Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
105,797
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 21

MAKAN MALAM DI RUMAH LAYLA

Ilya menghela nafas penuh kelegaan sambil menyandar di sofa. Layla turut tersandar kekenyangan di sebelah Ilya. Perutnya yang sudah penuh diisi diusap perlahan. Sudah lama dia tidak makan sepuas itu malam ini.

Pada hari ini, kedua-dua ibu bapa Layla, Dr. Safira dan Dr. Athari tidak berkerja on-call pada waktu malam. Oleh itu, bolehlah mereka makan bersama pada malam itu. Malah, kedua-dua abang dan kakaknya iaitu Raim dan Lydia turut berada di rumah. Kini mereka sedang melanjutkan pelajaran di menara gading.

Abangnya Raim mengambil bidang Biokejuruteraan, sementara kakaknya mengambil bidang Bioperubatan. Raim dan Lydia sedang bercuti semester sekarang. Oleh sebab itulah mereka sekeluarga boleh berkumpul pada malam ini. Bukan senang untuk mereka sekeluarga menghabiskan masa bersama. Masing-masing sibuk dengan urusan.

Jadi, mereka mengambil peluang keemasan ini untuk menyediakan makan malam yang istimewa pada malam ini. Disebabkan Ilya agak rapat dengan keluarga Layla, Dr. Athari bercadang untuk mengajak Ilya makan bersama dengan mereka. Layla faham bahawa keluarga Ilya sekarang agak berantakan dengan masalah yang menimpa mereka.

Sekurang-kurangnya, Ilya dapat rasakan semula kehangatan kasih sayang sebuah ikatan keluarga. Itu apa yang difikirkan Layla dan Dr. Athari. Akan tetapi bagi Ilya, itu hanyalah akan menambahkan lagi kedukaan dan kesakitan yang bersarang di hatinya. Dia hanya mampu melihat kebahagiaan keluarga itu dari jauh. Bagi Ilya, dia hanyalah orang asing.

"Abang! Janganlah ambil puding Layla!" Teriakan Layla itu menyebabkan Ilya tersentak daripada lamunannya.

Spontan Ilya memandang ke arah Layla yang sedang berdiri di sisinya. Dia dilihat sedang mengembungkan pipinya sambil memandang ke arah Raim. Kedua-dua tapak tangannya digenggam. Riak wajahnya menunjukkan kemarahan.

Raim yang mengambil semangkuk puding milik Layla hanya melemparkan pandangan penuh mengejek. Sengaja dia mengusik adik bongsunya itu.

"Ala ... bukan selalu pun abang usik adik manja abang ni. Lagipun, puding tu Layla biarkan je tak terusik atas meja, jadi abang ambillah. Ingatkan Layla taknak," usik Raim.

"Layla belum habis makan lagilah. Tadi, Layla kenyang sangat," terang Layla.

"Kalau macam tu biar abang tolong habiskan," usik Raim lagi.

Layla cuba untuk mencapai semangkuk puding yang masih berada dalam tangan abangnya itu. Raim pula mengangkat mangkuk puding itu setinggi yang boleh supaya adiknya tidak dapat mencapai puding tersebut. Layla pula agak rendah. Susahlah bagi gadis itu untuk merampas kembali puding miliknya. Layla terlompat-lompat untuk mengambil puding itu.

Ilya yang memerhatikan gelagat dua adik-beradik itu hanya mampu mengukir senyuman pahit.

'Lihatlah mereka. Bahagianya mereka. Alangkah bagus kalau keluarga aku macam tu juga. Tapi mereka adalah mereka, dan aku adalah aku. Tak mungkin aku akan jadi sebahagian ahli keluarga mereka. Aku tetap orang asing. Tidak! Sekalipun tidak!' getus hati Ilya sambil memerhatikan sahabatnya sedang bergurau senda dengan abangnya.

Sakit. Sakit. Sakit. Hatinya berasa benar-benar sakit sekarang.

"Abang! Layla! Kalau mangkuk tu pecah nanti korang kena kemas." Datang Lydia dari dapur memberi amaran kepada mereka berdua.

Mendengarkan amaran itu, Layla dan Raim terus menghentikan pergaduhan mereka berdua. Kedua-duanya terus berpaling ke arah Lydia, yang masih tercegat di muka pintu dapur sambil bercekak pinggang. Gerun mendengar amaran itu. Sekalipun nada yang dituturkan Lydia agak mendatar, tetapi itu sudah cukup untuk menerbitkan rasa gerun dalam diri mereka. Anak tengah dalam keluarga itu seperti ada aura pembunuh yang keluar dari tubuhnya.

Raim yang masih gerun dengan adik perempuannya itu, terus memberi semula puding kepada Layla. Layla pula menerima puding itu dengan tangan yang terketar-ketar. Mata masing-masing masih tertancap pada Lydia.

'Haha, mesra betul tiga beradik ni,' desis Ilya dalam hatinya sambil berpaling ke arah lain.

"Mereka berdua tu, buat malu je. Ada tetamu dalam rumah pun masih nak gaduh lagi," omel Lydia sambil berjalan semula ke dapur.

Selepas melihat Lydia berjalan kembali ke dapur, Raim dan Layla berbalas pandangan. Mereka berdua senyap seketika sebelum kembali duduk di sofa. Layla duduk di sisi Ilya. Raim pula duduk di hadapan dua sahabat baik itu.

Ilya memalingkan semula wajahnya ke hadapan. Menghadap Raim. Lelaki itu berambut biru gelap, sama seperti Lydia. Hanya Layla sahaja berambut biru cair. Sementara itu, ibunya berkongsi rambut berwarna biru cair seperti Layla. Hanya bapanya sahaja mempunyai rambut berwarna hitam. Pendek kata, warna rambut keluarga itu didominasi dengan warna biru.

"Ilya kan, nama kamu?" Raim membuka topik perbualan.

"Ya," jawab Ilya ringkas lagi pendek.

"Kamu satu kelas dengan Layla, kan?" soal Raim lagi. Layla di sebelah hanya memerhati.

"Ya," balas Ilya lagi. Dia malas memanjangkan bicara.

"Hmm ... apa lagi nak tanya ya?" Raim sudah mati akal untuk meneruskan perbualan. Dia terasa janggal pula dengan gadis itu. Gadis itu nampaknya kurang mesra dalam perbualan.

"Kakak kamu ada dua orang, kan? Mereka dah berpunya ke? Kalau kosong lagi, bolehlah saya jadi abang ipar," usik Raim dengan selamba sambil mengenyit mata.

Ilya berasa agak terkejut dengan usikan Raim yang amat tidak dijangka itu. Melopong dia seketika. Layla pula sudah melemparkan renungan tajam.

"Ish, abang ni. Semua orang abang nak kebas," marah Layla secara tiba-tiba.

"Eh?" balas Raim kepada Layla.

'Dah kenapa dengan Layla ni. Sama je kakak dengan adik,' getus hati Raim. Dia mula cuak dengan renungan tajam yang dilemparkan adiknya.

"Abang ipar? Fuh! Tak payahlah dengan kakak saya tu. Seorang tu macam singa. Seorang lagi tu pula, dunia dah terbalik pun masih tak nampak bayang," gerutu Ilya secara tiba-tiba.

"Eh? A ... abang gurau je," ujar Raim sebelum ketawa terpaksa demi meredakan ketegangan yang terbentuk secara tiba-tiba. Layla pula sudah terkedu di sebelahnya.

'Ni lagi seorang. Takut aku dibuatnya. Aku gurau je. Perempuan memang menakutkan kalau marah,' luah Raim di dalam hati. Bibirnya masih mengukirkan senyuman terpaksa. Masih cuba untuk meredakan ketegangan.

Setelah menuturkan kata-kata itu tadi, Ilya terus diam membatu. Dia tidak berminat untuk berbicara dengan sesiapapun pada saat ini. Dalam hatinya, terbit rasa cemburu akan kemesraan yang ditonjolkan adik-beradik itu.

"Ilya...," panggil Dr. Athari yang telah pun berada di sisinya.

Ilya berpaling ke arah punca suara. Kelihatan Dr. Athari sedang melirikkan senyuman manis buat dirinya. Doktor yang merawatnya itu terus melabuhkan punggung di salah sebuah sofa yang berada di situ. Ilya pula melirikkan padangannya ke arah Dr. Athari, memerhatikan tindak-tanduk doktor itu sedari tadi.

"Kenapa buat muka ketat je ni? Ada masalah lagi ke?" soal Dr. Athari sebagai pemula bicara.

Ilya menghela nafas perlahan sebelum bersuara, "Kalau saya takda apa-apa masalah, saya takkan datang jumpa doktor, kan?"

Dr. Athari ketawa kecil mendengar jawapan yang terpacul keluar dari bibir Ilya. Dia langsung tidak menjangka jawapan itu. Ilya pula terus mengekalkan riak wajah tanpa ekspresinya. Raim dan Layla yang menyedari kehadiran bapa mereka terus mengalihkan tumpuan masing-masing. Sedia mendengar apa yang ingin disampaikan Dr. Athari.

Ilya ingin bersuara, menyampaikan apa yang dia rasa saat ini, tetapi dia tidak mampu meluahkannya. Lidahnya ibarat terkunci saat ini. Dia hanya pendamkan sahaja perasaannya.

"Terima kasih. Selama ni saya dah banyak menyusahkan kamu semua sekeluarga. Maafkan saya pagi tadi, saya terlampau mengikut emosi." Ilya mula berbicara. Hanya itu sahaja yang mampu dilafazkannya saat ini.

Raim dan Layla hanya diam mendengar tutur bicara Ilya. Dr. Athari pula menyimpulkan senyuman manis di bibirnya.

"Sama-sama. Itu memang tanggungjawab saya. Lagi satu, saya tak boleh biarkan kamu terus-menerus bersangka buruk dengan kami di bidang perubatan. Saya nak kamu faham, yang kami tiada niat lain selain ingin melihat pesakit yang kami rawat kembali sembuh," terang Dr. Athari dengan berhati-hati.

'Dah banyak kali dah orang cakap dengan aku macam tu. Sampai dah naik hafal dah. Masalah yang menimpa keluarga aku ni, Dr. Athari pun tak mampu nak tolong. Malah, tiada siapa pun yang mampu tolong. Aku bukan taknak percaya mereka, tapi ... entahlah. Makin difikirkan makin serabut aku dibuatnya,' bicara Ilya di dalam hatinya.

"Ya, saya faham tu. Tak perlulah doktor risaukan saya lagi pasal tu," bohong Ilya sengaja menyembunyikan perasaannya.

Hakikatnya, Ilya telah membulatkan tekad dalam hatinya, dia ingin mencari sendiri punca kenapa ahli keluarganya tidak mampu dirawat dengan sistem perubatan terbaik di Bandar Medici. Jika tiada doktor yang mampu memberikan jawapannya, biarlah dia sendiri yang mencarinya. Dia akan mencari jawapannya sampai dia berpuas hati.

Akan tetapi, setelah dia menemui jawapannya, apa yang ingin dia lakukan selepas itu? Apa yang dia ingin buktikan? Dia ingin mencari penyembuhan buat penyakit ibunya? Mampukah dia? Dia sendiri bukan seorang doktor. Apa yang patut dia lakukan selepas itu?

***

"Terima kasih Dr. Athari, Dr. Safira atas layanan yang diberikan. Terima kasih juga Layla kerana sudi menjemput saya ke mari," ucap Ilya yang telah pun berada di muka pintu.

"Ala ... Ilya dah nak balik dah ke?" soal Layla kedengaran seperti merajuk.

"Saya kena balik. Keluarga saya sedang menunggu di rumah. Lagipun ... saya tak cakap dengan mereka yang saya nak bermalam di sini. Nanti mereka risau pula. Saya pun ada banyak urusan kat rumah ni," balas Ilya menerangkan sebabnya kepada Layla.

"Okey, saya pulang dululah," beritahu Ilya sebelum berpaling dan berjalan meninggalkan perkarangan rumah itu.

"Baik-baik jalan," ucap Dr. Safira sambil melambai tangan ke arah Ilya. Ilya yang sudah semakin jauh meninggalkan perkarangan rumah itu, tidak membalas lambaian Dr. Safira. Dia sedikit pun tidak menoleh.

***

Angin malam bertiup perlahan sepoi-sepoi bahasa. Membelai lembut rambut Ilya yang panjang hingga ke punggung. Malam itu, suhu agak dingin daripada kebiasaan, seolah-olah ada sesuatu yang buruk bakal menimpa.

Seorang gadis berkulit putih pucat berjalan seorang diri pada malam hari. Rambutnya hitam, panjang mengurai hingga ke paras punggung dan iris matanya merah bak delima merekah, mungkin kelihatan agak menakutkan bagi sesiapa yang tidak mengenali gadis itu. Gadis itu boleh disalah sangka sebagai hantu.

Walau bagaimanapun, bagi penduduk Bandar Medici, mereka tidak mempercayai akan kewujudan mana-mana entiti yang tidak dibuktikan secara saintifik seperti hantu, spirit dan sebagainya. Jadi, kelibat Ilya yang berjalan seorang diri mungkin bukan menjadi masalah kepada mereka.

Akan tetapi, Ilya mengundang perhatian golongan spirit yang merayau pada malam hari di kawasan bandar itu. Ada sesuatu pada Ilya yang menarik perhatian makhluk itu semua. Entah apalah yang spirit itu semua mahukan pada gadis itu.

Ilya berjalan sendirian melewati sebuah lorong sunyi. Sunyi dan sepi tanpa sebarang aktiviti manusia. Tanpa disedari gadis bermata merah itu, beberapa ekor spirit sedang mengintai peluang untuk mengganggu gadis itu.

Ilya terus berjalan, berjalan dan berjalan. Satu langkah, dua langkah dan tiga langkah. Ilya terus berjalan sehingga langkah yang diaturnya mencapai 1000 langkah, namun dia masih belum ketemu juga jalan pulang. Entah kenapa, perjalanannya pada malam ini terasa jauh daripada kebiasaan.

'Pelik. Setahu aku, masa aku pergi tadi takdalah rasa sejauh ni,' getus hati Ilya.

Jalan-jalan yang dilaluinya tetap sama walau telah berapa kali dia melaluinya. Lorong-lorong yang dilaluinya kelihatan sama di mana-mana. Sebuah pohon rendang yang kelihatan menyeramkan pada malam hari, telah dilewatinya beberapa kali.

Ilya mematikan langkahnya sejenak. Dia memandang ke kiri dan kanan. Pemandangan di sekitarnya diamati. Jalan-jalan yang berada di sekelilingnya diperhatikan. Dia cuba mengagak di mana dia sedang berada sekarang.

'Macam ada yang tak kena je ni? Sah, aku dah tersesat dah ni,' simpul Ilya.

Ilya mendapat idea. Telefon pintar yang turut dibawanya bersama dikeluarkan dari dalam poket. Dia menghidupkan GPS pada telefon pintar miliknya. Dengan menggunakan GPS, Ilya ingin mengesan di mana kedudukannya sekarang. Dia juga ingin mencari jalan pulang melalui GPS tersebut.

'Walaupun bunyi macam bodoh je, gunakan GPS untuk cari jalan pulang pada jalan yang aku lalui hari-hari, tapi aku kena buat juga. Ini saja caranya.'

Setelah menghidupkan GPS dan membiarkan aplikasi telefon pintar mengesan kedudukannya, Ilya menunggu sejenak. Setelah beberapa ketika, Ilya melihat semua ke arah telefon pintarnya.

'Ha? Macam mana dia tak boleh detect pula kedudukan aku ni?' soal Ilya di benaknya.

Hatinya mula berasa tidak sedap. Bulu romanya dirasakan meremang. Dia seperti merasakan kehadiran sesuatu. Sesuatu yang memerhatikan gerak-gerinya sedari tadi. Ada orang kata, bulu roma manusia itu ibarat pengesan semula jadi pada tubuh badan kita. Adakah Ilya telah mengesan kehadiran sesuatu?

'Ah, sudah! Jangan kata aku sesat macam hari tu. Jangan kata aku kena kidnap lagi dengan spirit.'

"Oh, nampaknya manusia tu dah masuk perangkap yang aku buat. Tak sangka, senang-senang je dia masuk perangkap aku." Ilya dapat mendengar satu suara garau lagi menyeramkan dari arah belakang. Spontan dia menoleh ke arah punca suara.

Seekor spirit kelihatan sedang mencangkung di atas tiang lampu. Spirit itu menyeringai menampakkan sebaris giginya yang runcing dan berwarna hitam. Badannya licin tanpa bulu. Kuku tangan serta kakinya runcing. Kepalanya botak.

Ilya terpanar seketika tatkala ternampak kelibat makhluk menyeramkan itu. Melihatkan seringai makhluk itu yang menyeramkan, menyebabkan otak Ilya memberi isyarat untuk melarikan diri. Akan tetapi, kakinya tidak mahu memberi kerjasama. Kakinya seolah-olah dipaku di atas tanah.

Wajahnya pula langsung tidak dipalingkan daripada terus merenung makhluk hodoh itu. Walaupun hatinya meronta-ronta untuk memalingkan wajahnya. Dia seperti dipukau.

'Ah, habislah! Lagi sekali aku terperangkap dalam dunia pelik spirit ni.' Ilya baru menyedari situasi yang dia sedang hadapi sekarang.

Previous: BAB 20
Next: BAB 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hana Mizari