Tarik nafasnya dulu makhluk Allah," ujar Ayyan. Jin itu menghela nafas sedalam-dalamnya lalu menghembuskannya. Tindakan itu dilakukan sebanyak tiga kali.

"Aku Delu... Delustar." ujarnya tersenyum.

"Aku Ayyan. Ayyan Bin Umar," ujar Ayyan memperkenalkan diri. Salam dihulurkan.

"Aku tahu," balas jin itu.

"Kamu tahu? Bagaimana?" tanya Ayyan, pelik.

"Macam mana Delustar tahu, Ayyan tidak perlu tahu. Tidak penting bagi Ayyan," jawapan jin itu mengecewakan Ayyan. Tetapi Ayyan tidak terdetik untuk mendesak jin tersebut menjawab soalannya itu.

"Tadi itu siapa?" tanya Ayyan lagi.

"Ammar. Ammar Hillman! Penjaga pintu selatan Esramudra," terang Delustar. Nafasnya masih sedikit tercungap.

"Dia... menarik." ujar Ayyan. Dia tidak berani menjatuhkan penilaian lebih lanjut tentang empunya badan yang telah menyelamatkannya daripada serangan makhluk ghaib di pinggir Pantai Belawai itu. Kelak terjatuh fitnah. Lebih baik dia diamkan getusan hati kecilnya itu.

"Abaikan Ammar. Ammar Hillman memang macam itu. Delu sendiri tidak berani hendak bertegur sapa. Delu hanya menurut perintah Pangeran Badar," ujar Delustar. Kawalan nafasnya kembali normal.

"Mari kita ke rumah Pangeran. Pangeran sedang menanti Ayyan. Kami semua memang menanti kedatangan Ayyan," sambung Delustar lagi.

"Menanti kedatangan aku? Mengapa?" tanya Ayyan ingin tahu.

Banyak perkara yang pelik dia alami selepas membuka mata tadi. Tidak cukup dengan kepelikan cahaya yang sangat besar sehingga menerangkan mukim itu, ditambah lagi dengan dia sedang berbual bersama dengan jin. Sebelum ini, dia tidak pernah berbual-bual semesra itu dengan mana-mana jelmaan jin.

"Ikutkan rasa hati, ingin Delu menjawab semua persoalan yang Ayyan soalkan. Tetapi lebih molek Pangeran yang menjawab semua kemusykilan," jawab Delustar. Sekali lagi jawapannya menghampakan Ayyan.

Mereka mengatur langkah menyusuri jalan-jalan berpasir. Kiri kanan itu dipagari dengan rumpai laut. Hadapan mereka ditutupi dengan rumpai-rumpai laut yang tinggi dan padat sehingga mereka terpaksa membuka jalan menggunakan tangan sendiri. Lidah Ayyan berulang kali melagukan puji-pujian kepada Allah kerana dia yakin, keindahan yang dia saksikan itu tidak akan berlaku tanpa izin Allah. Ayyan mendongakkan kepalanya ke atas, mencuba untuk melihat lampu gergasi yang menerangi mukim itu.

Subhanallah! Tanpa sedar, Ayyan melafazkan kalimah suci itu dengan kuat. Di atasnya, seekor ikan paus yang sangat besar sedang berenang, terapung. Beberapa ekor ikan sedang berenang ke kiri dan kanan. Berwarna-warni dipandang mata. Ayyan memusingkan badannya.

Beberapa ekor ketam sedang beratur elok memasuki kawasan rumpai laut yang baru sahaja mereka lalui. Beberapa kerang gergasi yang ditelengkupkan ke bumi tersusun rapi di kiri dan kanan mereka. Setiap kerang itu memiliki pintu seperti kerang Ammar Hillman di atas bukit tadi. Setiap kerang itu memiliki beberapa tiang terumbu karang pelbagai warna di belakangnya. Beberapa orang manusia separa ikan sedang melambai-lambai ke arahnya. Menghadiahkannya sekuntum senyuman. Bahagian atas adalah manusia dan mereka memiliki ekor seperti ikan. Berenang-renang ke sana ke mari. Lebih tepat lagi sebenarnya mereka sedang terapung kerana tidak ada air yang memenuhi mukim tersebut. Beberapa mereka singgah, menegur sapa sambil mengucapkan selamat datang. Ayyan menjadi takjub menyaksikan keindahan itu.

"Delustar? Adakah aku bermimpi?" tanya Ayyan. Delustar tersenyum mendengar ujaran Ayyan. Dia faham bagaimana perasaan Ayyan ketika itu. Manusia biasa sepertinya memang tidak pernah menyaksikan alam mereka ini. Ayyan antara manusia yang bertuah kerana berpeluang melihat keindahan alam ciptaan Allah ini.

"Bermimpi? Ermmm. Mungkin! Ayyan mungkin sudah mati, dan ini adalah Syurga..." usik Delustar.

Ayyan memandangnya kaget. Delustar mengekek ketawa melihat perubahan rona wajah Ayyan. Dengan segera Ayyan beristighfar lalu mengucapkan Syahadah.

"Ayyan masih hidup lagi!" Delustar menepuk kuat bahu kiri Ayyan.

"Nanti Pangeran akan terangkan apa yang berlaku," sambungnya. Ayyan hanya tersenyum. Segala-galanya dia serahkan kepada Allah. Sesungguhnya dia sangat tidak memahami apa yang berlaku ketika itu. Mindanya masih jumud untuk memahami ilmu Allah yang maha luas itu.

Bismillahi tawakkaltu 'alallahi, walaa haula wala quwwata illa billah....

Penghujung Tahun 2014, Estodania.

Medicak sedang berdiri betul-betul di tengah lorong itu. Terketar-ketar tangannya dirapatkan. Balung panjang jin itu tergerak-gerak sangat laju menandakan dia sedang dalam kegalauan. Anak matanya tergerak-gerak ke kiri dan kanan. Mulutnya terkumat-kamit menyebut butiran kata yang tidak difahami oleh Permaisuri Isabella dan Sultan Iltizam. Kedua-dua amirul itu mengerutkan dahi masing-masing. Berbeza keadaan dengan Sultan Aminuddin, raja bangsa jin itu meleret senyuman lalu melangkah ke hadapan, menghampiri Medicak.

"Mengapa Medicak berdurja?" tanya Sultan Aminuddin sambil mengusap-usap balung Medicak.

Medicak mengangkat kepalanya memandang rajanya itu. Tiba-tiba Medicak menangis. Meraung-raung sekuat hati lalu terduduk betul-betul di tengah lorong itu. Raungan Medicak menyebabkan Permaisuri Isabella tidak keruan. Dengan segera dia mendekati Medicak lalu menggendong Medicak. Nurani keibuannya berdetik risau melihat ulah pelik Medicak itu.

"Mengapa menangis sayang?" tanya Permaisuri Isabella.

"Fuqaha hilang. Fuqaha tiada di kamar," ujar Medicak.

"Bonda akan murka. Medicak gagal jaga fuqaha..." sambung Medicak lagi. Kepalanya dibenamkan di dada Permaisuri Isabella.

Khabar yang disampaikan oleh Medicak itu menyebabkan ketiga-tiga amirul itu terkejut. Ketiga-tiga mereka saling berpandangan. Mereka tidak menyangka sama sekali Farihah yang mengaku demam itu akan menghilangkan diri. Padahal, belum sampai seminggu fuqaha baharu itu tiba di Estodania. Tanda tanya tentang fuqaha itu semakin memuncak. Prasangka Permaisuri Isabella kononnya Farihah kesurupan semakin menebal.

Dengan pantas Sultan Aminuddin dan Sultan Iltizam berlari ke kamar Farihah. Permaisuri Isabella menyusul lambat-lambat kerana dia ingin menenangkan Medicak yang sedang galau. Sultan Aminuddin mengghaibkan dirinya lalu memunculkan dirinya di tengah-tengah kamar Farihah. Kunci pintu dibuka bagi memudahkan Sultan Iltizam dan Permaisuri Isabella masuk.

Pintu kamar dibuka. Muncul susuk Sultan Iltizam dari balik daun pintu. Wajahnya jelas tergambar rasa risau. Kerisauan itu dikongsi bersama oleh mereka bertiga. Masing-masing bimbang sekiranya sikap pelik Farihah itu ada kaitan dengan penampakan Mandalika di Belawai Kenyalang.

"Tidak ada apa-apa yang pelik berlaku. Semua terlihat normal," beritahu Sultan Aminuddin.

Memang benar. Kamar itu tidak menampakkan apa-apa yang janggal. Bahkan, pakaian-pakaian Farihah masih tersimpan rapi di dalam almari coklat yang terletak berhampiran dengan katil. Lampu bilik juga dipadamkan. Tidak ada tanda-tanda Farihah melarikan diri. Hanya jendela kamar sahaja yang dibiarkan terbuka dengan langsir yang diikat rapi pada kisi-kisi.

"Ada kemungkinan dia keluar berjalan-jalan. Mungkin rindu dengan kerabatnya di Karimata," teka Sultan Aminuddin.

"Hanya Allah sahaja yang tahu," ujar Sultan Iltizam pula.

Permaisuri Isabella tiba dengan Medicak masih dalam kendongannya. Jin bocah itu masih tersedu-sedu menahan tangis. Dia berasa sangat ralat kerana tidak dapat memenuhi arahan permaisuri kesayangannya.

"Medicak sempat bertemu dengan fuqaha tadi?" tanya Sultan Iltizam sebaik sahaja melihat Medicak sudah mula bertenang.

"Medicak belum jumpa. Medicak tiba pintu tertutup. Medicak masuk. Fuqaha tiada." jawab Medicak terhenti-henti kerana sedu.

"Maksudnya Farihah memang hilang sebelum sempat Medicak ke sini," simpul Sultan Aminuddin selepas mendengar ujaran Medicak. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Ada kemungkinan dia memang tidak masuk kamar langsung. Mungkin selepas berjumpa dengan saya, dia terus menghilangkan diri," saran Permaisuri Isabella.

"Bagaimana keadaannya ketika dinda bertemu dengannya," tanya Sultan Iltizam.

"Badannya panas. Sangat panas. Dinda minta dia membuka niqab kerana dinda ingin melihat wajahnya. Tetapi dia enggan. Dia hanya diam membatukan diri," jawab Permaisuri Isabella. Sultan Iltizam menggeleng-gelengkan kepalanya sambil menunduk. Tangan kirinya dicekakkan di pinggang. Sementara tangan kanannya mengusap-usap rambut belakangnya.

"Boleh jadi dia tidak selesa dengan permintaan dinda itu. Mungkin dia tidak selesa membuka niqabnya di tempat terbuka seperti pangkin istana. Apalagi pangkin itu betul-betul menghadap kota," ujar Sultan Iltizam. Dia sedikit kesal dengan tindakan isterinya yang kedengaran mendesak Farihah menanggalkan niqab.

"Astaghfillah al-azim," istighfar Permaisuri Isabella. Dia tersedar akan khilafnya. Rasa ingin tahunya telah menyebabkan dia hilang pertimbangan. Terbawa oleh hawa nafsu sendiri sehingga menggunakan pangkatnya untuk mendesak Farihah. Walhal, fuqaha baharu itu baru sahaja terpisah jauh daripada keluarga demi memenuhi jemputannya untuk bekerja di istana. Sepatutnya dia lebih berlembut dan tidak mendesak Farihah.

"Tidak mengapalah. Husnuzon sahaja. Mungkin dia ke kota menenangkan minda. Nanti kita arahkan Lasykar Estodania menjejaknya di kota. Kelak dinda jangan ulangi lagi. Biar Farihah dengan rela menunjukkan seperti mana wajahnya itu," ujar Sultan Iltizam. Resolusi mudah menenangkan suasana.

"Tetapi kanda, dinda kira ada baiknya jika kita melihat dulu bagaimana tampaknya fuqaha yang akan menyambung pengajaran Syariah Islam di Estodania ini. Supaya kita lebih mengenalinya," ujar Permaisuri Isabella. Medicak di tangannya hanya memandang mereka berdua. Kepalanya ditoleh-tolehkan mengikut siapa yang sedang bersuara. Perbuatan yang sama dilakukan oleh Sultan Aminuddin.

"Bagi kanda itu tidak perlu. Lagipun dia anak didik Imam Syahriyan. Apakah dinda tidak percaya dengan utusan Imam Syahriyan? Imam itu salah satu nadi teguhnya Estodania ini. Fuqaha sebelum ini juga anak didiknya," bantah Sultan Iltizam lembut. Dia tidak ingin melukakan hati isterinya itu.

Permaisuri Isabella melepaskan nafas keluhan. Dia kurang bersetuju dengan pendapat suaminya itu.

"Dinda cuma merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan Farihah. Tingkahnya sangat tidak normal di mata dinda. Apalagi selepas mengetahui kemungkinan dia diganggu Mandalika. Jangan-jangan dia disampuk Ekrandia itu," tuduh Permaisuri Isabella. Nadanya sedikit keras.

"Astaghfirullah. Istighfar dinda," Sultan Iltizam tersenyum lalu mendekati isterinya itu. Tangan kanannya memeluk Permaisuri Isabella.

"Hati-hati menutur bicara, kelak terjatuh fitnah," ujarnya. Jari telunjuknya ditekap ke bibir Permaisuri Isabella.

"Kita juga belum pasti Mandalika itu jin dari Ekrandia. Jangan tuduh melulu, sayang. Boleh jadi dia juga jin yang baik seperti sahabat-sahabat kita di sini," sambung Sultan Iltizam sambil memandang Sultan Aminuddin. Sahabat jin mereka itu hanya tersenyum sambil menutup mulutnya. Dia berasa geli hati melihat ulah kedua-dua sahabatnya itu.

"Ada betulnya apa yang Izam ujarkan. Selagi kita belum bertemu jawapan sebenar, lebih molek jika kita tidak menjatuhkan penilaian. Jika benar Mandalika itu dari Ekrandia, Insya-Allah, kita akan cuba perangi. Itupun jika dia mula mengganggu kita," sampuk Sultan Aminuddin.

"Betul. Kanda setuju. Selebihnya kita serahkan kepada Allah. Kelak kanda akan hubungi sahabat kita di Esramudra untuk bertanya perkembangan. Dinda bersabar," ujar Sultan Iltizam pula sambil mengusap-usap bahu kiri Permaisuri Isabella.

"Baiklah. Dinda akan cuba. Sekarang, kita cari dahulu di mana keberadaan Farihah," ujar Permaisuri Isabella akhirnya. Mereka menarik nafas lega.

 Mereka menarik nafas lega

.

.

NOTA PENULIS :

Hikayat Estodania ini sangat saya sayangi. Perancangan saya untuk karya ini sangat panjang.. tetapi saya agak kecewa sikit nanti jika karya ini kurang mendapat sambutan. Maka, dengan itu saya dengan rendah hati minta tolong pembaca untuk vote, drop komen dan follow agar karya ini lebih disedari kewujudannya.

Kelak... saya akan masukkan cerita-cerita lanjut untuk membawa anda semua mengembara lebih jauh dalam Estodania... Tolong saya untuk vote dan hebahkan ye... (psst! Dalam 10k bacaan pun saya sangat bersyukur dah..) Terima kasih. 


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Awan Wafdan