Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
105,768
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 29

KISAH PERTEMUAN FARMA DAN KANON

"Pakcik, kenapa nama Makcik Kanon tu ada dua nama?" soal Arya secara tiba-tiba ingin tahu.

Kedua-dua Farma dan Kanon terpanar mendengar soalan tidak diduga daripada anak saudara mereka. Mata masing-masing membuntang lalu bertautan setelah kedua-dua insan itu berbalas pandangan. Mereka kekal sebegitu dalam beberapa detik sebelum memandang semula ke arah Arya, Ilya dan Kayril yang sedia mendengar.

"Well, untuk pengetahuan kamu, nama yang pakcik sebutkan tadi tulah nama betul dia." Farma akhirnya bersuara.

"Tak, dua-dua nama betul sebenarnya," potong Kanon segera.

Ketiga-tiga remaja yang duduk di sofa berhadapan pasangan suami isteri itu hanya melongo melihat tingkah mereka berdua. Semakin hairan dengan jawapan yang terpacul keluar dari bibir masing-masing.

Farma melihat sejenak ke arah Kanon di sisinya sebelum mengukirkan senyuman manis di bibir. Sebuah senyuman yang penuh erti dan kasih sayang. Kasih yang dicurahkan kepada seorang gadis yang hampir mustahil untuk dimilikinya.

Sepatutnya mereka tidak akan bertemu. Namun, disebabkan pertolongan yang tidak disangka daripada seseorang dan kuasanya, dia dipertemukan dengan wanita di sisinya kini. Sungguh, kisah pertemuan antara dia dengan isterinya itu merupakan kisah cinta paling menyayat hati, sekurang-kurangnya bagi mereka berdua.

"Ah ... tak fahamlah." Ilya tiba-tiba bersuara. Dia siap mengangkat tangan kerana khuatir dirinya tidak diberi perhatian.

Empat pasang mata yang berada di ruang tamu itu terus bertumpu kepada gadis bertubuh kecil itu.

"Ah? Tak faham? Tak perlu fahamlah." Kanon menutup mulutnya akibat terlampau malu mengenangkan kisah cinta mereka berdua. Merah padam muka dia dibuatnya.

"Kamu semua nak tahu ke? Panjang ceritanya kalau kamu nak tahu." Farma memandang ke arah isterinya yang sudah tersipu-sipu malu.

"Ceritakanlah," pinta Arya tidak sabar-sabar.

Farma memandang ke arah Kanon untuk meminta persetujuan daripadanya. Kanon yang masih tersipu-sipu hanya menunduk sambil tersenyum. Melihatkan reaksi senyap daripada Kanon, Farma akhirnya memilih untuk menceritakan segala-galanya kepada mereka bertiga. Bagi Farma, senyap itu alamatnya setuju. Kalau tidak, sudah tentu Kanon akan menyuarakan bantahannnya.

***

"Oh, macam tu rupanya ceritanya ...," ungkap Arya tanda faham.

"Jadi betullah makcik ada dua nama. Satu diberi ibu kandung makcik, satu lagi diberi keluarga angkat makcik dari dunia belah sana, kan?" Kayril mengutarakan pendapatnya.

Tapak tangan Kanon dan Farma yang diletakkan di atas sofa mula menghampiri sesama sendiri. Tatkala hujung jari-jemari mereka berdua bersentuhan, satu senyuman manis terukir di bibir masing-masing. Tangan masing-masing didekatkan lagi sehingga jari-jemari mereka bertautan.

Farma memandang ke arah isterinya dengan pandangan penuh kasih sayang. Kanon pula menunduk akibat terlalu malu mengenangkan kisah cinta mereka berdua. Kayril memandang ke arah mereka berdua dengan penuh minat. Sementara Arya dan Ilya terus merenung kosong. Langsung tidak terkesan dengan adegan romantik di hadapan mereka berdua.

"Agaknya macam manalah rupa dunia belah sana, kan? Sama ke dengan dunia kita ni? Warna daun-daun kat dunia sana sama ke dengan dunia kita?" Ilya mengajukan soalan rawak secara tiba-tiba. Menghentikan drama romantik tidak berbayar di hadapan mereka bertiga.

Farma berkalih pandang ke arah Ilya. Dia menatap gadis itu dengan penuh minat. Soalan yang diajukan Ilya tadi benar-benar menarik perhatiannya.

"Pakcik tak pernah sampai ke dunia tu, isteri pakcik pernahlah. Dialah yang kena cerita," ujar Farma sambil tersenyum memandang Kanon.

"Sama je Ilya. Masa mula-mula sampai di dunia ni, makcik takut sangat makcik tak biasa dengan suasana di dunia ni. Rupanya tak, warna daun sama hijau. Warna rumput sama hijau. Warna air sama jernih. Warna langit sama biru. Cuma yang tak samanya warna iris mata kita kot." Kanon menceritakan apa yang dilihatnya di dunia itu dengan pancainderanya.

"Warna iris?" soal Ilya ingin tahu.

"Ya, Ilya. Warna iris. Di dunia sana semua orang pelik tengok iris mata makcik yang warna merah ni. Rasanya kat sana makcik seorang je yang iris mata dia warna merah," tambah Kanon.

"Makcik seorang je ke? Sekarang saya faham kenapa makcik memilih untuk ikut Makcik Kalmia ke dunia ni," balas Ilya penuh minat.

"Tak tahulah. Sebab kat dunia sana makcik tak bebas bergerak sangat. Pergerakan makcik dikawal. Sebab status makcik masa tu agak tinggi," terang Kanon.

"Keluarga angkat makcik kat dunia sana tu keluarga bangsawan ke?" soal Kayril.

"Status keluarga tu agak tinggi. Memandangkan mereka diamanahkan untuk menjaga shrine di pulau tu secara turun-temurun," jelas Kanon.

"Oh, macam tu. Keluarga priest ke?" soal Kayril lagi semakin berminat.

"Hi ... mi ... ko," ujar Kanon dengan suara perlahan sambil menunduk. Riak wajahnya berubah serius secara mendadak. Setelah mengungkapkan kata-kata itu, Kanon terus senyap secara mendadak.

"Ehm ... Kanon? Sayang tak apa-apa?" soal Farma mula risau. Dia menatap wajah Kanon yang sedang menunduk dengan penuh kerisauan.

Kayril, Ilya dan Arya terkejut dengan perubahan Kanon secara mendadak.

"Err ... saya ada salah cakap ke?" Kayril mula serba-salah.

"Takda apa-apalah." Kanon bersuara secara tiba-tiba. Wajahnya turut diangkat. Riak wajahnya yang serius mengendur sedikit daripada tadi.

"Betul ke ni, sayang?" soal Arya sambil memegang bahu isterinya lembut.

"Be ... tul," jawab Kanon perlahan sekali sambil mengukir senyuman pahit.

"Maafkan makcik tadi. Makcik terlalu mengikut perasaan," ucap Kanon memandang ke arah Arya, Ilya dan Kayril.

Kayril hanya senyap. Takut untuk bersuara lagi. Dia risau kata-katanya akan mengguris hati Kanon lagi. Ilya dan Arya turut mendiamkan diri.

"Maaf, Kayril, Arya, Ilya, Makcik Kanon memang agak sensitif bila disebut mengenai soal masa lalunya di dunia sana. Sebab tu tadi pakcik agak keberatan untuk ceritakan kisah pertemuan kami." Farma menyambung bicara.

"Tak, abang. Kanon tak kisah pun abang nak cerita pasal kisah pertemuan kita. Cuma masa tu Kanon takut sangat Kanon akan dipaksa untuk tinggal di dunia tu buat selama-lamanya. Masa tu Kanon betul-betul rasa Kanon tak belong di dunia tu, dan dalam keluarga tu. Kanon rasa terasing. Sejak Kanon nampak kelibat abang dekat air terjun tu, hati Kanon rasa meronta-ronta kata bahawa Kanon bukan berasal dari dunia tu," luah Kanon jujur.

"Air terjun? Cerita Kanon mengingatkan abang pada mimpi pertama abang masa mula-mula jumpa Kanon. Kita pada mulanya bertemu di alam mimpi saja, kan?" Farma memandang Kanon dengan penuh kasih sayang.

"Ya, sebelum kita berjumpa di alam nyata, hanya mimpi saja penghubung cinta antara kita berdua yang dipisahkan oleh dimensi," sambung Kanon lagi.

"Kisah cinta antara dimensi. Pertemuan hanya di alam mimpi. Menarik. Boleh jadi plot novel untuk tulis kisah cinta paling menyayat hati ni." Ilya tiba-tiba meluahkan buah fikirannya.

Arya dan Kayril terkesima mendengar idea Ilya yang datang tanpa disangka-sangka itu.

"Buatlah. Dipersilakan. Nanti pakcik nak bacalah," ujar Farma sambil tersenyum.

"Taklah, pakcik. Saya saja je cakap. Haha," nafi Ilya malu-malu.

"Ala ... baru nak baca," sampuk Kayril pula.

"Tak payahlah. Saya tak pandai menulislah." Ilya terus-menerus menafikannya.

***

Setelah menjamah hidangan yang disediakan oleh Kanon, Ilya, Arya dan Kayril kembali ke sudut bacaan rumah Farma. Ilya memulakan pencariannya. Dia mencari buku-buku Sejarah untuk menjadi bahan rujukannya. Farma turut sedia menanti di ruang bacaan itu. Mereka bertiga pasti ada banyak soalan yang hendak diajukan.

Buku-buku berkulit tebal itu dikeluarkan Ilya lalu diletakkan di atas lantai yang beralas dengan permaidani. Ilya duduk bersila dengan dikelilingi buku-buku tersebut. Arya dan Kayril turut menyertai pencarian Ilya. Farma hanya memerhati tingkah ketiga-tiga anak muda itu.

"Awak nak cari maklumat pasal apa, Ilya?" soal Kayril sambil menyelak sebuah buku tebal yang berada di dalam tangannya.

"Animisme, Dark Arts, ritual, magis, adat tradisi lama dan apa-apa saja yang berkaitan dengannya," beritahu Ilya pantas. Matanya masih menatap ke arah buku di hadapannya. Tangannya turut tidak berhenti menyelak satu demi satu helaian buku tersebut.

"Okey," jawab Kayril lalu memulakan pencariannya.

"Animisme eh?" Kayril tiba-tiba menyoal kembali.

Ilya yang sedang menyelak buku terhenti seketika perbuatannya. Dia memandang ke arah Kayril lalu menjawab, "Ya. Kenapa?"

"Yang tu ya ... kejap! Saya ingat kot kat mana saya baca pasal animisme tu." Kayril meletakkan buku yang berada dalam pegangannya. Dia merangkak ke arah timbunan buku yang agak berselerak di atas lantai.

Kayril kelihatan sedang mencari sesuatu. Setelah beberapa kali mengalihkan buku-buku di hadapannya, dia mengeluarkan sebuah buku berjudul Kepercayaan Animisme, Adat Tradisi dan Ritual Masyarakat Zaman Dahulu. Tanpa melihat ke arah isi kandungan, Kayril terus membuka ke helaian yang mengandungi maklumat yang diingini Ilya.

Dengan pantas dan sekali lalu Kayril membaca teks yang tertera pada helaian tersebut.

"Sebelum tu Ilya, saya nak tanya ni. Kenapa kamu berminat nak cari maklumat pasal animisme?" soal Kayril ingin tahu.

"Hari tu, saya ada terbaca satu artikel pasal animisme di Internet. Saya rasa kepercayaan ni ada kaitan dengan Dark Arts," jawab Ilya.

"Oh. Kat mana kamu baca artikel tu?" soal Kayril lagi.

"Kat Forum Supra Naturale," balas Ilya.

"Ha? Siapa yang upload artikel tu? Kamu ingat tak?" Kayril yang sedari tadi menatap buku di hadapannya mula menatap wajah Ilya.

"Hmm ... kalau tak silap saya, username dia Kay64 ke apa. Hmm, tak berapa ingatlah. Kenapa?" balas Ilya lagi.

Buku yang berada di dalam pegangan Kayril terus terjatuh. Nasib baik sempat disambut Arya yang mendengar dan memerhati sedari tadi.

"Err ... yang tu sayalah. Sayalah yang pakai username tu. Tak sangka ada juga orang baca artikel yang saya upload tu. Saya bukan apa, saya rasa patutlah sebarkan ilmu yang saya dapat ni kepada orang lain," ujar Kayril teruja.

"Kan? Daripada terbiar berhabuk kat rak buku ni aje." Tiba-tiba Farma yang diam sedari tadi menyampuk perbualan.

"Eh, takdalah maksudkan macam tu pakcik. Alamak, Pakcik Farma pula terasa dengan saya," nafi Kayril berasa serba-salah.

"Takdalah, mana ada terasa. Saja je mengusik kamu," ujar Farma semula.

"Apalah pakcik ni, buat saya risau je," tutur Kayril seperti merajuk.

"Ilya, kalau kamu nak tahu, kepercayaan animisme memang ada kaitan pun dengan ritual Dark Arts." Farma tidak mempedulikan rajukan Kayril. Dia terus beralih tumpuan kepada Ilya pula.

"Apa kaitannya?" soal Ilya terus kepada pokok persoalan.

"Seperti yang kamu tahu, animisme ni satu kepercayaan memuja semangat. Mereka percaya, dengan memuja semangat ni, semangat yang mereka puja tu akan berikan mereka pelbagai manfaat. Antara manfaatnya seperti perlindungan daripada malapetaka, kekuatan, kebijaksanaan, ilmu pengetahuan, kekayaan, dan sebagainya," terang Farma bersemangat.

Ilya dan Arya mendengar dengan penuh minat. Kayril pula telah terlupa akan rajukannya tadi lalu turut sama mendengar.

"Semangat dengan spirit tu sama ke pakcik?" Ilya sudah mula mengajukan soalannya.

"Ia cuma berbeza istilah saja. Basically ia merujuk kepada benda yang sama. Senang cerita, yang mereka puja tu golongan spirit-lah," jawab Farma.

"Mereka puja tu untuk apa?" soal Ilya lagi.

"Seperti yang saya katakan tadi, untuk dapatkan manfaat-manfaat tertentu, berbeza mengikut jenis semangat yang mereka puja," balas Farma.

"Kenapa pula nak puja spirit? Bukan mereka boleh usaha sendiri ke nak dapatkan semua tu?" Semakin lama semakin rancak Ilya mengajukan soalan.

"Sebab manusia tak pernah puas dengan apa yang mereka ada. Mereka sentiasa mahukan lebih. Akibat sikap mereka yang mementingkan diri sendiri, keturunan mereka yang terima padahnya." Jawapan yang diberikan Farma menyebabkan Arya dan Kayril terpinga-pinga. Mereka tidak faham apa yang ingin disampaikan Farma.

Akan tetapi, Ilya seperti pernah mendengar seseorang mengatakan lebih kurang sama seperti itu kepadanya sebelum ini.

"Sebab manusia tak pernah puas dengan apa yang mereka ada. Ah, Zaf ...." Ilya berkata tiba-tiba. Mengingatkan dia kepada spirit nakal itu.


Previous: BAB 28
Next: BAB 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.