Home Novel Thriller/Aksi KAD LIAR
KAD LIAR
#mystrill
21/11/2019 19:41:19
25,001
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
PROLOG
Novel ini merupakan karya yang bertanding dalam Pertandingan Menulis Novel Thriller anjuran Buku Prima.

Penulis : ZATI HANANI

PROLOG

Telinganya berasa bingit dengan bunyi muzik yang cukup memekakkan itu. Terasa seolah-olah ada pembesar suara yang sengaja dipasang berdekatan dengan telinganya dengan volume yang dipasang semaksima boleh. Gegendang telinganya berdenyut kerana muzik instrumental versi heavy metal itu. Perlahan-lahan dia membuka matanya dengan bersusah-payah. Kepalanya berasa sangat berat dan berdenyut-denyut. Dia mengerang perlahan sambil dia mengangkat tangannya, mahu memegang kepalanya sendiri namun tindakannya mati di situ. Dia membuka matanya luas-luas sedikit terkejut, bilik itu suram saja dengan cahayanya kemerahan dari lampu yang dipasang di satu sudut bilik tersebut. Dan dalam kesamaran itu dapat dia rasakan tangannya yang terikat di kerusi. Kakinya juga yang terikat kemas pada kaki kerusi itu turut membataskan pergerakannya.


Lama dia cuba menganalisa keadaan sekitarnya ketika itu. Cuba mengingati kembali apa yang sudah berlaku. Namun ingatannya samar-samar sahaja. Dia tidak pasti tentang apa yang telah berlaku dan bagaimana dia boleh berada di situ. Langsung tidak dapat mengingati walau satu apa pun. Aku kat mana ni? Soalnya pada diri sendiri, hanya dalam hati. Dengan spontan dia cuba melepaskan dirinya, tapi ikatan pada pergelangan tangan dan kakinya cukup kemas dan utuh. Beberapa kali dia cuba menggerakkan ikatan pada pergelangan tangannya namun tidak berjaya melonggarkan ikatan itu. Akhirnya, dia hanya mampu menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembusnya lambat-lambat – cuba untuk menenangkan diri-sendiri supaya dia dapat berfikir dengan tenang dan rasional.


Kedengaran satu suara mengerang perlahan di sebelahnya, dan cepat saja dia berpaling ke sebelah kirinya. Matanya sedikit membulat tatkala terpandangkan sesusuk tubuh yang juga terikat di kerusi sepertinya. Dalam kesamaran itu, dia cam benar milik siapakah tubuh kurus itu. Dia cuba memanggil nama temannya itu, namun suaranya tersekat di kerongkong. Temannya itu tersedar dari pengsan, seperti dirinya temannya itu cuba untuk memegang kepala sendiri, namun tidak berjaya. Lelaki itu berpaling, memandangnya dengan pandangan hairan. Kedua-duanya benar-benar dalam keadaan keliru.


“Uh… oh…!? Korang dah sedar?” kedengaran satu suara menegur. Nadanya cukup ceria pada pendengaran mereka. Suara yang agak biasa mereka dengar. Saat itu juga bunyi muzik yang memekakkan itu diperlahankan. Serentak mereka berdua mengangkat muka, berpaling ke arah datangnya suara itu yang muncul dari balik kegelapan.

Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham