Home Novel Fantasi ESTODANIA : Hikayat Nusantara
ESTODANIA : Hikayat Nusantara
Awan Wafdan
28/12/2017 18:42:21
63,797
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 9


NOTA PENULIS : Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

NOTA PENULIS : Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

.
Terima kasih kerana berminat untuk membaca karya saya yang tidak seberapa ini. Dah sampai bab 9 ni... boleh tahan jauh juga anda membaca. Saya sangat menghargainya...
.

Minta tolong untuk vote, drop komen dan follow agar karya ini lebih disedari kewujudannya. Terima kasih.Jom sambung mengembara dalam dunia Estodania.


Penghujung Tahun 2017,

Esramudra.

"KAMU masih lemah, Ayyan. Belum cukup bersedia," ujar Pangeran Badar. Mata pangeran itu memandang tepat ke anak mata Ayyan. Ayyan hanya mendiamkan diri. Sekali lagi lidah terkelu. Dia terkesima mendengar dakwaan pangeran yang baru dikenalinya itu.

Sebentar tadi, selesai sahaja melaksanakan Subuh berjemaah dengan penduduk-penduduk Esramudra, dia dipanggil duduk oleh imam solat subuh itu. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Pangeran Badar. Janggutnya berwarna putih dan sangat panjang sehingga mencecah lantai. Saat ini, hanya mereka berdua sahaja yang masih duduk di dalam Masjid Esramudra. Para Jemaah telah kembali ke kediaman masing-masing selesai sahaja kuliah Subuh.

"Mengapa Pangeran berkata sedemikian?" tanya Ayyan meminta kepastian.

Dia sedikit terkilan apabila dikatakan lemah. Sepanjang kembara solonya setakat ini, berhempas-pulas dia mempertahankan diri dan menewaskan setiap halangan yang menimpanya. Memang payah dan susah. Dia tidak nafikan. Tetapi dia berjaya meloloskan diri daripada beberapa kesusahan yang dia hadapi sebelum ini. Memang masih banyak yang dia belum tahu, tetapi tidak bermakna dia lemah!

"Mengapa kamu meninggalkan Kampung Pagung? Sedangkan kamu tahu kudrat kamu sekuat mana?" tanya Pangeran Badar lagi tanpa menjawab soalan Ayyan.

"Maaf Pangeran. Saya cuma ingin menjejaki Faris. Lagipun, almarhum datuk mewasiatkan agar Ayyan bermusafir menyelamatkan Faris," jawab Ayyan dengan suara rendah. Dalam diam, dia mengakui dakwaan Pangeran Badar itu.

"Kamu mengira kamu sudah cukup kuat?" asak Pangeran Badar lagi. Nada suaranya masih kedengaran tegas. Tatapan matanya masih dihalakan kepada Ayyan. Tanpa kelipan mata langsung.

"Lahaula wala quwata illa billahil aliyil adzim. Jujurnya saya memang tidak kuat. Cuma almarhum mewasiatkan saya ke Tanah Emas bertemu Tok Kandek. Kelak Tok Kandek akan membantu saya," jawab Ayyan. Pangeran Badar menarik nafas panjang. Tangan kanannya memegang bahu kanan Ayyan.

"Kamu yakin Faris masih hidup? Petaka menimpa Estodania itu bukan kecil. Bahananya terlalu kuat sehingga seluruh Nusantara terasa sekarat. Ramai yang berpergian dan menjadi pelarian menyelamatkan diri. Masing-masing menjauh dari Estodania," tanya Pangeran Badar lagi. Bahu Ayyan ditepuk-tepuk.

"Insya-Allah, Pangeran. Allah akan menjaga Faris. Saya yakin dia masih hidup," jawab Ayyan dengan yakin. Keyakinan kepada Allah melebihi segalanya. Selagi dia belum menemui mayat Faris, selagi itu dia menganggap sahabatnya itu masih hidup. Faris bukan calang-calang orang. Dia jauh lebih kuat berbanding Ayyan. Ilmu pengetahuannya juga jauh lebih dalam berbanding Ayyan. Sudah pasti sahabatnya itu mampu menyelamatkan diri daripada Petaka Estodania.

"Farihah? Bukankah dia kakak kamu?" tanya Pangeran Badar lagi. Bahu Ayyan dilepaskan.

"Apakah Farihah masih hidup? Sudah tiga tahun saya redha dengan takdir Allah itu," jawab Ayyan. Ada nada sendu pada suaranya.

Pangeran Badar menarik nafas panjang. Pandangannya dilemparkan ke arah kanan Masjid. Memandang rak-rak yang kosong tanpa senaskah Al-Quran. Hanya ada rihal-rihal yang disusun rapi.

"Kamu juga sudah tertipu Ayyan. Bukan hanya kamu. Seluruh Nusantara telah terpedaya dengan muslihat Ekrandia," jawab Pangeran Badar. Wajahnya yang tadi tegas mula kelihatan sugul. Mindanya segera mengimbau kembali petaka yang menimpa Estodania sehingga kerajaan Islam yang gagah itu akhirnya musnah. Terlalu berat ujian yang Allah hadirkan saat ini kepada seluruh Nusantara. Mereka sama sekali tidak menyangka akhirnya Ekrandia berjaya membutakan hati mereka. Amirul-amirul Islam Estodania juga tidak menduga kelicikan Ekrandia yang berlaku di bawah hidung mereka sendiri.

"Apa yang berlaku kepada Estodania sebenarnya, Pangeran? Adakah kesaktian Pawang Benayat terlalu tinggi sehingga akhirnya kita hidup dalam poranda seperti ini?" tanya Ayyan. Sebenarnya dia masih belum pasti kejadian sebenar yang menimpa Estodania. Di Kampung Pagung, mereka hanya dimaklumkan Estodania ditimpa musibah. Berita kehancuran Estodania itu disusuli dengan kegagalan semua teknologi canggih yang dikurniakan oleh Estodania.

"Benayat itu hanya watak kecil dalam kisah sebenar, Ayyan. Manusia seperti kamu juga mampu menewaskannya," jawab Pangeran Badar.

"Niyang Ropek?" tebak Ayyan lagi.

"Niyang juga watak kecil yang lain," jawab Pangeran Badar.

"Lalu? Peran siapa yang menjadi asbab hancurnya Estodania?!" laju Ayyan memintas kata-kata Pangeran Badar. Darah mudanya mula tidak sabar dengan sikap misteri Pangeran Badar.

"Kemudian, kamu akan dimaklumkan kisah itu. Sekarang dengarkan ini," ujar Pangeran Badar. Pandangannya kembali dihalakan kepada Ayyan. Kedua belah tangannya diletakkan di atas lutut.

"Faris masih hidup. Itu yang pasti. Di mana keberadaannya masih misteri. Tidak ada sesiapa yang tahu dia kini di mana. Mungkin di Estodania, mungkin bukan. Farihah? Saya yakin dia masih hidup. Insya-Allah. Kali terakhir saya melihatnya, dia masih berada di dalam istana. Atas dasar apa? Maaf, tiada khabar tentangnya," berita yang disampaikan oleh Pangeran Badar itu menggembirakan hatinya. Maksudnya, jika ditakdirkan Allah, dia akan bertemu dengan Faris dan Farihah. Dengan bantuan Tok Kandek, pasti dia mampu menemui mereka berdua.

"Jadi, Farihah masih hidup?" pantas Ayyan mengajukan soalan.

"Allahu'alam. Saya tidak pasti. Kita berdoa kepada Allah semoga dia dipanjangkan usia," jawab Pangeran Badar. Sedikit menghampakan hati Ayyan.

"Untuk menyelamatkan Faris, kamu perlu memikul satu tugas yang sangat berat, Ayyan," ujar Pangeran Badar, serius. Kali ini, tangan kanannya kembali diletakkan di pundak Ayyan.

"Maksud Pangeran?" tanya Ayyan. Kembali persoalan terbit di mindanya. Jantung mula berdegup kencang. Hati manusianya dapat menjangka tugas yang bakal diamanahkan melebihi kemampuannya.

"Kali terakhir, Faris dikatakan telah menyelamatkan Nadi Estodania..." Pangeran Badar terhenti seketika. Dia menarik nafas panjang. Khabar selanjutnya pasti akan menggugah jiwa Ayyan.

"Lelaki yang menyelamatkan Nadi Estodania itu kini menjadi buruan Ekrandia. Jadi, bahaya tidak akan pernah lekang daripada sekitarnya. Nadi Estodania yang Faris selamatkan itu insya-Allah akan dapat mengembalikan kegemilangan Estodania. Jadi, jika benar kamu ingin menyelamatkan Faris, kamu juga perlu menyelamatkan Estodania. Memerangi kebatilan. Menghancurkan Ekrandia!" ujar Pangeran Badar panjang lebar. Pundak Ayyan ditepuk berkali-kali.

Melopong Ayyan mendengar ujaran Pangeran Badar itu. Benarlah dugaan Pangeran Badar. Khabar itu memang menggugah semangatnya. Dia tidak menyangka sama sekali bahawa Faris kini memegang amanah yang sangat berat. Kini, amanah itu akan dikongsi bersama dengannya. Tubuh Ayyan mula menggeletar apabila dia memikirkan bahawa dia perlu berhadapan dengan tentera-tentera Ekrandia yang sangat ampuh ilmu sihir mereka. Sedangkan perlawanan terakhir di Belawai hampir meragut nyawanya, inikan pula menentang kesemua tentera Ekrandia.

"Tetapi Pangeran, saya tidak memiliki kecekapan dan kecanggihan teknologi Estodania. Sedangkan para Lasykar yang terlatih tidak dapat menewaskan Ekrandia, apatah lagi saya. Mana mampu saya bertahan..." belum sempat Ayyan menghabiskan ayatnya, satu tamparan kuat singgah di pipi kanannya. Terpempan wajah Ayyan menerima tamparan keduanya itu.

"Sakit?" tanya Pangeran Badar sambil tersenyum. Ayyan mengangguk. Fahamlah dia bahawa dia telah melakukan kesalahan sekali lagi.

"Kamu terlalu mencintai teknologi! Menganggap diri kamu tidak mampu hidup tanpanya. Segala kebergantungan kamu sandarkan kepada kecanggihan mesin semata-mata. Bukan Allah! Istighfar anak muda!" bebel Pangeran Badar dengan suara yang keras.

Barulah Ayyan menyedari khilaf yang dia lakukan sejak awal musafirnya lagi. Setiap musibah yang melanda dirinya, dia hanya bergantung harap kepada sisa-sisa teknologi Estodania. Kebergantungan kepada Allah hanya dizahirkan pada lidahnya sahaja. Sedangkan hatinya masih mengharap kecanggihan Estodania yang akan menyelamatkannya.

Astaghfirullah! Dalam tidak sedar, Ayyan telah meragukan kuasa Allah. Mendekati asas-asas syirik dengan menganggap teknologi moden jauh lebih ampuh menyelamatkannya. Segera Ayyan beristighfar. Hatinya terasa bergetar. Mengakui dosa yang dia lakukan. Fahamlah dia erti setiap tamparan yang dilayangkan oleh Pangeran Badar kepadanya sejak kali pertama melangkah ke dalam istana Esramudra ini.

"Jangan diulangi khilafnya bangsa Estodania. Memanglah Allah sentiasa lekat di hati. Cumanya ibadahnya sahaja sedikit canggung. Semuanya usaha disandarkan pada mesin. Pada kecanggihan ciptaan makhluk semata! Sehingga ibadah yang dilakukan hilang manisnya mengikut sunnah Rasulullah. Lihat saja pada Al-Quran. Ke mana menghilang? Semua telah didigitalkan! Dimuatkan dalam komputer dan tablet pintar. Dilayangkan ke langit tanpa sebarang hafazan. Hanya sibuk memburu khadam ayat. Bencana ini satu peringatan daripada Allah kerana kita sudah berlebihan mengangkat kemodenan," panjang lebar Pangeran Badar membebal. Dia langsung tidak mempedulikan titisan air mata yang perlahan-lahan mengalir di hujung matanya. Dia juga turut kesal atas kelalaian yang bangsanya pernah lakukan. Bekerjasama dengan bangsa manusia. Kononnya hendak menjaga dan mengangkat tamadun Islam mengatasi tamadun-tamadun yang lain. Tanpa sedar, merekalah yang telah menghancurkan Islam sehingga mereka terpaksa hidup dalam darurat seperti ini.

Berkali-kali Ayyan beristighfar. Mindanya galak kembali mengimbas kembali tindak-tanduk penduduk kampungnya. Memang benar ujaran Pangeran Badar itu, pasca kegemilangan Estodania, hampir semua kegiatan manusia dan jin dimudahkan dengan kewujudan teknologi-teknologi canggih. Bahkan pengajian tarekat juga didigitalkan. Para fuqaha kampungnya juga hanya menurunkan ilmu berdasarkan paparan maya. Manakala anak-anak muda sepertinya hanya membaca dan mendengar bacaan para fuqaha. Mujurlah Imam Syahriyan sering kali memaksanya menghafaz ayat-ayat suci sebagai denda bagi setiap silap yang dia lakukan.

"Apa yang perlu saya lakukan, Pangeran?" terketar-ketar Ayyan menuturkan soalan itu. Kali ini dia berharap jawapan Pangeran Badar dapat memecahkan kebuntuannya.

"Kamu adalah cucu Imam Syahriyan. Anak jati Pagung warisan langsung dari susur galur Imam Arqam. Jati dalam diri kamu tidak dimiliki oleh sesiapa. Kami percaya, Imam Arqam pasti meninggalkan warisan yang bukan biasa. Apalagi anak muda macam kamu yang dibesarkan oleh Imam Syahriyan," ujaran baharu Pangeran Badar itu menerbitkan persoalan-persoalan baharu di mindanya.

Memang benar dia merupakan cucu Imam Syahriyan. Itu hakikat yang tidak boleh dinafikan. Tetapi bukan dia seorang, Farihah juga sepertinya. Paling utama, ada apa dengan almarhum datuk kesayangannya itu? Mengapa namanya dikenali di tanah bawah laut Esramudra ini? Siapa Imam Arqam? Dia tidak pernah mendengar nama itu sepanjang hidupnya.

"Maaf, Pangeran. Saya tidak mengerti," ujar Ayyan, akhirnya. Pangeran Badar melepaskan keluhan nafas. Matanya sedikit layu menggambarkan kehampaan.

"Bagaimana kamu hendak ke Tanah Emas dengan selamat kalau masih banyak lagi kamu belum ketahui, wahai anak muda. Kasihan sekali kamu," keluh Pangeran Badar. Ayyan masih tidak memahami inti butiran pangeran alam jin itu.

"Beginilah... kamu tangguhkan seketika musafir kamu. Kita bersama membongkar hijab yang ditinggalkan Imam Arqam untuk kamu," cadang Pangeran Badar. Ayyan hanya memandangnya dengan pandangan kosong. Jelas, terlalu banyak rahsia yang masih tersembunyi di balik hijab anak muda itu.

"Pertama, buangkan semua teknologi Estodania yang kamu miliki. Teknologi itu akan menjadi kunci kamu dijejaki Ekrandia. Seluruh teknologi Estodania kini jatuh di tangan mereka. Lagipun, Rasulullah dan para sahabat menegakkan syiar Islam dahulu tanpa bantuan kemodenan canggih seperti ini. Mereka hanya ada Allah yang menguatkan semangat juang. Jihad Fisabillah!" ujar Pangeran Badar memulakan pengajaran.

Bermula detik ini, tafakur dan iktikaf Ayyan di bumi asing Esramudra itu dimulakan. Ayyan mengharapkan, setiap persoalan yang terkitar-kitar di kotak mindanya akan terjawab di Esramudra ini. Paling penting, dia akan lebih bersedia menjejaki sahabatnya, Faris. Sekali gus, melunaskan amanah baharu yang digalasnya. Mengembalikan kegemilangan Islam memang besar ganjaran, tetapi meraih ganjaran sehebat Syurga itu tidak mudah jika hatinya masih ragu dengan Esanya Allah. Ayyan perlu bersedia. Musafirnya yang sebenar bukan bermula sebulan yang lalu, tetapi bermula sebaik sahaja dia meninggalkan bumi Esramudra. Tiadalah kudratnya sebagai manusia biasa jika tanpa bantuan daripada Allah Yang Maha Kuasa. Sesungguhnya, tipu daya Syaitan dan sekutunya wujud dalam bermacam cara, sebagai hamba Allah, dia cuma perlu bijak menepisnya.

"Allahumma yassir wala tu'assir. Rabbi tammim bilkhoir. Birohmatikaya Arhamarrohimin."

"Rabbi yassir wa la tu assir..."

"

.

.

NOTA PENULIS :

Hikayat Estodania ini sangat saya sayangi. Perancangan saya untuk karya ini sangat panjang.. tetapi saya agak kecewa sikit nanti jika karya ini kurang mendapat sambutan. Maka, dengan itu saya dengan rendah hati minta tolong pembaca untuk vote, drop komen dan follow agar karya ini lebih disedari kewujudannya.

Kelak... saya akan masukkan cerita-cerita lanjut untuk membawa anda semua mengembara lebih jauh dalam Estodania... Tolong saya untuk vote dan hebahkan ye... (psst! Dalam 10k bacaan pun saya sangat bersyukur dah..) Terima kasih. 


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Awan Wafdan