Home Novel Fantasi ESTODANIA : Hikayat Nusantara
ESTODANIA : Hikayat Nusantara
Awan Wafdan
28/12/2017 18:42:21
63,792
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 4



Penghujung Tahun 2014,IstanaEstodania.

Permaisuri Isabella tidak dapat membendung keinginan hatinya melihat wajah Farihah yang ditutup dengan sehelai kain hitam. Tingkah Farihah yang tampak tidak selesa itu menguatkan lagi keinginannya melihat wajah Farihah. Padahal, sebelum ini dia cuba untuk menghormati pilihan Farihah yang mengenakan niqab saat bertemu dengan permaisuri sepertinya itu.

"Apa dia tuanku?!" Farihah tersentak mendengar permintaan Permaisuri Isabella itu. Dia tidak menjangka sama sekali bahawa Permaisuri akan memintanya menanggalkan niqab yang dipakainya. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sihirnya yang hampir berkurang dan menjelmakan wajahnya sebenar. Nilakendra yang muncul dalam wujud Farihah itu mula gementar. Dia risau sekiranya rancangan yang diatur terbongkar sebelum dimulai.

"Beta ingin melihat wajah kamu!" ulang Permaisuri Isabella tegas.

Matanya dipicingkan memandang Farihah. Rasa ingin tahunya semakin menebal melihat anak mata Farihah yang tampak gelisah. Suhu badan Farihah juga terasa panas sehingga menghasilkan bahang. Firasatnya mula berdetik, adakah fuqaha yang baru dilantik ini kesurupan?

Farihah semakin gementar. Tangannya digenggam erat. Kakinya terasa menggeletar. Peluh dingin mula terembes pada wajahnya sehingga kerudung dan niqab yang dipakainya tampak basah. Permaisuri Isabella masih memicingkan pandangannya. Farihah cuba memaniskan wajah dan melemparkan sekuntum senyuman. Namun, Permaisuri Isabella masih memandangnya dengan wajah yang serius.

Permaisuri Isabella memegang kembali paha kanan Farihah. Terasa semakin panas. Yakinlah dia bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan fuqaha baharunya itu.

Degupan jantung Farihah semakin kencang. Rahsia dirinya kini seperti telur di hujung tanduk. Jika Permaisuri Isabella terus mendesaknya membuka niqab, dia tiada pilihan lain selain daripada membunuh permaisuri Estodania itu. Mungkin dia akan berjaya menghabisi hayat permaisuri manusia di hadapannya itu, tetapi dia tidak mungkin dapat membebaskan diri daripada dibunuh oleh pemimpin-pemimpin Estodania yang sememangnya menjadi musuh bangsanya sejak berabad lamanya itu.

"Apakah kamu keberatan jika beta ingin melihat wajah kamu?" desak Permaisuri Isabella lagi.

Farihah hanya mendiamkan diri. Dia tidak berani bersuara kerana dia yakin suaranya juga sudah berubah menjadi Nilakendra semula.

Farihah tidak ada pilihan, kuku jarinya mula diruncingkan di sebalik jubah labuh yang dipakainya itu. Untung dia berjaya membunuh permaisuri Estodania berbanding mati katak. Bilah-bilah kukunya dijelmakan tajam. Dia mula berkira-kira menyusun strategi. Dia akan mengelar leher Permaisuri Isabella itu, lalu meninggalkan jasad Farihah di situ. Kemudian dia akan mengubah wujudnya menjadi seekor burung lalu terbang meninggalkan Estodania. Tetapi, dia pasti gagal menembusi dinding ghaib yang melindungi kota musuhnya itu. Sempadan ghaib itu masih belum mampu mereka hancurkan.

"Farihah!" bentak Permaisuri Isabella. Tangannya menampar paha Farihah.

Tiba-tiba pintu pangkin dibuka. Terkocoh-kocoh muncul seorang bocah separas pinggang. Kulitnya berwarna biru dan anak matanya bundar berkaca. Iris matanya sepadan dengan warna biru kulitnya. Ada balung biru yang tumbuh dari atas kepalanya sehingga ke pinggang. Bocah biru itu menghampiri mereka. Farihah segera membatukkan dirinya. Kuku runcingnya dimasukkan kembali ke dalam daging. Berkali-kali Farihah terbatuk.

Permaisuri Isabella terkejut dek kedatangan bocah biru yang tiba-tiba itu. Seperti ada perkhabaran penting yang hendak disampaikan. Dia segera memalingkan pandangan ke arah bocah biru itu. Matanya masih dipicingkan memandang Farihah dari ekor matanya.

"Ada apa Medicak?" tanya Sang Permaisuri. Sekuntum senyuman dihadiahkan kepada Medicak. Terlompat-lompat bocah biru itu melihat sambutan mesra permaisuri kesayangannya. Balung biru yang menegak di belakang kepalanya sehingga ke bahagian pinggang beralun-alun manja. Dia sengaja menunjukkan aksi kanak-kanak comel di hadapan Permaisuri Isabella kerana dia tahu permaisuri itu suka akan benda-benda comel.

"Maaf andai kiranya Medicak mengganggu pertemuan Sang Permaisuri bersama fuqaha...." ujaran Medicak terhenti apabila terpandang Farihah sedang membongkok terbatuk. Timbul rasa kasihan di hati kecilnya.

"Fuqaha demam?" tanya Medicak. Balung panjang di belakangnya layu. Semua mata tertumpu kepada Farihah.

"Kamu demam, Farihah?" soal Permaisuri Isabella pula. Tangannya diletakkan di dahi Farihah. Masih terasa bahang panas seperti tadi.

"Tidak mengapa. Kamu pergi istirahat. Mungkin tubuh kamu masih penat dengan perjalanan semalam," saran Permaisuri Isabella. Dia terpaksa menangguhkan hajatnya untuk bersoal-siasat dengan fuqaha baharu itu walaupun hatinya membungkam kuat bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan Farihah.

"Terima kasih, tuanku. Patik undur diri," ujar Farihah lalu meluru masuk menuju ke peraduannya meninggalkan Permaisuri Isabella bersama Medicak. Suaranya sedikit parau. Permaisuri Isabella hanya tercengang.

"Ada apa kamu ke sini?" ujar Permaisuri Isabella sambil mengangkat tubuh kecil Medicak. Bocah biru itu diletakkan di atas ribanya. Dia menganggap Medicak seperti anaknya sendiri memandangkan dia masih belum dikurniakan cahaya mata oleh Yang Maha Esa.

"Baginda sultan berkenan hendak bertemu Sang Permaisuri. Ada keperluan mendesak ujarnya," ujar Medicak. Tutur katanya kedengaran seperti Bahasa Melayu klasik. Dia sudah mampu berasimilasi dengan bahasa dalam yang manusia tuturkan. Permaisuri Isabella terkidum kecil.

"Sultan yang mana satu?" tanya Permaisuri Isabella lagi. Tangannya dimain-mainkan pada balung panjang Medicak.

"Keduanya, Sang Permaisuri," jawab Medicak.

Permaisuri Isabella menarik nafas panjang. Jika kedua-dua sultan memanggilnya datang mengadap, maksudnya ada perkara penting yang perlu dibicarakan antara mereka bertiga.

Sebagai pemimpin tertinggi Estodania, beban yang digalaskan di bahu mereka sangat berat kerana mereka bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kemakmuran seluruh Nusantara, bukan sahaja Estodania. Mujurlah mereka masih berpegang kepada tali Allah sebagai penguat semangat. Tindakan yang mereka lakukan kini, sebagai satu jihad untuk menjaga kesucian Islam dan menyelamatkan iman-iman manusia dan jin daripada terpesong.

Estodania, hanyalah satu kota yang manusia dan jin wujudkan sebagai manifestasi penerus dakwah Rasulullah. Menyebarkan Islam ke seluruh dimensi dan mengumpul sebanyak yang mungkin manusia-manusia dan jin-jin yang beriman kepada Allah. Ancaman agama dasawarsa kini terasa sangat mencabar. Permaisuri Isabella jadi semakin kagum dengan ketabahan dan kegigihan Rasulullah S.A.W dahulu ketika Islam mula bertapak di bumi ini. Kesungguhan para sahabat menyebarkan Islam ke segenap alam turut dijadikannya teladan untuk meneruskan ibadah yang sangat tinggi nilainya itu. Sebagai hamba, Permaisuri Isabella juga mendambakan redha Allah, pahala dan Syurga. Kemakmuran dan kemajuan Estodania kini, tidak akan berlaku tanpa redha dan pertolongan daripada Allah. Untuk membangunkan kota semaju Estodania, sudah pasti banyak halangan yang terpaksa ayahanda-ayahandanya hadapi. Mereka hanyalah penerus legasi lama dahulu.

"Medicak, kamu tidak perlulah panggil bonda dengan Sang Permaisuri. Panggilan itu panjang sangat. Kamu tidak penat menuturkannya?" ujar Permaisuri Isabella. Pesanan yang disampaikan Medicak diabaikan sebentar.

"Jadinya? Medicak harus panggil apa?" tanya Medicak. Kakinya yang tergantung digoyang-goyangkan. Usapan tangan Permaisuri Isabella pada balungnya terasa mendamaikan. Dia rasa sangat disayangi oleh permaisuri dua bangsa itu.

"Panggil bonda cukup. Kamu seperti anakanda bonda. Lagipun kamu lebih lama hidup di Estodania ini berbanding bonda," ujar Permaisuri Isabella.

Medicak didukungnya seperti seorang bayi. Tubuh Medicak yang kecil itu terasa ringan dan mudah dimuatkan dalam kendongan tangannya. Mungkin juga kerana asas penciptaan Medicak lebih ringan , jadi jisim badannya tidak seberat manusia biasa. Padahal, usia Medicak jauh lebih tua berbanding dirinya. Kakinya diatur menuju ke singgahsana istana untuk bertemu dengan kedua-dua sultan Estodania. Sebentar lagi, perkhabaran gempar pasti akan didengarinya.

 Sebentar lagi, perkhabaran gempar pasti akan didengarinya

.

.

NOTA PENULIS :

Hikayat Estodania ini sangat saya sayangi. Perancangan saya untuk karya ini sangat panjang.. tetapi saya agak kecewa sikit nanti jika karya ini kurang mendapat sambutan. Maka, dengan itu saya dengan rendah hati minta tolong pembaca untuk vote, drop komen dan follow agar karya ini lebih disedari kewujudannya.

Kelak... saya akan masukkan cerita-cerita lanjut untuk membawa anda semua mengembara lebih jauh dalam Estodania... Tolong saya untuk vote dan hebahkan ye... (psst! Dalam 10k bacaan pun saya sangat bersyukur dah..) Terima kasih. 


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Awan Wafdan