Home Novel Thriller/Aksi KAD LIAR
KAD LIAR
#mystrill
21/11/2019 19:41:19
24,991
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 4
Matanya meliar ke kiri dan kanan – membaca setiap patah perkataan yang tertulis di dalam buku itu. Sesekali matanya juga akan merenung lama rajah yang terlukis di antara ayat-ayat yang tertulis di situ, cuba mengingatinya. Tangan kanannya laju menulis nota ringkas di atas sehelai kertas dan sesekali juga dia akan mengetuk-ngetuk pen di tangannya itu ke meja setiap kali dia sedang berfikir atau cuba mengingati nota-nota yang ditulisnya.

Pen biru di tangannya di letakkan di atas meja sebelum dia mencapai segelas air yang diletakkan di hujung meja. Perlahan-lahan dia meneguk minuman itu. Matanya meleret ke arah jam di dinding, hampir menginjak ke pukul 2.00 pagi. Dia menarik nafas dalam-dalam sambil kepalanya ditelengkan ke kiri dan kanan. Mahu menghilangkan rasa lenguh. Tak sangka yang hampir 3 jam dia menelaah mata pelajaran Kimia itu. Kalau bukan disebabkan peperiksaan yang semakin dekat, jangan haraplah dia akan menghadap buku begitu. Dia lebih senang keluar melepak atau tidur dari belajar.

    Tiba-tiba kedengaran bunyi daun pintu diketuk bertalu-talu dengan kuat. Rumah papan itu terasa bergegar kerana dentuman dari ketukan itu. Saat itu juga kedengaran derap tapak kaki berlari anak ke ruang tamu. Dia mengeluh. ‘Haih, balik dah malaun tu.’ Gerutunya dalam hati. Spontan dia menongkat dagu, dan matanya kembali ke arah buku rujukan di hadapannya. ‘Kejap lagi start lah drama melayu.’ Keluhnya – bosan. Sudah biasa dengan skrip yang sama hampir setiap malam. Dan scenenya juga sudah dapat diagaknya.

    “Kau pekak ke? Dari tadi aku ketuk pintu kau tak reti nak bukak?” kedengaran soalan itu. Suara seorang lelaki yang menengking dan meninggi nada suaranya.

    ‘Aku dah kata dah. Drama melayu dah start.’ Dia yang hanya tetap berkurung dalam bilik hanya menggaru kepala. Sedikit serabut. Tapi malangnya dia malas untuk keluar dan masuk campur. Lantaklah! Bukan masalah aku. Gerutunya dalam hati.

    “Maafkan saya, bang. Saya tertidur tadi.” Kedengaran suara ibunya membalas soalan itu. Perlahan saja suara wanita itu tapi masih dapat didengarinya dengan jelas.

    “Sudah. Aku lapar. Aku nak makan.”

    “Saya mintak maaf, bang. Saya tak masak hari ni. Barang dapur pun dah habis.” Terang ibunya. Suaranya masih lembut walaupun ditengking begitu.

    Dia masih memasang telinga – mendengar setiap perbualan di luar. Dia tersenyum sinis. Pehh… ingat drama je ada scene camni. Suasana di luar menjadi sunyi tiba-tiba. Dia kehairanan, tapi masih membatu di dalam bilik. Entah apa yang berlaku di luar sebenarnya. Dia mula pasang telinga, mahu mendengar dialog yang seterusnya.

    Tiba-tiba kedengaran bunyi barang jatuh dan serentak dengan itu bunyi kaca yang jatuh pecah berderai ke lantai. Dia tersentak. Spontan dia mengangkat muka. Tangan kanannya digenggam erat. Apahal tu? Tanpa berfikir panjang dia terus bangun. Pintu bilik di buka dan dia berdiri lama di muka pintu biliknya. Tercengang melihat ibunya yang terduduk di sisi kerusi kayu sambil menyeka darah yang mengalir di hujung bibir. Kaca dari cawan bertaburan di sebelahnya. Air kopi yang tertumpah dari cawan itu membasahi sedikit baju wanita itu dan selebihnya membasahi lantai kayu rumah papan itu. Serentak dua pasang mata beralih ke arahnya. Ibunya mengalihkan pandangan, seolah-olah tidak mahu berbalas pandangan dengannya.

    “Mak!” dia terus berlari mendapatkan wanita itu. Bahu dan tangan ibunya disentuh. Dia mengangkat muka, memandang lelaki yang masih berdiri di hadapan mereka. Wajah lelaki itu selamba saja, langsung tidak ada rasa bersalah yang terlukis pada mukanya. Lelaki itu merengus sambil mengukir senyuman sinis.
    “Pakcik dah hilang akal ke apa?” soalnya. Suaranya meninggi. Berang dengan reaksi dan tindakan lelaki itu. Walaupun dia tidak melihat apa yang berlaku, dari situasinya dia sudah dapat mengagak yang lelaki itu telah memukul ibunya. Dia tidak terlalu bodoh untuk tidak menyedarinya.

    “Weh, budak! Kau jangan masuk campur. Masuk!”    jerkah lelaki itu. Jari telunjuknya di arahkan ke bilik. Wajah lelaki itu merah padam.

    “Siapa pakcik untuk arah-arah saya? Ni rumah mak saya, pakcik tu menumpang je.” Balasnya. Perlahan suaranya tapi masih dapat didengari dengan jelas oleh lelaki itu. Nadanya cukup sinis dan menyakitkan hati. Lelaki itu merengus.

    Laju saja lelaki itu mendapatkan dua beranak tersebut. Derap kakinya yang berat dan kasar itu membuatkan lantai kayu itu bergegar. Tanpa belas kasihan rambut anak tirinya itu pegang dan ditarik kasar. Kepala pemuda itu terdongak. Spontan mulutnya mengaduh kesakitan. Kedua-dua belah tangannya memegang tangan lelaki itu erat. Dia bergelut cuba melepaskan diri dari terus membiarkan rambutnya ditarik begitu.

    “Kurang ajar punya budak. Mak kau tak ajar hormat orang tua ke, hah?” Bagaikan halilintar suara lelaki itu bergema dalam rumah usang itu. Terasa cukup membingitkan telinga.

    “Pakcik sendiri pun tak reti nak hormat orang.” Balas pemuda itu perlahan. Antara dengar dengan tidak, tapi ia cukup sinis. Dia tersenyum mengejek mendengarkan soalan lelaki itu. Langsung tidak berasa takut dengan renungan lelaki itu walaupun rambutnya masih direntap kasar.

    Sakit hati lelaki itu mendengarkan kata-kata itu. Dengan kasar dia melepaskan genggaman tangannya dengan menolak kasar kepala anak tirinya itu. Baru saja pemuda itu mahu berpaling menghadap lelaki itu, satu tamparan yang kasar singgah di mukanya hinggakan pemuda itu tertolak ke belakang. Dia hilang keseimbangan lalu jatuh terduduk. Pemuda itu hanya membisu sambil menarik nafas dalam-dalam.

Previous: BAB 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.