Home Novel Thriller/Aksi KAD LIAR
KAD LIAR
#mystrill
21/11/2019 19:41:19
25,005
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 3
[Flush]

¬“Dengar! Saya nak korang semua berhati-hati. Perhatikan suasana sekeliling kamu, dan be alert. Kita tak tahu dari mana mereka akan muncul dan bila mereka akan tiba. Jadi, jangan lalai. Kalau ada antara kamu yang nampak suspek jangan bertindak sendirian, hubungi rakan-rakan kita untuk back-up sebelum kita serbu mereka. Kita tak tahu siapa mangsa kita, tapi ingat lindungi dia.” Tegas suaranya memberi arahan. Cukup jelas. Hampir serentak anak-anak buahnya menyahut arahan itu. Dia memandang wajah-wajah di hadapannya seorang demi seorang. Wajahnya tetap serius.

    “Baik! Kita berpecah sekarang.” Katanya lagi sambil menganggukkan kepalanya.

    Dengan tangkas anggota-anggota polis itu berpecah. Masing-masing melangkah melalui setiap lorong-lorong di belakang bangunan-bangunan itu mengikut laluan yang telah ditentukan sebelum mereka tiba di situ. Ace dan Kid saling berpandangan dan menganggukkan kepala masing-masing, memberi semangat kepada sesama sendiri. Mereka berpaling dan melangkah. Baru saja beberapa tapak, langkah mereka terhenti. Mereka berpaling, memandang ke arah ketua mereka yang sudah membelakangi mereka.

    “Sean!” Panggil Ace. Sean yang baru ingin mengatur langkah itu, terhenti dan berpaling memandang ke arah mereka berdua. Ace tersenyum nipis dengan wajah yang sentiasa serius.

    “Kau pun berhati-hati.” Beritahunya.

    Sean hanya tersenyum, membuatkan matanya yang sememangnya sepet itu bertambah sepet. Dia menganggukkan kepalanya sekali. Dipandangnya pula Kid yang masih berdiri di sebelah Ace. Temannya itu mengangkat ibu jarinya sambil tersengih. Sempat juga dia mengenyitkan matanya.

    “Kita jumpa nanti.” Sean terus berpaling dan membelakangi mereka. Ace dan Kid hanya mengangguk saja sebelum mereka ikut sama berpaling dan melangkah mengikut laluan masing-masing. Sempat juga mereka melagakan buku lima sebelum berpecah. Tanpa mereka sedar keletah mereka itu diperhatikan oleh Sean sambil tersenyum.

*

Ace mendongak. Memandang ke arah langit yang sudah menurunkan air hujan renyai-renyai. Cahaya bulan sudah ditutupi dengan kepulan awan yang tebal. Hanya cahaya lampu yang menerangi jalannya. Dipandangnya pula jam di pergelangan tangan. Hampir menginjak ke pukul 2.00 pagi. Suasana di sekitarnya sunyi sepi dan sayu sekali. Yang kedengaran hanyalah rintik air hujan yang membasahi bumi dan sesekali angin yang bertiup perlahan. Terasa ruang tempat dia berdiri itu luas sekali walaupun banyak bangunan-bangunan menghimpit lorong kecil itu. Dia menyusuri lorong itu dengan tenang. Matanya meliar ke sana sini dan badannya pula sentiasa rapat pada dinding bangunan-bangunan tersebut. Bau busuk dari tong-tong sampah yang terdedah di belakang bangunan itu menusuk lubang hidungnya. Entah berapa kali dia menutup hidung dan mulutnya kerana tidak tahan dengan bau yang memualkan itu.

    Entah dari mana, kedengaran bunyi enjin motor menderum kuat tidak jauh darinya. Ace tersentak. Spontan dia berdiri tegak. Dan tiba-tiba saja jantungnya berdegup laju. Dapat dia rasakan ada sesuatu yang tidak kena. Ada sesuatu yang akan berlaku. Tapi dia tidak pasti apa. Tidak juga pasti sama ada sesuatu yang baik atau yang buruk. Dia mula berasa resah. Ace terus membuka langkah, mencari arah datangnya enjin motorsikal itu. ‘Harap-haraplah takde apa-apa yang buruk jadi pada dorang’. Ngomelnya sendirian. Otaknya ligat memikirkan keadaan Sean dan Kid. Dalam hati dia tidak berhenti berdoa untuk keselamatan mereka. ‘Ya Allah, tolonglah lindungi dorang.’

    Dia melangkah laju dari satu blok ke blok yang lain. Matanya juga meliar ke sana sini, mencari-cari kelibat suspek atau anggota-anggota polis yang lain, namun tiada siapa di situ melainkan dirinya. Langkah Ace terhenti apabila telinganya menangkap suara orang menjerit – lantang. Suara itu bergema disekitarnya. Sebelum kedengaran ngauman enjin motorsikal yang tiba-tiba saja kedengaran semula sebelum bunyinya sayup-sayup menghilang dalam kepekatan malam. Ace mengatur langkah kembali, semakin laju. Dia memasuki sebatang lorong, sebelum langkahnya mati lagi. Dadanya turun naik dengan nafas yang terasa singkat.

    Ace memandang tepat ke hadapannya. Tubuh Ace mula menggeletar. Bibirnya terketar-ketar. Ace cam benar sesusuk tubuh yang terduduk dalam keadaan tidak bermaya tidak jauh darinya itu. Dengan langkah yang tergesa-gesa dia mendapatkan tubuh itu. Pistol di tangannya dimasukkan kembali ke dalam sarung yang tersangkut di pinggangnya. Dengan wajah yang kerisauan dan kehairanan Ace melutut di sebelah tubuh itu. Dan dengan berhati-hati dia meletakkan tangannya ke atas bahu lelaki itu.

    “Kid!” panggilnya. Bahu Kid ditepuk beberapa kali, seolah-olah dia sedang mengejutkan temannya itu dari tidur.

    Kid hanya mendiamkan diri, tidak memberi sebarang tindak balas dengan panggilan Ace itu. Kepalanya tunduk dengan matanya memandang tepat ke hadapan. Tubuhnya menggigil hebat. Beberapa kali Kid menggelengkan kepalanya. Jari-jemarinya juga digenggam erat. Ace bertambah resah melihatkan reaksi Kid itu.

    “Weh, Kid! Kau dah kenapa?” Ace meninggikan suaranya, sambil tangannya menggoncang tubuh Kid – kuat.

    Bagaikan baru tersesar dari mimpi, Kid perlahan-lahan mengangkat mukanya. Memandang ke arah Ace yang masih berlutut di sebelahnya. Ace bungkam dan tubuhnya terkaku serta merta. Wajahnya juga menjadi tegang. Ace kematian kata-kata tatkala melihatkan reaksi yang terlukis pada wajah Kid saat itu. Mata Kid membesar dengan bibirnya menyeringai menampakkan baris giginya. Wajah temannya itu kelihatan pucat lesi seolah-olah darahnya telah dikeringkan.

    “Ehehe… Ace. Kau dah sampai? Bagitahu aku... semua ni prank, kan? Aku tengah bermimpi betul tak?” Soal Kid, perlahan saja suaranya. Dia ketawa sambil tangannya menekup sebelah mukanya. Dalam diam Ace berasa sedikit gerun dengan reaksi Kid itu. Jelas pada pandangan Ace yang Kid berasa dalam keadaan separa sedar dan kurang waras.

    “Apa benda kau merepek ni? Jangan buat lawaklah, Kid. Ni bukan masanya untuk lawak bodoh kau lah.” Soalnya. Nada Ace sedikit meninggi. Agak kurang senang dan sedikit marah dengan reaksi Kid itu. Namun Kid masih lagi ketawa menggila. Matanya terbuntang luas – memandang Ace yang dalam keadaan serba salah. Langsung tidak tahu apa yang harus dia lakukan terhadap temannya itu.

    Dengan terketar-ketar, Kid mengangkat tangannya dan menunjukkan ke satu arah dengan jari telunjuknya. Ace yang masih termanggu-manggu tidak mengerti hanya memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Kid itu. Dia hanya mampu memandang kosong sekujur tubuh yang terbaring beberapa meter dari mereka. Dia mengertap bibir sebelum kembali memandang ke arah Kid sekilas. Perlahan-lahan dia bangun dan melangkah ke arah tubuh itu.

    Tinggal beberapa tapak dari tubuh itu, perasaan Ace mula gelisah. Jantungnya kembali berdegup laju. Dia berpaling memandang Kid di belakangnya sekilas yang masih kaku di situ, sebelum kembali mengatur langkah perlahan ke arah tubuh kaku itu. Lututnya terasa lemah saat dia berdiri di sebelah jasad itu. Matanya membulat saat dia merenung jasad tidak berkepala di hadapannya. Dari baju yang tersarung pada tubuh itu, Ace cam benar milik siapakah jasad tersebut. Spontan dia terduduk di situ. Dia meneguk liur yang terasa kelat dengan susah payah.

    Dengan terketar-ketar dia cuba menyentuh mayat di hadapannya itu, namun tindakannya terhenti setengah jalan. Tidak sanggup untuk menerima hakikat yang berlaku di hadapannya. Ace mengertap bibir. Tubuhnya terasa lemah dan tidak bermaya. Tiba-tiba kedengaran suara dari walkie-talkie yang dibawanya bertanyakan tentang lokasinya. Ace berdehem beberapa kali, cuba menenangkan dirinya sebelum menjawab panggilan itu. Dengan suara yang sedikit bergetar Ace memberitahu lokasinya. Sempat juga dia memberitahu mereka tentang situasi di kawasan itu dan juga tentang mayat tanpa kepala di hadapannya itu. Tak lama kemudian kedengaran suara riuh rendah anggota-anggota polis lain yang semakin menghampirinya. Ace pula masih terduduk di situ tidak berganjak saat kumpulan itu sudah pun berkumpul di situ.

    “Ace…!” Kedengaran namanya dipanggil oleh salah seorang dari rakan sekerjanya. Saat itu juga bahunya ditepuk perlahan. Ace hanya membisu, tidak memberi sebarang reaksi. Dia hanya tunduk memandang kosong jasad di hadapannya. Bibirnya bergetar.

    “Telefon balai untuk bantuan.” Kedengaran arahan itu dikeluarkan. Entah siapa yang memberi arahan pun Ace tidak tahu, malahan dia malas untuk ambil tahu. Fikirannya kosong, melayang jauh.

    Cahaya kilat memancar tiba-tiba. Serentak dengan itu kedengaran guruh berdentum kuat di langit. Kid yang hanya membatu sejak tadi tiba-tiba saja menjerit, bagaikan tersedar dari mimpi buruk. Dia berundur ke belakang sambil tangannya menekup telinganya erat. Rakan-rakan sekerjanya yang berada di sampingnya sedikit terkejut dengan jeritan Kid itu, kerana sejak tadi mereka memanggilnya namun tiada reaksi. Ace yang juga terkejut dengan jeritan tiba-tiba Kid itu, cepat saja berpaling memandang temannya yang jelas dalam keadaan yang sangat tidak stabil. Laju saja dia bangun dan berlari mendapatkan Kid.

    “Hei, Kid! Get a hold of yourself!” Panggil Ace. Tangannya memegang kedua-dua belah bahu Kid dengan erat. Kid masih menjerit bagaikan orang gila. Air matanya laju membasahi pipinya.

    “Kid!” Sekali lagi Ace memanggil temannya itu dengan suara yang semakin meninggi, kali ini dengan kasar bahu Kid digoncangnya. Namun, reaksi Kid tetap sama.

Ace mengertap bibirnya sebelum dengan kasar dia menumbuk muka Kid hinggakan temannya itu terpaling ke kiri. Kid terdiam serta merta. Lama dia dalam keadaan begitu sebelum dia meletakkan tangannya ke pipi kirinya yang sudah mula disengat rasa sakit. Ace pula hanya memandang Kid, tidak tahu apa yang dia katakan kepadanya. Lambat-lambat Kid berpaling memandang ke arah Ace yang masih merenungnya dengan pandangan berbaur. Air matanya semakin laju membasahi pipinya. Spontan lengan Ace dipegangnya erat. Bahunya terhenjut-henjut menahan esak.

“Sean…!” nama itu meniti di bibirnya – perlahan saja. Antara dengar dengan tidak. Ace menggigit bibir sendiri sambil memalingkan mukanya. Tidak sanggup untuk membalas pandangan mata Kid yang merenung tepat ke matanya. Dan dia cuba untuk berlagak kuat di hadapan Kid walaupun jauh di sudut hatinya, dia berasa sangat lemah. Ditahannya air matanya daripada mengalir.

“Aku patut selamatkan dia. Tapi aku tak berdaya. Aku biarkan dia mati.” Kedengaran suara Kid berkata perlahan. Suaranya benar-benar lemah, penuh dengan penyesalan. Ace berpaling memandang Kid yang sudah tunduk. Esakannya semakin menggila. Ace sebak. Spontan tubuh Kid diraihnya dan dia memeluk Kid erat. Tangannya menepuk-nepuk kepala Kid – perlahan. Cuba menenangkan temannya itu. Hujan turun semakin lebat dan membasahi mereka.

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.