Home Novel Fantasi ESTODANIA : Hikayat Nusantara
ESTODANIA : Hikayat Nusantara
Awan Wafdan
28/12/2017 18:42:21
63,751
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 5



Penghujung Tahun 2017, Kenyalang,Kepulauan Karimata.

AYYAN memulakan pencak silatnya. Atur langkahnya sedikit ralat kerana menahan sakit di bahu kanannya yang terluka dalam pertarungan dengan seekor kerbau jelmaan tiga malam yang lepas. Mindanya sedang galak memilih mana-mana bacaan yang ampuh agar kebergantungan dan keyakinannya terhadap Allah semakin kejap. Gelombang ombak laut di hadapannya sudah mula membentuk jasad seperti manusia, tetapi masih dalam wujud air. Wujud air tersebut mula menghalakan tangannya ke arah Ayyan.

"Soowa... Soowa... Patua... Naka...Soowa... Soowa... Patua... Naka...!"

Berbalam-balam kedengaran suara serak-serak basah mengulang-ulang ayat itu. Sesiapa yang mendengarnya pasti akan berasa seram seluruh tubuh. Layaknya seperti sedang memuja sesuatu dan memanggilnya untuk muncul. Serentak dengan itu, pokok-pokok di sekitar Pantai Belawai mula meliuk-lentok seiring dengan deruan angin yang semakin rancak.

Ayyan mendekati gigi pantai. Belum sempat dia mengatur pencak lanjut, satu tumbukan padu dilayangkan tempat ke dadanya. Ayyan tertolak dua meter ke belakang. Dadanya terasa sakit. Dia terbatuk-batuk menahan kesakitan.

"Bismillahi tawakkaltu 'alallahi" Kalimah suci yang bermaksud penyerahan diri secara total kepada Allah dan keyakinan bahawa pertolongan Allah akan diberikan kepadanya.

Wujud ombak tadi sudah sempurna jelmaannya menjadi seorang lelaki yang memiliki ekor seperti ular. Badannya masih mengeluarkan cahaya berwarna biru. Melalui suluhan cahaya tersebut, Ayyan dapat melihat telinga runcing yang terletak di sisi kiri dan kanan kepalanya dan ada tanduk melengkung yang besar di atas kepalanya. Lelaki itu sedang berpeluk tubuh. Ekornya dilayukan mengunjur ke laut dan sedikit dilibas-libaskan sehingga menghasilkan riak ombak yang kecil memukul batu-batu di pinggir pantai. Matanya memandang tepat ke arah Ayyan.

Ayyan menghela nafas panjang. Digagahkan keberanian dirinya untuk berbual dengan lembaga jelmaan di hadapannya itu. Ayyan masih sedar bahawa selagi dia meletakkan keyakinan kepada Allah, Ayyan akan dilindungi dan keselamatannya pasti terjaga. Cuma, kadang-kala Allah akan sengaja menurunkan ujian untuk menguji keimanannya.

"Salam Sejahtera wahai ummat Sulaiman," Ayyan memulakan bicara. Dia menapak ke hadapan sedikit. Dia tidak ingin meneruskan perlawanan tanpa mengenali siapa yang bakal menjadi lawannya itu. Boleh jadi, jelmaan di hadapannya ini tidak berniat jahat seperti jelmaan kerbau yang ditemuinya sebelum ini. Prasangka baik Ayyan mula memudar apabila salam yang dia hulurkan disambut sepi tanpa sebarang jawapan.

"Apa mahu kamu? Dan siapa kamu sebenarnya?" Apakah kamu juga salah satu makhluk suruhan Pawang Benayat?" soal Ayyan lagi tanpa menanti jawapan salamnya. Hatinya berbisik bahawa jelmaan di hadapannya ini tidak berniat baik. Siap-siaganya masih dijaga kalau-kalau jelmaan lelaki berbadan ular di hadapannya itu bertindak ganas menyerangnya.

Tiba-tiba, jelmaan di hadapannya itu tergelak. Kepalanya tersengguk-sengguk ke hadapan, menggerakkan tanduknya yang besar. Gelak tawanya terdengar lucu pada penilaian Ayyan. Mengekek seperti anak-anak kecil dengan nafas tersekat-sekat seperti tersedu. Ayyan tercengang melihat tindak balas jelmaan itu. Ekornya yang mengunjur ke laut terliuk-liuk laju selari dengan kekekan tawanya.

"Apa yang lucu wahai makhluk Allah?" soal Ayyan lagi. Hatinya terasa agak marah kerana dia mengira jelmaan itu sedang mempersendakannya. Tangannya mencapai sebatang kayu yang ditolak ombak tepat ke hujung kaki kirinya.

"Kamu kata aku suruhan Pawang Benayat?" ujar jelmaan berbadan lelaki itu lalu ketawa terkekek-kekek semula.

Amarah Ayyan mula meruap. Bibirnya pantas membaca Al-Fatihah lalu hembusan nafas ditiupkan pada kayu yang baru sahaja dipungutnya. Selajur kayu itu direjam ke arah jelmaan di hadapannya. Malangnya, kayu yang dibaling tadi berjaya dielak oleh ular bertanduk itu. Rengusan marah kedengaran. Ekornya terkocak lebih laju sehingga riak air laut semakin kuat.

"Tidak semudah itu jika kamu hendak menewaskan aku, anak muda!" tempik jelmaan ular tersebut seperti guntur. Tubuh Ayyan dilibas kuat menggunakan ekornya tanpa sempat Ayyan mengelak. Tubuh Ayyan tercampak lalu terhempas ke batu-batu dipinggir pantai.

"Sudah! Biarkan dia!!" tempik satu suara yang lain. Jelas kedengaran suara itu berbeza daripada suara jelmaan ular bertanduk tadi.

Pandangan mata Ayyan berpinar-pinar. Belakang tubuhnya terasa sangat sakit akibat terhempas ke atas batu. Dia meraba-raba belakang kepalanya. Ada darah yang mengalir. Ayyan melepaskan nafas. Matanya dihalakan ke arah hamparan langit untuk melihat kelamnya malam. Hati kecilnya mengakui bahawa dirinya masih belum cukup kuat meneruskan kembara ke Estodania ini seorang diri. Ilmu Allah dan warisan datuknya masih belum dikuasai sepenuhnya. Sesungguhnya, dia sedar bahawa masih banyak yang dia perlu pelajari lagi.

Sepatutnya, sebelum memulakan kembara ini, dia mempersiapkan diri di Kampung Pagung terlebih dahulu. Namun, dia terlalu mengikut hawa nafsu untuk bersegera menyusuli Faris ke Estodania. Amanat datuknya hanya dijadikan alasan agar dia bergegas meninggalkan kampung halamannya. Dia sangat risau akan keadaan sahabatnya itu. Farihah, kakaknya dianggap sudah tiada. Dia sudah berjaya meredhakan diri akan pemergian kakaknya itu.

Ayyan memejamkan matanya. Dia menyerah kepada takdir Allah. Berputus asa untuk terus bertahan. Tubuhnya terasa sangat lemah. Luka di bahu kanannya terasa semakin parah selepas terhempas ke batu. Terdengar bunyi sesuatu melompat ke dalam air. Ayyan beranggapan bahawa ular jelmaan tadi sudah meninggalkannya. Di dalam hati, dia memanjatkan kesyukuran. Dia yakin Allah telah membantunya malam itu dengan menggerakkan hati ular jelmaan yang bertanduk dan berbadan manusia tadi tidak membunuhnya. Sesiapa pun empunya suara yang menghentikan tindakan ular tadi, Ayyan mengucapkan terima kasih kepadanya kerana telah menyelamatkannya.

Ayyan merasakan tubuhnya diangkat seseorang. Dua tangan diletakkan di bawah badannya lalu badannya terangkat. Lengan kirinya tersentuh dada seorang lelaki yang tidak berbaju. Ayyan membuka sedikit matanya. Pandangannya menangkap wujud seorang lelaki berjambang sedang memandang ke hadapan. Hidung lelaki tersebut sedikit kemek. Rambutnya agak kerinting separas bahu.

Dia sedang diusung menuju ke Laut China Selatan. Pelahan-lahan, bahagian belakang badannya menyentuh air. Ayyan mula terfikir bahawa dia akan dilemaskan di Laut China Selatan pada malam itu. Dia pasrah sekiranya malam itu merupakan detik akhir hayatnya walaupun dia belum menyempurkan wasiat arwah datuknya. Ayyan menutup matanya semula. Tangan kanan lelaki yang sedang mengangkatnya digerakkan ke bahagian belakang kepala sehingga tubuh Ayyan sedikit terjatuh. Bahagian belakang kepala Ayyan terasa ditekan-tekan. Dalam, dan sakit. Ayyan akhirnya tidak sedarkan diri. Terkulai lemah di lengan lelaki yang tidak dikenalinya itu.

 Terkulai lemah di lengan lelaki yang tidak dikenalinya itu

.

.

NOTA PENULIS :

Hikayat Estodania ini sangat saya sayangi. Perancangan saya untuk karya ini sangat panjang.. tetapi saya agak kecewa sikit nanti jika karya ini kurang mendapat sambutan. Maka, dengan itu saya dengan rendah hati minta tolong pembaca untuk vote, drop komen dan follow agar karya ini lebih disedari kewujudannya.

Kelak... saya akan masukkan cerita-cerita lanjut untuk membawa anda semua mengembara lebih jauh dalam Estodania... Tolong saya untuk vote dan hebahkan ye... (psst! Dalam 10k bacaan pun saya sangat bersyukur dah..) Terima kasih. 


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Awan Wafdan