Home Novel Thriller/Aksi KAD LIAR
KAD LIAR
#mystrill
21/11/2019 19:41:19
24,977
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 2
[5 of a Kind]

Ace merenung siling biliknya – lama. Terkebil-kebil matanya memandang siling putih itu sambil sesekali dia menghela nafas panjang. Dia berkalih pula ke kiri, kali ini merenung kosong dinding sebelum dia berkalih ke kanan. Dan akhirnya dia kembali memandang siling. Kedua-dua belah tangannya diletakkan di belakang kepala sebagai bantal. Otaknya tidak berhenti bekerja sejak tadi. Berfikir dan terus berfikir.

    “Ah… tak mungkin!” dia menggaru kepalanya yang tidak gatal dengan kasar. Kedua-dua belah tapak tangannya diraup ke muka. Ace menarik nafas dalam-dalam, sebelum menghembusnya kasar. Berasa sangat rimas. Dia bingkas bangun dan duduk di hujung katil. Sekali lagi dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Kepalanya benar-benar serabut dengan persoalan yang tiada jawapan yang bermain di dalam fikirannya sejak tadi.

    Dia akhirnya bangun dari katil itu dan melangkah perlahan-lahan ke dapur. Dengan mood yang berat dia membuka pintu peti sejuk dan mengeluarkan sebotol air minuman. Penutup botol itu dibuka sebelum dia meneguk air minumannya itu perlahan-lahan. Disekanya lebihan air yang mengalir di tepi bibirnya dengan belakang tangan. Lambat-lambat Ace melangkah ke ruang tamu dan melabuhkan punggungnya di atas sofa sambil tangannya meletakkan botol minuman itu ke atas meja. Untuk kesekian kalinya dia menghela nafas berat.

    Dia memejamkan matanya sambil mengiringkan kepalanya ke sisi. Perlahan-lahan dia membuka matanya dan terpandangkan sebuah bingkai gambar yang tersadai di atas meja di sisi sofa itu. Tangannya mencapai bingkai gambar itu dan matanya merenung lama foto yang terselit di balik bingkai di tangannya. Dia mengertap bibir. Sean! Nama itu meniti di bibirnya.

    Setahun sudah berlalu sejak kematian Sean. Dan setahun jugalah Kid mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Sean bagaikan abang kandung mereka, walhal mereka berlainan agama dan bangsa. Persahabatan yang terjalin selama lima tahun itu bagaikan terputus begitu saja kerana masing-masing mengikut haluan sendiri. Bagi Ace, dia bukan saja kehilangan Sean tapi juga Kid. Hingga sekarang kes kematian Sean tergantung tanpa jawapan. Tiada seorang pun yang boleh dijadikan suspek. Kid pula jarang benar menghubunginya. Ace memicit kepalanya yang terasa berdenyut.

    Dia menyandarkan kepalanya ke sofa – mendongak merenung siling agak lama. Tangan kanannya diletakkan ke atas dahi. Entah mengapa malam itu terasa sangat panas, walaupun dia hanya bersinglet dan berseluar pendek. Sudahlah hujan turun renyai-renyai di luar sana. Itu juga tidak mampu menyejukkan hatinya. Mungkin juga kerana perasaannya yang berkecamuk saat itu, yang membuatkan dia resah dan gelisah. Apa yang pasti, Ace tidak dapat melupakan keadaan mayat siang tadi. Cara kematiannya, tempat kejadian dan bukti-bukti yang ditinggalkan di sekitar tempat mayat itu dijumpai benar-benar sama dengan kejadian yang berlaku setahun yang lalu. Entah mengapa Ace yakin pembunuhan itu dilakukan oleh orang yang sama. Terutama sekali kerana buah catur yang dijumpainya dalam poket baju mangsa.

    Ace memutarkan kembali ingatannya. Cuba mengingati sesuatu. Ketika itu mereka sedang menyiasat satu pembunuhan bersiri yang dilakukan secara berkumpulan. Setiap mangsa pembunuhan mereka akan menerima sebiji buah catur bentuk pawn berwarna hitam dengan huruf ‘J’ terukir pada bahagian kepalanya. Mayat-mayat mangsa mereka ditemui dalam keadaan kepala yang sudah bercerai dari badan. Ace yakin, kematian Sean juga ada kaitan dengan mereka. Malangnya, selepas kematian Sean kumpulan itu seolah-olah menghilangkan diri. Tiada lagi pembunuhan seumpanya. Dan bukti-bukti untuk mencari mereka seolah-olah hilang begitu saja. Mereka hilang tanpa jejak. Sudahlah modus operandi mereka hingga sekarang masih tidak diketahui. Hinggalah pagi ini, pembunuh itu seolah-olah kembali ‘beroperasi’.

    ‘Ah… Serabut!’ Gerutu Ace dalam hati. Dia mengertap bibir. Tiba-tiba saja dia teringatkan Kid. ‘Agak-agaknya Kid tahu tak pasal ni?’ getusnya. Dalam diam dia sedikit risau mengenangkan reaksi yang akan Kid berikan apabila berita tentang kes itu sampai kepadanya. ‘Aku kena jumpa dia’. Dan tangannya menggenggam erat foto di tangannya itu. Tidak pasti sama ada dia harus meneruskan niatnya itu atau tidak.

*

Kid begitu fokus dengan telefon bimbitnya hingga berkerut-kerut keningnya. Mulutnya juga termuncung dan sesekali dia mengertap bibirnya. Badannya kadangkala disengetkan ke kiri dan kanan. Bunyi enjin motorsikal mengetuk gegendang telinganya melalui earphone yang tersumbat di telinganya. Misinya – mengatasi point masa game itu. ‘Uh… sikit lagi!’ gerutunya sendirian, tidak puas hati apabila ‘perlumbaan’nya mati di situ. Mulut termuncung kerana kalah. ‘Tak guna.’ Gerutunya perlahan sambil menghela nafas panjang.

    Satu tepukan di bahunya membuatkan Kid terkejut besar. Laju saja dia mengangkat muka dan berpaling. Memandang sekujur tubuh yang berdiri di sebelahnya sambil tersenyum lebar. Wajah Kid berubah terus, spontan dia membuang earphonesnya lalu berdiri. Kid terus mendakap tubuh lelaki itu dan lelaki itu pula menepuk-nepuk belakangnya beberapa kali saat dia membalas pelukan Kid itu. Mereka meleraikan pelukan itu dan tanpa dipelawa lelaki itu terus menarik kerusi lalu melabuhkan punggungnya di hadapan Kid. Sempat juga lelaki itu menepuk bahu Kid sebelum duduk.

    “Kau sihat?” Soalnya. Laju saja Kid menganggukkan kepalanya sambil tersengih.

    “Tapi, seriously bro. Kenapa tiba-tiba nak jumpa aku ni? Bukan kau sibuk ke?” Soal Kid pula. Tahu yang temannya itu terlalu sibuk dengan kes-kes yang berlambak tidak selesai. Tambahan pula, ada saja kes baru yang perlu diberi perhatian olehnya. Memang penatlah otak nak berfikir tentang semua itu. Kerja sampai mati.

    Ace hanya mampu tersenyum nipis. Serba salah juga untuk berterus-terang pada Kid tentang tujuannya yang sebenarnya. Tapi sampai bila dia mahu berahsia? Ini bukan drama yang selalu cuba berselindung di balik rahsia yang akan menimbun di setiap episode setiap minggu. Dengan berhati-hati Ace membelek akhbar yang diusungnya sejak tadi sebelum melipatnya. Kid hanya memandang hairan tingkah temannya itu tanpa berkata apa-apa. Sedikit hairan sebenarnya dengan reaksi yang terlukis pada wajah temannya itu.

    “Kau dah baca berita hari ni?” Soal Ace tiba-tiba. Perlahan saja suaranya pada pendengaran Kid. Kid hanya menggelengkan kepalanya sambil matanya memandang kosong akhbar yang disuakan kepadanya oleh Ace. Lambat-lambat Kid menyambut huluran Ace itu, masih digaru dengan perasaan hairan dengan sikap dan tingkah Ace.
    “Baca part ni.” Beritahu Ace sambil jarinya menunjukkan ke arah satu artikel yang terpampang di dada akhbar itu. Cukup besar tajuk yang tertulis di situ.

    Kid hanya mengikut saja dan menundukkan kepalanya. Matanya bergerak dari kiri dan kanan membaca tajuk berita itu. Wajah Kid berubah terus menjadi pucat lesi. Matanya membulat dengan kening yang sedikit berkerut. Cepat saja dia mengangkat muka memandang Ace yang hanya membatu di hadapannya tanpa suara. Tiada segaris senyuman pun yang terukir di bibirnya. Kid meneguk liurnya sebelum dia kembali tunduk membaca artikel itu. Agak lama matanya melekap pada akhbar itu, seolah-olah cuba menghadam berita yang sedang dibacanya. Terketar-ketar tangan Kid saat dia meletakkan kembali akhbar itu ke atas meja. Pandangannya di alihkan ke satu arah. Tidak mahu bertentang mata dengan Ace. Seolah-olah ada sesuatu yang sedang dirahsiakannya.

    “Kid…!” panggil Ace. Namun temannya itu tetap membisu. Kid menutup mulutnya dengan belakang tangan sambil menarik nafas dalam-dalam. Seolah-olah sedang cuba mengumpul kekuatan.

    “Bagitahu aku… semua ni tak mungkin, kan? Ni berita palsu, betul tak?” soal Kid bertubi-tubi. Perlahan saja suaranya pada pendengaran Ace. Antara dengar dengan tidak. Lambat-lambat dia berpaling memandang Ace yang jelas kelihatan serba salah.
    “Tak mungkin benda yang sama berlaku sekali lagi.” Katanya perlahan. Suaranya sedikit bergetar.

    Lama Ace membisu. Dia menundukkan kepalanya sebelum mengangkat muka – memandang Kid. Wajah temannya itu benar-benar kusam. Matanya kelihatan tidak bercahaya seperti tadi. Jari-jemarinya digenggam erat dan jelas pada pandangan Ace ada getaran pada jari-jari Kid itu.

    “Aku pun harap benda yang sama, Kid. Tapi cara kematian dia, bukti-bukti yang tertinggal. Memang menunjukkan dorang yang buat. Tambah-tambah lagi dengan pawn yang jadi signature dorang tu. Semuanya macam…”

    “Macam kumpulan yang bunuh Sean.” Belum pun sempat Ace menghabiskan kata-katanya, Kid terlebih dahulu menghabiskannya. Serba salah untuk Ace mengakuinya tapi itulah hakikat. Dia hanya mampu menganggukkan kepalanya – lemah.

    Mereka hanya membisu melayan perasaan sendiri. Ace hanya memandang tingkah Kid yang mula menggigit kukunya. Spontan dia menggelengkan kepalanya. Kid masih sama, tidak pernah berubah. Setiap kali dia dalam keadaan cemas atau risau dia pasti akan menggigit kukunya. Tabiat yang susah untuk dibuang. Dia mengertap bibir sebelum menghela nafas panjang.

    “Dengar sini, Kid. Dalam kes ni kau sorang je yang boleh tolong aku.” Kata-kata Ace memecahkan kebisuan antara mereka. Kid memandang wajah Ace dengan ekor mata. Dia faham benar dengan maksud di sebalik kata-kata Ace itu. Dia hanya mendiamkan diri tidak memberi reaksi terhadap kata-kata Ace.
    “Tolong aku siasat tentang kumpulan ni.”

    Kid tetap memilih untuk membisu. Dipicitnya kepala sendiri. Badannya disandarkan pada kerusi sambil dia menarik nafas dalam-dalam. Dia memandang sekelilingnya. Entah apa yang bermain di fikirannya. Ace hanya memandang Kid – menunggu jawapan dari temannya itu.

    “Kid, aku tahu kau still tak dapat lupakan apa yang dah jadi malam tu. Tapi tolonglah. Demi Sean!” pujuk Ace. Kid diam lagi tanpa reaksi. Ace mula menghela nafas panjang. Cuba bersabar.
    “Sampai bila kau nak lari? Apa yang kau nampak akan kekal dalam ingatan kau, tak kira berapa jauh kau lari. Dah sampai masanya untuk kau hadap masalah ni. Bukan kau sorang je yang kehilangan dia. Kita sama-sama kehilangan dia, Kid. Tak ke kau rasa kita patut tuntut bela atas kematian dia?” perlahan saja suara Ace, tetapi tetap tegas dengan pendiriannya. Suaranya penuh dengan pengharapan. Anak mata Kid dicarinya. Namun sejak tadi, Kid terus mengelak dari bertentang mata dengannya.

    “Kau tak faham, Ace. Kau tak tahu apa yang aku rasa. Hidup aku tunggang-langgang lepas apa yang jadi. Aku dah tak dapat tidur dengan lena. Setahun Ace, setahun! Aku masih tak dapat lupakan raungan dia. Setiap kali aku pejamkan mata, aku akan nampak apa yang jadi malam tu. Berulang-ulang! Setiap hari aku berharap aku dapat lupakan semua tu, tapi tak boleh. Dan sekarang kau nak aku hadap semua tu? Aku… aku tak sanggup!” perlahan saja suara Kid meluahkan rasa yang terbuku di hatinya sambil berpaling memandang tepat ke wajah Ace.

    Ace bungkam tatkala melihatkan reaksi pada wajah Kid saat itu. Reaksi yang sama dilihatnya pada malam Sean dibunuh. Mata Kid membulat, tangan kirinya memegang kepala sendiri. Nafasnya laju menderu. Dadanya berombak laju. Seolah-olah kejadian itu terbayang dan diulang tayang di ruang mata Kid. Ace kematian kata-kata. Dia menghulurkan tangannya, mahu mengejutkan Kid daripada berhenti mengingati kejadian itu tapi tangannya terhenti di situ. Ace tahu, tidak ada apa yang dapat dia lakukan untuk membantu temannya itu.

    “Kid…” perlahan saja nama itu meniti di bibirnya.













Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh #mystrill