Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
105,772
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 8

MOYANG BERUSIA 98 TAHUN

"Perempuan gila! Cakap sorang-sorang, heee...," ejek salah seorang kanak-kanak lelaki yang paling tua antara mereka. Jarinya ditudingkan ke arah Bidasari. Ejekannya disambut dengan hilai tawa daripada rakan-rakannya yang lain.

Namun begitu, Bidasari langsung tidak mempedulikan tingkah nakal sekumpulan kanak-kanak itu. Ilya yang memerhatikan sedari tadi mengetap giginya menahan geram.

"Eee, takutnya! Nenek tu cakap dengan siapa agaknya ya?" tanya seorang lagi kanak-kanak perempuan dengan nada mengejek. Bibirnya dijuihkan menambahkan lagi sakit hati yang bersarang dalam hati Ilya.

Tanpa membuang masa, Ilya terus mengutip sebuah batu yang berhampiran dengannya lalu membaling ke arah sekumpulan kanak-kanak itu. Batu itu mengena tepat pada kepala kanak-kanak lelaki yang mula-mula mengejek moyangnya sebentar tadi.

"Aduh!" Dia mengaduh kesakitan.

Serentak itu, mereka semua terus berpaling ke arah Ilya. Riak wajah penuh kemarahan sedang dipamerkan gadis itu. Matanya dijegilkan. Dahinya berkerut seribu. Sebelah tangannya dilihat sedang menggenggam sesuatu. Sejenis cecair berwarna merah dilihat mengalir dari tangannya yang sedang digenggam. Dia terus melangkah perlahan-lahan ke arah sekumpulan kanak-kanak itu sambil matanya merenung tajam. Lagaknya persis pemangsa yang ingin menerkam mangsanya.

Mereka semua terus menapak sedikit demi sedikit ke belakang kerana takut dengan Ilya. Salah seorang daripada mereka terus berpusing ke belakang sambil berteriak, "Lari! Ada seorang lagi perempuan gila datang!"

Kanak-kanak itu terus memulakan langkah seribu meninggalkan rakan-rakannya yang lain. Sejurus itu, kanak-kanak lain terus lari bertempiaran meninggalkan Ilya dan Bidasari di situ. Ilya mahu mengejar kanak-kanak itu tetapi langkahnya terhenti apabila Bidasari menahannya.

"Ilya, sudahlah tu. Biarkan sahaja mereka pergi," pujuk Bidasari cuba menenangkan Ilya. Lembut sahaja nadanya.

Ilya yang sedang memerhatikan kanak-kanak itu berlari mengalihkan pandangannya ke arah Bidasari sebelum berkata, "Tapi, nek...."

"Takpa, biarkan sahaja mereka. Nenek dah biasa sebenarnya kena dengan budak-budak tu. Biasalah dah namanya pun budak, memanglah nakal," tutur Bidasari lembut masih lagi cuba memujuk Ilya. Sebelah tangannya mengusap lembut kepala Ilya untuk menyejukkan hatinya yang sedang panas membara.

"Mari, kita masuk ke dalam," ajak Bidasari sambil memimpin Ilya masuk ke rumahnya.

Ilya akur lalu mengikut sahaja langkahan kaki moyangnya. Dia menaiki selangkah demi selangkah tangga kayu itu untuk naik ke rumahnya.

"Duduklah dulu, Ilya. Nenek nak pergi buat air dulu, ya?" pelawa Bidasari sebelum berlalu ke ruang dapur rumahnya. Dia pergi ke dapur untuk membuat air dan menyediakan hidangan untuk cicitnya.

Ilya melabuhkan punggungnya di salah sebuah kerusi kayu yang terletak di ruang sorong rumah itu. Keadaan di kampung itu senyap-sunyi sahaja. Hanya bunyi desiran angin sahaja kedengaran mengisi ruang udara. Sesekali kedengaran bunyi unggas melagukan melodi yang indah lagi merdu. Ilya membuka semula genggaman tangannya. Terdapat sekuntum Bunga Likoris yang sudah pun hancur akibat diramas oleh Ilya kerana menahan geram.

Beberapa minit kemudian Bidasari datang ke ruang sorong sambil menatang sebuah dulang. Di atas dulang itu terletak sebiji teko, dua biji cawan dan sepiring kuih. Bidasari meletakkan dulang itu di atas meja di hadapan Ilya lalu menuangkan air ke dalam dua biji cawan untuk mereka berdua.

Bidasari menghidangkan teh herba tanpa gula untuk Ilya. Teh herba itu masih lagi berasap ketika dituang. Hidung Ilya dapat menghidu aroma herba yang begitu harum lagi mengasyikkan sejurus teh herba itu dituang masuk ke dalam cawan.

"Nenek reneh sendiri ke teh herba ni?" tanya Ilya.

"Ha'ah Ilya. Herba tu ambil dari belakang rumah nenek je. Nenek ada banyak tanam dekat belakang rumah nenek. Ilya nak tengok?" ajak Bidasari sebelum menguntum senyum.

"Takpalah nenek. Ilya datang ni sebab nak tanya nenek tentang sesuatu." Ilya terus pergi kepada tujuan utamanya bertandang ke rumah moyangnya.

Ilya yang begitu tergoda dengan bau aroma teh herba nan harum itu terus mengambil cawan di hadapannya. Dia mencicip teh itu sebentar sebelum cepat-cepat menjauhkan cawan itu daripada bibirnya. Air mukanya sedikit berubah setelah meminum teh herba itu. Tindakan refleks dek tidak tahan dengan kepanasan teh herba itu. Bidasari hanya tersenyum manis melihat telatah cicitnya.

"Tulah, lain kali minum pelan-pelan. Kan dah melepuh lidah tu," nasihat Bidasari penuh dengan kelembutan.

Ilya akur lalu meletakkan semula cawan yang dipegangnya. Sementara menunggu teh herba itu sejuk sedikit, Dia bercadang untuk menyatakan hasratnya kepada moyangnya.

Bidasari merupakan moyang Ilya yang berusia hampir mencecah 98 tahun. Walaupun usianya sudah lanjut, tubuhnya masih lagi sihat dan bebas daripada sebarang penyakit tidak seperti yang selalu dialami oleh warga emas lain. Namun begitu, dia dikatakan nyanyuk oleh saudara-maranya dan jiran tetangganya.

Hal ini kerana, dia sering dilihat bercakap seorang diri terutama sekali tatkala dia berhampiran dengan pokok-pokok yang ditanam olehnya. Dia juga seringkali bercakap tentang perkara-perkara aneh yang sukar dimengerti oleh orang di sekelilingnya. Bahkan, ada dalam kalangan saudaranya yang tergamak melabelkan Bidasari sebagai pesakit mental dek perangainya yang aneh.

Walau bagaimanapun, Ilya mengesyaki ada sesuatu yang misteri menyelubungi moyangnya ini. Itulah sebabnya dia sanggup bersusah-payah datang ke Kampung Magia ini semata-mata untuk berjumpa dengan moyangnya.

Sebenarnya, sebelum Zaf memberitahunya lagi, Ilya sendiri sudah dapat mengagak ada sesuatu yang tidak kena dengan moyangnya. Dia benar-benar ingin tahu dengan lebih mendalam mengenai moyangnya. Sungguhpun begitu, hasratnya tidak kesampaian kerana dia dilarang daripada berjumpa dengan moyangnya. Alasannya, Airis khuatir penyakit Ilya menjadi semakin teruk jika dia bersama dengan moyangnya, Bidasari.

"Nenek," panggil Ilya dengan teragak-agak.

"Ya, ada apa Ilya?" sahut Bidasari penuh kelembutan.

"Boleh Ilya tanya sesuatu?" tanya Ilya lagi teragak-agak. Entah kenapa hatinya berasa begitu berat untuk menyatakan hasratnya itu kepada moyangnya.

"Cakaplah, nenek sudi mendengar." Bidasari sudah bersedia menadah telinganya untuk mendengar celoteh cicitnya.

"Ne ... nenek! Kenapa ... nenek selalu cakap sorang-sorang?" Lain yang mahu ditanyanya lain yang keluar daripada mulutnya.

Bidasari tidak marah dengan soalan itu sebaliknya dia hanya ketawa kecil. Ilya pula berasa kecewa dengan dirinya kerana tidak mampu untuk menyatakan hasratnya.

"Nenek bukan cakap sorang-sorang, cuma orang lain tak nampak atau tak dengar dengan siapa nenek bercakap sebenarnya," ujar Bidasari selamba.

Ilya terus membeliakkan matanya apabila mendengar jawapan yang terpacul keluar daripada mulut Bidasari. Dia berasa begitu terkejut. Dia dapat rasakan apa yang diberitahu oleh moyangnya itu merujuk kepada spirit iaitu suatu kewujudan yang tidak boleh dilihat oleh manusia melainkan dirinya dan moyangnya sendiri. Betullah seperti yang dikatakan Zaf, moyangnya boleh melihat spirit sepertinya.

"A ... apa maksud nenek? Nenek boleh melihat spirit juga ke?" tanya Ilya inginkan kepastian. Kedua-dua biji matanya masih lagi terbuntang luas kerana tidak percaya dengan apa yang didengarnya.

Bidasari tersenyum sejenak sebelum memanggil nama seseorang.

"Maria! Mari sini!"

Ilya terus memandang ke kiri dan kanannya mencari kelibat orang yang dipanggil moyangnya. Pelik. Setahunya tiada sesiapa yang tinggal bersama moyangnya di rumah itu.

Tidak berapa lama kemudian, sekujur tubuh separa lutsinar menyerupai seorang wanita muda muncul di sebelah Bidasari secara tiba-tiba. Rambutnya lurus, berwarna perang dan panjang separas punggung. Matanya pula berwarna hijau zamrud. Gadis cantik itu tersenyum simpul pada Ilya yang berada di hadapannya.

Ilya pula memerhatikan gadis itu dengan riak wajah terkejut. Dia pasti itulah spirit yang dimaksudkan Bidasari sebelum ini. Spirit inilah yang selalu menjadi peneman bicara moyangnya sepanjang dia tinggal berseorangan di rumah. Maria itu pasti namanya.

"Maria? Sedap nama tu," ujar Ilya memulakan bicara perkenalan dengan spirit itu. Maria pula hanya tertunduk malu. Dia berasa malu dipuji sebegitu oleh Ilya.

"Maria, perkenalkan ini cicit saya Ilya," ujar Bidasari sambil menunjukkan ke arah Ilya.

"Ilya, ini Maria. Spirit yang selalu temani nenek. Kamu berdua berkenal-kenalanlah ya," sambung Bidasari lagi.

Maria tersenyum simpul memandang Ilya. Dia menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan Ilya. Ilya terus menyambut huluran tangan itu. Dia berasa agak kekok dengan Maria. Tangan Maria dirasakan begitu dingin, tidak seperti tangan manusia yang lebih panas. Sejujurnya, inilah kali pertama Ilya berjumpa dengan spirit sesopan Maria.

"Jadi, kamulah Ilya ya?" Maria terus melemparkan pertanyaan kepada Ilya.

Ilya memandang Maria dengan riak wajah pelik.

"Macam mana kamu boleh kenal saya, Cik Maria?" tanya Ilya.

"Zaf yang perkenalkan kamu kepada saya. Dia bagitahu yang kamu nak datang hari ni nak jumpa Puan Bidasari," terang Maria kepada Ilya.

"Zaf?" Ilya berasa agak terkejut mendengar penerangan daripada Maria. Dia mengangkat keningnya.

"Ya, Zaf yang bagitahu. Dia duduk serumah dengan kamu, kan?" soal Maria semula.

"Cik Maria kenal Zaf?" Ilya tidak menjawab soalan itu sebaliknya melemparkan semula pertanyaan kepada Maria.

"Ya. Memang saya kenal dengan Zaf. Kami sebenarnya golongan spirit boleh berhubung secara jarak jauh iaitu sejenis bentuk perhubungan yang kamu semua panggil sebagai telepati," terang Maria dengan lebih terperinci.

"Oh, macam tu ke." Ilya menganggukkan kepalanya tanda faham dengan penerangan Maria.

"Ilya, mari kita ambil angin di luar. Nenek nak tunjukkan pokok-pokok yang nenek tanam. Maria, kamu ikut sekali," ajak Bidasari lalu menghentikan perbualan antara mereka berdua.

Ilya dan Maria mengangguk faham lalu menuruti langkah Bidasari yang sudah pun berjalan keluar dari rumahnya.

***

Ilya hanya mendengar penerangan Bidasari tentang pokok-pokok yang ditanamnya sambil menghirup udara segar. Dia mengambil kesempatan itu untuk menghirup sebanyak-banyaknya udara segar di kampung itu. Hal ini kerana, kualiti udara di Kampung Magia jauh lebih baik dibandingkan dengan bandar tempat tinggalnya iaitu Bandar Medici. Udara di situ lebih segar dan bebas daripada segala jenis pencemaran.

Jauh di sudut hatinya, dia berasa kagum dengan penerangan moyangnya tentang tumbuh-tumbuhan yang ditanamnya. Penerangannya begitu lengkap dan terperinci sekali. Sifat-sifat tumbuhan itu, asal-usulnya, cara penanaman dan penjagaan, malah khasiat setiap tumbuhan itu juga diterangkan olehnya. Sekali dengar, penjelasan Bidasari menunjukkan dia seorang pakar botani. Tidak cukup dengan itu, pokok-pokok yang tumbuh meliar di sekitar perkarangan rumahnya turut diterangkan dengan begitu terperinci.

Ilya mendengar penerangan moyangnya dengan teliti. Maria pula masih setia mengekori mereka berdua dan tidak menyampuk sedikit pun penerangan Bidasari.

Setelah habis semua tumbuh-tumbuhan itu diperkenalkan Bidasari kepada Ilya, mereka berdua berehat sebentar di sebuah pangkin yang terletak di halaman rumah itu. Maria pula telah meminta dirinya terlebih dahulu.

"Nenek, nak tanya boleh tak?" tanya Ilya memecahkan kesunyian.

"Ada apa, Ilya? Tanya sajalah." Spontan Bidasari membalas.

Ilya menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum menghembuskannya semula. Dia kemudian membuka mulutnya untuk menanyakan soalan, "Nenek, dari mana nenek belajar tentang khasiat tumbuh-tumbuhan tu semua?"

Bidasari memandang cicitnya seraya menguntum senyumnya. Dia mengusap lembut kepala Ilya. Ilya mendiamkan diri. Dia ternanti-nanti jawapan daripada moyangnya.

"Kamu betul-betul nak tahu ke Ilya?" Ilya terus menganggukkan kepalanya dengan laju. Teruja untuk mengetahuinya.

"Kalau nenek terangkan ni, Ilya jangan terkejut pula ya." Ayatnya terhenti di situ seolah-olah menanti reaksi seterusnya daripada Ilya sama ada dia akan mempercayainya atau tidak.

Ilya membetulkan kedudukannya seraya mendekatkan dirinya dengan Bidasari untuk mendengar dengan lebih jelas. Dengan tindak-tanduknya itu menunjukkan dia benar-benar berminat untuk mendengar dengan lebih lanjut jawapan daripada Bidasari.

Bidasari memandang ke arah langit nan membiru seraya berkata, "Nenek sebenarnya boleh dengar pokok-pokok tu bercakap. Mereka yang ajarkan nenek segala ilmu tentang tumbuhan tu semua."

Ilya mengamati setiap tutur bicara yang keluar dari mulut neneknya sebentar tadi. Dia mahu memastikan adakah benar apa yang didengarnya atau tidak. Ilya memerhati wajah moyangnya. Dia kelihatan begitu serius ketika melontarkan jawapannya sebentar tadi. Menandakan dia sebenarnya tidak bergurau mengenainya.

"Pokok boleh bercakap?" tanya Ilya semula hampir tidak percaya. Bidasari hanya mengangguk perlahan untuk mengiakannya. Senyuman yang manis dikuntum di bibirnya.



Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.