Home Novel Fantasi ESTODANIA : Hikayat Nusantara
ESTODANIA : Hikayat Nusantara
Awan Wafdan
28/12/2017 18:42:21
63,757
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 8


Penghujung Tahun 2017, Esramudra


Penghujung Tahun 2017, Esramudra.

AYYAN diminta duduk menanti di hadapan sebuah pintu gerbang yang diperbuat daripada terumbu karang berwarna jingga. Terumbu karang itu tampak sedikit berduri-duri, terpasak erat di lantai lautan. Terdapat dua pasak yang jaraknya lebih kurang dua meter antara satu sama lain. Kedua-dua pasak terumbu karang berduri yang berwarna jingga itu menegak ke atas. Hujung kedua-duanya melengkung dengan arah yang saling berpandangan. Di puncaknya, pasak terumbu karang itu bersatu lalu membuat satu lengkungan seperti pintu gerbang kampung halaman Ayyan. Di belakang gerbang terumbu karang itu tampak kosong. Hanya kelam lautan yang hitam memekat kelihatan. Bacaan memuji keesaan Allah masih dimainkan di dalam hati agar Ayyan tidak tenggelam dalam keindahan yang dipentaskan di hadapan matanya ketika itu. Sungguh, terlalu banyak persoalan yang berkitar di minda saat itu. Jantungnya terasa berdebar-debar menanti munculnya Pangeran Badar yang dikatakan bakal menjawab semua persoalan yang bermain di mindanya.

Delustar telah memasuki gerbang terumbu karang yang terpasak teguh di hadapannya sebelum menghilang dalam kepekatan gelap lautan. Sebagai pendatang di mukim asing itu, Ayyan hanya menurut sambil menyerahkan nasib badan pada ketentuan Allah. Sesungguhnya, setiap perkara yang Ayyan alami ketika ini adalah dengan izin Allah. Ayyan yakin bahawa Allah akan sentiasa melindunginya. Yakinlah, bahawa Allah itu Maha Penyayang dan Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya dalam kesusahan melainkan untuk menyedarkan hamba-Nya yang sedang melakukan kesilapan.

Tiba-tiba, aliran arus laut di sebalik gerbang terumbu karang mula menderas. Perlahan-lahan terlihat pusaran air bercampur pasir di sebalik gerbang itu. Lokasi pintu gerbang yang agak jauh dari kawasan penempatan yang mereka lalui sebentar tadi menambahkan kecut hatinya. Risau kalau-kalau ada musibah baru yang mendatang. Dia sendiri belum maklum sama ada jin yang bersama dengannya ketika ini adalah jin yang menyembah Allah atau yang menyekutukan Allah. Ayyan hanya meletakkan penyerahan sepenuhnya kepada takdir Allah.

Di sebalik pusaran air itu, menjelma satu bangunan mega layak seperti istana. Muncul sedikit demi sedikit dari lantai lautan sehingga menyebabkan ketenangan laut tadi mula menggelodak. Muncul istana itu bermula dengan bucu menara yang paling tinggi lalu diikuti dengan dua puncak menara yang terletak di kiri dan kanannya. Menara yang terletak di tengah-tengah lebih besar berbanding dua yang lainnya. Kemudian, diikuti dengan timbulnya bahagian bumbung istana yang terletak di hadapan menara-menara tadi. Bumbung istana itu seperti otak manusia yang berlitar-litar. Terumbu karang yang masih berwarna jingga yang bernama diploria. Sangat besar. Separa bulatan dan bahagian bawahnya membentuk lembayung seperti cendawan. Di kiri dan kanan terumbu karang separa bulatan itu muncul jambatan lalu disambungkan dengan dua lagi terumbu karang besar berbentuk silinder. Setiap bumbung bangunan silinder itu daripada terumbu karang diploria yang sama. Hanya saiz sahaja yang berbeza. Terdongak-dongak kepala Ayyan melihat timbulnya istana terumbu karang yang mega itu. Mulutnya sedikit ternganga. Maha Suci Allah yang memiliki semua kekuasaan. Tidak pernah seumur hidup Ayyan menyaksikan fenomena magikal seperti itu.

Selesai sahaja timbulnya struktur istana terumbu karang itu, muncullah pula beranda istana, pintu dan jendela-jendela istana. Masing-masing turut diperbuat daripada terumbu karang berwarna jingga. Terlalu banyak spesies terumbu karang yang bersatu membentuk istana sebesar itu sehingga Ayyan gagal untuk menamakannya satu persatu. Besarnya sehingga mencecah puncak cahaya lampu yang menerangi mukim yang diberi nama Esramudra itu. Tatkala muncul pintu utama yang selari dengan gerbang di hadapannya, terhampar pula satu permaidani hijau daripada lumut-lumut laut. Subhanallah. Memang sungguh mempersonakan. Memanglah salah satu kelebihan jin, Allah kurniakan untuk bermain dengan ubah fizik seperti ini. Ayyan menjadi semakin kagum dengan kekuasaan Allah.

"Silakan masuk, Ayyan," pelawa Delustar yang tiba-tiba muncul di sampingnya. Ayyan sedikit terkejut kerana dia tidak menyedari bila masa jin laut itu tiba. Ayyan hanya memberikan sekuntum senyuman. Lidahnya kelu untuk berkata-kata.

"Pangeran Badar sedang menanti Ayyan di ruang utama. Delustar hanya boleh menemani Ayyan setakat ini. Kelak kita akan bertemu lagi," sambung Delustar.

Ayyan hanya menurut. Dia masih kelu. Perlahan-lahan kaki kanannya diangkat melangkah memijak lumut hijau yang mengunjur sehingga ke pintu utama istana yang baru sahaja muncul tadi. Tawakkal segera diberikan kepada Allah. Rasa takut dan ingin tahu berselang-seli hadir dalam hati. Sebaik sahaja tiba hadapan pintu masuk, pintu itu terkuak sendirinya seperti sengaja mempelawa Ayyan masuk ke dalam.

Tanpa berkata apa-apa, Ayyan hanya menurut gerak hati. Sekali lagi kaki kanan memulakan langkahnya. Sebaik sahaja seluruh jasadnya memasuki perut istana, pintu itu tertutup. Dia sempat menoleh ke belakang melihat Delustar yang sedang melambai-lambaikan tangan panjangnya kepada Ayyan. Senyuman Delustar mengiringi langkah Ayyan sehinggalah pintu istana itu tertutup rapat. Gelap. Tanpa sebarang cahaya.

'Panggggggg!'

Satu tamparan kuat singgah di pipi kiri Ayyan. Ada tangan ghaib yang menamparnya dengan kuat dalam gelap itu. Pipi kiri Ayyan terasa kebas dek tamparan itu. Telinganya sedikit berdesing. Mujur Ayyan sempat mengimbangkan dirinya daripada terjatuh. Ayyan memegang pipi kirinya. Sakit.

"Assalamualaikum, hamba Allah," sapa satu suara lelaki dewasa. Seiringan dengan itu, cahaya mula muncul dalam istana itu. Satu persatu bahagian istana disirami cahaya. Bermula dengan bahagian tingkat atas sebelah kanan, diikuti dengan bahagian kiri, kemudian barulah bahagian tengah istana. Ayyan kini sedang berdiri di tengah-tengah istana. Di hadapannya ada sebuah tangga yang besar menyambungkan lantai bawah dengan lantai atas. Susuk tubuh Ayyan terlihat seperti semut di tengah-tengah istana terumbu karang itu. Seluruh istana dihiasi dengan bermacam jenis hidupan laut. Berwarna jingga.

Di atas tangga, seorang lelaki yang berkaki ikan sedang berpeluk tubuh memandangnya dengan marah. Sebuah mahkota yang berwarna jingga menghiasi kepalanya. Wajah lelaki itu ditumbuhi jambang putih yang panjang sehingga mencecah lantai. Tubuhnya sedikit terapung. Anak matanya berwarna jingga. Ayyan sempat bertanya kepada dirinya, mengapa semua berwarna jingga?

"Apakah kamu sudah terlupa bagaimana ucapan salam?!" tanya lelaki itu, garang.

Ternganga-nganga Ayyan mendengar teguran pedas lelaki tersebut. Barulah dia tersedar akan khilaf dirinya. Mungkin kerana terlalu takjub melihat keajaiban yang berlaku di hadapan mata sehingga dia terlupa memberi salam. Dia leka melayan kepelikan dan rasa takut di dalam hati. Ayyan segera meminta maaf dan menjawab salam yang telah dihulurkan kepadanya.

"Tidak hairan mengapa kamu selalu tertewas sebulan yang lalu. Sikap kamu seperti ini tidak akan mampu pergi jauh. Apa benar kamu ini cucu Imam Syahriyan?!" sambung lelaki itu lagi. Jiwa Ayyan semakin kecut mendengar suaranya yang semakin meninggi.

"Ya, benar," jawab Ayyan sepatah. Dia masih terkejut dan cuba memahami situasi yang berlaku saat itu.

"Pawana! Iringi dia ke musollah. Usai subuh iringi dia ke Balairung," tempik lelaki itu lagi.

Pawana? Angin? Terdetik soalan di hati Ayyan. Tidak semena-mena tubuhnya ditolak ke atas sehingga dia terapung-apung di tengah istana. Tubuhnya ditolak lagi memasuki satu lorong jingga yang terletak di tingkat dua istana itu. Dia dimasukkan ke dalam satu kamar yang luas. Dalam kamar itu, tersusun rapi sejadah-sejadah. Terdapat kubah kecil diletakkan di ruang hadapan. Mimbar. Apungan tubuh Ayyan dihentikan di situ.

'Subhaanallaahi Wa Bihamdihi Subhaanallaahil 'Adzim'. Zikir puji-pujian kepada Allah dilantunkan kembali. Saat ini jiwanya semakin berkecamuk. Sangkaannya apabila dia masuk ke dalam istana, dia akan bertemu dengan Pangeran Badar untuk menjawab semua persoalan yang sedang berlegar di mindanya. Malangnya, sebaik memasuki istana terumbu karang itu, lebih banyak persoalan baharu yang mengitari minda. Siapa lelaki separa ikan tadi? Adakah dia Pangeran Badar? Jika benar, apa makna tamparan kuat yang diberikan tadi? Ayyan buntu memikirkannya sehingga dia berasa hendak menangis. Sendiri dalam perantauan yang penuh misteri seperti itu, hati lelakinya sendiri tidak kuat.

"Bantulah hamba-Mu ini, Ya Allah. Berikan aku petunjuk," doa Ayyan di dalam hati. Tiba-tiba, kedengaran azan Subuh dilaungkan. Gemersik dan mendayu-dayu sehingga membuatkan Ayyan menangis seorang diri. Rindunya pada kampung halaman mula bersemi dan semakin kuat. Ingin rasanya dia meraung sekuat hati. Namun, bunyi raungan itu hanya mampu dilemparkan jauh ke dalam relung hati. Hanya esakan yang dikeluarkan. Ayyan terduduk seorang diri di tengah-tengah rumah Allah itu. Menangis memeluk lutut sambil kepala ditundukkan di kepala lututnya. Esakan diteruskan.

Bahunya disentuh seseorang. Ayyan mengangkat kepalanya. Di sebelah kanannya, berdiri seorang lelaki tua yang memiliki janggut putih panjang sehingga mencecah tanah. Lelaki tua itu tersenyum kepadanya.

"Mari kita solat. Subuh sudah menjelang," ujar lelaki tua itu diikuti dengan senyuman. Tiba-tiba, rumah Allah itu dipenuhi dengan jemaah. Entah dari mana mereka muncul. Masing-masing lengkap mengenakan jubah dan serban putih. Setiap satunya memiliki pelbagai kelainan wajah. Sungguhpun begitu, semua tampak suci dan bersih tanda pengabdian kepada Illahi.

"Pergilah berwuduk, lajur kita jemaah," sambung lelaki tua itu. Senyuman masih tidak lekang di bibirnya. Ayyan turut tersenyum. Kelat. Air matanya diseka perlahan-lahan. Dia sedikit malu menangis di hadapan lelaki tua itu.

Penghujung Tahun 2014, 35,000kaki di atas Laut China Selatan.

NILAKENDRA terbang membelah tiupan angin dan kepulan awan. Kepaknya terkuak-kuak menahan pukulan angin itu. Beberapa minit yang lalu, dia berjaya mengeluarkan diri dari lingkungan sempadan sakti Estodania. Tubuh Farihah dibiarkan terpunduk di bangku putih berhampiran laluan masuk ke Estodania. Dia pasti, fuqaha Estodania itu akan ditemukan oleh pengawal-pengawal istana. Kemudian, dia mengubah wujudnya menjadi seekor helang berparuh merah. Terbang tinggi menyelamatkan diri sebelum dia terkojol.

Tujahan sayapnya diperlahankan apabila dia melihat sebongkah batu putih yang di atasnya ditumbuhi rumput hijau. Terkuak-kuak kepaknya memperlahankan kelajuannya. Kemudian, Nilakendra menukar arah terbangnya tegak menujah langit sebelum mula menjunam ke bawah. Paruhnya terasa sedikit panas kerana bergeser dengan angin-angin yang memenuhi ruang langit.

Nilakendra menujah-nujah lapisan awan sehingga akhirnya dia melihat mukim bangsanya, Ekrandia. Sebuah pulau terapung yang terletak di atas Laut China Selatan. Pada mata kasar manusia, pulau ini tidak akan kelihatan kerana diselindung dengan hijab. Hanya gumpalan awan yang akan ditunjukkan. Ekrandia terdiri daripada tiga untaian pulau dominan dan beberapa kelompok pulau kecil. Setiap pulau disambungkan dengan pokok-pokok yang menjalar. Pulau yang paling besar terletak di bahagian tengah. Terdapat gunung berapi yang tinggi menjulang langit di pusatnya. Junaman Nilakendra semakin dilajukan menuju ke dalam kawah gunung berapi itu. Semakin lama semakin laju sehingga akhirnya dia terjunam menembusi lahar berapi. Habis seluruh tubuh helangnya disaluti lahar.

Junaman Nilakendra terhenti sebaik sahaja dia mencecah tanah. Tubuhnya hancur lebur lalu cair. Cairan lahar itu kemudiannya mula berubah bentuk. Perlahan-lahan menggelumbung lalu menjadi sekujur tubuh perempuan yang sedang sujud. Nilakendra. Dalam wujud alter ego utamanya. Masih seperti seorang perempuan yang bermuka hodoh. Kuku runcing dan rambut yang mengurai. Tubuhnya dilitupi dengan pakaian ketat yang diperbuat daripada batuan gunung berapi. Ada lahar yang mengalir dari arah bahunya ke bawah.

"Man ahabba syaian fahuwa abduhu..." ujar Nilakendra sebaik sahaja tubuhnya dihadapkan ke tirai lahar gunung berapi yang berada di belakangnya.

"Zalamaka... zalamaka... zalamaka... ghailah syarrul bariyyah!" sambung Nilakendra lagi. Kali ini jampi terkutuk itu dibaca dengan kuat. Tempikannya dilaungkan sekuat hati. Diulang-ulang dengan lantang.

Tidak semena-mena, tabir lahar di hadapannya itu terbuka sehingga menampakkan satu lohong gelap yang hanya diterangi dengan cahaya lahar kemerah-merahan. Di hujung lohong itu, tersedia satu singgahsana yang sangat besar. Bersemayam di atasnya satu sosok tubuh durjana. Tergambar kebengisan pada wajahnya. Berderam-deram makhluk terkutuk itu di dalam gelap.

Nilakendra menapak masuk dan mula menundukkan dirinya menyembah tanah tatkala berhadapan dengan makhluk besar di hadapannya itu. Dahinya dirapatkan ke lantai dan tangannya dihalakan ke hadapan sehingga hanya bahagian pinggulnya sahaja dihalakan ke atas.

"Zalamaka... zalamaka... zalamaka... ghailah syarrul bariyyah!" ujar Nilakendra.

"Bangkit pejuang bangsa! Tunjukkan wajah perkasa mu," ujar makhluk di hadapan Nilakendra. Suaranya terdengar sangat halus tetapi memenuhi segenap ruang gelap itu. Suaranya seperti berlari-lari mengelilingi dinding. Terdengar sekejap di kiri kemudian ke kanan. Halus seperti dibisik-bisik.

"Cucu Imam Syahriyan itu ampuh nuraninya. Kami gagal menentang nuraninya," adu Nilakendra sebaik sahaja kepalanya diangkat mendongak ke atas. Hanya ada sepasang mata merah yang besar kelihatan.

"Apa kamu mengatakan dia lebih perkasa berbanding kami?!" kasar kedengaran suara makhluk itu. Nilakendra sedikit menikus. Risau kepalanya dipenggal patah jika murka raja di hadapannya memuncak. Dia harus bijak memilih kata bagi menyejukkan hati rajanya kembali.

"Selagi bintang merah terang, Bentara Lakhus perkasa seorang. Tiada dua, tiada tiga. Hanya Lakhus seorang," ujar Nilakendra, bijak. Pujian melangit dihadiahkan kepada raja di hadapannya. Dia adalah Bentara Lakhus. Pemimpin Ekrandia. Kesatuan jin yang memusuhi kota Estodania dan juga sekutu-sekutunya. Kerajaan ghaib dari hijab manusia yang sudah berabad lama wujudnya sebelum nabi sulung muncul di dunia.

"Hanya kami yang terkeji hilang pedoman menjadi budak dek kepalsuan ajaran Imam Syahriyan," Nilakendra meneruskan ujarannya. Otak jahatnya sedang ligat memikirkan ayat yang sesuai untuk memuji-muji Raja Ekrandia.

"Apa pedoman ingin diperkenan?" tanya Bentara Lakhus. Kali ini suara kembali kedengaran halus. Nilakendra menarik nafas lega mendengar perubahan nada suara rajanya itu.

"Kami dipinjamkan kesaktian menundukkan iman mahamiy Imam Syahriyan," jawab Nilakendra berterus-terang. Kemudian, suasana senyap. Sepi tanpa sebarang balasan. Nilakendra tersenyum puas. Sepi seperti ini, membawa erti permintaannya diperkenan.

Dalam kesenyapan itu, terdengar bunyi udara dibilah dari atas. Seperti ada benda yang sedang terjatuh. Memang benar, satu kiriman daripada alam ghaib sedang dihantar ke ruangan itu. Satu kotak hitam jatuh terjelupuk di hadapan Nilakendra.

"Pandora lambang kuasa. Ada shanun di dalamnya. Hendaklah kamu tanamkan di laman istana. Kesaktianku akan datang membantu kamu!" kedengaran suara Bentara Lakhus mengitari segenap ruang. Selesai sahaja ujaran Bentara Lakhus itu, tubuh Nilakendra terpelanting ke belakang seperti ditolak angin. Tubuhnya terseret ke belakang sehingga terkeluar dari lohong-lohong gunung berapi itu. Dia kembali terduduk di hadapan tabir lahar berapi. Kotak Pandora hitam yang terpelanting bersamanya terbuka menampakkan isi perutnya.

Nilakendra mencapai isi pandora tersebut. Ada sekuntum bunga berbentuk daun dengan warna putih kebiru-biruan. Tangkai bunga tersebut berduri-duri dan ditumbuhi sebiji benih berwarna merah. Nilakendra tersenyum. Tanpa diterangkan panjang lebar, dia memahami maksud yang ingin disampaikan oleh Bentara Lakhus. Bantuan yang diberikan oleh rajanya itu bukan calang-calang. Satu perancangan baharu untuk menghancurkan kerajaan Estodania akan dimulakan. Perancangan yang jauh lebih ampuh! Perancangan yang mampu melemahkan kota Islam itu sehingga namanya tidak akan muncul lagi di dunia. Jika rancangan ini berjaya, mereka bukan sahaja dapat meranapkan kemegahan Estodania itu, bahkan dapat melenyapkan Islam dari bumi Nusantara.

"Gharqad!" ujar Nilakendra. Dia masih tersenyum memikirkan kejayaan yang akan mereka kecapi. Dia akan kembali ke Estodania. Kali ini dia pasti mampu menumpaskan kekuatan nurani fuqaha muda itu. Nilakendra tertawa sepuas hati. Mindanya sudah dapat membayangkan kejayaan Ekrandia tidak lama lagi.

Nilakendra tidak segera meninggalkan tanah leluhurnya itu. Sebaik sahaja meninggalkan tempat persemayaman Bentara Lakhus, dia menerbangkan dirinya ke kaki gunung berapi. Gunung Ekrandia. Di kaki gunung tersebut, terbinanya satu mahligai yang digunakan untuk menempatkan pejuang-pejuang bangsa Ekrandia sepertinya. Dia ingin melawat sahabatnya yang pernah dicederakan dalam pertarungan beberapa tahun yang lalu.

Nilakendra melalui sebuah kolam. Dia tersengih melihat pemandangan yang disaksikannya di situ. Sahabatnya sedang melayan kehendak seorang lagi kambing hitam Ekrandia. Lelaki manusia itu sedang asyik melayan keserakahan sendiri yang dipentaskan oleh sahabatnya. Anyahaffaf melambai-lambaikan tangan kanan tanda mengalu-alukannya. Sementara tangan kirinya masih rancak melayan keserakahan lelaki yang sedang berendam di dalam kolam air terjun itu.

"Asyik sekali kamu bermain dengan Benayat wahai Haffaf," tegur Nilakendra. Anyahaffaf tergelak mendengar ujaran sahabat lamanya itu.

"Sekadar berbasa-basi menurut perintah Bentara," balas Anyahaffaf.

"Kendra ingin bertemu Niyang?" tanya Anyahaffaf. Nilakendra mengangguk.

"Niyang masih tidur. Sudah dua puluh tahun lamanya," sambung Anyahaffaf. Ada wajah sayu pada wajahnya.

Nilakendra faham, Anyahaffaf juga sepertinya. Merindukan saat gemilang sahabatnya yang paling sulung itu. Dulu mereka bertiga selalu bertanding siapa yang lebih jaguh mewujudkan kekacauan yang bumi Nusantara. Tetapi, sahabat sulungnya itu hampir terbunuh saat pertarungannya menentang ketokohan imam kampung penghujung Kepulauan Karimata. Kampung Pagung. Nilakendra menarik nafas dalam-dalam. Sakit hatinya dibungkamkan.

"Jangan risau, Haffaf. Sikit masa lagi Niyang pasti bangun. Kamu persiapkan Benayat selengkap mungkin. Supaya dia tidak gagal lagi. Aku pergi dulu menjenguk Niyang," ujar Nilakendra lalu melambaikan tangan kepada sahabatnya itu.

"Kendra! Sekali gus kamu bantu aku beri makan kepada peliharan-peliharan Bentara, boleh?" laung Anyahaffaf, sebelum sempat dia mengatur langkah memasuki satu kamar yang terletak di celah-celahan batu.

"Boleh!" jawab Nilakendra, pendek. Langkah kakinya yang terhenti tadi diteruskan.

Dia melalui beberapa sangkar yang diperbuat daripada tanah. Digali jauh ke dalam perut pulau mereka. Setiap sangkar itu menempatkan beberapa haiwan peliharaan Bentara Lakhus. Dia menunaikan permintaan Anyahaffaf sebentar tadi. Masing-masing haiwan peliharaan itu diberi makan mengikut keperluan mereka. Ada yang hanya memerlukan darah, tidak kurang juga yang memerlukan bangkai untuk terus hidup. Aksi lahap setiap satunya menimbulkan rasa puas di dalam hati Nilakendra. Dia tidak sabar melihat haiwan-haiwan peliharaan itu beraksi kembali. Sudah terlalu lama mereka dikurung di sini.

Usai memberi makan kepada haiwan-haiwan peliharaan Bentara Lakhus itu, dia segara mengatur langkahnya ke kamar kecil yang terletak di hujung ruangan di dalam tanah itu, melepasi beberapa lahar gunung berapi yang mengalir seperti sungai. Langkahnya hanya berhenti sebaik sahaja dia menghampiri taman bunga yang dikelilingi lahar. Niyang Ropek sedang terbaring kaku di atas para beratar yang terletak di tengah taman bunga itu. Bunga-bunga pelbagai rupa tidak lazim yang sedang mengelilingi para itu membuka laluan untuknya mendekati Niyang Ropek. Wangi menerawang. Wajah Niyang Ropek masih kelihatan lebam. Biru menggelap seluruh badan. Sungguh sahabatnya itu hampir menemui ajal dalam pertarungan dua dekad yang lalu.

Kotak Pandora dikeluarkan dan dibuka. Nilakendra mematahkan duri bunga putih yang terdapat di dalam pandora tersebut. Kemudian duri itu dicucuk pada dahi Niyang Ropek. Ada darah hitam mengalir keluar. Berbau hanyir. Tetapi bagi Nilakendra, hanyir itu sudah sebati dan tidak mengganggunya sama sekali. Duri di dahi Niyang Ropek tersedut masuk ke dalam dahinya lalu menghilang.

"Bangkitlah Niyang dengan kesaktian, keramat Bentara jadi sandaran," ujar Nilakendra. Dahi Niyang Ropek dikecup. Dia sudah melaksanakan salah satu arahan yang tertulis dalam kotak Pandora itu. Kemudian, kemenangan akan berpihak kepada mereka. Estodania akan hancur!.

Nilakendra mengghaibkan dirinya dari kamar itu, lalu memunculkan dirinya semula di pulau kecil paling hujung Ekrandia. Pulau kecil itu hanya menempatkan satu air terjun yang dighaibkan dari dunia manusia lalu diangkat ke langit. Kemudiannya, disambungkan dengan pulau-pulau Kerajaan Ekrandia sebagai tanda penguasaan Ekrandia. Air terjun di dalam pulau ini menjadi idaman semua makhluk yang ada di muka bumi. Ekrandia bertuah kerana memiliki raja perkasa seperti Bentara Lakhus kerana tanpa kekuasaannya, air terjun keramat ini tidak mungkin dapat dinikmati oleh bangsa Ekrandia. Air terjun yang dapat memberikan kehidupan abadi. Ainul Hayat!

 Ainul Hayat!

.

.

NOTA PENULIS :

Hikayat Estodania ini sangat saya sayangi. Perancangan saya untuk karya ini sangat panjang.. tetapi saya agak kecewa sikit nanti jika karya ini kurang mendapat sambutan. Maka, dengan itu saya dengan rendah hati minta tolong pembaca untuk vote, drop komen dan follow agar karya ini lebih disedari kewujudannya.

Kelak... saya akan masukkan cerita-cerita lanjut untuk membawa anda semua mengembara lebih jauh dalam Estodania... Tolong saya untuk vote dan hebahkan ye... (psst! Dalam 10k bacaan pun saya sangat bersyukur dah..) Terima kasih. 


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Awan Wafdan